Friday, September 05, 2014

Mamat Shell Jalan Ipoh

Cp. 1

MATA tak lepas pandang jam di pergelangan tangan.  Aku dah cuba.  Memang dah cuba sedaya-upaya.  Tidur awal dengan harapan terjaga awal tapi harapan menjadi layu sungguhlah.  Ini kira tak boleh solat, aku mandi  kerbau aje pun.  Kerbau pun tak mandi macam aku.  Siap ala kadar, tempek make-up dekat traffic light, dan akhirnya aku perasan minyak kereta dah nazak.  Boleh bayang tak aku punya kalut? 

Serius.  Hidup aku tunggang-langgang sehari dua ni bahana seorang teman serumah yang tak boleh dibuat kawan.  Dah pesan, kejut aku kalau aku terlajak lena.  Tapi, dia menonong bangun sendiri dan kejut aku bila dia dah sedia nak pergi. 
Tangan tak duduk diam.  Daripada tadi menggendang stereng.  Suara DJ Yatie dan DJ Pyan daripada siaran radio IKIM.Fm pun tak dapat menenangkan jiwa.  Pagi ni ada meeting dengan bos.  Mana boleh lambat.  Bos dah pesan berbuih mulut semalam bila aku dilepaskan balik jam 9.00 malam.   
Ya Allah... aku raup muka.  Lama sungguh aku rasa traffic light ni. Sebaik saja lampu bertukar hijau, aku terus tekan minyak.  Nak melepasi lampu isyarat yang selang 30 saat pasti ada ni, menangis jugak rasanya.  Masuk saja Jalan Ipoh, aku terus menekan minyak dan dalam 200 meter, signal kiri dinyalakan. 
Aku pusing stereng masuk ke stesen minyak.  Baru aje aku keluar daripada kereta, seorang lelaki mendekati. 
“Assalamualaikum...”  sapa dia. 
“Waalaikummusalam...”  Aku tak sempat nak senyum masa ni.  Bukan kedekut tapi aku lupa untuk senyum bila diri sedang berlumba dengan masa.  “Dua puluh, ya.”  Aku suakan dua keping not RM10 dan juga kad Bonuslink. 
“Dua puluh je?”  tanya dia tak percaya.  Yalah, zaman sekarang ni Rm20 tu untuk motor jelah kot. 
“Cukuplah tu.  Saya nak cepat...”  Tapi aku, angguk juga.  Itu paling selamat dan cepat.  Setidak-tidaknya sampai esok pagi, jadilah. 
Dia senyum dan berlalu ke pam.  Aku buka pintu tangki.  Setengah minit kemudian, dia angkat nozzle.  Dihulur pada aku. 
“Err, boleh tolong?  Saya...”  Aku tayang lipstick Bodyshop pada dia. 
Kening hitam pekat dia berkerut.  Tapi, dia tak berkata apa.  Ikutkan saja.  Seminit saja, dah cukup RM20.  Aku capai kad Bonuslink dan terus masuk ke dalam kereta.  Dan berlalu pergi.  Tadi lupa nak senyum dan sekarang, aku lupa nak ucap terima kasih. 
Aku pandang rear-mirror dan mamat Shell tu masih pandang aku.  Boleh jadi dia rasa aku bukan perempuan baik gamaknya.  Dah minta tolong, lepas tu tak ucap terima kasih.  Masuk saja ke jalan utama, bayangan mamat Shell hilang.  Dan aku, rasa bersalah sendiri. 


