Monday, October 31, 2011

Sistem Barter Cinta Kita

PAGI ini rasa sejuk semacam je. Mencucuk hingga ke tulang hitam. Malam tadi hujan lebat, itulah agaknya sejuk pagi ni. Mak pula dah suruh aku ke rumah Mak cik Ana, hantar nasi lemak. Nak cakap malas karang, tak pasal-pasal kena smash.

“Kenapa rumah Mak cik Ana je, mak?” tanya aku bila mak hulurkan pinggan nasi lemak. Pelik jugalah bila setiap kali rumah Mak cik Ana itulah yang mak suruh aku hantar makanan dan dari rumah Mak cik Ana jugalah kami terima makanan. Kat jiran lain bagi juga, tapi rumah Mak cik Ana lah yang paling kerap.

“Kan semalam Mak cik Ana ada bagi kita mee goreng, orang berbudi kita berbahasa la,” jawab mak bersama senyuman. Macam ada tak kena je.
Sudahnya, mak tolak aku keluar dari pintu. Suruh pergi hantar nasi lemak tu cepat-cepat dan nasi lemak tu, aku yang masak sebab mak buat permintaan semalam. Bila aku tanya dia kata, hari ini hari cuti. Jadi, apa salahnya aku tunjuk bakat.

“Assalamualaikum, Mak cik Ana…” laungku sedikit kuat bila tiba di pagar rumah dia.

“Mak cik Ana, ni Muna,” ujarku lagi. Memberi pengelanan diri siap-siap takut Mak cik Ana ingatkan tetamu tak diundang pulak pagi-pagi ni.

“Waalaikummussalam,” jawab tuan rumah dari dalam tapi yang peliknya suara lelaki. Aku dah pelik, rasanya Mak cik Ana ni ibu tunggal. Ni mesti anak dia yang kerja dekat luar Negara tu? Bila pulak baliknya?

“Umi tak ada. Ke pasar.” Dan lelaki itu dah terjengul di muka pintu. Perlahan-lahan dia dah mula menapak ke arahku. Tersengih mesra, macam umi dia jugak.

“Err, dah awak ni siapa?” tanya aku. Patutnya dialah tanya sebab aku datang rumah dia, ni dah terbalik.

“Terbalik dah kita ni. Patutnya saya yang tanya awak sebab awak ada depan pagar rumah saya.” Suara lelaki depan aku ni dah macam mengejek je. Hah, tu ambil kau Munawarah. Kan dah kena.

“Err, maaflah. Saya jiran je. Rumah tu…” Aku muncungkan bibir ke rumah aku yang selang beberapa buah rumah dari rumah dia.

“…nak hantar ni je.” Aku suakan pinggan Luminarc tu pada dia.

“Apa ni?” tanya dia selepas pinggan tu bertukar tangan.

“Nasi lemak.”

“Pinggan ni nak kena pulang ke?” tanya dia lagi.

“Eh, tak apa.” Aku goyangkan tangan depan dia. “Ini Mak cik Ana punya. Semalam dia bagi mee goreng.”

“Oh, sistem barter la ni, ya?” Dia tersenyum-senyum.

“Terima kasih, ya.. err… siapa nama awak tadi, ya? Saya Maliki.”

“Saya tak tanya pun nama awak,” tempelakku. “Okeylah, saya balik dulu,” Aku terus pusing badan mahu berlalu.

“Tak adil ni. Kalau saya dah beritahu nama saya, awak pun kenalah bagitahu juga. Tu baru panggil sistem barter,” ujarnya sedikit terjerit.
Aku malas nak kalih dah, langsung aku angkat tangan goyang berkali-kali pada dia. Pertama kali tengok wajah Maliki tu, memang diakui dia kacak. Patutlah mak beria suruh aku masak, lepas tu hantar sendiri.

“Cepat balik,” tegur mak bila aku masuk ke rumah.

“Biasa Muna sembang dulu dengan Mak cik Ana, kan?” tanya mak lagi.

“Mak sengaja, kan?” tebakku dan rasanya tepat je bila mak gelak tapi dia tetap nak nafikan.

“Apa yang sengaja pulak? Mak minta tolong Muna masak je, lepas tu hantar ke rumah dia. Tak salah kan tolong mak.” Berdalih lagi mak aku ni.

“Mak cik Ana tak ada kat rumah,” selaku malas.

“Memanglah, dia dah cakap dekat mak semalam nak ke pasar pagi ni.”
Aku tepuk dahi dengar penjelasan mak. Tak tahulah dia sengaja cakap begitu atau terkeluar secara tak sengaja.

“Dah tu, mak tahu kenapa mak tanya Muna sembang ke tak tadi?”

“Eh, mak tanya macam tu ke?” Wajah mak dah berkerut. Eleh, buat-buat tak tahu pulak dia.

“Habis tu siapa ada kat rumah dia? Muna bagi kat siapa nasi tu?” Emm, aku tahu dah. Memang mak tahu. Dia saja berlakon tu. Boleh tahan juga mak aku ni berdrama. Itulah, banyak sangat tengok Pilih Kasih. Drama... drama...

“Entah, Muna letak je depan pagar,” jawabku selamba lalu aku menapak ke tingkat atas. Malas dah nak layan. Nanti tak pasal, mak mengubah topik perbualan yang lebih sensitif.
******
SEHARI dua ni hujan saja. Alhamdulillah, hujan rahmat. Memang sejuk sampaikan nak pergi kerja pun rasa malas. Dahlah kena naik bas. Nak jalan ke bus stand jauh la juga, kat depan taman permainan sana. Nak tak nak kenalah jalan bila hujan memang tiada tanda hendak berhenti.

“Baik-baik, Muna. Lecak tu,” jerit mak dan aku hanya angkat tangan saja tanpa berpaling. Itulah mak, suka jerit bila aku dah jauh. Masa salam tadi tak nak pula dia bagi pesanan penaja.

Sikit saja lagi aku dah nak sampai bus-stand bila tiba-tiba ada sebuah kereta membunyikan hon dan terus berhenti tepat di sebelah aku. Rasa bingit je telinga. Aku jenguk pemandunya. Anak Mak cik Ana. Err, tapi aku dah lupa nama dia.

“Nak pergi kerja ke?” tanya dia selepas menurunkan cermin Mazda tu.

“Hujan lebat ni. Bas mesti lambat. Mari saya tumpangkan,” pelawa dia lagi.

“Tak apalah. Saya boleh naik bas,” tolakku sopan.

“Janganlah macam tu, semalam awak beri nasi lemak. Sedap pulak tu. Jadi, ni kira macam sister barter la. Saya tumpangkan awak. Adil, kan?”
Huh, dia ni. Tak habis-habis dengan sistem barter dia. Ingat ni zaman batu ke? Aku tak terus jawab tapi aku dongak dulu ke langit. Memang hujan lebat amat. Langsung tiada tanda hendak berhenti. Baju aku pun dah hampir separuh basah kena tempias. Orang pun bukan ada dekat bus-stand tu. Jam pula sentiasa berdetik. Kalau lambat nanti kena smash.

