PAK Zaman
memandang wajah anak lelakinya. Wajah
itu sentiasa tenang. Hanya sekali dia
tengok wajah itu berkerut dan itu pun dah lama.
Yang menjadi mangsa wajah berkerenyuk itu dulu adalah Isra. Rupanya, Zam cuba lindungi perasaan sendiri
pada gadis itu.
“Zam dah siap
semua dah?”
“Ya, yah…”
Pak Zaman angguk
sendiri. Dah banyak hari tak berniaga. Dah banyak hari jugak dia tak jumpa
Isra. Apa khabar budak tu, tak
tahulah.
“Zam ada jumpa
Isra?”
Tangan Zam yang
sedang mengemas beg galas terhenti.
Tak memandang ayah sebaliknya
hanya merenung beg galas sendiri.
“Tak, yah…” jawab dia sudahnya.
Kali terakhir
adalah tiga empat hari sudah. Semasa
keluarga Arel datang ke kedai mereka tanpa petanda. Sewaktu Arel muncul akhirnya menjadi
penyelamat pada Isra seperti sebelum-sebelum ini dan dia hanyalah pelakon
tambahan dalam kisah mereka.
Watak tak
penting. Tiba masa, watak seperti dia
akan dimansuhkan dulu. Akan lenyap. Akan dilupakan orang. Watak tempelan orang kata demi menguatkan
sesuatu perjalanan cerita.
“Kenapa tak
jumpa dia? Lagipun, Zam tak cakap lagi
dekat dia kan yang Zam nak pergi dah…”
“Dia dah tahu…”
“Tahu daripada
orang lain dengan tahu dariapda mulut Zam sendiri, itu dua perkara berbeza,
Zam,” tegur Pak Zaman perlahan.
“Kalau Zam suka
dia, kenapa tak cakap betul-betul dekat dia?
Kalau sayang dia, cinta dia… kenapa tak mengaku? Bukan baru semalam tapi dah setahun lebih Zam
dok simpan rasa tu sorang-sorang. Jangan
ingat ayah tak cakap apa, ayah tak tahu.
Ayah orang tua Zam. Ayah
memerhati. Kamu tu tiap kali balik, kata
benci nak tengok Isra, tapi kamu pergi jugak tolong ayah dekat kedai. Padahal ayah boleh aje pergi sendiri. Kalau bukan sebab perasaan kamu pada dia,
sebab apa lagi?” Panjang Pak Zaman
membebel.
Tak pernah lagi
dia membebel gini gaya pada Zam. Tiada
sebab untuk membebel sebab Zam anak yang baik.
Tapi sekarang, Zam dah berlaku kejam pada Isra. Tak baik begitu apatah lagi dia juga terkesan
dengan renungan Isra pada Zamani. Renungan
yang punya rasa yang sama seperti Zam.
Atau Zam ni tak
pernah mengerti?
“Zam tak nampak ke
apa yang ayah nampak selama ni?”
Dahi Zam
berkerut. “Apa yang ayah nampak dan apa
yang Zam tak nampak?” Tak faham dengan
soalan ayah. Tiba-tiba aje.
“Ayah nampak
macam mana pandangan Isra pada Zam. Ayah
nampak gelisahnya dia bila kamu ada. Ayah
nampak beratnya hati dia setiap kali nak berpisah dengan kamu. Kamu tak nampak semua tu? Jangan kata tak perasan… ayah memang tak
boleh nak terima alasan kamu tu, Zam.”
Keras nada Pak Zaman pada akhir ayat.
Zam lepaskan
nafas pendek. Dia angguk perlahan. Dia perasan.
Sedar sangat dengan tingkah Isra.
Kadang-kadang sengaja mencari gaduh dengan dia. Gamaknya, Isra begitu rindukan dia bila dia
tiada.
Andai dia mampu
undurkan waktu.
