Tuesday, July 30, 2024

RAPUH 4

LUTH kalut apabila dia membuka mata dan melihat katil yang sudah kosong.  Malah, selimutnya sudah dilipat elok.  Dia bingkas bangun, mahu mencari namun belum sempat dia menyelak langsir tersebut, wajah seorang wanita lain terlebih dahulu muncul di depannya.  Tubuhnya kaku melihat renungan dingin wanita itu padanya. 

“Siapa nama awak?”  soal wanita itu, perlahan.

“Luth…” 

Zana jongket kening sebelah. Melihat pada cara wanita ini, Luth mengerti akan apa yang dimahukan.

“Muhamad Luth.” 

Zana angguk beberapa kali. 

“Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih sebab dah bantu bos saya.  Keduanya, saya harap awak tiada sebarang recording atau apa-apa jenis bentuk bahan yang boleh disebarkan kepada public. 

Dahi Luth berkerut lebat.  Tidak memahami apa yang sedang berlaku.  Otaknya terbelit dengan ayat yang dituturkan.  Recording? Bahan yang boleh disebarkan?

“Awak ada dashcam di dalam kereta?” 

Luth mengangguk. Alat itu sepertinya sudah menjadi satu keperluan untuk semua kereta pada zaman sekarang.

“Ada recording di dalam kereta?” 

“Tak, puan.  Hanya di bahagian luar, depan dan belakang,” jawab Luth, jujur.

Zana hela nafas lega.  Bermakna tak akan ada wajah Fuzah di dalam rakaman kamera lelaki ini. 

“Apapun, saya harap perkara ini tamat di sini saja.  Lupakan apa yang sudah terjadi dan awak tak boleh bercerita pada sesiapa.  Sekali lagi, terima kasih kerana telah membantu cik puan.” 

Sebelah kening lebat Luth terjongket.  Cik Puan?  Bermakna wanita itu bukan sembarangan orang. 

“Sama-sama,” balas Luth walaupun perasaannya tidak senang kerana mendengarkan permintaan yang dia kira lebih sebagai ugutan.

“Saya saja nak inform. Saya bukan jenis buat content.  Saya bukan influencer yang cari makan dengan cara macam itu.  Saya bawa e-hailing, jadi dashcam itu adalah untuk tujuan keselamatan sepanjang saya bekerja,” tambah Luth, bersahaja. 

Memerli?  Ya, memang itu niatnya. 

Sudahlah dia sudah membantu.  Itu belum lagi memikirkan kotoran darah yang melekat pada kereta yang dipinjamnya itu.  Rasanya, ucapan terima kasih sudah memadai. 

“Terima kasih.  Ini… untuk awak atas bantuan awak dan ganti rugi disebabkan Cik Puan minta awak batalkan trip awak yang lain.”  Zana letakkan sampul putih di atas katil. 

Luth sekadar mengerling. 

“Saya balik dulu.”  Zana mahu pergi bila suara parau itu menahan langkahnya. 

“Dia macam mana?”  Suara itu seperti tertahan namun nada risaunya ketara. 

“Dia okey.  Jangan risau pada orang yang awak tak perlu fikirkan pun.”  Zana toleh dan jongketkan senyum pada hujung bibir.   

Sekali lagi, Luth kerut kening.  Aneh betul manusia zaman sekarang.  Sudahlah dia dah menolong.  Betul, ucapan terima kasih dah diterima, tetapi, perlukah diugut?

Dia capai sampul di atas katil dan apabila melihat isinya, mata Luth bulat.  Terkejut.  Dia tak menanti.  Dipasang langkah dan berlari sekuat hati namun sayang, kereta mewah itu sudah berlalu pergi.  Dia mahu mengejar namun, kata-kata akhir wanita itu tadi terngiang. 

Tiada apa yang perlu dirisaukan tentang orang asing yang dia tak perlu fikirkan pun. 

*****

SUARA Kak Long berdentum di seluruh ruang rumah.  Mematikan ingatannya tentang kejadian siang tadi.  Langsung tiada berbaki ruang yang tidak dicapai oleh gema suara kak long.  Luth hanya mampu tunduk mendengar bebelan itu.  Sejak tadi, tak berhenti biarpun dilarang.

“Sudah-sudahlah tu, kak long,” tegur umi.

