Thursday, December 01, 2016

Maghfirah 9

DALAM mata Pak Mansor jelas terpancar rasa gelisah.  Bukan apa… pipit mana mungkin bergandingan dengan enggang.  Tak mungkin!  Pepatah itu bukan saja-saja dibuat.  Orang dulu-dulu dah ambik kira semua perkara.  Seperti apa yang sedang mereka lalui sekarang.  Situasi ini. 
“Ayah bukan apa, Firah…” Kopiah atas kepala ditarik.  Nafas berat lepas.  Pak Mansor angkat mata.  Memandang tepat pada Maghfirah. 

“…berat hati ayah bila Firah cakap benda ni.  Kita tak sesuai dengan dia, Firah.  Apalah yang kita ada.  Ayah takut benda ni jadik benda berbangkit satu hari nanti.  Firah bukan tak tahu… orang kampong bukan suka sangat kita ni, nak.”
“Itu orang kampung, ayah.  Bukan dia…” Perlahan, Maghfirah membangkang.  Dalam kelembutannya, ada yang keras. 
Sekali lagi Pak Mansor lepaskan nafas yang begitu berat menindih dada.  Anak daranya yang seorang ni, lembut dan tak pernah bantah kata-katanya.  Tapi, kerana perkara ini Maghfirah sepertinya sudah begitu tekad.  Dan dia tahu, biarpun dia kata tidak… akhirnya dia harus iyakan dalam keterpaksaan. 
“Ayah tak suka Nazri?”  Mata ayah dipandang. 
Lambat-lambat Pak Mansor senyum dan menggeleng.  Bukan dia tak suka…
“Kita tak sesuai dengan dia, Firah.  Pernah ke Firah tengok keluarga dia jemput kita kalau ada apa-apa kenduri?  Jumpa dengan ayah dekat surau pun, ayah dia jarang senyum dekat ayah.  Nak sembang jauh sekali.  Kita bukan orang senang, Firah.  Orang kaya macam dia tak akan pandang.” 
“Huh!”  Maghfirah mula merengus.
Lagi-lagi perkara sama yang ayah ungkit.  Dia dah cakap perkara tu dengan Nazri tapi Nazri bertegas.  Duit ringgit bukan segalanya.  Hati adalah yang terutama sekarang.  Mereka saling mencintai.  Mereka dah sampai umur untuk kahwin.  Nazri dah mula kerja.  Apa lagi yang perlu dirisaukan?  Dia dah janji dengan lelaki tu untuk hidup susah payah bersama. 
“Ayah katalah apa saja.  Firah memang nak ayah izinkan Firah kahwin dengan dia.  Kalau ayah dah setuju, bagitahu Firah.  Nanti Nazri datang rumah kita…” 
Mata Pak Mansor melingas sekeliling.  Rumah mereka?  Ya, inilah rumah mereka sejak dulu.  Di dalam rumah ini diselubungi kasih sayang yang bukan sikit.  Tapi, siapa yang boleh rasa semua tu melainkan yang nampak hanya rumah usang  yang kosong tiada perhiasan mewah?  Tak ada siapa pun. 
“Jujurnya, ayah nak Firah sambung belajar lagi.  Keputusan periksa Firah pun bukan teruk sangat.  Kalau mohon masuk universiti tu, boleh dapat tempat lagi rasanya.  Kenapa Firah tak nak belajar dulu?  Kenapa nak kahwin awal?” 
Mata Maghfirah naik memandang wajah tua ayahnya.  Ayah  yang sesekali terbatuk.  Kerana inilah.  Andai dia habiskan masa belajar, bila masa dia nak jaga ayah.  Setidak-tidaknya, dia boleh menumpang dengan Nazri.  Nazri dah janji untuk susah senang bersama. 
“Otak Firah dah tak boleh nak masuk, yah.  Sebab tu Firah buat keputusan ni…” 
“Tapi, Firah baru nak masuk dua puluh tahun…”
“Firah dah boleh uruskan rumahtangga dengan baik.  Ayah pun tahu Firah macam mana, kan?”  Pandangan penuh harapan dilempar pada ayah. 
Mendengarkan kata-kata Maghfirah, tidak dapat tidak Pak Mansor angguk juga.  Betul kata anaknya.  Sejak isterinya meninggal bertahun dulu, Maghfirah belajar sendiri uruskan rumah.  Masak, mengemas dan macam-macam lagi.  Hingga dia pulak rasa bersalah.
“Kalau begitu, Firah suruhlah dia datang.  Ayah terima seadanya…”  Dengan rasa lemah, Pak Mansor bangkit berlalu ke dalam bilik.
Tak sangka, Maghfirah juga kalah dalam urusan cinta.  Tapi, tak salah Maghfirah.  Andai keduanya saling menyayangi dan keluarga merestui… dia bersyukur.  Tapi, dia kenal Haji Fauzi.  Tak kan semudah tu dibenarkan anak lelaki tunggalnya bernikah dengan Maghfirah. 
Bibir Maghfirah lebar dengan senyuman.  Biarpun dia tahu ayah berat hati, tapi setidak-tidaknya ayah izinkan. 