Cp. 2

HARI ni, June tumpang aku pergi kerja.  Disebabkan kawan dan kenal dah lama, aku tak kisah biarpun dia suka kenakan aku.  Tapi, nak kenakan orang balik bukan akulah.  Nanti, tak ada beza aku dengan June. 
Seperti aku jangka, minyak kereta dua puluh ringgit semalam memang cukup untuk aku pergi balik aje dalam keadaan jalan yang teramat sesak semalam.  Hari ni, keluar lebih awal sebab nak set dalam kepala nak kena pam petrol. 
Aku minta June ke kaunter sementara aku menanti di pam.  Tapi, June menolak.  Alasannya, dia sakit perut dan pantas berlalu ke tandas.  Aku menggeleng.  Nak marah tapi aku tahan jelah.  Semua pam ada kereta.  Memang sibuk hari ni. Tak macam semalam. 
Mata melingas ke sekeliling stesen Shell.  Mencari pekerja yang biasanya akan bantu kita buat bayaran di pam.  Tapi, seorang pun tak ada.  Nak tak nak, aku berjalan ke kaunter dan beratur untuk hampir seminit. 
Bila aku kembali, seorang lelaki sedang memegang nozzle dan mengisi minyak kereta yang dah aku bayar.  Semakin aku dekati, aku ukir senyuman bersalah. 
“Hari ni tak lewat?”  tanya dia senada.
Aku sengih.  “Mana tahu saya lewat semalam?” 
“Sampai make-up tengah jalan, mesti dah lewat tu...”  Wajahnya langsung tak diangkat. 
Erm... betullah tu.  Memang lambat.  “Eh, awak.  Semalam tu kan lupa nak ucap terima kasih tolong saya isi minyak...” 
Kali ini barulah dia angkat muka.  “Sama-sama.”  Ringkas jawapannya.  Dan, dia sangat kacak untuk seorang pekerja stesen minyak Shell. 
Kami sama-sama diam.  Aku nampak tangan dia pegang plastik sampah. “Awak ada kerja lain, sini nozzle tu saya pegang sendiri...” 
Dia kerling aku dan plastik sampah di tangannya.  “Tak apa.  Yang ni lock dia rosak ni. Biar saya pegang.  Lagipun, saya ni multi-tasking...”  Aku nampak bibir dia tersengih. 
“Oh, okey...”  Aku hilang kata.  Diam saja menanti petrol Ron95 berjumlah RM75 masuk ke dalam tangki kereta. 
“Ngorat mamat bangla nampak?”  Tak sedar bila June datang, dia tepuk bahu aku dan berbisik. 
Mamat Shell angkat wajah dan senyum pada kami berdua.  Aku siku June.  Bisik apa gitu gaya.  Dia boleh dengarlah.  Lagi satu, June ni nak kata rabun, tidak.  Aku yang rabun teruk ni pun tahu yang ini orang Malaysia.  Memanglah ada rupa orang Pakistan sikit tapi BM dia lancar. 
“Saya orang Malaysia tulen...” 
Aku ketap bibir.  Nak ketawakan June tapi tak jadi bila mamat shell dah letak nozzle dan menutup pintu tangki.  “Dah siap.  Terima kasih.  Datang lagi...”  Terus saja dia berlalu mengutip sampah dalam tong yang lain. 
Aku pandang dia lama.  Kacak.  Pada mata akulah.  Tak tahulah pada mata orang lain.  Macam June, dia cakap mamat Bangla tapi pada aku, dia sekadar mamat Shell. 
“Eh, cepatlah,” gesa June.  “Kau dok tenung mamat bangla tu dah  kenapa?” 
Aku sengih dan masuk ke dalam perut kereta.  “Kacak apa?”  Seraya itu aku hidupkan enjin.  
June tarik tali pinggang keledar.  “Kacak pun nampak tak kacak sebab kerja kat sini...”  June mencebek. 
Aku tahu dia maksudkan apa.  Yalah, tadi nampak mamat Shell tu angkat sampah, kan?  “Salah ke?  Tak salah, kan?  Dia kerja halal apa?  Bukan dia merompak?  Kau tu suka pandang rendah dekat orang, June.  Terkenan nanti, baru kau tahu…”  Sajalah aku kenakan June. 
Mentang-mentang dia arkitek.  Memang berlagak habis.  Aku tak kata semua arkitek macam tu tapi June ajelah yang aku kenal kerek sikit.  Entah bila nak berubah pun aku tak tahu. 
“Tak adalah nak terkenan aku dekat mamat tu tadi.  Diakuilah handsome tapi gitulah…”  June mencebek. 
Aku kerling dia sesaat sebelum menumpu ke jalan.  “Kau pun akui dia handsome.  Jadi, mata aku ni kira pandai jugaklah menilai.  Ya tak?”  Bukan apa, sebab June ni suka cakap mata aku rabun tahap teruk sampai tak ada taste langsung tengok lelaki.  Sebenarnya, setiap lelaki aku tengok sekilas aje sebab aku jenis sibuk orangnya. 
Tawa June terhambur.  “Ada taste bab rupa tu tapi bab kerjaya kau kena belajar lagi la…”  balas dia sambil mengelap juring mata yang basah bahana ketawa kuat sangat.  Memanglah June ni nak hati dia mati sebab suka sangat gelak kuat-kuat. 
Aku menggeleng.  Ikut suka kaulah, June.  Ya, aku tahu dia ada ramai peminat yang terdiri daripada pegawai belaka.  Aku?  Adalah sorang dua technian yang ngorat.  Itu dah okey tapi entah kenapa, hati tak terbuka lagi. 
Aku pandang rear-mirror.  Rasa ternampak mamat Shell dalam cermin.  Menghantar aku berlalu setiap kali aku singgah di stesen minyak itu. 
“Kau senyum kenapa?”
“Ingat dekat mamat Shell,” akui aku jujur.
June buat muka.  “Gila!  Tak padanlah dengan kau…” 
“Tak apa.  Aku padankan nanti…”  Aku hamburkan tawa.  June mencebek.  Makin lebar. 


Cp. 3

SEMINGGU dah berlalu.  Aku balik daripada out-station ke Sibu.  Melawat tapak projek dekat sana.  Itupun, lepas bos last-minutes minta aku gantikan dia.  Okey sebab dia bos dan dia baik, aku ikutkan saja sementara aku bujang ni. 
Pagi ini, seperti biasa singgah lagi di stesen minyak.  June pergi sendiri sebab dia perlu ke Dengkil.  Biasa pun dia pergi sendiri Cuma sesekali dia tumpang aku.  Hari ni kurang ramai pemandu yang berhenti.  Boleh jadi kerana dah hari Selasa.  Biasa hari Isnin yang penuh. 
Baru nak menapak ke kaunter, aku disapa salam.  Bila aku berpaling, dia tersengih.  Ya, dia yang aku tak tahu nama pun lagi.  Intai juga name-tag tapi tak ada.  Dia sengih.  Nampak ceria dalam baju T Shell warna kuning keorengan itu.  (Ada ke word keorengan?)
“Hai, awak…”  Aku melambai tangan pada dia biarpun dia ada depan mata. 
“Dua puluh?  Atau penuh?” 
“Penuh…” 
Dia senyum dan terus masukkan kad dalam pam. Angkat 75 ditekan kemudian dia angkat nozzle.  “Saya tolong…”
“Eh, tak payah.”  Aku menolak sopan.  Bukan apa, aku dah perasan ada dua tiga orang pekerja lagi dah pandang kami lain macam.  Mesti diorang dah mark muka dan kereta aku ni.  Serius.  Aku bukan ada share dalam bisnes ni sampai nak dilayan istimewa sangat.  “Awak pergilah buat kerja.  Nanti kawan-kawan awak cakap apa pulak…” 
Bibir dia koyak lagi dengan senyuman tanpa hiraukan larangan aku.  Dia buka penutup tangki dan masukkan muncung nozzle.  “Yang ini lock dia okey tapi saya saja nak sembang dengan awak…”  Amboih, jujur betul dia mengaku. 
Aku bersandar pada kereta.  Menyilang kedua belah tangan ke dada.  “Dah lama kerja sini?” 
“Baru lagi.  Tak lepas periksa, saya kerja sini…” 
“Eh, dulu belajar dekat mana?”  AKu mula menaruh minat.  
“Dekat err… adalah.  Tak naklah cerita sebab tak ada hasil.  Menghabiskan duit je bapak saya cakap.  Dia suruh saya cari kerja, senang bela diri sendiri…”  cerita dia.  “Yang awak dah seminggu tak nampak.  Biasa empat lima hari dah singgah sini balik…” 
Waaa, dia perasan ke aku tak ada?  Bangga sesaat.  Aku tegakkan dulu.  Meleraikan tangan.  Memandang wajah dia seketika.  “Saya out-station.  Biasalah kerja kuli macam saya ni…”
“Kita semua kuli, awak…”  Dia sengih pada hujung bibir.  Boleh jadi dia rasa rendah diri kot dengan kerja dia tapi pada aku, tak ada apalah.  Okey aje.  Ramailah yang kerja macam ni boleh aje hidup bahagia. 
“Betullah tu.  Tapi, kuli macam saya ni kena arah itu ini.  Terkejar ke sana-sini.  Letih, awak...”  Aku lepaskan lelah.  Semalam flight landing lewat.  Aku sampai rumah dah tengah malam.  Hari ni kerja lagi.  “…eh, saya ni kan sembang dengan awak tapi tak tahu nama…”  Tak apalah dah dia tak nak tanya nama aku, aku tanya nama dia dulu. 
“Kalau saya bagitahu nama, awak kena jadi kawan saya…”  Dia bagi syarat dengan wajah teruja.  Kesiannya dia, macam tak pernah ada kawan. 
Aku? Laju mengangguk.  Setuju sangat.  Selain dia hanyalah seorang mamat Shell, yang lain sempurna je pada aku.  Lantaklah June nak gelak ke apa. 
“Bai…”  
Aku kerut kening.  “Okey.  Saya panggil Bai…”  Nak tanya nama penuh sebenarnya tapi lidah aku kelu.  Cukuplah aku tahu nama dia Bai. 
“Janji kita kawan, tahu…”
“Ya…”  Risau sangat dia aku mungkir janji.  Dia ingat aku ni jenis senang ke nak hulur persahabatan.  Insan terpilih aje tahu. 
Minyak dah penuh diisi.  Bai letak nozzle pada pam.  “Dah boleh gerak.  Nanti lewat pulak sampai tempat kerja…” 
“Okey, saya gerak dulu, ya?”  Aku angkat tangan dan berlalu ke arah pintu pemandu.  Aku ukir senyum tapi tak dan nak masuk, Bai menahan. 
“Awak tak make-up dalam kereta lagi, kan Tika?” 
Aku ketap bibir.  Dia gelak dan terus melambai. 

