Tuesday, March 27, 2012

Ku Ingin Milikimu [23]

BAB 22

PENAT ku seka airmata ini, namun lajunya mengalahkan hujan di musim bah. Pujukan Sarina tidak lagi melekat ke hati. Sekadar menjadi angin semilir yang lalu menyapa peluput telinga lantas pergi meninggalkanku.

“Aku risau dengan Aryana ni, Ina,” aduku lirih sambil mengusap pipi Aryana yang sedang lena. Putih pucat wajah comel itu. Bibir itu juga bagaikan tiada berdarah.

Aku pandang Sarina dan sekeliling bilik mewah yang menempatkan Aryana. Terlalu mewah bagiku. Lengkap segalanya. Satu apa pun tiada yang kurang dan barangkali kos juga mahal tapi bila aku berkeras hendak membawa Aryana keluar dari SJMC, Mukhlis berkeras tidak membenarkan.

“Tak ada apalah, Ana. Jangan risau sangat. Kan kejap lagi keputusan kesihatan Aryana nak keluar dah. Doktor pun dah pesan jangan risau sangat. Janganlah menangis lagi. Buat aku risau je. Karang, Aryana keluar wad, kau pulak terlantar kat sini,” ucap Sarina memujuk dalam sinis.

Bukan aku hendak menitiskan airmata di saat-saat begini tapi airmataku yang tidak sudah-sudah hendak menitis melihatkan jantung hati ini terbaring lesu. Apalah daya tubuh kecil itu hendak terbaring di katil hospital. Sungguh, aku berasa bersalah amat kerana nekad juga meninggalkan dia pada Kak Pah beberapa hari sudah.

Aku bangkit dari duduk dan melabuhkan kembali dudukku di birai katil, lebih dekat dengan Aryana. Wajah itu aku kucup lagi. Rambut lebat dan lurus itu aku belai lembut. Agak kasar helaian rambutnya, persis rambut Mukhlis.

Bila aku berpaling pada Sarina, dia menguntum senyum. Namun, dapat ku kesan kepahitan dalam senyuman itu. Hanya sebabnya saja yang tak mampu aku tebak.

“Kau ada apa nak cakap dengan aku, Ina?” tanyaku sambil tangan ini membelai lembut jemari kecil Aryana.

Sarina mengeluh berat. Dia menarik kerusi itu dengan penuh cermat lalu dia duduk di atasnya. Jemarinya juga mencuit pipi Aryana sebelum matanya kembali menatap wajahku.

“Kenapa?” soalku sekali lagi.

“Zafran,” jawabnya sepatah.

Tatkala nama itu ditukas oleh Sarina, aku terdiam juga. Rasa bersalah sebenarnya pada dia apatah lagi bila minda ini memutar kembali kala aku berada di dalam pelukan Mukhlis atas kehendak diri yang sungguh tidak tersedar langsung waktu itu.

Dan Mukhlis juga, memaut tubuhku erat membawa aku rapat ke dadanya, membiarkan tangisanku berpanjangan di bahuku. Saat itu, dapat ku rasakan hentakan dalam diri Mukhlis rakus menujah dada bidangnya membuatkan hatiku mentafsir puisi cinta dari bisikan detak jantungnya itu.

“Err… kenapa dengan dia?” tanyaku buat-buat tidak tahu.

“Dia cakap kau… err… kau…”

“Aku peluk Mukhlis dan Mukhlis peluk aku?” Aku mencantas kata-kata Sarina dengan soalan dan lambat-lambat dia mengangguk.

“Itu semua berlaku tanpa aku sedar, Ina. Masa tu aku sendiri tak tahu yang aku peluk dia. Semua tu secara tak sengaja,” ujarku jujur.

Sarina mengangguk. “Aku tahu kau tak sengaja. Kalau aku di tempat kau pun, aku akan buat perkara yang sama. Tapi, itulah. Zafran mengadu pada aku yang kau ada nak bagi dia peluang tapi bila dah jadi macam ni, dia rasa kau masih cintakan Mukhlis tu.”

Nada Sarina perlahan saja. Aku pula tidak mampu hendak memandang dia lagi bila ku rasakan ada benar dalam telahan itu tapi rasanya, hati ini milikku dan telah ku serahkan kepada Allah untuk Dia kemudiki ke arah yang benar.

“Betul ke apa yang Zafran rasa tu, Ana?”

Aku menggeleng pantas. “Dia hanya memandang tapi aku yang merasa. Perkara tu berlaku macam tu je, Ina. Dan kau tahu sebab apa. Masa tu aku memang risaukan Arya. Pesan dekat dia, jangan cepat menelah,” bantahku sedikit tegas.

Tawa kecil Sarina meletus membuatkan aku berpaling pada dia. Aku pandang wajah temanku itu agak lama menanti patah bicaranya terbit.

