Wednesday, March 28, 2012

Ku Ingin Milikimu [24]

BAB 24

RAYUAN Mukhlis aku pandang sepi. Berkali-kali dia merayu dan memujuk, berkali-kali juga aku tolak rayuan dan pujukannya padaku. Segalanya telah terbukti di depan mata. Andai dulu, aku tolak dia kepada Jeslina, tapi hari ni andai dia mahukan Jeslina, biarlah begitu.

Penat sudah hendak mempertahankan cinta yang telah lama bukan milik aku. Lelah sudah hendak mengembalikan hubungan yang sudah lama pergi. Malam ini, aku bersendiri lagi setelah Aryana terlena pulas. Nampak agak ceria bersama papanya sehari dua ini kerana dia tidak pernah mengerti akan kisah hati papa dan mamanya.

Aku kembali menatap skrin komputer, membuka Microsoft Words itu. Manuskrip ini akan diterbitkan tidak lama lagi dan aku akan memberikan pengakhiran yang terbaik di dalam kisah hidup kedua watak utama ini kerana takdir hidupku sendiri amat pedih untuk aku telan, amat payah hendak ku hadap.

Baru saja aku buka laman sosial itu, tanda merah itu ada. Ada debar dalam dada kerana aku yakin, itu adalah dia. Bila aku klik
pada warna merah itu, ternyata dia. Memberi pesanan kepadaku setelah aku tidak menjawab panggilannya biarpun untuk sekali. SMS juga aku biarkan sepi.


Sayang abang dah pandai cemburu rupanya. Dulu bila abang tanya, Ann tak cemburu sebab Ann percayakan abang. Tapi hari ni, mata Ann silap menilai. Kenapa Ann lari tanpa tunggu abang jelaskan? Kenapa nak terus menilai tentang abang? Sayang cemburu sebab nak bermanja dengan abang, kan? Seperti mana Ann pernah cakap, bila Ann cemburu, Ann saja nak dipujuk tapi kenapa bila abang memujuk Ann tak sudi nak dengar jauh sekali nak terima? Betul ke Ann nak abang pergi?


Aku baca pesanan itu berkali-kali. Benar katanya, andai dulu aku bukan begitu tapi rasanya aku telah berubah. Jika dulu, tenang menghadapi segalanya tapi hari ni, pantang tercuit, aku mula berkecil hati.

Adakah kenangan dan pengalaman lalu menjadikan aku begini? Merajuk dengan dai yang bukan sepatutnya? Cemburu pada dia yang bukan tercipta untukku lantas aku dekatkan jemariku dengan papan kekunci.


Ann cemburu pada yang tak sudi, Ann merajuk juga pada yang salah. Jadi, Ann tekankan sekali lagi pergilah, jangan toleh lagi kerana jodoh itu milik Allah dan Dia hanya pinjamkan untuk kita. Benar, Ann berharap awak menjadi yang terakhir untuk Ann tapi sayang, bila kudrat itu tidak di tangan Ann. Berlalulah dari hidup dan hati ini, Mukhlis. Bawalah kisah hati kita jauh-jauh. Benamkan sedalam mungkin agar awak juga melupakan Ann satu hari nanti biarpun awak berkata tidak. Cinta di hati memang untuk awak tapi bila takdir juga berkata tidak, pergilah sayang pergi…biarkan aku sendiri di sini selamanya setia menjaga sisa cinta kita, selama hidup di dalam kisah hati dan aku patrikannya melalui mata pena agar setiap kali, namaku meniti di bibirmu kala kau menatap helaian naskah itu.


Lama setelah itu, aku menerima balasan daripada dia.


Andai ini yang telah Ann pilih, abang ikhlas katakan. Abang doakan Ann bahagia. Esok, abang ada hadiah terakhir untuk Ann. Sebagai tanda ingatan abang pada seorang penulis yang pernah abang kejar dan buru satu waktu dulu dan bila penulis itu membalas cinta abang, abang persiakan. Meninggalkan bekas luka yang abang harap, akan hilang bersama masa. Assalamualaikum, sayang abang Anahara. Dari abang, Mohd Mukhlis bin Mahzan.


Dan aku… terus menyembamkan wajah ke meja, mengalirkan airmata lagi setelah rayuan dan kemaafan Mukhlis aku tolak ke tepi.

