Cp.1
Hadirnya
tanpa kusedari
Menggamit
kasih cinta bersemi
Hadir
cinta insan padaku ini
Anugerah
kurniaan Ilahi
Lembut
tutur bicaranya
Menarik
hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya
memikat di hati
Mendamaikan
jiwaku yang resah ini
Cp.
2
GEBAR ditarik menutup seluruh
tubuh. Suara mummy langsung tak bagi
kesan malah tak ubah seakan alunan biola yang mengasyikkan hingga dia kembali
terlena.
“Bangunlah, Andy!” Mummy geleng kepala tak puas hati. Rasa nak disimbah air tapi sisa sabarnya
masih ada. Dah menipis dan sedikit lagi
pasti koyak. “Andy tak bangun nanti,
mummy simbah air!”
“Yalah...” Andyka memisat mata. Pedihnya nak angkat kelopak mata. Semalam dahlah balik lewat. Tiba-tiba bos panggil masuk kerja lewat malam
sebab ada kes runtuhan jalan dekat Jalan Imbi.
Rasa nak menangis bila berpanas dalam bulan Ramadan ni.
Kaki maju ke bilik air tapi terhenti
bila suara rengekan anak bujang menyapa telinga. Terus berpaling dengan senyuman puas hati
tapi wajah anak kelat tak berperisa.
“Payah betul kalau mummy kejut
bangun. Macam mana nak kahwin kalau
kemain liat nak bangkit ni...” Mummy
terus membebel. Yalah, dah 30 tahun tapi
masih membujang, masih melepak dan buang masa dengan kawan-kawan yang
lain. Padahal ada antaranya dah
kahwin.
Andyka sengih. Kepala tak gatal digaru. Sebut pasal kahwin, mata layu menjadi
segar. Bagai dititis eye-mo. “Ala, nanti dah kahwin lagi senang bangkit
sebab yang di sisi kejutkan...” Loyar
buruk!
“Iyalah tu...” Mummy mencebek lebar. Anak lelakinya, ada saja jawapan. Tak pernah tak kalah. “...Patutnya Andy yang kejutkan isteri
bangkit solat segala. Andy bakal jadi
ketua keluarga...”
“Andy tahu... tapi tak jadi lagi. Sekarang ni...” Dia mengesot mendekati mummy. Dipeluk pinggang mummy erat. Itulah rutin setiap pagi bila mummy kejutkan
dengan bebelan. “...Andy anak
mummy. Andy ada mummy je. Mummylah kejutkan dulu. Apa salahnya, kan?” Serentak itu dia mendongak.
Sengih dengan mata yang kembali terasa berat. Macam ada magnet berlainan kutub pada kelopak
matanya.
“Erm...”
Mummy hilang kata-kata bila dibeli dengan ayat manis anak. Kepala Andyka diusap lembut. “Dah, pergi gosok gigi cuci muka. Dah nak habis waktu sahur ni. Rugi tak dapat pahala...,” suruh mummy dan
Andyka hanya angguk.
Terus berlalu ke bilik air. Penat bagaimanapun, dia tak akan lepaskan
waktu bersahur. Untuk tenaga di siang
hari dan untuk keberkatan serta tak nak lepaskan peluang melakukan yang sunat
sebelum azan Subuh berkumandang.
“Ni mummy nak tanya...” Suasana sepi di meja makan dipecahkan dengan
suara mummy. “Andy bila lagi nak
berdua. Makan berdua, puasa berdua, raya
berdua. Ada rezeki insyaALLAH bertiga
pulak?”
Aiseh... soalan mummy buat buat selera
padam. Dia pandang sardin yang tergolek
dalam pinggan. Hidangan dia senang. Telur dadar dan masak sardin dah cukup. Dah cukup berselera.
“Mummy tanya pagi-pagi ni, otak tepulah,
mummy. Tak ada jawapan...” Andyka sengih dan terus suapkan nasi ke
mulut.
“Andyka tu tak nak usaha gamaknya,”
tepis mummy. “Gamaknya sampai tutup mata
pun mummy tak merasa ada menantu. Dahlah
mummy ada Andy sorang je. Hai...” Saja buat-buat mengeluh.
“Alaa....” Ini yang dia lemah ni bila mummy
mengeluh. “Jodoh tak sampai lagi,
mummy...”
“Doalah lagi...”
Andyka senyum senget. Tipis tapi cukup bermakna. Memang dia kurang meminta akan urusan jodoh
kerana padanya jodoh akan datang sendiri.
Lagipun, rezeki dalam bentuk lain banyak yang dianugerahkan. Lagipun, dia dah letih mencari. Ada
yang cantik tapi tak menjentik hati.
Ada yang sopan tapi tak terlastik jiwanya. Dah tu macam mana?!
“Bulan puasa inilah nak doa apa saja,
banyak-banyak. Sebab doa-doa adalah
sangat mustajab. Nak-nak sebelum waktu
berbuka tu. Sebelum berbuka tu, tadah
tangan – mohon pada Allah moga dipercepatkan pertemuan jodoh. Ini, Andy yang tak nak kot. Sebab tu Allah tak bagi. Allah bagi ni selari dengan kesungguhan
hamba-hambaNYA meminta. Kalau tak minta,
tak bersungguh tu...”
Dah, mummy dah mula tazkirah sahur. Andyka lepaskan tawa kecil. Dia suapkan lagi makanan.
“Jodohkan Allah dah tentukan sejak
azali...”
“Tapi, kena usaha. Lepas tu berdoa dan tawakal. Bukan menanti. Kalau Andyka perempuan itu lain cerita. Tapi lelaki.
Ikut sunnah Rasullullah memanglah baginda dipinang oleh Saidatina
Khadijah tapi masyarakat sekarang tak macam tu.
Lelaki mesti pinang perempuan.
Andy kenalah usaha. Atau nak
mummy carikan?”
“Oh, tidak...” Laju Andyka geleng kepala dengan cadangan
mummy. Dia bukan tak tahu taste mummy.
Mesti ustazah sedangkan dia hanya dambakan wanita yang boleh damaikan
resah hati dan batinnya biarpun sekadar wanita biasa. Janji punyai iman dan agama biar mereka
sama-sama usaha dalam mencari jalan ke syurga.
Kerana dia tahu dia tak sehebat mana untuk dapatkan gadis yang
hebat.
“Andy cari sendirilah. Nanti Andy cari dekat bazaar Ramadan. Musim sekarang ramai anak dara dekat
sana...” Dia gelak berdekah-dekah dapat
kenakan mummy.
Muncung mummy keluar dua inci. Ada budak nak kena cubit ni. Mata mummy mencerlung tajam. “Kalau yang kualiti dijamin, tak apalah jumpa
dekat mana-mana pun. Kalau
tidak...” Mummy bangkit. Dah siap makan. “...nauzubillah...”
Bibir Andyka lebar dengan senyuman. Lucu pagi-pagi bersembang urusan jodoh.
Ya, dia akui. Dia dah agak tua
untuk menjadi bujang. Tiga puluh tahun
dikira terlalu tua dalam kaum kerabatnya bila masih membujang kerana rata-rata
sepupu sepapat umur sepertinya dah ada dua.
Cp.
3
SERABUT!
Andy ramas rambut. Dia pandang
wajah kawan di depan. Apa pun tak
boleh. Tahu gelak dan terus gelak. Buat sakit hati je kongsi!
“Dah habis gelak?” soal Andy pada Dan.
Daniel angguk tapi tawanya tersisa. “Macam lawak pun ada kau kena dengan mummy
kau. Tapi kan...” Dan usap janggut. “...betullah mummy kau cakap tu yang kau ni
dah tua untuk membujang...”
“Eleh, kau kata aku nombor satu. Tak sedar diri kau tu tua setahun daripada
aku...” bidas Andyka pada Daniel.
