Sunday, October 09, 2011

Menyintai Aku Dengan Seadanya

PINTU bilik dihempas kuat. Gadis yang menghuni bilik itu benar-benar marah selepas dileteri oleh mamanya. Jiwanya mula memberontak. Tidak mahu dikongkong. Dia mahu bebas membuat keputusan seperti sebelumnya.

“Elok sangatlah perangai kamu tu, Yuha! Hempas pintu tu kuat-kuat lagi,” jerit si ibu, Puan Yasmin daripada bawah biarpun dia tahu yang anak tunggalnya itu tidak mungkin dapat mendengar dek daun pintu yang sudah tertutup rapat.

“Mama nasihat ni untuk kebaikan Yuha. Bukan mama tak bagi Yuha berkawan tapi pilih sikit kawan tu!” sambungnya. Hatinya geram melihatkan sikap Yuhanis yang dari ke hari semakin menyakitkan kepalanya.

“Sabarlah Min. Dia perlukan masa untuk berubah tu,” pujuk Mak Siti, pembantu di dalam rumah banglo dua tingkat itu dan menjadi penjaga Yuhanis setelah Puan Yasmin terpaksa menguruskan syarikat selepas pemergian suaminya sewaktu Yuhanis masih kecil lagi.

“Saya tak fahamlah dengan perangai dia, kak. Semakin hari semakin jauh kami ni,” keluh Puan Yasmin sambil memicit kepala yang terasa sakit tiba-tiba. Mak Siti hanya diam. Tidak tahu hendak berkata apa lagi. Kasihan juga pada dua beranak itu. Semakin jauh dan renggang hubungan ibu anak itu.

“Yuha pun semakin bebas berkawan. Dia tak tahu ke yang kawan-kawan dia semua tu nak tumpang senang? Masa Yuha kena rompak hari tu, ada mereka menolong?” tanya Puan Yasmin lebih pada diri sendiri.

Menitis airmatanya bila mengingatkan Yuhanis pulang satu malam itu dalam keadaan yang luka-luka akibat dirompak katanya. Bila ditanya tentang kawan-kawan, Yuhanis diam saja. Tidak menjawab, malah terus berlalu ke bilik. Bila disiasat, ternyata teman-teman yang berjanji susah senang bersama, tinggalkan Yuhanis sendirian dan membiarkan anak gadis itu melawan perompak itu sendiri dan mujur saja dia dibantu oleh seseorang yang dia sendiri tidak kenal bila lelaki muda itu terus berlalu pergi tanpa sempat dia ucapkan terima kasih bertanyakan namanya. Tapi, seraut wajah bersih dan tenang itu mengusik kalbu Puan Yasmin. Dia tercuit.

“Min kena bagi masa sikit dekat Yuhanis tu. Nanti Kak Siti nasihatkan dia. Mungkin dia rasa Min tak kisah pasal kehidupan dia agaknya. Itu yang dia jadi macam tu.” Mak Siti sedaya upaya memujuk agar Puan Yasmin tidak terus merintih biarpun dia tahu hakikatnya, Yuhanis benar-benar merasa yang dia bagaikan tidak wujud di dalam hidup mamanya.

“Tapi, kan Kak Siti ada temankan dia selalu. Kenapa sejak dia masuk IPT ni dia jadi macam ni. Makin liar!”

“Min kena faham. Kak Siti ni pengasuh dia je, Min. Min tu mak dia. Mak yang lahirkan dia. Patutnya Min yang kena beri perhatian pada Yuha. Kak Siti ni boleh tolong je,” tegur Mak Siti lembut.

“Tapi, saya sayangkan dia, kak. Dialah satu-satunya anak saya. Lagipun, saya kerja untuk dia kak. Untuk kesenangan dia.” Suara Puan Yasmin sedikit memprotes. Dia meraup wajahnya yang muram. Hatinya pedih menerima kebenaran di sebalik kata-kata pembantu rumahnya itu.

“Kak Siti tahu, Min sayangkan dia tapi Min kena tunjuk. Jangan balut dia dengan kemewahan Min. Balut dia dengan kasih sayang Min. Barulah dia akan makin dekat. Kak Siti takut dia makin jauh daripada Min nanti,” ujar Mak Siti lantas berlalu ke biliknya. Hati tua itu dipagut bimbang dengan keadaan dua beranak itu. Yuhanis dengan sikap keras hatinya dan Puan Yasmin pula dengan kesibukannya. Selepas Puan Yasmin berlalu, Mak Siti terus menapak anak tangga menuju ke bilik Yuhanis. Anak itu perlu dinasihati sebelum terlajak jauh.

“Boleh mak masuk?” tanya Mak Siti. Sejak dari kecil, Yuhanis sudah memanggilnya emak dan dia sendiri sudah menganggap Yuhanis darah dagingnya. Sayangnya pada Yuhanis tidak berbelah bahagi memandangkan dia hidup sebatang kara.

Mak Siti tersenyum saja bila Yuhanis mengedipkan matanya meminta agar Mak Siti masuk. Dia lantas duduk di birai katil, di sebelah Yuhanis. Tangan tuanya hinggap pada kepala Yuhanis. Membelai rambut hitam berkilat itu lembut.

“Yuha, tak baik membentak mama macam tu. Berdosa, nak,” ucap Mak Siti.

“Tapi, selama ni mama tak pernah ambil tahu tentang Yuha. Yang mama tahu hanya kerja, kerja, kerja je. Sampai masa bagi Yuha duit. Kalau dulu mama tak pernah nak hiraukan Yuha, kenapa mesti sekarang?” tanya Yuhanis lirih. Sebenarnya dia sedih akan hubungan dia dan mamanya. Dia jauh hati.

“Mama kerja untuk kebaikan Yuha. Selepas arwah papa Yuha tak ada, mama Yuha banyak berkorban. Memang Yuha tak tahu semua ni. Tapi, tiap-tiap malam dia pulang, bilik Yuha dia jenguk dulu. Yuha kena faham. Dia buat semua ni untuk Yuha,” pujuk Mak Siti lagi. Lebih lembut daripada tadi.

“Tapi….” Suara Yuhanis terhenti di situ. Rasa bersalah mula menghimpit diri. Terlupa akan pengorbanan mama yang telah menjadi ibu dan bapa untuknya setelah pemergiaan papa.

‘Betapa berdosanya aku.’ Hati kecilnya berbisik sendiri. Penuh rasa sesal.

“Yuha banyak berdosa pada mama, mak,” rintih Yuhanis bersama deraian airmata. Tubuh tua itu disapa ke dalam pelukan. Erat!

“Belum terlambat lagi untuk Yuha. Gembirakan hati mama sementara Yuha masih punyai dia atas dunia ni, nak.” Mak Siti mengucup ubun Yuhanis. Bibirnya menguntum senyum. Lega bila hati Yuhanis tidaklah sekeras mana untuk dia lentur. Masih rebung.
******
Pagi itu, tidak seperti kebiasaannya bila Puan Yasmin sendiri turun padang untuk menyediakan sarapan untuk anak gadisnya itu. Dia tidak mahu perselisihan faham semalam akan membawa lebih kekusutan dalam hubungan mereka yang belum ada tanda untuk kembali pulih.

“Yuha, sarapan dulu,” ajak Puan Yasmin bila melihatkan Yuhanis sedang melalui ruang makan menuju ke pintu utama.
Langkah Yuhanis terhenti. Perlahan-lahan dia kalih pada mamanya. Dia rindu kasih sayang dari wanita anggun itu dan kecantikan wanita itulah yang telah dia warisi hinggakan dia menjadi kegilaan ramai lelaki tambah pula menjadi anak tunggal kepada seorang wanita korporat yang berjaya.

“Sarapan dulu sayang sebelum masuk kuliah.” Puan Yasmin menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan setelah melihat Yuhanis mendekat ke meja makan.

“Hari ni Yuha tak payah bawa kereta, biar mama hantar,” ujarnya ceria cuba memancing Yuhanis untuk membuka mulut.

“Mama tak kerja ke hari ni? Tak ada meeting? Tak ada appointment penting?” tanya Yuhanis bernada sindiran. Dia duduk di kerusi berhadapan mamanya. Dikerlingnya wanita itu sekilas. Terkesan riak mamanya yang sedikit keruh. Hatinya dipagut rasa salah. Rasa berdosa pula. Terngiang-ngiang suara Mak Siti menasihatinya semalam.

“Mama cuti seminggu. Nak temankan Yuha kat rumah. Lagipun, Yuha nak final dah, kan?” Puan Yasmin seperti biasa saja, dengan suara yang ceria sedangkan hatinya sedih melihat anak gadisnya itu bersikap kasar. Pakaiannya juga agak selekeh. Yuhanis diam. Mengiyakan tidak, menggeleng pun tidak.

“Mama minta maaf pasal semalam. Mama tak ada niat nak kongkong kebebasan Yuha, tapi tolonglah nak, pilih sikit dalam berkawan ni,” pohon Puan Yasmin separuh merayu. Dia tidak mahu anaknya terus hanyut dengan lelaki yang dikenalinya sebagai Hafiz itu. Kurang beradap pada pandangannya.

“Mama nak suruh Yuha berpisah dengan Hafiz, macam tu?” Suara Yuhanis kini sudah agak tegang. Dia tidak suka bila mamanya memaksa dia berpisah dengan Hafiz sedangkan dia rasa dia mungkin menyintai lelaki itu biarpun sesekali dia rasa dipergunakan.

Mungkin? Yuhanis ketawa sendiri di dalam hati. Entahkan itu digelar cinta atau sekadar mahu melepaskan bosan semata-mata, dia sendiri tidak tahu.
Teringat pula pada Nadzimin yang juga menyukainya tapi dia tidak pernah melayan lelaki itu kerana Nadzimin tidak setampan dan tidak menjadi perhatian seperti Hafiz. Bila difikirkannya, jauh di sudut hati Yuhanis, dia rasa sedikit janggal bila kini sudah tidak menerima kiriman salam daripada Nadzimin seperti selalu. Bagaikan lelaki itu sudah berputus asa.

