Monday, October 17, 2011

Reana Merlis

AIRMATA ini laju menitis tatkala menerima perkhabaran daripada Doktor Salmi mengenai isteriku, Reana Merlis. Tercengang rasanya. Terkejut bukan kepalang. Terluka rasanya hati ini. Hati suami manalah yang tidak walang melihatkan isteri yang sedang terlantar di atas katil hospital.

Perlahan-lahan katil yang terbaring sekujur tubuh yang lemah itu aku dekati. Pedih hatiku. Tiada lagi gurauan dan rajuknya kini. Dia hanya terlantar lemah. Hanya semangat yang masih membaluti jasad itu tapi aku pula, terasa bagaikan seluruh jiwaku terbang pergi.

Aku labuhkan duduk di birai katil. Aku elus pipinya lembut. Wajah itu aku renung semahuku.

“Kenapa Rea buat abang macam ni?” tanyaku pada isteri yang lena.

“Abang tak perlukan semua ni. Abang perlukan Rea je. Hanya Rea sejak dari dulu hingga selamanya. Kenapa sayang tak bincang dengan abang sebelum Rea buat keputusan ni?” Aku terus merintih dan terus merintih.

Dalam menahan kepedihan, hati lelakiku membentak hebat dengan sikap isteriku kali ini. Bila keputusan itu adalah antara hidup dan mati, mengapa dia sanggup bertindak sendiri. Kenapa wahai Reana Merlis? Aku pejam mata erat. Menggenggam jemari lesu itu bagai tidak mahu dilepaskan lagi.

“Kenapa abang sedih?”
Mataku terbuka bila suara lembut itu menyapa telingaku. Lembut dan penuh tertib seperti dulu. Tapi, kelunakan dan manja suara itu bagaikan sudah hilang. Kedengaran lemah saja. Tidak bermaya.

“Rea ada jawapan tu,’ jawabku lemah. Aku tentang pandangan matanya.
Bola mata itu bulat. Tetap bersinar tapi kurang cahayanya. Nakalnya lirikan mata itu juga semakin pudar.

“Rea juga tak mudah buat keputusan ini, abang. Macam-macam benda yang Rea fikir. Bukan sehari, bang! Lama Rea fikir.” Suara Reana Merlis bergetar menahan sebu di dada barangkali.

Pedih telingaku mendengarkan suara yang terketar-ketar itu. Dulu, dia ceria. Suara itu sesekali nyaring ketawa. Galak mengusikku tapi kini hanya rintihan yang ku dengar.

“Kan kita dah janji nak selamatkan nyawa Rea je. Tak nak bayi ni. Kenapa Rea sign surat dengan doktor nak selamatkan nyawa bayi ni pulak? Rea tak pernah fikirkan abang, kan?” Hatiku sebu. Nafasku sesak. Aku dibadai kesedihan.

“Maafkan Rea kalau abang rasa Rea dah belakangkan abang. Jasad dalam kandungan Rea ni bukan seorang, abang. Tapi, dua. Mana mungkin Rea sanggup nak korbankan kedua-keduanya. Ini tanda kasih kita abang. Anugerah yang telah Allah kurniakan. Anugerah yang sangat tak ternilai. Mungkin menjadi tanda ingatan terakhir Rea buat abang dan keluarga,” ucapnya lirih. Aku lihat matanya digenangi air. Akhirnya, titisan jernih itu jatuh jua menodai pipi gebu yang pucat itu.

Aku ketap bibir mahu bertahan agar air mata ini tidak terus menitis. Tidak mahu air mata lelakiku gugur di depan isteri. Aku tidak mahu membebankan dirinya dengan kesedihanku.

“Jangan cakap macam tu, sayang. Abang tak suka. Abang pelik dengan semua ni. Dalam pada teknologi dah terlalu canggih ni, kenapa baru sekarang doktor boleh detect penyakit ni? Di saat Rea dah sarat ni, macam ni pulak jadinya.” Aku terus merungut. Mahu saja menyalahkan takdir atas apa yang telah berlaku ke atas wanita yang aku sayangi ini.

“Jangan merungut abang. Kalau abang terus merungut begini, abang macam tak nak terima takdir. Allah telah aturkan yang terbaik untuk kita. Abang terima, ya?” rayu Reana Merlis padaku.

Aku diam. Tidak mampu bersuara. Bimbang andai sepatah lagi Reana Merlis memaksaku berkata-kata, pastilah disulami airmata.

“Janji dengan Rea, bang. Abang kena terima segalanya dengan hati yang terbuka,” pinta isteriku lagi. Tapi, kali ini dengan suara yang lebih lirih.
Hati ini pedih. Luka selukanya. Aku ketap gigi kuat. Menahan sebak yang semakin menggigit rasa. Nafasku sesak. Melihatkan sinar mata yang semakin pudar si isteri yang penuh harapan, aku tidak dapat tidak mengangguk jua.

“Abang…” Kata-kataku tersekat dek sebak. Nafasku tertahan-tahan. Aku lemah, Ya Allah! Tidak sekuat Reana Merlis menerima kehendak-Mu.

“A…ab..abang jan…ji…” Kini airmataku berderai sudah. Mengalir semahunya tanpa dapat aku tahan lagi.
Pertama kali menitiskan airmata menerima dugaan dari Ilahi. Aku bagaikan tertewas oleh kekuatan yang ada dalam diri Reana Merlis. Melihatkan dia yang tersenyum mesra, aku terus merebahkan tubuhku di sisinya, berkongsi katil yang sempit itu. Tubuhnya aku dakap seerat mungkin. Di bahunya, aku teresak-esak.

“Jangan begini, abang,” bisiknya di telingaku. Terasa syahdu saja bisikan itu.
Rambutku diucap perlahan. Seperti waktu dulu sewaktu sihatnya dan masih tidak berubah tika sakitnya. Aku tidak mampu lagi menjawab. Biarlah diri digelar lemah. Aku tidak peduli. Satu yang pasti, aku tidak rela dia pergi.
******
Wajah Doktor Salmi aku pandang sayu. Kata-katanya langsung tidak dapat ku cernakan dengan baik. Fikiran, hati dan jiwaku telah berlalu buat Reana Merlis. Kini, hanya jasad semata-mata.

“Reza,” seru emak di telingaku.
Aku kalih ke kiri. Wajah emak suram. Aku kalih ke kanan pula. Wajah ayah kusam. Kemudian aku memandang pula wajah kedua mentuaku yang sudah sembab wajah dan matanya termasuk kakak iparku, Resya dan suaminya serta anak mereka.

Tikaman anak mata mereka semua ke arahku benar-benar membuatkan resahku tidak berkesudahan. Lelah dihambat keterpaksaan dalam menerima kenyataan.

“DOktor cakap dengan kamu tu, Reza,” ucap ayah lembut. Bahuku dipeluk erat.

“Mak dengan ayah tak ada nak cakap apa Reza. Kalau itu keputusan Reana, kami hanya mampu berserah. Dan mak dengan ayah juga berharap sangat supaya kamu rela. Jangan biarkan Reana dalam rasa serba salah kala ni.