“Ala, tua bulan aje pun. Tahun sama.
Sekolah dulu satu kelas apa...”
Daniel sengih. Memang dia lahir awal tahun dan Andyka hujung
tahun tapi masih dikira sebaya.
“Tapi, sebut pasal jodoh ni aku rasa nak
tamatkan zaman bujang lepas rayalah...”
Andyka luahkan rasa hati. Satu,
letih dengar mummy membebel pasal jodoh.
Dua, penat nak menjawab soalan tentang isteri. Tiga, terluka jiwa bila ditanya bila nak ada
anak sendiri. Haih...
“Aku pun...” sela Daniel.
“Eleh...” Andyka buat muka. “Dia pun nak...”
“Aku pun lelaki. Normal, gagah, perkasa...” Terus tawa mereka pecah serentak. Tapi masalahnya, dekat mana nak dicari jodoh
ini?
Andyka pandang langit. Dia senyum sendiri pada langit yang
terang-benderang. Bagai nampak
samar-samar wajah manis yang sedang menanti pinangannya. Ya, dia hamba yang sentiasa tamak
sebenarnya. Sentiasa inginkan yang
sempurna serba-serbi sedangkan dia tahu, dia kurang dan yang seorang lagilah
bakal merawat kekurangan itu menjadi kelebihan.
Cp.
4
TAK banyak juadah. Tapi, bolehlah untuk menampung pendapatan
harian. Semalam pelanggan tak
ramai. Rezeki ada tapi tak banyak. Hari ini, dia masak sikit je. Risau membazir. Ini pun separuh dah disedekahkan ke
masjid.
“Apron mana?”
Ana pandang ibu yang menegur. Dia sengih.
Terus dicapai apron dan dipakai kemas.
Dah sedia nak berniaga.
“Harap hari ni habis semua makan, kan
bu?” Dalam hati, kecewa juga tapi dia
tahu ibu lebih lagi kecewa. Masak dengan
penuh ikhlas untuk mencari rezeki buat keluarga tapi nyata, Tuhan masih tak
makbulkan lagi lantas mereka perlu lebih gigih berusaha.
“InsyaALLAH. Kalau kata tak habis jugak, kita simpan dalam
peti untuk kita berbuka dan sahur...”
balas ibu lembut.
Ana angguk. Dia melemparkan pandangan ke sekeliling. Setiap gerai meriah dengan pelanggan tapi
gerai mereka, masih tak ada. Padahal
masakan ibu sedap dan harga pun berpatutan.
Allah... Ya Razzak. Engkau pemberi rezeki. Engkau menentukannya sejak azali. Dan, kami berusaha, lantas kepada Engkau kami
bertawakal. Jika tidak buatku, cukuplah
buat ibu. Hati Ana berdoa
bersungguh-sungguh. Dia pandang wajah ibu. Nampak peluh kecil merenik di dahi lantas dia
mendekati dan dilap perlahan.
Puan Syikin senyum tipis. Senyuman lelah. “Terima kasih...”
Ana angguk tapi tak sempat bersuara, ada
suara menegur. Terus dia berpaling dan
berdiri mendekati gerai.
“Assalamualaikum. Nak beli apa ya, encik?” soal Ana lembut.
Mata lelaki itu merenung Ana dua saat
sebelum jatuh pada bekas makanan. Ada
lauk-pauk dan juga kuih. Dia senyum
memandang kuih tersebut. Dah lama tak jumpa. Boleh jadi dah tak ramai orang nak buat tapi
kat sini ada.
“Ini sardin gulung, ya?”
“Ya...”
Ana angguk. “Nak ke?”
Lelaki itu angguk. “Bagi semua...” Rasanya tak banyak mana. Dalam 20 je pun. sekali dia hadap, boleh habis.
“Eh... tak banyak ke?” Ana kerut kening tapi dicapai plastik dan
penyepit. Alang-alang orang nak, jangan
dipersoalkan. “Ini memang sedap. InsyaALLAH.
Kalau rasa tak sedap, boleh datang esok.
Jaminan wang dikembalikan,” sambung Ana.
Lelaki tadi kerut kening. Dia pandang kawan yang sedang mengangkat
kening. Boleh tahan petahnya. Ada lucu dalam kata-kata. Wajah pun boleh buat orang terpaku beberapa
saat merenung.
Dia sengih sendiri. Tunduk menjaga pandangan. Dada dia berdebar tiba-tiba. Terus dilekapkan telapak tangan di situ. Kening sedikit berkerut. Dia angkat mata. Gadis itu senyum lagi. Tipis tapi cukup manis. Diakah?
“Kalau kata penjual yang comel kata
sedap, haruslah sedap...” Lelaki itu
sekadar mengoyak senyuman tipis.
Mengusik. Buat Ana kerut kening
sambil mengerling ibunya.
Bungkusan bertukar tangan. Duit juga.
Tapi dek kerana rasa debar tak sudah, dia berpaling dan berlalu. Ana pandang ibu terkebil-kebil. Tak sempat dihulur duit baki. Ibu juga kerut dahi. Tajam sangat ke aku renung budak tu? “Ana, pergi pulang duit orang...” arah Puan Shikin dan Ana tak berkata apa,
terus berlari mendapatkan pelanggan tadi.
“Awak, ni duit baki...”
Lelaki itu berhenti melangkah. Dia berpaling dan wajah putih itu senyum
sambil menghulurkan not berwarna hijau muda.
“Ibu tak nak kami ambik duit macam ni.
Nah...” dihulur lagi tapi mata
lelaki itu hanya merenungnya saja.
Ditengah ramai-ramai kenapa terasa
heningnya hati? Bibirnya terkatup
rapat. Tubuhnya kaku mengeras. Matanya yang jarang berkedip tapi anak mata
itu kian tajam merenung gadis polos berbaju kurung dan selendang melilit
kepala.
“Ambiklah awak. Nanti ibu saya bising...” Ana
masih tak putus asa menyuruh.
“Lagipun, saya nak balik ke gerai ni.
Kesian ibu sorang...” Dia
berkalih dan nampak pelanggan agak ramai.
Melihatkan lelaki ini masih kaku, Ana
terus memasukkan duit tersebut dalam poket baju dan berlari laju ke gerai. Mahu dipandang belakang sekali lagi tapi
ditahan niat hati.
Cp.
5
DAHI Puan Anaili berkerut lebat. Sejak balik terawih tadi, Andyka langsung tak
sentuh sardin gulung tu. Dipandang,
ditelek, dibelek.
“Kenapa tak makan? Risau ada racun?” usik mummy.
Tersentak dengan teguran mummy, Andyka
senyum tipis. Terus disua ke mulut tapi
digigit perlahan. Terasa sayang
pula. Dan sungguh, rasa sedap seperti
yang dikatakan. Ya, memang sekadar sardin
tapi lidah dia dengan sardin sangat istimewa.
“Mak aih... sampai terpejam mata. Sedap betul tu...” usik mummy lalu dia capai satu dan
digigit. Erm... boleh tahan. “Beli kat mana?”
“Bazar...” jawab Andyka dan dia terus suap satu demi
satu hingga habis semuanya. Kemudian
dipandang pinggan yang kosong. Nampak
wajah gadis itu di dalam pinggan.
Berdebar jantung. Lantas, dia
bawa telapak tangan dan melekap kemas pada dada. Terasa tangan gadis itu saat memasukkan duit
baki tadi. Bagai menyentuh
jantungnya. Buat jantungnya hampir
berhenti berdegap.
“Andy...” Puan Anaili serius rasa pelik dengan Andyka. Tersampuk ke apa? Atau rasa kecewa bila dia selalu ungkitkan
tentang jodoh? “Andy tak suka mummy desak
Andy kahwin?”
Geleng.
“Tak nak kahwin lagi?”
Geleng lagi.