“Sudah apanya.  Umi tengoklah kereta kak long tu?  Orang dah pesan jangan sampai jadi apa-apa.  Sudahlah orang bagi pinjam.  Jagalah baik-baik kalau orang dah bagi.” Lufya masih jelas tak puas hati.  Mengerling pada adiknya tak sudah-sudah. 

“Tapi, kak long cuma pesan jangan accident.”  Luth menjawab dengan nada selamba. 

“Itu pun dikira accident juga!”  Mata Lufya terjegil mendengar adik lelakinya membantah.  Dia terus bercekak pinggang.  Rahangnya turun naik menahan marah.

”Kau jangan nak loyar buruk dengan kak long, ya!”  Amarannya begitu tajam. 

Luth mencebik sendiri. 

“Kan Luth cakap Luth tak sengaja.  Mana Luth tahu benda tu nak jadi…”  Luth mengerling kakaknya dari ekor mata. 

Kecut juga bila kak long mula membebel.  Mahu ada sambungan beberapa episod.

“Sebab tu orang pesan suruh hati-hati…”

“Kak long, kan boleh basuh,” tegur umi lagi.   Risau betul dengan anak dara seorang ini.  Garang sangat.  Mungkin, sebab itu tak ada lelaki yang nak dekat.  Takut. 

“Umiiiii….”  Lufya jatuh bahu.  Kalah dengan suara lembut umi.  Satu-satunya suara yang boleh membuatkan dia mengalah. 

“Tapi, memang kotor sangat tu, umi.  Kesan darah tu memang tak akan hilang…”

“Luth dah cuba basuh ke?” Soalan beralih pada Luth. 

“Dah basuh tapi makin teruk.  Kena hantar spa kereta jawabnya.  Diorang akan buat deep-clean.  Nak hantar tadi, tak sempatlah,” jawab Luth.

Siang tadi, dia sendiri tak terfikir tentang kesan darah itu kerana apa yang terjadi begitu pantas. Sehinggakan dia sendiri tak dapat nak cerna apa yang telah berlaku. Ini adalah pertama kali sejak dia menjadi pemandu e-hailing, seorang pelanggan pengsan di dalam kereta. 

Sementelah, semasa dia hantar ke tempat cuci kereta, darah itu sudah kering dan pekerja itu mencadangkan untuk dia hantar ke pusat cucian profesional.  

“Senang kau cakap.  Kos semua tu, kau nak bayar?”  Lufya mencebik seraya mengerling adiknya.

“Yalah… Luth hantar petang ini.  Semua kos Luth tanggung.  Kalau tak bersih juga, Luth hantar kedai, tukar terus seat tu…” 

Mata Lufya nampak bersinar.  Dia koyak senyum pada adiknya. 

“Betul ni?  Kau tak tipu kak long, kan?” 

“Mana ada Luth pernah bohong.”  Luth kerling kakaknya yang sedang tersengih. 

Kan senang kalau awal-awal cakap suruh tukar seat baharu.  Tak perlu nak buat drama.  Dia mencebik lebar.

“Haa… ini baru betul.  Tapi, kalau betul kena tukar seat, tukar terus jenis seat kulit, ya…”  Dia sapa bahu sasa Luth dan ditepuk kuat.

”Manalah Luth ada duit nak tukar seat kulit.  Kak long lebih sudu dari kuah dah ni…”

Lufya ketawa. 

“Kak long tambahlah.  Lagipun, kereta tu ada empat tahun lagi loan, tau.  Kak long nak pakai sampai mati kereta tu.”

”Tengoklah macam mana.  Luth pergi cuci dulu.  Apa-apa Luth beritahu kak long balik.  Tapi, kalau seat kulit tu, tak payahlah tukar.  Membazir…”

“Ala bolehlah.  Lepas ni, apa-apa tak perlu risau kotor.  Boleh lap-lap terus…”  Lufya masih tak mengalah. 

Luth terdiam seketika, menimbang permintaan kak longnya.  Tentang duit, rasanya cukup sangat.  Lagipun, kak long hampir tak pernah membuat permintaan.  Kira baik juga kos lain, kak long nak tampung lagi separuh.