Cp.  4

WETSEMENET (wait a minute).  Aku pandang June.  “Eh, dia tahu nama akulah, June…”  Serius aku teruja. 
June buat muka tak puas hati.  “Eh, kau ni dengan mamat shell pun kau boleh kiralah, Tika.  Apa masalah kau?  Officer berlambak nak dekat kau dalam opis tu, kau tak layan…” 
Kan aku dah cakap, aku tak suka satu bumbung…”  Aku tayang muka bosan.  Bosan dengan June. 
Mata June menala pada TV.  Tengok cerita Dil To Pagal Hai lagi.  Padahal semalam baru TV2 tayang.  Ini dekat Astro Prima pulak.  Bila aku congak, aku rasa tahun ni saja adalah dekat 99.5 kali dah tayang Dil To Pagal Hai dekat Malaysia ni. 
“Cari lainlah, Tika.  Kau bukan tak ada kerjaya.  Bukan tak ada rupa…”  June pandang aku.  “Walaupun aku lagi cantik…”  Dia sengih.
Ceh.  Minah perasan ni.  Serius.  Kena tindih dek balak, aku boleh panggil kren nak angkat balak tu tapi ditindih dek perasan, macam mana nak angkat.  Melainkan aku angkat dia dan campak dia turun daripada tingkat tujuh ni. 
“Sebab aku sedar aku tak lawalah, cukuplah tu mamat Shell yang aku ngorat.  Lagipun, aku selesa dengan dia.  Kau ni tak menyokonglah…”  Aku campak bantal Pooh tepat atas muka June. 
Dia merengus nak membalas tapi aku dah berlalu.  “Kotya pun terdesak sangat, pilihlah yang kerja terjamin sikit, Tika…”  Sempat June jerit sebelum aku rapatkan daun pintu. 
Aku rebahkan tubuh atas tilam.  June tu mulut memang macam tu tapi hati dia baik sebenarnya.  Betul kata June, cari yang secure sikit.  Menjamin.  Tapi, aku nak berkawan aje pun.  Cumanya bila June cakap gitu, mulalah aku rasa nak up-grade sikit lagi hubungan aku dengan Bai. 


Cp. 5

HARI MINGGU.  Minyak ada aje lagi.  Aku ingat nak ke Melaka hari ni dengan June tapi June akhirnya mungkir janji bila pakwe yang entah ke berapa ajak dia keluar dan tinggallah aku sendiri. 
Aku parking kereta dalam petak parking.  Kemudian berlalu ke bilik air wanita.  Perut buat hal pulak dah.  Sebaik saja aku keluar, Bai ada membersihkan cermin kereta aku yang berhabuk teruk.  Tak dan nak basuh. 
“Assalamualaikum…” 
Dia sengih.  “Waalaikummussalam…”  Salam aku dijawab sopan.  “Nak gi mana cuti ni?”
“Err… tak ke mana pun.  Saja pusing-pusing…”
“Pusing-pusing dekat stesen minyak?” 
Aku ketawa lepas.  Malu pulak dengan jawapan aku.  “Kita tumpang bilik air jelah…” 
Kepala Bai mengangguk beberapa kali.  Dia terus bersihkan cermin.  Buat-buat tak kisah akan kewujudan aku. 
“Yang awak rajin bersihkan cermin kereta saya, kenapa?” 
Bai dah siap bersihkan cermin kereta aku.  “Saja.  Nampak berdebu sangat.  Nanti tak nampak awak nak memandu.” 
Okey, aku dah tak tahu nak cakap apa.  Dia ni cool sangat aku rasa.  “Err, Bai ni nak tanya…”  Aku buat muka tak malu.  “Awak ni hari-hari ke kerja?  Tak ada hari cuti, ya?” 
“Kenapa?  Kalau saya cakap saya cuti bila, awak nak ajak saya jalan-jalan ke?”  Dia senyum tipis.  Mengetap bibir bawahnya yang nampak sedikit kemerahan. 
Alamak… ini buat aku garu kepala tak gatal ni.  Aku tersengih menahan wajah yang sebal.  “Tak adalah gitu…”
“Saya cuti hari ni…” ujar dia menyampuk. 
Aku kerutkan kening. 
“Nak ajak saya keluar tak?”  Dia offer diri.  “Tapi, saya tumpang kereta awaklah.  Saya ada motor je.  Tak elok pulak nak bawa awak naik motor…”  Jujurnya dia. 
“Tapi ni, awak kerja?” 
“Patutnya cuti.  Tapi, saja datang kerja sebab kot-kot awak singgah ke…”  jawab dia. 
Waa, dia memang jujur sungguhlah.  “Err, kalau gitu pergilah tukar baju.  Saya tunggu…” 
Bai geleng.  “Saya tak payah tukar baju…”  Terus dia buka baju T Shell dia dan di dalamnya ada sehelai baju T warna putih.  Kosong.  Aku pandang dia atas bawah.  Seriuslah dia ni macam apa ntah.  Tapi aku, tak kisahlah.
“Okey, jom.  Jemput masuk ya…”  Aku ambik tempat pemandu dan Bai masuk sebelah. 