‘Argh, lelaki yang benar-benar menyintai aku sukar nak dapat. Entah ada entahkan tidak dan bila difikirkan lagi apa yang membuatkan aku memilih Hafiz?” bisik hatinya sendiri.

“Mama nak yang terbaik untuk Yuha. Sebab mama nampak Hafiz tak ikhlas sukakan Yuha!” Suara Puan Jasmin membawa Yuha memandang mamanya. Dia letih. Sejak dari semalam dileteri oleh mamanya kerana kes rompakan tempoh hari dan yang pedihnya, Hafiz tidak datang membantu pula waktu itu malah sanggup melarikan diri bagaikan pengecut. Mujur juga ada yang sudi membantu.

“Nantilah Yuha fikirkan.” Yuhanis bangkit tanpa menjamah apa-apa. Dia dekati mamanya. Rasa terharu bila mamanya menyediakan sarapan untuknya pagi ini. Atas nasihat Mak Siti juga, dia tidak mahu lagi membuat mamanya marah.

“Nanti balik tengah hari Yuha makan,” beritahu Yuhanis kerana bimbang mamanya berkecil hati kerana makanan tidak tercuit. Tangan halus itu dipaut lalu dikucup lembut.

“Yuha pergi sendiri je,” sambungnya lantas berlalu pergi. Puan Yasmin hampir terduduk melihatkan perubahan Yuhanis biarpun masih terasa kedinginan sikap Yuhanis. Setitis airmatanya gugur jua setelah sekian lama kolam matanya kontang.
*******
Selepas keluar daripada perut kereta Wolkswegen Golf GTI berwarna putih mutiara hadiah daripada Puan Yasmin itu, Yuhanis terus menapak ke kafe. Perut yang lapar tiba-tiba sudah minta diisi.

‘Itulah, tadi jual mahal mama suruh makan,’ ejek Yuhanis pada dirinya sendiri.
Tiba di kafeteria Fakulti Senibina, Yuhanis terus beratur dan mengambil makanan. Usai membuat bayaran dia mencari tempat duduk yang agak tersorok. Fikirannya jauh melayang. Kata-kata mama tentang Hafiz terngiang-ngiang di telinganya sedari tadi. Benar juga kata mama. Dia juga yakin yang kawan-kawannya yang ada hanyalah mahu menumpang senang semata-mata. Tatkala susah, dia perlu hadap semuanya sendiri.

Teringat pula kepada lelaki yang menolongnya malam itu. Kerana suasana yang gelap, dia tidak dapat melihat wajah lelaki itu dan anehnya, sewaktu tiba dipagar rumah banglonya, lelaki tersebut terus berlalu tanpa sempat dia berkata apa-apa. Aneh! Sesekali matanya melilau ke sana ke mari. Sejak akhir-akhir ini, terasa bagai ada yang memerhati kewujudannya. Rasa tidak sedap hati. Dia seorang yang sukar digertak. Seorang yang kuat semangat tapi sejak kejadian rompakan tempoh hari, semangatnya menjadi goyah.

Yuhanis menggeleng beberapa kali. Menarik nafas dalam-dalam. Mohon dijauhkan perasaan cuak begitu. Sekaligus mahu menghalau pergi bayangan wajah Hafiz dari benaknya. Dihambat pergi juga kata-kata mamanya. Dia tidak mahu mengusutkan keadaan dalam pada dia perlu menghadapi peperiksaan akhir demi kecemerlangan dalam Ijazahnya tidak lama lagi.

“Sayang,” tegur satu suara tiba-tiba.
Yuhanis mendongak mencari pemilik suara. Seperti biasa, Hafiz muncul entah dari mana. Perasaan Yuhanis tepu tiba-tiba. Bagaikan tidak berperasaan tatkala melihat lelaki ini. Tidak seperti biasa.

“Assalamualaikum,” balas Yuhanis sinis. Dalam hatinya mengekek melihat perubahan wajah Hafiz yang sudah melabuhkan duduk di depannya.

“You nak kenakan I, ya sayang?” tanya Hafiz tidak puas hati. Pertama kali Yuhanis memberi salam buatnya, membuatkan dia rasa diejek oleh gadis jelita itu.
Ya, memang jelita dan kerana kejelitaan itulah ditambah pula dengan status anak tunggal orang kaya membuatkan dia mengejar Yuhanis biarpun pada mulanya gadis itu menolaknya keras-keras.

“Aik, perli apanya. Salam tu kan doa. I mendoakan kesejahteraan you. Sepatutnya you mendoakan kesejahteraan I balik. Ini tidak, you cakap I perli you pulak, ya Apit?” Kali ini suara Yuhanis lebih sinis.

Makanan yang baru separuh dihabiskan ditolak ke tepi. Dia menyisip lemon tea suam itu seketika sebelum kembali merenung wajah tampan Hafiz. Saat itu dia perasaannya berubah sama sekali. Tidak tahu kenapa. Rasanya tiada lagi sayang buat Hafiz atau memang dia tidak pernah meyintai lelaki itu selama ini?

“Kenapa tengok I macam tu,” tanya Hafiz.

“I just wondering, kalaulah you terpaksa korbankan diri you untuk I, you rasa you sanggup tak?” pancing Yuhanis. Dalam hatinya sudah dapat menebak jawapan daripada Hafiz. Pastilah sanggup saja kerana masih belum berada di dalam situasi yang sukar.

“Mestilah I sanggup. Kalau tak ada you I susahlah,” jawab Hafiz manja. Yuhanis jungkit kening. Rasa terkilan jua dengan jawapan akhir Hafiz. Ya, pastilah susah kerana selama ini Yuhanis banyak menolongnya dari segi kewangan dan sebagainya.

“Okay, I mark your last words,” sela Yuhanis lantas bangkit untuk berlalu ke dewan kuliah.

“Kenapa you moody je I tengok, Yuha?” Yuhanis membiarkan sahaja soalan Hafiz di angin lalu bila fikirannya bukan di situ.

Dia mula terkenangkan seseorang. Seorang lelaki yang selalu dia tolak cinta lelaki itu hinggakan lelaki itu sudah tidak muncul lagi di hadapannya. Kecewa barangkali.

“Yuha, ada mamat bagi nota ni dekat kau?” jerit Mimi, salah seorang teman yang memang suka menumpang kesenangan Yuhanis.

“Siapa?” tanya Yuhanis malas. Dia sedang sibuk membelek buku rujukan untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh Pensyarah.

“Nah.” Yuhanis menyambut kertas putih yang dilipat dua itu daripada tangan Mimi. Wanita itu ketawa mengekek. Yuhanis sendiri tidak tahu apakah isi di dalamnya amat menggelikan hati.

Yuhanis terdiam tatkala menatap tulisan bertinta tangan itu. Langsung dibaca dan terus terakam kemas di dalam memorinya. Tulisan agak kemas dan cantik. Tidak macam tulisan seorang lelaki pula. Bibirnya mengulum senyum tatkala membaca bait-bait ayat di dada kertas itu. Akhirnya, jatuh pula pada sepatah nama yang belum pernah didengarinya. Nadzimin! Nadzimin! Ulang hatinya berkali.

“You dah sampai mana ni, Yuha?” Suara Hafiz yang dekat di telinga membawa Yuhanis kembali ke alam nyata. Terbang pergi ingatan padanya pada Nadzimin. Berangan saja kerjanya sejak daripada pagi. Haish!!

“I ada. Eh, I nak masuk kelas dah ni. You masuk kelas jugak tau?” pesan Yuhanis lantas berlalu meninggalkan Hafiz yang sudah diamuk amarah.
Jauh dari situ, Nadzimin sekadar memerhati pergerakan gadis kesayangannya bersama lelaki yang dicintai wanita itu. Sejak daripada dia ternampak kelibat wanita itu sedang beratur di kafe lagi, dia tidak puas menatap wajah yang dirinduinya saban masa tanpa dapat dihalang kehendak hatinya.
Mungkin Yuhanis sedar akan diri yang diperhatikan bila dia melihat gadis itu memandang sekeliling. Hatinya terasa dicucuk sembilu mengingatkan Yuhanis berjalan rapat dengan Hafiz. Siapa tidak kenal Hafiz. Seorang yang sangat tampan dan menjadi kegilaan biarpun tahap pelajarannya tidaklah cemerlang mana seperti dia.

Nadzimin sedar rupa dan harta itulah yang menjadi buruan manusia sekarang. Duniawi semata-mata. Tapi, bagi dia pula, dia tidak memandang semua itu. Dan, kerana itu juga, dia tekad untuk melupakan perasaannya dan tidak muncul lagi di depan Yuhanis selepas mengetahui siapakah gadis itu yang sebenarnya setelah sekian lama. Rasanya dia langsung tidak layak. Terlalu besar jurangnya.

“Kalau awak nak tahu Encik Nadzimin, Yuhanis tu anak orang kaya. Tengok kereta saja dah tahu. Siapa yang nak bagi anak bawa Wolkswegen Golf GTI ke kampus. Kadang-kadang tu siap ada driver lagi hantar pakai kereta lagi besar dan mewah. Pakaian dia, walaupun nampak selekeh tapi harga cecah ribu. And she is so beautiful. Awak agak-agak dia nak pandang tak awak?” Suara Mimi, salah seorang kawan Yuhanis masih berdengung di dalam kepalanya saat dia menitipkan salam yang terakhir dulu.

