Sunday, June 02, 2013

Aku Yang Kau Panggil Sayang

“POKOK cili ni menjadi betul.  Merah menyala.  Macam trafik light.”  Aku berbicara sendiri sambil menelek kebun cili di belakang rumah.
Eh, bila sebut pasal traffic light aku mula ingat sesuatu.  Apa tu?  Hah, usah ditanya sebab jawapannya hanya satu.  Dialah… ya dia.  Dia yang aku panggil suami dan suami itu yang memanggil aku sayang. 
Sedar tak sedar dah lama berlalu kot.  Okey, biar aku kira.  Jari aku bergerak sendiri.  Daripada tangan dok mencaras daun-daun cili yang rosak sejak tadi, aku menjadi mak nujum kejap.  Mengira dah berapa lama kami hidup bersama. 
Dah hampir setahun.  Kejap je masa berlalu.  Macam tak percaya pulak dah.  Lelaki paling perasan di dunia tu menjadi maharaja dalam hati aku.  Bibir aku dah carik dengan senyuman.  Tak lebar mana pun tapi bolehlah untuk dipanggil senyuman. 
Rasa sunyi tiba-tiba lepas mak mertua aku masuk ke dalam rumah nak masak untuk makan malam.  Aku pulak memang suka ada dekat kebun yang Dr. Syed Idham Eid bina ni.   Kata dia anggap jelah ini taman Taj Mahal dia untuk Cik Siti Wan Kembang macam aku ni dan sekarang pun makin kembang lagi bila perut dah berisi. 
Mengingatkan masa lalu, rasa terharu yang sangat banyak.  Terharu dengan kesungguhan dia mengotakan janji  yang dia beri pada aku.  Selebihnya, yang sedikit tu, aku rasa menyampah sebab dia adalah maharaja dalam Negara Perasan di mana ada aku, dia dan bayang-bayang kami. 