“Operation ni mungkin akan mengambil masa yang agak lama, Encik Reza sebab kita akan buang sekali tumor yang adalah dalam perut Puan Reana. Dalam pada tu kami akan cuba selamatkan bayi sekali. Kami akan berusaha untuk selamatkan Puan Reana dan kedua bayinya dan kami harap Encik Reza boleh tandatangan surat kebenaran yang dah Puan Reana setujui ni.” Kata-kata Doktor muda ini benar-benar merobek hatiku.

Lama aku pandang kertas putih itu. Jelas tertera tandatangan milik wanita yang menjadi pendampingku selama ini. Memilih untuk menyelamatkan zuriat kami dibandingkan dengan nyawanya sendiri.

“Signlah surat tu, Reza.” Ayah menepuk bahuku.

“Kita sama-sama doakan Reana dan bayi kamu selamat,” tokok ayah mentuaku pula.
Dengan berat hati, aku sapa pen yang dihulurkan oleh Doktor Salmi dan lambat-lambat aku menurunkan tandatangan di atasnya. Terpaksa bersetuju dengan keputusan Reana Merlis dengan hati yang membentak hebat.

Sudah hampir 4 jam berlalu. Kedua ibu bapa kami baru saja berlalu ke surau untuk menunaikan fardhu Asar. Aku masih duduk menekur pandangan ke lantai. Tidak sudah-sudah bermohon pada Allah agar diselamatkan si isteri.

“Reza,” seru satu suara. Aku angkat wajahku. Kak Resya, kakak iparku dan suaminya, Abang Rizman jelas di depan mata. Raut Kak Resya sugul. Matanya bengkak. Takut menghadapi kehilangan satu-satu adiknya barangkali.

“Macam mana?” tanya dia lagi. Aku menggeleng.

“Sabarlah, Reza,” pujuk Abang Rizman pula. Bahuku dilingkari erat. Setelah itu, kami sama-sama terdiam. Tiada kata mampu menghiasi bahasa lagi. Di benakku, hanya wajah dan senyuman Reana Merlis menari-nari sedari tadi.
Wajah yang bertudung buat pertama kalinya dulu. Wajah teruja saat aku meminangnya di gazebo rekaanku di pantai Telok Kalong dulu, wajah merajuk bila diusik dan wajah yang terpamer sejuta kesetiaan dalam menungguku sejak dari kecil hingga kini.

Tapi kini, wajah itu bagaikan menjauh pergi. Aku rindu dengan suaranya. Rindu dengan panggilan Obeng yang terbit dari mulutnya satu waktu dulu. Rindu dengan kelincahan dia, kata-kata puitisnya dan rindu pada segala-galanya.

“Pergilah ke mana sahaja. Tapi, tinggalkan hatimu itu padaku.” Masih jelas suara Reana di peluput telingaku kala dia menyarungkan cincin pertunangan yang aku berikan padanya dulu. Mengingatkan kisah cinta yang kami sekadar mendatar saja dalam pada menjaga adab dan pergaulan hingga akhirnya kami akhiri dengan kehangatan cinta yang amat hebat bila bertemu di dalam restu kedua ayah bonda dan Allah yang Esa.

Telah aku bina sebuah mahligai, menjadi tanda agungnya cinta kami dan telah aku bina sebuah istana sebagai tanda cinta sejati untuknya. Tapi, berita yang ku terima tentang penyakitnya itu benar-benar meretakkan mahligai dan istana itu. Airmata lelakiku menitis lagi.

“Pergilah ke mana saja Rea. Asalkan Rea bawa abang bersama,” gumamku pedih. Aku raup wajah berkali-kali. Airmata semakin deras menitis.

Aku raup wajah berkali-kali. Tidak mahu titisan airmata ini terkesan oleh keluarga kami. Aku tidak mahu dipandang lemah sedangkan Reana Merlis sedang bertarung nyawa untuk sebuah kehidupan yang teramat tipis peluangnya. Rasa sesak nafasku bila memikirkan perpisahan yang bakal terjadi dan pastilah tidak akan pertemuan lagi di dunia.

“Boleh saya jumpa Encik Reza Mukhriz.” Aku pantas angkat tubuh bila suara Doktor Salmi menegur kami.

“Saya, doktor!” Aku rapati doktor itu. Dia tersenyum tipis. Dalam hatiku detaknya sudah lain macam. Ambillah apa saja Ya, Allah. Tapi, tidak Reana Merlis. Doaku tidak sudah-sudah. Aku masih memerlukan dia untuk membesarkan bayi-bayi kami nanti. Pincanglah langkahku andai tanpamu, Reana Merlis.

“Alhamdulillah, Encik Reza. Kami dah berjaya selamatkan ibu dan anak-anak sekali. Tapi, keadaan Puan Reana tersangat lemah. Kami berjaya buang ketumbuhan tu tapi mungkin akan ada kesan juga. Apa-apa pun, Encik Reza sekeluarga bermohonlah pada Allah agar Puan Reana bersemangat untuk terus hidup.”

Mak terus memeluk Doktor Salmi selepas itu. Gembira tidak terkata. Kak Resya tersedu di dada suaminya. Kedua mentuaku lantas memanjatkan tangan tanda syukur yang tidak terhingga di atas peluang yang masih dapat kami kecapi bersama wanita yang ku angkat menjadi isteriku iaitu, Reana Merlis. Dan aku, langsung sujud syukur di situ. Betapa aku merasa kerdil dengan peluang yang Allah berikan padaku.
*******
MATA kuyu Reana Merlis tampak berkedip-kedip. Aku yang sedari tadi setia di sisinya manggapai jemari runcing itu lembut. Ku usapnya penuh kasih, lantas aku kucup satu persatu. Menyatakan rasa cinta yang tidak pernah ku zahirkan sebelum kami diijabkabulkan. Bersembunyi di balik sikap dinginku dulu yang membuatkan Reana Merlis berjauh hati.

Namun, kecekalan dan keyakinannya terhadap cinta kami telah memasung aku kepadanya buat selamanya. Mengingatkan betapa dia tegar bergadai nyawa terjun ke laut untuk menyelamatkanku dulu, langsung murah airmata ini menitis apatah lagi sekali lagi dia tegar berkorban demi memberikanku zuriat biarpun terpaksa berperang dengan maut.

“Sayang,” seruku lembut bila mata itu sudah separuh terbuka. Nampak lemah saja. Tapi, bibir itu sentiasa menguntum senyum. Membawa debar di hatiku dan kini merobek jiwa lelakiku dengan kekuatan yang Allah anugerahkan dalam diri hamba-Nya yang bergelar wanita. Terasa tewas dengan dugaan pula bagi lelaki segagahku.

“Rea kat mana ni?” tanya dia tersekat-sekat.

“Rea kat hospital lagi. Macam mana Rea rasa sekarang? Okey tak?” Isteriku mengangguk saja menjawab soalan itu.

“Anak kita macam mana, bang?” tanya dia beriak gusar. Aku senyum dan menggeleng perlahan-lahan.