Sudahnya, aku mendekat ke kereta berwarna merah garang tu. Tak sesuai langsung dengan dia. Eleh, kata orang, macamlah aku ada kereta. Lesen jauhlah sekali.

“Haa, kan senang kalau terus masuk je tadi. Tak adalah dan basah dulu,” ulasnya lalu kereta terus memecut laju.

“Pejabat dekat mana dah? Umi saya ada cakap tapi lupa.” Dia sengih sekilas padaku.

“Dekat Maju Junction Mall.” Dia angguk menerima jawapanku. Eleh, macamlah tahu. Tak silap aku dia dah hampir setahun di buang Negara oleh majikan dia Encik Petronas tu.

Aku dah mula menggigil. Rasanya bibir mesti dah jadi warna ungu sebab aku tengok kuku aku yang putih jernih tu dah jadi warna ungu dah. Pucat habis menahan sejuk penghawa dingin dengan pakaian yang lembab ni.

“Err, takut ke naik kereta dengan saya?” tanya dia. Letih juga cuba ingat nama dia tapi memang tak dapat ingat. Rasanya M juga kat depan macam nama aku. Nak tanya karang dia minta sistem barter lagi.

“Tak kan tak percaya anak jiran sendiri? Kalau jadi apa-apa kan rumah kita dekat je. Senang awak nak serang.” Dia ketawa.
Tak sempat pun aku jawab dia dah pandai buat spekulasi dalam pada aku dok perah otak nak ingat nama dia tu.

“Eh, ada niat nampak?” selaku sinis. Dia ketawa.

“Bukanlah niat. Dah nampak awak menggigil macam takut je. Saya cakaplah macam tu. Tapi, betullah. Kalau kata saya buat jahat kat awak, rumah dekat je. Apa susah,” ulang dia lagi.
Kali ini aku dah takut. Bila dua kali orang lelaki ni cakap macam tu rasa macam dia maksudkan la pulak.

“Err, saya menggigil sebab sejuk tadi tapi ni menggigil sebab takutkan awak pulak,” jawabku telus. Dia ketawa lagi. Suka sangat ketawa.

“Ketawa banyak boleh mati hati,” beritahuku memaksudkannya. Langsung mati tawa dia. Dalam hati aku nak gelak pun ada bila tengok wajah yang berubah serta merta tu.

“Err, tak nak mati hati lagi lah. Belum jumpa hati satu lagi nak buat sistem barter ni,” selanya serius. Dia terus perlahankan penghawa dingin. Tapi, masih juga sejuk. Kereta terhenti di lampu isyarat merah. Dia membuka jaketnya lalu dia letak atas riba aku tanpa aku pinta.

“Nak buat apa ni?” tanya aku pelik.

“Selimutlah. Karang beku pulak tak sempat nak bertukar hati nanti,” jawabnya tenang lalu dia meneruskan pemanduan.

“Tak apa. Saya dah tak sejuk ni,” ucapku berbohong. Padahal rasa menggigil lagi. Memanglah tak boleh duduk oversea.

“Tak sejuk awak cakap. Bibir dah jadi ungu. Hai, tak bolehlah nak bawa jalan-jalan oversea musim sejuk macam ni,” keluh dia. Ah sudah, dah serupa pula apa yang kami fikir. Macam ada kimia je. Orang putih kata chemistery.

“Pakailah. Ni paling perlahan tau saya boleh buat air cond ni.” Suara dia dah mula menggesa. Aku pun apa lagi, dah alang-alang orang bagi, aku selimut la tubuh aku. Fuh, lega dan bibir pun tak boleh tersenyum sikit. Kalau tak, kejung. Tak boleh nak gariskan senyum.

“Errr, kenapa awak senyum? Macam ni ke awak menghadapi ketakukan terhadap saya?” Soalan dia terus buatkan senyumku mati.

“Entah, ni kali pertama saya dalam satu kereta dengan lelaki. Baru kenal pulak tu walaupun jiran. Jadi, tak tahu patut macam mana patut saya ekspresikan rasa takut tu,” selaku loyar buruk. Dia ketawa.

Lepas tu, tiada lagi kata-kata terbit dari bibir kami bila aku lihat dia lebih suka membaca mantera jampi serapah sendiri. Lepas tu dia tarik telefon dia keluar dan dia tekan-tekan papan kekunci dan sesekali tersenyum. Entah-entah aku tumpang orang gila tak?

“Kat sini, kan?” Tersentak aku dek pertanyaan dia ni. Dia kini dah berhenti tepat depan bangunan Maju Junction Mall. Huh, lega bila dah sampai. Nasib baik dia tak kidnap aku.

“Terima kasih,” ujarku ikhlas dan belum sempat aku buka pintu kereta dia tarik dulu hujung lengan baju kurungku. Aku dah pandang dia pelik.

“Kenapa?”

“Hujan lagi ni. Kejap, saya turun dulu.” Dia terus turun bersama sebuah payung yang di capai di bahagian belakang kereta. Sebentar kemudian, dia dah buka pintu sebelah aku. Memayungiku dan mempersilakan aku keluar dari perut kereta serta terus dia payungkan aku hingga ke bawah bumbung.
Terkedulah juga bila ada mata-mata yang mula memandang. Siap gelak tutup mulut lagi. Mentang-mentanglah ni pertama kali aku dihantar dengan kereta besar pulak tu. Si penghantar pulak kacak orangnya. Aku mula la buat muka bangga.

“Terima kasih,” ucapku lagi sekali.

“Sama-sama,” balasnya dan belum sempat dia berlalu ke dalam kereta, aku dah tahan dia siap-siap. Nak tak nak, kena tanya juga.

“Err, siapa dah nama awak, ya?” Aku buat muka tak bersalah. Sengih tunjuk gigi putih aku ni.
Dia senyum. “Semalam saya dah bagi tahu, kan?”

“Ya, tapi saya tak ingatlah.”

“Bukan awak tak ingat tapi awak tak sudi nak ingat,” ujarnya bernada rajuk.
Aku dah pelik. Aku dengar dia cakap nama dia semalam tapi memang betul aku tak ingat dan tak ada kena mengena dengan sudi nak ingat ke tidak.

“Err, bukan macam tu lah. Saya memang tak ingat.” Aku mula la bela diri. Tapi, tiba-tiba telefon bimbit pula berdering. Aku terus selongkar beg tangan. Mak!

“Kenapa, mak?” tanyaku usai menjawab salam.

“Mak cik Ana cakap Maliki tumpangkan Muna, ya ke?” Erk, cepat betul berita tersedar. Bahaya betul taman rumah aku tu.

“Er, ya. Dah selamat sampai pun,” akuiku telus. Mak gelak dan ada satu suara lagi yang gelak dan pastilah suara Mak cik Ana.

“Saya yang SMS dekat umi, saya tumpangkan Muna.” Dia terus mengaku tanpa aku tanya bila aku kembali simpan telefonku di dalam beg tangan. Agaknya masa dalam kereta tadi kot dia SMS umi dia?