Tak lama. Cukuplah sekadar waktu belum Arel
muncul. Tapi, segalanya dah
terlambat. Isra dah ambik cincin tanda
pemberian orang tua Arel. Di depan dia
dan dialah yang menjadi saksi. Biarpun Isra
tak senyum tapi renungan mata antara Isra dan Arel dah bercakap begitu lantang
pada pendengarannya.
“Dah terlambat
sangat dah, yah…” Zam paksa dirinya
senyum biarpun mata tak memandang pada mata Pak Zaman.
“Apa yang
lambatnya, Zamani?” Lemah semangat Pak
Zaman dengan cara anak seorang ni. Tak bermula
lagi dah kata lambat.
“Zam tak mula
lagi pun. Kalau sekali aje Zam mengaku
dekat Isra, ayah rasa…”
“Isra dah terima
cincin daripada keluarga Arel, yah…”
pangkas Zam perlahan seraya menoleh pada wajah ayahnya.
Pak Zaman nampak
gamam. Lidah yang mahu bertingkah,
menjadi kaku. Tak tahu lagi nak kata apa
bila mendengarkan ayat demikian keluar daripada mulut Zam.
Allahuakhbar… kopiah dibuka. Kepala yang sudah memutih digaru
perlahan. Kalau begitu, memang dah
terlalu lambat. Sekarang ni, terserah
pada jodoh ajelah. Andai Tuhan dah tulis
jodoh Zam dan Isra, mereka akan bersua dalam apa cara sekali pun. Tapi, jika bukan dengan Zam sekalipun, dia
nak Isra bahagia. Budak tu dah lama
sangat sesat dalam pencariannya. Mencari
sebuah kebahagian.
“Sabarlah,
Zam. Takdir tu memang fitrahnya
menguji. Kalau kita tak tewaskan ujian
dan laluinya dengan tabah hati, kita akan tersungkur, Zam. Andai Isra hadir sebagai ujian… moga Zam
lepasinya dengan penuh keimanan…” Tubuh
diangkat.
Bahu Zam disapa
dan diramas perlahan. Pak Zaman terus
menapak ke bilik. Hati tuanya terasa
pilu. Dia begitu sayangkan Isra. Dia mahu Isra menjadi keluarganya. Cuma selama ini dia tak nak paksa kerana ini
adalah urusan dua hati.
Melihat daun
pintu bilik ayah yang terkatup rapat, Zam tahu… ayah kecewa dengan
sikapnya. Katalah apa saja. Tuduhkan dia pengecut atau apa saja. Dia tak pernah kisah tentang semua itu. Dia tak berani ke depan kerana dia tak yakin…
adakah dia mampu bahagiakan Isra? Dia tiada
apa. Hidupnya dihabiskan dengan
mengembara. Ada masanya diri tak
terurus.
Tengoklah sekarang. rambut panjang. Jambang dan misai dah mula tumbuk
meliar. Langsung tak terjaga. Ini kan nak jaga anak orang? Bermimpi ajelah. Helaian pakaian terakhir disumbat dalam
Deuter setinggi semester itu. Diikat kemas
dan ditolak ke tepi. Belakang tubuh
bertemu dengan belakang kerusi. Menyilang
jari-jemari sendiri dan tunduk ke permaidani.
DARIPADA jauh,
Zam nampak Isra senyum bila tangannya dipaut oleh orang tua Arel. Kemudian, dia pandang pula pada Arel.
“Kau jaga dia
baik-baik, Rel…”
“Dengan sepenuh
hati aku,” balas Arel.
Zam senyum
sudahnya. Dia kehilangan kata
langsung. Separuh hatinya tadi berharap
agar Isra menolak cincin pemberian keluarga Arel. Cincin tanda katanya. Majlis akan diadakan kemudian. Secepat mungkin. Paling memeritkan, Isra tak nak
bertunang. Andai tiba masanya, dia terus
mahu dinikahkan.