“They are fine. Comel macam mama dia jugak. Terima kasih sayang, untuk hadiah yang tak ternilai yang Rea hadiahkan untuk abang,” ucapku lembut. Anak mata itu aku renung lagi.

Nafas Reana Merlis beralun tenang. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman biarpun aku tahu, tubuhnya terlalu lemah selepas melalui dua pembedahan berturut-turut.

“Boleh Rea tengok?” tanya dia. Anak mata itu teruja. Aku senyum lantas mengangguk.

“Boleh. Nanti kejap lagi mak bawa bayi kita ke sini.” Dia mengangguk saja. Matanya kembali terpejam.
Ku lihat ada genangan airmata di hujung matanya. Mengalir perlahan-lahan dan aku pantas seka. Tidak sudi melihat air jernih it uterus menodai pipi gebu isteriku. Cukuplah penderitaan buatnya. Usah diduga dia lagi, Ya Allah. Bisik hati ini penuh rendah diri.

“Kenapa, sayang?” tanyaku bila air jernih itu tidak mahu berhenti. Reana Merlis angkat kelopak matanya. Membawa pandangan sayu di depanku.

“Rea derhaka pada abang,” jawabnya tertahan-tahan dek sendu.

“Rea buat keputusan sendiri. Rea dah belakangkan abang. Ampuni Rea, bang!” Jemariku digenggam seerat mungkin biarpun ku rasakan genggaman itu agak longgar kerana kudrat yang tidak seberapa.

“Rea tak boleh nak bayangkan kalau kata masa operate tadi, Rea dijemput Tuhan. Jauhlah Rea dari syurga nanti,” adunya lebih lirih. Airmatanya juga kian lebat.

“Syhhh…” Aku geleng kepala. Jemariku menyeka airmata di pipinya.

“Jangan cakap macam tu, sayang. Abang sentiasa maafkan Rea. Lagipun, semua dah selamat, kan? Jangan nangis lagi. Abang tak biasa tengok Rea menangis. Abang dah biasa dengan muka monyok Rea,” gurauku. Reana Merlis ketawa kecil.

Wajahnya berkerut seribu. Mungkin menahan kesakitan akibat luka di perut akibat pembedahan beberapa hari sudah. Mujur juga semangatnya kuat untuk meneruskan hidup. Sesungguhnya, akulah yang paling bersyukur atas semua ini. Bagaikan diberi peluang kedua untuk menikmati kehidupanku bersama Reana Merlis.

“Abang sayangkan Rea. Benar-benar cinta,” gumamku padanya. Lalu aku kucup dahi itu lembut. Terasa sejuk saja saat bibir ini singgah di tengah dahinya.

“Kami dah sampai ibu.” Suara mak lembut menegur kami. Dengan lunak manja bagaikan bayi-bayi itulah yang bersuara.
Satu baby cod di tolak mak dan satu lagi ditolak oleh mak mentuaku. Wajah masing-masing ceria menerima orang baru di dalam keluarga tapi aku, tetap bersama hati yang pilu mengingatkan kata-kata Doktor Salmi sehari sudah.
*****
AKU mengucap panjang. Berkali-kali aku beristifghfar agar diampun Allah atas segala dosa yang telah aku lakukan hinggakan aku diduga sebegini.

“Tapi, doktor cakap hari tu...” Suaraku mati. Tidak mampu lagi berkata-kata.

“Maafkan saya, Encik Reza. Saya tak dapat nak beritahu perkara sebenar dalam pada seluruh keluarga Encik Reza bergembira menerima orang baru. Sebab itulah, saya cakap pada Encik Reza saja perkara ni dan terserahlah pada Encik Reza nak beritahu dia orang atau tak.” Intonasi DOktor Salmi jelas menunjukkan dia serba salah.

“Jangka hayat Puan Reana mungkin tak panjang walapun pembedahan tu berjaya sebab tumor tu dah merebak. Saya harap Encik Reza terus beri dia semangat dan bawa dia ke hospital untuk menjalani kimoterapi dengan lebih kerap,” sambungnya lagi.

“There’s any chance to us, doctor?” Aku pejam mata bila melihatkan Doktor Salmi menggeleng perlahan-lahan. Luruh lagi airmataku di depan doktor ini. Benar-benar pegun di situ.

“Abang, tengokkan anak-anak kejap.” Aku tersentak dek suara isteriku yang perlahan-lahan cuba bangkit dari katil. Sukar hendak ku halau kata-kata terakhir doktor pada hari Reana boleh dibawa pulang.

“Rea nak ke mana?” tanyaku lantas mendekat ke arahnya. Menggapai tangan pucat itu dan membantu dia bangkit.

“Rea nak mandi. Dah masuk minggu kedua ni. Rea nak solat dah,” jawabnya bersama senyuman. Aku membalas senyuman itu dalam kepayahan. Sukar jika terpaksa menerima aku akan kehilangan senyuman itu nanti. Bila-bila masa saja andai ketentuan Allah datang menghampiri.

“Cepatnya, dah boleh sembahyang?” tanyaku sekadar mengusik dalam suara yang berpura-pura ceria. Reana Merlis tersengih saja. Lenganku dicubit tapi sudah tiada pedih dalam cubitan itu kerana ku tahu, isteriku ini sudah tiada berkudrat.

“Abang tu, adalah fikir apa tu, kan?” Reana Merlis mencebik. Aku ketawa lepas.

“Tak apalah, lagi cepat boleh sembahyang lagi baik. Rea nak duduk atas sejadah lama-lama. Nak doa kesejahteraaan abang dan anak-anak sementara Rea masih bernafas ni,” jawabnya tenang.
Langkah kami sama-sama terhenti. Aku genggam erat jemari Reana Merlis menyatakan yang aku tidak suka bicaranya.

“Jangan cakap macam tu, boleh tak?” AKu dah mula membentak. Mata Reana Merlis digenangi airmata. Tiba-tiba, hadir pula rasa bersalah dalam diri. Pertama kali meninggikan suara padanya.

“Rea minta maaf, bang,” pintanya lirih. Sudahnya aku lihat, airmata itu mengalir jua.

“Tak. Abang yang patut minta maaf sebab tengking Rea. Abang tak sengaja,” jawabku pula. Lalu aku tuntun dia ke bilik air. Membiarkan dia bersendiri dan aku kembali menemani bayi kembar kami yang sedang lena pulas.
Tanpa ku sedar, airmataku jatuh lagi melihatkan kedua bayi ini benar-benar memiliki alis lentik milik isteriku. Tidak dapat ku duga, adakah mata keduanya juga akan menyerupai si ibu yang bakal pergi nanti?

“Abang...” AKu pantas menyapu pipi. Aku kalih pada pintu bilik air dan Reana Merlis sudah siap membersihkan diri.

“Tak apa. Rea ada wudhuk ni.” Dia menghalang bila aku ingin memimpinnya. Aku kerlis jam di dinding. Sudah menghampiri Maghrib.

