Tuesday, September 30, 2014

Beast and The Beauty - Cp.3

Cp. 3

DIA tahu, babah pasti risaukan dia.  Dan dia juga tahu babah bersyukur bila dia dapat pekerjaan yang boleh menjamin masa depan setelah dia bertungkus-lumus menamatkan pengajian. 
“Babah telefon ni nak tanya khabar.  Lagipun, harap boleh jumpa Ben alang-alang babah ada dekat KL ni...”  Ustaz Dasuki menyatakan hasrat pada anak lelakinya.  “Dalam kurang seminggu lagi babah dah nak bawa orang kerjakan haji pulak...” 

Benjy senyum.  Babah seorang ustaz dan bekerja dengan Majlis Agama Islam.  Tugas babah membawa rombongan umrah atau haji.  Cuma dia, entah bila akan dapat seruan dan rezeki ke Tanah Suci sedangkan babah adalah orang yang menguruskan Jemaah, tak semestinya dia punyai ruang begitu mudah. 
Pernah dia suarakan hasrat nak ke sana pada usianya yang muda bertahun yang lepas, tapi babah hanya senyum.  Melarang.  Kerana dia masih lagi bertungkus-lumus mencari secubit ilmu.  Kata babah, “Masa untuk Ben akan sampai.  Ben kena usaha lebih untuk terus bersedia menjadi tetamu Allah.  Buat masa sekarang, babah tak nampak Ben sedia lagi…” 
Nasihat babah ada benarnya.  Nak ke Tanah Suci, kena usaha.  Dari segi kewangan dan kesihatan lebih-lebih lagi.  Jika sekarang, rasanya dia dah sedia.  Cuma entah, terasa berat hati nak pergi pulak.  Masih ada perkara yang berbaki.  Masih ada yang tak selesai.  Masih ada sisa kotorang yang tak disucikan.  Lantas, bagaimana nak menjadi tetamu Tuhan?
“Ben dengar tak ni?”  Suara babah menegur di hujung talian.  Dah kenapa pulak anak aku sorang ni?  Babah telefon dia bukan nak bercakap.  Haih… Haji Dasuki mengeluh tipis.  Budak ni nak kena kahwin dah ni.  Berangan tak sudah. 
“Dengar, bah.  Boleh aje nak jumpa.  Petang ni lepas kerja, Ben datang Kelana Jaya.  Dah sampai nanti Ben telefon babah…”  Jam di pergelangan tangan dikerling.  Dalam dua jam lagi masa kerja akan tamat.  Niat hati nak over-time tapi babah adalah yang terutama.  Tanpa babah, siapalah dia hari ni.  Dia mungkin dah lenyap daripada sistem pendaftaran Negara gamaknya. 
“Kalau gitu, jumpa petanglah.  Ben tidur bilik babah aje…” 
“Ya, bah.  Ben balik rumah ambik baju dulu, lepas tu terus gerak, ya?” 
“Iyalah…”  Bibir tua Haji Dasuki tersenyum tipis.  Setelah talian putus, dia pandang telefon bimbit lama.  Skrin telefonnya jelas terpamer gambar dia dan anak lelakinya. 
Benjamin…  rindu sungguh rasanya biarpun Ben dah terlalu dewasa untuk dia manjakan seperti anak kecil. 
Kepala bersandar pada kerusi.  Benjy memandang siling putih bersih.  Tali leher dirungkai perlahan.  Sesak dada dia.  Entah apa yang sedang difikirkan, dia sendiri sukar nak tafsir. 
Maha pemilik hati…  bibir Benjy menyebut nama Allah berkali-kali.  Damaikan hati aku, Allah.  Hidupkan hati ini untuk menyebut nama-Mu dan matikan hatiku dengan menyebut nama-Mu. 
Mulanya rasa kuat nak hadapi segala tapi diperkenankan segala doa, rasa berat sungguh kelopak mata untuk diangkat – membuang pandangan ke depan.  Bagai nak ditoleh ke belakang dan berundur kembali.  Tapi, tidakkah itu pengecut namanya?  Tak puas lagikah menjadi seorang pengecut? 


