SEJAK tadi, Isra
hanya gelak tak henti-henti dengan cerita dongeng daripada Nek Kalsom. Maacm-macam orang dulu kala ni. Nak-nak cerita daripada zaman Jepun dulu. Aduhai…
Hingga siap
pemeriksaan kesihatan daripada Doktor Arel, barulah dia mampu bernafas dengan
betul. Jika tidak, nafas dia rasa
tersangkut.
“Beria awak
gelak, ya?” tegur Arel.
Isra yang dah
siap membantu Arel mengemas barang, hanya jongket kening. Terukir senyum tipis pada bibirnya.
Tenang.
Damai.
“Kalau saya tak
datang sini, susah betul nak jumpa awak sekarang…” Muncung Arel keluar sedepa.
Dia sendiri pun
sibuk. Tapi, dia tetap curi peluang
untuk datang buat pemeriksaan kesihatan amal dekat rumah harapan ni. Kerana dia tahu, di sinilah wajah yang
sentiasa dia rindu itu ada. Di sinilah
rumah Isra sekarang. Siang malam, gadis
itu hanya di sini. Menjadi salah seorang
sukarelawan di sini. Paling penting…
Arel tunak memandang Isra.
Cantiknya la hai
bila dia dah bertudung, berbaju kurung. Tambah
pula dah suka senyum dan ketawa. Tak macam
dulu.
“Bila nak cuti
ni?” soal Arel.
“Saya memang
sentiasa kerjalah. Sampai masanya, saya
cutilah…” jawab Isra tersenyum malu.
“Awak tak
nyesal?”
“Nak nyesal
kenapa?” tanya Isra kembali.
“Entah-entah,
awak tak yang menyesal pilih saya? Padahal
ramai doktor muda belia, cantik jelita dekat tempat kerja awak tu. Ni mesti rasa berat hati, kan?”
“Hey… tengok
oranglah. Tak mainlah berubah hati…” Arel mencebek. Dia gantung beg ke bahu. Dah sedia untuk berlalu.
Mereka sama-sama
menapak ke pagar. Arel hentikan
langkah. Isra juga. Arel menoleh dan menatap Isra
sepenuhnya. Isra hanya tunduk.
“Hujung minggu
ni kita nak nikah dah. Tapi, kita
masing-masing sibuk dengan kerja kita lagi.
Saya harap lepas ni, saya akan ada masa untuk awak. Saya tak nak awak sendiri lepas jadi isteri
saya…”
“Hey, jangan
cakap gitu. Saya faham tugas awak. Saya bangga bakal suami saya ni banyak bantu
masyarakat. Macam sekarang ni…” Sempat Isra menceberkan bibir ke sekitar
rumah harapan.
Orang-orang tua
di sini, semuanya tak berkemampuan. Ada anak,
tapi semuanya tak nak hiraukan orang tua.
Andai datang pun, seketika Cuma… sekadar menambah garis luka dalam jiwa,
buat apa. Elok tak payah datang
langsung.
Dia pula, sibuk
nak menumpang kasih dengan ibu ayah orang lain.
Apa nak kata, bila diri sebatang kara.
“Isra?” seru
Arel bila melihat Isra seperti hanyut dalam emosi sendiri.
“Awak okey ke?”
“Apa yang tak
okey ni, Doktor Arel?” tanya Isra dalam
senyuman. Tak faham betul dia. Sejak tadi dok tanya okey ke tidak. Dia baik-baik aje.
“Takkan sebab
saya nak kita buat majlis akad nikah aje awak rasa saya tak okey?” duga Isra.
Manalah tahu…
Arel mampu. Cuma dia tak nak
membazir.
“Bukan tu…”
“Habis tu?”
“Err…” Bicara Arel mati. Tak daya nak meneruskan kata. Tak nak ungkit lagi yang dah berlalu. Nampak Isra pun seperti dah lupa atau
buat-buat lupa.