Dia tahu, kak long banyak menahan diri untuk penuhi kemahuan hati kerana dia dan maknya.  Tanggungjawab kak long sebagai anak sulung biarpun sebagai wanita, sangat berat setelah abah pergi.  Kak long menggalas segala tanggungjawab.  Selama ini, kak long yang memberikan segalanya.  Dia pula, hanya dapat berikan yang termampu dengan kerja tak menentu. 

“Luth belanja…” Akhirnya, dia setuju.

”Kak long bagi separuh…”

“Luth ada duit…” Luth senyum tipis. 

Teringat akan duit yang masih ada di dalam sampul putih dan juga poket jaketnya.  Bukan sedikit harga tambang yang dibayar.  Nilai dua ribu ringgit itu, pada orang sepertinya, hampir tidak masuk dek akal, tetapi boleh jadi, ia seperti sepuluh ringgit pada orang sebegitu.

Dia ingatkan, dia ada hanya sampul putih itu sahaja tapi bila dia buka jaketnya, barulah dia perasan ada lagi wang tunai sebanyak seribu ringgit diselit dalam poketnya.  Jika yang di dalam sampul itu ditinggalkan oleh Puan Zana, yang di dalam jaket pastilah diselit oleh wanita itu. 

Dia tidak tahu siapakah gerangan wanita itu yang sebenarnya. Tetapi, apa yang dia tahu, pastilah bukan orang sembarangan. Aura yang dibawa oleh wanita itu benar-benar menyesakkan dadanya. 

“Kau dengar tak, umi tanya tu…” 

Hah?”  Wajah Luth nampak terpinga-pinga.  Terkejut apabila kak long menyergah.

“Umi tanya apa?” 

“Berangan ke mana kau ni?!”  bebel Lufya.

“Umi tanya, ada panggilan mana-mana interview ke?”  Matanya juga bersinar, menanti jawapan.

Walaupun boleh dikatakan hobinya adalah membebel pada adik lelakinya, tapi segala apa tentang Luth, dia tak pernah abaikan.  Dia sentiasa mengambil tahu dan mengambil berat tentang setiap perkara untuk masa depan Luth.

“Oh… belum lagi, umi.”  Luth senyum.  Sedikit tawar. 

“Tak apalah.  Kalau belum sampai masa, macam mana usaha pun tak akan datang juga.  Yang pasti, jangan putus asa.  Adalah tu nanti.  Umi tahu, rezeki Luth adalah rezeki yang tertangguh sikit.  Sabar, ya…”  pujuk umi. 

“Ya, umi.  Luth okey saja bawa e-hailing.” 

“Tak apa.  Kau boleh guna kereta kak long.  Free, kan?  Tak payah bayar apa-apa, kan?”  Lufya sengih. 

Luth senyum tipis.  Itulah hakikatnya.  Kak long tak pernah meminta walau sesen bayaran.  Kak long pula lebih senang menggunakan kereta yang syarikatnya sudah sediakan. 

“Tapi, kak long suka membebel,” sela Luth, mengusik.

“Kak long marah sebab kesan darah melekat.  Darah tu ada badi, tau…”  Mata Lufya bulat. 

“Nanti Luth basuh dengan air ruqyah.”

“Eii… dia ni, kan… menjawab!”  Lufya cuba memukul adiknya tapi Luth lebih pantas menahan. 

Tak lama, mereka sekeluarga ketawa.  Bahagia itu tidak sukar untuk dikecapi.  Begini juga, mereka sekeluarga bahagia. 

*****

USAI isyak berjemaah malam itu, ibu terlebih dahulu masuk ke bilik.  Dia angkat tubuh membuka telekung dan dibiarkan sahaja terdampar di atas sejadah.

“Mari tolong kakak dekat dapur.” 

Luth sekadar menurut.  Dia membuka kopiah, berjalan dengan kak long terus ke dapur.  Saat dia angkat penutup kuali, haruman daun kari menerjah rongga.  Udang masak buttermilk?  Malam-malam?

“Rajin kak long masak udang buttermilk?”  tegur Luth seraya mencapai pinggan.  Disenduk udang tersebut ke dalam pinggannya. 

“Bos kak long bayar bonus.  Mood elok hari ini, kak long masaklah sedap-sedap.”  Lufya sengih.

“Ini haa... pasal kereta tu kak long tak marah.  Walau memang kak long rasa nak kakikan aje kau ni.”  Lufya menjeling.

