Friday, June 13, 2014

Bahasa Hati Kita 4

BAB 4

WAJAH menyungkur ke meja.  Notebook Asus putih tu berdentum dengan lagu-lagu rancak entah daripada penyanyi barat mana.  Kejap tadi Keane.  Bon Jovi.  Metalica.  Scorpion. 

Jed dah kusut kepala.  Berita yang abah bagi tahu tadi benar-benar menyemakkan kepala dia. 
Dia tak boleh nak main-main dalam syarikat.  Keluar masuk ikut suka hati mentang-mentang tak ada siapa nak larang biarpun abah kerap kali bising.  Project Manager dia, Syakir tu dah nak berhenti.  Sebab nak sambung belajar ke luar negara.  Dibiayai penuh oleh syarikat abah.  Sekarang ni, tugas Syakir jatuh atas bahu dia sebagai assistant yang banyak main daripada kerja. 
“Apalah aku nak buat ni…”  Jed menggumam sendiri. 
Padahal sebelum ni terniat dalam hati nak letak jawatan daripada MJ Bina milik keluarga.  Rasa macam kerja dalam penjara bila sebumbung dengan abah.  Tak senang nak melangkah.  Rasa banyak mata memerhati biarpun tak pernah lagi dia dengar aduan bukan-bukan tentang diri sendiri. 
Lama juga Jed memikir.  Hingga  akhirnya, dah letih fikir tapi tak dapat buah fikiran, dia angkat kepala.  Pandang cermin.  Nampak wajah sendiri yang macam hantu.  Celak tak dicuci lagi.  Balik daripada Orange Range terus tidur tak sedar diri.  Sedar aje bila suara Kak Zah menyapa telinga.  Bila pula Kak Zah datang semula? 
Jed ikat rambut kemas.  Nampak potongan askar di bahagian tepi.  Kaki diatur kemas menuju ke luar.  Nak cari mummy dan abah yang kedengaran rancak bersembang di ruang tamu.  Ajaib.  Ini rasa kali pertama setelah bertahun, dia nampak mummy dan abah ada di rumah sebelum jam 12.00 tengah malam.  Kalau tidak, haram. 
“Eh, tak mandi lagi?” 
Tak sempat nak pijak anak tangga pertama, Kak Zah menegur.  Jed kalih.  Kak Zah sedang menjinjit sebakul kain bersih nak menuju ke bilik dia. 
“Err... kejap lagilah.”  Sengih tawar. 
Kak Zah senyum.  Setakat itu sajalah dia boleh tegur dan tanya.  Tak berdaya nak menyoal dan menegur lebih-lebih bila Ku dan Tuan Megat sendiri tak tegur perbuatan Jed. 
“Mandi lewat sangat nanti, boleh tak sihat badan,” pesan Kak Zah lembut. 
Jed sengih.  “Err… kenapa awal sangat Ku Zarina dengan Megat Johari tu balik?”  Kening dia naik dengan bibir terjuih ke ruang tamu di bawah. 
“Entahlah… Kak Zah sampai tadi, Ku dengan Tuan Megat dah ada.  Kak Zah teringat tak angkat kain.  Itu yang Kak Zah datang.  Ini kejap lagi nak baliklah…” 
Bakul kain di tangan Kak Zah dijeling lagi.  Kak Zah memang rajin.  Tapi, Jed tahu yang Kak Zah tak ada anak.  Suami pun dah lama tak ada dan Kak Zah pun hidup sendiri aje.  Tak nak cari ganti.  Itulah  yang pernah dia tahu. 
“Semua tu Jed punya ke?” 
Kak Zah angguk.  “Kak Zah dah lipat.  Kalau kata Jed nak susun sendiri dalam almari, Kak Zah letak atas katil aje.” 
Jed geleng.  Haram dia nak buat semua tu.  Tangan dia tak nak melentur buat kerja-kerja perempuan ni. 
“Err... Kak Zah ajelah buat.  Nanti, dah siap Jed hantar Kak Zah balik, eh?”  Pelawa Jed.