“Habis tu?”
Dia tunjuk pada pinggan. “Budak perempuan ni cakap tadi, gerenti
sedap. Kalau tak sedap, esok boleh
datang dan jaminan wang dikembalikan.
Dia senyum, dia kedipkan mata, dia berbicara, dia...”
“Andy jatuh cinta?” pintas mummy.
Dah terang lagi bersuluh tapi dia masih nak Andy mengaku.
Andy tak beri reaksi. Dia menala pandangan ke arah TV. Bukan cinta tapi dia sekadar suka lihat gadis
itu begitu petah.
“Dia cantik?” soal mummy bila Andy tak beri reaksi.
Kaku – tak ada jawapan.
“Dia sopan?”
Keras – tak menjawab persoalan.
“Dia dah sentuh hati Andy?”
Kelopak mata Andy bergerak. Mengerdip sekali. Buat mummy faham akan jawapannya. “Jika rasa hati Andy keliru, bertanyalah pada
pemilik hati. Pada pencipta cinta. Pada
Allah swt yang Maha Tahu segala yang tersurat dan tersirat tentang perasaan
Andy. Kalau ya jawapannya, mummy akan
pinang tak kira siapa dia dan jika tidak... mummy harap Andy reda...” nasihat mummy kerana itulah sebaik-baik
petunjuk yang ada.
Angau sangat dah Andyka ni. Senyuman terukir. Tangannya menggengam erat tangan Andy. Dia tahu anaknya sedang mabuk dilanda cinta
pandang pertama dan jika gadis itu sopan dan beragama, dia tak akan menolak
malah akan menyambutnya penuh syukur.
Andy pandang mummy yang dah masuk ke
bilik. Isthikarah. Itu jalan yang mummy cadangkan dan dia akan
berbicara bahasa Tuhan, moga Allah membantunya dalam mencari jalan.
“Kalau tak sedap, jaminan wang
dikembalikan...” Suara gadis itu
terngiang sendiri. Dan, jika mereka berjodoh – dia akan beri jaminan yang gadis
itu akan bahagia bersamanya.
Cp.
6
“ASSALAMUALAIKUM...” Tangan diangkat separuh. Tanda menyapa.
Ana kerut kening. Setelah itu barulah dia senyum dan menjawab
salam. Seperti biasa, pelanggan
pertamanya. Pelanggan yang sama.
“Awal hari ni?” soal Ana lembut. Tangannya masih ligat mengemas apa yang
perlu.
Andy angguk. Dia garu kepala. Tak tahu nak kata apa lagi. “Err... hari ni awak sorang? Mak awak mana?” Akhirnya, ada topik.
Tanpa memandang, Ana menjawab.
“Ibu saya tak sihat. Lagipun,
adik saya tak sekolah hari ni. Jadinya
tak ada orang nak jaga adik-adik. Itu
yang saya sorang je...”
“Tak apa ke sorang? Sempat nak buat semua?” soal Andy.
“Eh, sempat. InsyaALLAH.
Saya ada dua tangan ni haa. Orang
lain pun dua tangan jugak. Kita semua
sama. Malah ada yang lebih malang tak
ada tangan atau tak cukup,” balas Ana.
Tapi, renungan lelaki ini langsung tak patah.
“Ni awak nak beli apa?” Dia dah malas nak biarkan dirinya direnung
lelaki yang dia tak tahu siapa dan apa namanya.
“Nasi? Ke sardin gulung?”
“Err... saya nak beli tapi bukan
sekarang.”
Ana kerut kening. “Okey, tak apa...” Nada itu berbaur kecewa. Bukan rezeki.
“Awak pergilah pusing-pusing, kot-kot ada yang sangkut. Boleh beli.
Lepas tu kot teringin nak beli dekat gerai saya, datang balik,” suruh
Ana.
Andy simpan senyum. Dia dekati gerai. Nampak dah siap dan bersedia nak
berniaga. “Saya dah puas pusing tapi
akhirnya saya sangkut dekat sini,” balas Andy penuh makna. “...lagipun, saya nak tolong awak dulu
sekarang. Lepas dah habis tolong saya
beli...”
“Hah?”
Rahang Ana macam nak tertanggal.
Kenal pun tidak, nak tolong? Dia
pandang lelaki itu atas bawah. Pervert ke apa? Ana geleng kepala laju. “Terima kasih jelah, awak. Saya boleh buat sendiri,” tolak Ana dan
perbualan itu terhenti bila ada beberapa orang pelanggan singgah.
Nyata, Ana tak menang tangan sedangkan
Andy masih merenung tingkahnya yang kalut itu di sisi gerai.
“Dik, cepat sikit...” gesa seorang pelanggan sambil memerhati pada jam.
“Ya, kak...” Ana pandang lelaki itu. Mengerutkan kening dan menggigit bibir. Bagai menghantar isyarat minta pertolongan. “Tolong awak...”
Andy ukir senyuman sinis. Dia menapak juga duduk di belakang
gerai. Dihulur tangan lantas Ana letak
bungkusan lauk di atas tangan. Andy
terus letakkan dalam plastik dan bila Ana bagitahu harga, dia sekarang
mengambil bayaran dan memulangkan baki.
6.30 petang. Pengunjung makin beransur malah hampir
kesemua lauk habis. Ana pandang lelaki
yang duduk agak jauh di kirinya.
“Terima kasih, awak...” ucap Ana lembut. Malu pun ada sebab pada mulanya jual mahal
tapi terpaksa minta bantuan saat-saat terdesak.
“Sama-sama,” balas Andy dan dia bangkit. “Saya nak balik dah ni. Ada apa untuk saya beli lagi?” Matanya memandang. Kesemua bekas hampir kosong. Dipandang kuih, sardin gulung pun licin.
“Sardin gulung pun dah habis...” Dia pandang gadis ini. Pandangan kecewa. “Tak apalah.
Saya balik dulu. Terima kasih
bagi saya tolong awak,” ucapnya dan saat mahu berlalu, suara gadis itu menyeru.
“Saya yang patut berterima kasih pada
awak...” Sengaja dileretkan suara agar
lelaki itu tahu dia mahu tahu namanya.
“Andyka,” sambung Andy tenang.
Ana angguk dan menapak dengan tangan
tersorok ke belakang. Dia ukir senyuman
lebar. Nampak manis biarpun sedikit
pucat.
“Saya ada upah untuk awak ni,
Andy...”
“Kalau duit...” Kening Andy berkerut.
Pantas Ana geleng. “Duit tak boleh lagi sebab itu hak ibu
saya. Saya pegang amanah je. Nanti lepas saya bagitahu ibu awak tolong,
mana upah ibu bagi, esok saya bagi dekat awak, ya? Tapi ini...”
Disuakan plastik di depan Andy.
“...saya tahu awak nak cari ni.
saya dah simpan untuk awak tiga.
Harap cukuplah, ya?”
Andy bulat mata. Plastik bertukar tangan. Rasa tersentuh hatinya. Betapa gadis ini amanah pada pesanan ibu. Tenang dan bersahaja. Betapa pemberian yang kecil tapi ikhlas itu
mampu membuatkan dia terharu. “Awak buat,
ya?”
Ana angguk. “Kalau tak sedap, jaminan wang
dikembalikan...” Terus mereka
gelak.
“Nak minta upah satu lagi,” pinta Andy
tiba-tiba.
Ana kerut kening. “Apa?”
“Nama awak?”
Cp.
7
DANIEL gelak lepas. Apa punya klasik nama. Memang kenalah dengan Andy. Andyka bin Amyrul. Nama arwah bapak Andy lagi glamour.
“Tak apalah nama klasik pun. Kira sesuailah dengan dia...” komen Andy bila Daniel gelak tak
lepas-lepas. Teringatkan nama Ana memang
boleh buat dia kaku saat seketika. Bila
cakap pada mummy pun, mummy bulat mata.
