SEBAIK saja dia
bagitahu ayah, motor berkuasa besar itu terus menderum laju keluar daripada
laman rumah. Tujuannya hanya satu. Ya, gadis itu. Pertama kali, dia rasa degupan jantungnya
bagai terhenti bila mendengar esak tangis Isra sebelum gadis itu matikan
panggilan.
Zam gamam.
Tak tahu nak ke
mana. Tengok jam, dah hampir tengah
malam. Gila dia. Memang dia gila. Tapi, bagaimana kalau Isra lebih lagi
gila? Dia tahu gadis itu rasional. Sejak dulu.
Tapi andai ujian datang sekarang dan Isra kalah? Macam mana?
Motor diparkir
di taman. Zam berlari laju naik ke rumah
Isra dan sebaik saja tiba di depan pintu, tangan yang mahu mengetuk terhenti
sebelum menyentuh daun pintu. Lama dia
begitu hingga akhirnya, tangan dia jatuh ke sisi. Tak jadi nak ketuk.
Zam menoleh dan
dah sedia nak menapak sebelum suara parau akibat sendu itu menyapa.
“Sampai bila kau
nak datang intai aku dekat taman tu, Zam?
Sampai bila kau nak sorokkan yang kau bayar rumah ni? Sampai bila kau nak sorokkan, kau yang bagi
duit dekat aku selama ni untuk aku tampung hidup? Sampai bila kau nak sorokkan yang kau selalu
lawat nenek aku dekat rumah orang tua tu?
Sampai bila kau nak sorok yang kau nak tengok aku bertudung, tutup aurat
segala? Untuk siapa semua tu, Zam? Untuk aku, atau untuk kau?!”
Seperti dalam
telefon tadi juga, Isra masih menembak bertubi-tubi. Zam gagap.
Bibirnya bergetar tapi, dia tak berdaya nak menoleh. Dia tahu, Isra sedang menitiskan
airmata.
“Untuk siapa,
Zam?” tanya Isra sekali lagi.
“Aku selalu ikut
kau selama ni dan intai kau daripada taman bawah tu, untuk kepuasan hati
aku. Aku tak tenang bila aku ada, aku
tak tengok kau sampai rumah dengan mata sendiri. Untuk kepuasan hati aku untuk pastikan kau
hidup selesa setelah aku tahu kisah lalu kau daripada ayah aku dulu. Untuk kepuasan hati aku setelah aku marah kau
kononnya kau sebabkan ayah aku cedera tanpa aku tahu hujung pangkalnya. Untuk kepuasan hati aku yang tak selalu ada
dengan kau. Untuk kepuasan hati sendiri,
Isra…” Zam menoleh.
Menatap tajam
mata Isra dan dada dia begitu berdebar demi melihatkan Isra yang menutup kepala
dengan selendang pemberiannya hari tu. Biarpun
berkerenyuk tapi Isra begitu indah.
Bibirnya koyak
dengan senyuman tipis. Hujung matanya
terasa berair. Kakinya menapak ke depan
selangkah.
“Aku nak kau
bertudung memang untuk kepuasan hati aku, Isra.
Tapi, jujurnya adalah untuk kau sendiri.
Moga kau temui keindahan iman dalam hati kau dengan memulakan
perkara-perkara yang nampak begitu mudah, tapi payah sebenarnya. Untuk kau, Isra. Untuk kau bersedia menjadi seorang isteri
solehah yang setiap lelaki seperti aku dambakan. Cuma, aku hanya menjaga kau untuk orang
lain. Semuanya untuk kau, Israfil…” tambah Zam penuh emosi.
Dia mahu menapak
lagi tapi langkah dia terpaku di situ sudahnya.
Tak berdaya lagi nak ke depan. Nak
menarik dan membawa Isra pergi menjadi suri di hati kerana Isra kini milik
orang lain. Biarpun tiada majlis, Isra
sebenarnya sudah menjadi tunangan Arel dan dia telah berjanji untuk menjaganya
bagi pihak Arel.