“Tapi kenapa, aku rasa cinta kau pada dia masih ada, Ana. Malah aku yakin tak pernah hilang malah semakin hebat, kan?” tebak Sarina akhirnya.

“Kau kenal aku, Ina. Kenapa kau nak curiga macam ni sedangkan aku sendiri katakana tidak? Memang aku sudi bagi peluang pada Zafran tapi aku minta masa. Aku perlu pupuk, aku perlu didik hati aku ni terima lelaki dalam hati aku semula lepas apa yang terjadi antara aku dan Mukhlis. Dia tu harusnya yakin dengan cinta dan jodoh kami kalau betul dia cintakan aku. Cinta yang harus bersandar pada redha Allah. Bukan cinta yang pernah aku perjuangkan dulu,” ucapku lembut bersama hati yang sebak.

Sarina mengangguk. “Betullah tu kalau kau kata macam tu tapi Zafran tu nampak macam terasa hati bila Mukhlis peluk kau juga. Dia ada cakap, dia faham kalau kau terpeluk Mukhlis tapi bila dia lihat tangan Mukhlis erat juga paut pinggang kau, dia dapat rasa cinta korang berdua masih ada. Itu yang dia mengadu dekat aku,” beritahu Sarina padaku.

“Bila Zafran mengadu?” tanyaku bersama keluhan.

“Semalam. Mula-mula dia tak nak cakap tapi, aku yang paksa. Nampak murung lain macam je. Itu yang aku paksa dia cerita. Dahlah, Ana. Lupakan semua dulu. Sekarang bukan soal Zafran tapi soal Aryana. Tapi, Mukhlis tu kau tak boleh nak tolak buat masa sekarang dalam hidup Aryana sebab dia berhak. Aku balik dulu. Apa-apa hal telefon aku balik, ya?”

Sarina bangkit dan memegang bahuku sebelum dia tunduk mengucup pipi Aryana sekali.

“Aryana, anak buah Aunty Ina ni kena cepat-cepat sihat, ya.” Dia kemudiannya angkat tubuh dan terus berlalu ke pintu.

Namun, belum sempat dia hampir pada daun pintu, langkahnya pegun dan dia berpaling semula padaku.

“Tapi satu je aku pelik, Ana. Kenapa cepat sangat Mukhlis sampai bila Kak Pah call? Dia memang ada kat kawasan tu ke? Dia memang datang jenguk korang ke apa?” tanya Sarina dengan wajah yang berkerut.

Bila soalan begini diutarakan, barulah aku terfikir untuk kali pertama, apakah yang Mukhlis lakukan di sana sampaikan dia lebih cepat dariku tiba di rumah Kak Pah? Seperti kata Kak Pah, dia berada di sekitar itu. Bekerja mungkin tapi rasa agak mustahil pula.

“Entahlah, Ina.” Aku jungkit bahu dan Sarina mencebirkan bibir lalu dia berlalu melepasi pintu.

Baru saja pintu itu tertutup rapat, daun pintu itu terkuak lagi ditolak dari luar dan bila aku berpaling, wajah penat Mukhlis muncul bersama senyuman tipis yang langsung hambar dan tawar.

“Assalamualaikum, yang,” ucap dia sopan.

“Waalaikummussalam,” jawabku tanpa memandang dia. Ada rasa malu sebenarnya bila mengingatkan perkara yang terjadi dua hari sudah.

Benar andai Zafran terasa cemburu bila mana Mukhlis sendiri memaut pinggangku menjadikan tubuh kami bersatu di dalam esak tangisku dan sungguh, aku sendiri tidak sengaja kala itu.

“Ann belum makan, kan?” tanya dia dan aku menggeleng saja.

“Abang ada beli nasi ni. Mari kita makan,” ajak Mukhlis lantas dia letakkan bungkusan yang ada di tangannya itu di atas meja kopi di ruang rehat di dalam bilik besar ini.

Dia hampir pada televisyen LED 42 inci itu, lalu menghidupkannya. Suara langsung padam, yang tinggal hanyalah gambar saja. Bagai menonton wayang bisu saja. Setelah itu dia hampir pada katil dan duduk di sisiku, di birai katil dan dia tunduk mengucup pipi Aryana lama.

Terdengar bagaikan Mukhlis membisikkan sesuatu pada Aryana namun tidak jelas di pendengaranku membawa pada aku bertanya dia.

“Awak cakap apa pada Aryana?” tanyaku separuh berbisik.

Mukhlis angkat wajah dan memandang aku lalu mengukir senyum. Dia kemudiannya turun lalu duduk di atas kerusi.

“Awak?” soal dia.

Aku terdiam. Salah ke aku panggil dia awak? Kenapa selama kami bertemu setelah kami berpisah ini, aku memang memanggilnya awak dan apakah yang tidak kena dalam
panggilan itu?