Dia sebenarnya nak keluar.  Dah tahu dah, kalau mummy dan abah ada, telinga dia bakal bernanah.  Dibebel macam umur belasan tahun sedangkan masa dia umur yang sepatut dibebelkan oleh mummy dan abah, tak ada pula orang nak ambil peduli. 
“Jed nak jumpa Ku dengan Tuan Megat kejap.  Nanti Jed naik…”  Terus saja dia atur langkah tak menanti Kak Zah membalas. 
Sampai di bawah, Jed angkat sedikit skinny yang sedikit londeh.  Baby-T yang membaluti tubuh dibetulkan sedikit.  Singkat.  Kalih sikit nampak pinggang.  Tunduk sikit nampak belakang.  Tapi, ini pakaian dalam rumah.  Kalau kat luar, Jed pakai alas. 
“Err…”  Baru itu yang keluar daripada mulut Jed, kedua-dua orang tuanya dah kalih.  Melangut pandangan pada Jed dengan pandangan pelik. 
“Tak mandi lagi ke?”  Soal mummy sedikit keras. 
Berkerut dahi mummy.  Yalah, anak dara seorang ni, tak pernah nak jaga penampilan.  Padahal Ku Zarina cukup menjaga penampilan biarpun umur dah meningkat. 
“Baru jaga…”  Senada Jed menjawab.
“Anak dara apalah Hanna ni tak pernah nak bersiap diri elok-elok...”  Ku Zarina menggeleng.  Dia pandang semula pada skrin TV LED 50 inci di depan. 
“Pergi mana sampai tidur tak ingat dunia?”  Tanya Mega Johari pula. 
Jed seluk tangan dalam poket seluar.  Dalam kepala dia bukan nak dipersoalkan tentang mana dia pergi.  Tapi, tentang apa yang abah sampaikan petang tadi sebelum dia lena. 
“Err… tak pergi mana tapi Jed nak tanya ni.” 
“Hah, apa?”  Tak berpaling walaupun seinci pada si anak, Megat Johari menyoal dingin. 
Jed ketap bibir.  Hati dia mula berlahar.  Panas.  Tapi, cuba juga bertahan.  Selama ni membebel di depan Kak Zah aje.  Tak naklah hari ni sampai membentak di depan abah sendiri. 
“Pasal Syakir…” 
Megat Johari toleh.  “Kenapa dengan dia?”  Wajah tua itu terentang dengan kerut.  Apa masalah Jed dengan Syakir?
“Abah kata dia dah nak berhenti?” 
“Erm…” 
“Tak atur interview cari PM baru?” 
“Tak sempat…”  Datar abah dia menjawab. 
Jed tahan hati.  “Jed tak boleh nak ambil alih tugas dia kalau abah tak cari PM baru.  Nak-nak projek tengah banyak ni.” 
Sekali lagi Megat Johari kalih lipat.  Wajah dia nampak tegang.  Ku Zarina juga berpaling pada Jed. 
“Hah?  Tahu pula kamu yang projek tengah banyak?  Dah tu, sampai bila kamu nak main-main dalam syarikat tu?  Jangan ingat kamu tu anak aku, kamu boleh sesuka hati keluar masuk opis tu.  Bukan aku tak tahu, sisi gelap kamu selama ni.  Balik tiga empat pagi, mana kerja nak berjalan dengan baik?  Ini eloklah Syakir tu dah nak sambung belajar, kamu urus semua perkara.  Kalau rasa tak boleh, letak jawatan dan jangan panggil aku abah!”  Bentak Megat Johari. 
Hilang kewarasan dia malam ni.  Biasanya dia buat tak tahu aje.  Tapi, makin ramai pula orang pejabat mengadu tentang Jed.  Dahlah kurang mesra dengan pekerja lain.  Buat kerja sendiri.  Mengarah macam nak membunuh.  Meminta macam nak bergaduh.  Rasa nak patah tulang hidung dia kena sinis dengan pekerja. 