**

DAUN pintu ditolak daripada luar.  Aku tak payah pusing kepala sebab memang dah tahu dia siapa?  Suami segera.  Macam sekelip mata je jodoh tu sampai.  Dia datang, dia ada dan kini depan mata.  Tengah fikir macam mana nak bagi terima maaf dia dalam hati ni. 
“Sayang…” 
Aku batukan diri.  Sambil tangan masih sikat rambut yang panjang cecah ke pinggang. 
Eid mendekati aku dan terus saja berdiri tegak di belakang.  Kami berbalas pandangan di dalam cermin. 
“Apa?”  soal aku mendatar.
Dia sengih.  Eleh, dia bajet aku nak cair dengan senyuman dia tu ke apa?  Tolonglah sikit.  Lepas apa yang aku dengar, dia nak berbaik dengan aku?  Heh, kirim salam dekat belalang, boleh campak salam dalam longkang. 
“Abang dah banyak hari tidur dekat sofa ni,” sambung dia.
“Tak suruh okey…”  Aku menyelar sambil bangkit hendak berbalu daripada depan cermin.
Eid hanya memandang.  Nampak tak puas hati bila keluhan kasar dia lepaskan.  Dia jatuhkan bahu.  Berlakon lemah.  Kononnya sedih. 
“Bukan bilik sebelah tu ada katil ke?”  tanya aku.
Dia angguk tapi tak bersuara.
“Habis tu saja nak seksa badan buat apa?”  sinis aku lagi lalu aku labuhkan duduk di birai katil.
Hati aku ni mendidih okey.  Sangat menggelegak.  Membuak-buak bila teringatkan apa yang dia kata.  Boleh dia cakap macam tu di belakang aku lepas katakan dia miliki aku tanpa terma dan syarat? 
“Abang tak boleh tidur tanpa sayang di sisi…”  Dia merengek dengan buat muka comel. 
Atau senang aku klasifikasi macam muka bajet kacak.  Biarpun dia perasan tapi memang hakikat pun.  Memang dia kacak. 
“Macam mana lagi abang nak buat sayang cair dengan abang ni?  Tak kanlah muka sebegini tampan, tak ubah macam Arjun…”
“Arjun nak kena gumpal eh?”  soal aku mencantas.
Tak habis-habis dengan Arjun Rampal dia?  Dia ingat dia ni hero Malaya ke apa?  Jadi Doktor Syed Idham Eid sudahlah.  Suka sangat kata diri tak ubah macam Arjun Rampal tu, kenapa? 
“Yalah… yalah… tak nak jadi macam Arjun Rampal dah… tapi kalau dia jadi macam abang, macam mana?”  tanya dia mengusik dengan kening yang naik tinggi.
Oh boleh macam tu eh.  Tadi wajah macam cuka, sekarang macam cuka tambah gula sikit. 
“Ayong tak nak maafkan abang.”  Aku memutuskan begitu entah kali ke berapa dah.  Err… sejuta over sangat.  Seratus pun aku rasa over.  Dalam dua tiga puluh kali jugak la. 
Kami berpandangan.  Eid kembali tayang muka sedih.  Dia menapak pada aku tapi aku terus bangun dan beralih ke sofa yang ada di sudut bilik. 
Dia mengeluh dan melabuhkan duduk. 
“Sayang tahu tak satu benda…”  Kening lebat dia naik.
Aku diam tak berkata apa.  Sambil mata memandang dia tanpa riak.  Saja buat tak beriak sebenarnya. 
“…apa yang sayang dengar tu tak semestinya betul.  Don’t judge a book by its cover.”
Tengok… dia cuba nak tegakkan benang yang basah lagi lencun tu.  Sampai aku terjatuh bekas bekal yang aku bawa untuk dia satu hari tu, dia masih nak nafikan?  Nak tipu aku lagi? 
“Ayong tak baca buku… buat apa nak judge book.  Ayong dengar dan lihat.  So ingatan tu kuat kat sini…” kata aku sambil menekan kepala sendiri. 
“…jadi Ayong judge abang terus.  Tak payah nak judge buku!”  sambung aku geram. 
Eid diam menunduk.  “Sayang ni agaknya tak sayang abang kot… sampailah hati…” Dia dah buat suara lirih.  Memainkan jari-jemarinya sendiri dan memandang pada aku silih berganti.  Minta simpati. 
Berlakon… berlakon… Aku julingkan mata ke atas.  Your acting is terrible okay.
“Abang pun…sampailah hati buat Ayong macam ni, kan?  Apalah salah Ayong yang tak bersalah ni, kan?  Abang beria-ia nak kahwin dengan Ayong.  Ni baru tak berapa lama, abang tergamaknya ngumpat isteri sendiri kat belakang.  Depan perempuan lain pulak tu,” ujar aku buat-buat merintih. 
Mengeluh Eid menerima kata-kata aku.  Dia bangun dan mendekati sofa pulak dan aku terus bangkit berlalu ke katil.  Eid garu kepala. 
Cuba lekat kat satu tempat… senang abang nak dekat…” 
“Kalau orang macam abang yang tak tetap, buat apa Ayong nak melekat.” 
Dia ketap bibir.  Sesekali dia urut kening dia yang tebal dan terus dia hempaskan tubuh dia atas sofa, menghadap aku yang juga baru labuhkan duduk di birai katil.
“Abang tak pindah rumah ni sebab nak suruh Ayong dok bilik ni, abang dok bilik sanaCuba dengar dulu penjelasan abang ni,” pinta dia separuh merayu.
Bila sayang tu dah bertukar pada Ayong, nama manja aku sejak dulu lagi… memang membawa makna Doktor Syed Idham Eid ni sedang serius tahap gaban.  Gaban pun tak serius macam dia gamaknya. 
“Tapi sikap abang tu buat Ayong nak dok bilik ni sorang-sorang.  Maaflah, bang… tapi jujur Ayong tak boleh nak lupa apa yang abang cakap dekat Sharmila, kawan baik abang tu tentang Ayong…” 
Mood aku dah berubah sikit.  Bila kepala menunduk sebab menahan berat cecair yang terbit sikit sikit dari kelopak mata, memang aku teramat sedih mengingatkan apa yang jadi. 
“… Ayong tak sangka.”  Aku angkat wajah dan pandang Eid.
“Kenapa abang ngata Ayong depan perempuan lain?  Apa salah Ayong pada abang?  Ayong tak pernah kacau abang sejak dulu pun.  Bila abang datang rumah, pinang Ayong… Ayong terima abang dan abang pun janji nak terima Ayong seadanya.  Apa yang buat abang mula rasa nak kutuk isteri abang yang kembang ni depan perempuan lain?” 
Aku menyoal bertalu-talu dengan suara yang serak.  Yang bergetar.  Yang lirih di mana airmata dah mengalir. 
“Abang silap…,” akui dia.
“Gamaknya, perkahwinan kita ni pun silaplah eh?”  tanya aku menahan geram. 
Aku lihat Eid menelan liur.  Dia menekan batang hidung mancungnya lama dan kembali merenung mata aku yang basah. 
“Sayang jangan nangis…” Mood dia dah berubah kepada yang asal bila panggilan juga bertukar.
“Dah tu nak suruh ketawa?”  sergah aku.
Geram sungguh.  Aku tengah sedih ni.  Bukan ke sedih tu sinonim dengan tangisan dan tangisan tu pasti keluar airmata?  Ke definisi sedih pada seorang doktor ni lain? 
Eid garu kepala dan sengih. 
“Kalau sayang boleh ketawa, apa salahnya ketawa walaupun sedih?”  Dia dah mula loyar buruk. 
“Eii… Ayong serius ni!”  marah aku mengetap bibir.
Dia ketawa halus.  “Abang dua rius.”  Dua batang jari dia tegak.
Tak semena-mena aku capai sebiji bantal dan terus aku campak tepat pada dia tapi tak sempat kena, dia elak.
Eid usap dada dia dan kembali duduk dengan mata serius memandang aku. 
“Fuh… mujur sayang baling tak kena abang.  Kalau tak, memang masuk ICU abang.  Nasib baik silat elak mak dah ajar,” jawab dia datar biarpun bunga tawa nampak nak kembang dah tu.
Rahang aku dah turun naik.  Sikit lagi aku nak bagi jurus Silambam dekat suami aku ni.  Orang tengah sedih, serius… dia mana ada nak serius. 
Aku hela nafas dalam-dalam.  Airmata yang tersisa aku kesat dengan telapak tangan.  Wajah Eid aku pandang.  Lama.  Tenung dalam-dalam sampaikan aku lihat kening lebat dia kerut sana sini.
“Ayong nak tanya…” 
Dia jongket kening memberi laluan.
“Apa abang nak cari dalam diri seorang perempuan, seorang isteri dan seorang Ayong macam Wan Siti Sarah ni?”  soal aku merujuk pada diri sendiri.
Eid diam lama sebelum dia menjawab dengan wajah serius.
“Ayong sendiri…”
“Tapi, kenapa abang nak pertikaikan fizikal Ayong sedangkan abang pernah katakan, abang terima Ayong tanpa apa-apa syarat?  Kenapa abang nak cakap yang AYong ni gemuk depan Sharmila?  Kenapa?”  Aku dah mula nak menangis lagi. 
Eid bangkit dan melangkah pada aku.  Bila dah hampir, kaki dia terpaku.  Dia menyeluk poket baju melayu dia dan membetulkan sedikit kain pelikat yang dia pakai.
“Abang salah…”  Dia tunduk.
Ya, itu sejenis pengakuan.  Pengakuan yang sesungguhnya dia memang kata aku gemuk depan kawan baik perempuan dia tu.  Pengakuan yang dia memang tak boleh nak terima aku seadanya aku.  Pengakuan yang dia memang ngumpat aku di belakang beberapa hari lepas.  Terdengar oleh telinga aku, ternampak oleh mata aku dan terkesan oleh mata aku juga senyuman sinis Sharmila, kawan baik dia tu. 
“Jadi, memang betullah?”  tanya aku menduga.  Dalam hati nak je biar dia jawab tak.  Biarpun sakit hati, tak adalah sampai rasa retak sejuta. 
Eid diam dan menunduk.  “Abang salah tapi abang cakap macam tu, tak semestinya abang tak sayang sayang…”
Aku mencemik sinis.  “Dah… Ayong memang dah tahu, dah nampak dah dengar macam mana tanda sayang abang tu dekat Ayong.  Memang Ayong dengar.  Kalau kata abang memang tak boleh nak terima fizikal Ayong ni, Ayong tak boleh nak paksa.  Abang berhak dapat yang cantik, yang slim, langsing macam Mila tu.  Tapi, satu Ayong nak mohon…”  Aku hela nafas seketika sebelum menyambung.
“Ayong nak balik rumah mama.  Tak guna ada tempat dalam rumah ni tapi tak ada tempat dalam hati abang.  Ayong tak boleh…”  Aku menggeleng dan terus saja aku rebahkan badan dan menarik gebar sampai menutup muka.
Airmata meleleh ikut juring mata.  Aku menangis okey.  Memang aku menangis.  Aku sayang dia.  Biarpun tak mudah aku nak terima seorang suami secara tiba-tiba tapi aku terima. 
“Sayang…”
Tak sampai berapa saat, aku rasa ada tangan singgah di atas gebar.  Menepuk perlahan dan menyeru aku.  Aku mengesot sikit ke tengah katil.  Malas nak dok bertempek.  Rimas.
“Abang akui silap abang, tapi sayang kena ingat… cinta abang pada sayang memang tak ada terma dan syarat.  Kalau kata sayang tak suka muka abang macam Arjun Rampal, sayang telek betul-betul, iras-iras la jugak Fahrin Ahmad tu, kan?” 
Aku kerutkan kening di bawah gebar.  Apa pulak dia melalut ni.  Aku ni marah tau tak?  Marah.  Aku tolak gebar hingga ke leher.
Wajah senyum dia aku pandang.  “Nak mengarut pergi bilik sebelah!” 
Dia geleng.  “Mengarut apa.  Hakikat.  Dahlah, jangan marah lagi.  Pasal abang cakap Ayong gemuk tu… eh silap.  Gebu!”  Dia menampar bibir dia sendiri.
“…itu hakikat dan kasih sayang abang untuk Ayong pun gebu, tau?” 
Aku mencemik.  “Jangan buat lawak eh!” 
Aku pun tak tahu, kenapa tiap kali aku membahang, dia mesti buat lawak kurang sihat dia.  Setiap kali aku rasa nak meletop, mesti dia gelak macam aku sedang buat tarian tango Shakira keracunan makanan.
“Tak ada lawak pun… abang serius ni.  Orang kacak macam abang ni kalau serius memang nampak lagi kacak.  Kan sekarang abang kacak gila… bermakna abang serius la tu…”  Dia senyum segaris sebelum turut merebahkan badan di sebelah aku. 
Dengan dia memang tak menang.  Sebab dia memang dilahirkan kembar dengan perasaan.  Perasaan tu lahir dulu, atau dia yang lahir dulu aku tak pastilah pulak. 