“Dua hari sudah abang dengar Ann merayu-rayu panggil abang ‘abang’. Tak lekang mulut Ann tu panggil ‘abang’. Ann tak sengaja, kan?” tanya dia.

Teringatkan peristiwa itu, aku menggeleng pantas.

“Maaf. Masa tu Ann memang tak sengaja dan terpeluk…”

Senyuman Mukhlis makin tersungging nakal di bibirnya.

“Abang tahu Ann tak sengaja terpeluk abang tapi abang nak Ann tahu dan abang minta maaf sebab abang memang sengaja peluk Ann. Jujur abang cakap, abang dapat rasa kasih sayang dan cinta Ann dalam pelukan kita hari tu. Abang dapat rasa kasih sayang Ann pada abang masih tebal berbaki biarpun Ann menidakkannya. Naluri abang sentiasa tepat seperti mana abang dapat rasa Ann cintakan abang pertama kali dulu dan hari ni, naluri abang tak silap, kan sayang?” tanya dia mendayu.
Nafas sesak ini aku hela lembut bila menatap bening mata Mukhlis yang sedang menyoroti anak mataku tajam.

“Ann tahu awak sengaja peluk Ann hari tu. Tapi, Ann tak akan tuduh apa-apa pun sebab masa tu kita sama-sama risau. Ann yang peluk awak dan bukan awak yang tarik Ann. Jangan minta maaf sebab Ann yang silap. Dari awal Ann yang silap sebab mencintai awak. Mencintai lelaki yang tak sepatutnya tapi sungguh, Ann tak pernah kesal apatah lagi bila Allah titipkan Aryana dalam rahim ni…” Aku pegang perutku yang kempis.

“…dan menjaga kami bersama sampai hari ini biarpun tanpa awak,” sambungku memaknakan rasa syukur itu.

Mukhlis mengeluh. Dia tunduk sambil meramas rambutnya yang tidak terurus.

“Tapi, kenapa awak ada dekat dengan rumah Kak Pah tempoh hari setelah awak kata tak akan jumpa kami lagi?”

Akhirnya soalan itu aku luahkan juga. Rasa ingin tahuku membuak-buak setelah Sarina mengungkap perihal ini.

“Abang tak akan mungkir janji lagi, sayang,” gumamnya namun masih ditangkap oleh telingaku.

“Mungkir janji?”

Mukhlis panggung kepala. Sekali lagi dia menikam bola mataku tajam namun kali ini, ada sebu di sebalik renungan itu.

“Abang akan pergi dan tak akan menoleh lagi. Itu janji abang pada Ann, kan? Memang abang tak redha tapi abang pasrahkan hati abang. Ann berhak buat pilihan dan pilihan kali ini, haruslah tepat, yang!” tekan dia.

Aku diam saja.

“Kalau dia yang Ann pilih, memang abang akan hantar Ann pada dia cuma saat ini, izinkan abang temankan Ann dan Aryana. Sampai Aryana sihat, lepas tu abang akan pergi. Abang ada kat sana bukan sebab kerja atau apa. Abang memang nak ke sana jumpa Aryana buat kali terakhir sebab akan akan pergi, Ann. Abang tak akan muncul lagi depan Ann dan anak kita. Tapi, abang tak sangka bila terima panggilan Kak Pah. Masa tu, bila Kak Pah cakap, Ann keluar dengan Zafran… abang rasa agak marah tapi abang harus sedar, abang tak ada hak nak marah. Jadi, abang lakukan haka bang pada Aryana saja. Ann jangan salah faham abang lagi,” ucapnya panjang lebar.

Aku menggeleng. “Ann tak pernah salah faham pada awak.”

Dia angguk. “Itulah abang cakap. Kenapa Ann layan abang macam ni?”

“Macam mana?” Hati ini sedikit terusik dengan kata-katanya.

“Kenapa Ann layan abang baik sangat sampaikan abang rasa abang tak mampu lepaskan Ann tapi abang dah janji jadi abang kena tunaikan janji. Mencintai Ann membuatkan abang mengerti, mencintai tak semestinya kita memiliki, kan? Cukuplah melihat orang yang kita cinta bahagia bersama orang lain. Yang lain dah tak penting pada abang,” sambung dia.

Bibir ini aku ketap kuat. Ada sebak yang mula hadir. Ada air jernih yang mula menujah tembok mata mahu melahirkan airmata menodai pipi ini untuk ke sekian kali.

“Memang mencintai tak semestinya kita akan memiliki, Mukhlis. Memiliki dan mencintai besar bezanya. Begitu juga antara rindu dan teringat. Tapi, kedua perkara ini mempunyai makna yang serupa di sebaliknya. Memiliki, haruslah kerana mencintai dan begitulah sebaliknya. Cuma, bila tinggal rasa ingin memiliki, itu bukan cinta tapi kuasa semata-mata,” ucapku.

