Friday, November 17, 2017

Objection 18

TURUN aje daripada bot, Zafiq terus ke pantai.  Rasanya tadi dia macam nampak susuk manusia tapi kejap aje dah ghaib.  Dia sengih sinis.  Ghaib pun manalah sangat kau nak pergi.  Melainkan kau berenang merentasi lautan ni.  Dia tunggu Nazri menambat tali bot.  Kemudian, menurunkan beg.  Baru nak terus melangkah, kakinya terpijak sesuatu.  Bunyi macam sesuatu dah patah.  Zafiq pandang bawah.  Dia angkat kasut. 
Eh… tak semena-mena dia ketawa kecil.  Ini mesti Si Aira yang kutip lepas tu nampak dia terus lari sampai tinggalkan benda ni.  Yang jadi persoalannya, kau nak buat apa cangkerang ni, Aira?  Dia bertinggung.  Melihat koleksi cangkerang yang Aira kutip.  Kemudian, dia bangkit dan menyepaknya sekuat hati.  Hingga berterabur. 

Nazri kerut kening.  Menyoal. 
“Tak ada apa.  Kau balik rumah dulu.  Letak barang yang lain.  Beg satu tu, bagi sini.  Abang pergi jenguk Aira…”  Zafiq melangkah ke kiri dan Nazri menapak ke kanan. 
Sebaik saja tiba di pondok, ada sesuatu yang lain.  Nampak bersih.  Biarpun masih dikelilingi pokok dan hutan, tapi ia nampak kemas.  Seperti dirapikan oleh seseorang.  Dah nampak macam taman dah.  Taman hutan. 
Zafiq letak beg yang dia pegang sejak tadi.  Sesekali melingas sekeliling.  Dia simpan senyum.  Hidup lagi perempuan ni.  Kental sungguh jiwa Aira sampai sekarang masih boleh bertahan.  Dia ingat dah jadi gila. 
Dia pandang kawasan dapur.  Dapur?  Bolehlah dia cakap dapur sebab ada dapur kayu di situ.  Malah, ada kayu api tersusun.  Dua tiga biji periuk belanga yang usang.  Satu tempayan kecil untuk isi beras.  Dia angkat penutupnya.  Masih ada.  Dia tahu Nazri yang bawa untuk Aira malam tu. 
Botol air mineral yang dia letak sebelum dia pergi tempoh hari, masih penuh.  Tapi, penutup dah buka.  Air juga tak sejernih mana.  Rasanya, Aira isi semula air ni.  Tak pastilah air dah dimasak atau air sungai.  Dia tak kisah! 
Periuk kecil yang ada atas dapur itu dia buka.  Ada ikan bilis goreng.  Hanya itu saja.  Yang lainnya tiada.  Dalam hati, dia perlu akui dia kagum dengan cara Aira teruskan kehidupan.  Daripada anak manja yang dilayan persis puteri malah dalam keluarga yang agak berada, Aira masih mampu bertahan. 
Dia mencebek sendiri. 
Baru saja nak menuju ke bilik, dia perasan akan sesuatu.  Wajahnya berkerut sana-sini.  Tak mungkinlah… Zafiq panjangkan langkah.  Di belakang pondok itu ada satu kebun kecil sekarang.  Kayu yang dipacak itu sudah mula dibelit dengan tumbuhan tersebut.  Makna kata, Aira dah mula menanam dalam seminggu ni.  Biarpun belum ada hasil tapi tunas timun dan kacang botol itu dah boleh nampak.  Zafiq sengih sinis.  Nampaknya kau dah sedia nak berumah tangga dekat sini.  Sebab tu kau buat semua ni.  Atas tanah aku.  Tanpa izin aku. 
“Aira!”  Zafiq menjerit kuat.  Sejak tadi, diam aje. 
“Aira?!”  Sekali lagi Zafiq melaung tapi Aira masih tak muncul. 
Rasa geramnya mencanak.  Dia terus menapak ke pintu dan Aira kunci dari dalam. 
“Aira?”  Pintu diketuk kuat. 
“Kau tak buka, aku tendang pintu ni…”
Aira hanya mencebek.  Tendanglah!  Bukan aku punya.  Lagipun, pintu yang hidup segan mati tak mahu tu, sekali kau tendang aje memang akan menyembah bumi.  Dia masih buat tak tahu.  Malas nak layan.  Ketenangan dia terbang begitu saja.  Kan elok Zafiq tak datang terus. 
“Kau tak nak buka, ya?  Okey…”  Zafiq lepaskan nafas kasar.  Menjauh sedikit.  Dia bercekak pinggang, mencari akal untuk buat Aira keluar.  Matanya mengerling kebun kecil itu.  Senyuman sinis mula tersungging pada hujung bibirnya. 
“Kalau kau tak keluar, aku rosakkan kebun kau ni, Aira…”
Hah?  Aira bangkit daripada katil.  Nafasnya menderu-deru menahan marah.  Dia dah cakap tadi.  Zafiq kacau kebun dia, dia akan balas cukup-cukup.  Terus dia meluru ke pintu.  Di kuak lebar. 
Matanya tajam merenung Zafiq.  “Kau berani buat kebun aku macam tu, kau akan menyesal!”  Jari telunjuk Aira lurus ke wajah Zafiq yang nampak santai duduk di atas pangkin.  Bersandar pada meja kayu itu. 
“Oh, dah berani ugut aku?” 
“Dah tu, kau ingat aku ni patung?  Tak berani buat balik dekat kau?”