**

MAMA datang.
“Monyok je pengantin baru?”  Buah tangan mama letak atas meja makan. 
Aku membelek plastik yang mama bawa.  Ada macam-macam dalamnya.  Semua yang boleh membina badan.  Daripada saiz L menjadi saiz XL atau XXL.
“Mama bawak banyak sangat ni, macamlah rumah ni tak ada makanan,” ujar aku tapi tangan masih ligat membelek barangan yang mama bawa.
Mama tepuk tangan aku.  “Mama bawa untuk Eid la.  Bukan untuk Ayong!”
Eh mama ni… aku jeling mama.  Eid tu menantu dia je tahu tak.  Aku ni anak dia.  Kenapa dia layan aku macam ni?
“Mama tak tahu apa dia dah buat dekat Ayong…”  Aku tekup muka di atas meja.  Rasa sebak menjalar tiba-tiba.  Nak-nak mama muncul tiba-tiba ni, lagilah aku sedih.
Telinga aku dengar mama ketawa halus. 
“Apanya?  Dia buat apa?” 
Aku diam.
“Alaa… kalau dia buat yang sepatutnya apa salahnya?  Tak lama lagi bercuculah mama.”  Okey, itu suara ar… sangat teruja woo…
Cepat-cepat aku angkat wajah.  Pandangan mencerun pada mama. 
“Apa mama merepek ni?  Mama pun dah jadi macam Eid dah, merepek je cakap.” 
Berkerut dahi mama bila aku menegur.
“Eh, mama pulak kena?  Ni mama datang ni sebab Eid telefon mama tau.  Suruh jenguk Ayong sebab dia kata mungkin dia balik lambat sikit hari ni.  yang Ayong nak marah sangat ni kenapa?  Apa Eid buat dekat Ayong.  Cuba Ayong cakap.  Kalau betul dia salah, biar mama operates dia ganti dengan hati lembu.  Nak?!”  sergah mama.
Berkerut wajah aku.  Mama ni, tergamak pulak dia nak jadi surgeon nak belah dada suami aku ganti dengan hati lembu? 
“Mama ni…”  Aku menggeleng. 
“Habis tu?  Apa yang tak kena?  Eid cakap dia ada buat salah dekat Ayong.  Cuba cakap salah apa?  Biar mama timbang tara,” gesa mama.
Aku sengih tawar.  Rupanya dia dah pintas jalan.  Takut aku mengadu, awal-awal lagi dah pergi mengaku. 
“Jadinya dia dah cakaplah…”
“Dia cakap Ayong marah dia sebab dia buat salah.  Itu je.  Dia tak cakap pulak salah apa?”  sela mama sambil mengoyak kulit sebiji limau yang dia bawa.
“Dia… dia…”  Aku dah tergagap-gagap.  
“Dia… err… dia cakap Ayong tembam depan kawan dia.”  Aku kembali tekup wajah ke meja.
Mama mengucap panjang.  Aku ingatkan mama nak marah Eid tapi lain pulak jadinya.  Dia… dia ketawa.  Menggelegak otak aku.
“Mama ketawa kenapa?” 
Tawa mama masih tersisa.  “Hakikat apa?” 
Okey, usah kata cedera jiwa, jantung, limpa, hempedu, pancreas, esofagus, paru-paru dan semua organ dalaman sedang mengalami keretakan yang teruk. 
“Mama ni…”  Tak mampu dah aku nak sudahkan ayat.  Sebak gila.
“Yalah, sungguhlah tu.  Lelaki ni kalau dia berani mengaku yang isteri dia memang kurang cantik, memang kurang slim depan orang… maksudnya dia jujurlah tu.  Dia ada cakap dia benci Ayong sebab gemuk ke?”  tanya mama.
Aku geleng.
“Dia ada cakap nyesal pilih Ayong sebab Ayong gemuk ke?”
Aku geleng lagi.
“Dia ada cakap nak tinggalkan Ayong sebab Ayong bulat dan nak pilih yang lagi kurus ke?”
Aku ketap bibir.  Tunduk.  Lama-lama menggeleng.
“Habis tu?” 
Aku diam.  Mama tak nampak.  Mama tak rasa dan tak dengar.  Aku rasa dan aku nampak betapa sinisnya senyuman Sharmila, kawan Eid tu pada aku hari tu bila aku terketar-ketar cuba melangkah setelah aku dengar…
“Kau tak rasa nyesal ke pilih perempuan gemuk gedempol tu jadi isteri?”  Itu soalan Sharmila yang aku dengar.
Hei, aku tak gedempol okey.  Ini diklasifikasikan sebagai gebu!  Gebu means comel.  Comel Englih cakap, cute.  Tangan aku dah menggigil memegang tupperware berisi nasi tu sebab aku tahu, Eid memang tak sempat nak makan bila dia teramat sibuk di hospital. 
Aku dengar Eid ketawa halus.  Bila aku tolak sikit pintu bilik dia, aku nampak dia senyum dan menggeleng. 
“Kenapa?  Kau nak ganti tempat dia jadi isteri aku?” 
Semedang je ayat tu keluar daripada celah bibir suami aku di depan perempuan lain, aku rasa nak pitam.  Terus aku tolak daun pintu lebar-lebar.  Bungkusan di tangan jatuh dan bila kedua-dua mereka berpaling, Mila senyum sinis.  Dasar gunting tumpul dalam lipatan.  Kalau tajam, tak adalah rasa sakit.  Ini tumpul, lunyai hati aku dia carikkan. 
“Dah tu macam mana ni? Nak tinggalkan Eid ke?” 
Aku angkat wajah.  Ingatan beberapa hari lepas hilang.  Wajah Sharmila juga pergi tapi suara dia bergema dalam kepala.  Aku geleng di depan mama. 
Sayang.  Mama tahu tak aku sayang suami aku tu? 
“Dah tu kalau tak nak?  Maafkanlah dia…” 
Senang mama suruh.  Aku ni, malas nak bagitahu hal sebenar.  Malas nak aibkan orang apatah lagi suami sendiri.  Ini pun mama datang sebab Eid sendiri bagitahu.  Aku tak cakap sepatah pun lagi. 
“Ayong nak minta sesuatu daripada mama ni!” 
Bibir mama terceber, kening dia terangkat dan wajah dia penuh tanda tanya.