Jed terpempan.  Selama ni Megat Johari tak pernah berkasar macam ni sekali.  Ada masanya dia lebih suka abahnya buat tak tahu saja akan kewujudan dia.  Tapi, ini lain macam.  Sampai tak nak dia panggil abah.  Jed rasa dia juga salah sebab abaikan syarikat dengan jawatan  yang diberi tapi kalau mummy dan abah jaga dia dengan baik, dia tak kan buat semua ni. 
“Dah tu, nak suruh panggil apa?” soal Jed mencabar. 
Sisi lain dia mengatakan, dia suka melihat abah marah.  Rasa disayangi  dan dihargai.  Tapi sekarang, marah abah ni bukankah kerana syarikat?  Bukan kerana dia adalah anak. 
“Tak payah panggil apa-apa.  Kalau anak dia reti jaga airmuka orang tua.  Dia tahu nak jadi pekerja yang baik dekat syarikat bapak sendiri,” selar Megat Johari, membelah hati Jed. 
Jed senyum hujung bibir.  Salah percaturan lagi dia.  Nampak tadi mummy dan abah sembang, semuanya akan baik.  Tapi, kewujudan dia buat keadaan jadi huru-hara tiba-tiba. 
Jed pandang Megat Johari.  “Saya minta maaf, Tuan Megat…” 
Bulat mata Megat Johari dan Ku Zarina memandang Jed.  Tapi, Jed tetap buat selamba.  Dia nak menangis tapi perlukah?  Berapa banyak airmata dia perlu tumpah untuk raih perhatian penuh daripada Ku Zarina dan Megat Johari?  Rasanya dah cukup kot. 
“Saya minta maaf dah banyak susahkan pekerja syarikat.  Lepas ni, saya akan kerja dengan baik tapi kehidupan saya selepas waktu kerja tak ada kaitan dengan sesiapa.  Saya janji, kalau Tuan Megat cari Project Manager baru secepat mungkin, saya akan bagi tumpuan 200 peratus,” sinis Jed. 
“Jehanna ni, kenapa cakap dengan abah macam tu?”  soal Ku Zarina tak puas hati. 
Bibir Jed senyum lagi dengan bibir  yang senget ke kiri.  Gamaknya mummy tak dengar tadi apa abah kata.  Dilarang panggil abah. 
“Kenapa?  Ku Zarina pun nak saya panggil Ku juga?  Tak nak saya panggil mummy dah?”  Semakin mencengkam nada suara Jed. 
“Dian Jehanna Puteri!”  tempik Ku Zarina siap berdiri tegak, bercekak pinggang.  Jed ni makin melampau. 
Jed terus kalih.  Malas nak dilayan.  Baru nak memasang langkah, suara Megat Johari berdengung memenuhi ruang banglo ini. 
“Aku cari PM baru, kalau kamu tak masuk kerja juga, aku nak kamu letak jawatan.  Jangan nak susahkan orang.  Hidup tak kenang di untung!”  Herdik Megat Johari. 
Jed senyum.  Tapi, airmata dia menitis ke pipi setitis.  Di atas anak tangga, Kak Zah memerhati.  Nampak macam Jed akan menjadi lebih teruk lagi lepas ni.  Yang Ku dengan Tuan Megat pun, kenapa nak hangatkan keadaan masa Jed menyoal dengan baik? 
Kak Zah tak pasti, simpati dia jatuh pada Jed ataupun kedua-dua majikannya?  Tapi, dia sedih melihat airmata Jed menitis dalam senyuman.  Hati lembut gadis itu kian tercarik makin lebar.  Orang lain mungkin tak tahu tapi dia boleh nampak daripada riak wajah Jed. 


LANGKAH Que mati.  Tak jadi nak ke dapur.  Tertangkap oleh matanya susuk tubuh ibu  yang masih menghadap kerja-kerja menjahit. 
“Tak berhenti lagi, bu?”  Dia duduk di atas kerusi, berdepan dengan Puan Imah, ibu dia.  Nampak ralit sungguh ibu menjahit manik. 