***

ESOKNYA, aku terkejut menerima kunjungan keluarga Mukhlis dan sudah pastinya tanpa dia.

“Err… masuklah Puan Sri, Tan Sri. Jempu masuk Nayli,” pelawaku sopan.

Aryana menghulurkan tangan pada Nayli dan terus saja dipeluk erat lalu Nayli membawa Aryana bermain di laman.

“Kat sini jelah, Ana. Boleh tengok Aryana main. Dah sihat betul dia sehari dia ni, kana bang?” Puan Sri bersuara lalu dia duduk di atas kerusi kayu di tengah laman. Tan Sri juga sama.

“Err… kalau macam tu, saya masuk ke dalam dulu, ya?” pintaku lembut bertujuan hendak menyediakan sedikit hidangan untuk tetamu kali ini.

Pertama kali menerima kunjungan mereka membuatkan aku rasa agak janggal saja. Namun, hendak melayan mereka ala kadar saja, adalah sesuatu yang mustahil.

“Eh, toksahlah Ana. Mama dengan abah datang nak jenguk Ana dengan cucu kami tu,” larang Puan Sri.

Aku diam saja tapi bila Puan Sri menarik aku duduk, tidak dapat tidak, aku labuhkan duduk di sisinya. Telapak tangannya menyapa belakang tanganku lantas diusapnya lembut.

“Ana sihat?” tanya Tan Sri.

“Err.. sihat Tan Sri,” jawabku agak kekok.

Dia mengeluh. “Sejak kita jumpa semula ni, Ana tak lepas panggil abah Tan Sri. Apa, tak layak ke abah dengan mama nak terima panggilan mesra dari Ana?” soal dia membuatkan hati ini terdetik dengan rasa hiba.

“Tak layak ke kami nak menjadi ibu bapa, Ana?” soal Puan Sri pula menokok.

Aku diam. Layak atau tidak, perkara ini sudah lama berlalu. Apatah lagi dengan keadaan kini, di mana aku langsung tiada kaitan lagi dengan anaknya. Hanya Aryana yang menghubungkan kami.

“Saya tak kata, Puan Sri dengan Tan Sri tak layak tapi saya yang tak layak dah sekarang ni. Saya dah tak ada hak untuk itu,” jawabku sopan.

Berubah wajah keduanya. Tapi, benar hakikatnya begitu. Andai dulu, mungkin aku berbangga andai mereka mahukan begini. Pastilah menitis airmataku tapi hari ini, segalanya bukan milikku. Hanya Aryana semata-mata yang ada. Satu-satunya kenangan indah daripada Mukhlis untukku yang akan kekal selamanya selagi Allah izinkan dia bersamaku.

“Sampai hati Ana cakap macam ni, kan?” tanya Puan Sri lirih.

Aku menggeleng. “Maafkan saya, Puan Sri. Tapi ini hakikat. Saya tak nak Puan Sri sekeluarga rasa tak selesa bila datang ke teratak buruk saya ni. Saya tak pernah halang. Hak Puan Sri dan Tan Sri sekeluarga untuk melawat Aryana dan kali ini, kalau kata nak bawa Aryana balik pun, saya izinkan. Cukuplah saya halang Mukhlis dulu sampaikan dia senyap-senyap datang jumpa Aryana,” luahku lebih lembut dari tadi.

Tangan Puan Sri melilit bahuku. “Ana… mama minta maaf daripada Ana. Tentang segalanya. Dari awal kita bertemu hingga saat ini. Mama tak baik pada anak menantu mama tapi mama harap, Ana boleh kembali pada Mukhlis sebab mama nak dengar Ana panggil kami mama dan abah. Kami nak rasa riuhnya rumah kami tu dengan suara Aryana dan bakal cucu-cucu kami yang lain. Anak Ana dan Mukhlis,” gumam dia bersendu.

Terkaku jasadku kala ini. Aku juga mahukan begitu. Punyai bukan hanya Aryana dengan Mukhlis tapi sungguh, aku tak mampu menolak takdir bila Mukhlis bagaikan ingin kembali bersama Jeslina.

“Tapi… jodoh Ana dan Mukhlis…” Aku menggeleng.