“Cuma abang risau, yang. Macam mana kalau abang teringat dan rindu pada Ann dan Aryana? Mana abang nak pergi, apa abang nak buat? Pada siapa abang nak mengadu?” tanya dia tiba-tiba.

Aku senyum.

“Antara rindu dan teringat, mana awak nak pilih?” tanyaku pada dia.

Dia memandang aku seketika sebelum menjawab dengan mata yang beralih pada Aryana dan jemari kasar itu menyentuh rambut Aryana lembut.

“Abang tak nak pilih dua-dua sebab abang tahu betapa peritnya menanggung dua makna perkataan tu, yang.”

“Dan Ann bagi awak pilihan. Pilihlah teringat sebab sakitnya tak seperti rindu sebab rindu itu menyakitkan. Ann yang pergi tapi awak yang meminta Ann berlalu. Ann belajar bertahan kerana rindu ini tapi akhirnya, Ann pilih untuk ingat saja pada kenangan kita tapi satu hari, Ann mula sedar, teringat itulah yang membawa rindu yang menderu-deru. Dada ni…” Aku tepuk dadaku sekali.

“… bagai hendak pecah masa tu dan jawapannya hanya satu. Ke mana Ann bawa rindu ni, pada siapa Ann mengadu dan ke mana Ann bawa rindu dan teringat ni. Ann bawa teringat dan rindu ni memijak tikar sejadah. Ann bawa rindu dan teringat ni mengadu pada Allah yang Maha Tahu segala sesuatu itu kerana perasaan itu adalah nikmat yang Dia kurniakan buat kita. Jadi, sampai satu masa, kalau awak tak mampu… bawalah kembali rindu dan teringat itu pada dia. InsyaAllah, awak akan kuat dan akan kuat sentiasa,” ujarku menasihati dia.

Kami sama-sama diam. Masing-masing mencerna kata dan aku lihat Mukhlis mengesat juring matanya. Nampak hilang taringnya kala ini. Tidak seperti dulu, terlalu suka memburu aku.

“Jadi…” Suara Mukhlis tenggelam timbul.

“Abang memang harus pergi, kan?” tanya dia padaku.

Biarpun aku nampak harapan dalam wajah itu, aku tetap mengangguk. Sungguh, aku tidak mahu menahan langkah dia. Dulu juga apatah lagi kini.

“Pergilah, pergi. Jangan toleh lagi,” ucapku berbisik dan tanpa sedar dan tidak dapat ku jangka, Mukhlis menyembamkan wajahnya ke ribaanku, mengalirkan airmata bisu tanpa sedikit tangis pun dan aku juga diam terkaku.

***

TELINGA ini sayup-sayup diterjah alunan doa yang syahdu. Rasanya malam tadi, setelah kami makan malam bersama, Mukhlis pulang, membiarkan aku sendiri menjaga Aryana kerana rasanya tidak sopan andai dia ada bersamaku.

Aku buka mata di dalam kesamaran lampu. Sungguh. Mukhlis sedang berteleku di atas sejadah di sisi katil Aryana.

“Andai aku adalah kedukaan buat dia, Ya Allah. Kau bawalah dia jauh dari diri ini. Andai aku adalah kedukaan buat dia, Ya Allah. Kau palingkanlah hati dia buat orang lain kerana aku yakin, cinta yang Kau titipkan dalam hati dia, ternyata masih milik aku. Andai aku adalah kedukaan buat dia, Ya Allah, hapuslah airmata dan cinta serta rindu padaku dalam hatinya dan tuntunlah hati suci itu agar menerima lelaki lain yang telah Kau takdirkan untuk menjaga dia dan puteri kami. Lantas, Kau pahatkan kisah hati kami di dalam diri ini agar tak hilang buat selamanya kerana aku hamba-Mu yang lalai dalam mencintai setelah Kau tolak dia menjadi milikku.”

Aku terkaku sendiri mendengarkan doa Mukhlis. Ada tangis pada hujung doa itu dan bila meraup wajahnya, aku hanya mampu memerhati getar pada tubuh itu menahan sendu. Bila dia berpaling padaku, aku rapatkan kembali kelopak mataku membiarkan airmata melalui juring mata berharap agar kekuatanku terus tegar membelit hati ini.
Sekelipan, aku terasa hangat nafas Mukhlis menampar wajahku dan tahulah aku, dia kini telah mendekat. Hembusan nafasnya hangat, helaan nafasnya tenang namun gelora di dalam jiwa, tiada siapa tahu.

“Abang cintakan Ann dari dulu, kini dan insyaAllah selamanya,” ucap dia padaku barangkali dia merasakan aku masih lena.

“Andai dulu abang mungkin bangga dapat miliki hati seorang penulis yang digilai ramai, tapi hari ini abang lepaskan Anahara ni dari terus dimiliki untuk memberikan Ann pada orang yang sudi mencintai Ann kerana abang terlambat, sayang. Terlambat sedar akan kebodohan diri,” sambung dia lembut. Berbisik sebenarnya.

