BAB 5
AGAKNYA inilah
natijah bila bohong pada orang yang berniat baik. Kak Zah ajak dengan baik, tapi dia kelentong
kata nak ke club. Padahal, nak lepak dekat Orange Range
aje. Itu bukan nightclub tapi kafe. Tempat
minum dan makan. Tempat dia menenangkan
fikiran. Tempat dia bertembung dengan seseorang yang berani menegur dia secara
terbuka.
Dia cuma nak ke
situ untuk menatap lagi sepasang mata kuyu yang punyai pandangan yang tajam
memberi amaran itu. Mana tahu
terserempak dengan Que lagi. Tak tahu
kenapa, dia nak sangat jumpa Que biarpun untuk sekali lagi. Padahal dia tahu, Que tak nak terserempak
dengan dia lagi. Amaran dah
dikeluarkan.
Pandangan mata
Jed berbalam. Pening. Kepala terhentak pada pasu bunga di depan
pagar rumah Kak Zah. Mujur pakai helmet, kalau tidak terus dapat amnesia
dia agaknya. Itu pun, kalau tak kojol
terus. Kuat juga hentakan sampaikan dia
nak bangkit tapi pun perlu dipapah.
Jatuhnya tak seberapa tapi jaket kulit koyak juga di bahagian siku.
“Jehanna…”
Suara Kak
Zah. Jed cam tu. Dia angkat kelopak mata. Rambut yang lepas, diselitkan di belakang
telinga. Kepala masih pening tapi
bibirnya menguntum senyuman. Siapalah
yang langgar dia tadi? Hangin juga. Main menonong aje cantas jalan.
“Jehanna
Puteri?” panggil Kak Zah lagi
sekali.
Risau bila Jed
nampak mamai. Nak kata pengsan, sedarkan
diri tapi macam tak bercakap. Lalok.
Separuh sedar. Buatnya Ku dengan
Tuan Megat tahu, apalah dia nak jawab?
Puteri seorang ni kemalangan di depan rumah dia dan itu pun dilanggar
anak sepupu dia.
“Dian Jehanna
Puteri?” Nama penuh Jed diseru penuh
kelembutan. Dalam hati Kak Zah berdoa
semoga Jed tak teruk. Dia risau sungguh.
Setelah beberapa
kali Kak Zah menyeru, barulah Jed buka kelopak mata luas-luas. Wajah Kak Zah terbias. Dia senyum pahit. Tangan kanannya meraba siku kiri. Cahaya masuk ke dalam mata. Dia pandang atas. Nampak siling putih dan kipas yang berputar
laju di tengah siling kapur yang berukir cantik.
“Kat mana ni,
Kak Zah?” soal Jed sambil mengerling pada
siku. Jahanam jaket kulit yang aku baru
beli bulan lepas. Hatinya melepaskan
keluhan.
Bukan kecewa
dengan diri yang boleh jadi sedang sakit atau luka tapi jaket kulit yang mahal
dan edisi terhad itu yang menjadi kerisauan.
“Dalam rumah Kak
Zah. Jehanna macam tak sedar diri
tadi. Itu Kak Zah heret bawa
masuk.”
Jed sengih
hambar. “Larat pula Kak Zah heret Jed, eh?”
Bukan apa, sebab Kak Zah ni tak besar pun. Lagi rendah, lagi kurus daripada dia. Mahu tak reput pinggang nanti.
“Kak Zah minta
tolong anak buah Kak Zah yang langgar Jehanna tadi…”
Mata Jed
bulat. Dia baru ingat yang dia kena
langgar. Mata dia terus melilau mencari
siapakah yang langgar dia. Calar dia tak
apa lagi. Dia tak kisah tentang diri
dia. Tapi, calar Kawasaki yang baru dia
beli tak sampai setengah tahun tu, siapa nak bertanggungjawab?
Jed tegakkan
tubuh. Menyeringai juga wajah dia. Rasa pedih pada kulit yang sedikit
tersiat.
“Siapa langgar
Jed?” Soal Jed sambil terus mencari.
Tanpa sedar, diri diperhati.
Que tenang
membelek peti first aid di
dapur. Dari situ, nampak Jed yang masih
nampak biol sikit. Dia dengar soalan Jed. Salah dia lagi ke kali ni? Padahal Jed tu yang keluar tergesa-gesa tak
pandang kiri kanan. Mujur tak roboh
motor buruk dia nak dibandingkan dengan Kawasaki Jed yang mahal tu. Kalau runtuh motor kapcai dia tu, mahu jalan
kaki.