**

SALAM aku jawab.  Hari ni dah entah malam ke berapa dia tiba di rumah lewat.  Mana pergi pun tak tahulah.  Kalau dah habis kerja di hospital, mesti hang out dengan Sharmila, the most beautiful doctor… kot. 
“Makan malam?” 
Eid menggeleng dan labuhkan duduk di atas sofa.  Dia merungkai lemah tali lehernya dan membuka dua butang kemejanya yang paling atas.
Aku lap peluh di dahi yang masih merenik.  Dia aku rapati dan segelas air putih aku hulurkan.  Dia  yang ajar, banyakkan minum air putih.  Untuk kesihatan. 
“Thanks…”  Ditegukkan air masak itu hingga separuh gelas dan diletakkan di atas meja. 
“Letih…”  Dia berkata sepatah.
“Yeah…”  Aku tak membalas lalu aku menapak ke dapur. 
Gelas tu aku basuh dan bila nak pusing, Eid tercegak di belakang menghulurkan baju kotornya.  Mendedahkan tubuh yang nampak sedikit susut.
“Marah abang lagi?” 
Aku diam tapi huluran dia aku sambut dan terus berlalu ke bakul pakaian kotor. 
“Mama datang pun tak mampu redakan marah sayang pada abang?” 
Aku masih diam dan berlalu ke peti ais.  Tak tahu nak buat apa, aku buka peti ais tu dan mata aku melahap semua kawasan.  Bibir aku senyum.  Tak ada apa dah yang boleh buat aku menjadi ahli bina badan berjaya.  Kemudian aku tutup semula dan Eid dah berdiri tegak di belakang aku.
“Abang penat…”
“Rehat…” sela aku mendatar.
“I need you…” ujar dia lagi.
Aku geleng.  “Nope… you don’t need me.  You need some one else.  Named Sharmila,” sindir aku dengan senyuman herot dan terus melangkah melepasi dia.
Wajah Eid masam.  “Abang tak nak dia.  Abang nak sayang.”
“Kata-kata abang membuktikan sebaliknya.” 
Dia mengeluh.  “Sayang…” 
Ini yang aku lemah ni.  Bila dia merengek panggil aku sayang, aku rasa nak melayang ke awan.  Tapi mujur ada siling menahan.  Kalau tak aku terapung, terputus tali bagai layang-layang tak bertuan.  Haa… kan dah jadi puisi tu.
Tapi aku kebalkan hati bila dia mendekati.  Tangan aku diraih dan dibawa ke bibir dia.
“Abang sayang Ayong.”
“Sayang melayang.” 
“Mana ada macam tu.  Sayang dah salah faham ni.  Sungguh abang tak maksudkan apa yang abang cakap tu…” 
Aku berpaling dan sengih.  “Tak apa… memang abang tak pernah maksudkan tapi maksud dia sampai tepat ke hati Ayong.  Tak payah nak terangkan lebih detail.  Ini pun dah lebih daripada faham,” jawab aku lalu aku menapak ke atas.
Baru nak tukar baju, nak basuh badan yang berpeluh sikit… Eid muncul di depan pintu. 
Aku kalih.  Dahlah masa ni t shirt dah melepasi kepala.  Buat free show lagi dekat mata Eid.  Aku nampak daripada samar-samar baju T aku yang sikit lembab ni.  nampak dia senyum meleret pada wajah penat dia tu. 
Saja aku nak kenakan dia, aku buka juga baju tu dan biarkan saja separuh tubuh terdedah.  Aku nampak Eid menelan liur.
“Abang rindu…”
“Rindu abang tu rindu tak bersiram.  Mudah layu.  Tinggal masa nak kena cantas je,” sindir aku lalu aku menapak ke bilik air bila aku capai tuala. 
“Sayang…”  Aku dengar Eid mengeluh berat.

**

MAMA capai satu plastik berisi epal hijau. 
“Kena makan ni.  Tingkatkan kadar metabolisme.”  Huh, mama memang macam pakar makanan.
“Bukan makan masam tu makhruh ke, ma?”  Aku pandang mama pelik.
Dia angguk.  “Bukan selalu pun.  Tak ada masam sangat la.  Lagipun banyak khasiat ni.”  Mama senyum dan terus dia tolak troli ke depan tapi mata kelain.  Sudahnya, terlanggar troli orang di depan.
Kami pandang ke depan.  Baru nak minta maaf, aku rasa nak terbalikkan troli ni bila wajah Sharmila muncul.  Dia senyum dan menyapa mama dan langsung tak tegur aku.  nampak tak permainan dia?  Nampak, kan?
“Aunty buat apa?  Banyak shopping?”  Dia bersuara ramah.
Mama angguk dan senyum.  “Saja temankan Ayong sementara Eid sibuk dua tiga hari ni…” 
Mama memang ramah.  Dah tahu perempuan ni yang kata aku, dia tetap ramah.  Ramah yang ikhlas.  Tak dibuat-buat. 
“Oh, kami memang busy lately, aunty.  Biasalah bertugas dekat kecemasan, kan?  Ini pun saya off kejap sebab ada urusan dekat Ipoh.  Petang ni nak masuk bertugas terus.  Mujur ada Eid tu… kalau tak memang saya pun boleh pengsan.”  Dia sengih lagi sambil mengerling aku.
“Eh, Eid tiap-tiap malam balik lambat ke Ayong?”  soal dia tepat pada aku.
Mula-mula aku malas nak jawab tapi mama dah siku.  Aku ringankan lidah dan buka mulut jugak.
Aku senyum dan angguk.  “Lewat jugak.  Banyak kerja eh dekat hospital?” 
Sharmila angguk.  “Itulah.  Mujur sebelum balik tu sempat I ajak dia supper dengan I dulu kalau lewat sangat.  Tak pun kami dinner sama-sama dalam bilik dia.” 
Okey, itu jawapan buat hati aku digantung tak bertali okey.  Terawang-awang rasa nak terbang pergi duduk kutub utara.  Jauh daripada diorang.  Mama dah genggam tangan aku.  Aku tahu mama tengah memujuk. 
Aku sengih.  “Emm… terima kasihlah pada Doktor Mila sebab sudi juga ajak suami saya makan tu.  Risau jugak dia tak sempat makan.  Balik je dah penat.  Minta picit sana, picit sini.  Mujur jugak ada kawan boleh tengok-tengok, kan dia...  yalah, isteri dekat rumah tapi tak apa, Allah dah ikat hati kami sama-sama.  Kalau dia tak sihat, hati saya akan rasa dulu.”  Aku berucap tenang. 
Sinis sikit biar dia tahu, surirumah macam aku ni pun, pandai berkata-kata.  Tak perlu nak dapat lesen jadi Doktor kalau dalam hati ada PhD.  Hehh…
Wajah Sharmila mencuka tiba-tiba tapi lama-lama dia sengih.  “Err… tak apalah, aunty… Ayong.  Saya gerak dululah.  Singgah beli makanan sikit je.” 
Dia terus menolak troli dia setelah bersalaman dengan aku.  Hilang je kelibat Mila, mama pandang aku dan kami sama-sama ketawa.
“Mama nampak tak muka dia tu?  Nampak tak tadi?” 
Mama angguk dalam senyuman tipis.  “Sebab tu mama cakap, Ayong kena kuat.  Ni baru orang hek sikit, awak dah nak nyehek.  Kenapa?” 
Aku sengih garu kepala. 
“Jangan kalah dekat orang macam tu.  Usaha lebih.  Bukan sebab Eid tu memang nak Ayong berubah, kan?  Tapi, untuk diri sendiri,” sambung mama. 
Aku peluk lengan mama.  Sayang mama.  Jadi, semangat kian membara.  Pantang undur sebelum melangkah. 