Tapi, itu hakikat.
“Serius?
Tu nama awak?”
Ana angguk.
“Cendana binti?”
“Abdul Rahman...”
Andy kerut dahi lagi. Dia nak gelak tapi ditahannya. Bila di dalam kereta dia terus hamburkan tawa
tapi lama-lama hanya senyuman terukir.
Nama itu unik. Seunik tutur kata
Ana padanya.
Bila dia membantu Ana di gerai, jarang
benar Ana berbicara yang sia-sia nak-nak bulan baik ni. Banyak masa bila tiada pelanggan, dia nampak
Ana membaca Quran. Hingga nak ditegur
pun dia sendiri segan. Sama juga
sekarang, Ana dengan tafsirnya dan dia dengan renungannya.
“Kenapa renung saya, Andy?” Ana tak angkat wajah. Juga tak menjeling tapi
dia kuat rasakan dirinya direnung.
“Awak cantik...” puji Andy tak berselindung.
“Lagi cantik andai awak jaga pandangan
awak, Andy...” Saat ini barulah Ana
angkat mata dan memandang lelaki yang berjarak semeter dengannya. “...awak tentu nak pahala dalam setiap lapar
dahaga awak, kan?”
Andy angguk. Dia garu kepala dan terasa wajahnya dah
merah. Rasa nak tampar diri
sendiri. Kenapalah dia sasau sangat
sehari dua ni? Wajah diraup kasar. “Sorry, Ana...”
“Tak apa.” Senyuman tipis terukir. “Dah jadi tanggungjawab kita sesama Muslim
untuk menegur jika salah seorang berbuat kesilapan. Esok-esok bila saya silap, awak pulak tegur
saya.” Ana bangkit bila ada pelanggan
mendekati.
“Ana...”
seru Andy bila Ana kembali duduk.
“...awak dah tahu saya anak tunggal.
Ayah dah tak ada, hanya ada mummy je.
Rasanya kalau saya minta awak jadi sebahagian dalam hidup saya, melampau
tak permintaan tu?”
“Sebahagian?” soal Ana tak mengerti.
“Ya...”
Andy juga tak berniat nak menjelaskan.
Hingga Ana faham dengan tafsiran sendiri.
“Saya memang sebahagian awak
sekarang. Awak kawan saya. Kawan
yang saya tak pernah ada, Andy...”
Bibir Andy koyak dengan senyum. Kawan?
Sedangkan dia ingin lebih daripada itu tapi Ana masih tak mengerti. Benar kata mummy. Untuk mendapatkan cinta, dia perlu berusaha
lantas tawakal. Dan kemudian jodoh akan
datang.
“Cendana...” seru Andy.
Dia dah mula nak berbicara sesuatu yang serius. Yang dirasakan tak sia-sia. “Saya tahu apa yang nak saya cakap ni macam
melampau. Mungkinlah. Pada awak.
Tapi pada saya...” Andyka
geleng. Dia serius ni. Sangat!
Ana kerut kening. Andyka nampak pelik hari ni. Biasanya bila Andyka datang membantu, mereka
tak banyak berbicara kerana sibuk tapi hari ini, pantang lepa Andyka bagai ada
sesuatu yang serius. Seperti urusan
hidup mati.
“Awak nak cakap apa ni?” Sebenarnya Ana dah berdebar tak sudah. Janganlah Andy minta sesuatu yang tak mampu
dia tunaikan. Sesuatu yang dipanggil
hati.
“Saya kerja teknikal. Saya hanya tahu konkrit, batu, pasir... saya
tak tahu tentang bunga segala. Jadi,
ayat saya mungkin tak sehebat mat bunga tapi saya nak awak tahu saya ikhlas...”
Makinlah berkerut kening Ana.
“Demi Tuhan saya katakan, saya suka
awak, Cendana...” akui Andyka bersama wajah yang merah membahang. Malunya, Tuhan ajelah tahu.
“Suka?”
Andyka angguk. “Saya cinta awak...”
“Hah?”
Mulut Ana melopong bahana terkejut.
“Saya nak awak jadi isteri saya...”
“Allah...” Ana tekup mulut. Juring matanya terasa basah.
Cp.
8
IBU diam. Dia juga.
Soalan tadi dibiarkan tak bersambut.
Entah apa yang patut dia jawab, dia tak tahu. Andyka suka dia, itu satu pengakuan yang
langsung tak mengejutkan. Dah dapat
jangka pun. Dan kerisauan ibu juga buat
dia langsung kehilangan kata.
“Andyka tu anak orang senang, Ana. Dia tak sesuai untuk Ana...” Tangan dibasuh. Dah siap basuh semua bekas buat
berniaga.
Ana pandang ibu. “Ana tahu, ibu. Sebab tu Ana cakap Ana suka dia sebagai kawan
je. Lagipun, entah berapa lama lagi kami
boleh berkawan, kan?” soal Ana lebih
pada diri sendiri.
Dia pandang ibu dan senyum. Telapak tanan ibu naik menyentuh
bahunya. Diusap lembut. “Setiap saat itu milik Allah, Ana. Kita hanya perlu gunakan dengan baik. Moga kita tak menjadi manusia yang rugi,”
nasihat ibu agar anak mengerti.
Kepala Ana jatuh. Tapi, hatinya juga mula terasa rindu pada
lelaki itu. Lelaki yang saban masa
menemaninya berniaga jika ibu
tiada. Hari ke hari melalui Ramadan
bersama biarpun hanya untuk sejam dua, dia rasakan waktu itu terlalu bermakna. Bagai mahu diminta moga saat itu terhenti
buat selamanya. Biar abadi di atas
sekeping kanvas, moga ada kenangan dan memori indah bila waktu kembali
berdetik.
Ana pandang wajah dua orang adik yang
lena. Terasa belas. Ibu dah banyak berkorban untuk dia. Segalanya.
Hingga ada masa keperluan adik terabai. Dah lama keluarga memikirkan tentangnya
dan sampai masa dia memikirkan tentang keluarga. Tapi kehadiran Andyka benar-benar buat dia
resah.
Segala sesuatu itu bersebab dan Andyka
boleh jadi sebab untuk dia merasa hati berbunga buat seketika. Dia pandang langit. Nampak kelam.
Boleh jadi nak hujan. Kata-kata Andyka menyerang kepala. Andy yang bagai tak kenal erti putus asa.
“Saya suka awak lebih daripada suka,
Cendana...”
Ana tergelak halus. “Ayat awak pelik. Macam awak...” Tawanya bersambung. Tapi, wajah Andy kelam.
“Saya cintakan awak, Cendana. Cinta awak kerana Allah telah tiupkan rasa
cinta tu dalam hati saya, hanya untuk awak...”
Mata Ana tak berkelip. Dia kaku sendiri. Tak jadi dia nak mengemas barang petang
semalam. Sudahlah hari ini habis agak
lewat. Nampak gaya tak sempat nak
berbuka dengan ibu.
Liur ditelan berkali-kali.
Ana pandang Andy di sisi. “Cinta
saya tak akan bagi awak kebahagian, Andyka...”
Lembut Ana menolak. Dia larikan
pandangan.
“Tapi, saya cinta awak untuk kita
sama-sama mencintai Pencipta Cinta, Cendana.
Saya tak tahu nak kata apa tapi jujurnya, saya ikhlas...”
“Keikhlasan itu ibarat seekor semut
hitam di atas batu yang hitam di bawah malam yang pekat kelam, Andyka,” selar
Ana. Walaupun dia nampak kesungguhan
Andyka tapi dia tak boleh nak rosakkan bahagia Andyka.
