MUJURLAH jalan tidak sesak. Kurang lima belas minit, kereta berhenti tepat di lobi Mandarin Oriental. Luth menoleh pada pelanggan tak diundang di tempat duduk belakang, yang sejak tadi diam tak berkutik.
“Cik, dah
sampai. Sekejap ya… saya bukakan pintu.”
Luth buka tali pinggang keledar. Dia membuka
pintu dan berlalu ke belakang.
Dia membuka pintu
di sebelah penumpangnya. Kelihatan, wanita itu masih terlena.
“Cik, kita dah
sampai,” ujar Luth, sopan.
Dia kerut dahi
bila tiada tindak tindak balas.
“Cik…” Luth beranikan diri menyentuh bahu wanita itu
dengan hujung jari telunjuknya.
“Cik?” panggilnya buat ke sekian kali.
Saat ini,
jantungnya mula berdegup kencang.
Melihat kepala wanita itu terkulai ke arahnya, Luth pantas menahan
dengan telapak tangannya. Jantungnya terasa hampir terhenti apabila melihat
darah merah mengalir daripada hidung mancung itu, menyentuh telapak tangannya.
“Tuhan…” Luth
kaget.
Wanita ini sudah
tidak sedarkan diri sepanjang perjalanan mereka ke sini dan dia langsung tidak perasan. Luth masuk ke tempat penumpang belakang. Membaringkan wanita ini mengiring kerana
bimbang darah yang masih mengalir itu akan menyekat saluran pernafasan.
Setelah itu, dia
masuk ke perut kereta dan pedal minyak ditekan laju. Sesekali, dia toleh ke belakang. Tujuannya
hanya satu. Hospital Kuala Lumpur, HKL. Satu-satunya hospital kerajaan terdekat dan
yang terlintas dalam kepalanya.
Mujur juga jalan
masih tidak sesak. Dia terus memandu
masuk ke perkarangan Unit Kecemasan dan Trauma.
Kereta diletak di tepi agar tidak menghalang laluan. Dengan pantas, dia membuka pintu belakang dan
mengangkat tubuh itu dalam pelukannya. Darah merah itu masih mengalir biarpun
tidak selaju tadi. Membasahi baju kemeja
putihnya.
“Nurse, tolong saya!”
Seorang jururawat
yang sedang bertugas terus bergegas mendapatkannya.
“Letak dia di sini.” Dia mengarahkan Luth membaringkan tubuh wanita
yang tak sedarkan diri itu di atas sebuah katil.
Langsir
ditarik. Luth menapak ke belakang. Nafasnya mengah. Dia mahu pergi namun, kakinya terasa begitu
berat. Dia menanti di situ, sehinggalah
ada yang datang menegurnya.
“Kereta encik ke dekat
depan sana?”
“Ya…”
“Minta alihkan,
ya. Ada parking bertingkat dekat
depan sikit. Encik boleh letakkan kereta
di situ.”
“Maaf. Saya
hantar pesakit tadi.”
“Ya, saya tahu.” Mata pengawal keselamatan itu jatuh pada dada
Luth. Ada kesan darah pada pemuda itu.
“Tapi, minta
tolong segera, ya?” Pintanya, lantas
berlalu.
Luth berlalu. Menghidupkan
enjin kereta dan mencari destinasi yang dikatakan. Dia toleh ke tempat duduk belakang dan
ternampak beg wanita itu di situ. Setelah itu, dia kembali semula ke wad kecemasan
bersama beg tangan penumpangnya tadi.
“Encik pergi
mana?” Jururawat tadi menegurnya. Nampak tidak senang bila dia tiba-tiba menghilangkan
diri.
“Saya pergi alih
kereta. Macam mana dia?”
“Buat masa ini,
dia stabil. Boleh jadi sebab panas atau
kekurangan air. Badan dia dehydrated. Doktor sudah bagi drip. Encik ni, ahli keluarga ke?”
Luth geleng. “Dia penumpang saya tadi…”
Jururawat itu
kerutkan dahi tetapi, dia malas nak bertanya lebih dengan keadaan diri yang
sibuk.
“Encik temankan
dia dulu. Kalau ada apa-apa, panggil
saya. Nanti cuba dapatkan maklumat waris
dia, ya? Saya ada dekat kaunter kalau
encik perlukan bantuan.”
Luth rapati katil
di mana wanita asing ini sedang terlantar.
Masih tak sedarkan diri. Dia
pandang jarum yang ada di lengan itu.
