Wednesday, November 29, 2017

Objection 21

ZAFIQ tenang memandu sendiri.  Nissan Navara hitam pekat itu terus membelah jalan raya menuju ke Tambon Mai Khao, Amphoe Thalang, Chang Wat.  Mak Long dengan Pak Long akan mendarat kejap lagi di Phuket International Airport.  Perjalanan yang tak sampai satu jam, rasa seperti jauh sangat.  Tak sabar nak tatap wajah tua itu yang dah lama dia nak tengok.  Hampir enam bulan rasanya.  Dia terlalu sibuk atau dia sebenarnya sedang lari daripada kenyataan. 
Zafiq mengusap wajahnya yang dah kembali ditumbuhi jambang dan misai.  Kenapa sejak akhir-akhir ini susahnya dia nak halau wajah Aira dalam kepala.  Jika sebelum ini juga wajah itu tak pernah lepas, tapi ia penuh kebencian.  Cuma sekarang, dia rasa lain.  Tak kan setelah Zariq belot, Nazri pun hampir buat benda sama… sekarang diri sendiri pula! 
Itu gila namanya! 
Aira pula malam tadi, boleh buat gila!  Nasiblah lelaki tu aku, Aira.  Kalau orang lain, dah lama kau kena.  Atau Aira tu dah tewas akhirnya?  Dah betul-betul jadi gila?  Kalau betul gila, tidakkah itu yang aku mahu?  Sama seperti yang Zariq alami.  Tekanan perasaan yang melampau.  Tapi, arghhh… Zafiq geleng sendiri. 
Kenapa ada rasa yang bertingkah ni? 
Zafiq sampai lebih awal daripada yang dijangka memandangkan trafik kurang sikit pagi-pagi ni.  Sempat dia singgah di sebuah kedai menjual pakaian.  Tak payah banyak cakap, dia capai beberapa helai pakaian perempuan, terus saja dia berlalu ke kaunter bayaran. 
Setelah dia kembali ke kereta menuju ke perkarangan airport.  Menanti kedatangan Mak Long dan Pak Long di pintu ketibaan.  Sesekali dia pandang cermin.  Kotlah Mak Long keluar.  Lama juga dia di situ dan bila wajah Mak Long dan Pak Long muncul, Zafiq lebarkan sengih.  Melambai.  Teruja. 
“Sihat, Pak Long?”  Tangan Pak Long disalami. 
Kemudian, dia senyum pada Mak Long.  Nampak jelita seperti biasa.  “Mak Long makin muda bila lama Fiq tak nampak ni,”  usiknya.
“Itulah. Orang tak sudi nak balik jumpa kita, kan bang?”  Seperti biasa, ayat drama dah keluar. 
“Mak Long ni.  Fiq balik atau Mak Long datang sini, sama aje.   Kita tetap jumpa…”
Iyalah jumpa.  Tapi, Fiq mesti sibuk dengan kerja, kan?” 
“Eh, Fiq ambil cuti ni…”
Iyalah cuti.  Diri sendiri tauke, diri sendiri bagi cuti.  Tengok-tengok diri sendiri jugalah batalkan cuti sebab ada kerja…”  Pak Long mencebek.
Hai… berpadu tenaga nampak kenakan dia.  Tapi, Zafiq hanya diam.  Hanya ketawa kecil.  Dah lama tak ketawa macam ni.  Tapi, tawanya tak lama.  Biasa dia akan jemput tiga orang.  Tapi sekarang, hanya dua. 
Dia toleh semula ke dalam balai ketibaan.  Ramai orang sedang keluar.  Daripada pelbagai tempat.  Bukan dia tak tahu cuma dia hanya mahu lihat ke belakang sekali lagi.  Kot-kot wajah Zariq muncul.  Menjerit nama dia.  Berlari dan terus memeluk erat tubuh sasanya. 
“Fiq?”  seru Pak Long. 
Suami isteri itu saling memandang.  Sah, memang Zafiq tercari-cari wajah Zariq. 
“Fiq, jom kita.  Mak Long letih ni.  Dah lama tak naik kapal terbang…”  pujuk Mak Long meminta Zafiq berlalu. 
Iyalah, Mak Long…”  Beg sederhana besar itu ditarik.  Belum sempat dia masuk ke kereta, sekali lagi dia toleh. 
Zariq tiada.  Itu kenyataan! 