Selama ini, Nadzimin menganggap Yuhanis itu anak orang sederhana saja. Melihatkan pakaian dan cara Yuhanis, dia bermatian mengatakan Yuhanis itu sepertinya juga. Kereta mewah itu pula pastilah milik Hafiz kerana kerap kali dia melihat Hafiz yang membawa kereta itu. Lantaran itu, Nadzimin mula menganyam angan mahu meraih cinta si gadis. Sesungguhnya, dia tersilap perhitungan. Yuhanis bukanlah calang-calang orang dan oleh kerana itu, dia berkeputusan untuk undurkan diri. Terasa kerdil hendak dibandingkan dengan gadis impiannya itu.
*****
Mata Yuhanis galak melilau ke sekitar kawasan studio Fakulti Senibina. Dia mencari seraut wajah yang tiba-tiba hilang dari pandangannya. Dia tidak tahu kenapa tapi yang pasti, dia mahukan titipan salam seperti biasa daripada Nadzimin. Salam yang tidak pernah berbalas malah dipandang sepi. Dingin bagaikan salju. Mujur sahaja tidak diherdik lelaki kampung itu tatkala bertembung.

“You cari apa sayang?” tanya Hafiz. Yuhanis mendengus. Geram dengan sikap Hafiz yang suka bertanya tiba-tiba.

“Saja cuci mata,” jawab Yuhanis cuba mempermainkan emosi Hafiz. Dia tahu yang Hafiz sedang baran dengannya. Tapi, tidak pula dia tahu kenapa.

“Nak cuci mata, baik you tengok I ni.” Hafiz ketawa nipis sedangkan wajah Yuhanis mencuka. Dia bagaikan sudah tidak mahu melihat wajah Hafiz lagi. Rasa semak mata memandang. Langsung tiada ketenangan.

“Yuha, I nak pinjam kereta, boleh tak?” Hafiz tayang gigi. Seperti biasa cuba meraih keizinan daripada Yuhanis.

“Pakailah, Apit. Selama ni pun I bagi, kan? I tak bagi pun you tetap nak jugak,” jawab Yuhanis penuh sindiran. Hafiz ketap gigi. Geram dengan sikap Yuhanis sejak kebelakangan ini.

Tapi, Hafiz perlu tahan diri. Agendanya masih terlalu jauh. Dia perlukan Yuhanis untuk hidup senang. Selama ini, segala hadiah yang Yuhanis berikan sangat mengujakan. Pakaian berjenama dan segalanya mahal belaka.

“Tapi, minyak tak ada tu. Nanti you tuang. Karang takut kena tolak pulak kereta tu. I balik dengan mama I je hari ni. You bawak baliklah kereta tu. Esok pulangkan.” Yuhanis lantas bangkit untuk keluar ke pagar kampus. Dia mahu menelefon mamanya pula. Minta dijemput. Pastilah dia dileteri lagi oleh mama kerana memberikan kereta itu kepada Hafiz.

“Ala, sayang! I tak ada bajet nak tuang minyak ni,” rengek Hafiz. Langkah Yuhanis mati lalu dia kalih kepada Hafiz. Dia angkat kening. Dasar tak malu. Ejek hatinya.

“I dah tahu. Dalam kereta I tu ada je seratus dua yang mama I bagi minggu lepas. You pakailah duit tu,” sela Yuhanis lalu menapak pergi. Dia punyai niat lain.
Sudah terang terentang Hafiz ingin menggunakannya dan bagi Yuhanis pula, biarlah begitu. Dia malas hendak berkira kerana sejak lama dulu dia sudah tahu, Hafiz tak mungkin dapat menjadi pendampingnya. Yang boleh mendidik dia menyusuri jalan yang lurus kerana dia kini sudah agak menyimpang dari landasan yang benar. Ada rasa sesal mula hadir. Ada rasa sayu mula menggigit sanubari. Benar kata mamanya. Mereka sekadar teman ketawa tapi bukan teman menangis.
****
Jam di pergelangan tangan di kerling sekilas. Sudah hampir setengah jam Puan Yasmin menanti anak daranya di depan kampus. Tapi, ternyata batang tubuh Yuhanis masih jua belum muncul di depannya. Hatinya dipagut bimbang andai sesuatu telah berlaku sedangkan Yuhanis memberitahu akan menantinya di situ sewaktu menelefon tadi.

Matanya terus melilau melihat memerhatikan keadaan sekeliling. Hingga akhirnya mata itu tertancap pada sekujur tubuh milik seorang gadis. Rasa mahu terjojol saja biji mata melihatkan keberanian anak-anak sekarang berpakaian.

“Mama tengok apa?” tegur Yuhanis pada mamanya. Sejak dari tadi dia melihat mamanya terlalu ralit memerhatikan sesuatu dan dari kejauhan dia masih dapat mengecam lenggok tubuh Mimi.

“Haish.” Puan Yasmin menggosok dadanya dek kerana terkejut akibat sergahan Yuhanis. Matanya dibulatkan, menegur sikap Yuhanis dalam diam.

“Terkejut mama. Mana Yuha pergi? Dah lama mama tunggu ni?”

“Cari orang.” Yuhanis tersengih saja lalu masuk ke perut kereta di bahagian pemandu. Tidak mahu mama menjadi pemandu untuknya.

Puan Yasmin tersenyum kecil melihat telatah Yuhanis lantas dia juga berlalu ke bahagian penumpang dan kereta terus meluncur laju meninggalkan kawasan Fakulti Senibina itu tanpa Yuhanis sedar, ada mata yang memerhati. Ada wajah yang beriak sedih menahan angin rindu yang membadai. Sudahnya, Nadzimin berlalu bila kereta mewah itu hilang dari pandangan.
******
Pensel di jari diletakkan di atas meja. Yuhanis mengeluh lagi. Entah macam mana hendak dia melepaskan diri dari Hafiz. Dia buntu.

“Haish, anak dara ni. Mengeluh apa tu?” tegur Mak Siti tiba-tiba.

“Si Hafiz nilah. Buat semak mata je,” adunya pada Mak Siti sambil berlalu semula ke dalam rumah.

“Kalau Yuha tahu menyemakkan mata, kenapa dok layan lagi dia?”

“Entahlah, mak. Yuha tak rasa dia sukakan Yuha sebab Yuha tapi sebab Yuha anak orang kaya. itu je,” jawab Yuhanis telus. Mak Siti mengeluh.

“Kalau Yuha dah tahu jugak macam tu niat dia, kenapa tak tinggalkan dia je?”
Yuhanis diam. Lakaran potret lelaki yang semakin dirinduinya itu ditatapnya lama. Masih belum siap sempurna. Namun, sudah nampak agak jelas wajah tampan itu. Biarpun tidak setampan Hafiz, lelaki itu mempunyai raut yang tenang dan bercahaya. Renungannya dulu tampak kudus. Ada keikhlasan di sebaliknya. ‘Tapi, mengapa aku buta kala itu?’ Bisik hati kecil Yuhanis.

“Yuha tak nak timbulkan masalah, mak. Setidak-tidaknya biarlah Yuha selesaikan exam akhir ni dulu. Nanti lepas tu, Yuha memang tekad nak tinggal segala yang buruk-buruk tu.”

“Nak buat perkara baik ni, lagi cepat lagi elok, Yuhanis. Kenapa nak lambat-lambat, kan?” Yuhanis terdiam. Berbicara dengan Mak Siti sentiasa membuatkan dia tewas. Setiap kata-katanya penuh dengan nasihat yang amat berguna. Yuhanis dalam diam bersyukur kerana telah dijaga dan diasuh oleh Mak Siti.

“Walaupun kami berlainan kelas, kami satu fakulti, mak. Yuha tak nak Hafiz dok kacau je Yuha nanti dekat-dekat nak periksa ni. Hafiz tu bukan boleh kira, mak. Bila fikir balik, kenapalah Yuha boleh sangkut dengan kawan-kawan macam tu?” Yuhanis bertanya lebih pada diri sendiri. Dia menggeleng beberapa kali. Rasa menyesal tak sudah.

Dia meletakkan kanvas itu di atas meja dan langsung menarik perhatian Mak Siti ke arah seraut wajah yang rasanya seperti pernah dilihat sebelum ini. Tapi, ingatannya agak kabur seiring dengan usia tuanya.

“Mak macam pernah tengok orang yang Yuha lukis ni,” ujar Mak Siti sambil mata terus menatap lukisan Yuhanis penuh minat.

“Ni kawan Yuha. Dah lama Yuha tak jumpa dia. Tak tahu mana dia pergi. Puas Yuha cari sekitar kampus,” ulas Yuhanis jujur. Baginya, tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada Mak Siti.

Dia sudah menginjak 25 tahun. Sudah berhak membuat keputusan untuk memilih teman hidup yang mahu menerima dirinya seadanya dia. Bukan kerana rupa atau harta. Kerana dia sedar kini, rupanya yang selalu diangkat cantik itu adalah bersifat sementara. Kekayaan itu jua bukan hak milik mutlak manusia.

“Yalah, Yuha. Mak rasa dia ni lelaki yang…”

“Hai, rancak berborak. Mana kereta Yuha?” Pertanyaan Puan Yasmin yang baru turun dari tingkat atas memangkas kata-kata Mak Siti.

Mati di situ saja tanpa sempat dua menyudahkannya. Sudahnya, Mak Siti diam dan langsung berlalu ke dapur, membiarkan dua beranak itu bermesra setelah sekian lama hubungan mereka renggang. Bibir tua itu tersenyum lebar. Hatinya membisikkan syukur.
*******
Langkah kakinya dihayun laju. Sesekali dia berlari anak. Yuhanis mahu cepat sampai ke bilik Dekan. Mahu menyaksikan sendiri dengan mata kepalanya. Berita yang baru saja sampai ke telinganya benar-benar membuatkan dia terhenyak sendiri. Yuhanis benar-benar rasa tertipu kali ini. Tertipu oleh dua orang makhluk yang selama ini kononnya hendak susah senang bersamanya.