“Err, yalah. Terima kasih, Maliki,” ucapku kali ketiga dan kali ini siap dengan nama. Mujur juga mak telefon. Dapat aku tahu nama Maliki ni bila mak sebut.
Pas kerja aku tarik dari dalam beg tangan. Mahu disarung ke leher nak naik ke pejabat dah. Tapi, tak sempat lagi aku pakai, Maliki terlebih dahulu renggut dari tanganku.

“Kenapa pulak ni?” tanyaku sedikit meninggi. Rasa nak marah pun ada tapi Maliki senyum saja. Tenang benar wajah itu.

“Awak dah tahu nama saya Maliki dan saya dah tahu nama awak Munawarah. Pas kerja ni saya ambil sebagai sistem barter dengan jaket tu.” Serentak itu dia terus berlalu masuk ke dalam kereta dan terus memecut laju.

Aku jugalah yang terkebil-kebil sendiri menilik tubuhku yang masih tersarung jaket kulit warna hitam milik Maliki. Sekali terlupa daa. Maknanya, hari ni kenalah buat tebal muka dekat Sumber Manusia mengadu pas kerja hilang.
*******
TATKALA daun pintu bilikku terkuak, wajah budak pejabat aku, Rozana tersembul bersama senyuman lalu dia terus mendekat padaku. Dalam hati aku dah dapat agak apa yang dia nak tanya ni. Ni mesti lain tak bukan ni….

“Pagi tadi pakwe hantar, ya?” tanya dia. Kan aku dah cakap. Aku senyum.

“Kalau ya?” Aku saja jelah main tarik tali dengan cik kaki sibuk ni.

“Eh tak percayalah aku. Tak kan la tup-tup kau ada pakwe kacak macam tu. Bila masa kau jumpa dia?” Raut dia jelas menggambarkan yang dia sangsi dengan aku.

“Family arrangement,” jawabku menipu. Saja aku kenakan dia. Suka sangat mengata aku tak laku. Padahal dia lagi tua dari aku tapi tak kahwin-kahwin juga lagi.

“Eh, bila lagi?” Rozana dah mula buat muka tak percaya. Lebih tepat lagi muka menyampah dengan aku.

“Dah lama. Sebab tu aku tak pernah layan orang lain sebab aku dah ada teman lelaki walaupun selama ni dia kerja dekat luar Negara. Ni dia dah balik, tak lama lagi kami tunanglah kot.”

Wanita di depan aku ni dah mula hentak kaki ke lantai dah. Apa yang tak kena pun aku tak tahu. Selang seketika, dia terlalu berlalu dengan mulut yang membebel macam murai. Tak lain tak bukan, maki aku la tu.

Tengah hari itu, aku keluar dari bilik seperti biasa. Niat hati nak mencari sesuatu untuk mendiamkan perut aku ni yang sedang melagukan melodi sumbang ni. Terlupa hendak bersarapan pagi tadi disebabkan kerja yang berlambak.

“Betul ke awak nak kahwin, Muna?” tanya Ijad pula. Salah seorang teman aku kat pejabat ni. Langkahku pegun di depan pintu bilikku. Tu dia, kahwin terus. Bukan tunang dulu. Dia ni pernah luah perasaan dekat aku masa mula-mula aku masuk kerja setahun sudah. Cinta pandang pertama katanya tapi aku buat tak tahu jelah pun disebabkan mulut Rozana. Suka sebar berita tak betul.

“Ni mesti Roza yang cakap pada awak, kan?” tebakku dan Ijad mengangguk.

“Awak percaya ke cakap Roza tu?” tanya aku pula. Dia menggeleng.

“Tapi….” Ada tapi la pula Ijad ni. “…pagi tadi saya pun nampak dia hantar awak.”

“Kalau nampak maknanya betullah tu,” selaku lalu aku berlalu. Malas nak berdrama lagi dah. Tak pasal aku tambah keberatan di bahu kiri kerana menipu semata-mata nak elak orang mengata aku.

“Muna!!!”Belum sempat aku tolak pintu kaca tu, suara Rozana bergema jerit nama aku. Apa lagi dia nak?

“Ada orang tunggu kau dekat reception,” sambung Rozana. Aku jungkit kening tanda bertanya.

“Dia kata pakwe kau!”
Melopong aku dibuatnya. Baru saja aku sebut teman lelaki, betul-betul teman lelaki aku tiba. Masalahnya siapa teman lelaki aku tu? Ijad dah buat muka.

“Patutlah awak tolak saya selama ni, Muna. Memang awak dah berpunya. Tahniah walaupun agak terlewat,” ujarnya lirih. Susah mamat bunga ni.

“Err, belum terlambat lagi ucapan tahniah tu. Kami tak tunang lagi, kahwin lagi lagi la belum. Hari kami tunang dan nikah nanti, bolehlah awak wish lagi sekali.” Aku buat lawak pula sedangkan muka Ijad dan monyok.

“Terima kasih, Roza,” ucapku pada Rozana dan aku terus berlalu ke menuju ke lif. Berlama-lama di situ nanti ada saja soalan membunuh.
Setibanya aku di reception tingkat bawah, aku tercari-cari juga wajah tunang aku tu. Teringin juga nak tengok tunang aku tu kacak ke tidak. Sedang aku terjengul-jengul sana sini, aku rasa bahuku dicuit sikit dan bila aku berpaling ternyata dia memang teman lelaki aku. Teman lelaki tak diiktiraf.

“Err, awak!!” Aku terkejut dah. Maliki senyum.

“Awak kalau nampak saya mesti awak bulatkan mata awak, kan? Dahlah mata tu bulat, nak bulatkan lagi,” usik dia.
Mahunya tak bulat bila aku tak pernah duga dia begitu berani datang mencari aku di pejabat. Siap mengaku teman lelaki lagi. Padahal baru saja kenal semalam. Macam tu boleh dikira kenal ke? Aku pun tak tahu.

“Orang terkejutlah. Bukan saja nak bulatkan,” dalihku.

“Awak buat apa kat sini?”

“Nak ajak awak makan tengah hari, sudi tak?” pelawa dia. Berani dia cakap macam tu je dekat aku. Memanglah macho habis. Ijad dulu main pesan memesan saja.

“Err, tiba-tiba je…”

“Mana ada tiba-tiba. Saya datang masa rehat ni, kan? Kalau tiba-tiba mesti saya datang waktu awak tengah meeting ke, kerja ke.” Maliki ketawa nipis. Mesti dia suka sebab berjaya kenakan aku lagi.

“Yalah, tapi tak cakap dulu pun. Buatnya saya ada date dengan orang lain, tak ke saja je awak datang ni,” sinisku pula.

“Kalau awak ada date, saya join sama. Sebab hati awak tu ada separuh je, separuh lagi hati saya. Nanti kalau saya tak ada awak date tak cukup perasaan pulak.”
Oh, tidak. Dia ni memang suka memutar belitkan kata-kata aku. Aku dah tepuk dahi. Maliki ketawa jelah kerja dia.

“Lagipun, saya tak tahu nombor telefon awak. Apa kata awak bagi pada saya? Senang sikit.” Dia dah mula cucuk jarum.
Aku sengih sinis. “Never!”