SEPANJANG perjalanan, Zafiq hanya diam.  Tak banyak bicara.  Dia dah banyak berubah.  Itu, dia sendiri pun sedar.  Tapi, apa nak kata.  Bukan dia minta perubahan macam ni.  Dia sendiri pun tak suka.  Dia tahu, Mak Long dan Pak Long risau dengan perubahan dia.  Cuma, orang tua itu faham. 
Melihatkan Zafiq tak berkata apa, Mak Long juga diam.  Pak Long juga sama.  Duduk di depan bersama Zafiq, hanya mampu mengerling anak muda ini setiap masa.  Sesekali, dia toleh pada isterinya yang sedang membelek sesuatu. 
Dahinya berkerut.  Bertanya dalam diam.
Mak Long geleng meminta Pak Long buat tak tahu.  Sejak tadi beg kertas yang ada di kakinya itu menarik perhatian dia.  Bila dia belek isi, jantungnya hampir terhenti.  Betul ke mata aku ni?  Memang tak silap lagi.  Zafiq simpan perempuan?  Atau boleh jadi isteri?  Tak mungkinlah Zafiq kahwin tapi tak maklum dekat mereka berdua? 
Sekali lagi mata Mak Long dan Pak Long beradu.  Mereka hanya mampu diam buat sementara waktu.  Segala persoalan, Zafiq ada jawapannya. 
Tiba saja di resort, Rahim dan Nazri menyambutnya.  Malah, Nia dan beberapa orang pekerja lain juga ada. 
“Nia, tolong bawa Mak Long dengan Pak Long rehat dekat bilik saya,” arahnya pada Nia. 
Gadis itu mengangguk.  Senang hati menyambut keluarga bos. 
“Fiq tak naik?” 
“Kejap lagi Fiq naik.  Fiq ada kerja sikit.”  Dia dah bersedia untuk ikut Rahim. 
Haa… dah cakap dah.  Sendiri bagi cuti, sendiri batalkan cuti sebab kerja,”  tegur Pak Long.  
“Eh, Fiq tak batalkan cuti.  Fiq memang cuti sepanjang tahun.  Ini datang sesekali sebab ada kerja sikit.  Itu aje…”  Dia sengih dan sekadar menghantar Pak Long dan Mak Long naik dengan pandangan mata. 
“Macam mana taman batu karang tu?  Dah siap semua?” Mata beralih pada Rahim.   
“Dah, bos.  Dah boleh buka balik…” 
“Syukurlah…”  Zafiq raup wajah.  Perbuatan yang dia sendiri tak sedar.   “Ada dokumen nak kena sign?” 
Rahim angguk.  “Semua dekat ofis.  Saya dah letak dalam ofis…”  Semua tu urgent sebenarnya.  Tapi, dah Zafiq larang dia ke pulau… dia hanya akur. 
“Okey, Im.  Terima kasih banyak-banyak sebab kau dah banyak tolong aku.  Nanti, bila semua benda dah selesai… aku akan kerap masuk ofis.  Cuma, buat masa sekarang kau tolong uruskan apa yang patut.  Ada masalah, baru call aku.”  Sejak dulu, dia memang tak pernah ragu dengan kebolehan Rahim.  Semua dia dah ajar. 
“Ya, bos.  Saya faham.”  Rahim senyum.  Apalah yang bos dah buat dekat perempuan tu? 
Err… bos.” 
“Ya, Im…” 
“Berapa hari Bos tinggalkan pulau?”  Nak tanya berapa hari tinggalkan perempuan tu, rasa tak tergamak.  Mahu makan penumbuk Zafiq ni.  Dahlah lelaki ni boleh tahan juga ilmu Muay Thai nya. 
“Tak pasti.  Mungkin sepanjang Mak Long aku dekat sini.  Tiket balik kau tak beli lagi, kan?” 
Rahim menggeleng.  Hari tu Zafiq hanya arahkan dia beli tiket sehala.  Balik, tak tentu lagi bila. 
“Kalau kata Mak Long duduk sini dua minggu?”  Kerisauan jelas tergambar pada wajah Rahim.
Zafiq rasa nak gelak.  Hai… Rahim yang tak pernah jumpa Aira pun rasa simpati?  Gila kuat aura perempuan ni.  Kalaulah Rahim tahu apa yang Aira dah buat, rasanya Rahim akan turut benci Aira. 
“Aku akan balik sana kejap-kejap.  Setakat naik bot tak sampai dua jam dah sampai ke Racha Noi tu… aku dah biasa.  Kau jangan fikir hal tu.  Tapi, jangan sampai orang lain tahu…”  Zafiq tepuk bahu Rahim sekali.  Dia tahu, Rahim boleh dipercayai.
“Tapi, bos… dia siapa sebenarnya?  Macam mana boleh ada dengan bos dekat sini?”  Setahu Rahim, Zafiq tak pernah izinkan sesiapa jejak ke situ.  Melainkan Nazri.  Dia pergi pun sebab urusan kerja. 
“Dia kawan Zariq…”
“Kawan?”  Dahi Rahim berkerut. 
Zafiq angguk.  Meninggalkan Rahim yang jelas terpinga-pinga.  Dia menapak ke lif dan terus naik ke tingkat sepuluh.  Sebaik saja pintu terkuak, wajah Pak Long tersenyum.  Hanya Mak Long yang nampaknya dah terlelap atas sofa. 
“Kenapa Mak Long lena dekat situ?  Sakit badan nanti…”  Zafiq buka jaket.  Disangkut pada meja makan.  Duduk di depan Pak Long yang sedang meneguk air putih.
“Pak Long dah suruh masuk bilik.  Dia kata nak tunggu kamu naik…” 
Zafiq gelak.  “Rindu sangat dia dekat Fiq gamaknya…”
“Mahu tak rindu.  Sejak kamu bayi, dia yang tolong jaga bila umi dengan ayah kamu sibuk.” 
Rasa bersalah menerpa dalam dada Zafiq.  Dia tak patut terlalu hambakan diri pada kerja.  Bukan dia tak nak balik sana cuma di sini lebih terasa damai.  Setidak-tidaknya ada sesuatu yang boleh halau fikiran buruk dalam kepala dia.  Sekarang aje kelam-kabut sikit. 
“Tapi, Mak Long ni ada benda lain juga tu yang dia risaukan…” 
“Nak risau apa lagi?” 
Pak Long bangkit.  Beg isterinya digeledah.  Ditarik perlahan beg kertas warna coklat.  Kemudian disua pada Zafiq.
“Mesti Fiq cam, kan?  Ada dalam kereta tadi.  Fiq mesti terlupa?” 
Tuhan… Zafiq ramas rambut.  Matilah dia nak menjawab.  Dia pandang Pak Long dengan renungan merayu.  Tak nak Mak Long tahu lebih lagi. 
“Baju siapa?”  soal Pak Long tenang.  Dia nak tanya Zafiq sendiri.  Bimbang juga kalau bila isteri dia turut ada, keadaan jadi lain.  Perempuan ni, emosi sikit. 
“Baju… err…”  Hish… kenapalah aku tak letak dekat belakang aje.  Kacau betullah!  Ini semua salah kau, Aira.  Kalau kau tak koyak baju kau, aku tak beli baju baru ni!  Geram sungguh dia! 
“Fiq tak simpan perempuan, kan?”  duga Pak Long.
Zafiq geleng.  Berat hatinya membohongi Pak Long. 
“Tak apa nak simpan perempuan, Fiq.  Fiq lelaki.  Dah dewasa.  Keperluan itu perlu ditunaikan.  Tapi, yang kena simpan itu perempuan yang dipanggil isteri.”  Dia harap sangat Zafiq faham.
Itu sajalah yang dia mampu nasihat buat masa ini.  Lagipun, baru sampai.  Tak nak buat rasa rindu antara mereka jadi keruh kerana soalan demikian.  Akan ada masa lagi untuk dia dan Zafiq berbicara daripada hati ke hati. 