“Dia akan bersama Jeslina, kan? Dia dah pilih untuk kali kedua sama macam dulu, masa Nayli jatuh tangga. Dia pilih Jeslina dan bukan Ana,” sambungku menahan sebak yang menggigit pangkal rasa.

“Memang lepas Ana tahu hakikat daripada Zafran tentang Mukhlis, Ana letak kembali harapan pada dia. Ana baru tahu dia yang bayarkan segalanya untuk Ana. Kereta, yuran Aryana, rumah Ana ni. Malah setiap langkah Ana dia ikut sebab risau Ana diapa-apakan. Ana boleh terima semua tu, tapi bila Ana tahu yang dia bercerita tentang segala yang Ana suka dan yang Ana tak suka pada Zafran, bila dia cuba nak satukan Ana dengan Zafran, bila dia memang dah jumpa Zafran awal-awal lagi, Ana rasa sedih sangat. Ana rasa dia nak tolak Ana pada lelaki lain. Ana rasa dia tak sudi bersama Ana lagi. Apatah lagi bila Ana nampak dia dengan Jeslina beberapa hari sudah, Ana rasa…” Bicaraku terhenti. Ada tangis yang menghalang.

Pertama kali aku ungkapkan hakikat akan apa yang telah Zafran akui padaku di hospital tempoh hari. Sungguh aku tidak sangka. Segala yang Zafran tahu tentangku, adalah daripada mulutnya.

“Sebab tu kami ke sini, Ana. Kami nak betulkan tanggapan buruk Ana pada Mukhlis,” ucap Tan Sri pula.

Usai saja dia berkata demikian, kami disapa oleh salam. Aku berpaling dan seperti terkena renjatan, tubuhku terangkat dengan sendirinya.

“Anahara…,” seru dia padaku.

Dia mendekat dan terus mendekat lalu menghulurkan tangannya hendak bersalaman denganku.

“Err… you buat apa kat sini, Jes?” tanyaku gagap.

“I kat sini sebab nak betulkan salah faham you pada I dan Mukhlis,” jawab dia.

Aku rendahkan pandangan dan memandang Puan Sri dan Tan Sri serta Nayli yang baru saja mendekat mendukung Aryana.

“Apa maksud you?” Aku mula tidak sabar.

“Apa yang you lihat hari tu langsung tak sama dengan apa yang you fikir, Ana. I ke sana sebab nak minta maaf pada Mukhlis. Dah dua tahun I minta maaf dengan dia lepas kami berpisah tapi dia tetap macam tu. Dia tetap katakan, dia tak boleh nak maafkan I sebab I yang paksa dia nikah dengan I dulu dan lukakan hati you. I nak further belajar dekat luar Negara tak lama lagi. Itu yang I merayu sangat pada dia. Pasal kes Nayli dulu tu pun I salah pada you, Ana,” ujar Jeslina.

Dia paut jemariku dan digenggamnya erat. Aku nampak kesayuan dalam mata galak itu. Aku nampak kesedihan yang bermukim di dadanya.

“Masa tu I memang cemburu dekat you tapi itulah, jodoh I dengan Mukhlis pun tak panjang. Kalau you nak tahu kenapa I dengan Nayli tempoh hari, you sedia tah, kan? Kami ni sepupu. Rapat juga. Bergaduh macam mana pun kami tetap keluarga. Mak Ngah dah maafkan I, Nayli juga. Tinggal Mukhlis je keras hati. Tapi, I tak mampu buat apa dah. Sehari dua lagi I nak berangkat dah. Sebab tu I datang nak minta maaf dengan you sebab dah banyak sakitkan hati you, Ana. Mungkin tak mudah you maafkan, tapi I juga sudi meminta sampai bila-bila, Ana,” ucap Jeslina panjang lebar.

Jatuh lagi airmataku ke pipi. Tersalah faham akhirnya aku dengan perasaan sendiri. Terkeliru lagi hati ini.

“I salah lagi ke, Jes?” tanyaku sedih.

Jeslina menggeleng. “You tak salah, Ana. Kami yang bersalah pada you tapi peluang dah datang, kan? You maafkan Mukhlis. Selama ni I yang silap paksa dia nikah dengan I sedangkan dalam hati dia hanya ada you je. Maafkan I, Ana. I nak pergi belajar dengan hati yang tenang. Kalau kata Mukhlis tak nak maafkan I, I harap you sudi,” rayu dia lagi.