Nafas wanita ini cukup perlahan.
Langsung tak dapat dia dengar. Darah dari hidungnya sudah berhenti. Namun,
kesannya masih jelas.
Dia menarik
kerusi dan duduk di situ, tidak tahu untuk berbuat apa. Matanya memandang wanita itu dan beg
tangannya silih berganti. Berkira-kira
hendak dibuka dan mencari biarpun sekeping kad untuk dihubungi.
Menceroboh? Ya. Tetapi,
situasi ini sudah dikira sebagai darurat.
Dia menarik zip
beg tangan berjenama Chanel itu. Baru
hendak digeledah, telefon bimbit wanita itu bergetar. Mujurlah tiada bunyi. Dia pantas menjawabnya melihat nama yang naik
adalah ‘Mak Su’.
“Fuzah dekat
mana? Kenapa tak sampai lagi? Ayah Fuzah dah bising.”
Fuzah? Dahi Luth berkerut seketika sebelum dia
yakin, Fuzah adalah nama wanita yang sedang terlantar ini.
“Maaf, puan…”
Zana kerut dahi.
Menelan liur bila dengar ada suara lelaki yang menjawab telefon anak
saudaranya.
“Siapa ni? Mahfuzah mana?” Soal Zana, terkejut.
“Nama saya Luth,”
jawab Luth perlahan. Memperkenalkan
diri.
“Mana
Fuzah?” Suara Zana kian keras. Dadanya berdebar. Resah memikirkan gerangan yang menjawab
telefon Fuzah.
“Sabar,
puan. Jangan salah faham. Ceritanya tadi… Cik Mahfuzah ni masuk kereta
saya. Saya buat e-hailing. Dia nak ke
Mandarin Oriental. Kami dah sampai tadi, tapi bila saya kejutkan, dia tak
sedarkan diri…”
“Tuhan…” Zana tekup mulut dengan nafas yang lelah.
“Macam mana dia? Dekat
mana dia sekarang?”
“Saya terus bawa
dia ke HKL. Ada dekat jabatan
kecemasan. Missy tadi cakap,
keadaan dia stabil. Boleh jadi sebab
penat. Saya tak tahu yang lain-lain. Baru saya nak cari nombor telefon waris,
puan dah telefon. Puan boleh datang
sekarang?”
“Ya… ya… terima
kasih. Saya datang sekarang.” Zana angkat tubuh. Bersedia untuk bergerak apabila Badrul
menahan.
“Kenapa?”
“Fuzah
pengsan. I kena pergi hospital.”
“I ikut.”
“Jangan. I pergi seorang,” larang Zana.
“You ada
kerja lain untuk uruskan. Biar I uruskan
hal Fuzah,” beritahunya kepada Badrul.
Lelaki itu hanya
mengangguk, akur.
Zana menghubungi
Anas. Lelaki itu sudah sedia menunggu
dengan kereta lain di lobi.
“Kenapa tak cakap
Cik Puan naik e-hailing?” soal Zana semasa masuk ke perut kereta.
“Saya tak tahu,
Puan Zana. Saya berlari naik atas dan
bila saya turun, Cik Puan dah pergi.
Saya cuba call puan tapi tak
dapat,” jelas Anas. Ada getar pada
suaranya.
Zana mengeluh
berat. Sungguh, dia terlalu larut dengan perbincangannya bersama Badrul.
“Bawa saya ke HKL
sekarang.”
Kereta
perlahan-lahan berlalu daripada perkarangan depan lobi Menara Mahazera.
“Jangan sampai
Tan Sri tahu awak tak dapat hantar Cik Puan pergi meeting hari ini,
Anas,” pesan Zana.
Bagaimanapun, dia
tak lepas daripada bimbangkan anak muda ini.
Dadanya berdetak
kencang. Susah didamaikan. Dia patut lebih tahu. Fuzah tak pernah akui yang dirinya sedang
sakit. Dia patut paksa anak saudaranya
itu berehat setelah melihat keadaan Fuzah tadi.
Tapi, bagaimana juga mereka mahu melanggar arahan itu.
Tuhan… sampai
bila? Inilah yang menjadi persoalan
dalam dirinya sejak akhir-akhir ini. Dia
ingin Fuzah bahagia dan dia juga berharap yang serupa.
*****
PERJALANAN agak mengambil
masa walau jarak tak jauh mana. Dia
sampai di Unit Kecemasan dan Trauma HKL setelah hampir satu jam kerana
kesesakan akibat kereta rosak. Dia
dibawa ke katil di mana Fuzah sedang terlantar.