“Tak jumpa lagi
ke, Qalam Azad?” jerit Kak Zah.
Dia bangkit
menuju ke dapur. Apalah yang dibuat oleh
budak ni dekat dapur lama sangat. Kak
Zah menggeleng sendiri. Bila sampai
tepat di depan Que, dia lihat Que sedang berteleku menengadah siling. Dalam suram dengan cahaya samar-samar dari
ruang tamu.
Mata Que
bergerak memandang Kak Zah. Tiada riak.
Berat hati dia nak keluar sebenarnya.
Dia tak pernah harap ada lagi pertemuan setelah dia pulangkan harta
milik Jed hari tu. Tapi kini…
resah. Allah saja yang tahu.
“Jad buat
apa? Lama betul ambil ubatnya…” Kak Zah menegur perlahan. Separuh berbisik.
“Entahlah…” Keluhan tipis menjadi jawapan. Kak Zah mengerutkan kening. Apa dah jadi ni? Bila masa pula Qalam Azad takut dengan
perempuan?
“Cepatlah,” gesa
Kak Zah. Malas dia nak fikir. Jehanna perlukan rawatan kecil tu.
Que geleng. “Malas keluarlah, Kak Zah. Nah…”
Dia suakan peti first aid tu
pada Kak Zah. Malas nak bertembung mata
dengan Jed lagi. Dia memang tak nak
jumpa Jed dah.
“Kenapa? Kan Jad langgar dia tadi. Keluar minta maaf. Kasihan dia.
Dahlah tadi kena marah dengan mak bapak.
Tapi, mujur juga Jad langgar dia.
Tak adalah dia pergi kelab malam.
Risau Kak Zah kalau dia ke sana,” beritahu Kak Zah sambil mengerling
pada Jed yang kembali berbaring,
memejamkan mata.
Kening Que yang
lebat dan hitam berkerut. “Kena marah
dengan orang tua? Lepas tu tenangkan
jiwa dekat kelab malam?”
Kak Zah
diam. Tak menjawab pun. Que mengeluh.
Sungguhlah budak Jed ni terpesong.
Tapi, siapa dia dengan Kak Zah?
“Macam mana
kenal?” Soal Que.
“Laa… itu anak
majikan Kak Zah la. Anak Ku dengan Tuan
Megat. Anak tunggal dia yang tak diberi
perhatian langsung. Itu yang Jehanna tu
jadi lagu tu,” cerita Kak Zah pada
Que. Secara spontan. Dia terus capai kotak ubat tu dan berlalu ke
depan.
“Jehanna?”
Jed buka
mata. Dia senyum. Kepala masih biol. Tak boleh buat
apa. Rasa nak balik sekarang, tapi kepala
kepeningan. Kena rehat sekejap. Kalau tak, lepas ni tiang lampu pula
dilanggarnya.
“Kak Zah sapu
ubat sikit, ya? Lepas ni kita pergi
klinik,” cadang Kak Zah tapi Jed menolak lembut. Sopan.
“Tak payah
susahkan diri. Jed okey aje ni. Tapi, kepala weng lagi la, Kak Zah. Jed
lena kejap, ya? Dah okey nanti, Jed
terus balik rumah.” Jed sengih sambil
memicit kepala.
Que yang memandang di balik dinding terkedu. Dia nampak sisi lain Jed pula malam ni. Dengan Kak Zah, percakapan Jed lembut gigi
daripada lidah. Berapa wataklah dia ni
ada? Menggeleng Que sendiri. Hati mula timbul rasa ingin tahu.
“Kalau macam tu,
lenalah. Biar Kak Zah sapu ubat…” Kak Zah kalih belakang.
“Jad… bawak
bantal dua biji. Nak lapik kepala
Jehanna ni,” laung Kak Zah.
Masa ni, mata
Jed dah terkatup rapat. Samar-samar dia
dengar nama yang dipanggil tapi itulah, dalam kepala dia hanya ada nama lelaki
yang seorang tu saja. Nama lelaki lain
macam tak nak melekat. Tak tahu
kenapa.
Que bangkit dan
berlalu ke bilik belakang. Dicapai dua
biji bantal kekabu. Setelah itu
teragak-agak dia nak keluar. Risau Jed
nampak dia. Takut bergaduh lagi. Bimbang juga Kak Zah tahu yang mereka dah pernah kenal biarpun baru dua
kali bersua.