“Kalau gitu, izinkan saya
buktikan...” Jiwa Andy bergelodak
tiba-tiba. Dia lelaki yang dikurniakan
satu rasa ingin mencintai dan dicintai
dan dia tak malu nak mengaku dia mahu mereka sama-sama mencari pencipta
cinta. Sebelum ini dia kerap dengan
urusan sendiri namun cinta fitrah itu hadir tiba-tiba dalam waktu dia sendiri
tak duga.
“Lepas raya kita kahwin terus. Masa tu, saya buktikan betapa ikhlasnya
saya...”
“Awak akan menderita, Andyka...” Ya, seperti arwah ayah dan ibu serta
adik-adik saya pernah menderita. Malah
masih menderita. Hati Ana ingin bersuara
tapi tertahan dalam dada.
“Awak tak cinta saya?”
“Cinta saya pada Tuhan melebihi
segalanya...”
“Dan bawa saya bersama awak dalam
mencintai Tuhan, Cendana...” balas Andy
laju.
Ana terdiam. Kaku dibuatnya. Di tengah kekalutan, azan Maghrib
berkumandang. Dia bagai tersedar. Cepat-cepat dia mencapai bekas kurma dan
botol minuman. Sebiji disua pada Andy
dan sebiji disuap ke mulut.
“Kita berbuka dulu...” Sungguh dia malu
lepas daripada berbicara tentang ini.
Dia tak mampu.
Andy senyum. “Sekarang kat sini. Tahun depan, insyaALLAH dalam rumah kita,
berdua. Dan andai ada rezeki, bertiga
berempat berlima malah sedozen pun...”
Andy kenyit mata. Dia sua kurma
dengan senang hati. Sedangkan pandangan
mata Ana sedang berkaca-kaca.
“Siapa semua tu?”
“Khalifah-khalifah kita. InsyaALLAH...”
Hati Ana terasa nak ketawa akibat rasa
bahagia tapi kenapa juring matanya basah dengan airmata?
“Ana cinta dia?” Soalan ibu menyentak lamunan.
Cepat-cepat Ana geleng. “Ana ni hidup hanya untuk ibu, adik-adik dan
Tuhan semata-mata, ibu...”
“Betul tu. Sejak saat itu lagi yang Ana cakap. Tapi, bila difikirkan balik Allah masih
sayangkan Ana. Dia nak Ana bahagia. Bahagia dengan cinta dan lelaki bergelar
suami. Sebagai ibu, ibu tak patut
nafikan jodoh yang sedang hadir dalam diri anak ibu. Cuma kerisauan ibu melebihi segalanya. Ibu risau penerimaan Andy dan keluarganya.
Ibu risaukan Ana sendiri...”
“Ibu...”
Ana cantas suara ibu. “...jangan
cakap hal ni lagi. Ana baru 25 tahun,
bu. Andy tu yang kena kahwin cepat dah
30 tahun. Jangan risaulah. Jodoh bukan untuk kami. Cukuplah dia bantu Ana masa ibu tak sihat...”
pujuk Ana dalam senyuman. Moga ada balasan dan jodoh yang lebih baik buat
Andyka.
Puan Shikin angguk. Dia nampak cinta yang menyala dalam mata
anaknya tapi malap tak beberapa lama.
Tuhan... biarkan dia bahagia selama mana
Kau izinkannya. Telapak tangan diraup ke
wajah dan dia berlalu meninggalkan Ana sendiri memerhatikan langit yang kian
kelam.
Cp.
9
MATA mummy bulat bagai nak
terkeluar. Macam tak percaya dengan
permintaan anaknya. “Andy jangan
main-main. Ini bukan hal kecik atau
benda boleh buat bergurau...” Mummy
keluarkan amaran tahap jingga.
“Andy serius, mummy. Hal tentang Cendana tak ada yang tak
serius. Kalau mummy izinkan, mummy
pinang dia lepas raya. Andy tak boleh
nak pandang dia lagi...”
Memang, hati dia kian hari kian
resah. Tenangnya wajah Cendana meragut
segala kedamaian. Bijak tersusun
kata-kata Cendana buat dia rasa dia tak mampu sendiri tanpa ditemani gadis
itu.
“Lagipun, Andy dah 30. Mummy mesti nak timang cucu cepat, kan?” Umpan dilempar. Mummy bukan boleh bila cakap
pasal cucu. Mulalah nak senyum lebar dan
nyata, ya. Kerutan bertukar senyuman.
“Mummy nak kenal dia dulu...”
“InsyaALLAH. Andy ajak keluarga dia datang...”
“Eh, jangan...” larang mummy.
“Dia perempuan baik mesti tak datang rumah lelaki. Andy cakap mummy nak berbuka dengan dia
sekeluarga,” cadang mummy dan Andy hanya angguk tersenyum.
Tuhan... permudahkanlah jika dia buat
hamba. Jika dia untukku, satukan hati
kami. Jika dia bukan untukku, damaikan
hati ini dengan takdir-Mu.
Cp.
10
BERITA yang dikhabarkan oleh ibu Cendana
masa berbuka di rumah mereka beberapa hari lepas bagai batu menghempap
kepala. Sungguh. Rasa tak mampu nak hadapi. Dan, bagaimana Andyka mahu tempuhinya? Ini pertama kali dia nampak keterujuaan
Andyka dalam cinta dan kesungguhan Andyka mempersiterikan Cendana tapi ibu
Cendana bagaikan menolak biarpun tak secara terang.
“Mummy termenung nampak?” Andyka kancing baju T berkolar. Dah sedia nak keluar membantu Cendana
berniaga.
“Erm... nak pergi mana? Jumpa Ana?”
Andy angguk.
“Duduk dulu,” arah mummy perlahan. TErus Andyka labuhkan duduk di sebelah
mummy. Tangan mummy berlabuh tepat di
atas belakang tangan Andyka. “Ini mummy
nak cakap...”
“Macam serius je, mummy...” Andyka senyum menyembunyikan dada yang
berdebar. Sejak balik daripada berbuka
di rumah Cendana, mummy banyak memikir.
“Serius.
Ini tentang Andy dengan Ana...”
Andyka telan liur. Dia diam memberi
ruang mummy meneruskan kata. Tuhan...
jangan diduga dengan yang buruk-buruk.
“Mummy ada cakap dekat ibu Ana tentang
hal nak meminang Ana lepas raya. Tapi,
jujurnya mummy cakap ibu Ana macam tak suka.
Dia tak cakap terus-terang tapi ayat dia tu buat mummy faham...”
“Kenapa?” Kening lebat Andyka berkerut hebat. “Dia tak suka Andy?”
“Tidak...” Laju mummy geleng. “Dia suka Andy. Suka sangat tapi Ana tu yang kurang selesa
dengan Andy...”
“Hah?”
Rasa nak tertanggal anak mata.
“Ana tak suka Andy? Cendana yang
tak suka Andy? Tapi, dia tak pernah
menolak. Okey, sekali dia pernah tolak
tapi lepas tu bila Andy usik tentang meminang, keluarga, anak... dia
senyum. Apa yang buat dia tak
suka?” Kusut. Memang kelam kabut dalam kepala.
“Ana suka Andy. Dia pun suka Cuma dia tak selesa. Beza tu...”
“Beza yang macam mana?”
Mummy lepaskan keluhan. Entah bagaimana nak diberitahu dia sendiri tak
pasti bila Ana pun minta dia rahsiakan.
Katanya nak diberitahu sendiri.
Wajah Andyka kelam. Tubuhnya
bagai longlai tak bertenaga.
“Isthikarah Andy macam mana?” tanya mummy cuba memujuk.
“Masih berbaki dua kali...” jawabnya
lemah. Wajah diraup. Tuhan... jika dia bukan untuk aku, jauhkan
dia daripada hati aku, Allah. Bawa dia
jauh dan yakinkan aku betapa Engkau sedang merencanakan yang terbaik
buatku.