“Tak.  Kalau kau patung, dah lama aku kerat kau dua puluh bahagian.  Tapi sebab kau manusia… Cuma sayang, hati kau tak berupa manusia…”  herdik Zafiq.
Hey, Zafiq…” Aira mendekati selangkah lagi. 
“Kau jangan ingat kau tu ada hati macam manusia.  Kalau kau kata hati aku bukan hati manusia, fikiran buruk kau tu asyik tuduh aku kejam,  kau pun sama.  Hati kau sama aje dengan hati aku.  Tapi, lagi buruk!  Patut aku tangkap monyet seekor, aku tukar hati monyet tu dengan hati kau!  Setidak-tidaknya monyet tu tak buat orang macam ni!  Faham!”  Huh.  Ingat kau seorang boleh maki orang.  Aku pun retilah!  Cuma aku pilih tak nak. 
Tapi sekarang, dengan Zafiq memang tak boleh bagi muka.
Ishhh... perempuan ni!  Zafiq bangkit.  Dia dekati Aira.  Dipegang lengan halus itu sedikit kuat.  Nak pegang kuat sangat karang, patah pula tulang perempuan ni.  Wajah Aira berkerut.  Tapi, dia peduli apa. 
“Kau ingat sikit kau dekat mana…”
“Sebab aku ingatlah aku buat hal sendiri.  Aku cuba nak hidup dekat tempat ni.  Kau ingat aku suka?  Aku paksa diri aku terima kenyataan yang aku ni jadi bahan kau.  Tapi, kau ugut aku nak rosakkan kebun tu.  Apa salah kebun tu dekat kau?  Pokok tu ada sakitkan hati kau ke?  Kau ni memang gila.  Dengan pokok pun kau nak buat musuh?”  marah Aira lagi.
Dia rentap tangannya daripada genggaman Zafiq.  Balik sini aje nak mengamuk.  Bosan!  Selama ni dia bolehlah merayu.  Kini, dia dah bosan nak merayu.  Dia memang akan lawan balik. 
“Oh, sekarang kiranya kau rasa kau kuatlah…”
“Kau yang buat aku jadi macam ni!”  Sempat dia pandang kebunnya.  Masih elok.  Nafas lega dihela. 
“Mana kau dapat benih tu semua?  Nazri bagi, kan?” 
“Kalau Nazri bagi, kau peduli apa?” 
“Aku peduli sebab kau tanam atas tanah aku.  Tanpa izin aku…”
“Kau yang paksa aku ke sini.  Aku tak nak.  Jadi, ada berapa pilihan yang kau bagi dekat aku?  Tak ada.  Aku memang tak diberi pilihan langsung.  Habis tu, kau nak aku terus kebulur dekat sini?  Kau juga kata, aku tak boleh mati kebulur.  Jadi, aku terus berikhtiar untuk hidup.  Ikut hati, aku nak tanam padi sekali.  Tapi, aku tak tahu.  Aku tanam ajelah apa yang aku tahu!”  Bukan dia nak naikkan marah Zafiq tapi memang kenyataan.
Zafiq memang jenis tak ada perikemanusiaan. 
Lama Zafiq diam.  Rasa tewas seketika dengan kata-kata Aira.  Tapi, tak lama.  Melihat wajah Aira, kemurungan Zariq juga mencelah sama. 
“Aku tertanya.  Apalah jampi yang kau bagi Zariq dulu sampaikan dia gila sangat dekat kau.  Dalam tidur pun sebut nama kau.  Panggil kau.  Sama-sama berjanji konon.  Lepas tu sekarang, kau jampi Nazri pula.  Lepas sorang… sorang, adik aku kau bomohkan, ya?”  tuduh Zafiq lagi.
 “Eh, orang gila!  Kau dengar sini…”  Aira bercekak pinggang.  Matanya bersinar.  Marah.  Kan dia dah panggil yang bukan-bukan! 
“Aku tak salah pada Zariq.  Lagipun, buat apa aku nak jampi Nazri.  Dia tak ada kuasa dekat sini.  Kau juga cakap, dekat sini hanya undang-undang kau.  Lebih baik aku jampi kau.  Betul tak?” 
Mendengarkan kata-kata Aira, Zafiq dekati Aira sekali lagi.  Ditolak bahu itu hingga rapat ke dinding.  Ditekan kemas bahu Aira hingga perempuan itu langsung tak boleh bergerak.  Pandangannya menikam tepat atas wajah Aira.
“Kau jangan ingat aku macam Zariq, Aira.  Aku tak akan termakan dengan godaan kau…” 
“Godaan?”  Tawa Aira meledak.  Dia langsung tak melawan.  Gila apalah Si Zafiq ni.  Godaan apa pulalah.   “Kenapa?  Kau rasa tergoda?  Sebab ni?”  Aira tunjuk lengan bajunya yang masih koyak.  Rasanya, mata Zafiq dah nampak lebih daripada ini.  Sengaja atau tidak. 
“Atau sebab tak ada lagi perempuan yang mulut jahat macam aku ni lawan lelaki mulut jahat macam kau?  Gitu?”  sembur Aira bertubi-tubi. 
Liur ditelan.  Halkum Zafiq bergerak tak henti-henti.  Menghimpun marah yang mahu terluah.  Dia tekan lagi bahu Aira.  Menyakitkan!  Kata-kata Aira begitu angkuh.  Beginikah cara Aira menyakitkan hati Zariq? 
“Kau ingat sikit, kau tu perempuan!”
“Habis tu?  Sebab aku perempuan kau nak aku tunduk mengalah dekat kaki kau?  Hanya sebab aku perempuan dan kau lelaki kau boleh layan aku macam hamba?  Boleh sakitkan aku sesuka hati kau?”  Mata bundar Aira masih bersinar melawan kata-kata Zafiq. 
