ATAS desakan
nenek, dia berdiri depan HKL sekarang.
Tak ada kerja sungguhlah.
Tergamak Doktor Arel mengadu dekat nenek, luka dia dah kena
jangkitan. Tapi, syukurlah juga, bila
doktor tu masih sembunyikan sebabnya.
Andai nenek tahu… tak dapat dia bayang lukanya hati nenek nanti.
Dalam pada
marah, hati dia tak lepas mengucapkan terima kasih. Cuma nak dizahirkan, itu yang payah.
Ruangan pesakit luar dah lengang.
Hanya ada sorang dua yang masih duduk dikerusi.
Dia pun tak
tahulah apa yang patut dia buat. Perut
lapar, tubuh letih. Kejap lagi dia kena
masuk kerja. Siang malam pagi petang…
bagaikan hari ini hari terakhir dia hidup.
Fuh… nafas berat
dilepaskan. Tertanya juga hati, berapa
tempat kerja yang doktor ini ada? Malam
tadi dekat klinik, siang dekat hospital.
Gigih betul carik duit. Bukan ke
gaji doktor tu memang dah tinggi ke?
Atau sebab Arel ni tamak sangat.
Dia pandang kad
yang ada di tangan.
Ahmad
Izrail.
Nama pun dah
ngeri. Kenapalah mak bapak dia letak
nama sang pencabut nyawa ni? Haih… tak
sempat dia nak fikir. Tapi bila fikir,
nama sendiri pun apa kurangnya. Ngeri
jugak.
Tak payahlah,
Isra. Beli aje Dettol. Cuci sendiri.
Itulah yang dia putuskan sebelum dia buat keputusan untuk berpaling tapi
tertahan bila lengannya dilelar orang.
Kepalanya menoleh pantas dan senyuman senget itu terbias. Jelas.
“Dah sampai
kenapa tak carik saya?” Kening lebat
Arel naik.
Dia dah nampak
sejak mula-mula Isra sampai tadi. Tapi,
sengaja tak panggil. Nak tengok, gadis
ni carik dia ke tidak. Memang tidak. Sanggup patah balik.
“Datang buat apa
kalau patah balik? Buang masa? Buang tenaga?” sindir Arel.
Lengan Isra dilepaskan.
Tu diaa… kalau
tak ada orang, dia punya diam lain macam.
Macam kalau bercakap keluar berlian.
Tengah hari tadi, kemain petah.
“Mulut tu, saya
jahit sikit aje. Tepi aje pun. Bukan saya jahit habih mulut awak tu
sampaikan tak boleh nak bercakap…”
Isra kerut
kening. Memejamkan mata sesaat. Haih… tak ingat doktor ni dah berjasa pada
dia, ada yang masuk ICU ni.
“Saya silap buat
keputusan…”
“Hah? Apa dia?”
Pelik aje ayat budak ni. Silap
apanya.
“Saya patutnya
tak datang sini. Tapi…” Wajah melangut pada wajah Arel. Ya, dia tak patut datang. Sedar aje dah ada dalam hospital.
Ketawa sinis
Arel lepas. Dia berdeham kemudiannya
bila ada staff hospital memandang.
Memang habislah dia kena gosip.
Tapi, lantaklah. Mulut orang nak
tutup pakai apa. Mulut tempayan pun
susah nak tutup sekarang, inikan pulak mulut manusia.
“Tak
apalah. Alang-alang dah buat silap tu,
sini saya tunjukkan jalan yang betul…”
Sekali lagi,
Isra berdesir. Bukan kerana sakit di
bibir tapi sakit hati.
Arel gamit Isra
mengikuti dia.
Pada mulanya
Isra berat hati nak melangkah tapi nasihat nenek bergaum. Kesihatan diri kena jaga. Kata-kata Arel bergema. Nak sayang orang, kena sayang diri sendiri
dulu. Sebelum ni, dia tak pernah letak
dirinya di depan melainkan diletak hanya untuk disakiti.
Arel tolak
pintu. Ada Cik Nija yang sedang mengemas
peralatan.
“Eh, Doktor
Arel? Rehat, kan?”
Arel
angguk. “Ada special appointment…” Dia toleh.
Isra masih tunduk.
Dia juga tak
lepas memerhati wajah itu. Kepala yang
sengaja ditutup dengan hoodie. Beg
galas, sneakers putih, jeans skinny.
Hai… beza sangat penampilannya dengan Irah. Kalau sekali pandang, orang boleh cakap Isra
ni lelaki.