“Rea tunggu abang kejap. Abang mandi. Kita berjemaah,” beritahuku lalu aku berlalu ke bilik air.
Usai mengaminkan doa, aku kucup dahi Reana Merlis lama. Mengundang kembali nostalgia di hari pernikahan kami dulu. Betapa bibir itu tersenyum manis tatkala sah menjadi suri di hatiku.

“Abang cintakan Rea. Terlalu cinta,” gumamku lembut. Reana Merlis tersenyum. Genggamannya di tanganku kian erat.

“Rea pun sayang abang. Terlalu sayang sampaikan kalau boleh Rea nak minta Allah panjangkan umur Rea untuk seratus tahun lagi,” balasnya. Pandangan kami bersabung.

“Tapi, siapalah Rea nak menukar laluan takdir? Dan, abang juga kena ingat. Cinta antara kita hanyalah pinjaman semata-mata. Untuk kita lalui nikmatnya di dunia dengan cara yang Allah redhai. Sesungguhnya, cinta Allah itu adalah cinta hakiki. Bila tiba masanya dan Rea kembali kepada Dia, masa tu Rea mohon, abang izinkanlah Rea pergi,” sambungnya lagi.

Aku renung ke dalam anak mata Reana Merlis. Aku temui ketenangan di situ tapi, hatiku tidak pernah mahu menerima semua ini. Berkali-kali akalku menolaknya.

“Kenapa Rea suka cakap macam ni?” tanyaku. Kini, aku menangis lagi. Kalah teruk dengan dugaan takdir.

“Rea berkata benar. Kenapa menangis, bang? Menjadi hamba yang tewas oleh dugaan? Menjadikan abang hamba yang tak sudi menerima takdir.”

Aku peluk tubuh itu seeratnya. Sesungguhnya, aku tidak mampu melepaskan dia pergi. Sukarnya untuk aku menerima kehendak-Mu, Ya Allah. Sedangkan, Reana Merlis bagaikan mengetahui yang hayatnya sudah dipenghujungnya.

“Dulu, Rea pernah cakap pada abang. Abang boleh pergi ke mana saja. Tapi, abang tinggalkanlah hati abang pada Rea dan hari ni, Rea nak abang tahu. Ke mana saja Rea pergi, hati Rea sentiasa menjadi milik abang. Akan sentiasa dekat di hati abang,” bisiknya ke telingaku.

Dapat ku rasakan usapan lembut dia membelai rambutku seperti selalu. Menyuntik sedikit ketenangan kepada jiwa lelaki yang sedang berkocak hebat. Berperang antara takdir dan kehendak diri sendiri.

“Tapi, abang masih perlukan Rea untuk membesarkan anak-anak. Abang tak mungkin mampu tanpa Rea.” Aku tolak bahunya lembut. Kembali menatap bening mata yang semakin hari semakin layu itu. Hatiku dimamah pilu lagi.

“Sayang jangan risau. Mudah-mudahan Allah permudahkan segalanya untuk kita tapi Rea kena rajin jalani rawatan susulan ni,” ucapnya dalam pada menyedapkan hati sendiri. Reana Merlis menggeleng. Bibirnya mengulum senyum. Sedikit tawar berbanding sebelumnya.

“Sementara Rea masih berpeluang menjaga anak-anak, Rea tak nak bazirkan walaupun sesaat. Rea nak menyusukan anak-anak paling tidak pun hingga habis pantang ni. Biar mereka rasa nikmat susuan seorang ibu. Rea nak dakap anak-anak sepuas-puasnya. Nak tinggalkan mereka nikmat belaian seorang ibu yang mungkin mereka tak akan dapat lagi lepas ni,” ucapnya.

Nafasku sudah terjerat di leher. Betapa sudah hendak menghela, terlalu sukar juga hendak ku berkata-kata. Sudahnya, aku biarkan saja titisan jernih itu menuruni pipiku tanpa rasa silu lagi. Biarlah begitu. Andai airmata itu anugerah Allah buat insan bergelar kaum Hawa, aku kaum Adam juga tidak lepas dari menitiskannya.
Senyuman di bibir merekah milik isteriku itu benar-benar bagai belati. Merobek hati ini tanpa belas. Kekuatan semangatnya itu, telah meruntuhkan kudratku sebagai lelaki dan suami.

“Jangan cakap macam ni, Reana Merlis. Abang merayu,” pintaku dalam sendu yang tertahan-tahan.

“Inilah hakikat kita, abang. Sekali lagi Rea mohon, bila tiba waktunya, abang izinkan Rea pergi, ya?” pinta isteriku buat kedua kali. Aku menggeleng pantas. Menekur pandangan ke lantai menjadi hamba yang tewas.

“Tak,” tegasku.

“Abang tak izinkan. Abang tak redha,” tekanku lagi. Aku dengar Reana Merlis mengeluh berat. Biarlah begitu. Sungguh aku tidak mampu memberi izin. Aku tidak rela. Dia tenang saja menarik tubuhku rebah di ribaannya. Mengusap lembut airmata si suami dan membelai rambutku.

“Bila tiba waktunya, abang perlu,” gumamnya. Dan aku, terus menitiskkan airmata. Ya Allah, tuntunlah aku menjadi hamba yang redha atas segalanya, doaku di dalam hati.
******
KEDATANGAN mak dan ayah kami serta Kak Resya sekeluarga benar-benar membuatkan senyuman di bibir Reana Merlis tidak lekang. Sengaja aku aturkan kedatangan mereka serentak agar dapat kami berkumpul sementara masih berpeluang.

“Macam mana perkembangan kesihatan, Reana?” tanya ayahku. Di sisiku pula ada ayah mentuaku serta Abang Rizman.

Aku tidak terus menjawab, sebaliknya aku lontarkan pandanganku kepada Reana Merlis yang ditemani mak dan mak mentuaku serta Kak Resya. Sesekali mataku jatuh pada keletah anak Kak Resya, Rizqin yang dimarahi ibunya kerana mencuit pipi kedua puteriku yang sedang nyenyak.

“Rea enggan nak lalu kimo tu,” beritahuku pada mereka. Ayah meraup wajahnya.

“Za tak pujuk ke?” tanya ayah mentuaku pula.
“Dah, yah. Susah nak pujuk dia. Bukan ayah tak kenal. Kalau putih dia kata, putihlah juga Reza kena ikut,” beritahuku. Ayah mentuaku mula beriak kecewa dan dapat ku rasakan, wajah itu akan lebih kecewa malah hatinya akan lebih terluka andai ku khabarkan berita yang pernah Doktor Salmi sampaikan padaku.

“Dalam hal ni, Za tak boleh nak kompromi sangat dengan Rea. Kena paksa sikit,” tambah Abang Rizman pula. Aku menggeleng.

“Tak boleh, bang. Reza dah tak mampu nak paksa dia. Katanya dia nak susukan anak-anak sampai lepas pantang ni. Masa tu Reza akan paksa dia,” jawabku dalam pada melawan hati yang gundah. Entahkan tiba entahkan tidak hari itu, hanya pada Allah aku sandarkan harapan.