“Aku boleh hancurkan hidup kau sekelip mata!”  Dia tekan lagi bahu Aira.  Ugutan itu, Zafiq yakin Aira mengerti.  Kali lepas, Aira menggigil ketakutan.  Tapi, kali ini lain sungguh.  Nampak tak kisah.  Nampak seperti pasrah.  Menyerah. 
Aira ketawa kecil.  Dia angguk sendiri beberapa kali.  Faham dengan apa yang Zafiq maksudkan. 
“Pulau ni milik kau, Zafiq.  Hanya undang-undang kau yang berkuasa dekat sini.  Kata-kata aku, tak berkesan langsung.  Berkali-kali aku cakap aku tak salah, kau tetap jatuhkan hukuman.  Kalau kata dengan rosakkan aku, cabul harga diri dan maruah aku… boleh ringankan rasa marah dalam hati kau tu… silakan, Zafiq.  Aku dah tak kisah.” 
Jujurnya, dia sangat kisah.  Kalau benar Zafiq mahu nodai dia, dia akan lawan hingga ke nafas terakhir.  Tapi, dia juga tahu Zafiq tak akan begitu.  Sama juga masa di bilik tempoh hari.  Zafiq berundur.  Memujuk hati yang liar lagi angkuh dan mengalah.  
“Lagipun, semua atas pulau ni, hak kau.  Termasuklah aku.  Sampaikan aku tak ada hak untuk diri sendiri.  Selama mana aku boleh elak?  Sejauh mana aku boleh lari?  Rayuan?  Kau tak akan pernah dengar.  Sebab kau pekak.  Nak menangis?  Kau tak akan nampak.  Sebab kau buta!  Nak lawan?  Aku memang tak berkudrat.  Jadinya, silakan, Zafiq.”  Aira dongakkan wajahnya.  Sengaja dia dekatkan rautnya di bawah wajah Zafiq.  Baju lelaki itu ditarik sedikit.  Mencabar dan terus menduga. 
“Sekurang-kurangnya lepas kau dah puas, kau akan biarkan aku sendiri sebab aku dah tiada apa lagi yang boleh kau tuntut.  Silakan, Zafiq.  Be my guest!”  tempik Aira bila Zafiq sejak tadi hanya menelan liur.  Tak berkata apa. 
“Kenapa kau tak buat?  Kenapa?”  Aira terus menjerit.  Menarik Zafiq agar rapat padanya. 
“Kau nak buat dekat sini?”  Aira tunjuk tempat terbuka itu. 
“Aku rela!  Aku tak kisah dah.”  Aira makin berani.  Malah tangannya sendiri mahu merobek pakaian yang membalut tubuh tapi Zafiq memegang tangan itu.  Menahan tindakan dia. 
“Buatlah sesuka hati kau, Zafiq!”  Aira terus mendesak. 
“Aira!”  Zafiq menjerkah.  Mulut comel itu makin petah berbicara.  Aira dah gila! 
“Kau takut,”  bisik Aira dengan air mata yang jatuh ke pipi.  Tanpa tangis!  Hanya kepuasan semata-mata bila dia nampak Zafiq kecut. 
“Jangan cabar aku, Aira!”  Zafiq menghantar amaran. 
“Kau nak sangat, kan?  Baik… sini kau…”  Rambut Aira disentap sedikit kuat ke belakang membawa wajah itu menadah rapat di bawah matanya.  Bila dia mahu labuhkan bibirnya ke mulut kering milik Aira, tingkah dia terhenti. 
Wajah Zariq mendahului lagi dalam setiap tindakannya.  Malah, prinsip hidupnya melarang dia terus berbuat sesuatu yang dia sendiri benci. 
Dia tolak Aira dan menjauh dengan sendirinya.  Menggeleng berkali-kali.  Aira begitu kerap mencabar dia sekarang.  Dia pula makin hilang kewarasan disebabkan perempuan ni. 
Gamaknya, bukan Aira yang akan gila.  Tapi, dia yang boleh gila dibuat perempuan ni.   Sukarnya untuk dia kawal kehendak diri setiap kali melihat Aira sejak dua menjak ni.  Tapi, Aira… Semurah manakah harga dirinya hingga sanggup menawarkan sesuatu yang begitu berharga padanya?  Malah sanggup nak koyak baju sendiri?
“Macam mana pun, aku tak guna barang second-hand, Aira.”  Senyuman sinis dan tajam kembali bertakhta pada bibir Zafiq. 
“Kau pula, barang second-hand daripada adik aku sendiri.  Aku jijik!”  cemuh Zafiq dan dia terus berlalu.
Niat nak bagi beg itu pada Aira mati.  Dia biarkan saja.  Malas dia nak hadap muka Aira.  Setidak-tidaknya, andai Aira mengaku… dia akan pertimbangkan semula kes tersebut.  Zafiq melangkah lemah. 
Aira berlari laju mendapatkan lelaki itu. 
Hey, Zafiq!  Bukan aku.  Aku tak akan buat adik kau sakit hati.  Aku tak akan!  Aku sayang dia.  Bukan salah aku!”  Tapi, kata-kata itu tidak pernah berbekas dalam hati Zafiq. 
Dia tahu. 
Air mata Aira jatuh.  Tadi, dia hanya buat-buat berani.  Dia sangat takut sebenarnya andai betul Zafiq menaklukinya. 
Sekarang, syukurlah.  Anggapan dia tentang lelaki itu, tepat!  Sejak kali pertama. 