“Siapa
doktor?” Cik Nija menjenguk bila Arel
lebarkan daun pintu.
“Pesakit luar
aje…” Arel ambik tempat duduk. Dia isyaratkan Isra rapatkan pintu bila tubuh
gadis itu melepasi ambang.
“Err…” Cik Nini nampak gamam. Datang jugak budak perempuan ni. Hailah.
Doktor Arel pun… baik tak bertempat.
Nak kata cantik, macam orang tak cukup darah. Nak kata lembut, kasar aje.
“Doktor nak saya
tolong?”
“Oh tak
apa. Sikit aje. Awak pergi rehat dulu…” Dia tak boleh nak kacau masa rehat nurse
walaupun dia tahu Cik Nija ni baik dan tak berkira tentang kerja.
“Kalau gitu,
saya keluar dulu…” Daun pintu kembali
terbuka dan terus rapat.
“Duduk…”
Isra hanya
berdiri. Apalah yang aku buat dekat
sini. Tolonglah!
“Kejap
aje…” tambah Arel.
“Saya
okey…”
“Ya saya tahu
awak okey. Tapi, duduklah dulu. Lagipun, ada benda nak bincang sikit…” Arel cuba senyum. “…tentang nenek awak sekali.”
Kali ini,
barulah Isra nampak jinak. Duduk di sisi
meja. Arel tarik kerusi hingga lutut
mereka hampir berlaga.
Kapas yang dah
dibubuh pembasmi kuman itu sudah sedia menyentuh tepi bibir Isra. Tak tahulah kenapa dengan gadis ini dia rasa
dekat sangat. Seperti, terhutang
budi. Yang anehnya, mana pernah dia
jumpa. Malam itulah pertama kalinya.
Pelik sungguh
rasa dalam dada dia ni.
Teringat soalan
Cik Nija. Jatuh cinta? Tidak.
Arel menafi keras. Dia kenal hati
sendiri. Cinta dia hanya untuk
keluarga. Untuk bidang yang dia dampingi. Selebihnya, dia tak pernah fikir biarpun
untuk dah lebih angka tiga puluh.
“Kalau pedih
tahan sikit, ya?” pujuk Arel
perlahan.
Isra diam. Membiarkan saja bibirnya dirawat. Tak tahulah apa istimewanya dia sampaikan
Arel bagi layanan sebegini istimewa. Jangan
kata, dia perlu balas setiap budi Arel? Dia
tak mampu.
“Tentu awak
fikir saya ni entah apa-apa, kan?” tanya
Arel tiba-tiba.
Isra kerut
dahi. Tak faham.
“Yalah… tentu
awak rasa saya ni pelik. Doktor apalah
mulut puaka macam saya. Mana ada doktor
macam ni. Tapi, jujur saya cakap… saya
memang macam ni. Dengan adik sendiri pun…”
“Tapi, saya
bukan adik doktor, kan?”
Tingkah Arel
mati bila bibir Isra bergerak. Dia betulkan
duduk. Tegak merenung mata gadis itu
yang berani memandang dia.
“Itulah,
kan? Awak bukan adik saya pun. Pesakit biasa. Tapi, kenapa saya bagi layanan istimewa macam
ni. Tentu awak tertanya. Betul tak?”
Soalan yang
bermain dalam kepala Isra tadi terluah melalui celah bibir Arel. Dia tenang menanti jawapan. Manalah tahu, persoalan ini akan
terjawab.
“Jawapan saya,
entahlah. Saya suka tolong orang dalam
kesempitan.” Bukankah memang ini tugas
seorang doktor.
Dia jadi doktor
bukan kerana pandangan masyarakat dan wang ringgit semata. Tapi, kerana rasa tanggungjawab biarpun minat
itu tiada pada awalnya. Demi membaiki
masa depan keluarga. Demi mama, papa dan
adiknya. Demi keluarga tersayang.
Dan, demi diri
sendiri yang mahu rawat bukan saja zahir
tapi jiwa pesakit seperti Isra.
“Saya pelik,
kan?” tanya Arel sambil tangan kembali
menekap kapas ke tepi bibir Isra.
“Sikit…”
Kening Arel
hampir bertaut. Ingatkan Isra nak menafi
tapi diiyakan pulak. Nampak sangat dia
pelik.
“Oh ya, tentang
nenek saya tu…”
“Syhhh…” Bibir merah sensual Arel muncung, melarang
Isra daripada bersuara. Dah hampir siap
ni.