**

EID balik lambat lagi. Aku dah malas nak curiga.  Dah kalau betul dia tak suka aku gemuk pun, biarlah.  Kalau betul dia tak nak aku dah, biarlah dia pulangkan aku semula pada mama.  Tapi, dia pun tak kata apa.  Cumanya, aku masih terasa dengan kata-kata dia tempoh hari?  Pertanyaan dia pada Sharmila tu ha… 
“Lewat dah ni?  Dah makan?” 
Dia angguk.  Seperti biasa, gelas air yang aku hulur dia sambut dan diteguknya separuh gelas.  Mata Eid naik memandang aku. 
“Kenapa berpeluh malam-malam ni?  Sayang demam ke?” 
Dia bangkit dan cuba menyentuh dahi aku tapi aku mengelak.  Cepat-cepat aku seka peluh sendiri dengan belakang tangan. 
“Abang nampak sayang susut sikit sehari dua ni?  Tak sihat ke?  Ke sedih pasal hari tu lagi?  Janganlah…”  Dia risau sendiri.
“Sayang macam ni, buat abang rasa salah.  Kan abang dah minta maaf.  Itu semua salah faham.  Abang risau sayang jatuh sakit kalau terus macam ni.  Dahlah abang tengah busy sekarang.”
Ya, harus aku akui.  Sejak dia masuk balik bekerja di hospital kerajaan, memang lain macam sibuk dia.  Itu tugas dia dan aku mengerti.  Apa yang aku tak mengerti sekarang, apa masalah Sharmila tu dengan aku dan Eid sendiri? 
“Ayong okey je.  Kalau abang dah makan, naiklah mandi.”  Aku berpaling hendak ke dapur tapi Eid sambar tangan aku.
Bila aku kalih, dia senyum lembut. 
“Abang kacak tak?” 
Aku jongket bahu.  “Gamaknya.”  Mudah aku jawab.  Tiba-tiba tanya soalan di luar kawasan ni.  Siapa nak jawab?
“Boleh nampak tak wajah abang ni wajah rindu isteri?”  tanya dia pelik
Aku angkat kening.  “Tu wajah penat.  Sila naik tidur.  Esok kerja lagi.” 
Eid mengeluh tapi tangan aku tetap tak lepas daripada genggaman dia.  Mata kami beradu seketika.  Dia tilik tubuh aku daripada atas ke bawah dan begitulah sebaliknya.
“Sayang tak sihat ni,” komen dia.
“Sihat je lah…” 
Dahi Eid berkerut.  “Ke demam sebab keluar dengan mama panas-panas siang tadi?”  tanya dia runsing.
Aku geleng.  “Keluar dengan kereta.  Masuk mall, langsung tak kena matahari.  Kenapa?  Dah nampak hitam ke apa?  Hai… dahlah gemuk, hitam pulak.  Memang tak ada orang pandanglah nanti…” 
Aku tahan hati bila tiba-tiba Eid bersuara tentang aku keluar dengan ma dan dia tak tahu aku terserempak dengan Sharmila. 
“Dahlah… pergilah naik mandi.  Lewat dah ni.  Kalau dah makan, tak apalah.  Mesti selera makan dengan Mila, kan?”  Kening aku naik bertanya dalam senyuman.
Dahi Eid berkerut tiba-tiba.  “Sayang jumpa dia ke?” 
Aku angguk. 
“Bila?” 
“Dekat mall.” 
Eid mengeluh.  “Dia cakap apa dekat Ayong?”  Nada suara dia berubah satu oktaf.  Panggilan juga dah lain.  Memberi makna, mood dia tengah swing sikit.
“Tak ada apa.  Dia cakap dia selalu teman abang makan.  Itu je.  Padanlah tiap kali abang balik rumah kenyang.  Tapi tak apa, janji abang makan.  Jangan tak makan sudah.”  Aku menyindir pedas dan terus berlalu ke dapur. 
Letak je cawan, aku terus keluar semula dan kaki memanjat anak tangga.  Masa ni Eid dah ada dalam bilik.  Bertuala je.
Dia senyum.  “Tak rindu abang ke?”  Dia tayang body.
Aku kerutkan kening dan mencemek.  “Abang makin putih la…” puji aku menyindir.
“Tergoda tak?”  Dia ketawa kecil. 
Lama aku renung tubuh dia yang terdedah tu.  Lambat-lambat aku menggeleng. 
“Tak…” 
Terus aku berlalu ke almari mencari pakaian tidur milik Eid. 
“Sayang…”  Aku dengar lagi Eid mengeluh nama aku dengan nada yang berat.