“You tak boleh tinggalkan I Apit selepas apa yang I serahkan pada you.” Langkah Yuhanis terhenti. Ada suara yang dikenalinya di kaki lima di kawasan pejabat Dekan. Dia mula mengamati dan ternyata suara itu milik Mimi.

“I tak minta you serahkan segalanya pada I, Mimi. You yang rela serahkannya. So, dalam hal ni kita sama-sama salah dan I tak akan bertanggungjawab pada you,” bentak Hafiz pula.

“Kita dah tertangkap macam ni dan dah kena dismiss pun, you cakap you nak putus dengan I pulak? Selama ni elok saja you tipu Yuha tu. Pakai harta dia buat enjoy dengan I sebab you kata Yuha tu tak boleh nak usik, kan?”

“Yuhanis tu lain. Dia cantik, kaya. Pakej lengkap. Sebab tu I tak boleh nak lepaskan dia. You ni untuk I suka-suka je, Mimi.”
Kali ini, Yuhanis terpukul dengan kata-kata keduanya. Perlahan-lahan dia menapak ke arah Mimi dan Hafiz yang sedang bertekak lalu menepuk tangan. Pantas Mimi dan Hafiz memandang ke arahnya dengan wajah yang pucat.

“Tahniah untuk korang berdua sebab khianati aku au selama ni. Kau Apit, jangan kata kau nak jaga cinta kononnya, persahabatan pun kau langsung tak endah. Hari ni, aku tersangat yakin dengan keputusan aku untuk putuskan segala hubungan dengan kau. Kau memang tak layak nak berganding dengan bayang aku sekalipun, Apit! Dan kau Mimi…” Mata Yuhanis beralih pula pada Mimi. Wanita itu menekur saja ke lantai. Takut hendak menatap mata tajam Yuhanis.

“…kau boleh ambil Apit ni dengan segala hormatnya. Aku tak perlukan lelaki yang dayus dan penzina macam ni. Yang tak boleh nak terima aku seadanya. Yang sekadar mahukan rupa dan harta saja! Kalau kau nak tahu, aku tak pernah benarkan Apit pegang aku walaupun pada hujung jari ni. Tubuh aku ni hanya boleh disentuh oleh seseorang yang halal buat aku!” sambung Yuhanis tegas.

Hafiz menapak mahu mendekat pada Yuhanis tapi gadis itu lebih pantas menghalang. Allah menyayanginya dan mahu dia lepas dari semua ini. Hari ini, segalanya terbukti yang hatinya benar pabila berkeputusan hendak meninggalkan Hafiz.

“Yuha, let me explain, sayang. Ni semua salah faham je. Mimi yang goda I.” Hafiz mula mencipta helah. Dia tidak mahu melepaskan Yuhanis pergi.

“Ops, no need to explain. Everythings clear already. Very very clear,” sinis Yuhanis. Dia terus kalih dan mahu melangkah sebelum langkahnya dipakukan seketika lantas dia berpaling semula ke arah pasangan itu.

“By the way, congrate on your termination, guys.” Ada senyuman sinis tersungging di bibir merah merekah milik Yuhanis. Dalam hatinya pantas mengucap syukur kerana terbukti sudah siapa Hafiz sebenarnya. Namun, setitis airmatanya gugur jua mengenangkan persahabatannya dikhianati.

Hafiz meraup wajahnya. Tidak mampu berbuat apa-apa saat itu. Dia sekadar melihat tubuh Yuhanis yang mula hilang di balik tembok. Terasa menyesal pula kerana tidak mampu mengawal nafsu lalu sanggup mengheret Mimi ke dalam studio yang dirasakan tidak digunakan hari itu. menjadikan hari yang terburuk dalam hidupnya. Dalam hatinya, dia tetap tidak mahu melepaskan Yuhanis pergi. Yuhanis perlu menjadi miliknya walau apa pun yang terjadi. Dia kemudiannya berlalu meninggalkan Mimi yang mula menangis teresak-esak, menyesali nasibnya yang mudah percaya pada Hafiz hinggakan dia tegar menyerahkan segalanya.
*******
Mata si ibu ralit memerhatikan si anak yang sedang menarikan mata pensel di atas kanvas di balkoni biliknya. Selepas diberitakan padanya tentang kejadian Hafiz dan Mimi, Puan Yasmin dapat melihat perubahan drastik dalam diri Yuhanis. Anak itu sudah menjadi pendiam. Sepatah ditanya, sepatah juga dijawab. Andai tidak ke kuliah, hanya berkurung saja di dalam bilik. Menghadap kanvas putih itu sampaikan tidak tidur juga.

“Yuha, boleh mama tanya sikit?” Lembut saja suara si ibu menegur. Tidak mahu mengejutkan puteri yang sedang asyik melukis. Yuhanis sekadar mengangguk. Dia masih tekun menyiapkan lukisan potret yang entah ke berapa itu. Potret wajah Nadzimin.

“Yuha sedih putus dengan Hafiz?”

“Tak, ma. Malah Yuha bersyukur dan menyesal sebab tak pernah nak dengar nasihat mama selama ni,” jawab Yuhanis. Dia kalih sepenuhnya pada si ibu. Menatap bening mata yang cantik. Ya, cantik dan sepasang mata redup dihiasi alis lentik dan tebal itulah yang diwarisinya.

“Syukurlah, nak. Allah masih sayangkan kita. Cepat-cepat dia tunjuk sikap sebenar kawan-kawan Yuha tu. Ni gambar siapa ni? Untuk projek akhir ni ke?” Anak mata Puan Yasmin beralih pula pada seraut wajah yang terlakar indah itu.

Sudah berkali-kali dia melihat anaknya itu melukis wajah yang sama. Posisi juga sama. Tiada yang berbeza. Tidak bosankah Yuhanis? Hatinya menebak sendiri. Mungkin saja lelaki inilah yang berjaya membuat anak dara ini sasau begini.

“Zimi, ma. Nadzimin.”

“Nadzimin? Dia siapa pada Yuha? Kalau tak istimewa, mama tak fikir Yuha nak lukis gambar dia berkali-kali,” telah Puan Yasmin. Yuhanis mengangguk.

“Dia suka Yuha ke?”

“He was.”

“Was? And now?”

“Dia hilang, ma. Payah Yuha nak jumpa dia. Penat cari satu fakulti. Kelas dia pun dia jarang ada. Dia macam nak larikan diri dari Yuha,” akui Yuhanis jujur. Wajahnya muram lantas dia kembali melarikan mata pensel menyiapkan lukisan wajah Nadzimin yang masih lekat dalam memorinya. Lukisan yang ke 10.

“Mesti Yuha ada buat sesuatu pada dia tak?” duga Puan Yasmin.

“Dulu Yuha tak pernah layan dia. Salam dia tak pernah Yuha sambut baik. Bila kali terakhir Yuha terima ni daripada dia…” Yuhanis menyelok kocek seluarnya, kertas putih itu dikeluarkan. Diunjukkan kepada mamanya.

“…. dia terus hilang.” Ada keluhan pada akhir bicara gadis jelita itu.

“For me, he’s so charming. So brave. Berani luahkan cinta pada anak mama yang masa tu berpunya dan agak dingin.” Puan Yasmin ketawa kecil.

“Rugi Yuha tolak dia dulu,” ujar Puan Yasmin. Sengaja diusik emosi anaknya sedangkan dalam hati sudah ketawa mengekek. Melihatkan wajah itu benar-benar membuatkan Puan Yasmin tersenyum. Wajah yang tidak pernah ditemuinya lagi selepas peristiwa itu dulu dan wajah yang mahu dicari selama ini demi rasa terhutang budi.

“Please, ma. Yes, I used to reject him but now I dying to love him,” akuinya Yuhanis lagi. Dia sudah tidak larat menyimpan rasa cinta dan rindu yang membuak pada Nadzimin. Ya, cinta. Benar-benar cinta.

“Keep on searching then. Jangan mengalah dan asyik lukis potret dia je. Don’t be a quitter, sayang. This is not you.” Puan Yasmin mengucup pipi Yuhanis sekali lantas berlalu. Bibirnya menguntum senyum. Benar seperti yang Mak Siti katakan. Lelaki itulah yang pernah menyelamatkan Yuhanis dulu. Kata hatinya tepat.

Dan, di sebuah rumah sewa milik sekumpulan pelajar bujang, Nadzimin juga sedang menghadap kertas lukisan.

“Daripada kau dok gila bayang macam ni Mi, dok lukis je gambar perempuan tu je, lebih baik kau dapatkan dia. Lena tidur kau nanti,” tegur salah seorang temannya, Faizal. Nadzimin hanya mampu tersenyum kelat. ‘Aku tak mampu, Zal,’ bisik hatinya pedih.

“Kaya atau miskin kita ni Mi, kau kena kembali pada qada dan qada. Jodoh itu adalah ketentuannya. Andai kau dengan Yuhanis memang berjodoh, aku yakin dia akan datang pada kau dengan sendiri. Tanpa paksaan,” tokok Faizal lagi sambil menepuk bahu Nadzimin lembut.
******
Suasana tenang itu bertukar kalut bila Nadzimin ternampak kelibat Yuhanis yang sedang menuju ke arahnya. Makanan yang belum luak sedikitpun terpaksa ditinggalkan. Menatap wajah itu lagi bagai membenarkan hatinya terobek lagi.

“Zimi,” panggil Yuhanis bila melihatan Nadzimin mahu berlalu.

“Nadzimin Nadzmi!” Kali ini suara Yuhanis lebih kuat. Beberapa mata yang mula memandang, tidak dipedulikan. Tujuannya hanya satu. Hanya Nadzimin. Pelik. Benar-benar aneh dengan perasaan ini. Andai dulu lelaki itu bagaikan tidak wujud tapi kini, dia rasa lelaki itu bernafas bersamanya.