“Okay, then.” Maliki jungkit bahu tanda mengalah. “So, sudi ke tak ni?” tanya dia sekali lagi. Nak tak nak, aku angguklah. Dapat makan free. Jimat sikit duit nak beli Samsung Galaxy S nanti, nak ganti telefon bimbit aku ni.

Kami sama-sama melangkah menuju ke Delifrance yang berdekatan tatkala telefon bimbitku berdering. Mak! Lagi? Hati dah rasa pelik je. Masuk hari ni dah dua kali mak telefon. Biasa sekali je itupun kalau aku terlambat balik dari biasa. Ini menjadikan hari aku luar biasa.

“Ya, mak…” Belum sempat aku habiskan ayatku, telefon bimbit itu terhempas ke lantai. Aku pandang budak yang langgar bahuku tu dengan mata yang mula nak berair.

“Maaf, kak,” ucapnya lalu dia kutip telefon aku yang dah bersepai tu dan dia bagi pada aku. Tanganku terketar-ketar nak sambut dan budak itu terus saja berlalu.

“Handphone Muna…,” keluhku sendiri. Maliki dah tarik telefon tu dari tangan aku.

“Handphone Muna dah hancur budak tu langgar tadi,” aduku pada Maliki. Tak perasan termesra pula kata-kata aku kali ini. Mungkin pembawakan sedih kot. Eh, ada ke pembawakan sedih?

“Ya, Liki nampak dia langgar,” jawab Maliki juga mesra dah. Dia senyum saja bila aku lihat dia dengan mata yang berair.
Selepas tu dia tarik telefon bimbitnya keluar dari poket slack. Tu dia, Samsung Galaxy S. Aku dah terjojol mata. Pagi tadi rasanya telefon lain.
Dia buka sim card dari telefon aku yang pecah tu lalu dia masukkan ke dalam Samsung Galaxy S tu. Aku pandang je. Kejap lagi mesti dia nak buat sistem barter.

“Okey, ni handphone Liki satu lagi. Tak pakai sangat pun. Liki bagi dekat Muna dan sistem barternya, Muna kena bagi nombor Muna,” ujarnya dan tak semena, telefon bimbitnya berdering sekali. Dia buat panggilan rindu nombor aku pada telefon dia. Ha, kan dah cakap. Mesti ada sistem barter. Hai, nasiblah.
Tapi, tak kisahlah. Dapat handphone idaman dan itu pun percuma. Hati aku dah gelak mengekek. Nak je aku guling-guling, tapi nak tunggu balik rumah dulu. Guling-guling atas katil. Lagi seronok.

“Alhamdulillah,” ucapku penuh rasa syukur. Aku raup telapak tangan ke wajah yang sudah berubah ceria.
Mestilah bersyukur, kalau tak siapa nak bagi telefon canggih macam ni secara percuma. Erk, tak percuma pun sebab dia buat sistem barter dengan nombor telefon aku.

“Nanti-nanti ada sistem barter lagi, tau?!” Aku dah berkerut dengan kata-kata Maliki. Baru kenal dah mula atur rancangan dengan aku.
******
HARI minggu tu aku sekadar melepak di rumah seperti biasa selepas siap menyediakan roti jala untuk sarapan pagi. Bila diingatkan, rasanya hampir setiap hari Maliki tumpangkan aku ke pejabat dan juga menjemput aku untuk pulang bersama melainkan dia mempunyai urusan di luar daerah. Bila dia tiada, rasa rindu la pula dengan sistem barter dia tu.

Mak dah senyum-senyum je sehari dua ni. Dalam hati aku ni dah dapat agak dah yang mak mesti nak tanya beberapa soalan atau sekadar satu soalan dan itu pun soalan membunuh.

“Muna suka Maliki tak?” Hah, terjojol mata aku dengan soalan mak. Kan dah cakap, satu soalan je tapi memang membunuh.

“Kenapa mak tanya macam tu?”

“Dah nak tahu, mak tanya. Kot-kot la Muna suka, mak pun suka dia.” Mak senyum-senyum lagi. Tersipu-sipu macam anak dara kena pinang.

“Eh, tak naklah mak, Maliki jadi ayah tiri Muna. Kami dekat sebaya. Geli nak panggil dia ayah,” ujarku. Serius saja nadaku padahal dalam hati dah ketawa mengilai. Saja aku usik mak. Buat-buat tak faham dengan serkap jarang dia tu.

“Eh, budak bertuah ni.” Mak tepuk pehaku lembut.

“Bukan untuk mak la. Untuk Muna. Muna suka tak?” tanya mak jujur dan berterus terang. Tak main sorok-sorok dah. Memang moden mak aku ni. Langsung tak berkias.

“Entah. Kejap nak tanya hati.” Aku lekapkan telapak tangan ke dada. Saja hendak usik mak lagi tapi tanpa aku sedar, degupnya lain macam. Ada irama yang sedang menyebut nama Maliki. Eh, biar betul hati aku ni, merasakan cinta tanpa izinku.

“Hah, hati jawab apa?” soal mak kemudiannya. Mungkin selepas melihat wajah ceriaku bertukar kelat.

“Err, hati jawab…” Aku geleng kepala.

“Tak nak?” sergah mak kuat. Bulat mata dia. Rasanya mata bulat aku ni aku warisi daripada mak sebab arwah ayah mata dia tak bulat macam ni.

“Mana boleh hati tak suka. Entah-entah hati Muna tu bohong Muna tak?” tanya mak tidak puas hati.

“Eh mak ni. Mana hati pandai bohong pada tuan dia.” Aku dah gelak tergolek-golek. Mak aku ni memang boleh masuk Raja Lawak.

“Mak tanya betul ni Muna. Betul ke Muna tak ada rasa dekat Maliki tu?” Suara mak dah berubah serius dan aku pun terus matikan tawa. Nanti mak cubit lengan aku pula. Dah tahu dah mak aku ni.

“Kami baru kenal je, mak. Mana la sempat nak tahu soal hati ni. Kalau kata Muna suka Maliki tu, dia belum tentu suka Muna.”

“Baru kenal apa. Dah dekat sebulan dua ni. Pergi kerja sama, balik kerja sama. Nampak macam dah rapat je. Kalau dia suka, maknanya Muna pun suka dia lah, ya?” Mak dah mula pasang serkap dia yang tak berapa nak jarang tu dah.

“Tak…” Aku geleng dan tiba-tiba saja telefon bimbit aku dan menjerit nyaring.
Eh, telefon bimbit Maliki sebenarnya. Aku pinjam dulu sementara beli baru. Tapi rasanya, aku nak gezetkan jadi hak milik kekal aku dah. Nasib juga Maliki telefon, andai tidak mesti panjang lagi cerita tak ada tajuk mak aku ni.

“Siapa?” tanya dia bila aku lekapkan telefon ke telinga. Aku sebut nama Maliki tanpa suara dan mak tersenyum dan berlalu ke dapur. Haish, sporting mak dia lain macam dah.

“Ya, saya,” jawabku perlahan selepas menjawab salamnya.

“Dah ke?” tanya dia pula. Rasa sayup pula suara itu padahal selang beberapa buah rumah saja.