Apa-apa
sajalah. Dia tak nak ungkit.
“Awak nak gi
jenguk Pak Zaman ke petang nanti?”
Isra
angguk. “Semalam saya call dia. Dengar ke suara tu, macam tak sihat…”
“Kalau apa-apa,
awak call saya cepat-cepat, ya?” pesan
Arel pula.
“Saya balik
hospital dulu…” Dia kenyit mata pada
Isra tapi tak sempat lepasi pagar, suara Isra menahan.
“Kenapa?” tanya Arel bila Isra hanya diam.
“Saya sayang
awak,” akui Isra tiba-tiba. Hujung matanya
terasa basah.
“I love you too,
Israfil,” balas Arel.
Berat hatinya
untuk berlalu. Terasa ada yang tak kena
dengan Isra.
“Jaga diri…” pesan Arel.
“Awak pun
sama. Nanti saya call.” Lambaian tangan Isra menghantar kepergian
Arel. Setelah pintu pagar terkatup
rapat, bahu Isra disapa orang.
Dia menoleh. Nenek sedang tersenyum payah. Airmata Isra jatuh dalam senyuman. Entah kenapa, sukarnya untuk dia tolak wajah
lelaki itu.
PANGGILAN Pak
Zaman menyentap tangkai hati. Zam dah
nak pergi. Sepatah pun Zam tak bagitahu
bila tarikh keberangkatan. Rupanya, dua
hari setelah lelaki itu temui dia malam tu.
Tergamak betul Zam. Atau dia yang
menolak untuk tahu semua tu? Kerana rasa
ego dalam diri yang kononnya dia kuat untuk hadap perkara ini?
Ketukan pada
pintu buat Isra tersentak. Dia rapati
pintu setelah mengenakan tudung. Dia masih
berharap Zam muncul tapi Arel. Nampak lelah
dan penat.
“Awak tahu, kan?” soal Arel.
Isra tahu Arel
maksudkan tentang kepergian Zam. Ya, dia
baru tahu. Kerana itu dia terasa lemah
segala sendi.
“Jom kita pergi
airport…” ajak Arel kalut.
“Dah lambat…”
“Belum
lagi. Dengar kata dia pergi kali ni
lama. Mungkin bertahun-tahun dan kita
belum tentu lagi ada umur yang panjang kalau bukan sekarang, Isra,” pujuk
Arel.
“Saya tak nak
pergi. Saya nak pergi rumah
harapan. Saya dah janji dengan nenek…” Isra berkeras.
Arel lepas nafas
berat. Apa lagi yang Isra mahu
sembunyikan bila segalanya begitu terang lagi bersuluh? Anehnya…
“Kalau awak tak
pergi sekarang, awak akan menyesal seumur hidup, Israfil…”
Perlahan, Isra
senyum dan menggeleng serentak. Dia dan
Zam dah selesaikan segalanya malam itu. Tiada
lagi dendam dan rasa asing yang bersimpul dalam urat hati masing-masing.
Cuma, pengakuan
Zam buat dia rasa nak meraung. Perlu ke
Zam mengaku cinta pada saat-saat begitu?
Untuk terus buat dia merana? Tidak…
dia kuat. Dia tak akan ikutkan rasa
hati.
“He’s leaving,
Isra…” ulang Arel.
“…for good…”
“Saya tahu. Biarlah dia pergi. Tak ada apa yang mampu saya lakukan. Biarlah dia.
Jika dulu, saya tak pernah sekat… sekarang juga saya tak akan
tahan. Dia bebas buat apa saja seperti
saya bebas buat keputusan untuk diri saya…”
“Walaupun hati
tu terluka?” bidas Arel.
Dahi Isra
berkerut. Apa yang Arel cuba katakan ni.
“Dia cinta awak…”
Isra tunduk. Ya, dia tahu.
“…dan awak juga
cinta dia…”
Kepala Isra
terangkat. Memandang Arel dengan
pelbagai persoalan.