Aku rasa dia betulkan tudungku di bahagian dahi namun, langsung tidak menyentuh kulit ini membuatkan aku tidaklah segentar mana.

“Abang akan pergi, sayang. Pergi biar tiada siapa yang mampu jejak abang lagi. Benar kata, Ann. Abang akan bawa rindu ini mengadu pada Ilahi kerana Dia yang memberi rindu ini. Selama ini, abang tak pernah hadiahkan apa-apa pada, Ann. Abang tahu Ann suka duduk di padang. Menikmati kehijauan alam tapi sayang abang tak sempat nak nikmati saat tu bersama Ann. Abang tahu Ann semakin meniti nama menjadi seorang penulis seperti mana Ann pernah cakap pada abang, nak jadi penulis yang disegani di Malaysia ni dan abang pernah janji, abang akan ada di sisi Ann kala itu. Tapi semuanya tak menjadi sebab kudrat bukan di tangan kita, kan? Jadi, abang harap, bila abang berlalu dari hidup Ann, abang harap ini akan menjadi hadiah yang paling bermakna dalam hidup Ann. Doakan abang tak lupakan Ann sampai bila-bila,” gumam dia lebih syahdu dan pilu daripada tadi.

Menutup kata-kata itu dengan esakan halus lantas akhirnya, aku dapat rasanya tubuh itu menjauh dan akhirnya, aku dengar pintu bilik tertutup dengan sendirinya dan tahulah aku yang Mukhlis berlalu pergi begitu saja lalu aku menekup mukaku dan menghamburkan tangisku kerana dia. Selamanya dia.

***

AKU menanti keputusan Doktor Norman dengan penuh debar. Mukhlis diam di sisi alongnya. Aku pula ditemani Puan Sri. Nayli sedari tadi tidak lepas dari mengagah Aryana yang sudah sedarkan diri dan nampak ceria saja. Tan Sri sedari tadi mundar-mandir menanti tibanya Doktor Norman bersama keputusan kesihatan Aryana.
Bila daun pintu terkuak, kami semua bangkit. Mukhlis menerpa kea rah Doktor Norman yang sedang tersenyum senang. Sedikit sebanyak menghalau resah di dalam hatiku.

“Err… macam mana uncle?” soal Mukhlis tidak sabar.
Doktor Norman menepuk bahunya lembut lalu menapak mendekat pada katil Aryana yang sedang tersenyum mesra diagah oleh Nayli.

“Anahara… Mukhlis… dengar sini uncle nak cakap ni, ya?” ucap Doktor Norman pada kami berdua. Yang lain hanya diam memerhati. Hanya suara Aryana yang menahan gelak tawanya apabila digeletek oleh Nayli.

“Jujur uncle cakap, masa mula-mula Mukhlis hantar Aryana ke sini, dia memang demam panas. Tapi, dari cara dia tu, uncle dah dapat agak, dia rindukan kamu, Mukhlis. Dah berapa hari kamu tak jenguk dia. Biasa tiap-tiap hari kamu jenguk dia, kan? Ponteng kerja je, abah kamu cakap,” tanya Doktor Norman sinis.

“Err… Mukh… Mukhlis… tak sempat nak jenguk, uncle,” jawab Mukhlis berbohong sedangkan akulah yang menghalang dia sebenarnya.

“Dari dulu sampai sekarang kamu jenguk dia kenapa tiba-tiba sibuk. Budak tu dah biasa dengan kamu, kamu tak boleh nak tinggal dia macam tu je. Perasaan budak-budak ni kuat Mukhlis. Dan kamu, Anahara. Aryana tak ada apa-apa. Dia demam biasa je. Demam rindu pada papa dia,” seloroh Doktor Norman bersama tawa kecil.

“Okey, baby. Atuk keluar dulu. Cepat membesar dengan sihat, bawa kasih sayang pada mama dan papa, ya.” Doktor Norman mencuit pipi Aryana dan setelah bersalaman dengan along, Tan Sri dan Mukhlis sendiri dia berlalu keluar.

Terhenyak perasaanku sendiri dengan kata-kata Doktor Norman. Aryana akan membawa kembali kasih sayang kami bersatu namun, bila mengingatkan doa dan kata-kata Mukhlis sepertiga malam tadi, aku yakin yang dia benar-benar akan berlalu dariku.

Aku jumpa kematangan dalam diri Mukhlis kali ini biarpun aku tahu, hati ini bakal menangis dan andai dia pergi, pasti akan ada yang terbaik buat aku dan Aryana nanti. Aku yakin dan janji Allah itu pasti!

Setelah segalanya selesai, dan Mukhlis sendiri telah menguruskan urusan membawa keluar Aryana daripada hospital, akulah yang paling lega. Tapi, lega itu tidak lama bila wajah Zafran sugul di ruang menunggu.