“Cepatlah,” gesa
Kak Zah. Geram pula dia dengan Qalam
Azad. Ntah apa yang tak kena.
Que senyum
tipis. Dia nampak kelopak mata Jed dah
terkatup rapat. Dia menapak menghampiri
Kak Zah. Dihulurkan bantal tersebut. Terus Kak Zah angkat kepala Jed, melepaskan
ikatan rambut Jed dan dilapik bantal.
Que memerhati. Celak hitam tu
masih ada. Malah makin tebal. Hantu tengok pun, boleh takut dengan
Jed.
Kak Zah
kalih. “Dia pening. Jad tunggu ajelah dulu. Takut dia tak larat nak balik nanti, boleh
kita hantar dia,” ujar Kak Zah separuh berbisik.
Risau Jed sedar
bila telinga dia mula mendengar helaan nafas halus Jed. Macam dah lena. Hujung juring mata anak gadis ini nampak
sedikit berair. Mesti terbawa ke dalam
lena hal dimarahi Tuan Megat. Jatuh
kasih dia pada Jed. Tangan ringan
terangkat dan dibelai anak rambut yang jatuh ke pipi. Menyentuh pipi mulus itu penuh
kelembutan.
‘Tabahlah,
nak. Tiap-tiap yang sabar disayangi
Allah…’ Sebu hati Kak Zah
berbicara.
Que labuhkan
duduk di atas meja kopi kayu di depan Kak Zah dan Jed. Semasa Kak Zah belai pipi Jed, mata dia
tertangkap ada satu kesan calar pada pipi.
Dan parut lama atas kening kiri tu.
Jelas.
“Kening dia tu
kenapa berparut?”
“Entahlah, Jad…
Kak Zah kenal Jehanna, masa dia habis SPM.
Balik duduk rumah lepas habiskan masa di asrama. Dengar kata, dia terhantuk dekat birai kolam
renang masa dia kanak-kanak.”
Mata Que beralih
pula pada belakang tangan Jed. Putih
bersih. Jari-jemari juga runcing tapi
kuku nampak tak terjaga seperti mana gadis seusia dia. Mana taknya, Que akui setelah dia ingat case gitar yang pernah Jed sandang. Rosak hujung jari kerana itu.
Tapi kulit yang
bersih itu tercela. Ada parut dekat di
atas sendi jari telunjuk. Dia perasaan
pada hari pertama lagi.
“Tu parut
bertumbuk ke?” Soal Que sikit prejudis
sambil menjuih pada tangan Jed.
Kak Zah ketap
bibir. Dia ingat peristiwa tu. Itu berlaku depan mata dia. Sejak itu, dia dah bertekad tak nak
tinggalkan kerja dia di rumah Ku dan Tuan Megat. Risau Jed jadi makin
teruk. Dengan darah panas dan rasa tak
dihargai menyelubungi diri, siapa tahu Jed akan buat perkara lebih teruk.
“Ni Jed nak
marah mummy dan abah dia sebab mungkir janji makan malam dengan dia. Padahal
masa tu, dia minta Kak Zah ajar dia masak. Konon nak raikan keputusan periksa SPM dia
yang cemerlang tapi Ku dengan Tuan Megat tak ingat. Dia takut dia maki Ku dengan Tuan Megat, dia
kelar tangan dia.”
“Sampai macam tu
sekali?” Soal Que dengan mata
bulat. Serius tak boleh nak
percaya. Hal kecil aje pun. Kata hati Que mengatakan yang Jed langsung
tak rasional.
Kak Zah
mengeluh. “Kita tak tahu apa Jehanna
rasa, Jad. Kak Zah sendiri tak faham
kadang-kadang tu. Jehanna ni kuat
membentak tapi dengan Kak Zah, dia dengar aje apa yang Kak Zah cakap. Cuma Kak Zah risau nak tegur
lebih-lebih. Sedar kedudukan kita,” ujar
Kak Zah sedikit lirih.
Que angguk. Dia
faham sangat situasi Kak Zah. Macam
dialah. Sebab tu pertemuan pertama dia
dengan Jed rasa macam tak nak ingat aje.
Dan dia kena akui, masa tu dia pun salah. Tak patut tegur dengan cara macam tu.