**

DAH beberapa bulan berlalu.  Serius aku letih dah.  Aku rasa badan aku susut benar.  Rasanya baju daripada saiz L dan ada sesetengah tu saiz XL dah kena tukar ke saiz M.  banyak betul perkara yang aku nak kena fikir. 
Tapi, aku dengan Eid macam tu jugak.  Ada masa dingin dan ada waktunya, kaku.  Tapi, tanggungjawab pada dia tetap aku jalankan seperti biasa.  Tak terabai sikit pun.
Hari ni, mama tak boleh teman.  Aku sendiri je nak pergi rumah mak Eid.  Dah lama tak balik.  Anak lelaki dia busy, tak kan menantu dia yang free goyang kaki ni tak nak menziarah orang tua.  Dah la mak dia tu duduk sorang. 
Turun saja daripada teksi, kening aku berkerut bila mata aku ternampak susuk tubuh Mila di depan rumah mak Eid.  Bersalaman dengan mak mertua aku tu dan mak mertua aku pun kemain, senyum sampai ke atas kepala.  Dah jadi senyuman 360 darjah. 
Kepala aku tergeleng sendiri.  Usai membayar tambang, aku terus melangkah tenang dengan sikit buah tangan yang aku jinjit.
“Assalamualaikum…” 
Mereka berpaling serentak tapi hanya mak mertua aku yang menjawab salam.  Mila senyum sinis.  Dia pegang tangan mak mertua aku dan buat-buat overdose mesra. 
“Eh, tak cakap pun nak balik?  Kebetulan ni haa… kawan Eid, Mila datang.  Ayong kenal, kan?” 
Aku angguk.  Dalam hati senyum sinis.  Berbeza ayat yang mak mertua aku tuturkan.  Sangat berbeza biarpun nampak sama. 
“Tak rancang, mak…”  Aku dah lepasi pagar. 
Tangan mak mertua aku tu dah lepas daripada tangan Sharmila.  Terus aku tunduk bersalaman.  Dahi aku mencari mangsa bibir mak Eid.  Mila hanya senyum sinis. 
“Lagipun dah lama tak balik jenguk mak.  Eid busy je manjang…” 
Mak angguk.  “Itulah Mila datang ni bawa buah tangan.  Katanya Eid kirim.  Tak tahu pulak Ayong datang.  Kenapa dia tak kirim dekat Ayong je?”  tanya mak dengan muka pelik.
“Err…”
“Oh, Eid beli barang tu dengan saya beberapa hari lepas, mak cik.  Masa kami bertugas sama-sama.  Itu dia terus minta saya hantar sebab dia memang tak sempat sekarang.” 
Tak sempat aku nak jawab, Sharmila dan mencelah.  Ayat yang saja menduga hati aku.  Aku pandang dia tak percaya.  Apa jenis makhluklah macam ni.  Letih hati aku nak pandang dia.
“Ermm… budak ni pun.  Mujur ada menantu yang baik macam Ayong dan kawan baik macam Mila ni.”  Mak mertua aku memuji aku dan Mila sebelum dia berlalu masuk ke dalam bila dia meminta diri, meninggalkan aku berbual dengan Sharmila.
Aku senyum sinis bila susuk tubuh mak mertua aku dah menghilang dari balik pintu.  Wajah Mila yang ada di luar pagar aku pandang.
“Kita sama tapi tak serupa…” ujar aku separuh berbisik.
Dia sinis.  “Yeah… kita sama-sama perempuan tapi tak serupa bila you gedempol!” 
Aku ketap bibir.  Geram toksah nak cakap tapi tak apa.  Sabar… sabar dan sabar.  Itu pesan mama. 
“Betullah tu.  Tapi, fikizal boleh berubah, kan?  Tapi hakikat sekarang ni, ada dua perkara dah yang mak Eid sebut tadi.  Beza you dengan I…”
Uiks… sejak bila aku ber I ber you ni dengan orang?  Gasaklah.  Biar nampak ekslusif sikit.  Bukan aku tak tahu English.  Cuma malas nak cakap.  Bahasa jiwa bangsa apa.
“… you ke sini dengan istilah ‘datang’!”  tekan aku. 
Wajah Mila dah berubah.
“I ke sini dengan istilah ‘balik’!” 
Kening tipis Mila berkerut. 
“Satu lagi… Eid ada you sebagai K.A.W.A.N dan dia ada I sebagai I.S.T.E.R.I,” tekan aku cuba highlightkan betapa besar beza kawan dan isteri tu.
“So, isteri boleh jadi kawan tapi kawan… belum tentu boleh jadi isteri dan I rasa kalau you, memang tak pun…” sindir aku pedas.
Lepas geram seketika.  Sungguhlah, wajah Mila berubah merah.
“Eh, I cintakan Eid dulu sejak daripada zaman kami study lagi…”  Perangkap samar aku mengena. 
Seperti yang aku syak daripada dulu, dia memang sukakan Eid.  Bidikan aku tepat.  Aku simpulkan senyum. 
“Tapi, dia pilih I dulu.”  Saja aku nak panaskan cuping telinga Sharmila.
“Dia akan pilih I sebab kami saling memahami…”
“Tapi I pemilik hati dia.  I lebih faham dia daripada you.”
Sharmila merengus.  “You sendiri dengar, kan?  Kalau dia lepaskan you, dia tanya I dia nak I gantikan tempat you ke?”  Dia berucap tegas.  Macam ahli politik sedang berkempen. 
Tapi aku tak kalah jugak.  Memang betullah gamaknya Eid tak salah tapi aku tetap tak tahu apa lagi yang diorang bualkan lepas aku blah dari bilik Eid dulu tu.
“So, you jawab apa?”  soal aku tenang. 
Mila senyum.  “I say yes.  Kenapa?  Marah?” 
Aku mencebirkan bibir.  “Tak marah pun malah I suka kalau itu yang bahagiakan Eid.” 
Memang aku tenang.  Tenang sebab dah bosan bila tiap kali jumpa Mila, dia dok sindir aku.  Sekarang dah pandai cakap barang tu Eid kirim untuk mak mertua aku melalui dia?  Padahal yang kain telekung yang aku bagi mak mertua aku tadi, aku dan Eid beli sama-sama beberapa hari sudah.
“Lepas tu dia ada pinang you tak?”  bidas aku.
Mila ketap bibir.  “Ya, ada.  Kenapa?” 
Masa ni tiba-tiba mata aku tertangkap akan susuk tubuh seseorang yang sedang menapak pada kami berdua.  Aku senyum dan kening makhluk yang sedang berdiri tegak di belakang Sharmila tu berkerut hebat.
“Oh, dia pinang you?  So, bila I nak kena sign borang poligami ni?”  provok aku lagi.
Wajah Eid di belakang dah lain macam.  Rahang dia dah turun naik.  Aku tahu dia tengah tahan marah.
“Soon… so soon…” jawab Sharmila yakin.
Aku berpeluk tubuh dan diam seketika.  Sesekali mata aku berlaga dengan mata Eid dan aku melarikan pandangan.  Sedih juga hingga tahap ni dia tipu aku.  Tak cakap dekat aku yang memang Sharmila ni sukakan dia sejak daripada dulu.  Lepas tu boleh pulak dia pergi berkawan, minta tolong dan lepak dengan perempuan yang suka dia?  Kalau tak buat hal tak apa, ini dah bikin kecoh. 
“Sekarang pun boleh…” Eid dah bersuara.  Wajah Mila berubah bila dia dengar suara Eid.  Terus dia berpaling.
“Err… kau?”  tanya dia.
Eid angguk dan menepuk pintu pagar kuat.  “Ya, aku.  Ini ke kerja kau tipu aku selama ni?  Datang rumah mak aku, kacau isteri aku?  Sekarang pun boleh aku sign borang tu kalau kau nak, tapi borang pengesahan yang kau ni perlukan rawatan khas.  Terapi jiwa!”  marah Eid.
Dia renung Mila macam nak tembus. 
“Kau kenapa, hah?”  sergah Eid lagi.
Mila nampak menggigil.  Tubir mata dia nampak basah.  “A…ku… a...ku su…sukakan kau.” 
“As friend yes.  Lebih daripada tu aku dah cakap, aku tak ada perasaan dekat kau, kan?  Kau pun tahu tapi ini kerja kau kenakan aku dengan Ayong eh?  Bukan ke hari kejadian tu aku dah cakap… kalau kau nak jadi pengganti Ayong yang kau cakap gemuk ni…”  Eid kalih pada aku.
Mata dia bulat dan dan kening dia berkerut merenung aku.  Nampak dia nak bersuara tapi dia berpaling semula pada Mila.
“… kalau kau nak jadi pengganti pada isteri aku yang kau cakap gemuk ni, kau silaplah.  Sebab dia berisi macam tu lah, baru aku pilih.  Sedap peluk.  Tak berlaga tulang aku dengan tulang dia.  Ini peluk sikit dah keletung keletang bunyi tulang accident.  Lagipun, hati dia cantik lebih cantik dan terbentuk indah daripada kau, tahu tak?”  marah Eid tak bertapis.
Okey, gamaknya itulah ayat Eid yang bersambung yang aku tak tahu tempoh hari.  Padanlah Sharmila dok attack emosi aku pulak.  Dahlah emosi aku kurang menentu lately. 
Airmata Sharmila dah menitis.  “Kau sanggup marah aku yang dah jadi kawan kau bertahun-tahun ni, kan?” 
“Sebab kau yang buat aku marah kau!”  selar Eid.  “Dan sepatutnya kita dah kawan lamalah kau faham perasaan aku, hormat isteri aku.  Ini apa kau dah buat?”
Kaki aku menapak dekat pada pagar.  “Ayong masuk rumah dulu.  Abang nak sembang dengan Miss Universe ni silakan.  Nanti masuk minum petang,” ujar aku dan terus aku menapak masuk.
Tubuh aku letih sangat.  Rasa nak tumbang dah.  Telinga pun penat nak layan skrip drama tak ada pengarah ni. 