Aku pandang Mukhlis seketika dan bila dia tersenyum dan mengedipkan matanya sekali, aku rapat pada Zafran.

“Zafran,” seruku lembut.

Dia panggung kepala lantas bangkit. “Aryana macam mana?” tanya dia.

Aku senyum. “Alhamdulillah… dia demam biasa je. Hari ni dah boleh balik.”

“Syukur.” Dia meraup wajahnya,

Aku sejurus itu melabuhkan duduk di sisi Zafran selang sebuah kerusi dan dia juga sama. Kembali duduk dengan tubuh yang menghadap ke arahku.

“Maafkan saya buat awak sakit hati,” ucapku lembut.

Dia angguk. “Awak tak salah, Ana. Saya yang beremosi. Saya memang cintakan awak Anahara. Cintakan seorang penulis yang mampu membuai perasaan tapi cinta saya bukan kerana itu. Cinta saya kerana saya yakin anugerah yang telah Allah turunkan buat saya. Tapi, setelah apa yang mata saya nampak, hati saya menilai dan akal saya mentafsir, cinta saya bukan untuk awak,” ujar dia membuatkan aku mengerutkan wajah.

“Maksud awak?” Aku mula pelik.

“Saya yakin yang cinta awak tetap pada dia, kan? Tak pernah berubah?” soal dia.

Aku menggeleng. “Saya akan cuba buang jauh-jauh.”

“Jangan yakin, Ana. Awak tak mampu sejak dua tahun sudah dan macam mana awak yakin yang awak mampu untuk dua tahun akan datang?” tanya dia sedikit sinis.
Aku terngadah. Bibir ini aku ketap kuat. Menahan perasaan. Mata ini sesekali melilau ke arah Mukhlis di kaunter pembayaran.

“Jangan salah faham saya, Ana. Saya tahu awak tak suka dimiliki semata-mata dan saya juga. Saya tak suka memiliki seseorang yang tak cintai saya. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Saya datang hanya bertanya khabar. Cukuplah saya memburu kerana buruan itu ternyata bukan rezeki saya barangkali. Cuma, saya tetap terus berharap yang awaklah yang akan menjadi yang terakhir untuk saya, Anahara,” gumam dia lirih.

Anak mata itu basah sedikit. Aku tidak mampu memandang dia lantas aku bawa anak mataku lari ke arah lain dan ternyata, susuk tubuh Mukhlis sudah menghilang dari situ. Barangkali kembali ke bilik Aryana.

“Saya lepaskan awak dengan cara awak, Ana. Kembalilah andai awak benar untuk saya dan pergilah andai awak bukan untuk saya. Saya hadir untuk awak bukan untuk melihat awak terseksa kerana saya. Kisah hidup awak dan cinta lama awak, mengajar saya erti sebuah cinta,” ucap dia tenang.

“Maafkan saya, Zafran,” ucapku lagi.

Sudah tidak tahu apakah yang harus aku katakan lagi. Hanya ucapan maaf saja yang meniti di bibir setelah aku temui keputusanku sendiri. Biarlah aku begini, bersama puteri permata hati, merawat rindu atau juga mungkin ingatan pada dia yang akan pergi. Cukuplah tiada pengganti kerana Allah ada bersama kami. Bisik hati ini sendiri setelah Zafran sendiri berkata demikian.

“Maafkan saya sekali lagi, Zafran. Saya minta diri dulu,” ucapku buat ke sekian kali. Baru saja hendak bangkit, Zafran menahan.

“Saya ada hal nak beritahu awak, Ana,” ujar dia membuatkan aku duduk kembali.

“Sebenarnya... saya.. saya…” Zafran gagap dan aku sabar menanti.

Kala dia kembali temui keberanian untuk bersuara dan lidah itu semakin lancar bertutur, aku gamam. Airmata ini menitis dan terus menitis tanpa sedikit esakan pun. Detak hati ini kembali berirama dan aku pantas berdiri.

“Maafkan saya, Ana,” ucap dia di akhir kata dan aku terus saja berlari menuju ke bilik Aryana.

Tangan Puan Sri aku paut cemas. “Mukhlis mana, Puan Sri?” tanyaku kalut.

“Errr… bukan abang dengan kakak ke tadi? Dia tak masuk lagi sini,” jawab Nayli pantas.

“Tadi, dia kata nak bayar bil hospital, lepas tu dia kata nak balik pejabat dengan Ana. Bukan ke?” tanya Along pula.
Aku menggeleng.

“Ni mesti balik pejabatlah ni,” tokok Tan Sri pula.

Aku pandang Puan Sri dan Nayli silih berganti. “Ana nak jumpa Mukhlis kejap. Ana tinggalkan Aryana dulu, ya.” Kejap saja peganganku pada tangan Puan Sri.
Setelah mereka mengangguk dengan wajah pelik, aku terus berlari keluar menuju ke pejabat Mukhlis dengan menaiki teksi kerana keretaku masih berada di tempat letak kereta Subang Parade tanpa aku hiraukannya lagi.