DARIPADA jauh nampak Sufi dan Nani sedang menanti seseorang di bawah pejabat.  Sufi manis dengan senyuman tipisnya.  Nani juga nampak ceria dengan gelak tawa yang lebat.  Benjy menyeluk poket slack hitamnya.  Lengan kemeja dah tersinsing hingga ke siku.  Tali leher dah hilang entah ke mana.  Beg galas tersangkut kemas pada bahu.  Perlahan-lahan dia atur langkah menuju pada mereka berdua. 
“Assalamualaikum…”  Dia menyapa sopan. 
Tawa Nani mati.  Senyuman Sufi padam.  Benjy ukir senyuman senget.  Tadi kemain gelak.  Sekali dia tegur, padam semuanya. 
“Waalaikummussalam…”  Nani menjawab dengan suara tapi Sufi menjawab hanya dengan gerakan bibir. 
“Encik Benjy nak balik dah ke?”  soal Nani ramah.
Kepala jatuh.  “Tak jadi nak stay-back.  Saya nak kena jumpa babah saya kejap…”  jawabnya tanpa ditanya lanjut.  Lagipun tadi dia ada minta Nani angkut segala fail yang ada konon nak stay-back.  Mesti Nani tertanya-tanya. 
“Oh.  Babah Encik Benjy ada dekat sini ke?” 
Sekali lagi Benjy angguk.  “Dekat Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya…” 
“Eh, nak pergi haji, ya?”  Hampir terlupa pulak dah nak raya haji kita ni.  Nani siku Sufi yang diam.  Amboi, aku aje yang hidupkan suasana tapi Sufi ni… haih.
“Tak la… dia bawa Jemaah…” 
“Waa… seronoknya…”  Wajah Nani teruja.  “Encik Benjy dah pernah pergilah, ya?” 
Kali ini Benjy gelak.  “Kalau dah pergi, mesti saya kenalkan diri saya Haji Benjy…”  Hujung suara ditutup dengan tawa halus yang masih tersisa. 
Sesekali dikerling pada Sufi.  Jarak yang begitu dekat.  Jika dia hulur tangan untuk sentuh pipi Sufi pun boleh tapi Sufi kekal diam dan dingin beku. 
“Korang balik berdua ke?” 
Nani angguk.  “Tunggu ayah Sufi datang jemput…” 
“Tinggal dekat?” 
“Satu taman perumahan…” jawab Nani.
Area mana?”  Eh, laju pulak aku tanya ni.  Sempat jugak Benjy merungut pada diri sendiri.  Baru kenal, terus nak tanya itu-ini dekat anak dara orang.  Dia tahu Sufi tak selesa.  Tengok mimik muka pun dah tahu. 
“Wangsa Maju…” 
“Orang sebelah tu, diam aje…”  tegur Benjy pada Sufi.
“Tak ada apa nak cakap…”  Laju aje Sufi menjawab. 
Bibir Benjy herot dengan senyuman sinis.  “Ajak keluar, panas – takut hitam.  Bila tegur sembang – tak ada apa nak cakap.  Nanti saya tanya dah berpunya ke belum, mesti masa tu awak jawab, putera raja tak datang pinang lagi.  Kan?”  tanya Benjy memerli.
Rasa menebal wajah Sufi waktu  ini.  Dia pandang tepat pada mata Benjy.  Baru dua saat, Benjy terus larikan pandangan.  Tahu takut.  Hati Sufi dah mendongkol geram. 
“Saya tak nak anak raja atau anak orang kaya…”  Dia pandang Benjy atas bawah.  Memang nampak anak orang kaya.  “…saya suka yang macam The Beast tu.  Tak kacak…” Dan, dia harus akui yang Benjy ada rupa.  Tak ada penafian. 
“Tapi, ada istana apa?”  Bibir Benjy makin pecah dengan senyuman.  Umur berapa Sufi nak hidup dalam dunia kartun fairytales?  Tapi, The Beast?  Dia pun boleh nak digelar The Beast. 
“Tak apa.  The Beast zaman moden tak ada istana.  Jalan kaki naik LRT dan bas Rapid aje…” 
“Dan awaklah The Beautynya?  Kan?” 
“Dan Encik Benjy bukanlah The Beast yang saya maksudkan tu…”  balas Sufi mendatar. 
Benjy senyum pasrah.  “Tak apa.  Memang saya The Beast tapi jangan risau, dalam realiti hidup tak akan ada mana-mana The Beauty pun yang akan pandang Beast…”  Dalam makna ayat yang dituturkan.  Dan, biarlah Sufi kekal tak faham. 
Nani yang sejak tadi mendengar, kerut kening.  Sufi ni, daripada tak ada apa nak cakap, sampai siap satu kisah dongeng.  Nampak Sufi dah kehilangan kata.  Nampak wajah Sufi dah merah menahan malu. 
“Nani, jom.  Tu kereta ayah tu…”  Sufi memanjangkan leher bila sebuah Nissan Almera membelok ke kiri menuju ke perkarangan Menara TH.  Ditarik tangan Nani tak sempat Nani memberi salam pada Benjy.
“Encik Benjy, jumpa esok…”  Sempat jugalah Nani melambai. 
Lambaian Nani hanya dibalas dengan wajah yang di angkat.  Sufi… beku sungguh.  Dia rasa dia tak mampu nak cairkan kebekuan Sufi. 