Lama aku pandang mata Jeslina yang nampak berair dan berkaca-kaca hingga akhirnya aku angguk lalu dia memeluk tubuhku erat lantas tangisannya galak menyapa gegendang telingaku.

“Terima kasih, Ana. Memang you istimewa seperti mana yang I dengar cerita tentang you dari semua peminat you. I doakan you berjaya capai impian you menjadi penulis yang disegani nanti,” sambung dia.

Aku angguk saja dan mengusap rambut panjang Jeslina lembut. Namun, hati ini menangis hiba lantas airmata terbit laju dari birai mata kala teringatkan pesan terakhirku pada Mukhlis. Meminta dia pergi kerana ku yakin, kisah hati kami telah berakhir di sini.

“Tapi, I rasa I dah terlambat, Jes,” bisikku pada dia.

Jeslina menolak tubuhku. Bening mata ini ditatap tajam. “Apa maksud you, Ana?”

“I dah suruh Mukhlis jangan ganggu hidup I lagi. Rasanya, dia tak akan datang lagi pada I. dan, I harus redha, kan?”

Kali ini, wanita itu menggeleng. “I tak percaya kesudahan you dengan Mukhlis macam ni, Ana. You all ada jodoh yang kuat. I dapat rasa perasaan cinta dalam diri you dan Mukhlis sejak dari dulu lagi.”

“Cinta ini anugerah Allah, Jes. Bila Allah tarik balik, I hanya relakan. Dan hari ini, bila Allah benar-benar jauhkan I dengan dia, I juga redha, insyaAllah,” ucapku menyedapkan hati sendiri.

“Apa??”

Aku dan Jeslina tersentak dengan suara lantang Tan Sri. Kami berpaling dan wajah Tan Sri pucat lesi. Dia tunjukkan telefon bimbitnya pada kami dan bibir itu bergetar hebat.

“Kenapa, abang?” tanya Puan Sri pada suaminya yang nampak kaku.

“Along… along telefon katanya Mukhlis nak pergi luar Negara. Buat apa? Abang tak suruh dia pergi pun,” ucap Tan Sri lebih pada dirinya sendiri.

“Along suruh dia pergi kerja kot?” tebak Puan Sri. Aku dan Jeslina serta Nayli diam berpandangan sesama sendiri.

Tan Sri menggeleng. “Dia dah hantar surat letak jawatan dekat Along,” jawab Tan Sri.

Terbuntang biji mataku kali ini. Tidak tahu apakah yang harus aku katakan lagi sampailah kami dikejutkan dengan hon yang kuat. Bila aku berpaling, Mazda merah milik Zafran dan Zafran sendiri melambai ke arahku.

“Ana… cepat Ana,” laung dia.

Aku yang masih kaku tidak mampu berganjak biarpun seinci. Bila tubuhku didorong oleh Jeslina, barulah aku menapak secara terpaksa.

“Kenapa?” soal Jeslina pada Zafran.

“Mukhlis… dia nak pergi. Cepat Ana. Sempat lagi ni,” laung Zafran.

Aku yang tidak mampu bergerak hanya diam mendengarnya. Tiada apa lagi yang harus aku lakukan. Aku yang meminta dia pergi. Aku yang mahu dia menjauh dariku. Aku yang izinkan dia berlalu jauh dari hatiku.

“Ana, pleaselah. You macam tak kenal dia. Dia sangat degillah, Ana. You nak dia, pujuk dia balik. I tahu you cintakan dia. Tolonglah, Ana,” rayu Jeslina sambil menolak tubuhku masuk ke dalam kereta Zafran.

“Ana pergi KLIA cepat. Along kata Mukhlis baru bertolak. Mana nak pergi kami tak tahu. Aryana bagi mama dengan Nayli jaga,” ucap Puan Sri yang entah bila mendekat dengan kereta.

Bila Jeslina menutup pintu kereta, Zafran meluncur pergi membelah lebuhraya menuju ke KLIA bersama harapanku yang semakin tipis dan menipis.