Mana kau, Zariq?  Kau masih dekat Itali ke?  Kejar impian kau.  Sendirian.  Tanpa aku?  Sedangkan aku sendirian di sini, terseksa disebabkan abang tak guna kau ni!  

17 comments:

  1. Sian aira..be strong aira..buktikan yg ko xsalah..biar zafiq
    menyesal nnt..tq kak rehan

    ReplyDelete
  2. Thanks for update kak RM
    Terubat rindu dengan Aira ��

    ReplyDelete
  3. Thanks RM best... boleh rasa semangat Aira ni wait for another update

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah...tqvm RM utk update ni...dah lama pendam rindu kat Aira & Zafiq

    ReplyDelete
  5. Lama dh tunggu...bilakah nk terserlah kebenaran

    ReplyDelete
  6. Good job, aira! Lawan selagi terdaya..Apalah yg ada dlm beg tu ek?🤔zafiq ni dh mcm ada split personality..dkt2 nk gila dh tu hehe! Siasatla betul2, cari bukti, bkn main tuduh je!!😤 Thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete
  7. Thank you kak rm...geram zafiq ni..ego angkuh

    ReplyDelete
  8. Allahu.... Siannya Aira. Bertabahlah Aira. Kebenaran pasti akan terungkap

    ReplyDelete
  9. Lama tunggu..akhirnya..thanks rehan

    ReplyDelete
  10. tadi try2 bukak stlh lama menunggu and finallyyyyy alhamdulillah..sobsob

    ReplyDelete
  11. suka semangat yg ada pada aira...
    lambat pula kebenaran nak terbongkar... heheheheh

    ReplyDelete
  12. TQ RM for the update. Aira...kau mesti kuat....

    ReplyDelete
  13. Terima kasih RM utk update kisah Aira..bila la Zafiq ni nk faham yg Aira bkn penyebab..

    ReplyDelete