Cp. 6

“MANA awak tahu nama saya Tika?”  Soalan ni memang aku nak tanya hari tu lagi.  Cumanya asyik-asyik lupa. 
Name-tag awak…” 
Aku tepuk dahi.  Ya tak ya.  Name-tag aku.  Mesti dia perasan.  “Saya ingatkan awak ahli nujum…” 
Bai ketawa kecil.  Air Vitagen di tangan dia sedut.  Kami lepak di tasik Metropolitan akhirnya lepas Bai beli sedikit bekal daripada kedai Shell tadi. 
“Kalau saya ahli nujum, saya dah tilik hati awak…”
Dup.  Halaju jantung aku meningkat.  Aku pandang Bai tak percaya.  Jangan cakap dia suka aku.  Aku terjun tasik ni karang. 
By the way, kawan awak tu tak ikut ke?  Dah lama tak nampak dia…” 
Jantung yang sememangnya laju tadi, hilang kawalan tiba-tiba.  Terus merempuh divider dan tergolek di tepi jalan.  Terluka parah bahana soalan Bai tentang June.  Aku pasti June. 
Nama dia June.  Dia selalu jugak ke singgah isi minyak situ?” 
Bai angguk.  “Saya perasaan je tapi tak pernah tegur.  Awak jelah yang saya tegur…” 
Okey.  Dah nampak dah.  Betullah kot June cakap aku ni tak lawa.  Dia lagi lawa.  Sampaikan mamat Shell pun suka dia.  Aku pegang kepala.  Sakit tiba-tiba. 
“Err, dia lawa, kan?”  Sesungguhnya aku dah tak tahu nak cakap apa.  Elok juga aku puji June tu.  Pada aku memang June lawa. 
“Erm… memang lawa.  Suka tengok dia…”  Aku perasan bibir Bai mengukir senyuman lebar. 
Nak aje aku cakap, ketahuilah olehmu wahai Bai yang June tu tak suka kau pun.  Aku nak suka kau pun, dia tak bagi.  Tapi, siapalah aku nak lukakan harapan Bai.  Mana tahu nanti June terbuka hati. 
“Awak nak saya tolong awak ngorat dia tak?” 
Terus Bai berpaling pada aku.  Direnung aku lama hingga aku terpaksa melarikan pandangan. 
“Dia pandang ke orang kerja macam saya ni?” 
Oh, terluka pulak hati kita dengan soalan mamat Shell ni.  Yang ada depan mata dia ni dia tak nak pulak ngorat.  Hai, apalah nasib.  Nampak gaya tahun depan memang three-series tanpa pasangan lagilah. Bising lagilah orang kampung. 
“Eh, nape pulak tak nak pandang?  Kalau saya pandang, mesti orang lain pun pandang.  Awak handsome apa…”
“Tapi saya kerja gitu aje…”
“Setidak-tidaknya, awak tak mencuri…”  Bibir aku tergarit senyuman frust.  Ya, aku cuba sampaikan yang aku tak kisah pun dia kerja apa janji bukan kerja jahat.  Tapi, Bai dah nampak June lebih mendahului aku.
Mood melepak dah terbang bersama layang-layang budak-budak ni yang kian sayup di udara.  Memang aku sentiasa tewas dek June.  Apalah aku ni.  Mamat Shell pun tak pandang. 
“Kenapa?”  tanya dia bila aku diam tak berkata apa. 
Aku sengih tanpa memandang dia.  “Tak ada apa.  Dok fikir bertuah June ada peminat macam awak ni…” 
Bai sengih.  “Dia ramai peminat ke?”
“Ramai tapi dia tak layan sangat…”  Yalah tu tak layan.  Habis tu tak kan aku nak burukkan June dengan Bai pulak?  Siapa ajar kita burukkan kawan kita depan orang lain? 
“Tapi, kalau awak betul minat dekat dia, saya boleh aje tolong promote awak…”  Aku sengih tayang gigi.  Sebenarnya menyembunyikan hati yang sebu. 
“Janji?”  Wajah Bai teruja.
“InsyaALLAH…”  Dalam tekak aku tuturkan kata.  June memang tak akan pandang tapi setidak-tidaknya, aku cubalah.  Bai nampak minat sangat dekat June. 
Aku pandang sisi wajah Bai.  Memang kacak.  Hidung mancung.  Mata besar.  Kening dan bulu mata lebat.  Ada janggut dan jambang tipis.  Macam orang Arab pun ada.  Aku pandang pulak diri sendiri. 
Pakai tudung Mu’az harga RM5.80 aje.  Blouse aku beli dekat Time Square harga RM29.00 dan skirt juga pada harga sama.  Tak ada kelas betul.  Keluhan tipis terlepas.  Bai pandang. 
“Kenapa?”  tanya dia.
“Kecewa…”  Spontan aku menjawab dan kemudian aku tekup mulut. 
Bai hanya senyum seperti tak ada perasaan.  Ya, tak ada perasaan pada aku sebab perasaan dia ada pada June. 