“Mukhlis jumpa saya tadi, Ana. Dia cakap dia nak pergi dan dia minta saya jaga Ana. Tapi, saya rasa saya tak mampu nak hidupkan kembali cinta dalam hati Ana. Sebab tu saya datang sini. Maafkan saya atas apa yang telah Ana tahu. Sungguh saya tak sangka, Mukhlis korbankan segalanya untuk saya demi Ana. Katanya, dia tahu erti cinta dan Analah gurunya. Hanya Ana dan akan kekal Ana. Dia nak bersendiri selamanya mengutip sisa cinta Ana dan dia. Maafkan saya, Ana sebab tipu Ana selama ni,” beritahu Zafran kala aku diam tanpa riak.

Minda ini kosong. Jiwa ini juga sama. Hanya hati ini yang merintih sedih. Terbawa-bawa oleh marah dan cemburu hingga akhirnya menghalau cinta kami. Pertama kali berasa cemburu, begini sudahnya. Pertama kali melayan rajuk, inilah akhirnya.

Perjalanan sepi bila aku diam tidak memberi reaksi hingga akhirnya Zafran memakirkan kenderaannya dengan baik lalu dia menarik aku yang kini bagaikan patung bernyawa. Punya nyawa namun tiada berjiwa.

“Tolonglah, Anahara. Jangan macam ni. Sempat lagi ni,” pujuk Zafran bila aku bagaikan berat hendak melangkah tapi aku paksa juga kaki ini masuk ke dalam KLIA.

Zafran melepaskan lenganku lalu dia berlari menuju ke kaunter. Lama aku perhatikan dia bercakap dengan petugas di kaunter hingga akhirnya dia kembali padaku dengan wajah murung dan menggeleng berkali-kali.

“Ana… flight Mukhlis dia… dia…. Maafkan saya Ana,” ucap Zafran dan tahulah aku yang penerbangan Mukhlis telah berlepas.

Aku pandang Zafran tanpa perasaan. Bila aku cuba hendak berpaling, Zafran melelar pergelangan tanganku. Dia menyeluk poket jeansnya dan mengeluarkan sesuatu lantas dihulurkan buatku.

“Ini pesanan Mukhlis untuk awak, Ana,” katanya.

Aku sambut dengan jari yang terketar-ketar. Bila aku koyakkan bungkusan kecil itu perlahan-lahan, mata ini akhirnya tertancap pada sebatang pen yang cantik berwarna keemasan.

Aku pegang pen tersebut. Indah terukir namaku pada tubuh pen tersebut. Sekeping nota yang terselit aku baca tanpa riak.


Khas buat penulis kesayangan saya. Satu hari nanti, nama awak akan meniti di bibir semua rakyat Malaysia, mendoakan awak menjadi penulis yang luar biasa. Salam sayang … MMM… (Mohd Mukhlis Mahzan)


Airmata ini menitis laju. Aku genggam pen itu erat. Inilah yang dia minta aku nantikan menjadi hadiah buat penulis bernama Ann Rahana daripada seorang peminat bernama Mohd Mukhlis. Tapi, meninggalkan kesan yang mendalam di dalam diri Anahara.

Kaki ini melangkah dengan sendirinya tanpa menanti Zafran yang kelu juga. Mengalirlah airmata. Mengalirlah semahumu kerana aku yakin, esok pasti bersinar lagi biarpun tanpa dia di sisi.

Sekali hati ini menyatakan kasih, maka selamanya sayang itu akan ada untukmu. Namun bila ucapan benci dan marah itu dilafazkan bukan bermakna kau harus pergi dari hidup ini. Aku manusia biasa yang sentiasa silap dalam melakukan sesuatu.

Adakalanya aku gembira apabila kau melengkapi ruang dalam hidupku. Aku ketawa dengan setiap gurauanmu tetapi bila kau melukakan hati ini langsung aku tidak boleh menerimanya namun tidaklah aku tegar untuk mendendami kamu.

Maafkan diri ini. Bukan maksudku untuk biarkan kau pergi dari sisiku, dari hidupku. Setiap masa kau harus bersamaku sehingga telah termaktub bahawa jodoh dan perhubungan kita setakat ini sahaja. Sehingga itu ketahuilah namamu sentiasa ada di hati dan fikiranku setiap masa. Aku amat mencintai dan menyayangi kamu dan akan kekal begitu selamanya.