“Okey, dah siap…” Arel gerakkan kerusi ke belakang
sedikit. Menjauh daripada Isra. Tersenyum dia melihat gadis ini memegang
hujung bibir.
“Tangan tu
jangan suka sangat pegang muka atau pegang kawasan luka tanpa dibersihkan
dulu. Tangan manusia ni banyak sangat
bakteria sebenarnya,” pesan Arel.
Dia pandang jam
di dinding. Masa rehat hampir
tamat. Tugasnya masih perlu bersambung
sehingga tengah malam. Tak dapat nak ke
klinik di mana tempat kedua dia bertugas.
“Saya kena masuk
kerja dah ni. Masa rehat saya dah tamat…” Arel bangkit.
“Tapi…” Isra melangut. Kata nak cakap tentang nenek. Dia tak sabar ni nak tahu.
“Nenek awak?” duga Arel.
Isra angguk. Masih duduk melangut pada dia. Menadah wajah padanya. Seperti rela dilakukan apa saja. Hailah… lembut tingkahnya demi keluarga tersayang. Seperti juga dia tapi dia perlu berkeras
sekarang.
“Pujuk dia
datang hospital. Kita test. Nanti, kita dapat keputusan penuh dan
tepat. Secepat yang boleh.”
Isra
tunduk. Nak dia ajak. Tapi, nenek tu bukan suka nak keluar. Tambah pulak bila dah duduk atas kerusi roda
ni lagilah tak nak keluar daripada rumah harapan tu. Paling tidak, mesti nenek cakap…sakit tu
datang, padanlah dengan usianya yang dah lanjut.
“Susah, doktor…”
“Jadikannya
mudah, Cik Isra,” tempelak Arel. Lengan baju
disinsing tinggi. Bercekak pinggang. Dah sedia nak keluar.
“Esok malam
boleh awak datang klinik?”
Sekali lagi,
Isra tadah wajah pada Arel. Tak faham
dengan permintaan lelaki itu.
“Esok saya
bertugas dekat klinik. Malam. Awak datang sana. Malam ni saya on duty sampai esok pagi. Tak boleh lama…” Tanpa menanti Isra bersuara, Arel terus
menapak ke pintu.
“Doktor…”
Suara Isra
menahan dia lepasi ambang pintu.
“Kalau betul
nenek saya sakit, doktor boleh ubatkan dia?
Buat dia sihat balik? Nenek tak
akan...” Kata-kata Isra mati. Tak sanggup dia nak sebut.
Arel palingkan
tubuh. Memandang Isra dengan wajah tak
beriak. “Saya hanya doktor, Cik
Isra. Saya boleh ubatkan tapi untuk buat
dia sihat balik, itu kehendak Tuhan. Saya
ni, nama memang Malaikat Pencabut nyawa, tapi nak cabut nyawa orang, pun bukan
kerja saya. Sembuh atau sebaliknya, itu
kerja Tuhan. Awak dan saya, kena
ikhtiarkan. Itu saja. Macam mana saya ikhtiarkan untuk awak datang
terima rawatan. Saya tak tahu awak akan
datang atau tidak. Saya cuma
ikhtiar. Selebihnya, Tuhan gerakkan hati
awak…” Mata dikenyit dan Arel terus
keluar meninggalkan Isra terkebil-kebil di situ.
...bersambung
Garapan citer dr rehan x penah kecewakan akak.
ReplyDeleteByk kisah realiti....di samping ayat2 cinta yg tergarap
Hurmm ni yg mlas bca ni. Bla dah bca nak lgi, dan lagi.. akak nak lgi bole? :)
ReplyDeleteYeay, double update!! 👍👍👍 😀😆 tqvm rehan 🌹🌷
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteBaca isra pkai skinny jeans n sneakers, teringat naqi CBSA. Xde topi dan gitar kapok je 😊 heroin RM semua tabah2 belaka
ReplyDeleteda agak dah nama doktor tu Izrail. hihi, teringat pulak ada baca kat blog cucuratap tajuk citer dia bidadara. ada watak sampingan nama Izrail.
ReplyDeleteda agak dah nama doktor tu Izrail. hihi, teringat pulak ada baca kat blog cucuratap tajuk citer dia bidadara. ada watak sampingan nama Izrail.
ReplyDeleteNk lg kak....huhuhu
ReplyDeleteNk lg kak....huhuhu
ReplyDelete