***

AKU berlari-lari anak memasuki bangunan pejabat dia. Setelah aku temui hakikat di dalam setiap persoalanku selama ini, kenyataan di sebalik kepalsuan kata-kata semua, aku mahu temui dia.

Biarpun ada airmata yang mengalir, aku mampu tersenyum. Bila aku tiba di reception, ternyata dia tersenyum menyambutku biarpun rasanya dia tidak pernah kenal akan diri ini.

“Err… bos ada?” tanyaku pada wanita bernama Nurul ini.

Dia angguk. “Bos dalam bilik. Puan nak jumpa dia? Kejap, ya?” ucap Nurul seperti mengalu-alukan kedatanganku.

Bibir itu tersenyum dan dia sopan menunjuk ke arah daun pintu berwarna hitam berkilat itu padaku.

“Tu bilik bos. Puan boleh masuk ke sana,” ujar dia dan aku berlalu setelah mengucapkan terima kasih.

Sungguh bagai dikata. Berdebarnya hati ini kala ini. Bagai hendak pecah dadaku tapi aku kuatkan semangat demi dia dan masa depan kami.
Baru saja aku tolak daun pintu itu sedikit dengan harapan dengan mengejutkan dia, telingaku tersapa oleh suara wanita yang cukup aku kenal.

Aku tolak lagi daun pintu itu dan sungguh, ternyata wajah itu aku kenal. Tangan wanita itu memaut erat lengan lelaki itu membuatkan aku terkaku sendiri. Tidak percaya dengan apa yang aku lihat kala ini setelah aku meyakinkan diri untuk dia.

“Sayang….” Suara Mukhlis cemas. Dia langsung menyentap pautan Jeslina kasar dan mendekat padaku.

“Abang boleh terangkan,” sambung dia. Jeslina hanya diam melihat ke arah kami.

“Awak memang…” Kata-kata tersekat dengan nafas yang kian sesak.

“Tak sayang. Jangan salah faham. Abang dengan Jes…”

“Mukhlis!!”

Belum sempat Mukhlis berkata lanjut, Jeslina mematikan suara itu dengan suaranya yang agak keras dan aku hanya menahan rasa yang kian menggigit hati dan rasanya, cukuplah sampai di sini andai benar dia begini.

Akan ku bunuh sesungguh-sungguhnya keyakinanku sesaat tadi. Sungguh, sesaat datang dan sesaat juga dia pergi meninggalkan aku sendiri melestarikan erti rindu kala hati ini teringat.


... bersambung

30 comments:

  1. hebat...sy admire ayat2 cik penulis...

    ReplyDelete
  2. saya pilih kim 23 sebagai yang tbaik. mukhlis yang sedar bahawa apabila kita mencintai seseorang cukuplah andai orang dicintai itu bahagia dan bukan dengan memilikinya. zafran yang menyedari bahawa kita menyayangi seseorang cukuplah orang yang disayangi bahagia dengan pasangan yang dipilihnya. cinta itu manis bila kita mencintai seseorang dan akan bertambah kemanisannya andai cinta itu melibatkan dua hati. sama-sama memberi dan menerima. anahara, bila hati keliru serahkan padaNya kerana Dia lebih tahu. dan aryana pulak semoga bahagia tak kira lah siapa pilihan mama nati. hehehe

    kepada penulis: gud job dan saya suke ngan cite nie. semoga TK akan bjaya di pasaran. thanks 4 nice story.

    ReplyDelete
  3. karya RM memang mantop. ermm, ni ada sambungan kan? apa jadi pada ann ngn mukhlis??? argghh, tak sabarnya :D

    ReplyDelete
  4. Apapun citer cik rehan terbaik..bila baca,ada sayu,ada debar,ada sakit hati,smua rasa bercampur satu sehingga satu tahap saya rasa teramat geram tp tak tahu nak geram kat siapa,samada anahara yg masih tak nak mengaku perasaan masih wujud ada mukhlis atau geram pada mukhlis yg mengaku masih ingin memiliki anahara...adus i betul2 emo ni...

    EL

    ReplyDelete
  5. rafika dewi jahrulMarch 27, 2012 at 5:57 PM

    salam RM...
    sampai ke hati...tp nape lak timbul jeslina ny eeeee geramm nyerr rasa nk ketuk jew kacau tul...terbaik la cik penulis...bestttt (pape yg d noktah pasti ada bahagia nyer walau pahit pasti ada manis nyerr)...terbaikk.... :))

    ReplyDelete
  6. aaaa....napa jd mcm ni stela ann cuba mdptkn mukhlis kembali..huhu

    ReplyDelete
  7. lorrrr.. ni xepisod last lg la ni???