“Sabarlah, nak.” Ayah tepuk bahuku. Aku ukir senyuman sukar lalu kami sama-sama mendekat kepada mereka di tengah ruang tamu.

“Tembamnya anak kamu, dik. Mata dah macam kamu dah.” Aku dengar suara Kak Resya mengusik isteriku. Aku lihat Kak Resya mencuit pipi salah seorang puteriku yang sedang disusui Reana Merlis.

“Kak Resya ni, janganlah. Orang nak menyusu pun tak boleh,” larang isteriku dengan wajah yang mencuka. Kak Resya ketawa.

“Haa, itulah. Kan dah kena hukum karma. Dulu, masa akak nyusukan Rizqin, kau dok cuit-cuit pipi budak ni, sampai merengek. Akak larang, kamu kata kedekut anak. Ni rasalah pulak.”

Kami semua ketawa menyambut kata-kata Kak Resya. Reana Merlis mencuka. Wajah cemberutnya nampak comel di mataku. Andai dia pergi, ke manakah harusku bawa hati yang rindu ini nanti?

“Mak nampak Rea dah bertambah sihat? Tiga minggu lagi nak habis pantang dah. Rea ada buat rawatan susulan tak?” tanya mak mentuaku pada anaknya. Reana Merlis tertunduk. Lama selepas tu dia menggeleng.

“Kenapa tak buat? Kan doktor dah pesan hari tu, kena buat rawatan susulan,” tegur mak aku pula.
“Rea dah rasa sihat ni. Cuma, bahagian luka operation tu jelah yang sakit lagi. Tak payahlah semua nak risau. InsyaAllah, tak ada apa-apa dah lepas ni,” ujar isteriku penuh optimis.

“Betul ke kamu dah rasa sihat, dik?” Kali ini giliran Kak Resya pula bersuara. Sekali lagi Reana Merlis mengangguk lalu menguntum senyum kepadaku.

Aku telan senyumannya dalam kepayahan. Betapa dia menutup segala gundah dan kesedihan hatinya. Aku tahu itu kerana dialah wanita di sisiku selama ni. Yang banyak menemaniku tatkala suka dan duka, di saat sukar dan senang.
******
MALAM itu, aku dan Reana Merlis sama-sama menemani kedua puteri kami yang tidak pula mahu lena malam ini. Melihatkan mereka menggeliat dan merengek marah akibat dibedung, aku dan isteri ketawa lepas.

“Abang tengok kakak ni...” ujar Reana Merlis padaku saat aku sedang menggendong si adik.

“Marah betul kalau bedung dia.” Tubuh si kecil itu di sapa ke dalam pelukannya. Aku hanya memandang dengan senyuman.

Terpancar terang cahaya kasih keibuan di wajah isteriku. Wajah yang semakin hari semakin pucat. Semakin tidak berdarah. Bibir merah delima suatu waktu dulu itu makin kering merekah. Aku yang melihatnya pula terasa perit tapi dia tidak pernah lokek dengan senyuman.

“Budak-budak zaman sekarang bukan macam dulu, yang. Bukalah bedung dia tu. Nanti makin kuat merengek pulak,” ucapku pada si isteri.

Reana Merlis ketawa nipis. “Mana boleh. Dalam pantang kenalah bedung dulu. Nanti dia cepat terkejut. Lagipun, Rea nak dia rasa kemas je sentiasa. Biar dia rasa dok dalam pelukan mama dia setiap masa biarpun mama dia dah tak ada satu hari nanti.”

Reana Merlis mengucup pipi si kakak sebelum beralih pula pada pipi si adik yang ada di ribaku. Aku ketap gigi. Menahan kepedihan hati yang tersiat-siat dek kata-kata isteriku.

“Kan abang dah pesan, jangan cakap macam ni. Abang tak kira, lepas pantang ni, kita buat rawatan susulan. Nak ke tak nak, ni arahan abang.” Aku letak puteri bongsu di bawah lalu aku bangkit mahu menuju ke pintu.
Malas hendak berdepan dengan isteriku lagi. Pedih hati ini. Tidak mengertikah dia akan kata-katanya yang bagaikan belati itu?

“Rea mungkin tak sempat nak jalani rawatan tu semua, bang.” Langkahku terhenti di depan pintu bila Reana Merlis bersuara. Aku kali ke belakang. Dia sedang mengesat hujung matanya. Si kakak pula sudah ada di bawah dan tetap merengek kecil, tidak mahu dibedung.

“Sebab Rea dah menolak benda tu semua sekarang,” ujarku sedikit membentak. Meninggikan suara buat kali kedua pada dia.

“Rea perlu menyusu anak-anak dan Rea tak nak susu Rea nanti tercemar dengan ubat-ubat kimia tu semua. Tak baik untuk anak-anak,” balasnya beralasan.

Tubuhnya aku dekati. Lalu, aku duduk mencangkung di depannya dan mengelus pipi yang telah dinodai airmata itu.

“Berapa kali abang nak pesan. Jangan cakap macam ni. Abang tak boleh nak terima...”

“Tapi, ajal maut ni ketentuan Allah, bang,” pangkasnya.

“Ya.” Aku angguk. “Memang ketentuan Allah sebab tu abang tak nak Rea terus cakap tentang ni. Segala dah pasti, cepat dah lambat je. Cuma, sementara kita sama-sama masih bernafas atas muka bumi ni, abang nak hidup bahagia dengan Rea. Membesarkan dan mendidik anak-anak menjadi sebaik mamanya.”

“Mengingati mati itu perkara wajib bagi umat Islam.” Reana Merlis jelas tidak mahu kalah denganku. Masih keras hati bagai dulu.

“Dan cukuplah urusan itu antara kita dan Allah saja. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Mati itu pasti. Memang pasti. Setiap yang bernyawa, pasti mati. Cuma, selagi Allah berikan kesempatan, kita nikmati kesempatan itu dengan penuh rasa syukur. Bukan dengan cara macam ni. Abang tak boleh nak terima dan abang tahu, kat sini...” Aku sentuh dada kiri Reana Merlis dengan hujung jariku.

“... dalam hati ni, abang tahu Rea juga sedih yang amat.”
Tubuh yang semakin susut itu aku paut penuh kasih dan kelembutan. Memaksudkan rasa kasih dan sayang di sebaliknya. Menghantar keperitan diri dalam menghadapi kehilangannya nanti.

“Kita tak tahu perjalanan takdir kita, sayang. Entahkan sayang, atau abang dulu yang pergi,” sambungku.
Dapat ku rasakan eratnya pelukan Reana Merlis pada tubuhku. Aku dengar esakan halus di peluput telinga dan serentak itu, airmataku gugur lagi. Murah, terlalu murah.

“Jangan cakap macam tu. Rea janji, Rea tak cakap lagi macam tu. Kita sama-sama jalani hidup ni bersama anak-anak dan keluarga yang lain sementara berpeluang,” gumamnya. Aku angguk di bahunya dan aku benamkan wajahku ke leher jinjang itu lama. Aku rindu pada dia.
*******
HARI minggu itu aku sekadar di rumah. Keluarga semua sudah selamat pulang ke Kijal. Mungkin seminggu dua lagi mereka kembali. Wajah Reana Merlislah yang paling sedih. Terlalu sugul bagaikan berpisah tidak akan ada pertemuan lagi.