Bagaimana dia
seperti lupa diri seketika dan mahu ratah janji itu dengan begitu kejam.
“Kau milik Arel,
Isra… kau akan bahagia dengan dia…”
Tak terjangka,
Isra ketawa halus. Dia angguk
kecil. Ya, dia andai nak dikira sudah
jadi tunang Arel. Dia terima Arel kerana
dia nampak kesungguhan dalam mata lelaki itu untuk memiliki dia biarpun
keluarga jelas menentang. Dia juga
nampak kesungguhan Zam untuk dia bahagia dengan Arel.
“Aku akan
tentukan bahagia aku sendiri, Zam. Terima
kasih sebab kau datang biarpun aku tak harap kau datang malam-malam macam
ni. Buat pertama kali dan biarlah baut
kali terakhir, Zam. Cukup-cukuplah kau
jadi penunggu dekat taman bawah tu. Cukup-cukuplah
kau ikut aku balik daripada jauh demi pastikan keselamatan aku. Cukup-cukuplah kau tanggung aku selama
ni. Aku ingat, aku dah berdiri atas kaki
sendiri. Rupanya, hanya sebelah
kaki. Sebelah lagi, kaki kau. Kata-kata kau dah cukup buat aku yakin dengan
keputusan aku, Zam…” Isra kesat hujung
matanya sebelum airmatanya jatuh.
Dia tak nak Zam
nampak dia menangis.
“Aku tak akan
kerja dengan ayah kau lagi, Zam. Aku akan
keluar daripada rumah ni. Kau… jangan
terus risaukan aku. Berhenti risaukan
aku, Zam. Pergilah… aku tak pernah
dendam kau. Silap aku Cuma satu. Terlalu berharap yang kau ada sikit rasa
cinta pada aku. Tapi, aku sedar… aku
bukan perempuan baik. Di luar sana,
ramai lagi yang lebih baik untuk kau, Zam…”
Mata Isra terkebil-kebil menahan airmata daripada jatuh.
Jujurnya, dia
terdengar kata-kata Zam pada Arel. Begitu
terlukanya dia. Rupanya Zam tak nampak
dia perempuan yang layak.
“Kau dah salah
faham, Isra…” Zam yakin, Isra kecik hati
dengan kata-katanya.
“…aku Cuma nak
yakinkan Arel…”
“Ya, katalah apa
saja, Zam. Tak kan berbekas lagi dalam
hati aku. Lagipun, kau dah nak pergi,
kan? Itu pun kau tak cakap dekat aku…” Hal ini juga buat dia kecut hati dengan Zam.
“Aku tak nak kau
fikir tentang aku, Isra. Masa tu lambat
lagi tapi sekarang…”
“Cukup. Kalau dulu kau tak nak aku fikir tentang kau,
sekarang apa bezanya. Aku tak akan
fikirkan kau lagi. Kau boleh pergi mana
kau suka. Jangan risaukan aku. Kita tak ada kaitan apa-apa. Cuma aku minta kau halalkan segala yang kau
dah buat untuk aku selama ni. Tanpa pengetahuan
aku. Jujurnya, aku tak mampu nak bayar,
Zam.”
Zam angguk. Mengerti dengan kata-kata Isra. Sepertinya, inilah kali terakhir dia dapat
tatap wajah ini tapi sayangkan, pandangan mata Isra tak seperti
sebelumnnya. Dulu… biarpun pandangan itu
tajam tapi hati dia senyum menerima renungan demikian. Tapi sekarang, hatinya calar balar bila
melihat pandangan yang begitu sayu itu.
Helmet fullface
itu digenggam erat. Jaket hitamnya
dibiarkan saja terbuka. Mendedahkan baju
putih tipis yang dipakainya.
“Aku mungkin tak
ada bila kau jadi isteri Arel nanti, Isra…”
“Tak ada kau,
majlis tetap berlangsung.”
Mata Zam
terpejam rapat. Sakitnya dengan
kata-kata Isra. Tapi, dia memang layak
dibidas dengan bicara demikian.