**

MALAM ni kami bermalam di rumah mak Eid.  Dia letih nak balik katanya.  Siang tadi balik pun naik teksi sebab tak larat nak memandu.  Dia memang terus tuju ke rumah mak dia sebab awal-awal memang aku cakap nak melawat mak dia. 
Lepas Isyak tadi, aku terus rebahkan badan.  Rasa tak sihat sungguh.  rasanya tekanan darah aku mencanak naik ni.  Semuanya sebab Sharmila dan juga… dia.  Encik Doktor Eid. 
“Mak ajak makan.”
Tiba-tiba ada yang menegur.  Aku buka mata sikit dan memandang Eid yang sedang duduk di birai katil dengan dengan lutut aku.
“Dah kenyang tengok drama abang petang tadi.”  Aku rasa jauh hati tiba-tiba. 
Dia senyum.  “Drama sebabak.  Buat haper.  Bukan best pun.”  Bibir dia menceber.
“Tak best tapi bolehlah.  Macam-macam ada.” 
Dia gelak bila aku kata macam tu.  “Sayang ni tengah buat iklan Astro lah pulak”
Mata aku terjegil memberi amaran.  Masa aku serius, jangan nak buat perangai.  Sekali aku lesing, berkecai keting dia baru dia tahu.
“Ayong letih ni… karang aku lipat abang baru tahu…” 
Eid mencemik.  “Nak lipat abang konon, yang sayang ni abang nampak makin susut ni kenapa?  Risau abang.  Sayang sakit ni.”  Dia jamah dahi aku kemudiannya menggeleng.
“Nak kata demam nak serasi pun, rasanya dah lama serasi.”  Dia sengih.  Mengungkit kembali nostalgia malam perkahwinan kami dan pertemuan lama kami dulu.
Aku menjeling tajam.  “Ayong sakit hati dengan perangai abang dengan Sharmila tu.  Kenapa abang tak cakap pada Ayong yang dia suka abang?” 
Dahi Eid berlapis-lapis dah.  “Buat apa nak cakap sebab dia je suka abang?  Lainlah kalau abang pun suka dia, memang abang cakaplah nak minta izin nikah sorang lagi.  Ini tak ada rasa, buat apa nak cakap.  Membazir air liur abang jelah…”  Dia juihkan bibir dan memandang ke depan.  Wajah merajuk. 
Aku luruskan kaki.  Tangan mendarat pada perut.  “Habis tu sampai makan malam sama, teman supper la, itulah, inilah…” 
“Oh, itu salah eh.  Semua tu poyo.  Abang bertugas tempat lain, dia bertugas dekat wad eh.  Abang dekat kecemasan.  Dengan doktor pelatih lain dan senior lain.  Bukan dia.  Hari sayang cakap jumpa dia dekat mall tu, kan… mana ada doktor on call boleh pergi mall bagai.  Sayang ni, logiklah sikit…”  Eid menggeleng tak puas hati.
Buat aku memikir.  Eh, betul jugak tu.  “Hari-hari lain?” 
“Dah lama abang tak bertugas dengan dia eh… sorry sikit.”  Dia menjawab dengan nada hangin satu badan. 
“Kenapa tak cakap?”  Aku menyoal tak sabar.
Dia jeling aku dan menyiku aku sikit.  “Nak cakap apa?  Ayong tu suka berkurung dalam bilik bawah tu, kenapa?  Siap kunci bagai.  Dah tu suka seksi-seksi tayang body, lepas tu buat abang mengeluh sendiri.  Menderita batin abang tahu tak?” 
Dia panggil aku Ayong.  Merajuklah tu.
Aku rasa nak ketawa.  Aku salah faham pada mulanya.  Dia pun sama.  Tentang bilik tu, aku teringat bila satu malam tu dia balik.  Aku tak dengar langsung kereta dia.  Ralit sangat duduk menunggang kuda besi tu. 
Sekali aku dengar orang bagi salam, aku terus keluar dan kebetulan Eid lalu depan pintu bilik hendak ke dapur.  Cepat-cepat aku tarik pintu dan menguncinya.  Bila dia tanya, aku buat tak tahu je.  Terus aku naik ke atas, menyeka peluh di dahi. 
“Sayang buat apa dalam bilik tu?” 
“Bersenam…”  Selamba aku menjawab. 
Eid jatuh rahang.  Dia kalih pada aku dan mengangkat sebelah kaki dia naik ke katil.  Aku pula angkat tubuh dan mengesot sikit bersandar pada kepala katil.
“Kenapa?  Tak percaya?”  Aku menyoal bila nampak dia pandang aku lain macam je. 
“Patutlah…”  Jari telunjuk dia lurus pada sekujur tubuh aku. 
“Dah susut.”  Bibir dia pecah dengan senyuman. Dia cuba nak peluk aku tapi aku menolak. 
“Ayong penat ni.  Rasa macam dehydrate pun ada ni haa…” 
Eid senyum.  “Nak abang rawat tak?”  Dia sengih.
Aku jongket kening dan angguk.  Rasa lapang dada setelah semuanya selesai.  Kes nya simple je tapi sebab rasa rendah diri aku ni buat aku jauh hati.  Yalah, diri serba kekurangan.  Hamba ni insan yang marhaen.  Manalah boleh digandingkan dengan putera perasan ni. 
“Dah tak marah?” tanya Eid.
Aku geleng.  “Kalau awal-awal tahu…”
“Itulah…”  Dia menyampuk pantas.  Dengan wajah bangga mengejek.
“… kalau dengar penjelasan abang, tak adalah rugi untuk satu jangka masa lama ni.  kan seronok, lepas bersenam abang spa kan sayang.  Ini tidak, suka merajuk.” 
Eleh, ke situ pulak dia?  “Habis tu kalau tak buat macam tu, tak adanya nak tahu kisah kawan baik abang tu sebenarnya, kan?” 
Dia sengih dan mengangguk.  “Abang nak cakap tapi tak ada kaitan.  Malas nak buat-buat ada kaitan.  Baik kita cakap pasal kita.” 
Hati aku mengiyakan.  Betul jugak tu.  Rasanya biarlah kisah Sharmila tu pergi macam tu.  Janji aku tahu kuatnya cinta Eid pada aku. 
“Ayong minta maaf…” 
Dia angguk.  “Abang maafkan.  Lain kali nak buat lagi tak?” 
Aku geleng.  “Kalau abang tak mengada-ngada lagi.” 
“Haa… ni nak mengada-ngadalah ni.  Abang dah tak lapar dah.  Nampak sayang pun dah nampak macam…”  Suara dia mati.
Dia pandang aku lagi.  Sekejap je dia peluk aku tapi dia lepaskan semula membuatkan  dahi aku berkerut.  Kenapa pulak dia ni? 
“Abang rasa berlaga tulanglah.  Sakit…”  Wajah dia menyeringai. 
“Apa pulaknya macam tu?” 
“Sungguh.  Kenapa sayang kurus sikit dari dulu?  Abang tak suka.  Abang suka sayang yang macam gula-gula kapas tu.  Kembang dan gebu.”  Komen Eid.
Wajah dia serius.
“Tak sayanglah tu…” 
Aku nak merajuk tapi Eid ketawa.  “Eh, mana ada tak sayang.  Cumanya, lain kali tak payah susah-susah nak kuruskan badan.  Janji sayang sihat tak sakit… abang dah okey.  Lagipun macam peluk orang lain je sekarang ni.  satu lagi, pakaian mesti banyak kena tukar, kan?  Aduh… lepas tu mesti sayang kurang makan.  Balik rumah mama mesti mama cakap abang tak bagi sayang cukup makan.  Macam mana?”  tanya dia risau.
Kali ini aku pula ledakkan tawa.  Tak ada kerja ke fikir macam tu. 
“Abang ni.  Ini mama yang tolong.  Mama hadiahkan alat senaman tu.  Ayong top-up sikit.  Mama bagi petua dan resepi tradisional untuk turunkan sikit berat badan.  Abang ni, risau sangat.” 
Lama-lama Eid menyeringai dengan sengih.  Tubuh aku diraih sekali lagi.  Kali ini lebih kejap. 
“Dulu tak muat satu pelukan, sekarang ni dah berlebih sikit,” bisik dia.
Aku ketawa halus tapi tak lama bila aku rasakan peluh kecil mula merenik semula pada dahi.  Rasa seram sejuk tu kembali lagi. Aku tolak bahu Eid dan wajah dia jelas kecewa. 
“Abang rindu ni!”  tekan dia.
Aku angguk.  “Tahu-tahu… tapi Ayong rasa macam nak demamlah…” 
Pantas, telapan tangan Eid naik ke dahi aku.  Dia senyum kemudiannya.  Lepas tu dia bersuara.  “Demam nak makin serasi kot?” 
Aku menggeleng menafikan.  “Demam nak serasi ada isi dalam perut.”  Jawab aku lembut bersama senyuman tipis.
Wajah Eid kaku.  “Berapa bulan?”  tanya dia dengan riak tak gembira.
Aku angkat tiga batang jari.  “Tiga minggu.  Sebab tu buat senaman sikit dan makan ikut yang baik untuk kesihatan.  Tak sangka boleh susut tapi serius, Ayong sihat je.  Baby pun sihat.  Sekarang dah berhenti bersenam.  Baby tak kuat lagi.  Tapi, mama cakap Ayong ada possibility nak kembang balik sikit masa lagi.  Masa tu abang tak mungkir terma dan syarat, kan?”  tanya aku risau. 
Yalah, memang susut  tapi nanti mesti kembang balik.
Lambat-lambat Eid sengih.  “Memang cinta abang pada sayang tanpa terma dan syarat sejak dulu lagi.”  Eid menjerit dan terus dia peluk aku erat.  Tak ada seinci pun ruang wajah aku yang tak menerima kucupan dia. 
“Lagipun, sayang adalah satu-satunya perempuan yang abang panggil sayang, kan?”  Kening dia naik tinggi dan aku mengangguk membalas pelukan dia.