Nadzimin langsung tidak mempedulikannya. Kakinya makin pantas melangkah. Menuju ke belakang fakulti yang tidak akan didatangi sesiapa. Biarlah, dia sudah tidak mahu cuba meraih cinta Yuhanis. Dia tidak layak lalu dia duduk bersandar ke dinding.

Yuhanis terus memanjangkan langkah. Mahu mengejar langkah Nadzimin setelah bersusah payah dia mendapatkan maklumat daripada Faizal mengenai Nadzimin. Ternyata, lelaki itu masih menyintainya tapi dia tidak tahu apa yang membuatkan Nadzimin mendiamkan diri. Nadzmin mula hilang daripada pandangan.

“Haish, cepat betul,” rungut Yuhanis tanpa sedar langkahnya juga diekori.

“Got you,” sergah Yuhanis dengan nafas yang tidak teratur. Penat mengejar kepantasan langkah lelaki yang tinggi lampai ini. Sesuai benar dia menjadi kapten
pasukan ragbi.

Nadzimin pantas bangkit. Tidak sangka terkesan jua kelibatnya oleh wanita itu. Mata bertentangan lama. Ada debar di hati masing-masing yang mula menghentak dada.

“Kenapa Zimi larikan diri daripada Yuha?” tanya Yuhanis dengan perasaan sebu. Menatap mata kuyu itu benar-benar membuatkan dia berpijak di bumi nyata. Merasai nikmat cinta kurniaan Ilahi yang sedang menjalar di dalam urat hatinya. Tubir matanya terasa berat.

“Zimi tak pernah larikan diri tapi Yuha yang menjauh. Yuha dah ada Hafiz. Zimi ni siapalah untuk Yuha pandang,” jawab Nadzimin penuh rendah diri.

“Zimi adalah lelaki yang pernah bagi surat ni pada Yuha. Zimi adalah lelaki yang selama ni suka berkirim salam pada Yuha walaupun Zimi tahu masa tu Yuha dengan Hafiz. Tapi, kenapa tiba-tiba Zimi jadi pengecut. Berlalu sebelum berjuang?”

“Zimi tak mampu Yuha. Di mana Yuha, di mana Zimi?” Nadzimin tersenyum tipis. Dia mula terkesan akan mata bundar Yuhanis yang mula berkaca-kaca.

“Zimi cakap tak mampu sebelum Zimi mencuba sepenuh hati. Zimi tak mampu sebab itu Zimi cepat mengalah sebelum berjuang,” protes Yuhanis. Dia tidak suka dengan jawapan Nadzimin.

“So, you tell me. What I am suppose to do? Kawan-kawan Yuha selalu permainkan cinta Zimi pada Yuha. Kita memang tidak setaraf Yuha. Memang dulu, Zimi ingatkan Yuha gadis biasa saja dan yang kayanya itu Hafiz. Tapi, bila Mimi beritahu hal yang sebenar, Zimi rasa kerdil. Rasa bersalah kerana menyintai Yuha sedangkan masa tu, Zimi dapat rasa yang Yuha juga ada perasaan pada Zimi.”

“Kalau Zimi rasa Yuha juga berperasaan pada Zimi, kenapa Zimi sanggup larikan diri dari Yuha? Benci sangat ke Zimi pada Yuha ni? Jangan cakap sebab Yuha anak orang kaya, Zimi tak nak jumpa Yuha. Cinta tu perlu dinilai dengan harta ke Nadzimin? Rindu tu perlu dibeli dengan wang ringgit ke? Sayang itu perlu diletakkan harga ke? Semua ni nak kena ada price tag ke, Zimi? Adakah Yuha ni berjenama Gucci, LV atau Channel untuk Zimi nilai Yuha macam tu?” tanya Yuhanis penuh kepiluan. Dia pedih menerima kenyataan yang Zimi melarikan diri daripadanya kerana kedudukan semata-mata. Kerana kata-kata Mimi yang jelas tidak jujur.

“Jangan salah faham, Yuha. Zimi tak nak orang gelar Zimi bersama Yuha sebab kekayaan dan kecantikan Yuha.”

“Then, proof it. Buktikan yang Zimi tak macam tu,” pangkas Yuhanis. Dia tidak kisah digelar perigi mencari timba. Dia tidak peduli kerana dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Zimi tak boleh, Yuha. Yuha bukan untuk Zimi.” Nada Nadzimin jelas berputus asa. Dia mahu menyerahkan segalanya bulat-bulat kepada takdir seperti kata Faizal tempoh hati. Tapi, kini Yuhanis datang kepadanya tanpa dipaksa. Adakah benar gadis cantik ini adalah tulang rusuknya yang hilang?

“Siapa Zimi nak tentukan Yuha bukan untuk Zimi atau sebaliknya? Jodoh ini aturan Allah, Zimi. Dan, siapa Zimi nak katakan yang Yuha tak boleh nak terima Zimi? Yuha tak ada harta, Zimi. Ilmu Allah juga tersangat cetek. Yuha serba kekurangan. Kurang harta akhirat. Kurang segalanya sedangkan Yuha tidak tahu, entah bila-bila saja Yuha mungkin akan dijemput pulang.” Yuhanis menatap mata Nadzimin dalam-dalam. Menyatakan cinta yang benar untuk lelaki itu. airmatanya kian sarat ditubir mata. Nadzimin yang memandang, kelu seribu bahasa. Tidak sangka akan kehadiran Yuhanis dalam hidupnya saat ini. Menjadi anugerah yang tidak ternilai.

“Yuha mencari orang yang boleh menyintai Yuha seadanya. Yang sanggup menerima insan tak sempurna macam Yuha ni,” sambung Yuhanis bersama airmata yang sudah laju menuruni lekuk pipinya. Menodai pipi gebu dan mulus itu.

Tersentuh benar hati si jejaka. Andai tidak diingatkan hukum syarak, mahu saja dia memeluk gadis itu dan menyapu airmatanya dari terus mencacatkan kecantikan anugerah Ilahi itu.

“Jangan nangis Yuha. Airmata Yuha tu buat Zimi rasa sakit. Zimi sangat sa…” Kata-kata Nadzimin mati. Susuk tubuh Hafiz kini berada tepat di belakang Yuhanis.

“Kat sini rupanya sepasang merpati ni berduaan,” sinis Hafiz. Yuhanis berpaling. Riaknya terkejut. Tidak tahu macam mana Hafiz boleh berada di sekitar kampus sedangkan dia telah dibuang beberapa minggu sudah.

“You buat apa kat sini, Apit? Kan you dah kena buang?” tanya Yuhanis sedikit bersendu.

“I come for you, honey,” jawab Hafiz menggoda. Langkahnya maju kepada Yuhanis dan gadis itu mula menapak ke belakang mendekati Nadzimin. Dia yakin Nadzimin mampu melindunginya.

“Apit, tolonglah. Jangan buat kacau kat sini. Kau dengan dia tak ada apa-apa lagi, kan? Lagipun, kau tak boleh nak masuk ke kampus ni sesuka hati kau sekarang,” tegur Nadzimin lembut. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu mencipta pergaduhan.

“Eh, Zimi. Kau jangan berharap nak dapat Yuha, ya. She’s belong to me, okay?!” ujar Hafiz sombong.

“Dia bukan hak sesiapa, Apit. Dia hak Allah yang Maha Menciptakan. Dia milik mama dia di dunia ni. Bukan milik kau,” tegur Nadzimin sedikit keras. Rasa tercabar bila Hafiz berkata demikian. Terlalu sombong hujahnya.

“Oh, dengan kata lain, dia milik kaulah, ya?” Hafiz mula panas. Dia menapak mendekati Yuhanis. Nadzimin yang melihat gadis kesayangannya itu ketakutan terus saja menarik lengan Yuhanis, membawa Yuhanis berdiri di belakangnya. Dia takut andai rasa marah dan dendam Hafiz akan menyebabkan gadis itu disakiti.

“Dia bukan milik sesiapa, Apit. Tapi, dia berhak memilih mana yang terbaik untuk dia,” tekan Nadzimin lagi dan kali ini telah menyebabkan wajahnya menerima tumbukan daripada Hafiz. Tersungkur dia di atas rumput tanpa sempat mengelak.

Yuhanis terjerit kecil dia langsung mendapatkan Nadzimin yang cuba untuk bangkit. Airmata Yuhanis mengalir lagi melihatkan darah pekat mengalir dari hujung bibir Nadzimin. Dia menyalahkan dirinya atas semua ini. andai dia tidak mendesak Nadzimin menerima dirinya, pastilah Nadzimin tidak diamuk oleh Hafiz.

“Zimi okey ke?” tanya Yuhanis bersama juraian airmata. Hatinya ngilu melihatkan Nadzimin yang sedang menahan kesakitan.
Belumpun sempat Nadzimin bangkit sepenuhnya, Hafiz mendekat lagi. Topi keledar di tangannya terus dihayun ke arah wajah Nadzimin dan demi rasa sayang yang menggunung, Yuhanis lebih pantas meletakkan dirinya di depan. Menerima hentakan topi keledar itu bagi menyelamatkan Nadzimin.

“Yuha…” jerit Nadzimin lantang. Tubuh langsing Yuhanis longlai, sempat disambar ke dalam pelukannya. Yuhanis cuba bertahan. Membuntangkan mata bundar itu mencari seraut wajah insan yang dicintainya. Kepalanya terasa pedih. Nafasnya sesak. Pandangannya mula berpinar. Wajah Nadzimin dekat padanya. Dia nampak wajah itu tersenyum, memangku kepalanya dan diusapnya lembut bagaikan dialah puteri di hati Nadzimin biarpun sebentar tadi lelaki itu mengatakan tidak terhadap cintanya. Perlahan-lahan, mata Yuhanis rapat sendiri tanpa dipaksa. Melihatkan nafas Yuhanis yang mula tidak menentu, airmata Nadzimin mengalir perlahan-lahan.