“Teruskan. Sampai kali ketiga dan lepas dah ada jawapan,
masa tu kita bincang lagi. Cuma buat
masa sekarang, Andy layan Ana macam biasa.
Lagi satu...” Tangan anak
digenggam kemas. Andyka memandang anak
mata mummy.
“Jika jawapan istikharah itu tak memihak
pada Andy, percayalah... Allah sedang sediakan yang lebih baik berjuta kali
buat Andy...”
Berat hati, Andyka mengangguk. Manusia, mudah melakukan isthikarah namun
sejauh mana kekuatan untuk menerima jawapan itu, segalanya tak pasti.
Cp.
11
NYATA dan yakin. Andyka temui mummy. “Jawapannya adalah Cendana, mummy. Dan, Andy dah minta dia buat benda
sama...” Tenang Andyka bersuara saat
menikmati sahur.
Semalam dia jumpa Ana. Dikatakan yang benar biarpun pahit. Dia meminta Ana melakukan istikharah seikhlas
hati dan penuh kusyuk serta berharap pada Allah semata-mata. Untuk dia.
Jika berjodoh, anggap sajalah ini hadiah pertama pernikahan mereka dan
jika tidak, anggap sajalah ini hadiah perpisahan.
Memang pada mulanya Ana menolak tapi
selepas dirayu, Ana bagai bersetuju dan sekejap tadi, dia dah telefon Ana. Suara itu serak. Dia tahu suara lepas menangis. Tak tahulah menangis kerana kecewa atau
gembira. Apa yang pasti, padanya satu
berita yang memuaskan hati biarpun mungkin tidak memihak padanya kerena mereka
berdua telah berusaha.
“Assalamualaikum, Ana?”
“Waalaikummussalam...” Rendah perlahan Ana menjawab.
Andyka telan liur. Entah apa yang perlu dia katakan. Kepetahan
masing-masing bagaikan sirna. Ditelan
waktu yang sedang berlalu.
“Saya tak tahu nak kata apa dah...”
komen Andyka lantas dia ledakkan tawa berat.
“Saya dah buat...” ujar Ana.
Andyka diam. Dia mahu Ana katakan hakikat.
“Maha Suci Allah yang telah menetap jodoh pertemuan,
Andyka...” Suara Ana mati. Buat Andy penasaran sendiri. “...Allah Maha Kuasa ke atas setiap makhluk
ciptaan-Nya dan maha merencanakan setiap perjalanan hamba-Nya...”
Kata-kata Ana yang penuh kiasan terus
buat Andyka dibelit resah. Tuhan...
permudahkanlah jika bukan milik kami dan perkenankanlah jika ianya untuk kami. Hati Andyka tak putus-putus berdoa.
“...siapa saya untuk menafi jawapan yang
telah saya tanya pada DIA dan jawapan-Nya adalah awak. Siapa saya nak menolak jodoh dalam takdir
saya sebagaimana ditetapkan sejak saya diciptakan oleh-Nya...” Ana sudahkan ayat.
Andyka terlopong. Dia tahu Ana sedang
senyum. Bagai mahu diminta Ana mengulang
semula ayat-ayat itu tapi dia dengar dengan jelas. Doanya dimakbulkan. Betapa pemurahnya Tuhan pada hamba yang jahil
lagi hina.
“Cendana... saya tak salah dengar,
kan?” soal Andyka
“Atau nak saya tarik balik?” duga Ana.
“Eh, jangan...” Terus dia ketawa. “Syukur, Allah. Syukur sangat. Raya kedua kita akad nikah...”
“Tak sabar betul awak ni...”
“Batin saya dah resah betul, awak. Sejak kenal awak lagilah resah...”
“Oh, itu yang suka pandang saya tu,”
tegur Ana buat-buat marah.
Andyka ketawa. “Sebab tu saya nak kita sah segera. Lelaki, awak tahulah. Sembilan akal saya sedang mengawal nafsu yang
satu sekarang ni. Moga tiba
waktunya...” Senyuman terukir penuh
manis. “Moga cinta kita membawa kita ke
Jannah bersama, Cendana...”
“Amin...” Perlahan Ana bersuara.
“Mummy uruskan...”
“Hah?”
Andyka terpinga-pinga. Dia dah
jauh hanyut dalam perbualannya dengan Cendana.
“Raya kedua Andy nikah dengan Ana,”
tambah mummy. Tapi kenapa wajah mummy
tak bahagia.
Cp.
12
SEHARI hari berbaki. Mummy nampak makin resah. Ana juga dia tak temui. Hari ini raya dan esok mereka akan disatukan. Segalanya telah siap serba-serbi dan mengikut
kehendak bakal isteri, segalanya adalah seada saja. Majlis akad nikah yang akan diadakan di dalam
masjid dan dihadiri oleh teman-teman
rapat saja. Sedikit majlis kesyukuran
dan tahlil. Sepasang pakaian pengantin
berona putih mutiara dan sebentuk cincin.
Itupun cincin daripada jari mummy khas buat menantu tersayang.
Andyka bukan tak mampu tapi itu hajat
Ana dan keluarganya. Apa yang penting
adalah majlis akad. Dia dekati mummy
yang sedang menilik pakaian akad nikah miliknya setelah mereka balik daripada
beraya di rumah Ana.
“Tadi, Ana tak ada dekat rumah. Dia pergi mana, ya?” soal Andyka dan duduk di sisi mummy.
“Dia ke rumah saudara kan, ibu dia
bagitahu...”
Andyka angguk. “Pelik pulak sebab yang lain ada tapi lepas
tu Andy call, adik dia kata ibu dia pergi jenguk Ana. Ana pergi mana sebenarnya? Jangan dia lari hari nak nikah sudah. Seram bila memikir, mummy...”
Puan Anaili buat muka. “Cakap tu doa, tahu. Doa yang baik-baik je...” Tapi, dia sendiri tak mampu nak memikir yang
baik-baik saja. Rasa kejam pula dia pada
anak sendiri tapi, dia juga kasihan melihat kesungguhan Andyka dan ketulusan
hati Ana.
“Andy dah lama gila rasa tak tengok
Ana. Sejak Andy cakap Andy nak pinang
dia tu, terus tak nampak batang hidup.
Malu sungguh dia, kan mummy?”
Wajah Andyka terhias dengan senyuman.
Mummy angguk pasrah. “Dia memang budak baik. Mummy harap dia...” Tak sempat meneruskan kata, telefon rumah
berdering. Baru nak bangkit, Andy
melarang. Dia meluru memegang gagang. Seperti bulan
jatuh ke riba, suara Ana memberi salam.
Lemah.
Lelah.
“Awak okey?” tanya Andyka risau.
“InsyaALLAH. Awak okey?”
“Berdebar...”
Ana gelak.
“Awak dekat mana? Saya pergi beraya pun awak tak ada
ni...” Ayat kecewa.
Ana gelak lagi. “Saya ada je selagi tak dijemput untuk
dikembalikan...” Terus dia ketawa tapi Andyka dah kerut kening.
“Awak okey kan, Cendana?”
Suasana sepi. Soalan Andyka dibiarkan tergantung beberapa
saat sebelum dia menjawab. “Andyka,
kalau saya menipu awak, buat awak sedih dan kecewa, marah dan menderita, boleh
ke awak maafkan saya?”
DUP!!! Jantung Andyka bekerja lebih
masa. Apa Ana tanya ni? “Awak bukan nak batalkan majlis kita,
kan?”
“Tak...”
Penafian Ana buat Andyka lega tapi tak lama. “...saya Cuma harap masa tu menyebelahi kita,
Andyka. Saya Cuma harap saya ada waktu yang cukup untuk bahagiakan awak. Untuk abadikan memori kita bersama biarpun
seketika...” Kata-kata Ana
terhenti. Terhenti bersama talian yang
mati.