“EHEM…” 
Maghfirah bukak mata yang sejak tadi terkatup.  Menyelak kembali memori lalu yang menyakitkan.  Dia pandang ayah. 
“Firah ingat lagi benda dah lepas?”  soal Pak Mansor. 
Sejak tadi mereka berbual bersama.  Tapi tiba-tiba tak ada tindakbalas daripada Maghfirah.  Bila dia tenung, rupanya anak ini jauh hanyut ke belakang. 
“Firah tak akan lupa sampai bila-bila, ayah…”
Pak Mansor lempar pandangan keluar tingkap bilik Maghfirah yang ternganga.  Dia dengar bagaimana Ian melamar Maghfirah dua malam lepas.  Dia juga nampak airmata Maghfirah yang hampir menitis dan jelas juga bila Maghfirah bangkit masuk ke bilik meninggalkan lelaki muda itu sendirian terpinga-pinga dan hingga saat ini, Maghfirah begitu mengelak bertemu Ian. 
Keluar sediakan sarapan sebelum subuh.  Setelah itu terus berkurung.  Sediakan makan tengah hari sewaktu dia dan Ian ada di luar rumah dan kembali berkurung.  Makan malam juga sama.  Persis lipas kudung.  Tak lepas mata melingas ke serata alam bagi mengesan kewujudan Ian. 
“Nak dikira masa lalu, adalah satu benda yang dah tak mampu kita buang, Firah.  Hidup ni begitulah.  Yang berlalu itu jadikan pedoman.  Hidup ini terlalu singkat untuk kita terus terikat dengan masa lalu.” 
Maghfirah tunduk mendengar kata-kata Pak Mansor.  Dia tahu, ayah tak suka dia terus bergelumang dalam kisah lalu.  Kisah yang menjadikan siapa dia sekarang.  Yang pendiam, yang keras dan yang suka menyendiri. 
“Ayah tahu berat apa yang dah jadi pada Firah dulu.  Tapi, berkali jugak ayah cakap.  Sebagai orang beriman… dia akan terima semua perkara tu sebahagian daripada ujian.  Cepat-cepat kita istighfar dan mohon ampun pada Allah.  Boleh jadi adalah kita terleka di mana-mana hinggakan Allah menegur kita dengan cara demikian.  Untuk kita kembali pada Dia, Firah.  Untuk kita berterima kasih.  Ya Allah… Kau hadirkan ujian.  Kau ingat lagi dekat aku yang kotor ni rupanya. Kau ingat lagi pada aku yang selalu lupakan Kau ni…”  tambah Pak Mansor menasihati anak daranya.
Benar… yang tak lalu senangkan bercakap.  Itu yang selalu diperkatakan.  Tapi, tidakkah yang melalui itu patut bersyukur bila ada yang masih sudi menasihati dalam keadaan yang begitu sukar? 