“Arel akan jaga
kau dengan sebaik mungkin, Isra…”
“Ya, aku
tahu. Sebab tu aku terima dia…”
Sekali lagi hati
Zam tersiat hidup-hidup. Dia paksa
dirinya senyum. Menyoroti wajah
Isra. Dia beranikan diri mendekati
Isra. Disentuh hujung tudung yang dia
hadiahkan itu. Comot betul.
“Nanti Arel akan
belikan kau tudung yang lagi lawa. Yang ni,
boleh buat alas meja…” gurau Zam.
“Tak… aku nak
buang…”
Sekali lagi, Zam
angguk bila gurauannya tak mendapat sambutan.
“Aku tak kan
muncul lagi dekat taman tu, Isra…”
“Kau mesti tak
sabar kan nak pergi luar negara, Zam?”
Isra paksa dirinya senyum.
Zam angguk. “Itu impian aku. Nak mengembara. Belajar budaya orang. Cari ilmu baru setiap masa.”
Jawapan Zam, buat
Isra tunduk.
“Mesti kau rasa
masa tu lambat aje berlalu, kan? Bila
kau dah tak sabar nak pergi…”
Sekali lagi Zam
angguk. “Sangat lambat.”
“Kau nak tahu
tak macam mana untuk buat kau rasa masa tu cepat berlalu?”
“Ada ke benda
macam tu?” Kening hitam Zam
terjongket.
“Ada. Kalau kau nak tahu, aku bagitahu…”
Kata-kata Isra
membuahkan senyuman kecil Zam. Dia
menapak mendekati Isra selangkah.
Menyeluk kedua belah tangan dalam poket jeans yang koyak. Fesyen katanya.
“Tak payahlah
cakap sebab aku sendiri dah tahu macam mana.”
“Macam
mana?” Giliran Isra pula tak sabar nak
tahu.
Jujurnya, dia
juga mahu masa itu pantas berlalu. Dia
nak Zam pergi. Dia mahu hidup dengan
pilihannya sendiri.
“Bersama dengan
kau, masa tu memang pantas berlalu, Isra.
Sampaikan aku tak sedar yang aku dah terlepas setahun lebih. Dan aku jugak tahu, yang berlalu itu tak akan
datang lagi…” ujar Zam tenang.
“Masuklah. Dah lewat.
Tak manis betul aku datang rumah anak dara tengah-tengah malam ni. Aku balik dulu. Nanti, kalau aku dah pergi… kau jangan lupa
ziarah ayah aku. Dia dah anggap kau
macam anak dia. Kau boleh lupakan aku
tapi jangan lupakan ayah aku,” pinta Zam separuh merayu.
Isra diam tak
berkata apa.
Zam menoleh. Dah sedia nak berlalu tapi langkahnya
dipakukan kembali. Menoleh separuh pada
Isra. Jelas hidung mancung Zam pada mata
Isra. Rasanya, inilah masanya. Seperti yang Isra minta. Kali pertama dan kali terakhir.
“Aku cinta kau,
Isra.” Dia terus hayun langkah menuruni
anak tangga tanpa menoleh lagi.
Siapa kata,
cinta harus memiliki?
Tidak…
Melepaskan orang
yang kita sayang demi bahagia mereka adalah perkara yang begitu indah. Jodoh, bukan dihujung telunjuknya. Jodoh ini rahsia Ilahi.
Andai termaktub
di dalam perjalaan takdir dia akan miliki Isra, satu hari… di tempat dan waktu
yang hanya Tuhan mengetahui… mereka akan bertemu. Andai tidak, dia akan bahagia. Isra juga akan bahagia.
awat sedih sngat nie...
ReplyDeletenak nagis pulak dah
Alaa nak arel ngan isra
ReplyDelete:-(
ReplyDelete:-(
ReplyDeleteHuhuhu.. Terluah akhirnya, tp
ReplyDeleteAkhirnya....zam...'aku cinta kau isra'....huhu
ReplyDeleteAkhirnya... isra dpt jugak confirmation ttg hati zam
ReplyDelete