“Kak Zah nak
masuk dulu. Nak mandi kejap. Jad
tunggulah kejap…” Kak Zah terus
bangkit. Bahu Que ditepuk sedikit dan
terus menghilang di balik pintu bilik.
Mata Que tunak
merenung segenap inci wajah Jed. Kasihan
dengan nasib Jed ni. Tapi, perlu ke buat
semua tu? Perlu ke jadi macam
sekarang?
Nauzubillah… dia
mengucap dalam hati. Moga adik-adik aku
tak jadi macam ni, Allah. Minta dijauhkan.
Tak dapat dia
bayangkan kalau Jed buka mata nampak dia lagi di depan mata.
Berperang lagilah dia nanti.
Silap-silap boleh bertumbuk.
Renungan Que tercantas. Dia
menjauh sikit daripada kerusi panjang di mana tubuh langsing Jed
terbaring. Dia pusing belakang
sikit. Ditarik telefon yang
menjerit.
“Mana kau? Manaaaa?” Panjang suara pemanggil bertanya.
“Sorry, geng. Aku tak boleh pergi la…” Que memulakan bicara tak sempat Rico bertanya
sebab dia tak kunjung tiba lagi.
Keluhan Rico
kedengaran. Lepas tu suara Qimi pun
menyampuk. “Kenapa wei?”
“Aku langgar
orang.”
“Hah?”
Terjojol mata Rico. “Serius
tak?”
“Aku okey…” Que kalih pada Jed. “Dia pitam kejap. Ni kena tunggu dia jaga dulu.”
“Kau ni…
hati-hati lain kali. Tapi, kalau kau
datang pun, awek Gothic kau tu tak ada kot.
Tak nampak daripada tadi.” Rico sengih dapat kenakan Que.
Que mencebek
lebar. Cibaneng kongkang punya member. Dia sengih kemudiannya. Memanglah dia tak ada kat sana, sebab dia ada
depan aku sekarang.
Talian
mati. Que menggeleng mengenangkan usikan
Rico. Tak ada kerja sungguh. Pantang sikit, mesti nak kenakan aku.
Kelopak mata Jed
terangkat. Dia dengar suara. Dia paksa matanya terangkat Lepas tu dia nampak susuk tubuh lelaki
membelakangi dia. Duduk bertenggek di
atas meja kopi. Suara tu macam dia
cam. Suara tu yang buat dia rasa hati
dia mula mengerti bahasa yang sunyi itu.
“Que ke?” soal
Jed perlahan. Dia picit batang
hidung. Pening lagi ni.
Keras batang
tubuh Que. Alamak aih… dia dah sedar ke? Nak
kalih ke tidak, nak kalih ke tidak? Dia
terus membatu buat tak tahu hinggalah suara lemah Jed menyeru lagi.
“Que ke?” Makin perlahan. Mata pun hampir tertutup kembali.
“Aku kenal suara
kau. Selain suara Lis, suara kau aje aku
ingat dalam kepala aku,” sambung Jed kali ini.
Menyentak ego
lelaki Que dengan agak kuat. Kenyataan
Jed tu boleh buat dia salah faham.
Perlahan-lahan dia kalih.
Hanya memandang
sisi wajah, Jed dah bulat mata. Sungguh
Que. Kecilnya dunia? Kenapa boleh jumpa kat sini?
“Ya, aku… sorry…”
Que tak senyum sikit pun. Wajah
dah bertentangan. Jed cuba bangkit
perlahan-lahan.
“Sorry?”
Tak faham kenapa Que ucap maaf.
“Aku terlanggar
kau tadi. Tapi, sebab kau corner macam tu aje. Sorry
sangat. Kau sakit mana-mana ke? Aku hantar pergi klinik…”
Kepala Jed
bergerak. Menggeleng. Tanda tak nak ke klinik. Al-kisahnya, Qalam Azad yang dipanggil oleh
Kak Zah tadi, Que la. Hati Jed senyum
sendiri tapi tak berani nak zahirkan.
Entah apa yang seronok sangat, dia sendiri tiada jawapannya.
“Nama kau Qalam
Azad, eh?”
Que tidak
memberi reaksi. Kalau dah tahu, nak
tanya buat apa? Terang-terang aku aje
jantan dalam rumah ni sekarang.
“Nama kau Dian
Jehanna Puteri, eh?” soal Que pulak. Sangat sarkastik dengan muka ketat tak ada
riak.
“You knew it well enough …”
Que sengih
sinis. “Wrong. I knew but not well
enough.” Selamba dibidas Jed.