Luth ketawa.  Mengambil gelas pula.  Saat ini, kak long sedang meyenduk nasi. 

“Luth tahu.  Luth dah masak dengan perangai kak long,” usik Luth dengan senyuman meleret. 

“Habis tu, kau ingat kau sorang aje masak dengan perangai kak long?  Kak long ni dah rentung hangit dengan perangai kau, tahu?!”  balas Lufya.

“Tak apalah.  Asal masak tak hangit.”  Luth masih tak puas mengusik.

“Eii... dia ni kan...”  Lufya sudah angkat senduk nasi. 

“Tapi ini, Luth... kak long ada benda nak tanya kau ni.”

“Tentang apa tu, ya?”  soal Luth lembut, berlalu ke penapis air.  Menadah air dalam jug.  Malam-malam dia lebih suka meminum air kosong.

“Kak long nampak kau sekarang kerja macam tak ada hari esok.  Kak long tahu kau nak kumpul duit nak kahwin.  Kak long offer macam mana pun, kau tak nak.  Okeylah.  Kak long tak paksa.  Sebab tahu kau memang nak usaha sendiri.  Cuma satu yang kak long perasan...”  Lufya hentikan ayatnya di situ.  Diletak nasi atas meja.

Bola mata dua beradik itu bertembung.  Luth diam.  Tahu yang kak long tidak lagi dalam mode bergurau.  Seperti mana dia kenal kak long, seperti itu juga dia dapat kesan perubahan riak wajah kak long.

“Kau masih sayang dia ke?”

Luth tahu siapa ‘dia’ yang dimaksudkan.  Dia palingkan tubuh.  Mengambil gelas pula. 

“Kak long serius ni, Luth.  Lepas kes dulu tu, tak tahulah kenapa kak long dapat rasa kau macam dah tawar hati.  Lebih tepat, kau memang tak ada perasaan dah.  Kalau betul apa yang kak long rasa ni, kak long tak nak kau teruskan sebab kau fikir kau dan dia dah lama.  Kau rasa bertanggungjawab untuk semua masa yang dia tunggu kau.  Hakikatnya, bukan kau tak cuba, tapi kau ditolak.  Umi pun risau...” 

Saat umi disebut, Luth menoleh pada kak long. 

“Taklah.  Mana ada macam tu.  Luth ada niat nak pergi pinang dia dah tak lama lagi.  Nantilah bila dah sampai masa, Luth beritahu umi dengan kak long,” jawab Luth.

Jawapan yang tidaklah sepenuh hati.  Lebih pada untuk damaikan kerisauan kak long dan umi.  Atau boleh jadi untuk tenangkan hati sendiri yang tiba-tiba bergejolak dengan soalan kak long. 

“Betul ni, Luth.  Kalau kau nak teruskan hanya sebab kau dengan dia dah berkawan lama dan kau rasa kau kena setia, kak long tak nak kau teruskan. Ikutkan hati, kak long memang nak paksa kau putus aje lepas keluarga dia reject kau dulu.” 

Luth hanya senyum mendengarkan omelan kak long. 

“Tak apalah kalau kau masih sayang.  Tapi, kak long nak cakap, tak apa kalau kau dah tak ada hati pada dia.  Tapi, kau kenalah berterus-terang.  Jangan hanya sebab kau kenal dah lama, kau terus semberono aje setia,” tambah Lufya lagi

“Luth hargai hubungan kami, kak long...”  putus Luth.  Dia koyak senyuman pincang pada kak long.

“Hargai dan sayang ni, dua perkara yang berbeza, Muhamad Luth.”  Lufya lepas nafas pendek.  Direnung wajah adiknya. 

Luth sudah tawar hati sebenarnya kerana penolakan yang begitu jelas mempertikaikan tentang kemampuan Luth.  Perkara itu pasti menjadi goresan luka. 

“Pergilah panggil umi.  Dah siap hidang.  Lepas makan, kau kemas dapur,” arah Lufya. 

Luth angkat tubuh.  Akur.  Dalam setiap detak jantung, persoalan kak long terus cuba mencari jawapan.  Tawar hati?  Boleh jadi.  Tapi, dia hargai hubungan ini dan mahu terus setia.  Andai dia menarik diri sekarang, tidakkah kasihan pada Aqila yang telah begitu lama bersamanya. 


1 comment: