Friday, July 29, 2016

Black Swan 3

SEJAK tadi, dia hanya terjenguk-jenguk ke dalam rumah.  Sunyi sepi.  Lampu samar-samar.  Semua dah tidur.  Iyalah, datang jam tujuh pagi, siapa nak bukak pintu?  Orang semua.

Lama dia tatap rumah di depan mata.  Tak rasa nak masuk pun hari ni dengan keadaan bibir dan pipi yang lebam.  Malah kesan jahitan pun masih baru.  Saja cari penyakit dengan nenek.  Mahu kena bebel tujuh hari tujuh malam. 
“Esok datang lagi.  Kena cuci luka tu nak cepat baik…” 
Isra mengeluh.  Pesanan Doktor Arel menerjah dalam kepala tiba-tiba.  Pesanan sebelum doktor itu berpaling dan berlalu setelah memberi ubat pada dia.  Rawatan  yang dia terima percuma dan buat pertama kalinya dia rasakan, dia hidup dalam dunia khayalan.  Mana ada kebaikan yang percuma dalam dunia ni?  Setiap apa yang dia terima pasti menuntut bayaran. 
Itu yang dia hadap selama ini dua puluh lima tahun ni.  Dalam dunia ini  hanya ada dua jenis manusia.  Yang baik dan yang buat-buat baik.  Entah Arel itu yang mana satu.  Dia tak tahu. 
“Israfil?” 
Hah?  Isra terkebil-kebil bila ditegur.  Nenek?  Laju dia tutup mulutnya dan mengukir senyum. 
“Kenapa tak masuk kalau dah sampai?” 
“Tak nak kacau nenek dan semua orang.  Awal sangat Isra sampai hari ni…” 
“Laa.. kan nenek biasa bangun solat Subuh tak tidur dah.  Dari jauh tadi nampak orang depan pagar.  Ingatkan siapa tapi dah agak dah kamu.  Mari masuk.  Nenek minta orang bukakan pagar…” 
“Eh nek… jangan.”  Isra menegah lembut. 
“Isra kena pergi kerja.  Saja singgah sini dulu sebab semalam tak sempat singgah…”
“Semalam habis kerja lambat ke?” 
Kepala Isra jatuh sekali.  Habis kerja macam biasa sebenarnya.  Tauke minta dia kemas.  Lepas tu, ada perkara tak diingini pulak terjadi.  Mujur kerusi meja tak ada yang pecah.  Andai tidak… kenalah cari kerja lain lagi nak isi perut. 
Nenek berair mata.  Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Tiada siapa yang tahu apa yang telah gadis ini lalu.  Tapi, kerana kebaikan yang sengaja disembunyikan itulah dia jatuh kasih pada cucunya ini. 
“Kalau gitu, pergilah.  Kat sini hari ni, katanya ada doktor yang nak datang periksa secara percuma…”  beritahu nenek.
Semakin lebar senyuman Isra.  “Kalau gitu, Isra datang tengah hari…” 
“Nenek tunggu…” 
Salam bertaut.  Isra terus menoleh.  Semalam dia kerja malam.  Hari ni siang.  Dan sebelum tu, dia kena pergi klinik tu dulu. 
“Kita kena sayang diri sendiri dulu, Cik Israfil... untuk buat orang lain sayangkan kita…” 
Langkah yang mahu maju ke klinik bertukar arah.  Kata-kata Doktor Arel, sedang memburu dia.  Membuatkan dia mahu berlari sekuat hati tanpa menoleh lagi. 