**

“SAYANG!” 
Aku tersentak.  Terus kalih ke belakang.  Nampak wajah muram Eid sedang merungkai lemah tali leher dia. 
Aku senyum dan terus menghulur tangan.  Tak larat nak bangun dah dengan perut bulat ni. 
“Dah lama sampai?” 
Dia senyum sinis.  “Dekat nak pergi kerja semula dah.”  Sarkastik jawapan dia.
Aku angguk dan menarik dia duduk di sebelah aku.  Lepas mak dia dapat tahu aku mengandung, terus dipaksanya kami balik dok rumah ni.  Nak-nak lepas tahu kes Eid dah tak bertegur sapa dengan Sharmila tu.  Risau dia.  Kata Eid Mila dah minta tukar ke hospital lain.  Mana pun tak tahu.  Seperti kata Eid, tak ada kaitan jangan nak ambil tahu.
Aku bantai gelak.  “Sorrylah… tak sedar abang sampai.” 
Dia bersandar pada dinding dengan mata ditala pada kebun cili dia. 
“Sihat hari ni?” 
Aku angguk. 
“Seronok?”
“Dua ronok,” jawab aku mengenakan dia.
Eid kalih dan cubit pipi aku.  Dia senyum kemudiannya sebelum menyoal.
“Abang kacak tak hari ni?”
Aku angguk.  “Tiap-tiap hari abang kacak.” 
“Emm.., abang pun nampak sayang makin gebu.  Tapi, tak apa sebab sayang satu-satunya perempuan yang abang panggil sayang, kan?” 
Tersengih aku dibuatnya.  Tangan dia memaut bahu aku. 
“Jom masuk.  Nak minta bukti sayang rasa abang kacak.”  Dia sengih jahat.
Aku kerutkan kening.  “Orang kacak tak percaya diri sendiri kacak?  Pelik…” 
Dia bangkit dan memegang tangan aku. 
“Orang kacak biasanya tak rasa diri dia kacak.  Macam abanglah.  Hakikat memang kacak tapi dah sayang cakap abang kacak, kira betullah tu.” 
“Perasan,” cemik aku.
Eid ketawa.  “Abang sejak azali lagi kawan baik dengan Mat Perasan tu.  Tak boleh nak dipisahkan.” 
Kali ini aku juga turut senyum.  Lega.  Dah hampir setahun kini setelah kes lama tu.  Kejadian yang buatkan aku percaya, di sebalik kekurangan pada setiap hamba-hambaNya,  Allah tetap berikan kelebihan.  Kurangnya aku pada rupa tapi lebihnya aku bila menerima suami yang sebegini tulus pekertinya. 
Aku renung wajah Eid.  Lalu aku jingkitkan kaki menyapa bibir dia seketika.  Wajah Eid kejung.  Tak menyangka aku boleh buat macam tu.
“Mungkin lepas ni Ayong tak jadi macam mula-mula pregnant dulu tau.  Boleh jadi kembali ke asal atau lebih kembang…” 
Eid angguk.  “Janji sihat.  Abang tak kisah.” 
“Mungkin abang kena ejek tau…”
“Tak apa… Allah dah jadikan sayang sempurna dah.  Sesuai dah dengan kekacakan abang ni…”
Hadoi… puji diri sendiri lagi.  Aku tepuk dahi dan menggeleng.
“Abang ni kan…”
“Ya, suami sayang yang kacak.”  Sambung Eid dan kami sama-sama ketawa.
“Kita nak kena serasi lagilah, yang…” bisik Eid masa kami nak masuk ke rumah.
“Tak cukup serasi lagi ke?” 
Dia sengih.  “Dah serasi… tapi bagi lagi serasi,” balas dia penuh makna. 
Ini kisah kami.  Kisah antara aku yang dia panggil Cik Siti Wan Kembang pada asalnya dan dia adalah doktor paling perasaan pernah aku jumpa.  Tapi katanya, saat aku marah usah dia tambah bara lagi dan aku juga sama, saat dia lelah, jangan ditambah beban pada bahunya yang sudah hampir rebeh.  Kerana itulah gurauan itu kekal dalam hubungan kami.  Demi satu kisah yang akan terus kami serasikan hingga ke hujung usia. 


TAMAT


 RM kata :  Wohooo.. lama amat saya tak buat cerpen.  Sangat lama sedangkan dulu bermula dari menulis cerpen je.  Skill amat2 tumpul.  Filter saya cakap pon kurang kick.  Tapi, apakan daya, buat masa ini setakat inilah kemampuan saya menulis cerpen.  For those yang nak baca kisah ini, boleh imbau balik kisah diorang ni dalam cerpen tajuk Cik Siti Wan Kembang.  hehh... then baca ni.  Maaf atas kekurangan.  Enjoys... 

26 comments:

  1. best! errr tp nmpk mcm x kena plak ayt campak salam dlm longkang tu

    ReplyDelete
  2. dah lama tunggu cerpen...fuyoo , skill semakin mantap...hehe , btw , mmg superb :)

    ReplyDelete
  3. cerita yg sungguh vogue rehan..congrats

    ReplyDelete
  4. mila suka eid?kata dulu xsuka...ciskek tul kwn mcm tu..nasib baik ayong sabar

    ReplyDelete
  5. ni yang buat ai sayangkan kak rehan ni..rindu gilos nak baca cerpen kak rehan!keep it up,akak!!

    ReplyDelete
  6. nak cerpen lagi..akak seriously saya rindu gila dengan cerpen2 akak.

    ReplyDelete
  7. Wah..x pnah bc cerpen RM. .tp best je...

    ReplyDelete
  8. Salam, Kak Rehan... Mane ade tumpul... Best sgt2 kut cite ni, saye rase seronok je bace... Smooth je flownye. Semua elemen sedang2 je, tak terlebih romantik, tak terlebih poyo, same mcm realiti kebanyakkan kite. Best2. Buat lagi selalu ye kak, syok je bace habis sekali khatam. Tunggu novel ni kdg2 menguji kesabaran sgt, ndak2 bile akk announce tetibe kate nak terbitkan... Wuuaaahhh T_____T

    ReplyDelete
  9. kak rehan, ok je cerpen nie.. EHEEHHE..tak ada lah tumpul pun.. hek3..best2..keep it up (^_^)

    ReplyDelete
  10. Best cerpen nie...pepagi da skodeng blog ijau..gud job RM (⊙o⊙)

    ReplyDelete
  11. Best cerpen nie...pepagi da skodeng blog ijau..gud job RM (⊙o⊙)

    ReplyDelete
  12. Kak Rehan ManTOP !

    ReplyDelete
  13. Wah....best cerpen ni. 5 stars untuk Rehan.

    ReplyDelete
  14. Best cerpen ni..tahniah..tak nak kembangkan jadi novel ka?

    ReplyDelete
  15. Lain dr yg lain...terrrrrsangattttt le best...tahniat....♡♡♡♡♡

    ReplyDelete
  16. best cam biasa..sonok dpt cik suami yg xheran ngan bentuk bajet2 model nih..heh..

    ReplyDelete
  17. dua rius.. dua ronok... apa-apa pun dr RM, mmg best!..

    ReplyDelete
  18. Cerpen biasa tapi tetap meletop....
    ... x semua orang suka isteri yang kurus... selera lain-lain...hehehe

    ReplyDelete
  19. Best... Dah lama x dak cerpen baru .... Terubat rindu ni ......

    ReplyDelete
  20. peargh..rindu giler kat cerpen karehan..akhirnya ada jugak. still mcam dulu sampai x mo jumpa wprd TAMAT.lalalaaa

    >>k<<

    ReplyDelete
  21. Amazing story..sentap jiwa den ni hah..

    ReplyDelete
  22. Assamualaikum ka kalau boleh syer nk tnya pe gebar tuh.......^_^

    ReplyDelete
  23. oh tidak jangan panggil ku sayang

    Jom kita makan Minyak Ikan

    ReplyDelete
  24. Best..lbh2 lg ayat berkecai keting tu..serious lawak giler..2 ronokk...

    ReplyDelete