Nampak lemah tak berdaya. Pucat
lesi. Di sisi katilnya, ada seorang
lelaki yang sedang lena dalam keadaan duduk.
Gamaknya, inilah Luth, lelaki yang telah membantu Fuzah. Daripada wajah lelaki muda ini, dia dapat
lihat keletihan yang tergambar.
Perlahan-lahan,
dia dekati Fuzah. Saat menyentuh tangan
anak ini, Fuzah membuka mata. Dia nampak lelah dan tidak berdaya. Tetapi, bibir itu tetap koyak dengan senyuman
apabila melihatnya.
“Fuzah tahu Fuzah
dekat mana?”
Fuzah mengangguk. Daripada suasana, bunyi dan bau, dia tahu dia
berada di dalam hospital.
“Apa terjadi tadi?” soal Zana, perlahan.
“Kita balik dulu,
mak su. Fuzah nak rehat dekat rumah…”
“Hurm…
nanti mak su call Hanan suruh datang rumah. Fuzah baring dulu. Mak su uruskan nak discharge.”
Fuzah tidak memberikan
apa-apa jawapan. Dia memandang drip
di tangan dengan pandangan kosong. Masih
ada sedikit. Perlahan-lahan, dia angkat
tubuh. Dibantu oleh mak su. Dia mencabut jarum drip itu seperti tiada apa.
Kemudian menekap darah yang mengalir.
“Fuzah tunggu
dekat luar.”
Zana tahu, bila
Fuzah berkata demikian, maka tiada lagi bantahan yang diterima. Dia terpaksa akur. Mereka sama-sama mengerti yang Fuzah tak
boleh lama di sini. Berita tentang
kesihatan dirinya akan cepat tersebar dan semua ini akan beri kesan kepada
banyak perkara. Kerana itu, sejak dulu
dia hanya dirawat oleh doktor peribadi keluarga.
“Mak su hantar
Fuzah keluar…”
“Fuzah boleh jalan
sendiri. Mak su uruskan hal wad
dulu. Jangan tinggalkan apa-apa rekod.”
“Ya. Jangan
risau. Tahulah mak su uruskan. Hati-hati berjalan.” Zana faham apa yang Fuzah maksudkan. Dia pantas menghantar pesanan kepada Anas
untuk menunggu Fuzah di depan wad kecemasan.
Saat Fuzah jatuhkan
kaki di atas lantai yang dingin, dia perasan kasutnya yang ada di kaki kerusi
lelaki ini. Dia duduk merenung wajah
lelaki yang sedang lena itu. Nampak
penat. Ya, dia faham persaingan yang
dikatakan. Dia juga tahu betapa letihnya
hidup dalam dunia yang dihimpit oleh mereka yang tamak dan kejam.
Wajah lelaki ini
nampak tenang. Tidurnya langsung tidak
terusik. Leher itu tegak. Dia koyak senyum tipis tanpa sedar. Kasut disarung perlahan. Dia keluarkan beberapa keping not RM50 dan
diselitkan di dalam poket kemeja-T yang nampak sudah kotor dengan darahnya.
Dia mahu ucapkan
terima kasih pada lelaki asing ini yang telah membantunya. Namun, biarlah segalanya terkubur di sini dan
dia telah tunaikan janji untuk membayarnya.
Dia masih ada masalah besar lain yang perlu dihadap.
Mahfuzah berdiri
tegak. Mengimbangi tubuh yang sedikit
lemah. Sekali lagi, dia merenung wajah itu. Dengan alis yang lebat dan redup. Hidung mancung terletak. Kulit bersih.
Tulang rahang yang nampak tajam dan tulang pipi yang jelas timbul
beserta tangan yang kekar dengan uratnya.
“Terima kasih.” Dia
ucapkan kata-kata itu biarpun lelaki itu tak dapat mendengarnya.
Lantas, Fuzah
melangkah keluar. Saat itu, Anas juga
menghampirinya. Pintu kereta
dibuka. Hanya beberapa minit setelah dia
masuk, mak su juga sudah ada di sisinya.
Kereta meluncur laju. Fuzah
pejamkan mata. Dia berharap agar mak su
tidak ajukan soalan buat masa ini kerana dia tahu, dia perlu tenangkan diri
untuk menghadap pelbagai soalan lain apabila tiba di rumah nanti.
No comments:
Post a Comment