Friday, July 26, 2024

RAPUH 1


KEDUA-DUA
belah siku ditongkat atas meja. Tangan kanan naik memicit pelipis.  Pandangan mata mula terasa kabur.  Sejak kebelakangan ini, rasa pening semakin giat hadir menemani hari-hari yang terlalu sibuk. Laporan setebal setengah inci itu ditolak ke hadapan.  Belakang tubuh bersandar pada kerusi. Mata dipejam.  Nafas panjang dihela berkali-kali. 

Suasana bilik hening. Tiada siapa berani bersuara. Hanya tunduk menanti patah bicara dan arahan seterusnya daripada wanita yang sedang duduk di kerusi eksekutif berwarna hitam itu, berpejam mata.

“Kenapa boleh jadi macam ini?” Suara lunaknya memecahkan kesunyian.

Matanya masih terpejam.  Memasang telinga. Tetapi, jawapan masih tidak kedengaran. Antara mereka, masih ditemani hening. Perlahan-lahan kelopak mata diangkat.  Memandang tepat ke hadapan.  Tidak dipakukan mata pada sesiapa.  Cuba membendung rasa berbalam yang masih belum mahu hilang. 

Anyone?” Nada suara masih dikekalkan pada tahap sama. 

“Cik puan….”

Tangan Fuzah terangkat. Menahan suara pembantu peribadinya.  Dia berharap suara lain yang akan menjawab. Bukan setiap kali, hanya harapkan wanita ini menyelamatkan suasana.

“Saya bayar semua orang untuk buat kerja tapi kenapa saya tak terima apa-apa jawapan daripada laporan yang saya baca?” Suara itu kian berubah dingin. Keluhan kasar dilepaskan.

Dia tidak boleh menerima keadaan seperti ini berlaku.  Masalah timbul satu per satu, seperti ada satu konspirasi untuk menjatuhkannya. Dia hanya mencari jawapan. Sayang, semua diam tidak berkutik.

“Apa semua ini?” Fuzah menolak semua laporan yang ada di atas mejanya. Suaranya rendah perlahan. Kertas itu semua jatuh berselerakan di atas lantai.  Dia sedang menggigit pipinya menahan amarah agar tidak meletus. 

Mata redup itu tampak merah! 

“Cik Puan, saya….” 

Saat mata Fuzah merenung tajam wajah Pengurus itu, lelaki itu hanya menunduk dan memejamkan mata persis mencari kekuatan. 

“Teruskan. You were saying?” Pinta Fuzah perlahan. Dia kembali memejamkan mata.

Ya, andai matanya tiada siapa yang berani pandang, dia akan sembunyikan pandangan mata ini selamanya. Sejak dahulu lagi, dia tidak pernah menerima pandangan yang penuh dengan kasih sayang, kemesraan dan kehangatan. Pandangan yang diterima selalunya pandangan yang penuh prejudis. 

Dia sudah terbiasa.

“Tentang projek pembinaan hotel itu, ada orang yang masuk dan ceroboh bangunan dan rosakkan banyak benda. Jangan kata itu saja, bahan yang digunakan sebelum ini bukan seperti mana yang kita sudah pilih. Gutter tu tak pasti dalam kontrak memang dinyatakan daripada bahan konkrit atau tak. Itu yang sedang disiasat sekarang sebab, berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian pekerja.  Sebab tu kerugian yang kita tanggung untuk itu saja sudah berjuta.  Resort dan hotel di tempat lain mengalami kemerosotan yang teruk disebabkan review yang telah viral tentang hotel dan resort berhantu serta pekerja biadab. Resort di Pulau Tioman pun terbakar tanpa kita tahu punca.” Cerita Badrul, sama seperti dalam laporan yang disediakan. 

“Keputusan forensik?”

“Belum keluar lagi, Cik Puan….”  Badrul telan liur, teragak-agak bersuara.  Sebagai seorang yang telah lama mengenali wanita itu, sejujurnya dia sendiri masih kecut melihat renungan kosong itu.

Matanya melirik pada pembantu peribadi Mahfuzah, mengharapkan pertolongan tetapi, hanya  renungan kosong disambut, kembali membawa kegundahan yang bukan sedikit. 

Mahfuzah bangkit.  Berjalan seketika dan bertenggek di birai meja.  Menggoyang kaki sehingga tumit kasut but itu berlaga pada kaki meja.  Ia mengeluarkan bunyi yang mencipta rasa tidak selesa pada hati semua yang ada, jelas terpancar pada wajah masing-masing.  