    ReplyDelete
  8. sedih cter ni..hehehe..
    tp mmg btl pn klu x mampu nk menangung rindu mengadulah pd yg memberi perasaan rindu..
    antara ingat dan rindu..klu blh dua2 pn x nak pilih...
    klu dh cinta..susah nk buang rindu,teringt,cemburu,sakit hati...
    teremo lebih pulak...
    -miss A-

    hati perempuan semuanya sensitif bila cinta ada dihati..
    lelaki x terasa apa...tp pmpuan yg lebih2 emo...
    2 lah pmpuan2 suka btl pk yg negetif2..
    hahahahha...
    pe yg aku mgarut ni kat blog cik penulis ni...
    pe2 pn best la cter ni...cm realiti kehidupan

    ReplyDelete
  9. aduhhh, suspen lagi,, dada nie x tau nak cakap dah... alahai rehan,,,,

    ReplyDelete
  10. Sy pon ter emo bce entry ni keke
    Emm Antara rindu n teringat..

    ReplyDelete
  11. bca n3 yg latest...

    >>nick here<<

    ReplyDelete
    Replies
    1. mukhlis tetap menjadi pilihan, bawaklah dia pergi mana pun, lari sampai mana pun, asalkan ann dgn mukhlis, sedih bab ni, dan saya sangat marah dengan jes yg sengal tu, haih, tak habis habis menyusahkan orang, thanks kak rehan :)

      Delete
  12. ala.....gaduh lagi ke???sian Aryana

    ReplyDelete
  13. Sedehnya . Bestnya Zafran dah lepaskan Ann . Hihi . Jeslina tu sebok je la . Buat apa lagi la ngan Mukhlis tu . Haish .

    ReplyDelete
  14. Ishhh si jes ni pengacau sungguh.....ann dengar la penjelasan mukhlis dulu....huhuhuhu.....

    ReplyDelete
  15. bangang punya jeslina..dah boleh blah dah we perempuan tu...wat menyemak jeee...

    ReplyDelete
  16. hurmmm...bila nak abis ni cik REHAN ???

    ReplyDelete
  17. Sedihnye sis!!!!!!!
    Jes ni potong line betol lh....

    ReplyDelete
  18. arya yg jd penyambg kasih mama n papa dia....jgn pisahkan mukhlis n ana...

    ReplyDelete
  19. Ada lagi ke riwayat si Jes tu...sibuk betul la..An baru nak terima Mukhlis...potong tang corner betul la si Jes ni...gerrrrammmnyaaaa....apa2 pun cik penulis...saya dah jatuh cinta dengan semua karya cik penulis...saya suka bahasa dan gaya penulisan cik penulis...tahniah..

    ReplyDelete
  20. jika benar hati mukhlis hanya untuk Ann
    kenapa dia masih lagi bersama Jeslina
    dan tidak menolak pabila Jeslina memeluknya
    ...
    dan apakah Mukhlis hanya bersandiwara saja?
    kerana dia ada anak bersama Ann
    Zafran jadi saingan pula..

    kalau benar masih ada cinta lagi
    mestilah dia buktikan bersungguh2
    untuk Ann, utk Aryana...

    tapi frankly speaking, I hate people lika
    Mukhlis;

    ReplyDelete
  21. betullah kak..JK lah along bca KIM 22 n 23...yg KIM23 ni lh yg paling emosi along baca...huhuhu..muncul blk jeslina tu...

    terbaekkkk

    ReplyDelete
  22. sedih lh juga n3 kali ni..ms mukhlis berdoa tu........ harap2 muklis dpt rujuk lh semula dgn annahara.tp sikap annahara terserlah di akhir babak.suka membuat andaian tanpa meminta penjelasan...

    ReplyDelete
  23. makin knflikk! sesak dada bace.. emo2 jgak. sian mukhlis tak dpt buktikan cinta die kt ana..sedihh..writer nnt wt kan drng same2 ek nnt..bior happi ebnding. hati kite pn happy..hehhe

    ReplyDelete
  24. belit la cite ni.tension baca.rasa mcm sengaja dip utar belitkan ikut feeling writer.bile la nak abes.

    ReplyDelete
  25. huhu mmg agak emo larh bce entry kli ni ...
    best ..
    cpt smbg ea ..

    ReplyDelete
  26. Ann mmg cintakan Mukhlis lagi...tp setiap kali dia tetapkan hati utk mukhlis, ada saja halangannya esp si Jes yg juga cintakan mukhlis dan juga pernah miliki Mukhlis secara sah.Zafran seorg cool dan matang kerana sudi lepaskan Ann utk lihat Ann bahagia...Sy masih suka Ann dan Zafran....

    ReplyDelete
  27. buat mini novel dlm ni.....nk terbitkan pun bleh....versi novel buat lain ckit....sy akn jd org prtama srbu kdai buku...hahahha

    ReplyDelete
  28. akk xder rs selain semput... =='

    ReplyDelete