NANI menjeling sejak tadi.  Sufi buat muka tak puas hati.  Ayah dah kerut kening.  Apa tak kena budak berdua ni?  Bergaduh pulak ke?  Sejak bila pandai bergaduh sedangkan sejak di sekolah rendah tak pernah bercakar sikit pun.  Setakat merajuk tu adalah.  Tapi, setengah jam kemudian dah okey. 
“Nani dengan Sufi ni, dah kenapa?”  soal Encik Sofian.  Pelik pulak dia. 
“Erm… uncle tanya Sufi ni haa…”  Nani saja nak kenakan Sufi.  Entahlah.  Sufi ni ada masa pelik sangat layan lelaki.  Anti sungguh. 
“Sufi…”  Diseru nama Sufi perlahan tapi penuh ketegasan. 
“Mana Sufi tahu.  Ayah tanyalah Hanani ni…”  Giliran Sufi pula mengenakan Nani. 
Makin berkerut dahi Encik Sofian.  “Kamu berdua ni, bergaduh?  Dah tua-tua baru nak bergaduh?  Masa budak-budak tak pulak bergaduh?” 
“Alaa, Sufi ni ha, uncle.  Uncle tahu kan Nazmi tu dah bertukar.  Jadinya datanglah bos baru ganti.  Sufi ni, dibuatnya seteru dengan bos baru tu…”
“Hey, bila aku buat dia jadi seteru aku?”  Dihulur tangan nak cubit peha Nani tak sempat Nani elak.  Dijelir lidah pada Sufi. 
“Kenapa Sufi layan bos baru macam tu?”  Tak payah ditanya, Encik Sofian tahu sangat dah, itu mesti lelaki.  Kalau perempuan, Sufi mesti okey. 
“Sufi layan biasa-biasa ajelah, ayah…”  Rendah perlahan dia membela diri.  Nani ni… memang nak kena.  “Cumanya…”
“Dingin?”  pangkas ayah laju.
Sufi ketap bibir.  Tunduk memintal jari-jemari sendiri.  Memang dingin sangat ke dia sampai ayah boleh agak? 
“Tak elok layan orang dingin sangat, Sufi.  Nanti suasana tempat kerja Sufi tak harmoni.  Setakat kawan-kawan ajak makan, pergilah.  Ayah tak kisah.  Nani kan ada.  Melaikan nak pergi jauh-jauh, malam-malam tu ayah risaulah sikit.  Lagipun, orang tu bos Sufi.  Memang bukan dia bayar gaji Sufi tapi KPi Sufi nanti dia yang nilai.  Itu yang kena fikir.  Selagi dia tak minta benda melampaui tugas Sufi, ayah rasa tak salah Sufi berbaik dengan dia.  Sufi layan dia dingin mesti dia pun canggung,” nasihat ayah perlahan. 
“Betul tak, Nani?”  Sempat dikerling pada Nani yang ada di belakang.
“100, uncle…”  Nani tepuk tangan.  Bila Sufi berpaling, dia jelirkan lidah.  Bulat mata Sufi saat ini. 
Cinabeng kongkang punya member baik!  Ini mesti sebab dia tak layan sembang tadi.  Nampak kurang ajar sangat ke? 
Sampai di rumah, Sufi tak terus masuk.  Sempat dia ajak Nani bersembang di laman.  “Teruk sangat eh aku ni?  Nampak sangat eh aku tak berapa layan orang?”  soal Sufi telus. 
“Sangat…”  Nani mencebek lebar.  “Tolonglah, Sufi.  Kesian aku tengok Encik Benjy tu ha.  Dia ramah aje tegur kita.  Kot ya pun, kau tegurlah dia sekali.  Ini tidak…”
Okey, mak nenek dah membebel.  Sufi buat muka.  Ditongkat dagu buat muka pasrah mendengar bebelan manja Nani. 
“…kalau orang buat baik dengan kita, kita pun kena buat benda samalah.  Dia bukan minta nombor telefon kau ke apa…”
“Kalau dia minta?”  cantas Sufi.  Saja nak potong bebelan Nani.  Kalau nak dibiarkan, sampai Maghriblah dia dikuliahkan. 
“Kalau dia minta dekat aku, memang aku kasik…”  Nani jelirkan lidah.  “Aku nak balik.  Nanti umi risau…”  Terus dia berlalu ke pagar yang masih ternganga sedikit.  Biarpun Sufi memanggil, dia tetap buat tak tahu. 
Sufi… Sufi… kejadian malang tu dah lama berlalu.  Dan, dah sampai masa kau kena berani hadapai hidup dan masyarakat. 
Sufi hanya menghantar Nani dengan pandangan dan senyuman.  Agaknya betul kata Nani, tak boleh dia nak memencilkan diri daripada semua orang.  Sampai bila? 
“Siapa nama bos?” 
“Benjy…”  jawab Sufi tanpa berpaling pada suara yang menyoal.  Bila tersedar, barulah dia kalih. 
Mama!  Dan, mama senyum lebar.  Macam merdu aje sebutan nama itu terluah daripada celah bibir manis anak daranya. 