“Jangan pergi, Yuhanis. Zimi cintakan Yuha sejak dari dulu, dan untuk selamanya. Tak mungkin ada selepas Yuha jauh sekali sebelum Yuha,” bisik Nadzimin bersama esakan.

Pertama kali menitiskan airmata dek penangan cinta pada si gadis yang kini terkulai layu di pangkuannya dengan darah merah pekat mengalir daripada luka hentakan di atas kening sebelah kiri. Jiwa lelakinya dipagut pilu. Sukar hendak menerima hakikat sebuah kehilangan.
Hafiz pula terpana dengan tindakannya yang telah menyebabkan Yuhanis tercedera dan kini gadis itu bagaikan sudah tidak bernyawa. Tidak tahu hendak berbuat apa, dia terus melarikan diri. Takut hendak berada di situ dan menerima kematian Yuhanis disebabkannya. Dia cuak. Wajahnya pucat. Andai ditoreh sekalipun, pasti tidak berdarah.

Dan di situ, Nadzimin terus memaut erat tubuh Yuhanis yang bagaikan sudah tidak bernyawa. Menyeka darah daripada terus mengalir.
‘Jangan dijemput dia, Ya Allah. Bukan dia,’ bisik hatinya sendiri.
*******
Airmata si ibu mengalir lagi. Tumpah dek musibah yang menimpa puteri tunggal yang menjadi nyawanya.

“Sabarlah, Min. Yuha dah pun selamat. Dah ada kat rumah pun. Biarlah kita sama-sama pulihkan semangat dia,” pujuk Mak Siti.

“Saya pilu tengok keadaan dia sekarang, Kak Siti. Wajah dia pucat macam tak ada darah. Parut 3 inci dekat dahi tu tak mungkin hilang, kak. Saya tahu Yuha sukar nak terima dan saya lagi tahu yang dia lebih sukar nak terima kehilangan cinta pertama dia.” Tangisan Puan Yasmin telah menambahkan pilu di hati Mak Siti hinggakan wanita tua itu juga mengalirkan airmata.

“Esok dah kertas akhir. Saya bersyukur sebab Yuha kuat semangat lagi nak tamatkan pengajian dia. Saya dah minta dengan Dekan nak Yuha ambil periksa di rumah je, tapi Yuha tak nak. Dia nak ke kampus juga. Nak habiskan periksa dia kat sana. Saya tahu dia sedih, kak. Hati saya ni lagi terluka tiap kali dia ketawa terpaksa. Dia macam bukan Yuhanis kita dulu,” ngongoi Puan Yasmin lagi. Dia benar-benar marah hinggakan nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap Hafiz. Dia sudah tidak peduli dengan rayuan keluarga anak muda itu. Hatinya sebagai ibu sakit yang amat.
*******
Nadzimin meraup wajahnya. Dia dihimpit rasa salah kerana meletakkan Yuhanis dalam keadaan begitu. Andai dia tidak mengikut rasa hati dan mengakui saja cintanya pada Yuhanis, pastilah perkara begini tidak terjadi. Nadzimin bersyukur bila Puan Yasmin tidak pernah menyalahkan malah berterima kasih pula.
Hari ini, sudah masuk 2 minggu Yuhanis keluar dari hospital dan selama itu juga Yuhanis tidak mahu berjumpa dengannya. Biar berpuluh kali dia menyatakan cinta, gadis itu tetap menolak untuk bersua mata. Pujukan Puan Yasmin juga dibiarkan sepi.

“Mi, esokkan dia akan datang untuk paper final ni. Masa tu kau pujuk dia betul-betul.” Kata-kata Faizal mencatas lamunannya. Dia mengamati seketika cadangan itu dan akhirnya mengangguk lemah.

“Kalau dia tak datang?”

“Mi, kan mama dia dah telefon kau cakap Yuha nak datang untuk last paper ni. Kira memang dia nak datanglah tu,” jawab Faizal sambil menggeleng perlahan. Kasihan pada Nadzimin yang bagaikan sudah hilang separuh jiwa dan semangatnya selepas peristiwa itu.

“Kalau dia tak nak aku?” tanya Nadzimin lagi kepada Faizal.

“Masa tu kau kembali pada qada dan qadar Allah. Aku doakan semoga kau berjaya untuk final kau yang sebenarnya ni iaitu, Yuhanis binti Yuzri,” ucap Faizal tersengih pada Nadzimin.
*******
Esoknya, Nadzimin tersedar agak lambat kerana sukar hendak melelapkan mata kerana bimbang dengan pertemuan yang mungkin akan menjadi pertemuan terakhir untuk dia dan Yuhanis. Dia tidak mahu begitu.

Usai menjawab kertas akhir, Yuhanis pantas melangkah. Tidak mahu dilihat oleh Nadzimin. Rambut panjangnya dibiarkan lepas bebas. Menutup separuh mukanya yang sudah mempunyai parut yang menjadi tanda cintanya pada Nadzimin.
Dari kejauhan pula, Nadzimin mula terkesan akan susuk tubuh Yuhanis yang begitu pantas melangkah hinggakan dia juga terus berlari, menyelitkan diri di lautan pelajar yang lain.

“Yuha, tunggu!” jerit Nadzimin. Langkah Yuhanis semakin laju bila mendengarkan namanya dilaung kuat.

“Yuhanis, tunggu!” laung Nadzimin lebih kuat daripada tadi. Segera terbayang di matanya peristiwa Yuhanis mengejarnya dulu. Terasa bagaikan hukum karma pula.

Nadzimin tidak mahu berputus asa. Dia bukanlah seperti yang Yuhanis katakan, berundur sebelum berjuang. Dia lelaki sejati yang mempunyai semangat yang kental. Cintanya terlalu mahal untuk diletakkan tanda harga. Terlalu bernilai dan berkualiti untuk disamakan dengan jenama Gucci, LV atau pun Channel.

“Yuhanis, freeze there,” ujar Nadzimin selepas mula hampir pada Yuhanis yang pergi ke belakang bangunan fakulti. Tempat di mana dia melalui peristiwa pahit itu. Sakit akibat hentakan itu sudah sembuh tapi parutnya tetap terbentang jelas dan sakit di hati kerana cinta ditolak juga tidak pernah mahu hilang.

“Apa lagi yang Zimi nak dari Yuha? Kan Zimi dah buat keputusan tak nakkan Yuha sebab kita tak sama. Tak setaraf. Takut digelar menumpang kekayaan yang bukan milik Yuha. Bukan titik peluh Yuha,” tanya Yuhanis dengan airmata berlinangan di pipi setelah Nadzimin berjaya menyaingi langkah.

“Kenapa Yuha tak nak jumpa Zimi sejak dari hospital sampai dah keluar hospital sampai sekarang? Tak dapatkah Yuha rasa seksanya Zimi tanggung rindu pada Yuha? Betapa risaunya Zimi pada Yuha selama ni? Bukan sekali Zimi ke rumah Yuha. Dah berkali-kali tapi Yuha tetap tak nak keluar. Nekad sangat ke nak lupakan Zimi? Benci sangat ke Yuha pada Zimi?” tanya Nadzimin pula dengan suara yang lirih.
Wajah yang separuh dilitupi dengan rambut hitam berkilat itu direnung penuh kasih. Sarat dengan rasa rindu yang menderu. Membadai hatinya yang walang tatkala memikirkan perpisahan yang mungkin tiada lagi pertemuan.

“Zimi yang tak nak Yuha, kan? Kenapa baru sekarang Zimi nak akuinya? Kenapa tidak hari tu?” tengking Yuhanis geram. Airmatanya terus merembes. Betapa dia juga merindui lelaki itu. Selama ini, dia sekadar mampu mengintai Nadzimin daripada langsir biliknya. Takut hendak bersua empat mata dengan lelaki itu kerana wajah yang kini cacat. Dia tidak menyalahkan takdir tapi dia takut lebih terluka andai Nadzimin tidak mahu menatap wajahnya yang tercela itu.

“Zimi tipu waktu tu. Zimi tak tipu Yuha tapi Zimi tipu diri sendiri. Zimi cintakan Yuha. Tak pernah berubah dan tak akan berubah kecuali takdir tidak menyebelahi kita. Maafkan Zimi. Berikan Zimi peluang kedua,” rayu Nadzimin. Hati lelaki kembali pedih melihat airmata gadis kesayangannya itu tumpah lagi kerana dia.

“Tak, Zimi. Yuha tak mungkin terima Zimi setelah Zimi tolak Yuha sebelum ni. Seperti kata Zimi sebelum ni, Yuha bukan untuk Zimi dan Zimi memang tak layak untuk Yuha,” ujar Yuhanis keras lantas berlalu pergi bila melihatkan kereta mamanya mula menjalar masuk ke perkarangan kampus.

Dia ketap bibir kuat. Menahan rasa sayu kerana telah melukakan hati lelaki yang dicintai. Kerana telah menghina lelaki itu kerana mahu Nadzimin terus membencinya. Dia merasakan tidak layak untuk Nadzimin lagi dek parut itu.

“Yuha tipu. Yuha cintakan Zimi sebab Zimi juga cintakan Yuha!!” laung Nadzimin kuat. Tidak dipedulikan akan orang lain yang memandang ke arahnya. Tiada lagi silu. Yang ada, hanyalah Yuhanis di matanya. Dia tidak mahu lagi kehilangan Yuhanis hanya kerana keengganannya mengakui rasa cinta itu.

“Yuhanis!” gumamnya lemah. Ada takungan airmata di tubir matanya menghantar pemergiaan Yuhanis.
******
“Tak baik buat orang tertunggu-tunggu macam tu, Yuha. Dahlah hari nak hujan ni. Si Zimi tu pun, mama jemput masuk dia tak nak. Sama macam dulu jugak,” bebel Puan Yasmin setelah mendapatkan Yuhanis di bilik. Memujuk anak itu agar turun bertemu dengan Nadzimin yang sedari tadi terpacak di luar pagar. Sama seperti saat dia menghantar Yuhanis satu waktu dulu.