“Siasatan sedang dilakukan dan pihak bomba akan maklumkan pada kita sebaik saja keputusan siasatan keluar.”

“Kes di hotel itu pula?” 

“Sama, cik puan.  Masih dalam siasatan.”  Badrul tak sudah-sudah mengerling pembantu peribadi Fuzah. 

“CCTV?” 

“Semua CCTV rosak.”

“Rosak atau dirosakkan?” Fuzah kerling Badrul dengan wajah tanpa perasaan. 

“Dirosakkan, cik puan,” jawab Badrul seraya tunduk. 

Buat seketika, suasana bilik mesyuarat hening.  Usah kata hendak bersuara, untuk angkat wajah juga tiada siapa yang berani.  Fuzah kembali duduk di kerusi.  Menongkat tangan di bawah dagu.  Menatap setiap orang yang langsung tak berani memandangnya.  Dia tahu, dalang di sebalik semua ini ada bersamanya sekarang. Dia tahu, di antara mereka, ada yang benar-benar mahu melihat dia jatuh.  Tersungkur.  Boleh jadi, untuk lihat dia tidak dapat bangkit lagi. 

“Saya syak ada yang sengaja nak tengok saya jatuh.  Tuan-tuan dan puan-puan rasa macam mana?”  Soalannya biarpun senada, tapi tajamnya menikam pendengaran. 

Tidak masuk akal, di dalam bulan yang sama, beberapa masalah berlaku serentak. Malah, kerosakan pada projek pembinaan hotel kelima milik syarikatnya itu bukan sekali sahaja disabotaj. Akan tetapi,  sejak daripada awal pembinaan lagi, sudah pelbagai halangan. 

Dan sekarang, ada pula yang sudah berani mencuit anak syarikat lain miliknya?  Kontrak yang nilai hampir puluhan juta itu juga sudah terlepas begitu sahaja.  Kerugian yang dialami bukan calang-calang.  Ramai rakan kongsi yang mula prejudis terhadap kemampuannya. Malahan, sejak dahulu lagi.  Dia telah cuba untuk buktikan sebaliknya. Tetapi, kejadian terbaru ini benar-benar mencabar segalanya. 

“Cik Puan tak boleh tuduh kami tikam cik puan daripada belakang!”  Datuk Sahar yang pertama membantah.  Nampak marah dan jelas tidak puas hati.

Fuzah senyum tipis. 

“Saya tak tuduh atau cakap tentang tikam belakang,” nafi Fuzah, tenang.

“Saya cuma cakap ada yang nak tengok saya jatuh tanpa menyebut nama sesiapa.  Kenapa Datuk nak melatah?”  Sebelah keningnya sengaja dijongket. 

Datuk Sahar telan liur.  Kemudian kembali tunduk.  Yang lain juga, masih menyepi. 

“I was just throwing out a mere theory. I still have no solid evidence nor was I accusing anyone of anything. I just want to figure out who is behind all this fiasco.”  Fuzah menyepi seketika.  Dia alihkan pandangan kepada Badrul. 

“Find me an answer. A solution. Anything, Encik Badrul.  Bagi saya dalam minggu ini juga.” 

“Saya faham, cik puan.” Badrul angguk tanpa bantahan. 

“And please bear in mind everyone. The principle of ‘an eye for an eye, a tooth for a tooth’ is irrelevant and a waste of my time. But I do want to let you know…” Fuzah memberikan senyuman tajam kepada semua yang berada di dalam mesyuarat itu. “…with every cent that I lost, will be paid with every drop of everyone’s blood instead.”

Walau suaranya tenang, ayat itu jelas adalah suatu ugutan. 

Mendengarkan ugutan demikian, masing-masing menelan liur yang dirasakan sangat kelat.  Kerana mereka tahu, kata-kata itu bukan ugutan tetapi adalah satu janji oleh seorang yang bernama Fuzah.

Melihat suasana tegang tak ubah seperti tangsi yang boleh membunuh, Zana berdeham kecil.  Mendekat pada Fuzah. 

“Cik puan, ada mesyuarat dalam empat puluh minit lagi di Mandarin Oriental.  Perlu bertolak sekarang, cik puan.” Sebagai pembantu peribadi Fuzah, Zana sentiasa tahu untuk mencelah pada waktu yang tepat.   

Fuzah mengangguk, tanda faham. Dia hampir lupa dengan mesyuarat itu.  Dia tegakkan tubuh langsingnya dan merenung wajah-wajah yang dia percaya di depan mata. 