NENEK Kalsom ketawa dengan gurauan doktor  yang sedang mengambil tekanan darahnya.  Jururawat di sisi pun turut sama tersenyum lebar.  Hai… dahlah muda, pandai pulak tu belajar sampai jadi doktor.  Rupa pun ada.  Dah kahwin ke belum ni.  Hati tuanya tertanya juga. 
Andai belum, rasa nak aje dia kenenkan cucu tersayang.  Walaupun gadis itu tak sempurna langsung daripada luaran, tapi hatinya hati yang begitu penyayang.  Jika tidak, tak akanlah gadis itu hambakan diri di rumah harapan ini sejak bertahun lalu saat pertama kali membantu dia bila dia tiada arah tujuan dulu. 
“Hai… nenek pandang saya ni, jangan cakap nenek jatuh cinta pandang pertama dekat saya pulak, nek.  Ada masuk rancangan 999 karang,” tegur Arel.
Nenek Kalsom gelak lagi.  Ditepuk bahu Arel sedikit kuat.  Terus anak muda itu mengaduh biarpun tak sakit. 
“Doktor ni… tapi memanglah.  Pertama kali pun dah jatuh cinta.  Macam mana ni?”  gurau Nenek Kalsom.
“Haa… kalau gitu…”  Arel cabut stetoskop yang sejak tadi ada di telinga. 
“…nenek kena jaga kesihatanlah.  Demi saya.  Nanti saya rindu nak datang tengok nenek lagi.  Nenek kenalah sihat.  Ya tak?”  Dia senyum.  Menoleh pada nurse dan berbicara Bahasa yang hanya doktor dan jururawat mengerti.
Setelah dicatat pada sekeping kertas, kertas itu diserah pada jururawat.  Senyuman berubah. 
“Kalau macam tu, nenek kena sakitlah.  Baru doktor datang jenguk nenek.  Betul tak, cik misi?”  Mata Nenek Kalsom beralih pada nurse. 
Senyuman jururawat itu nampak tawar. 
Arel pegang tangan Nenek Kalsom.  Ini penghuni yang terakhir yang dia check.  Nampaknya, ada sikit  yang tak kena. 
“Kalau gitu, nenek nak tak saya ajak datang hospital tempat saya kerja?”  ajak Arel.
“Kalau kita boleh jumpa dekat sini, kenapa nak pergi hospital pulak?  Nenek ni bukan kuat sangat.  Ini kalau budak sorang tu tak datang, nenek terperuk ajelah…”  Sebenarnya sejak pagi dia menanti Isra muncul seperti yang dijanji tapi manalah budak ni mungkir janji.
Banyak kerja sangat gamaknya. 
“Budak mana?” 
“Cucu nenek…”
“Eh, nenek ada cucu?”  Arel kerut kening. 
Kata sebatang kara.  Kalau ada cucu, tentu ada anak.  Habis tu, kenapa tercampak dekat rumah harapan ni.  Tapi, nak ditanya… rasa tak sopan.  Tentulah ada sesuatu yang dah jadi.  Yang boleh jadi dah cincang hati orang tua ini hingga hancur. 
“Adalah.  Cantik jelita lagi,” pujinya.
Kening Arel naik tinggi.  Macam nak kenen dengan dia aje ni.  Bau hanyir dah ni.  Arel tongkat dagu.  Buat muka comel.
“Nenek nak saya ngorat cucu nenek tu ke?” 
“Haa…doktor dah tau?”
“Sekilas ikan di air, nek.”  Arel gelak.  Nenek Kalsom juga.  “…tapi, pastikan dia cantiklah, nek…” 
“Eh, cantik.  Tapi, dia janji nak datang.  Manalah budak ni…”
“Lor, patutlah nak orang akhir check-up.  Tunggu cucu jelita dia rupanya.” 
Gurauan Arel tak membawa senyuman lagi pada bibir Nenek Kalsom.  Arel kerut kening.  Dah kenapa pulak?
“Pagi ni dia datang dengan mulut pecah.  Apa lagilah tak kena dengan dia tu…”  Sugul wajah Nenek Kalsom. 
“Mulut pecah?”  Minda Arel terus nampak wajah pucat Isra.  Jangan-jangan…
“Cucu nenek tu nama dia…”
“Isra!”  jerit Nenek Kalsom tiba-tiba. 