“Belum lagi.  Ni orang nak esok.  Dia nak tambah manik.  Terpaksalah ibu jahit malam ni.”  Si ibu menjawab tanpa memandang Que. 
Bibir Que senyum tipis.  “Tak penat ke?” 
Sesekali dia memanjangkan leher ke ruang tamu rumah teres satu tingkat tiga bilik peninggalan arwah ayah.  Melihat pada adik-adik yang gelak sakan menonton TV.  Hanya Qariah, adik bongsu yang nak ambil SPM tak lama lagi dan juga, Qairiah, penuntut tahun tiga UiTM Shah Alam.  Balik hujung minggu sebab tak jauh mana.  Qaiser yang ada di Matrikulasi di Melaka tu aje tiada. 
“Daripada petang Jad tengok ibu membongkok aje.  Kenapa tak minta anak-anak dara ibu tolong?”  soal Que.  Jad, itu nama panggilan keluarga pada dia. 
Puan Imah senyum tipis.  Qalam Azad ni memang tak tahu tentang jahitan.  Dia ingat adik-adik dia pandai menyulam manik ni.  Kerja yang sangat rumit tapi hasilnya agak lumayan. 
“Diorang tu manalah tahu, Azad oi… Setakat nak menyembat tu pandailah.  Ini kan jahit manik.  Salah sikit, dah tak cantik.  Lagipun, kata Wani, yang nak baju ni, dia nak hantar contoh ke butik mana entah.  Ada rezeki, bolehlah ibu ambil upah jahit manik aje.  Tak payah menjahit macam ni dah.  Wani cakap, mahal juga tuan butik tu nak bayar,” beritahu Puan Imah pada Que. 
Mengeluh tipis si anak dibuatnya.  Tak letih ke?  Kalau dah namanya butik, lagilah penat.  Lagi banyak tempahan dan lagi cerewet pelanggan yang nak dilayan. 
“Kerja dekat butik tu ke?” 
Puan Imah geleng.  “Dari rumah.  Nanti Wani yang datang hantar dan ambil.”
“Tak penat?” 
Puan Imah angkat wajah.  “Tak ada penatnya kalau untuk anak-anak ibu, Jad.”  Senyum.  Tapi, hambar. 
Hati Que rasa tersayat lagi.  Bilalah rezeki lebih nak ada ni?  Projek sedia ada dah nak siap.  Dia pun kerja kontrak.  Tamat kontrak, tamatlah rezeki.  Kena rajin-rajin google kerja yang ada.  Apa-apa pun boleh, janji tetap.  Dia dah tak kira dah.  Ijazah Pengurusan Kejuruteraan yang dia ada tu, letak dalam gobok jelah. 
Que bangkit.  “Jad mandi dululah.  Jad nak keluar kejap lagi.  Jumpa kawan kejap,” beritahu Que. 
Erm… kalau nak keluar tu, jangan lupa hantar mangkuk tingkat Kak Zah sekali.  Dah berapa hari dah.  Dia pun tak ada datang.  Sibuk agaknya,” suruh Puan Imah tanpa mengangkat wajah. 
“Ya, bu…”  Que angguk. 
Kak Zah adik sepupu ibu.  Baru nak hampiri 40-an.  Masa dia dan adik-adik tak ada, Kak Zah yang selalu datang temankan ibu.  Tapi, dah banyak hari tak nampak Kak Zah. 


MATA Jed memandang pada Kak Zah yang menghulurkan topi keledar pada dia.    Kak Zah senyum.  “Jehanna tak nak singgah?” 
Jed senyum tipis.  Dia menggeleng.  “Dah janji dengan Lis…”  Tipu.  Dia tak janji dengan sesiapa pun.  Lis dah bertolak ke Singapura petang tadi dengan keluarga. 
“Dah pulak?”  Suara Kak Zah berbaur kecewa. 
“Kak Zah tinggal dengan siapa?” 
“Sorang.” 