Badrul sebagai Pengurus Besar adalah orang yang sudah paling lama bekerja dengannya. Dia tidak pernah mengecewakan Fuzah, malah Badrul juga pernah bekerja dengan ayahnya. Dia tahu lelaki ini benar-benar berkemampuan dan tidak pernah gagal dalam mana-mana projek yang pernah dikendalinya.  Tetapi kesalahan kali ini, adakah kerana faktor usia? 

Dia buntu.

“Badrul, nanti jumpa saya. Semua orang boleh bersurai dulu.” Zana, pembantu peribadi Fuzah, memberi arahan. 

Setelah semua tubuh berlalu di balik pintu, dia kembali mendekati Fuzah seketika.  Bahu itu disapa perlahan. Wajah yang sejak dulu pucat itu sekarang menjadi semakin pucat. 

“Fuzah tak sihat ke? Nak mak su tangguh meeting tu?” Tangannya menyapa pipi putih anak saudaranya.  Satu-satunya.

Ya, wanita muda yang digeruni ini adalah anak saudaranya.  Anak tunggal kepada kakaknya, Tan Sri Zain yang sangat digeruni. 

“Badan Fuzah panas ni,” ujarnya. 

“Mak su tunda dululah.  Mak su risau.”  Riak wajah Zana berubah resah. 

“Ya ke?” Fuzah pegang dahi sendiri setelah tangan ibu saudaranya menjauh.  Sedikit hangat, tetapi bagi dia, tiada apa yang perlu dirisaukan.  

“Tak apa.  Sikit saja ni.  Nanti Fuzah makan ubat.  Nak tunda, risau ayah mengamuk pula.  Mak su bukan tak tahu.”  Dia senyum tawar.  Bersedia untuk berlalu. 

“Nak tak nak, Fuzah kena pergi yakinkan semua orang lepas apa yang jadi ni.” Dia perlu lakukan apa sahaja jika tidak, mahu ayahnya naik angin. 

“Betul ke okey ni?” Zana jelas risau. Risau pada urusan kerja, risau lagi tentang anak saudaranya. 

Fuzah angguk. 

“Kalau macam tu, mak su sediakan kereta. Lepas meeting, terus balik.  Rehat awal.  Urusan ofis, biar mak su selesaikan.” 

Fuzah angguk.  Tak membantah kerana inilah satu-satunya manusia yang dia percayai selain dirinya sendiri. Ibu saudara yang sehingga hari ini masih membujang kerananya, biarpun usia telah hampir empat puluh lima tahun. 

Ada masanya, dia rasakan bahawa dia telah menyekat kebahagiaan mak sunya.  Namun, mak sunya menafi.  Wanita itu ikhlas ada bersamanya. 

“Tentang nilai tender yang bocor tu, saya percaya itu mesti kerja orang kita sendiri, mak su.  Dapatkan saya nama dia dalam seminggu ini,” pesannya. Agak tegas.   

Terlalu banyak masalah yang perlu dia fikirkan.  Terlalu ramai musuh yang perlu dia tewaskan dan terlalu sukar untuk mencapai bahagia yang sering dia damba.  Gelap yang selama ini menemani, tak pernah pergi.  Usah kata segaris cahaya sebaliknya, gelap dalam hidupnya juga, malah, bertambah pekat. 

Dia kadang tertanya pada diri sendiri, apakah masih ada cahaya dalam dunianya?  Adakah ada belas ihsan Tuhan itu untuk manusia sepertinya?  Setiap kali dia mahu melangkah keluar daripada kegelapan ini, dia kembali ditarik dan dihumban lebih dalam, lebih jauh dan lebih hitam keadaannya. 

Boleh jadi, di sinilah tempatnya selamanya. 

Dia sudah menerima kenyataan itu dari dahulu lagi.  Namun sejak akhir-akhir ini, jiwanya yang dia sendiri telah bunuh itu, seperti masih bernadi. Walaupun, ianya sudah tinggal nyawa-nyawa ikan…

Perlukah ia dihidupkan? 

Atau perlu saja dia hidup begini hingga helaan nafas yang terakhir kali?


5 comments:

  1. Kalau dapat pain macam noktah pon, apa salahnya 🤧 Saya suka main perasan rollercoaster nii 🥹

    ReplyDelete
  2. I nak pain mcm CHECKMATE + NOKTAH

    ReplyDelete
  3. Tulis panjang ii tau saya suka novel yang Tebal ii ni hehe

    ReplyDelete