“Dah pun. Awak dah bangun ke? Kalau dah saya hantar sekarang.”

“Mestilah dah bangun. Kalau tak bangun siapa pula yang cakap dengan awak ni?” Dia mula la nak kenakan aku lagi. Tapi, aku tak mungkin tewas. Dulu Bahasa Melayu dapat A1 masa SPM.

“Memanglah suara awak bangun, tapi tubuh awak tu dah bangun ke?”

“Erk…” Suara Maliki bagaikan tersekat. Aku ketawalah pula. Padan muka dia.

“Yalah-yalah. Baru nak bangkit ni,” ujarnya mengalah.

“Hish, tak malu. Tak buka mata lagi, tak basuh muka terus telefon orang. Air liur basi bertempek je kat muka.” Kali ini Maliki pula ketawa dengan kata-kataku.

“Eh, mana Muna tahu? Oh, Muna menyelinap masuk bilik saya ya semalam?” Dia usik aku lagi. Kali ni aku tersedak dengan air liur sendiri. Niat nak usik orang, alih-alih orang usik aku.

“Eh, tak apalah. 15 minit lagi Muna sampai.” Aku terus matikan talian. Bibirku ringan menguntum senyum. Rasa bahagia saja.
Sekali lagi aku bawa telapak tangan ke dada. Ada debaran yang semakin berentak indah di situ. Debar yang tidak pernah aku rasakan selama ini, biarpun Ijad pernah cuba membawa debar itu tapi nyata tidak berjaya.

“Nah, mak dah siapkan,” ucap mak tiba-tiba. Bekas yang berisi roti jala dan kuah kari tu dia suakan tepat ke depan wajahku.

“Nak buat apa?” tanya aku berlakon lagi.

“La, kan Muna nak hantar rumah Mak cik Ana,” jawab mak tenang. Tapi bibir dia mahu tersenyum tu. Kononnya buat serius la tu.

“Mak ni, dengar saja.” Sengaja aku kelatkan wajah.

“Eh, mak terdengarlah. Kalau ada ‘ter’, kan dah jatuh tak sengaja,” dalih mak. Pandai pula tu mencari dalih sejak akhir-akhir ni.

“Yalah, mak tak sengaja dengar,” akuiku akhirnya. Wajah mak ceria.

“Err, mak jelah hantarkan. Segan la pulak pergi rumah orang yang ada anak bujang ni.” Aku sengih garu kepala yang dah dibaluti tudung.

“Jangan nak mengada. Dah janji dengan Maliki, kan?” Bibir mak dah herot sikit, marah aku la tu. Nak tak nak, aku sambut bekas yang dah berisi roti jala dan kuah kari itu.
Bila aku tiba di pagar rumah Mak cik Ana, wajah Maliki dah terjengul di pintu luncur. Tak sempat aku nak beri salam dia dah bagi dulu.

“Nah.” Aku hulur bekas tadi selepas dia kuakkan pagar rumah dia.

“Wanginya kari ni,” pujinya entahkan ikhlas entahkan tidak.

“Bila Muna buat ni?” tanya dia selepas bekas bertukar tangan. Aku dah lihat dia telan liur. Haish, gelojoh.

“Pagi tadi la. Lepas Subuh Muna terus buat. Kan dah janji dengan awak,” jawabku.
Maliki senyum lagi dan kali ini senyuman dia rasa lain pula. Tak nampak biasa tapi nampak luar biasa. Senyuman yang benar-benar indah ku rasakan. Serasa berada di taman bunga.

“Muna mesti rasa kenyang dapat renung Liki, kan?” Hah, aku tersentak dengan soalan itu.
Rasa merah padam muka. Tak sedar perbuatan diri yang asyik merenung anak teruna orang. Memanglah tersampuk aku ni.

“Eh, Mak cik Ana mana?” tanya aku ubah topik la. Apa lagi.

“Terus lompat ke umi, kan?” Dia ketawa. “Umi kat belakang. Cantas pokok serai dia. Panjang sangat daun katanya,” sambungnya. Aku angguk.

“Ni kira sistem barter untuk apa pulak ni?” tanya aku pula. Sinis je nada aku tu.

“Ni untuk Liki jemput Muna lunch kat pejabat hari tu,” jawab dia. Aku rasa nak ambil balik bekas kat tangan dia tu. Tapi, bukan nak bawa balik rumah, sebaliknya aku nak siram kari tu atas kepala dia.

“Awak ni mesti tak ikhlas, kan? Semua benda nak berbalas. Nak kena ada sistem barter.” Aku dah buat muka masam. Memang aku geram. Kalau nak bagi berbudi ikhlas, tak payah meminta balasan.

“Eh, Liki ikhlas la. Tapi, Liki buat sistem barter ni dengan Muna je. Dengan orang lain Liki tak buat pun. Sistem barter ni hanya sah laku untuk Munawarah dengan Maliki je,” jawab dia berdalih. Dia memang hebat berkata-kata. Aku pun pelik, kenapa dia tak jadi peguam atau paling tidak, cikgu Sastera.

“Banyaklah awak awak punya sistem barter,” cebikku. “Kalau tak ikhlas tu cakaplah tak ikhlas.”

“Orang ikhlaslah. Macamlah Muna tahu apa yang ada dalam hati Liki ni. Muna tak pernah masuk, kan?”

“Boleh ke kalau Muna masuk? Mana pintunya?” tanya aku diluar sedar. Padahal tiada niat lain pun. Maliki terus je angguk.

“Memang hati Liki ni untuk Muna je. Ketuklah bila-bila masa pun, memang Muna boleh masuk,” ujarnya berkias. Kiasan yang jelas dan mudah aku faham.

“Terima kasih sajalah. Simpanlah hati awak yang tak ikhlas tu,” selaku.

“Emm, kan Liki dah cakap Liki ikhlas.” Suaranya suram. Aku terus pandang wajah dia. Monyok pula wajah tampan tu. Nak pujuk, rasa berat mulut pula.

“Okey tak apa. Kalau kata Muna rasa Liki tak ikhlas selama ni, kita tunggu satu masa sampaikan Muna sendiri cakap yang hati Liki ni memang ikhlas,” ujarnya penuh yakin. Aku tersenyum tipis. Memang berkarisma Encik Jurutera Galian ni.

“Kenapa Liki suka buat sistem barter?” tanyaku lagi. Soalan yang benar-benar aku ingin tahu jawapannya. Tak boleh tidak.

“Muna, dalam dunia ni memang macam ni kan. Kita tak akan dapat sesuatu tu dengan percuma. Segalanya mesti minta balasan,” jawabnya tenang dan aku sekali lagi tengadah.

Rasa macam betul dia memang tak ikhlas. Dia lakukan semuanya berkehendakkan balasan. Tiba-tiba, mata rasa sarat la pulak pagi-pagi ni.

“Tapi, itu dunia oranglah,” sambung dia pantas. “Kalau dunia kita, memang Liki harapkan balasan jugak. Kalau kata Liki bagi cinta, Liki nak Muna bagi Liki rindu. Kalau Liki bagi setia, Liki nak Muna balasnya dengan sayang. Kan dah cakap, sistem barter ni wujud antara kita je.”
Kali ini, aku mampu tersenyum dah dengan kata-kata dia. Tak pasal bercakap soal cinta di awal pagi yang indah ini. Kabus pun tak hilang lagi sebab hujan lebat malam tadi.

“Tapi kan, ni kira sesi luah perasaan ke apa ni?” tanya ku polos. Lurus bendul macam bendul la. Macam apa lagi. Maliki ketawa.

“If you say so, but for me, it’s happened at the first time I saw you,” akuinya lagi. Hah, aku dah nak ketawa. Rasa duduk dalam ladang bunga dah. Tapi aku tahan dulu. Ni tak sabar nak balik rumah dah, nak gelak golek-golek atas tilam empuk aku tu.

“So, what say you, Munawarah?” tanya Maliki seperti biasa. Macho habis.

“Hai, sembang dekat pagar je kamu berdua tu. Kenapa tak jemput Muna masuk, Liki?” jerit Mak cik Ana tiba-tiba. Tak sempat aku jawab soalan Maliki.
Wajah tua itu dah tersembul di muka pintu kayu. Bukan di pintu luncur. Keluarga ni memang suka buka semua pintu rumah agaknya.

“Eh, tak apalah mak cik. Muna kejap je. Datang hantar makanan sikit. Mak suruh,” ujarku. Mak cik Ana tersenyum bermakna. Sama macam mak juga. Sudahnya aku sekadar angkat tangan pada dia dan terus aku kalihkan tubuh hendak pulang.

“Liki tak dapat lagi jawapan Muna,” jerit Maliki sikit. Seperti pertama kali dulu, aku angkat tangan saja tanpa memandang dia. Bukan apa, bibir aku ni dah senyum tak henti-henti. Rasa macam kena gam pula. Aduhai. Muna cintakan Liki!
******
RASANYA hari ni genap 3 bulan aku kenal Maliki. Tapi, sampai ke hari ni aku tak dapat ungkapkan rasa cintaku pada dia. Tak tahulah apa yang menghalang. Mak masing-masing dah setuju. Rasanya, dia pun tunggu aku angguk saja, terus masuk meminang.

“Bila Muna nak bagi tahu jawapan Muna pada Liki?” tanya dia satu hari tu bila kami sama-sama balik dari kerja.

“Nantilah dulu. Bagi Muna masa sikit,” jawabku tergagap-gagap padahal jawapan dah ada. Angguk sajalah. Sudahnya dia diam tak bertanya lagi. Aku pula jadi terseksa.

Hari ni sedih la pula, sebab Maliki terpaksa bertugas di luar daerah lagi. Bukan sebab aku tak dapat tumpang dia, tapi sebab aku dah mula rindu pada dia. Peliknya. Aku rindu, aku cinta dia. Tapi entah apa yang menghalang aku untuk akuinya? Rasanya ada sesuatu yang tak kena. Letih juga aku fikirkan sebabnya.

Lama aku termenung, akhirnya aku putuskan nak jawab soalan dia hari tu bila aku berjumpa dia ke sekian kali. Masa makin berlalu, dan aku takut Maliki akan tetapkan syarat sistem barter dia dengan orang lain pula.

“Muna…” Aku panggung kepala bila Rozana dah terjengul di pintu bilikku.

“Pakwe kau datanglah. Dia tunggu kat reception dekat bawah,” beritahu dia lagi.
Aku terus angkat tubuh dari kerusi. Tadi rasa lemau, ni dah kembali rangup. Semangat tiba-tiba. Terus aku gapai cermin di dalam laci. Tilik sikit muka yang monyok tadi. Kena ceria-ceria sikit.

“Mak aih, terus segar bugar dengar pakwe datang,” sela Rozana mencemik. Aku pun cemikkan dia balik.
Mestilah aku segar bugar sebab aku dah nekad nak bagi jawapan pada soalan dia tu. Selepas seketika, aku terus atur langkah kemas hendak keluar bilik. Bila aku keluar, wajah Maliki dah ada depan bilik aku, depan meja Ijad dan Rozana. Sedang berbual mesra dengan keduanya.

“Eh, kenapa naik?” tanyaku pelik.

“Eh, biarlah. Kami pun nak kenal juga pakwe kau ni, Muna,” sampuk Rozana. Ijad hanya senyum kelat.
Maut aku hari ni. Buatnya Maliki geleng kata aku bukan teman wanita dia, tak ke pedih kena maki dengan Rozana dan kawan pejabat yang lain.
Aku pandang Maliki yang menapak mendekat ke arahku. Liur yang aku telan rasa pahit je. Wajah itu tenang seperti selalu.

“Er, pembetulan. Saya bukan pakwe dia,” ucap Maliki dan akhirnya dia mengaku juga di depan mereka semua ini yang aku bukan teman wanita dia. Aduh, memang rasa kena smash dengan bulu tangkis, kena tepat ke dahi.

Rozana dan mula ketawa. Ijad dah mula senyum simpul. Dia angkat kening pada aku. Kononnya nak cakap dia ada peluanglah tu. Aku pula, pandang Maliki dengan perasaan rindu, cinta berbaur kecewa dengan kata-katanya tadi.

“Betul ke dia bukan teman wanita awak?” tanya Ijad. Rozana memang dah terbahak ketawa. Aku mula nak bertukar jadi Hulk Hogan ni. Balik ni, nak pindah rumahlah. Nak duduk kat Gua Kelam. Biar tak ada orang tengok aku. Memang malu apatah lagi Maliki angguk pula kali ni.

“Memang dia bukan teman wanita saya, tapi dia tunang saya. My wife to-be.” Kali ini Rozana dan Ijad melopong habis. Aku pula melopong juga tapi sempat tutup mulut. Memang terkejut.

“Jangan buat mata bulat. Liki takut,” gumamnya ke telingaku. Apa lagi, makin bulat la mata aku.

“Orang kata jangan bulat mata, dia makin bulatkan,” tegur dia berbisik.

“Er, wife to-be?” Suara Rozana dah terketar-ketar. “Bila nak kahwin?”

“Ni saya datang nak edar kad la ni. Muna kata elok kami edar kad sama-sama,” ujarnya tenang. Kali ini mata aku lagi bulat.

“Terkeluar biji mata tu karang,” bisik Maliki lagi. “Raya Haji lama lagi ni. Nak tukar dengan mata lembut pun.”
Erk, aku rasa nak cubit je lengan sasa tu. Sampai hati nak tukar mata aku dengan mata lembu.

“Sungguh ke Muna?” tanya Rozana padaku pula. Nak kepastian la tu. Aku mula teragak-agak lagi. Nak angguk ke tidak. Aku tengok Maliki dah tarik 3 keping kad dari poket kemejanya. Satu dihulur pada Rozana dan satu lagi pada Ijad. Satu lagi, dia minta Rozana tampal dekat papan kenyataan pejabat.

“Eh, sungguhlah, Jad. Muna nak kahwin dah 2 hujung bulan ni,” jerit Rozana sambil menepuk bahu Ijad lepas dia tarik kad berwarna kuning keemasan itu keluar daripada sampul. Aku apa lagi, terus gamam.

“Ni tanda keikhlasan Liki pada Muna,” ucapnya perlahan. Cukup antara aku dan dia saja dengar.

“Er, bila tu tarikhnya… nanti datanglah ya.” Aku akhirnya akui juga biarpun tergagap-gagap.
Nak sebut tarikh nikah sendiri pun aku tak tahu. Memang sengaja cari nahas Maliki ni. Tapi, tiba-tiba saja rasa yakin dengan dia. Rasanya aku dah temui jawapan kenapa aku ragu selama ni adalah kerana aku mahu dia buktikan keikhlasannya pada aku dan hari ni dia dah buktikan biarpun aku masih tak boleh nak terima kejutan ni. Entah-entah dia cetak kad tu 3 je.
*****
PETANG ni rasa lain macam saja bila bersama Maliki. Katanya, dia berkejar balik dari kerja luar sebab risau aku balik naik bas musim hujan ni.

“Muna dah biasa pun balik naik bas,” selaku dingin. Bukan dingin sangat pun, kepala tengah cerna soalan aku nak tanya pasal kad tadi tu. Rupanya, bukan 3 keping ke, tapi 300 ratus keping dan itu yang belum dia edar. Yang dah edar aku tak tahu berapa.

“Liki takut Muna kena hujan. Nanti bibir jadi ungu lagi,” jawabnya mempertahankan pendiriannya.

“Yalah,” jawabku pendek.

“Muna merajuk, ya?” tanya dia. Aku diam.

“Kalau pasal kad ni, macam Liki cakap tadi. Ni tanda keikhlasan Liki untuk Muna.”

“Tapi, tak ke pelik, cetak kad lepas tu siap-siap edar dah separuh baru cakap dekat empunya diri. Meminang jauhlah sekali. Tunang lagi la jauh berkali-kali.” Aku pun tak tahu, tiba-tiba rasa nak merajuk.

“Orang jawab pun tidak lagi soalan awak hari tu. Awak dah siap cetak kad. Haish…” Aku mengeluh berat. Pelik betul.

“Ala, tak payah jawab. Liki dah tahu jawapan Muna. They way you stare at me, I knew it. Lagipun, okeylah ni. Esok suruh umi pergi pinang Muna. Senang tak payah tetapkan tarikh sebab dah ada dalam kad tu haa. Tinggal membilang hari dengan buat persiapan je,” jawab dia ceria je.

“Tak pelik ke cetak kad dulu?” Aku pandang wajah dia dari sisi. Mancung sungguh hidung. Hah sudah, kalau dah suka, semua nampak sempurna dah. Cepat-cepat aku kalih ke depan. Tengok kesesakan lalu lintas.

“Eh, okey apa. Lain dari yang lain tu,” jawabnya ceria dan dia melepaskan tawa.

“So, apa yang Muna kena bagi ni untuk sistem barter untuk kad ni?” tanya aku. Sengaja aku ungkit sistem dia tu.

“Oh no, sayang. Dalam hal ni tak akan ada sistem barter. Sebab Liki dah dapat pertukaran yang Liki nak. Cinta Liki, rindu Muna. Setia Liki, sayang Muna that’s more than enough.”
Hoh, dia panggil aku sayang dah. So, aku mula la dengar orang nyanyi, aku yang kau panggil sayang. Bibirku senyum tanpa ku sedar.

“Betul ni tak ada apa-apa yang Liki nak tuntut lagi?” tanya aku pinta kepastian.
Lama diam diam dan selepas tu dia lebarkan senyuman. Wajahku dia jeling sekilas sebelum kembali terarah ke jalan raya.

“Ada lagi satu. Tapi, yang tu tunggu dulu.”

“Sistem barter jugak la tu, ya?” Aku dah naik geram. Tadi kata tak ada dah. Dia angguk.

“Yang tu perlu. Sangat perlu.” Dia mengenyitkan mata sekali.
******
BILA aku cakap pada mak dengan Mak cik Ana, mereka dah bantai gelak. Aku juga yang garu kepala. Pelik dengan mak kami ni.

“Laju betul anak teruna kau tu, Ana,” ujar mak pada kawan baik dia tu.

“Aku pun tak tahulah, Pah. Patutlah balik semalam terus suruh aku masuk minang. Dia kata pergi cop dulu. Ni yang aku datang ni,” sahut Mak cik Ana pula.

“Dah tu, Muna setuju tak?” tanya mak. Keduanya kalih pada aku yang terdiam sedari tadi.

“Kad Liki dah edar pun, mak. Muna setuju je walaupun memang rasa pelik sangat.”
Mak dengan Mak cik Ana ketawa lagi. Memanglah suka ketawa juga mereka ini semua.

“Baguslah macam tu. Maknanya hati Ana tu memang menipu Ana lah, ya selama ni?” usik mak. Aku serta merta teringat peristiwa hari tu.

“Tak tipulah. Dia kurang yakin je,” protesku malu-malu lalu aku berlalu masuk ke dalam rumah tapi telinga aku ni sempat lagi la tangkap ketawa mak dan bakal umi mertua aku tu.
*****
NAFAS aku hela sedalam mungkin. Usai majlis nikah tadi, aku betul-betul kepenatan tapi lagi la berdebar nak hadapi sistem barter daripada Maliki ni. Aku tarik tudung yang membaluti kepala selepas tiba di bilik yang dihiasi indah. Lega rasanya bila rambutku lepas bebas.
Penat sungguh melayan tetamu sampai ke malam ni. Nak kata mak ramai saudara mara tu, ramailah juga walaupun aku hanya anak tunggal.

“Assalamualaikum,” hulur suamiku lalu dia rapatkan kembali pintu.

“Waalaikummussalam,” jawabku terketar-ketar. Pertama kali berdua-duaan dengan lelaki dalam bilik yang selama ini hanya menjadi duniaku. Rasa longgar kepala lutut. Apatah lagi bila dia mendekat. Memang ketar.

“Penat?” tanya dia sepatah. Aku angguk.

“Abang pun.” Erk, abang? Aku senyum lagi.

“Nak mandilah. Nak buat sistem barter kejap lagi ni?” ujar dia penuh makna. Jemariku digenggam kemas.
Bila aku selesai tukar baju, Maliki keluar dari bilik air dengan hanya bertuala. Segan nak tengok aku pusing ke lain. Dia ketawa perlahan lalu dia hampir ke katil dan dia gapai kain pelikat dan t-shirt yang aku sediakan untukku.

Dia betullah bawa sepasang baju je datang rumah aku. Bila aku tanya, dia kata esok pagi-pagi dia balik jalan kaki je. Haish, geram betul! Tapi, dah memang rumah dekat, nak kata apa.

“Abang nak buat sistem barter terakhir ni dengan Muna. Mari duduk sini,” ajak Maliki. Serius saja bunyinya. Aku pula yang takut. Perlahan-lahan aku duduk di sisinya di birai katil.