Andy cuba menelefon kembali tapi talian
tak bersambung. Dia berpaling dan nyata,
mummy sedang mendengar dengan mata yang berair.
“Mummy ada sorok apa-apa?”
Airmata mummy jatuh. “Ana dekat hospital, kan? Dia sedang berusaha untuk hidup, kan?”
“Hah?”
Mata Andyka berair. Wajah dia
berkerut sana-sini. “Ana sakit?”
Mummy angguk. “Mummy minta maaf Andyka. Sebab tu mummy kata tanya pada Allah kerana
segala jawapan ada pada-Nya. Jika
jawapannya tak memihak pada Andy, memang Allah nak jodohkan Andy dengan orang
lain yang lebih baik tapi bila Andy dan Ana sendiri kata jawapannya adalah kamu
berdua, boleh jadi Allah pilih Andy
untuk bahagiakan Ana biarpun seketika...”
jawab mummy dengan airmata kian bertali arus.
Allahu... Andyka terduduk di atas permaidani. Melutut dan meraup wajah. “Gamaknya, sebab inilah Ana pernah menafi
cinta dia pada Andy dulu. Sebab inilah
ibu Ana berat hati nak terima pinangan Andy dan sebab inilah, Andy dah dua agak
lama tak jumpa Ana dan sebab inilah Ana tak ada dekat rumah sekarang...”
Airmata rasa bergantungan di birai
mata. Jika airmatanya menitis sekarang,
dia tak malu. Malah dia rasa mahu
meraung tapi dia masih punyai iman. Pada
Allah disandarkan segalanya. Berharap
pada ketabahan dalam menghadapi ketentuan.
“Kenapalah Andy baru tahu...” Dia mengeluh
lebih pada diri sendiri. Tidak
salah mummy atau sesiapa saja Cuma ralat itu tetap ada sebagai menusia biasa.
“Mummy minta maaf, Andy. Ini permintaan Ana. Dia yakin dia mampu berdiri sehingga kamu
berdua jadi suami isteri tapi nyata, dia makin lemah setelah penat bertarung
dengan sakit kanser tulang dia tu...”
terang mummy. “Dia dah penat nak
jalani rawatan. Dia dah tak
bermaya. Dia berjuang setiap saat
hidupnya tapi jika Allah lebih sayangkan Ana, mana mungkin kita
mempersoal?”
Andyka angguk. Rasa bagai dihempap langit. Rasa hilang daya untuk dia berdiri. Patutnya Ana nampak pucat setiap kali. Namun, digagahkan kaki untuk bangkit. Dipegang tangan mummy. Aidilfitri ini adalah aidilfitri berdarah
rasanya.
“Kita cari Ana...”
“Dia tak nak. Dia dah pesan dekat mummy. Dia tak nak Andy tengok dia macam tu. Dia nak Andy tengok dia sebagai pengantin
yang berseri. Dia kata, Andy kena sabar
tunggu esok...”
Mendengarkan kata-kata mummy, Andyka
longlai lagi. “Allah... kenapa buat saya macam ni, Cendana? Kenapa?”
Setitis airmatanya gugur jua.
Cp.
13
“KENAPA tak dapat call?” soalan mendatar menahan marah sebenarnya. Geram dengan sikap pentingkan diri sendiri
yang ada pada Cendana.
“Sorry.
Bateri habis tadi. Itu pun saya
buat muka tak malu minta nurse charge untuk saya. Nanti lepas kahwin, beli telefon baru satu,
boleh?” seloroh Ana.
Andy ketap bibir. Jika mampu, nyawa pun dia mahu berikan buat
Ana tapi dia juga meminjam nyawa daripada Tuhan. “Segala bahagia ini untuk awak, Cendana. Apa saja awak nak, insyaALLAH saya cuba
adakan...”
Ana gelak. “Tapi, saya nak awak je.” Saja usik Andyka. Suara macam tegang sangat.
“Saya memang hak awak, Cendana.
InsyaALLAH hingga ke syurga.” Dadanya
terasa sempit.
Sesak.
Sebak.
“Saya akan pergi dulu, Andyka...”
“Saya bakal menyusul, Cendana...”
“Saya nanti awak di sana...”
“Sebagai isteri saya yang solehah,
insyaALLAH...” Serentak itu talian
dimatikan. Andyka dah tak mampu
bertahan. Suara dia dah bergetar
sendiri. Dia pandang cermin, wajah kasar
seorang lelaki nampak lemah angkara hampir rebah dikaki dugaan.
Cp.
13
WAJAH Ana pucat. Wajah Ana yang comel. Wajah Ana
yang mulus. Wajah Ana yang
berseri dengan seri pengantin. Solat
sunatnya semalam sedikit goyah, bimbang Ana rebah tapi syukurlah masih diberi
kesempatan hingga ke subuh hari.
Andyka mendekati isterinya.
Ramai yang menasihati agar dia membatalkan pernikahan tapi suara mummy
terngiang. Boleh jadi Allah mahu dia
bahagiakan Ana sementara punyai masa.
Lantas, mereka di sini.
“Cendana, sikit kejap...” Andyka tepuk tilam di sisinya bila Ana baru
keluar daripada bilik air, membersihkan diri.
Langkah Ana pun dah tak seperti biasa.
“Ana bahagia?”
Ana angguk. “Awak?”
“Sangat...” Tanpa silu dipaut tubuh Ana kemas. Bagai tak mahu dilepaskan lagi.
“Ana ada air wudhuk ni...”
Tapi, Andyka tetap buat tak tahu. Dia pun tak mandi lagi. Dibiarkan Ana mandi dulu setelah melalui
malam yang indah bersama. Tanggungjawab
pada Ana buat pertama kalinya dan damainya resah batin selama ini dengan kehadiran
seorang isteri bernama, Cendana.
“Abang nak peluk Ana...” Waktu ini nada suara Andyka berubah.
“Ana sayang abang...” Ana membalas pelukan erat. “Tapi, kita adalah jaminan untuk
dikembalikan...” Bahu Andyka ditolak
lembut.
Mata bertentangan. Semalam dia telah jadikan dirinya benar-benar bahagia dalam
pelukan lelaki ini. Indah dan sedia
terakam momen itu dalam kepala untuk selamanya.
“Ana harap Ana ada jaminan yang cukup
jika dikembalikan...” Birai mata Ana
basah.
Airmata Andyka sudah jatuh menitis. Dia dah tak malu. Katalah apa saja tapi dia tak mampu menahan
lagi. Airmata dia terlalu menujah
gagah.
“Abang...” Andyka geleng. Dia tak mampu nak hadapi kehilangan tapi jika
ini ketentuan. “InsyaALLAH, abang doakan
moga jaminan kita mencukupi. Sebab jika
kita dah sedia untuk dikembalikan, tiada lagi jaminan pulangan wang seperti
beli kuih. Tak ada lagi jaminan untuk
pulang bernyawa kerana hidup hanya sekali.
Kan sayang?”
Kepala Ana jatuh sekali. Andyka tanpa silu, memaut tubuh lemahnya
sekali lagi. Di luar sana, suara iqamat
beralun indah. Boleh jadi iqamat terakhir yang dia dengar.
“Ampunkan Ana, abang sebab tak mampu
bahagiakan abang...”
“Abang bahagia selama mana Ana
bahagia...,” balas Andyka. Pelukan
terlerai. Kucupan kudus hinggap tepat di
tengah dahi isteri lantas jatuh ke bibir kering Ana lama dan terlalu lama.
Cp.
13
DALAM alunan doa Qunut, airmata Andyka
mencurah. Dia tahu Ana rebah dalam
solat. Dia sedar. Kusyuknya terbang melayang. Airmata bertali-arus tak sudah. Bacaannya tersekat dek sebak. Andyka teruskan solat hingga ke salam kali ke
dua. Tangan diangkat dan doa dibisikkan
perlahan dalam tangisan.