“Apa lagi yang Firah nak dendamkan?” 
“Firah bukan dendam, yah.  Firah cuma takut…”
“Sebab tu Firah buat tak tahu aje dekat Ian, ya?”  sindir Pak Mansor lembut.
Bibir diketap.  Maghfirah semakin menunduk.  Pak Mansor duduk di atas lantai.  Lenguh belikatnya.  Seminggu dua ni banyak buat kerja kebun.  Nak bawak teksi, kereta masih tak okey.  Tapi, rasanya dah malas nak buat kerja bawak teksi.  Nanti, dia hantar ajelah dekat Suhaimi. 
“Ayah yang mintak dia jaga Firah.”  Kepala Pak Mansor melangut pandang pada anaknya. 
Lagilah Maghfirah tunduk.  Dia tahu.  Ian dah cakap dia dipinang. 
“Firah tak suka dia?” 
Sepi.  Tak bersambut soalannya. 
“Firah rasa dia akan buat benda sama?”
“Ayah…,”  seru Maghfirah sedikit keras.  Dia tak suka ayah sebut lagi perkara tu.  Bukan ayah tak tahu, kesannya pada dia sangat kuat.  Bekasnya tak pernah hilang. 
“Apa pun jadi, Ian bukan orangnya.  Firah tak kenal dia.  Orang yang Firah rasa Firah kenal pun, jadi orang asing sekelip mata.  Inikan pulak dia.  Tak mungkin…”
“Habis tu, sampai bila Firah nak macam ni.  Dah dekat enam tahun, Firah.  Ayah mana tak sedih tengok anak perempuan dia sendiri aje.  Ayah ni Firah, entah sampai bila hidupnya.  Ayah nak ada yang jaga Firah…”  bantah Pak Mansor perlahan.
Risau jugak dia andai Ian dengar. 
“Katalah apa saja, ayah.  Maafkan Firah.  Dulu sekali Firah berkeras dengan keputusan Firah.  Keputusan yang akhirnya buat Firah jadi siapa Firah sekarang.  Kali ni pun, Firah bertegas, ayah.  Suruhlah Ian pergi.  Dah lama sangat dia duduk rumah kita.  Nanti ada lagi cerita baru tentang Firah.  Firah bahagia dengan ayah.  Jangan paksa Firah lagi, ayah…”  Terus Maghfirah bangkit.
Didekati pintu  yang terkatup rapat.  Tudung bawal corak hati itu disarung ke kepala.  Dia kena masak.  Dah lewat petang. 
“Ayah tak paksa.  Ayah pujuk…” 
Tak jadi Maghfirah nak bukak pintu.  Dia senyum dan toleh pada ayah. 
“Pujuk pun jangan.  Sebab kalau ayah terus pujuk, Firah pasti tak mampu nak menolak.  Dan, bila Firah ikut apa yang ayah nak, Firah tak bahagia…”  Pintu terus dikuak. 
Maghfirah terus berlalu.  Mengesat airmata yang baru nak jatuh. 