Yuhanis yang mendengar sekadar buat tidak tahu. Langsung tidak terusik dengan kata-kata akhir Puan Yasmin. Airmatanya pula terlalu degil hari ini. Tidak mahu mendengar kata. Asyik mengalir saja. Dia bangkit menjenguk ke luar rumah. Benar. Nadzimin tegap berdiri di situ. Sejak dari tadi. Berpanas dan sekejap lagi mungkin berhujan pula.

Bibirnya diketap kuat. Rasa tersentuh dengan dengan kesungguhan Nadzimin meraih cintanya kali ini. Tapi, dia tidak mampu lagi berdiri di depan lelaki tu. Dia malu. Lalu dia kembali ke katil, merebahkan diri dan menarik selimut meliputi seluruh badan. Tersedu-sedan menahan tangis. Puan Yasmin hanya mampu menggeleng. Dia tidak mahu memaksa Yuhanis andai anak gadis itu rela menemui Nadzimin. Hatinya benar-benar resah memikirkan dua hati ini. Sudahnya dia berlalu keluar bilik dan pantas menuruni anak tangga hendak mendapatkan Nadzimin.

“Zimi balik la dulu, nak. Nanti aunty cakap dekat Yuha baik-baik. Bagi dia masa sikit,” pujuk Puan Yasmin tatkala tubuh sasa lelaki itu didekati.

“Agaknya Yuha memang dah tak nak saya, aunty. Dia dah cakap semalam yang dia tak nak terima saya. Katanya kami tak setaraf,” adu Nadzimin dengan suara yang lirih. Dia mendongak sedikit ke langit. Melihatkan awan mendung yang mula berarak. Kelam suasana petang ini dengan tiba-tiba. Menandakan hujan bakal menyimbah bumi sebentar lagi. Turut sama menangisi nasibnya yang benar-benar akan menjauh daripada Yuhanis.

“Jangan cakap macam tu, Zimi. Yuha bukan macam tu. Memang dia agak keras hati tapi cinta dia pada Zimi ikhlas. Mungkin Zimi tak tahu kenapa dia tak nak jumpa Zimi. Yang pasti, bukan seperti yang dia cakap tu.”

“Kalau tak keberatan, saya memang nak tahu, aunty. Kenapa Yuhanis berubah selepas kejadian tu?” Dipandangnya mata Puan Yasmin dalam-dalam. Mohon agar wanita itu memberitahunya perkara sebenar. Dia tidak mahu membuat telahan sendiri lagi seperti dulu. Dan, terus membawa Yuhanis pergi selamanya.

“Yuhanis, rupa dia…..” Suara Puan Yasmin tersekat-sekat. Payah hendak diungkapkan sebuah kenyataan dan sejurus seketika, hujan lebat mula menyimbah bumi. Membasahi seluruh tubuh sasa Nadzimin selepas menerima kenyataan daripada Puan Yasmin. Langkah Puan Yasmin dihantar dengan pandangan mata yang kabur. Memaksa hati menerima kedegilan Yuhanis untuk menerima cintanya.
*******
6 bulan kemudian.

Kaki Yuhanis pantas menuruni anak tangga. Dia terus mendapatkan mamanya. Disalami tangan Puan Yasmin lantas mengucup pipi wanita itu.

“Hari ni Yuha ada appointment dengan Azli Arkitek nak bincang pasal ID dan landskap untuk projek sekolah tu, mak.” Yuhanis melabuhkan duduk di depan mamanya. Dicapai cawan yang berisi teh, lalu disuakan ke bibir.

“Yuha tak masuk pejabat la hari ni, ya?” Yuhanis mengangguk saja. Puan Yasmin mengangguk melihatkan kesungguhan anaknya dalam mengetuai Bahagian ID di syarikat pembinaan milik arwah suaminya dulu. Cekap dan kreatif. Itulah komen yang selalu dia dengar daripada pelanggan dan juga rakan niaga.

“Mama harap Yuha boleh balik awal sikit petang ni. Mama ajak tetamu istimewa makan malam,” ujar Puan Yasmin. Langsung suapan Yuhanis terhenti.

“Tetamu istimewa?” tanya dia pinta kepastian. Kali ini, Puan Yasmin mengangguk lagi.

“Dan tetamu ni mesti Yuha suka,” ujar Puan Yasmin berselindung.

“Mama mesti nak kenalkan Yuha dengan tetamu mama ni, kan?” tebak Yuhanis. Sejak dia sudah menginjak ke angka 26 ini, mama tidak sudah-sudah berbicara tentang pasangan dengannya.

“Yuha tak setuju ke? Yang ni mama dah lama berkenan. Orang yang selamatkan Yuha dulu masa Yuha kena rompak. Ingat lagi tak?” Berkerut wajah Yuhanis cuba mengingati wajah tersorok itu.

“Atau Yuha masih cintakan Nadzimin?” tebak Puan Yasmin lagi. Kali ini Yuhanis terngadah. Pedih di hati bagaikan tertusuk sembilu. Nafasnya sesak. Dalam hatinya menjawab, bagaimana hendak dia lupakan seraut wajah itu biarpun sudah setengah tahun berlalu tanpa khabar dan berita.
Setiap kali dia menatap wajahnya dicermin, melihatkan parut yang terentang di dahinya, wajah Nadzimin juga akan muncul sama. Malah rindu pada Nadzimin juga sentiasa menderu setiap kali nafas dihela.

“I’ll try to make it. Got to go. Nanti lambat.” Yuhanis bangkit. Sekali lagi dicium pipi mamanya lantas berlalu keluar menuju ke Golf GTInya.
******
Tiba di pejabat Azli Arkitek, matanya tertancap pada susuk tubuh yang sedang membelakanginya di depan receptionist. Terasa cam benar dia pada tubuh itu. Perlahan-lahan dia menapak ke arah penyambut tetamu itu.

“Oh, Cik Yuhanis. Bos lambat sikit. Dia minta Cik Yuhanis tunggu kejap,” kata penyambut tetamu itu selepas terkesan akan kehadirannya.
Dan, lelaki yang tegap berdiri itu berpaling perlahan-lahan mencari seraut wajah yang selama ini dirinduinya hingga dia sanggup menjejaki gadis itu hingga kini. Bertanya khabar melalui Puan Yasmin dan juga bosnya, Encik Azli. Nadzimin yakin akan jodohnya dengan Yuhanis bila dia diterima bekerja di Azli Arkitek dan juga diarahkan bekerjasama dengan Jurureka Hiasan Dalaman bernama Yuhanis binti Yuzri.

Yuhanis terpegun tidak terkata. Kertas A1 yang berada di tangannya jatuh tergolek ke kaki. Terkejut bukan kepalang. Benar seperti yang dia rasa. Lelaki itu Nadzimin. Lelaki yang didambakan di dalam lena dan jaganya. Lelaki yang dia tolak kerana wajahnya tercela.
Pada mata Yuhanis, Nadzimin masih sama malah semakin segak dengan slack hitam dan kemeja biru laut yang disinsing sampai ke lengan. Dilengkapkan pula dengan vess biru gelap. Menyerlahkan lagi gaya si pemakai.

“Nadzimin Nadzri. Senior Arkitek baru di sini,” ujar Nadzimin tenang sedangkan dadanya sudah hampir pecah menahan hentakan emosi yang berperang sesama sendiri. Apatah lagi melihatkan wajah jelita itu semakin ayu bertudung. Hanya parut di dahi kiri itulah masih jelas nampak dan itu langsung tidak mencacatkan kelembutan dan kecantikan wajah Yuhanis.

Si gadis terdiam. Suara yang tidak pernah dia lupakan. Suara yang sentiasa terngiang di telinganya. Melaungkan kata cinta pada kali terakhir mereka bersua dulu. Di mana dia nekad mengatakan tidak pada cinta Nadzimin.

“Yu… Yuha…”

“Yes, you are. Yuhanis Yuzri,” sambung Nadzimin lembut. Serentak itu airmata Yuhanis mengalir perlahan-lahan. Tanpa dia tahu sebabnya.
******
Selepas bersiap ala kadar dan mengenakan tudung dari koleksi Ariani yang dia ada, Yuhanis terus turun ke bawah mahu menyambut tetamu istimewa mamanya. Dalam hati sudah ada agenda tersendiri. Kali ini, dia mahu menurut kata mamanya. Tidak mahu membentak bagai dulu.

“Yuha setuju terima tetamu istimewa ni jadi suami Yuha, ma,” beritahu Yuhanis saat mereka sama-sama menghidangkan makanan.

“Betul ni?” tanya Puan Yasmin. “Yuha tak tengok dia lagi.”

“Cukuplah mata mama yang menilai. Lagipun dia pernah selamatkan Yuha. Yuha yakin dia baik seperti yang mama cakap.” Hatinya pedih mengingatkan pertemuannya dengan Nadzimin yang bagaikan tiada beerti pagi tadi. Pandangan Nadzimin dirasakan kosong. Bercakap soal kerja semata-mata. Menyesal pula dia merindui lelaki itu selama ni.

“Kalau dah Yuha cakap macam tu, mama lagi suka.” Puan Yasmin jungkit kening ke arah Mak Siti. Geli hati melihatkan wajah monyok Yuhanis.

“Tapi, Yuha nak kahwin hujung minggu ni. Tak boleh tidak. Ni syarat Yuha. Mama uruskan jelah.” Yuhanis lantas berlalu ke dapur. Menyembunyikan airmatanya yang sudah mahu menitik. Dia berharap dengan cara itu, dia mampu melupakan Nadzimin. Selama-lamanya.
Yuhanis masih meladeni perasaan sayunya di dapur bila Puan Yasmin menjerit namanya menyuruh dia keluar dari dapur untuk menyambut tetamu istimewa.