“Obeng!” Aku tersentak. Tawa Reana Merlis jelas di telingaku. Ceria benar dia sejak akhir-akhir ni. Alhamdulillah, ucap hatiku selepas melihatkan dia sudah beransur kuat dan bersemangat. Aku pegang janjinya untuk menjalani rawatan susulan selepas habis tempoh berpantang dan majlis cukur jambul si kembar kami dua minggu lagi.

“Obeng ni mengelamun je tahu. Sejak dari sampai Rea panggil pun Obeng tak dengar.”
Aku sudah bercekak pinggang. Terkejut dengan nama yang sudah lama tidak ku dengar dari mulut Reana Merlis.

“Siapa bagi izin panggil abang Obeng tu?” tanyaku buat-buat marah. Reana Merlis ketawa lagi.

“Eh, bukan ke Obeng tu Rea je boleh panggil. Obeng tak hak nak halang,” usiknya lagi. Kali ini aku membuntangkan mata lalu tubuh itu aku paut dari belakang.

“Obeng rindu Rea. Rea rindu obeng tak?” tanyaku pula.

“Mestilah rindu. Dari dulu, kini dan selamanya. Kasih dan kesetiaan Rea hanya untuk Obeng,” jawabnya telus. Aku
tersenyum simpul. Bangga dapat menjaga kasih sayang kami sehingga ke hari ni.

“Anak-anak mana?” tanyaku kemudiannya. Tanganku masih lagi melingkari pinggang isteri.

“Anak-anak tidur. Siang tidur, lepas tu malam berjaga,” keluhnya tipis. Aku ketawa seketika.

“Biarlah tu. Dia sajalah nak tak nak bagi mama dengan papa dia manja-manja. Nanti tak pasal-pasal diorang dapat adik lagi tahun depan,” gurauku pula. Reana Merlis menjerit kecil.

“Abang ni, ke situ pulak,” ucap isteriku manja. Ya, dia memang manja. Rasanya sudah mendapat kembali Reana Merlisku dulu. Penghibur tatkala duka, penenang ketika resah dan dialah, Reana Merlis. Bersemangat dan penuh keceriaan. Terima kasih, Ya Allah.

Aku leraikan pelukan dan kami sama-sama melabuhkan duduk di sofa. Melihat si kembar yang lena pulas. Langsung tidak terganggu.

“Dari sehari ke sehari, abang lihat kakak dengan adik ni, mata dia dah makin serupa dengan Rea. Apa yang serupa dengan abang, ya?” tanyaku sambil menggaru janggut tipis di dagu.

“Anak Rea, mestilah sama dengan Rea.”

“Hai, tak ada abang, ada ke anak Rea tu?” tanyaku seolah-olah berjauh hati. Lenganku dipaut si isteri lembut. Dia melentokkan kepala ke bahuku.

“Anak kitalah. Encik Obeng ni... orang gurau jelah,” pujuknya. Aku melepaskan tawa. Suka bila dapat mengenakan Reana Merlis selepas sekian lama.

“Obeng pun gurau jugak dengan Rea,” balasku dan seperti biasa, lenganku pasti dicubit. Itulah satu-satunya tabiat Reana Merlis selepas kami sah menjadi suami isteri.

“Minggu depan jadi tau kita buat kenduri kesyukuran tu. Lagipun dia dah nak habis pantang ni. Sedang elok dah tu,” ujar Reana Merlis. Aku terdiam seketika.

Mendengarkan ayat ‘Rea dah habis pantang’ itu benar-benar membuatkan aku terkedu sendiri. Lemah segala sendi. Serta merta kata-kata Reana Merlis sebelum ni berputar di mindaku. Ya Allah, kuatkanlah hati ini.

“Abang dengar tak?” tanya dia lagi. Aku pantas mengangguk.

“Ya, abang dengar. Nanti abang jemput kawan-kawan pejabat dengan orang surau,” jawabku tergagap-gagap dan isteriku tersenyum penuh makna.
******
HENING sepertiga malam itu, aku tersedar dari jaga bila mendengarkan sayup-sayup suara Reana Merlis mengalukan ayat suci Al-Quran Nur Karrim membelakangiku. Syahdunya tertusuk tepat ke jantungku. Tenang dan damai saja. Aku sekadar membuka mata sedikit dalam samar-samar lampu tidur dan melihat dia sedang tekun berdoa di atas sejadah selepas seketika.

“Ya Allah, Yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa ke atas hamba, sesungguhnya hamba pasrahkan diri ke hadrat-Mu. Mengemis sedikit belas ihsan agar dapat hamba menikmati hari-hari terakhir ini bersama suami, anak-anak dan keluarga dengan gembira, Ya Allah,” ucapnya. Sayup-sayup saja menerjah gegendang telingaku.

“Ya, Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu itu, hamba mohon dengan penuh rasa kerdil dan hina, berilah peluang untuk hamba melihat dan menyusukan amanah-Mu ini untuk genap 44 hari. Hamba mahu meninggalkan mereka dalam pelukan kasih sayang bila tiba waktunya dan Kau kuatkanlah hati seluruh keluarga hamba untuk menerima ketentuan-Mu dengan redha terutamanya suami hamba, Ya Allah. sesungguhnya, Engkau Maha Mendengar, Maha Mengurniakan. Amin, ya rabbal a’lamin.” Isteriku meraup wajahnya. Aku terkesan esakan kecil di hujung doa syahdu itu.

Aku membalikkan tubuh ke kanan bila Reana Merlis kalih kepadaku. Seakan dapat merasakan yang dirinya diperhatikan. Betapa aku pilu mendengar doa itu. Ternyata, dia tidak gembira seperti yang terzahir. Batinnya tetap merasakan sedih.

Perlahan-lahan, airmataku menitis membasahi bantal yang menjadi alas kepalaku. Rasa terlalu lemah hendak dibandingkan dengan semangat yang ada dalam diri isteriku, Reana Merlis. Ya Allah, Kau kuatkanlah dia mengharungi hari-harinya.

Subuh itu, aku tercari-cari nafas mengah yang jelas milik Reana Merlis. Aku bangkit hendak menuju ke bilik air bila dia sudah muncul terlebih dahulu.

“Sayang kenapa?” tanyak bimbang.

“Tak sedap perut la, bang. Rasa nak muntah je,” jawabnya lalu aku tuntun dia duduk di birai katil. Matanya tearah kepada baby cod. Melihatkan anak-anak yang masih lena.

“Lena betul tidur budak berdua ni,” ujarnya perlahan.

“Rea tak sihat ni. Abang ambil cuti la teman Rea ke hospital.”

“Tak apa.” Dia menggeleng.