SEPI.  Hanya pinggan saja berlaga sesama sendiri.  Itupun dia dah cukup hati-hati.  Dah lebih tengah malam, baru dia turun kemaskan dapur demi mengelakkan Ian.  Gamaknya, ayah dah mintak Ian pergi.  Bukan nak dihalau, tapi cukup-cukuplah.  Ian sendiri pasti tak selesa ada dalam rumah ni. 
Pinggan terakhir dibilas.  Dia terus bergerak ke dapur.  Nak siapkan sambal ikan bilik untuk sarapan esok. 
“Boleh saya cakap…” 
“Ya Allah…”  Baru nak dicapai kuali, Maghfirah mengucap panjang bila ditegur.  Dia tahu itu Ian. 
“Banyak hari dah tak nampak awak…”
Mata Maghfirah terpejam.  Apa lagi dia nak.  Tak cukup jelas ke Bahasa tubuh yang dia beri sebagai jawapan pada permintaan Ian. 
“Saya sibuk…”
“Saya boleh nampak,” sinis Ian.  Perbualan Maghfirah dengan Pak Mansor lewat petang tadi masih berdengung dalam kepala. 
Nampak gaya, dia dan Maghfirah juga sama.  Punyai masa lalu yang menyakitkan.  Tapi, entah apa yang menghantui gadis ini.  Saat itu, dia hanya nekad tentang satu perkara.  Bukan untuk miliki Maghfirah.  Andai di sini bukan hentian akhirnya, dia akan terus melangkah.  Tapi, sebelum dia pergi dia akan pastikan gadis ini bebas daripada kisah lalu. Mana tahu, daripada situ dia mampu ubati diri sendiri. 
Ian senyum.  Serentak itu Maghfirah menoleh.  Dia duduk di atas anak tangga kayu.  Jauh daripada Maghfirah yang sedang berdiri di depan dapur gas lama itu.  Memegang kuali. 
“Nak masak?” 
Soalan Ian tak bersambut.  Bongok!  Dah terang orang tu nak masak, kau tanya soalan tak cerdik! 
“Nak apa?”  Suara dingin Maghfirah terluah. 
Ian senyum seketika.  Andai dia jawab nak awak.  Tentu kuali tu melayang ke wajah dia.  Ngeri! 
“Kalau saya jawab, nak awak?  Awak boleh terima?”  Hati Ian menyumpa sendiri.  Damn, Ian!  Damn it!  Kenapa suara hati begitu lantang dibicarakan oleh lidah! 
Kening tipis Maghfirah naik.  Dia letak kuali atas dapur.  Dada dia berdetak lain macam kerana itu dia palingkan wajah ke lain.
“Kalau nak bergurau, pergi tidur.  Jangan kacau saya…” 
“Saya cuma nak cakap…”
“Jadi, silakan cakap!”  Dia dah mula tak selesa ni.  Apatah lagi dia tahu, Ian sedang menapak mendekati dia. 
Melihat susuk kecil ini, Ian tertanya… seberat manakah ujian?  Tangannya singgah ke bahu Maghfirah.  Dibawa gadis itu menoleh penuh padanya. 
“Saya tahu awak tak selesa saya dekat sini.  Saya akan pergi.  Saya akan pergi tak akan toleh lagi pada awak, Maghfirah.  Kali ini aje peluang yang awak ada untuk awak kata apa saja dekat saya.  Esok… saya memang akan pergi.  Awak tak akan jumpa lagi saya.  Selamanya.  Biarpun awak mencari.  Awak yakin, awak boleh hidup macam tu?”  Tenang… Ian ajukan soalan. 
Anak mata Maghfirah mengecil.  Ian kerutkan dahi.  Tunduk sedikit. 
“Saya pergi,” ulang Ian berbisik tepat atas wajah Maghfirah.  Melihatkan gadis itu seperti tidak perasaan, Ian lepaskan tangan dan hendak menoleh.  Tapi, langkahnya pegun bila hujung bajunya ditarik.  Dia pandang belakang. 

“Jangan…”  Maghfirah menggeleng.  Ian senyum.  

18 comments:

  1. Yey...sayang Rehan....main tarik baju plak.....suka2

    ReplyDelete
  2. Hadoiii..lame nunggu..mohon jgn ade tundaan lagi.. 😂

    ReplyDelete
  3. Laaaa konon suruh sgt ian tu pergi... ni Xbg pulak... haiii la firah.. make up your mind, please! Thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete
  4. Aaah.... Hati kita ni rasanya dah jatuh tergolek....Sapa nak kutip RM...
    Azzna

    ReplyDelete
  5. hahaha... main tarik2x baju plak yea... ;D
    next episode plzzzzzzzzz... ;D

    ReplyDelete
  6. Nak next please kak rehan...adoii xpuas rasa baca...

    ReplyDelete
  7. Haishh.. Tak sabar nak tunggu next. Best

    ReplyDelete
  8. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  9. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  10. Semakin menarik....ohhhhh ianmaghfirah...best RM....tq update lagi...

    ReplyDelete
  11. Apa yg nazri ni buat smpai firah keras ati ye

    ReplyDelete
  12. kenapa ek ..itu yg dibuat ole maghfirah

    ReplyDelete