Cp. 7

“WAN MUSTIKA!!!” 
Aku buat tak dengar June jerit nama aku.  Agaknya dia marah kot aku janji nak kenenkan dia dengan mamat Shell tu.  Aku tak cakap apa pun.  Aku cuma bagitahu June yang Bai suka dia.  Itu pun nak meletup ke? 
“Eh, Tika… geram betul aku dengan kau ni…” 
Aku jeling June.  “Apalah yang kau marah sangat?  Aku bukan bagi nombor telefon kau ke apa ke.  Aku sampaikan perasaan dia pada kau aje.  Kau tak nak, tak payahlah ambik port.” 
June labuhkan duduk di sisi aku.  “Kau kecewa, kan?”  soal June tersengih. 
“Sikitlah…”
“Kau suka dia, kan?” 
“Sikitlah…”
“Kau dah tangkap cintan dengan Bait u, kan?” 
Aku diam.  Sikit atau banyak aku tak tahu tapi perasaan itu wujud macam itu aje bila dia memang mesra layan aku bila aku datang ke stesen minyak tempat dia kerja. 
“Dia tangkap cinta dekat kau,” balas aku. 
June mencebek.  “Kau macam tak kenal aku.  Aku tak pandang dia…” 
“Ya, aku tahu…”  Rendah aku menjawab.  Rasanya elok aku bagitahu Bai tentang June.  Tak payahlah dia berharap sangat. 
“Kau cakap dekat dia, aku tak pandang orang macam ni…”
Eleh, berlagak nak mati.  Aku kerling June.  “Dahlah, aku nak tidur.”  Terus aku masuk bilik. 


Cp. 8

AKU tahu Bai kecewa bila aku cakap, June tak boleh nak terima dia biarpun sebagai kawan.  Aku pulak rasa sedih tengok dia monyok. 
“Awak tak kerja hari ni, kan?” 
Dia angguk tanpa memandang aku.  Hai, Bai… pandanglah aku ni ha.  Aku yang suka kau, kau pergi suka orang tak suka kau tu, kenapa?  Tapi, atas tiket persahabatan, aku buang perasaan sendiri jauh-jauh. 
“Jom kita pergi Times Square…” 
Barulah dia berpaling.  “Pakai macam ni?”  Ya, dia masih setia dengan baju T putih kosong tu dan slack warna hitam serta kasut yang tak berapa nak berkilat. 
Ala, janji awak tak bogel.  Saya jenis tak kisah…”  Memang!  Aku nak dia tahu aku memang jenis tak kisah punya orang.  Tapi, dia tak nampak.  Apa nak kata. 
Barulah nampak Bai sengih.  “Okey kejap.  Awak pergi park kereta awak depan kedai.  Kita pergi dengan kereta bos saya.  Dia ada minta saya pergi jemput anak dia sebenarnya tapi petang nanti.  Sempat la kita jalan-jalan nanti awak teman saya jemput anak dia, boleh?” 
Aku angguk laju.  Bai dah ceria.  Dia berlari ke dalam kedai dan aku pandu kereta aku ke tempat letak kereta.  Sekali Bai keluar, dia terus masuk ke dalam sebuah BMW X6 yang selalu terparkir kemas depan kedai.  Kalau kereta Bai ni, aku lari balik.  Tapi sebab bukan kereta dia dan dia pekerja aje, aku tak kisah.  Bila lagi nak merasa BMW X6 yang gagah perkasa andai nak dibandingkan dengan Honda City aku tu. 
“Tak apa ke saya tumpang ni?” 
“Tak apa.  Saya pun penumpang jugak…”  Dia gelak. 
Dan, hati aku lega sebab dia bahagia.  Soal June, aku tak rasa Bai sesuai dengan dia.  Tapi, Bai tak nampak aku yang suka dia, pun tak apa.  Cinta kan subjektif.  Jika sesuatu hubungan tu bertahan kerana cinta persahabatan, aku pilih persahabatan.  Selamanya. 


Cp. 9

 SEMPATLAH kami buat macam-macam.  Melepak makan sushi di Low Yat.  Pusing-pusing Times Square dan aku sempat sambar dua tiga pasang skirt dan menariknya, Bai yang bayar.  Katanya… “Sebab harga bawah RM50, dia mampu bayar.  Saya belanja awak sebab buat saya bahagia…” 
Okay, I take it as a compliment.  Bila dia kata aku buat dia bahagia setelah derita cinta tak kesampaian dengan June.  Aku terima dengan bulat hati.  Tiga jam kami membuang masa di situ, Bai ajak aku jemput anak bos dia dekat airport
“Saya ingat dekat stesen bas?”  Masa ni kereta dah meluncur laju menuju ke KLIA.  Muka aku waktu ni terkejut sangat. 
“Eh, anak bos.  Tak ada nak naik bas, Tika.  Nak naik bas daripada Johor ke KL yang tiga empat jam je dia rasa macam tiga empat puluh jam…”  balas Bai tenang. 
“Yalah, saya mati-mati ingat…”
“She’s a daughter of a wealthy family, Tika…” 
Mang aih… Biar betul Bai mamat Shell ni cakap BI dengan aku.  Siap dengan slang bagai.  Kagum aku. 
“Boleh tahan awak speaking eh?” 
Bai garu kepala.  “Kan saya pernah cakap saya pernah belajar tapi tak dapat apa…”  Okey, aku lupa. 
Kami tiba di KLIA dan Bai minta aku tunggu dalam kereta.  Tak lama lepas tu, aku nampak dia memeluk tubuh langsing seorang gadis.  Bulat mata aku.  Kemudian mereka berpegangan tangan menuju ke arah kereta.  Aku tahan nafas cuba meredakan kalut dalam hati.  Aku kecewa bila Bai suka June tapi aku lagi kecewa bila Bai peluk perempuan ni.  Atau perlu ke aku positif mengatakan perempuan cantik tu, isteri dia?  Dan, jika ya aku keluar dengan suami orang ke?  Bai tu menantu orang kaya?  Gitu? 
“Assalamualaikum…”  Gadis itu menyapa aku bila dia masuk di belakang. 
Waalaikummusalam.  Mustika…”  AKu hulur salam bila aku pusing tubuh aku 180 darjah pada dia.  Masa ni Bai sedang ketatkan tali pinggang keledar.  Aku hanya tersenyum tawar. 
“Shall we go?”  tanya Bai pada gadis cantik tu.  Bila gadis itu mengangguk, Bai terus menekan pedal minyak. 
Sepanjang perjalanan aku diam.  Sungguhlah June cakap, dia tak sesuai dengan aku.  Tapi, bukan kerana kerja dia tapi kerana sikap dia. 
Abang, ni siapa punya?”  Suara di belakang dekat dengan telinga aku.  sambil memegang beg plastic yang ada skirt aku tadi. 
“Oh ini…”
“Bai beli untuk awak…”  Laju aku menyampuk.  “Hadiah katanya…”  Ya, aku tak boleh nak terima hadiah daripada dia dah.  Aku rasa dah sampai masa aku tukar stesen minyak lain pulak.  Tak boleh nak bertembung dah dengan dia lepas ni. 
Wajah Bai berubah.  Yang tadinya manis, bertukar kelat.  Aku tahu dia nak tanya apa, tapi dia diamkan diri aje.  Aku pandang wajah gadis lawa ni.  Memang nampak anak  orang kaya. 
“Cantik tak?” 
Gadis itu senyum dan angguk tapi mati senyuman bila dia pandang Bai.  “Kotya pun nak bagi hadiah, tak akanlah yang cikai macam ni, abang.  Bukan abang banyak duit ke?” 
Aku kelu.  Bai lagilah kelu.  Mang aih, budak ni.  Aku cepuk karang.  “Tak apa murah.  Janji ikut kemampuan dan janji ikhlas memberi…”  pujuk aku.  Barulah wajah gadis itu bertukar manis.
Bai menjeling aku kerap kali.  Aku tahu dia tak puas hati.  Sampai saja di stesen minyak, aku terus turun lepas memberi salam.  Mendekati kereta dan terus berlalu tanpa berpaling lagi.
Apa yang pasti, airmata aku mengalir.  Ya, aku akui yang aku sangat sukakan mamat Shell tu.