....2bCont...

17 comments:

  1. ye memang merdu dan manis aje bila sufi yg sebut

    ReplyDelete
  2. Rahsia dan misteri masih terkawal...terus mnyelubungi..

    ReplyDelete
  3. dingin perlu kehangatan, baru ada semangat!...

    ReplyDelete
  4. cold heart la sufi ni.. sian benjy..nk beramah mesra tu..

    ReplyDelete
  5. sufi dingin & beku.
    Benjy pasti mampu menhangatkan sufi. cewahh

    ReplyDelete
  6. Mmm..makin interesting...nak n3 baru lg..ok..nak sambung novel yg baru sya dpt cinta biar saja ada

    ReplyDelete
  7. Sufi, menjaga diri dia, tp terlalu ketat sgt...
    x pe, lama2, ok....
    BEST

    ReplyDelete
  8. Rasanya depa pernah jumpa sebelum ni.

    ReplyDelete
  9. saya rasa benjy tu mamat yg pernah hadir dalam hidup sufi 10 tahun lepas. hehe :D

    ReplyDelete
  10. Eh.. Knp waya sebut benjy lagi merdu dr sufi? Hahha

    ReplyDelete
  11. Sufi yg beku, menarik....

    Sa Za

    ReplyDelete
  12. rosiahpandakhamid@yahoo.comSeptember 30, 2014 at 9:34 PM

    Bestnye ....nk lagi

    ReplyDelete
  13. Bila rahsia nk terungkai ni rehan...dada saya dah sesak niiii

    ReplyDelete
  14. salam hangat dari kami ijin menyimak sahabat

    ReplyDelete
  15. Interesting la perangai Sufi ni... meh tengok Benjy boleh tahan ke tak dengan staff dia sorang ni...

    ReplyDelete