Dada Arel berdebar.  Sepatutnya gadis itu datang ke klinik pagi tadi untuk bersihkan luka tapi tak muncul.  Kerana itu dia ke sini lebih awal dan sekarang… keciknya dunia.  Arel menoleh perlahan-lahan dan demi terlihat wajah yang sama, matanya hanya mampu terkebil-kebil. 
Langkah Isra terpaku.  Andai tak silap… ya, doktor ni.  Dia tarik hoodie dan terus dapatkan nenek.  Tak nak nenek syak apa-apa dan andai doktor ni bercerita tentang hal dia malam tadi, mesti nenek kecewa. 
“Baru sampai budak bertuah ni.  Orang dah habis check dah…”  Mulut nenek muncul. 
Isra mencangkung di depan nenek.  Memegang tangan tua itu.  Sejuk.  Nenek tak sihat gamaknya. 
“Sorry, nenek.  Isra banyak kerja.  Ada budak cuti dua orang.  Jadi, kena buat kerja diorang…”
“Kamu sorang buat kerja untuk tiga orang?” 
“Ala nek… Isra dah biasa.  Isra ni kan tulang besi urat dawai…”  usik Isra tak nak nenek risau.   Walaupun dia tahu dia sering dibuli.  Tapi, tak apalah.  Dah di situ punca rezeki.
Arel rasa nak aje dia bersuara.  Tulang besi urat dawai konon.  Tu, jahitan pun tak bukak lagi tepi mulut dia.  Bila dia tengok, dah nampak sedikit infection.  Orang dah cakap jangan kena air.  Budak ni lupa gamaknya. 
Lama dia renung mulut Isra.  Nak aje dia panggil tapi melihatkan cara Isra yang buat tak kenal dia, mungkin Isra nak sorok kebenaran daripada nenek.
“Haa… ni doktor.  Kenal-kenallah…”
Isra berpaling.  Dia tunduk sikit sebagai tanda perkenalan.  Sebenarnya, dia tak nak jumpa langsung dah.  Tapi, apa nak dikata… dunia ni bukan milik dia. 
“Okeylah, Jue.  Boleh dah kemas.  Kena balik hospital ni…”  arah Arel menyembunyikan seribu satu pertanyaan dalam kepala. 
“Eh, nak balik dah?”
“Saya banyak kerja lagi, nek.”  Arel senyum pada nenek.  Sambil mengemas peralatan.  Dia masih perlu bergegas ke hospital.  Malam pula, perlu berada di klinik. 
“Tapi, boleh tak saya nak cakap dekat penjaga Nenek Kalsom?”  Mata Arel lurus pada Isra tapi gadis itu hanya terus berceloteh dengan nenek.  Langsung tak berpaling.  Atau dia memang jenis tak menarik perhatian langsung? 
“BOleh tak?”  Arel keraskan suara sedikit.
“Eh, saya ke?”  Jari telunjuk Isra lurus pada diri sendiri.
“Ya.  Penjaga Nenek Kalsom” 
Isra bangkit.  “Nek, Isra pergi sembang dengan doktor kejap, ya?”  Dia pandang Arel dan bila Arel menapak, dia terus mengikut.
Arel peluk tubuh.  Diam.  Memandang birai bibir yang dia jahit malam tadi. 
“Awak tinggal dekat sini?”
“Soalan ni tak ada kena mengena,” balas Isra.
Arel senyum senget.  Terkena dia.  Pelukan pada tubuh sendiri lepas.  Dia seluk kedua belah tangan dalam poket. 
“Okey.  Kita cakap benda yang kena mengena aje.  Pasal Nenek Kalsom…”
“Kenapa dengan dia?”  Edrenalin Isra mula meningkat.  Dia menoleh.  Nenek masih gelak dengan nurse. 
“Rasanya awak kena bawak dia ke hospital buat ujian darah.  Dekat sini saya tak boleh buat.  Tak cukup alatan.”
“Dia… tak apa-apa, kan?”  soal Isra sedikit gugup.  Mata Arel dipandang. 
“Sebab tu saya minta awak bawak dia ke hospital.  Nah…”  Arel hulur sekeping kad tertera namanya. 
Teragak-agak Isra nak sambut apatah lagi nak bersetuju. 
“Nenek tak apa-apa, kan?” 
Kali ini, Arel senyum.  Dia menggeleng kecil.  “Bawak dulu.  Insyaallah tak apa-apa.  Saya tak boleh nak diagnosis apa-apa buat masa ni.  Tapi, tekanan darah dia kurang stabil.  Baik kita check-up penuh sebelum apa-apa terjadi,” cadangnya.