“Kalau kau
sihat, aku nak blah dah ni. Sungguh, tak nak aku hantar ke klinik?” Sekali lagi soalan itu diajukan. Jangan kata dia dah bangkit, Jed merayu nak
pergi klinik pula.
“Tak nak check otak kau takut bergegar ke. Lain macam aje kau ni. Tak mengamuk pun?” Soal Que sinis.
Jed ketap
bibir. Kena lagi dia. Rasa nak marah macam sebelum-sebelum ni tapi
kepala dah tak larat nak fikir. Masalah
dengan Ku Zarina dan Tuan Megat pun masih berlahar dalam dada dia. Ni nak tambah lagi gaduh dengan Que, memang
akan buat kekuatan dia tiada berbaki nanti.
Mana lagi ada tenaga lepas terduduk kena langgar tadi.
“Aku okey…” Pendek Jed menjawab.
“Okeylah. Sorry,
eh. Aku ciao…” Que angkat
tubuh.
Dia seluk poket jeans lusuhnya dan mengerling pada
Jed. Nampak tak ada tenaga sungguh Jed
ni. Tak makan ke apa? Kesian betul.
Dahlah kurus, makin kerempeng
karang.
“Eh Jed…”
Jed angkat
kepala.
“Kau dah makan
belum?”
Jed geleng.
“Nak makan?”
Jed diam.
“Kejap…” Que berlalu ke dapur. Meninggalkan Jed sendiri. Dia tahu tak elok duduk berdua di ruang tamu,
sedangkan Kak Zah ada dalam bilik. Dia
bukan tak percayakan Jed tapi dia tak percayakan diri dia sendiri. Lelaki, dua puluh sembilan tahun dan
tentu-tentunya normal. Biarpun Jed tu
macam hantu, tapi tetap perempuan.
Kejadian Allah yang boleh membinasakan lelaki bila dikuasai nafsu.
Jed pandang
susuk tubuh Que yang dah hilang. Bicara
sinis Que tak rasa nak dibidas seperti kebiasaannya. Dalam rumah Kak Zah ni dia rasa damai. Apatah lagi masa ni dia dengar suara Kak Zah
dari dalam bilik. Mengalunkan sesuatu
yang dipanggil ayat suci Al-Quran yang dah berkurun tak dia sebut. Entah lidah masih boleh dilenturkan lagi atau
tidak, Jed tak pasti. Dia bangkit
sikit. Intai kelibat Que. Tak nampak dah. Que pun main blah macam tu aje, tinggalkan dia.
Jed tak tahu,
Que di dapur pun mengintai Jed yang bersandar pada belakang sofa dengan
wajah yang tak ada riak. Hanya celak hitam Jed saja yang dah nampak
sememeh. Nampak mencair dan meleleh
menjadikan keliling matanya semakin hitam pekat. Buat dia lagi gerun nak dipandang. Macam Bellatrix Lestrange dalam Harry
Potter.
Kuali
dicapai. Isi dalam mangkuk tingkat yang
ibu bagi tadi untuk Kak Zah, dituang dalam kuali. Mahu dipanaskan sedikit lauk untuk si puteri
yang gering.
‘Dian Jehanna
Puteri…’ Hati Que menyeru nama tu. Kenapalah kau pilih jadi macam tu?
Dan Jed,
berpaling ke arah pintu dapur. Terasa
nama diseru orang. Dada dia berdebar
namun bahasanya, masih tak mampu dia fahami.
--------------
July will come so soon. Yg pastinya Ramadan. oh rindunyaaa...
ini kisah ramadhan..ya.sgt rindukan ramadhan
ReplyDeleteBestttt...:)...
ReplyDeletebesttt...
ReplyDeleteGering.... hahahaha nama pun puterikannn hahaha kena laaa guna bahasa istana huhuhu..... tq RM
ReplyDeletekesian pula kisah Jed...
ReplyDeleteQue ni orang dah sakit bahasa sikit punya cantik....hehehehe....
RM...best lah....
nanti dah keluar versi cetak gtau ya
Best
ReplyDeleteWalaupun pernah baca berkali2 dulu. Baca skrg pun masih blh buat bergenang air mata dgn nasib jed...
ReplyDeleteBest superb...sian kt jed...
ReplyDeletebesttt
ReplyDeletebest
ReplyDeleteInnalillah..
ReplyDeleteMenangis saya..