“Abang dah banyak ambil cuti. Rea tak apa-apa. Kan siang nanti keluarga sampai dari kampung. Rea tak makan ni, sebab tu masuk angin,” ucapnya lembut. Aku usap pipinya. Sejuk bagai salju. Malas hendak menambahkan gundah di hatinya, aku diamkan saja. Menerima kata-katanya bulat-bulat.
******
RESAH hatiku tenang mendengarkan alunan selawat buat Rasulullah s.a.w. sempena majlis cukur jambul dan akiqah Reana Marisa dan Rania Merlis. Pada mulanya, Reana melarang aku memilih nama itu, tapi aku tetap berkeras. Aku mahu dua beradik itu membawa sepotong seorang nama mamanya sampai bila-bila.

“Alhamdulillah, dah selamat dah majlis,” ujarku selepas tetamu mula beransur pulang. Hanya ayah dan ayah mentuaku serta Abang Rizman yang sibuk menghantar tetamu pulang. Aku hanya duduk menemani isteriku yang semakin pucat rautnya.

“Jom, sayang. Kita naik atas. Berehat dulu. Anak-anak biar mak jaga. Dah pucat lesi dah ni,” ajakku sambil menarik tangan Reana Merlis. Tanpa banyak soal, dia mengikut saja. Aku paut pinggangnya erat bila ku rasakan dia sudah tidak mampu berjalan tanpa sokongan.

“Sayang baring jap. Abang ambilkan kain, nak letak dekat dahi sikit. Panas dah badan tu,” beritahuku selepas dia tiba di katil. Dia tanpa banyak kata, terus merebahkan tubuhnya.
Belum sempat aku melangkah, dia terlebih dahulu menarik tanganku, memaksa aku duduk di sisinya.

“Alhamdulillah, bang. Semuanya dah selamat. Esok Rea dah habis pantang. Rea akan tunai janji Rea nak buat rawatan tu. Abang suka?” tanya dia dengan senyuman hambar. Mungkin ditelan kepenatan melayan tetamu.

“Suka,” jawabku sepatah. Lalu aku berlalu ke bilik air hendak membasahkah tuala.
Tatkala aku kembali, Reana Merlis sudah terlena. Helaan nafasnya tenang saja lalu aku letakkan tuala basah itu ke dahinya. Lega bila dia akhirnya bersetuju hendak menjalani rawatan selanjutnya.
Malamnya, aku sekadar duduk menemani Reana Merlis bersembang bila mana aku pinta pada mak untuk menjaga si kembar itu seketika. Mendengarkan dia mengungkit nostalgia lama benar-benar membuatkan hatiku ketawa sendiri.

“Yang pasal abang pandai buat-buat lemas tu, kan... bila masa abang pandai berenang?” tanya dia.
Langsung terbayang di mindaku peristiwa dia mahu menyelamatkanku dulu sedangkan waktu itu, aku sekadar buat-buat lemas. Sudahnya, aku yang terpaksa menyelamatkannya.

“Abang belajar masa abang kat Skudai dulu la. Abang kan suka laut, rugi la kalau tak pandai berenang. Tak boleh nak menikmati nikmat alam yang Allah bagi. Tak macam orang tu, pandai berenang tapi takut laut. Jerung la, pirana la. Sayang ni banyak sangat baca fairytale ni,” usikku.

“Haa, yang tu abang kena tanya mak. Kenapa dia cakap macam tu pada Rea. Memanglah jadi takut kalau dari kecil mak momokkan dengan semua tu,” ujarnya membela diri.

“Rindu pada gazebo kayu kita tu, bang,” sambungnya lagi lantas memaut lenganku mesra. Aku senyum saja.

“Rindu, kan?” Dia angguk.

“Jom kita balik esok,” ajakku. Sinar matanya kembali bercahaya. Seronok benar agaknya.

“A’ah, kalau abang tak ajak pun Rea memang nak kena balik jugak,” jawabnya tenang.

“Tak apalah, kita balik sama-sama.” Dia senyum saja kali ini mendengarkan kata-kataku.
******
DINIHARI itu, tidak seperti kebiasaannya. Tiada suara Reana Merlis mengalunkan Al-Quran seperti selalu. Tiada juga ku dengar syahdunya bisikan doa dia buat Sang Pencipta. Suasana juga lain macam saha. Terasa hening dah sunyi. Aku angkat kelopak mata yang berat kerana tidur yang agak lambat malam tadi bila asyik melayan mulut petah isteriku bercerita itu ini.

Aku kalih ke sisi kanan. Ternyata Reana Merlis tertidur di dalam telekung putih yang menjadi hantaranku buatnya dulu.

“Sayang ni, mengantuk sangatlah tu,” gumamku perlahan lantas bangkit mahu ke bilik air dengan niat mahu mengejutkannya selepas aku selesai bersihkan diri.

Selepas aku keluar dari bilik air dan siap mengenakan baju melayu putih mutiara yang menjadi persalinan akad nikah kami dulu, aku rapati tubuh itu.

“Tidur pun dalam senyuman isteri Obeng ni,” ucapku lagi tatkala aku melutut di sisi katil. Perlahan-lahan tubuh yang dibaluti telekung suci bersih itu aku goncang.

“Rea, bangun sayang. Kita berjemaah. Hari ni abang nak keluar awal. Petang ni kan kita nak gerak balik ke Kijal.”
Reana Merlis tiada bertindak balas. Aku goncang lagi tubuh itu dan tetap tiada bertindak balas. Detak hatiku sudah lain macam. Kelopak mata terasa hangat tiba-tiba. Terasa sarat sudah dengan air mata.

Perlahan-lahan, aku sentuh hujung kakinya. Dingin bagai salju. Dengan tangan yang terketar-ketar, aku dekatkan jemariku ke hidungnya....
******
“REA tahu abang dengar doa Rea malam tu, kan?” tanya dia malam itu. Aku angguk.

“Andai Rea terpaksa pergi dulu, abang izinkan Rea, ya?” tanya dia buat kali ketiga. Dalam kepayahan, aku mengangguk jua.

“Reana... Merlis..., kenapa cucu nenek ni comel sangat.” Suara mak mematikan lamunanku. Terasa rindu mendengarkan nama itu ditukas mak dan ayah sambil mendukung Reana Marisa dan Rania Merlis di sekitar gazebo Pantai Telok Kalong yang pernah menjadi saksi, aku jadikan Reana Merlis suri hatiku.

“Yang pergi tetap pergi, Za. Redhakanlah dia. Izinkanlah,” ucap ayah dan mak mentuaku.

Aku diam membatu. Masih tidak dapat menerima pemergiaan Reana Merlis. Tapi, indahnya wajah itu saat itu. Memakai telekung putih dan terbaring kaku dalam keadaan qiam bersama wajah yang tersenyum. Air mataku menitis lagi. Bermula dari esakan halus hingga akhirnya aku terkulai di dalam pelukan ayah mentuaku.

“A’ah, kalau abang tak ajak pun Rea memang nak kena balik jugak!” Terngiang-ngiang bisikannya padaku malam itu.