Isra angguk.  Janganlah jadi apa-apa pada nenek.  Dia masih tak puas ada ahli keluarga.  Neneklah satu-satunya. 
“Dan jugak…” 
Isra panggung kepala.  Entah bila susuk tubuh tinggi itu berdiri rapat padanya.  Tunduk rapat dengan wajahnya dan sudah memaut dagunya tanpa sempat dia berbuat apa-apa.
“Dan penting jugak awak datang sekali.  Luka ada ni nampak dah kena infection…”  Arel senyum tipis.  Sengaja dia buat tak perasan bila leher putih gadis ini bergerak berkali-kali menelan liur. 
Gugup dengan tindakan dia gamaknya. 
“Atau nak saya check sekarang?”  soal Arel seraya menjauhkan wajahnya. 
“Ehem… saya okey.  Ni sikit aje…”  Jari halus Isra menyentuh luka sendiri.  Memang sedikit pedih.  Tapi, apalah sangat ni.  Dia dah biasa dilukai dengan lebih dalam dan teruk. 
“Memanglah awak okey tapi sebagai doktor, saya cakap luka awak ni tak okey.  Bernanah ni, lagi lambat baik.  Lepas tu, buat rugi aje duit yang saya bayar untuk rawatan awak kalau luka ni tak baik-baik…”  Bukanlah nak ungkit tapi entahlah… ingat senang ke carik duit.  Dia kerja siang-malam macam tiada esok. 
“Awak mengungkit?”  Isra rasa nak aje gelak.  Kan dah cakap, mana ada orang baik dalam dunia ni.  Kan dah mengungkit. 
Arel geleng dalam senyuman.
“Saya tak ungkit.  Tapi, awak berhutang dengan saya.  Awak tahu kan, hutang ni wajib dibayar walaupun tidak dituntut.”  Dia terus atur langkah. 
Dah lewat sangat. 
“Doktor,” seru Isra.
Langkah Arel mati.  Tapi, tubuhnya langsung tak bergerak.  Kepala apatah lagi.  Malas nak menoleh.  Perempuan ni betul-betul buat dia teringat pada adik sendiri. 
“Saya boleh bayar sekarang…”  Dia baru dapat gaji tadi. 
“Awak tak perlu bayar saya.  Cara nak lunaskan hutang tu, senang aje.  Awak kena sembuh.  Selagi tak baik atau jadi benda sama lagi, saya akan anggap hutang awak tak selesai.” 
Isra sengih sinis pada diri sendiri.  Kan dah terjerat.  Cepat sangat percaya. 
“Saya free daripada jam 5.30 sampai jam 6.00 petang karang.  Datang bayar hutang…”  pesan Arel dan dia terus berlalu bertemu mata dengan semua penghuni sebelum dia berlalu ke kereta. 
Daripada jauh, nampak Isra yang kaku memandang kepergian dia.
Apa kau buat ni, Arel?  Orang tu tak ada kaitan dengan kau pun!
“Doktor jatuh cinta pandang pertama ke?”  soal Cik Nija di sisi. 

Arel sengih.  Jatuh cinta setiap kali pandang gamaknya.  Soalan Cik Nija dibiarkan saja.  

...bersambung

10 comments:

  1. thanks for the new update...have been waiting for a long time to read another chapter...
    kak rehan punya cerita tak pernah menghampakan...
    please update moreee...
    thank you :)

    ReplyDelete
  2. finally...ada sambungannya..
    cite yg menarik..nak lagi...

    ReplyDelete
  3. tq kak rehan sbb update.mcm biasa mmg best sgttt ������

    ReplyDelete
  4. lama tunggu. finally. thanks kak rehan. best sngt da cerita ni

    ReplyDelete
  5. kenapa cerita kak rehan semua best2....huaaaa nak beli..

    ReplyDelete
  6. Tiap hari check sini..lega dh ada update..makin best pulak tu ☺👍👍👍 Tqvm rehan 😊🌹

    ReplyDelete
  7. Thank you...sbb sudi update...lama tunggu😊😊

    ReplyDelete