Wednesday, August 02, 2023

Anak Perempuan Dato' Pengarah 9

PEMANDUAN agak perlahan memandangkan hujan masih lebat.  Tapi, syukurlah jalan tidak sesak.  Dalam setengah jam sahaja lagi mereka akan sampai ke KLIA.  Berkali Tiani menolak, dia tetap berkeras.

“Encik hantar saya dekat KL Sentral pun dah okey tadi…”

“Saya nak hantar ke KL Sentral juga.  Tapi, itulah.  Sebab stereng dekat tangan saya dan minyak dekat kaki saya, jadi… saya terus ke KLIA ajelah…”  jawab Lukman, bersahaja.

Eleh… lelaki ini.  Betullah tanggapan pertama dia bila membaca nama Lukman pada kad nama yang mama bagi hari tu.  Bukan hanya lawyer.  Tapi, lebih kepada loyer-buruk. 

“Saya nak jemput bos saya sekali.  Alang-alang ni, saya pergi terus.  Saya tumpangkan cik sekali.  Rasanya, ini lebih selamat untuk cik…”

“Dalam kereta ni?”  tanya Tiani, mengerling pada Lukman. 

“Kereta ke… tepi jalan ke… airport ke… tak kisahlah.”  Lukman memberi hint.  Dia kerling Tiani namun wanita ini masih dengan riak tenang.  Tak mengerti apa-apa.

Dia senyum.  Lega.  Tak ada dah riak takut tu.  Warna kulit pun dah kembali cantik.  Putih kemerahan. 

“Asalkan ada bersama saya,” jawabnya.

Seperti biasa, Tiani akan kerutkan dahi.  Tak faham.  Dia pandang Lukman mencari jawapan tapi bila lelaki itu nampak serius dan fokus pada pemanduan, dia jongket bahu sendiri. 

Apa-apa ajelah.  Asalkan dia selamat.  Dia dah tak sabar nak balik.  Ikut hati, dia nak paksa mama datang dan temankan dia balik.  Tapi, mama juga ada urusan lain.  Dia juga bukan anak kecil. 

Mereka tiba di parkir KLIA akhirnya.  Tiani buka tali pinggang keledar.  Dia capai begnya.  Lantas, keluar daripada perut kereta.  Lukman juga sama.  Mereka berjalan beriringan daripada bangunan parkir ke bangunan utama hanya untuk mendapat berita yang penerbangannya telah ditunda.  Dia akan lewat dua jam.  Tiani mengeluh tipis.

“Nak duduk minum dulu?”  soal Lukman bila mendengar keluhan tipis Tiani. 

Mujurlah dia buat keputusan untuk hantar wanita ini ke KLIA.  Jika tidak, entah apa yang bakal berlaku jika dibiarkan Tiani bersendirian untuk beberapa jam lagi.    

“Terima kasih sebab pelawa tapi saya rasa saya nak masuk terus.”  Tiani menolak sopan.

“Lambat lagi.  Lebih baik tunggu dekat luar dulu.  Saya temankan sambil-sambil tunggu bos saya sampai,” ujar Lukman. 

Buat seketika, Tiani diam.  Tak beri reaksi.  Matanya melilau ke sekeliling.  Seperti biasa, KLIA akan sentiasa sibuk.  Dia pandang mata lelaki itu.  Mata kuyu yang jarang berkedip dan jarang beralih renungan.  Boleh jadi kerana lelaki ini adalah peguam, maka cara Lukman memandang nampak berbeza. 

Kemudian, Tiani angguk.  Mereka labuhkan duduk dekat dengan pintu balai pelepasan domestik.  Hiruk-pikuk KLIA sepertinya telah menelan bicara antara mereka.  Lukman tenang.  Duduk menyilang kaki.  Merenung skrin telefonnya. 

Tiani pula hanya memandang tangan yang ada di ribaan sendiri.   Dalam hati, dia lega juga bila Lukman buat keputusan untuk menghantarnya hingga ke sini. 

“Terima kasih.  Saya hargai…”  Tiba-tiba sahaja, Tiani bersuara. 

“Hah?”  Lukman terpinga-pinga.  Terkejut bila suara halus itu menyapa pendengaran.  Cuma, patah bicaranya kurang jelas.  Dia terlalu fokus pada urusan kerjanya. 

“Terima kasih,” ucap Tiani sekali lagi.  Dia menoleh pada Lukman yang ada di sisi kanannya. 

“Saya hargai,” tambahnya.  Apa yang dimaksudkan, bukan sahaja sekarang tapi apa yang telah terjadi di ruang lobi pejabat tadi. 