“Fiq keluar kejap, Pak Long…”  Zafiq bangkit.  Mencapai beg kertas tersebut dan terus hilang.  

17 comments:

  1. Nape rasa x puas baca entry ni...
    😍😍😍
    Kesian Aira...nape Zafiq sikit2 suka nak salahkan Aira

    ReplyDelete
  2. Pendek �������������������� tak puas

    ReplyDelete
  3. Haaaa..mulala kelam kabut ya zafiq...sentiasa menunggu n3 sis rehan...

    ReplyDelete
  4. Em..rasa mcm x puas baca...perasaan sdh berperang kan antara benci dan sayang

    ReplyDelete
  5. Karehan buli sayaaaaaaa...huwaaaaa

    >>k<<

    ReplyDelete
  6. Rasa mcm sikit sgt la pulak hahahha
    X puas la

    ReplyDelete
  7. makin mencabar crita ni....nak lg kak....

    ReplyDelete
  8. Macam pendek this time.. 😫😫
    Oh maaf, i’m too demanding eh?

    ReplyDelete
  9. RM .Semakin tunggu semakin suspen

    ReplyDelete
  10. Harapnya maklong n paklong kenal aira

    ReplyDelete
  11. Alamak.. kantoi! 😅 good luck la zafiq nk jwb nti bila mak long tanya.. Wp pendek, thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete
  12. Si zariq dh sakit jiwa rupanya..

    ReplyDelete