“Allah... terima kasih pinjamkan dia
untuk aku. Terima kasih beri ruang
untukku membahagiakan dia biarpun seketika.
Terima kasih atas nikmat dan kurniaan-Mu. Terima kasih segalanya. Permudahkan urusan kepergiaannya. Aku reda dia pergi ke sisi-Mu, kerana hidup ini merupakan jaminan kami
semua dijemput untuk dikembalikan pada-Mu, Ya Allah...”
Telapak tangan diraup ke wajah. Andyka berpaling. Tadi, terlalu awak Ana menyalaminya dan
memohon ampun serta keredaan seorang suami.
Terlalu awal bagai mengetahui yang dirinya akan rebah dalam solat Subuh
pertama dan terahkhir mereka sebagai suami isteri.
Dia bahagia. Dia tersenyum memanggu kepala isteri yang
jelas dah tak bernyawa. Dia menitiskan
airmata kerana melihatkan wajah itu ceria bahagia. Dia bahagia merelakan kepergiaan Cendana
kembali ke sisi Ilahi dengan begitu tenang dan mudah. Apa yang pasti, sebagai isteri.
“Ana pergi dulu. Tunggu abang di sana. Moga bahagia Ana di sisi Tuhan yang maha
mengasihani. Ana isteri abang dan kekal
selamanya. Moga ada pertemuan kita dalam
kehidupan abadi, sayang...”
Andyka tunduk. Bibir itu jatuh pada dahi isteri bersama
juraian airmata yang bagai tak nak berhenti.
Saat itu, mummy muncul di muka pintu.
Jatuh rebah terkulai layu menghadapi kehilangan menantu tersayang.
Bila Andyka angkat mata, senyuman
terukir buat mummy. “Rencana Ilahi
terlalu baik untuk Andy nafikan, mummy...”
Cp.
15
Dialah
permata yang dicari
Selama
ini baru kutemui
Tapi
ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah
dia akan ku miliki?
Tidak
sekali dinodai nafsu
Akan
kubatasi dengan syariat-Mu
Jika
dirinya bukan untukku
Redakan
hatiku dengan ketentuan-Mu
Ya
Allah, Engkaulah tempat ku bergantung harapanku
Ku
harap diriku sentiasa berada di bawah rahmat-Mu
-END-
RMsays : Kerana yang hidup itu pasti merasai mati. Salam Ramadan ke 5. Moga anda sentiasa diberkati.
Oh Allah...air mata mncurah2, 😠😖
ReplyDeletesedihnya...
ReplyDeletethanks kak RM..
bnyak pngajaran yg dpt dlm n3 kali ni wlupun pendek..
terubat rindu nk baca air tangan kak RM..
Jaminan Dikembalikan..
Janji ALLAH itu pasti..
Sedihnyaaa....
ReplyDeleteAduh RM..buat saya menangis di bulan puasa..
ReplyDeleteRM thanks
ReplyDeleteBetapa pilu... mencurah air ma
Sesungguhnya bila Allah dah tentukan.. janjinya sentiasa pasti
Thanks RM
Kak ita
allahhh sgt menyentuh jiwa .. x bole dinafikan mati itu pasti .. jaminan dikembalikan ..
ReplyDeletemasyaAllah... syahdunya..
ReplyDeleteSedihnya....yang hidup pasti mati....
ReplyDeletekak rehan.. serius cakap hasil tinta kak rehan macam magik... bila gembira, hati turut rasa, dan bila berduka...hati turut merasa.. seolah2 hidup... dan terima kasih untuk entry kali ni.. dan hidup itu hanya sekali dan bila tiba waktu yang dijanjikan kita kembali... sesaat tak cepat dan sesaat tak lambat.. thank you..
ReplyDeleteSubahanaallah.........
ReplyDeleteAllahu sedihnya...ya kita semua adalah jaminan yg akan dikembalikan. RM mgingatkan kami ttg kematian yg pasti. Jzk khair
ReplyDeleteSedihnya,salam Ramadan yg ke5 kak rehan
ReplyDeleteSalam ramadhan....
ReplyDeleteRehan Makhtar kalau x buat saya menangis memang x sah kan? Terima kasih kerana mengingatkan saya tentang mati.
ReplyDeleteSUBHANAALLAH....
ReplyDeleteAllah .. Rm buat saya sedar tentang mati yg boleh datang bila2 masa.. Terima kasih banyak..
ReplyDeleteKepada Allah berserah
ReplyDeleteAduh..sedihnya...subhanallah
ReplyDeleteAllahurabbi...menitis air mata..sayunya...
ReplyDeleteSdihnyaa..mngis teresak esak saya..
ReplyDeleteMati itu pasti!
ReplyDeleteAllah2... Terkesan dihati. Subhanallah. Segala pujian untukNya. Tq, Kak RM. May Allah bless you.
ReplyDeleteSebak dan terasa kerdil diri ini dear..
ReplyDeleteYa Allah.... Menitis airmata saya.... Tulus betul hidup famili Andy n famili Ana.
ReplyDeleteYa Allah..sebak dan sedar diri..terimakasih RM..indah sgt..
ReplyDeleteInnalillahiwainnailaihirojiun.. sgt menyentuh hati..sgt terkesan..dan tertanya, adakah diri ini kuat menghadapi kehilangan disaat bahagia terbina.. Ampunkanlah dosa kami..kuatkan dan tabahkan hati kami menghadapi dugaanMu Ya Allah..
ReplyDeleteAllah....sedih hingga menitis airmata....
ReplyDeletesetiap yg bernyawa pasti akan mati...syukran kak RM..
ReplyDeletebila mengetahui kematian itu pasti bila tiba saatnya...terfikir d minda untuk apa sebenarnya yang manusia kejar dan terus mengejar dunia yg fana ini..
ReplyDeleteYa Allah.. sedihnya. Meleleh air mata saya. Saya harap saya jd salah seorang wanita yg budinya, perangainya,imannya mcm cendana.. thanks rehan
ReplyDeleteAlahai RM, syahdunya... sakit mencengkam dada... Benarlah... hidup kita cuma pinjaman .. Dialah yang kekal abadi...Darinya kita datang kepadanya kita akan kembali..
ReplyDeleteSedihnya....benarlah segalanya ketentuanNYA
ReplyDeleteSedih..jaminan tuk dikembalikan ke sisi-Nya..
ReplyDeleteya... mati dalam berkahwin itu lebih baik dari mati tidak berkahwin.. rencana Allah yang maha hebat
ReplyDeletemati itu pasti, hidup itu insyaAllah - sunan (RAM)
ReplyDeleteawal ramadhan ni, dapat banyak sangat berita kematian orang2 yang dekat dengan Allah, moga Allah merahmati mereka semua.
Allahu akhbar...cinta sampai Jannah.
ReplyDeleteAllahu akbar...siapalah kita nak mlawan prancangan Allah...ssungguhnya Allah itu sbaik2 dan shebat2 perancang utk stiap hmbaNya.
ReplyDeleteThks rm sedihnya
ReplyDeleteCukupkah bekalan kita sebagai jaminan untuk dikembalikan? (Peringatan untuk sendiri)
ReplyDeleteOsem story rehan.. ramadhan kareem..
tiada kata-kata yang dapat diluahkan.... yang pasti hati telah tersentuh.... tq RM...
ReplyDeleteSaya sangat sedih bila membacanya dan buatkan saya tersedar akan kematian dan adakah amal saya sudah mencukupi. Ia ibarat peringatan utk diri saya sendiri. RM nukilan awak mmg sangat awesome...
ReplyDeleteTQ,tq n tq sbb buat air mata saya jatuh bercucuran...ter ubat rindu pada cerpenmu...baru smpt baca selepas raya....
ReplyDelete