Dalam hatinya berdoa moga Lukman tidak bertanya lanjut dan dia lega bila lelaki ini benar-benar buat tidak tahu.  Bagai tiada apa yang berlaku. 

“Sama-sama dan ya…” 

“Apa yang ya?”  Tiani kerut dahi bila Lukman sengaja hentikan suara di situ.  

“Cik Tiani memang kena hargai.”  Lukman koyak senyuman tipis. 

Dahi Tiani berkerut lagi.  Terusik dengan jawapan Lukman tapi dia malas nak fikir.  Yang ada dalam kepalanya sekarang lebih kritikal. 

“Satu lagi, Encik Lukman…”  Tiani telan liur.  Dia lepaskan nafas pendek. 

Biarpun Lukman buat tidak tahu, tapi dia tak boleh untuk buat tidak tahu tentang apa yang telah terjadi.  Sementalah, dengan kerjasama mereka ini.  Bukan sesuatu yang boleh dibuat main.  Nilainya bukan seringgit dua. 

Tiani menoleh.  Lukman sudah sedia menatap tepat anak matanya.  Buat seketika, Tiani merasa gugup dengan renungan lelaki ini.  Dengan kedudukan yang hanya dipisahkan oleh satu ruang tempat duduk sahaja.  Gugup bukan kerana rasa takut tapi satu rasa yang dia tak berdaya untuk tafsirkan. Apakah lelaki ini memandang rendah padanya?  Tidak yakin akan kebolehannya? 

“Seperti saya cakap, saya hanya pembantu Dato’ Talhah.  Lepas apa yang jadi tadi, saya tahu Encik Lukman makin tak yakin dengan saya.”

Pengakuan Tiani, menyebabkan kening lebat Lukman berkerut.  Tapi, dia tidak menyampuk.  Kerana terbiasa dengan sikap seorang peguam, dia menanti setiap luahan atau pengakuan yang bakal dibuat. 

“Sebab itu juga, saya faham Encik Lukman tak boleh nak bekerja dengan saya.  Saya akan beritahu Dato’ untuk aturkan orang lain sebagai liason officer antara syarikat Dato’ dan Tuan Maliki.  Encik Lukman boleh berurusan dengan dia nanti.  Saya jamin, orangnya sangat cekap.”

Lukman diam seketika.  Mencerna setiap ayat yang Tiani luahkan.  Dia sunggingkan senyuman senget pada hujung bibirnya.  Pandangannya jatuh di riba Tiani.  Wanita ini jelas gelisah.  Tak berhenti Tiani meramas jari-jemari sendiri sejak tadi. 

“Nampaknya Cik Tiani dah salah anggap.  Apa yang Cik Tiani cakap tu, jujurnya langsung tiada asas.  Kalau ikut skop kerja saya sebagai peguam, itu adalah defamation.  Fitnah.  Di mana, pernyataan itu sekadar pernyataan rambang.  Tidak keluar daripada mulut saya sendiri.  Dan, saya menolak sekeras-kerasnya akan apa yang dikatakan tadi,” ujar Lukman. 

Seperti biasa, Tiani akan kerut dahi.  Aduhai… dah mula dah ayat Tuan Peguam ni.  Rasanya, lagi lama dia ada dengan lelaki ini, dia akan jadi nenek kebayan.  Asyik berkerut muka tak sudah. 

“Saya tak cakap apa yang Cik Tiani katakan tadi.  Sepatah pun tak.  Sebab dalam undang-undang, setiap kata-kata itu boleh digunakan untuk mendakwa orang yang cakap tu.  Saya nafi sekeras-kerasnya,” ujar Lukman dengan suara parau yang rendah perlahan. 

“Saya tak perlukan orang lain untuk ganti Cik Tiani.  Pada saya, cukup Cik Tiani seorang aje.  Atau sebenarnya Cik Tiani yang tak nak bekerja dengan saya?  Tak selesa mungkin?”  soal Lukman berlapik.

Sehingga ke saat ini, dia masih membenamkan persoalan demi persoalan yang menerawang dalam benaknya tentang apa yang telah terjadi di lobi pejabat tadi. 

“Saya boleh bekerja dengan sesiapa aje dan dalam apa juga situasi,” jawab Tiani dalam senyum.  Yakin. 

Namun ada sesuatu yang dapat Lukman kesan.  Senyuman ini bukan senyuman yang meyakinkan melainkan sekadar untuk menutup keresahan. 

“Dah itu kata Cik Tiani, seperti saya cakap… kita akan jumpa lagi lepas ni,” balas Lukman.