Cp. 10

 JUNE paksa aku berhenti di Shell hari ni biarpun minyak kereta aku penuh.  Aku dah isi dekat Shell Batu Caves.  Tak nak dah aku berhenti Shell Jalan Ipoh ni.  June kata perut dia tak tahan, jadi aku terpaksa.  Aku harap sangat Bai cuti tapi tak.  Dia dah ada mengetuk cermin kereta aku.  Nak tak nak, aku turunkan juga.  Mengukir sengih yang tawar. 
“Nak pergi mana hari minggu ni?” 
“June ajak tengok wayang…” 
Bai angguk sendiri.  “Lama tak singgah.  Telefon pun tak dapat…” 
Padahal bukan tak dapat tapi aku tak jawab.  Hanya sekali aku hantar SMS yang aku out station dan ya, memang aku out station tapi dua hari aje.  Hari lainnya, aku ada aje dekat rumah. 
“Boleh sembang kejap?”  ajak dia bila aku tak menyahut. 
Aku pandang ke arah tandas.  Lambat pulak June.  Tidak dapat tidak, aku angguk.  Keluar daripada perut kereta dan bersandar tenang. 
“Awak kenapa?” 
“Tak ada apa.  Saya busy betul sekarang ni…”  jawab aku.  Antara nak dengan tidak. 
“Oh…”  Wajah Bai nampak kecewa.  “Minyak penuh?” 
“Dah…”
“Isi minyak dekat mana sekarang?” 
Dekat Batu Caves…” 
“Kena patah balik kalau nak pergi kerja tu.” Dia sengih.  “Apa yang seronok isi minyak dekat sana?” 
Aku ketap bibir.  Tak ada awak.  Itu buat saya seronok.  Aku jawab dalam hati.  Masa ni Bai makin lebarkan sengih dia. 
“Tadi June, kan?” 
Aku angguk.  “Tak putus asa lagi nak ngorat dia?”  Sinis.
Bai ketawa dan angguk.  “Ini nak minta tolong awak sekali lagi ni…” 
“Awak ngoratlah sendiri…”
Bai menggeleng.  “Tak mampu saya sebab perempuan tu perahsia betul…” 
Wajah kacak Bai aku pandang.  Nampak lain sikit.  Dah kemas biarpun masih pakai baju T warna kuning Shell tu. 
“Kalau June…”
“Tak,”  Laju Bai mencelah.  “Awak ngorat diri sendiri untuk saya…” 
“Hah?”  Aku rasa rahang aku nak terpenggal.  Baru nak tanya, tapi aku dengar suara lain memanggil Bai.
“Muhamad Ubaidah.  Cepat dah lewat ni…”  Aku nampak seorang lelaki yang dah berusia hampir 60-an kot, memanggil Bai.  Segak bergaya dengan kot segala. 
Got to goAda meeting…”  Bai terus berlari tak berkata apa lagi.  Aku nampak seorang pekerja Shell yang lain mendekati dia.  BMW X6 hari itu dibuka.  Bai buka baju T Shell dia dan menyarungkan sehelai kemeja biru laut.  Siap dengan tie dan juga kasut yang jelas berkilat.  Dia raup rambutnya.  Seketika, dia berpaling pada aku yang masih kaku.
“I’ll call you…”  Aku boleh baca gerak bibir dia. 
Seperti dipukau, aku angguk.  Dan, Bai hilang dalam BMW X6 itu bersama lelaki berusia tadi. 


Cp. 11

TAK BOLEH nak cerna aku.  Semalam tu bila aku masuk ke kedai bertanya tentang Bai, satu kejutan yang aku tak boleh nak terima sampai hari ni.  Ini dah masuk kali ke-3 telefon berdering.  Naik nama Bai.  Dan, aku juga baru tahu nama penuh dia.  Tamat deringan ke-4, satu SMS masuk.

               Wan Mustika, I can xplain.