“Yuha, ni tengok penyelamat Yuha dulu ni,” arah Puan Yasmin pada anak yang sekadar menekur pandangan ke lantai. Perlahan-lahan Yuhanis mengangkat wajahnya dan hampir saja dia terjelepuk andai tidak ditahan mamanya dan Mak Siti.

“Zimi,” gumam Yuhanis perlahan. Nadzimin ketawa.

“Ya, sayalah penyelamat Cik Yuhanis masa tu.” Yuhanis memegang kepalanya yang pening tiba-tiba.

“Kan mak pernah cakap, mak pernah tengok gambar yang Yuha lukis dulu tu,” sampuk Mak Siti.

“Dan Zimi tau tak. Dia nak ajak Zimi kahwin hujung minggu ni,” usik Puan Yasmin. Membulat mata Yuhanis memandang mamanya.

“Deal,” jawab Nadzimin pendek tapi penuh makna. Cukup sudah dia membiarkan Yuhanis hanyut dengan perasaan rendah dirinya. Kali ini, dia mahu mengikat gadis itu pada dia selamanya.
*****
Tubuh isteri dipaut lembut. Memeluk wanita itu adalah merupakan perkara yang paling membahagiakan.

“Ni hadiah untuk Yuha.” Nadzimin menghulurkan sebuah bingkai gambar yang indah terletak dengan potret Yuhanis di dada kanvas itu. Gambar yang dilukisnya satu masa dulu.

“Cantiknya,” ujar Yuhanis gembira. Dia tidak putus mengucapkan rasa syukur di atas kurniaan Allah buatnya. Terlalu bernilai.

“Sebab pemilik rupa ini cantik orangnya. Tersangat cantik di mata abang,” sahut Nadzimin pula. Sebuah kucupan kudus hinggap di pipi si isteri. Yuhanis tersenyum lebar.

“Boleh abang tengok lukisan sayang pulak. Hati tu abang dengar mak kata sayang lukis muka abang.” Yuhanis mengangguk. Dia bangkit dari katil dan merapati almari pakaiannya.

“Nah.” Dihulurkan berkeping-keping lukisan potret wajah milik suaminya itu. Mata Nadzimin buntang. Terkejut tidak terkata.

“Banyaknya sayang. Abang ingat satu je,” ujar Nadzimin terharu. Dibeleknya lukisan itu satu persatu.

“Setiap kali Yuha rindu abang, setiap kali itu Yuha akan abadikan gambar abang,” jawab Yuhanis telus.

“Rindu sayang pada abang lebih kuat rupanya. Tapi, abang tak tewas. Cinta abang pada Yuha lebih hebat. Tapi, tak kan ni sayang rindu abang. Abang setiap kali tarik nafas, rindu je sayang,” ujar Nadzimin. Sengaja diusik isterinya. Suka pula melihatkan muncung dari bibir merah merekah itu.

“Alah, abang bukan tak tahu, bukan sehari nak siapkan potret tu. Satu potret dah berjam-jam. Kadang-kadang sehari tak siap lagi. Abang kiralah sendiri kalau semua potret ni. Berapa lama Yuha ambil masa.” Terjuih-juih bibir Yuhanis memprotes kata-kata suaminya.

“Yuhanis, isteri yang saya sayang.” Nadzimin menarik tubuh langsing itu. Memeluknya lebih erat daripada dulu saat dia terpaksa memangku tubuh itu satu waktu dulu.

“Abang gurau je. Abang tahu sayang sentiasa rindukan abang. Mama dah beritahu semuanya. Dan abang nak sayang tahu, parut kat dahi tu langsung tak mencacatkan cinta abang pada sayang. Abang tak mencari kesempurnaan dalam diri sayang tapi abang temui kesempurnaan itu bila bersama sayang,” gumam Nadzimin lembut.

Ditolak bahu isterinya. Terkesan akan airmata pada tubir mata Yuhanis. Perlahan-lahan mengalir menodai pipi itu sekali lagi. Lantas pantas jua disapu.

“Abang menyintai sayang seadanya sayang dan abang sanggup terima sayang yang memang tidak sempurna tapi terlalu istimewa pada abang!”
Nadzimin menuntun isterinya ke katil. Merebahkan tubuh itu lembut. Sesungguhnya malam itu adalah milik mereka. Ikatan halal mereka bersatu di dalam kesederhanaan juga kerana cinta mereka bukan urusniaga. Tiada tanda harga.

***TAMAT****

Adakah cinta kita bersyarat? Mempunyai terma bagaikan berurusniaga. Tidak perlu mencari kesempurnaan dalam diri pasangan kerana fitrah kejadian sememangnya begitu. Semua yang hidup tidak pernah sempurna. Segala kesempurnaan ini adalah milik Allah swt. Bukankah pertemuan Adam dan Hawa adalah untuk saling melengkapi? Andai dia kekurangan, kitalah kelebihan padanya dan dia pula akan menjadi kekuatan untuk menyokong kelemahan kita kerana cinta dan hati bukan sebuah urusniaga. Cinta dan hati adalah kurniaan Yang Esa untuk kita pandu keduanya ke jalan yang benar. Salam sayang buat semua pembaca ~~~> RM

20 comments:

  1. akak pe kata nanti akak bukukan semua cerpen akak dalam 1 buku...mesti saya beli..hehehe

    ReplyDelete
  2. ehem2..hee..pasal ni ek..kalo ade publisher yang sudi nak terbitkan karya-karya akak yg tak seberapa neh, mmg la syukur sangat. doa2 la ek moga ade yang sudi..hee..

    ReplyDelete
  3. syok rehan...keep on ya.. liyahuma

    ReplyDelete
  4. tahniah...
    satu prcubaan yg mmbnggakn...
    wlwpn ada klainan ianya ttp bermutu...
    teruskan dgn karya2 yg lain...

    ReplyDelete
  5. hmmmm...bessttt semua nya ada rasa....menusuk ke hati n jantung hehehe....superbbbb.....suka..suka semua cerpen RM....x sabau nk baca cerpen seterus nya...mesti lg bessttt......

    ReplyDelete
  6. satu lagi karya terbaik dari Kak Rehan.
    Tahniah Kak!!
    Memang ada kelainannya..
    suka cerpen ni dan watak Yuhanis.Ada jugak watak Mimi yang seksi mengediks ..hehe

    ReplyDelete
  7. besttt....sedih hepy ade semua....good job...suke ng karya kak RM :D

    ReplyDelete
  8. waaaaaaaaahhhhh....satu lg karya terbaekk drpd ka rehann...love it damn much la kak rehan..hoho..ske dgn watak yuhanis, tp geram dgn mimi,si gedik..hahaha..nsib baik kak mimi anis 2 baik..kui3~~..jge mre ye..huhuhu..eniway, kak rehan memg da best la..always support u from back.. gud luck ya..:)

    ReplyDelete
  9. eyh xpsn plak dh tamat...
    nih kne bc nih..ri2 bc sprh jer..heheh

    *komen dulu sblm smbg bace* kehkeh

    ReplyDelete
  10. Menarik dan tertarik...jadi lebih kemas jika RM post buat perenggan sikit dalam ni :) teruskan usaha

    ReplyDelete
  11. suweettt sangat.. ><


    hafiz- tak guna..

    Nadzimi- ala.. bestnya kalau betul ada lelaki cam dia... untuk rin la.. ekekeke

    ReplyDelete
  12. Kak RM, cerpen yg menarik. Nice try~

    Secara personal, Isha rasa perjalanan cerita agak kaku jika nk dbndgkn dgn karya akk yg sblm ni.. Isha jgk dapat lihat beberapa kesalahan penggunaan imbuhan dan tanda baca. Ada juga kesalahan ejaan. Nama Puan Yasmin juga ada yang kak RM terletak Puan Jasmine. Ada ayat yang macam tak bersambung. Ada certain part Isha rasa lost terutamanya di awal cerita. 2 je kot. Overall, nice story. Mcm kata kak Ilya, mungkin kak rm kne buat perenggan sikit utk post akn dtg supaya sng nk dtct ble kte scroll nk bce nxtnya~

    Nk comment jgk quote kak RM yg last. Suatu masa dulu, Isha pernah merasai cinta bersyarat. Sgt ssh bila ada mcm2 syrt~ Huhu. So, skrg ni biarlah Isha hdp tanpa cinta. Eheh~ Jiwang lak kn.

    Sy ske watak Nadzimin~ Mntk die lukiskan gmbr Isha leyh x? Hehe~ (^_^)

    ReplyDelete
  13. hehe..timekasih sume..rm noted..akan dibaiki sume post agar lebih kemas..isha..percubaan pertama..mmg lost..k rm cuba lg baik lepas ni.. cinta bersyarat tu bkn cinta isha tp urusniaga..someone somewhere, was made for u..trust me..

    ReplyDelete
  14. RM: 1st cerpen RM sy baca nih. Masa limited sgt, kalau boleh mmg nk marathon, masa drop komen kat chatbox tu, haremm x tau yg RM femes buat glerr buat cerpen, igt tulis novel.

    Ginilah citer kalau syok lepak kat blog sdri tp x tau dunia luar. Berjuta - juta lemon e-novel wujud rupanya.

    & this cerpen is simple, plot yg x klimaks & berat but nicely arranged. I x suke buat cerpen, S.U.S.A.H! So glerr pandang tinggi org yg femes mcm RM.

    ReplyDelete
  15. RM,..suke dgn tema RM yg hero xsestinya kaya2 kacak2 n perfect pakej...tatau sejak bila saya jad peminat RM. lain dr yg lain..

    ReplyDelete
  16. "cinta dan hati bukan sebuah urusniaga.."
    syiok... tingkatkn lgi kualiti cerpen n novel anda..
    papon... bez...

    ReplyDelete
  17. Wahhh seriously bez!!!suka!!
    ~SS~

    ReplyDelete