“Abang dah beri cinta, Muna dah beri rindu. Abang dah beri setia, Muna boleh tak berikan abang cahaya mata?” Dia merenung ke dalam anak mataku. Perlahan-lahan tanganku berada di dalam genggemannya.

Terkedu aku dibuatnya. Sewaktu belum halal, rasanya lain perkataan itu tapi kini, sudah berubah pula. Nak angguk ke tidak. Nak angguk tapi malu, mahu tapi mahu. Tidak dapat tidak, aku angguk jua.

“Untuk abang, segalanya sanggup,” bisiku ke telinganya dan dia turut tersenyum padaku menghantar makna kasih dan sayang yang cukup mendalam dalam cinta kerana hubungan kami berlandaskan memberi dan menerima.

***TAMAT****

Sistem barter dalam cinta, senang cerita give and take, memberi dan menerima. Memang penting itu semua andai tidak kita akan jadi pentingkan diri sendiri. Tak sudi menerima, apatah lagi memberi. Kerana dalam cinta kita sama merasa. Cerpen santai yang tak seberapa daripada saya ~~~> RM

35 comments:

  1. uwaaaa...lagi satu cite best...tapi nak kena tunggu giliran la plak...nanges hakak. tau..

    ReplyDelete
  2. wahhhhhhh!! citer best citer best!! :)

    ReplyDelete
  3. hahah..nama pun kene ader sistem barter

    ReplyDelete
  4. nak tnya jugak..
    bile nak siap nieh?? aishhh...
    wah!!! laen dari y laen nie...
    suke3.. idea RM kan sentiasa terbaek...
    hehehe... cepat siap kan kak???
    eden dah x sbar dah ni...

    SSG..=)

    ReplyDelete
  5. alaaaaa...Rehan selalu buat suspen!!!!

    ReplyDelete
  6. senyum jer saya baca cter ni...suspen tp sy rasa memg best cternyer ni..pandai pancing minat org nak ikuti whats next..hahaha

    ReplyDelete
  7. masih wujud lg sistem barter ni yep..hehe..
    Always de best from kak rehan.. Luv it..

    Haniza

    ReplyDelete
  8. saya pun senyum gak sepanjang baca cerpen ni. sebab cara RM sampaikan, macam cerita dari hati RM ke hati kami. Bisik-bisik.

    Lepas ni RM buatlah lagi sistem barter dengan kami. RM tulis lagi cerita best2. Balasannya, kami baca semua yg RM tulis. Semuanya tau!

    ReplyDelete
  9. oh... so sweet kak...
    abang nak wat sistem barter jap lagi...
    serius rase nk tergelak berguling-guling..
    dasyat3x... idea y sngat bernas.. hehehee...
    cite ni sntai ajeh.
    x yah semakkan kepala otak ngat..
    x yah emosi berlebih-lebih..

    just love the way of the story.. huhu

    SSG=)

    ReplyDelete
  10. terbaik dr ladang koko la RM..
    lain dr yg lain..
    karya RM mmg xprnah mnghampakan..
    giler nyer idea.. haha...
    <<nak order Muna so'... haha.. RH..

    ReplyDelete
  11. terbaik dan comel sangat.
    kak RM terbaik laaa!!! :)

    ReplyDelete
  12. wow best sangat-sangat.....happy, senyum-senyum dan tergelak pun ada bila baca cerita ni. Hmmmm.... suka dengan perwatakan Maliki...so nice and sweet......

    ReplyDelete
  13. wahh.. best dan sweet gitu :)

    thanks kak RM.. terbaekk..

    ReplyDelete
  14. sila komen di blog...
    hahhahha okeyh akak maya komen yerkk.....
    -liki...nickname yg sgt cute dan manje
    -next car kancil okeyhh
    -mmg suwett cite nie
    -part area2 die xngaku itu awek die mmg best
    -cite ni xdela berat sgtt...dan xterlalu overdoz romentikkk...suwet2 git...

    done kak! mcd 1 plzzzz =P

    ReplyDelete
  15. ho ..ho .. suekr sesanagt dah nie .. senyum-senyum sensorng ..

    ReplyDelete
  16. ngehehe..comel laa sistem barter diorang ni..
    thanks RM for this sweet story. :)

    ReplyDelete
  17. hmmm ending gak sudahnya. ishhh..tetibe je saya teruja nak cepat2 cari tulang rusuk pelengkap hidup....mak aih....

    ReplyDelete
  18. akhirnya....
    menarik...
    msti nk bc smpai pnamatnya..ada2 aje si maliki tu nk pekenakan si muna...

    ReplyDelete
  19. menarik..
    tertarik...
    terbaikkk..
    memang de bommmmm.....

    hehehe....

    ReplyDelete
  20. cantikkkk lah RM....
    fika baca pun asyik senyum jew samapai la habis cerpen ny......
    sweeeettttt......jln cite dye santai....
    terbaikkkkkkk RM.... :)

    ReplyDelete
  21. best kak sangat best saya pon dah jadi peminat akak nie mula dengan terbacanya telerai kasih... tapi banyak kesalan typing kak selaluanya untuknya akan pasti akak taip untukku.. selamat berjaya buat yang lebih menarik lagi.. keluaran telerai kasih nanti sya pasti akan jd pembeli yg pertama, tak sabar nak beli...

    ReplyDelete
  22. tahniah..best sgt story ni...

    ReplyDelete
  23. serius,cerita akak tak pernah menghampakan saya...nak lagi.......

    ReplyDelete
  24. waaaaaaa..... masih wujudkah pria sistem barter diluar sana? ahahah.. Eimma pun nak kalau macam nie lah kak.. huhuh... jatuh cinta tetibe. :)

    ReplyDelete
  25. syukur atas penerimaan semua atas setiap karya sy..dan terima kasih sudi baca dan komen. teruskan menyokong ek..hehe..

    sistem barter cinta kita..lawok la tajuk ni..ingt nk buat memberi & menerima tp biasa la plk..so kuar la tajuk ni..give & take dlm cinta..biase la.hehe..tenkiu..

    ReplyDelete
  26. perghhhh..best3x nk cari la laki mcm liki tu...hehe

    ReplyDelete
  27. hehheh..best2..asyik senyum sorang2 jer ble bce cerite nih..terbaik lah RM..

    ReplyDelete
  28. hahaha.. garapan yg bagus TAHNIAH buat RM
    semoga semakin sukses di masa akan datang
    tak sabar menanti untuk seterusnya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. sy betul2 enjoy bila membacanya.. SYABAS

      Delete
  29. sungguh dan jujur cakap cerpen ni memang teramat best sesangat ..buat hati kita pulak yg berbunga bila baca ,cute lah maliki dan muna ni ;D

    ReplyDelete
  30. enjoy bc cerpen ni...nice & sweet.
    makin kerap la belek RM nyer blog peh ni..

    ReplyDelete
  31. rm,saya dah jadi salah seorang fan awak..:}

    ReplyDelete
  32. Raya haji lambt lg kalu nak tukar dgn mate lembu...klakar sgt2..

    ReplyDelete
  33. Sy bru bc arini...kebetulan hari raya haji..teringt pulak lembu korban td...;)

    ReplyDelete