Jed pandang sekeliling Taman Mastiara.  Tenang dan damai aje.  Masing-masing dah berkurung dalam rumah.  Padahal jam baru bergerak ke angka 10.00 malam.  Pada dia masih terlalu muda. 
“Tapi, Kak Zah ada kakak sepupu selang tiga lorong daripada sini.  Kalau tak pergi rumah Jehanna, ke rumah dialah.  Tak adalah sunyi.  Rumah kecil aje, Jehanna.  Cukuplah untuk berteduh daripada panas hujan,” sambung Kak Zah. 
“Selesa beribadat, alhamdulillah…”  Penuh makna Kak Zah menutur kata. 
Jed terangguk-angguk.  Dia faham.  Rumah dia besar.  Sangat besar.  Dengan laman segala.  Kolam renang lagi.  Tapi, tak pernah dia main air kolam tu dengan mummy dan abah.  Oh, bukan mummy dan abah lagi lepas malam ni.  Itu KU dan TUAN MEGAT pada dia kini. 
Sekali dulu, dia main sendiri.  Ku Zarina dan Megat Johari ada tapi sibuk dengan urusan kerja di depan mata.  Jed pernah lemas.  Sampai sekarang, tab mandi pun dia takut nak jejak.  Orang lain tak tahu, tapi Ku Zarina dan Megat Johari yang tahu pun, tetap buat tak tahu.
“Rumah kecil tapi bahagia, tak ada masalah Kak Zah…”  Suara Jed meleret. 
Dia senyum kelat dalam kepekatan malam.  Tersentuh hati Kak Zah tapi dia tak tahu nak buat apa lagi setakat ni. 
“Sungguh ke tak nak singgah?”  Kak Zah masih berusaha memujuk. 
Jed angguk.  Senyum lagi.  Topi keledar Kak Zah tadi disangkut pada handle motosikal.  Dia dah sedia nak berlalu. 
“Jed gerak dulu.  Nanti marah pula Lis…”
“Jehanna nak pergi mana malam ni?” 
Club.”  Orange Range tu boleh dikira kelab ke?  Entah. 
Kak Zah kerut kening.  “Tak elok sangat selalu ke tempat macam tu.  Tapi, apa-apa pun jaga diri, ya?  Jangan  balik lewat sangat,” pesan Kak Zah. 
Jed angguk dua saat.  Lepas disalami tangan Kak Zah, minyak dipulas dan rezeki dia juga malam ni, bila saja dia pusing motosikal Kawasaki hitam merah itu, dia bertembung dengan sebuah motorikal lain, menyebabkan Kawasaki dia terbalik dan tubuh langsing Jed juga tercampak ke belakang sedikit. 
“Jehanna!!!”  Hanya suara Kak Zah menjerit nyaring sedangkan Jed mengaduh sakit.
Penunggang seorang lagi kelu.  Tak bergerak daripada atas motosikal sendiri memandang mangsa yang dilanggar. 

Mustahil…  Hati mula rasa tak sedap.  Dah kata tak nak, kenapa muncul juga?

~~~~~~~~~~~~~~

RMsays : Hari tu renovate blog.  Last sekali, chatbox pun saya TERbuang.  Enjoy BHK sementara menanti Julai tiba untuk sama2 kita pegang BHK dalam versi cetak.  ^_^  salam Jumaat Nisfu Syaaban kawan2. 

10 comments:

  1. Besttttt....nak jugak....xsabar2...

    ReplyDelete
  2. Alahaiiiii berjodoh mereka ini

    ReplyDelete
  3. X sabar gak...tunggu jed n que

    ReplyDelete
  4. Yep..nak jg pengang versi cetak BHK

    ReplyDelete
  5. best....n tak sabar nak peluk BHK dlm versi cetak.

    ReplyDelete
  6. nak beli2..insyaAllah kalau jumpa beli..tak sabar :)

    ReplyDelete
  7. alamak...Jed xcident ke...
    BKH nak keluar dalam bentuk manuskrip....bestnya......
    xsabar nak peluk BKH

    ReplyDelete