Aku hela nafas dalam.  Mencari kekuatan untuk menjawab panggilan dia.  Sekali lagi aku setuju dengan kata-kata June.  Aku tak sesuai dengan Bai.  Kali ini bukan sebab kerja tapi sebab dia adalah anak orang berada.  Sebab dia anak tauke Shell tu.  Patutlah semedang dia aje cuti dan semedang dia aje tolong aku sedangkan waktu puncak. 
Deringan ke.7.  AKu baca bismillah.  Aku lekap telefon ke telinga.  Suara Bai memberi salam dan aku jawab perlahan. 
“Marah?”  soal dia sepatah.
“Perlu ke?” 
“Kalau rasa perlu, marahlah.  Janji awak tak tinggalkan saya…”  Dia melepaskan keluhan berat. 
“Kenapa tipu saya?” 
“Apa yang saya tipu?” 
“Tentang siapa awak…”  Tak tahulah kenapa, aku rasa sebak betul.  Nak-nak bila ingat sikap aku yang gelojoh sangat hukum dia dan adik dia, Nur Baiyah.  Lepas tu paling bersalah aku tolak langsung hadiah yang dia belikan.  Bukan sebab benda itu murah aku tolak tapi sebab aku kecewa. 
“Saya tak sempat nak terus-terang.  Lagipun, saya nak awak terima saya siapa saya.  Saya tak tipu cakap saya memang tak lepas belajar.  Bapak saya bising.  Dia suruh saya kerja jaga stesen minyak dia yang cawangan Jalan Ipoh tu sebelum dia betul-betul nak serah dekat saya uruskan cawangan lain.  Saya suka bila awak cakap, awak tak kisah jalan dengan saya.  Tak kisah saya pakai macam mana pun.  Awak tak kisah semua tu sedangkan bila kita jalan sama, ada je mata pandang pelik sebab saya.  Tapi, awak memang tak kisah.  Sebab itulah..”
“Awak bohong saya?”  tebak aku mencelah.
Bai mengeluh.  “Saya tak bohong.  Cuma saya tak cakap lagi.  ini saya dah cakap.”
“Lepas saya dah tahu…”
“Dan saya nak awak tahu hari tu,” pangkas Bai pulak.  “Saya boleh aje nak sorok sampai ke sudah tapi saya nak awak tahu hari tu.  Dan saya nak awak tahu, masa kita lepak dekat Tasik hari tu, saya nak dengar jugak awak mengaku yang awak nak ngorat diri awak untuk saya.  Tapi, awak kata nak tolong saya dengan June.  Saya malas nak paksa.  Perasaan awak pada saya, biarlah berlaku secara semula jadi.  Perasaan saya pada awak, Tika… sejak berbulan lepas saya nampak awak singgah isi minyak dan saya aim awak sebab awak suka pakai make-up masa isi minyak.  Saya suka tengok awak.  Saya suka awak.  Lepas kenal awak, berjuta kali saya jatuh suka pada orang yang sama.  Tapi, awak tak berterus terang langsung…”  luah Bai panjang.
Aku ketap bibir.  Terharu.  “Saya perempuan…”
“Apa salahnya perempuan mengaku dulu.  Tak ada masalah…”
“Saya tahu malu…”
“Kalau malu, lepas ni jangan pakai make-up sambil isi minyak lagi.  Orang lain tengok awak, saya tak boleh…”  larang Bai.
Aku ledakkan tawa.  Rasa lucu tiba-tiba.  “Saya tak dan masa.  Saya selalu balik lewat dan jaga lewat pagi esok…”
Bai hela nafas panjang.  Aku dengar dia ketawa halus.  “Tak apa.  Lepas ni ada saya kejutkan awak bangun pagi.  Saya ada untuk isikan minyak kereta awak penuh-penuh moga awak tak terkejar-kejar nak isi minyak pagi-pagi buta…” 
Aku diam mengetap bibir.  Tak lama, aku dengar loceng dibunyikan.  Aku berlalu ke depan.  Wajah yang aku rindu muncul di depan mata. 
“Ini hadiah saya bagi, awak tertinggal…”  Bai angkat beg plastic yang ada skirt aku yang dia belikan.  Aku sengih bersama airmata yang menitis. 
“Terima kasih,” ucap aku.  “Hari tu lupa nak ucap terima kasih lepas awak belikan skirt tu…”
Bai gelak.  Telefon masih melekap di telinga.  “Awak kan dah biasa delaykan ucapan terima kasih.  Delaykan perasaan antara kita,” balas dia.  “Tapi, saya tak nak delaykan akad nikah kita.  Saya dah bagitahu bapak saya tentang kita…”
Aku putuskan talian.  Terkejut.  “Saya tak bagitahu mak saya lagi…”
“Sekaranglah bagitahu.  Hujung bulan saya datang rumah awak…” 
Aku menapak mendekati grill yang terkunci.  Mana dia tahu rumah aku ni, tak tahulah aku.  dia tanya June gamaknya. 
“Kita pindah rumah saya lepas nikah, ya?”  pinta dia. 
“Kenapa?” 
“Tak kan nak dok dengan June sekali.  Nanti dia berubah pulak panggilan pada saya.  Daripada mamat Shell jadi abang sayang ke…”  Bai kenyit mata. 
Aku ledakkan tawa.  Grill aku tak buka langsung.  Perasaan kami bersatu begitu saja.  Tapi, batasannya tetap ada. 
So, nak isi berapa nanti?  Dua puluh atau penuh?” 
“Nak isi apa?”  Berkerut dahi aku dengan soalan Bai.  Dia ingat ini stesen minyak dia ke? 
Bibir dia pecah dengan senyuman.  “Nak saya isi kasih sayang dalam diri awak berapa banyak?” 
“Err…”  Aku kelu sesaat.  “Penuh…”  Teruja aku menjawab sudahnya. 
“Tamak…”  Bai ledakkan tawa.  “Tapi, untuk Wan Mustika sorang ni, saya memang akan isi penuh dan tak akan pernah susut…” 
Aku tersenyum.  Malulah pulak bila cakap soal hati dengan Bai.  Baru nak sorok muka, Bai bersuara.  “Dating jom,” ajak Bai.
“Mana?” 
“Shell Jalan Ipoh…”  Dia sengih.
“Tak ada tempat lain?” 
“Di situ bermulanya sebuah cinta…” 
Kami berbalas senyuman.  Senyuman yang dah cukup bagi makna tentang apa yang kami rasa. 
Siapa pun dia, dia adalah yang Allah ciptakan.  Yang telah Allah anugerahkan sejuta kebaikan mengatasi kekurangan yang ada.  Dan aku, terima anugerah Allah dengan hati terbuka bila DIA tiupkan rasa kasih pada seorang mamat Shell yang aku kenali dia sebagai Muhamad Ubaidah. 
Dan dia, pelengkap kehidupan yang singkat ini untuk aku temui permulaan yang panjang – iaitu alam setelah mati.  Kerana dia, lahirnya sebuah cinta. 


END

 PS - Usah ditanya tentang LailatulQadar kerana momentum menulis baru nak kembali stabil.  Enjoy cerpen ringkas sempena tema kemerdekaan Malaysia tahu ni.  Di mana-mana saja. Lahirnya rasa cinta.  Cinta yg universal maksudnya.  

61 comments:

  1. Comelnya kak RM.. Ada sambungannya tak?

    ReplyDelete
  2. Besttt n swetttt....;) ...hope dpt ketemu idea tuk lailatulqard.....hihi..:)

    ReplyDelete
  3. Tak bleh tido sebab sakit.tgk kat pages ada cerpen baru.ok la.simple story.