“Saya tahu
tu. Cara awak tolak dia dan terima saya,
dah buat saya faham segalanya…” ujar
Arel menguatkan hujahnya.
Isra gamam. Dia pandang cincin pada jari manisnya. Ini milik Arel.
“Saya nak hidup
dengan awak, Arel…” akui Isra.
Arel angguk. “Saya tahu.
Awak dah pilih saya. Saya akan
ajar awak untuk cintakan saya. Tapi,
sekali lagi saya bagitahu… Zam nak pergi dah…”
Kerana desakan
Arel, dia ada juga di KLIA biarpun tanpa penyetahuan Arel. Bingit.
Semak. Semua orang lalu-lalang
dengan langkah yang pantas. Dengan bagasi
kecik juga besar. Pengumuman demi
pengumuman. Sakit kepalanya.
Daripada jauh,
dia nampak Arel dan Zam. Saling berpelukan. Saling berpesan gamaknya. Wajah Zam yang dah bersih dengan rambut yang
sudah dikemas rapi. Bibirnya mengukir
senyuman tipis.
“Terima kasih,
Zam. Sebab kau cinta perempuan macam
aku. Terima kasih sebab yakinkan Arel dan
keluarga dia untuk terima aku. Terima
kasih, Zam…” bisik Isra perlahan.
Bila Zam
melambai tangan pada Arel, airmatanya jatuh laju ke pipi. Hingga dia terduduk di situ, menangis
teresak-esak.
Aku rindu kau,
Zam!
Andai mampu dia
zahirkan…
MELIHAT titisan
airmata Isra, Nek Kalsom semakin yakin. Perasaan
Isra tak pernah berubah. Sayang pada
Arel dan sayang pada Zam, adalah sayang yang berbeza. Itulah yang Arel katakan padanya tadi.
“Isra sayangkan
saya, nek. Tapi, dia cintakan Zam…”
Pilu hati tuanya
mendengar kata-kata Arel. Begitu kasih
Arel pada Isra tapi apa nak kata, hati adalah organ yang paling pelik. Biarpun akal melarang, hati begitu degil
dengan kehendak sendiri. Saat ini, hanya
iman yang menjadi petunjuk.
“Kenapa paksa
diri, Isra?”
Isra tunduk. Mengetap bibir. Membiarkan airmatanya terus menitis. “Isra tak kuat, nek. Isra lemah sangat. Segagah mana Isra meminta moga Allah buka
pintu hati Isra untuk Arel, kuat juga ada bisikan yang memaksa Isra terus
rindukan dia. Arel dah banyak berbudi
pada Isra, nek…”
“Tak kan kerana
budi?” selar Nek Kalsom.
“Isra akan
cintakan dia, nek. Lepas kami kahwin,
Isra akan serahkan segalanya untuk Arel.
Masa tu, tak akan berbaki apa pun untuk Zam melainkan kawan lama
semata-mata…” Begitu yakin dia utarakan
janji.
Nek Kalsom
menggeleng kecil. Isra tak tahu yang
Arel dah tahu tentang rahsia hati Isra yang tak pernah berubah sejak Zam
pergi.
“Kamu yakin
keputusan kamu ni tak akan buat sesiapa sakit di depan hari?” soal Nek Kalsom.
Isra angkat
wajah. Dahinya berkerut lebat.
“Minta lagi pada
DIA, Isra. Sampai masa, DIA akan beri
jawapan yang paling tepat. Moga
keputusan kamu ni, akan buat semua orang bahagia. Lebih-lebih lagi diri kamu sendiri,” nasihat
nenek lantas berlalu ke taman.
Airmata tuanya
jatuh lagi.
Aduh.... X sabar nk tau kesudahan...
ReplyDeleteBerbolak bagi lagi hati si isra nie...
ReplyDeleteIsra..isra.. dia ingat hati ni blh adjust tiba2 je?
ReplyDelete