Tiani angguk.  Kemudian, mendiamkan diri.  Masa berlalu tanpa sebarang bicara.  Sesekali, dia kerling Lukman dan ada kala dia dapat rasa renungan lelaki itu menampar pipinya.  Terasa cukup pijar.  Dan, mujurlah dia dengar pengumuman tentang penerbangannya.  Dia pantas angkat tubuh.  Lukman juga sama.  Berdiri sambil menyeluk poket slack hitamnya.

Kala ini, barulah Tiani sedar.  Luqman tidak lagi seperti yang dilihat pertama kali.  Sekelip mata, lelaki ini telah berubah.  Kemeja putihnya dituck-in kemas.  Lengan kemeja dilipat hingga ke atas siku.  Biarpun tidak memakai tali leher, masih begitu kemas. Anak matanya naik ke atas.  Melihat lelaki tinggi ini.  Rambutnya juga telah disikat rapi. 

“Kalau tak puas renung, lain kali boleh renung lagi.  Saya tak luak,” usik Lukman. 

Tiani berdeham pendek.  Melarikan pandangan.  Wajahnya merah tiba-tiba.  Memalukan betul renung lelaki macam tu sekali.  Nak aje dia korek biji mata sendiri. 

“Sekali lagi, terima kasih untuk segalanya.  Saya minta diri dulu…” 

“Kalau tak boleh pandang depan, rendahkan pandangan sikit.  Asal tak langgar orang.  Takut yang dilanggar tu orangnya bukan macam saya,” pesan Lukman.  Cuba memberi hint pada Tiani. 

Tapi, wajah Tiani masih begitu.  Tiada apa-apa perasa melainkan hanya segaris senyuman itu sahaja. 

“Encik Lukman orang yang macam mana?”  tanya Tiani pula.  Ini adalah kali kedua dia dengar kata-kata ini daripada mulut Lukman. 

“Kerjasama kita baru bermula.  Perjalanan masih jauh.  Saya janji, sepanjang urusan tu, Cik Tiani akan tahu saya ni orang macam mana.  Buat masa sekarang, biar jadi tanda-tanya dulu.  Paling tidak, saya tahu Cik Tiani ada fikirkan sesuatu tentang saya,” ujar Lukman bersahaja. 

Mata mereka bersabung lama.  Jawapan yang Lukman berikan masih sama biarpun lebih mendalam. 

“Hati-hati,” pesan Lukman belum sempat Tiani buka mulut. 

Tak menanti, Tiani melangkah pergi.  Tanpa menoleh lagi.  Lukman pula masih berdiri di situ.  Hingga kelibat wanita itu hilang, dia juga masih berdiri di situ.  Bersama persoalan yang baru. 

Ada sesuatu yang tak kena pada dirinya.  Sesuatu yang asing sedang berlaku.  Sesuatu yang tak pernah terjadi sejak dulu.  Malah, dengan kejadian tadi dia juga sedar yang seorang Tiani itu adalah masalah.  Yang perlu dielak.  Lantas, kenapa dia perlu campak dirinya dalam masalah?  Sudah elok wanita itu mahu jauh daripadanya.  Kenapa perlu disekat? 

Tak lama, dia jongketkan senyuman sinis pada diri sendiri.  Lukman menggeleng berkali-kali. 

Masalah? 

Bring it on, Luk. 

Masa dia buat keputusan untuk turun ke lobi untuk satu jawapan, dia tahu dia dah bersedia untuk masalah ini. 


14 comments:

  1. Kemainnnn kau lukman. Bgtau abang taufiq nnt haaaa

    ReplyDelete
  2. Tak puas baca haraplah kisah Tiana Dan lukman dibukukan 😭

    ReplyDelete
  3. Seperti biasa, x mengecewakan, buat tertunggu2 sambungan seterusnya.

    ReplyDelete
  4. tak sbar nk tunggu next 1pm esok...

    ReplyDelete
  5. Dah la lukman, pergi serah diri pada abang Taufiq aa gitchew 🤲🏻

    ReplyDelete
  6. tak sabar nak tgok lukman kena interview oleh abg taufiq, nak tgok keluar ke tak hujah-hujah lawyer dia :)

    ReplyDelete
  7. Xsabar next episode esk 😍

    ReplyDelete
  8. Dalam Luruh, si Lukman ni macam nerd je.. Sekarang dah pandai mengayat ye

    ReplyDelete
  9. Bukan main lagi si Luq niii

    ReplyDelete
  10. Akk setiap cerita ada je hikmah akk bg dkt pembaca luv sngt

    ReplyDelete
  11. thankyou kak rehan updateee <3

    ReplyDelete
  12. Yeahh.. bring it on,Luk.

    ReplyDelete
  13. Pastinya akan ada pertemuan demi pertemuan..

    ReplyDelete
  14. HANG GATAII NOHH LUKMAN. AKU BAGITAU MAK HANG!!

    ReplyDelete