Hati ini berbisik pedih. Biarlah kisah hati kami berakhir di sini dan kekallah dalam sanubari kerana aku akan kuat dengan kenangan dia.

Wajah Zafran yang sedih aku kerling sekilas. Dia telah berusaha tapi sungguh, jodoh aku dan Mukhlis memang bukan untuk kami dan aku paksa diriku redha menerima. Di sini, hari ini, kami terpisah lagi kerana takdir berkata tidak pada jodoh kami.

~~~> bersambung

Cik Penulis : KIM akan tamat pada Bab 25.. 

25 comments:

  1. uhhhh...hentakan terasa..mantap!

    ReplyDelete
  2. menusuk kalbu!!

    ReplyDelete
  3. Sedehnya entry ni . Ape la ana ni . Mukhlis dah merayu bersungguh taknak terima pulak . Nak Mukhlis ngan Ana . Huhu

    ReplyDelete
  4. Sedihnya...Ann betul2 keras hati..kesian Mukhlis..Ann tak kesian kat Aryana ke???..apa2 pun cik penulis saya harap happy ending ye..tak mau nangis2..nak Ann dengan Mukhlis gak....

    ReplyDelete
  5. Alahai RM, rasa macam ada dalam setiap scene. Benar-benar menyerap. Buat telefilem best ni. RM buatlah screen play and scripnya... :-)

    ReplyDelete
  6. satukan ana dngn mukhlis...huhuhuhu

    ReplyDelete
  7. ana dan mukhlis.... mintak2 tak jd naik flight..

    ReplyDelete
  8. cepatlah habiskan... ya ampun!!!! tak sabar nak baca ending..

    ReplyDelete
  9. sangat touching...tiap kali ann nangis, sy nangis,,,tiap kali mukhlis nangis, sy juga ikut nangis....

    tulisan RM mmg sampai ke hati, menusuk ke jiwa.....

    moga jodoh mereka masih ada...

    ReplyDelete
  10. huhuhuhuhu...
    As always... keep up..

    ReplyDelete
  11. aduh srpn pg ni mkn hati.. tu la sblm ni ego sgt anahara, hrp2 mukhlis sembunyi kat mana2 then kuar blik buat surprise kat anahara hahahaha.

    ReplyDelete
  12. sedihnyer.... tak mau lah gini emdingnyer.. hope ann bersama ngan mukhlis akhirnyer.....

    ReplyDelete
  13. adoi menyayati hati,...
    terbaik lah..
    btl ke mukhlis dh pergi???...
    ke akan bersambg utk beberapa tahun kmudian,,,
    bru jumpa smula...
    wah memandai je...cik penulis je tau pe ending nye,,,
    good job..
    -miss A-

    ReplyDelete
  14. sedihnya huhhuhuh....
    harap mukhlis n anahara akan bersama semula...

    ReplyDelete
  15. Hmmm alahai.... karya Kak Rehan memang menusuk kalbu, as always. Cepat2 ya akak post next entry, kalau boleh sekalikan aje part 24 & 25 tu...tak sabar ni. Harap2 Mukhlis tak naik flight lagi...

    ReplyDelete
  16. nape bab 25 x da??? adoiii nk tau akhirnya mcm mana....plzzz RM

    ReplyDelete
  17. apa pn yg terjadi, along terima..smua terletak kt tgn kek rehan sbg penulis

    ReplyDelete
  18. Kalau boleh nak Mukhlis dan Ana kembali bersatu.... Kasihan pada Aryana yang masih kecil .....

    ReplyDelete
  19. sedihnye kak rehan...bab-bab terakhir yang paling sedih....

    ReplyDelete
  20. salam dik..terlalu sedih bila membaca E3 ni..akak harap mamat tu tertinggal plane dia kerana pi rumah ana krn nak tgk anak dia..aryana sebelum dia berlepas pergi..

    ReplyDelete
  21. ar mata mengalir deras membaca rasa cinta ann dan mukhlis ne...

    ReplyDelete
  22. kalau xsmpt kejar jgn isau.tempah tiket la tu jgk trbang cr mukhlis.

    ReplyDelete