    ReplyDelete
  4. Siyes suke.. Bacaan ringan.. Btw da bce novel baru akak.. Si payed tu.. Lupe tajuk die.. Best gilee..

    ReplyDelete
  5. Sweetnya mamat shell ...

    Padan muka June, hahhah

    ReplyDelete
  6. Tak perlu rasanya komen panjang...
    Tapi SUKA dgn gaya penulisan & ceritanya... 😊

    ReplyDelete
  7. walaupun cerpen tapi masih menusuk jiwa...

    ReplyDelete
  8. Di sini lahirnya sebuah cinta... Ahaks

    ReplyDelete
  9. best rehan as usual...santai tapi sweet sgt..tq rehan

    ReplyDelete
  10. so sweet, ringan, dan comel...

    apapun.. karya kak rehan mana pernah mengecewakan pembaca...

    tahniah kak rehan..semoga dikurniakan idea dan ilham utk terus menulis dan menulis deng penuh hikmah..

    :)

    ReplyDelete
  11. Best n byk pengajaran kot..
    don't judge book by it's cover..^^

    ReplyDelete
  12. Teruih senyum sja la......terlebih gula :)

    ReplyDelete
  13. Great. Memang x pernah mengecewakan walau hanya secebis kisah pendek dalam sesebuah kehidupan.
    Teruskan berkarya cik writer :-)

    ReplyDelete
  14. Kannn dh kata mmg x pernah mengecewakan

    Cite yg best , masuk dlm.jiwa
    Sgt best..... pendek kata best de best lah......

    ReplyDelete
  15. suka part... so nak isi berapa? dua puluh ke penuh... kekekeke.... labayu ah kak annn..

    ReplyDelete
  16. Best...Simple but nice to read. Semoga Allah memberi idea untuk meneruskan penulisan yang menarik untuk tatapan peminar RM.

    ReplyDelete
  17. Cerita yg simple tp sgt best..Dah lama tak baca cerpen yg sweet2x dari RM..hehe

    ReplyDelete
  18. ni kalo jdk novel mau june tu jdk api lam sekam..hihihi

    ReplyDelete
  19. Comelmya.....beribu lemon like utk tika & bai

    ReplyDelete
  20. Comel dan tentunya sgt sweet.. lucu pon ya jgk ngan si mustika ni..
    Terima kasih, memberi kisah dan penceritaan yg menarik

    ReplyDelete
  21. Waaa nak isi penuh gak boleh??

    Hkkhikhik

    ReplyDelete
  22. akhirnya terlepas jua rindu nak bca N3 baru kt cni
    sperti biasa x prnah mengecewakan akk..tahniah RM

    ReplyDelete
  23. Best best.. Lepas ni isi mimyak keta, nak usya mamat shell la.. Hehe

    ReplyDelete
  24. moral of the story.. dun judge a book by it cover... manusia mmg ramai yg materialistij

    ReplyDelete
  25. best kak rehan .. walau simple tetap cukup sweet manis .. hehe

    ReplyDelete
  26. Terubat rindu. LailatulQadr bila plak RM

    ReplyDelete
  27. kak rehan selalu buat orang senyum senyum depan laptop. swettttt! hehe

    ReplyDelete
  28. Jadikanlah novel.. Tak perlu tebal sgt. Cerita yg sweet x ada konflik, buat diriku tersengih sorg2...

    ReplyDelete
  29. Santai dan relax. Namun Penuh iktibar. Sgt suka dan terujaa....
    Semoga diberikan idea tuk Lailatulqadr.

    ReplyDelete
  30. awesome.. interseting

    ReplyDelete
  31. comel la cter ni :( semua titik permulaan shell jalan ipoh hahahah comel :D -Syira-

    ReplyDelete
  32. Suwittttt......... Sesangat.... RM...... Terima kasih..... Terubat rindu.....JUNE.....gigit jari la hang......

    ReplyDelete
  33. Tetap setia tunggu kemunculan Lai & Qadr... huhuhu... rindu...

    ReplyDelete
  34. cerpen simple yang membuahkan senyuman dari mula baca smpi akhir..kerana disini lahirnya sebuah cinta

    p/s: kalau mamat shell rupa mcm cover tu saya pun nak ngorat lah heheh

    ReplyDelete
  35. wwannurr....
    oohhh mamat shell, senyum aku sampai ke telinga
    RM,,, lame tak menghidu cerpen ko.. besstttt, lagiiiiiiiiiiii

    ReplyDelete
  36. sweet.. mamat Shell ni. klu ada sambungan lg sweet kan RM? anyway.. terbaikkk...

    ReplyDelete
  37. cerita yg sweeet.....tak pernah lak jumpa mamat hensem kat stesen minyak.....kikiki

    ReplyDelete
  38. So sweet... Nama Tika sama ngn nama saya... Kat shell mana ada mamat hsome dh... Yg ada mamat Bangladesh je...huhuhu

    ReplyDelete
  39. so sweet comel jaaa

    ReplyDelete
  40. Simple n sweet. Baca sambil tersenyum.

    ReplyDelete
  41. best cerita ni. Haha. Lepas baca novel pendek ni pegi shell duk tengok mamat shell teringat mamat shell jalan ipoh. Em bilalah lailatulqadr nak sambung lagi ni.

    ReplyDelete
  42. Best. suka cerpen yang sebeini, tak menyakitkan hati. terima kasih.

    ReplyDelete
  43. Waiting 4 Lailatul Qadr... rindu amat ni dik rehan..
    mujur ad mamat shell ...ahaks. Tp msh rindu ni wat cm ne .. :))

    ReplyDelete
  44. Baca skali lg
    Tetap best...
    Sdg tggu hasil tgn rehan yg lain

    ReplyDelete
  45. Best.....sweet...nak lagi...

    ReplyDelete
  46. ni boleh dibuat iktibar.....jgn menghina seseorang tu kerana pekerjaannya

    ReplyDelete
  47. ni boleh dibuat iktibar.....jgn menghina seseorang tu kerana pekerjaannya

    ReplyDelete
  48. cm biasa....mmg tetap suke....
    suke..suke..suke...

    ReplyDelete
  49. Hoho..setelah beberapa tahun citer ni, baru ni akak dpt baca Rehan! Terbaek!! Love it!

    ReplyDelete