Lumrah aturan takdir, tatkala kehilangan, baru kita tersedar akan sesuatu yang pelik yang terjadi dalam diri mereka yang mahu pergi buat selamanya dan Reana Merlis pergi jua meninggalkanku bersama dua orang puteri yang menjadi tanda cinta kami selepas doanya termakbul, hendak menyusukan Reana Marisa dan Rania Merlis sehingga genap 44 hari.

“Terimalah ketentuan ini dengan hati yang terbuka, Reza Mukhriz,” ujar mak mentuaku pula dalam esakan. Aku angguk dalam keterpaksaan.

‘Pergilah, sayang. Abang izinkan,’ bisik hatiku pedih bersama sebuah puisi indah mengiringi kerelaan hatiku membenarkan dia pergi. Kembali kepada Penciptanya.

Reana Merlis,
Telah terbina sebuah mahligai
Menjadi tanda agungnya cinta kita
Telah ku binakan sebuah istana
Menjadi tanda cinta sejati
Megah menghiasi taman kasih kita
Dan diringi haruman firdausi
Dikaulah permaisuri di hati suami
Penyejuk mata penenang di hati
Tapi angin yang mendatang
Bagaikan badai yang melanda
Kau pergi dulu tanpa menunggu ku
Kerna takdir ku relakan jua
Reana Merlis,
Akan ku pahatkan doa ku
Di dalam lena dan jua jagaku
Akan ku sirami pusaramu
Dengan cinta sejati….

***TAMAT****

Sesungguhnya, Allah telah menetapkan 4 perkara ke atas kita. Kejadian, rezeki, jodoh dan ajal. Segalanya pasti. Hanya tika dan waktu saja yang perlu kita nanti dengan mengutip segala amal dan pahala agar mudah kita bertemu DIA di sana. Mengingati mati itu adalah wajib bagi kita sebagai umat Islam. Salam sayang buat semua ~~~> RM

31 comments:

  1. novel baru erk? hehe~

    ReplyDelete
  2. hee..ni bukan novel..cerpen saja..akan siap dlm waktu terdekat..RM nak siapkan cerpen jahit hati tu dulu..hee...sabau tau..

    ReplyDelete
  3. saya suka cerpen Aku dan Obeng ...
    kenapa sedih pulak kali ni....
    macam dah x best lah...
    suka Aku & Obeng yang sweet ....
    kalaulah ia nya mimpi .... hai....

    ReplyDelete
  4. Erk..sue, rm mtk maaf sgt kalo cerpen ni tak menepati citarasa sue..but we have to realize..in our live there's always any posibility..semuanya mgkin..

    ReplyDelete
  5. hemm sedih sangat...menitis air mata baca cerpen ni..x sangka mcmni RM tamatkan kisah obeng&rea...sedih tp best..good job RM..

    ReplyDelete
  6. An....ko saje je kan....asal le ko buat cito sodih....tak pasal2 akak nangis tetongahari ni hah....sangat sudih hokay....

    From:
    Kak Rozie

    ReplyDelete
  7. huhuhu..sila jgn marah penulis sbb penulis sendiri pun menangis waktu nk menyiapkan cerpen ni..huhuhu..

    ReplyDelete
  8. tahniah RM...anda seorng pnulis yg mmahami bhw hidup kita tak slalunya brakhir dgn kegmbiraan...
    anda tlh brjya mnulis dgn pelbagai genre...itu klebhnnya...

    ReplyDelete
  9. sedih laa~ menitis air mata tatkala baca cerpen ni. ;(

    ReplyDelete
  10. sedih nyerrrr..
    rabak hatiku ini membaca nyerrr..
    tolonglah jgn wat cite sedih mcm ni lgiii

    ReplyDelete
  11. tahniah....sgt menyentuh jiwa....

    ReplyDelete
  12. sedihnye...tak sanka penamatnya begini kisah dorang...

    ReplyDelete
  13. waaaa... sedihnyeeee... sangat menyentuh jiwa dan raga...

    ~Haniza~

    ReplyDelete
  14. Fuhh,sedihnya..:(
    B'juraian air mata.
    Hmm, ni lah realiti khdpn.
    X sllu indah & cerah.
    Btw, congrats writer. Anda dh b'jaya tamatkan kisah obeng & rea dgn b'kesan.

    ReplyDelete
  15. huhuhu..sedey ny pertama kali nya fika nangis baca cerpen RM..mantap..semua rasa ada...masuk kat aty fika(semua karya RM masuk ke aty)..
    terima kasih buat fika nangis baca cerpen ny..huhuhu
    chaiyok...chaiyok..RM

    ReplyDelete
  16. sesuai citer ni ngan lirik lagu "kekasih" devotees..

    ReplyDelete
  17. uwaaaa...kalo gini RM pon nak nangis gak ar..semua kata RM jahat dera perasaan..hahahha(gelak jahat tetiba)

    ReplyDelete
  18. kala takdir menyapa..realiti terbentang di depan mata, biar sejuta kudrat berhimpun untuk menjauhkannya..namun pastilah takdir mengatasi tadbir..seperti selalu..sejuta emosi n rasa..yang paling manis..saya terfikir perlukan sejuta kekuatan bertunjang iman yang teguh utk redha n pasrah dengan 'hadiah' dariNya..kak Rehan...selalulah "berbicara" begini dengan saya...

    ReplyDelete
  19. kak RM~
    nape wat camnie :(
    bru heppi bce aku & obeng..aleh2..sedih la~

    ReplyDelete
  20. kenapa k rm buat macam ni? sebab kita kena sedar..kala takdir nak duga..kita tak tau masa tu kita di kala gembira dan suka & kita tak akan mampu tahan kehendak takdir..realiti kehidupan beginilah..maaf atas kesedihan & airmata anda..tp inilah hakikat kehidupan..

    ReplyDelete
  21. tahniah & terima kasih..krna mengingatkan hakikat khidupan..hidup lawannya mati..gembira ada pasti sedihnya
    kite kena redha dgn seikhlasnya seandai kematian menjemput kite @ org yg kite sayangi..kerna itulah tanda keimann kite pd yg Esa..

    ReplyDelete
  22. rm........sedeynyer cter ni....xsuka la...uhhuhuhu..=(

    ReplyDelete
  23. sedih la kak.. sob.. sob...

    ReplyDelete
  24. dh abis bacer citer nie ... boleh pulak opis mate tanya.."nangis ke?? name mata merah...berair lak tuh...nape??" RM la punyer keje nie....

    ReplyDelete
  25. baca cerpen ni sambil dgr doa taubat berkali2...
    airmata laju jer turun...perit hidung & tekak...

    ReplyDelete
  26. AKAK... SY BARU JE BCA CRTA OBENG.. SWEET JE..
    PATU TRUS BCA CRTA NI...
    BANJIR RUMAH SY AKAK...HUUUUUUU... :(


    AIN

    ReplyDelete
  27. kak RM knpew cdih ngat ctew niy,,,huhuhuhuhuhu

    ReplyDelete
  28. cdyhhnyaaa...uwaaaaa
    ~SS~

    ReplyDelete