Begitu tak sabar
Isra nak jadi isteri pada Arel. Dia sendiri
melopong. Ternganga. Tapi, tiada pilihan… dia cuba ukir
senyum.
“Zam, boleh aku
tanya…”
Pandangan dihala
pada Arel. Kening terjongket. Memberi izin Arel menyuarakan apa yang
membeku dalam dada lelaki kacak ini.
“Kau selama ni
tak pernah ada rasa pada Isra?”
Senyuman senget
Zam terukir bila soalan itu akhirnya lepas daripada rengkung Arel. Ya… siapalah tak syak bukan-bukan. Lagipun, Arel orang bijak pandai. Haruslah dia syak perkara begitu.
“Kalau ada pun,
benda tu tak berbekas pada hati Isra, Rel.
Jangan risau…” Bahu Arel ditepuk
perlahan.
“Makna kata,
memang adalah?” Tak betah pulak Arel
dengan jawapan Zam. Rasa seperti
mencaras. Tapi, caras apa bila Zam dan
Isra tak pernah ada hubungan istimewa.
“Ada… tapi
beberapa ketika sebelum ni, dah tak ada…”
Ya Rel. Aku cuba padam semua rasa
tu bila dia terima cincin kau.
“…dia pilih kau,
Rel. Sekarang, aku hanya akan jadi
keluarga dia. Jadi macam abang dia…”
Wajah Arel masih
masam. Dia kemudian memandang pada
Isra. Mama yang nampak senyum
paksa. Irah yang mencuka. Hanya ayah yang tayang wajah tenang. Dia tahu, dia paksa keluarganya berjumpa
dengan Isra. Orang kata, tak kenal maka
tak cinta. Dia juga mahu orang tuanya
lalu perasaan yang sama.
Israfil… gadis
istimewa. Yang mampu membuat dia rasa
dia masih tak lengkap. Yang buat dia
rasa dia perlu berteman. Yang buat dia
yakin, dia perlu ada peneman hati agar rasa yang lengkap itu menjadi
sempurna.
“Kalau aku
rampas dia daripada kau…”
“Hey, Rel… apa
kau cakap ni?” Zam memangkas kegelisahan
Arel. Janganlah Arel salah faham. Kesian Isra nanti.
“Kau tak rampas
sesiapa. Isra hak dia sendiri. Hati dia, hanya dia berhak nak bagi dekat
siapa. Sekarang, dia dah bagi dekat
kau. Kan aku dah cakap, bahagia Isra
adalah yang terutama. Bahagia dia adalah
dengan kau dan kita bukan budak hingusan lagi Rel… untuk bertumbuk sebab sorang
perempuan. Ramai lagi dekat luar sana,
Rel. Bukan Isra sorang… akan ada yang
lagi baik untuk aku di luar sana,” pujuk Zam.
“Kau pasti dia
akan bahagia dengan aku, Zam?”
Tanpa menangguh,
Zam angguk yakin.
Dengan aku, dia
hanya akan sengsara. Dan, mereka saling
bertukar senyum.
Perbualannya dengan
Arel hinggap seketika dalam kepala. Zam buka
mata. Meraup wajah seketika sebelum
bangkit nak masuk ke bilik sebelum langkahnya mati bila telefon bimbitnya
menjerit nyaring.
Dia tarik
telefon tersebut daripada poket seluar.
“Isra?” seru Zam.
“Makna kata
memang aku ni jahatlah, ya? Yang tak
layak untuk lelaki sebaik kau? Jadi, kau
memang layak dengan perempuan yang lagi baik daripada aku diluar sana, kan?” soal Isra bertubi-tubi.
Tuhan… Isra
dengar ke kata-kata dia pada Arel? Tak…
dia tak maksudkan demikian. Dia cuma nak
yakinkan Arel. Isra dah salah
faham.
Huwaaaaaa nape camtu sabaq zammmmm...
ReplyDeleteAlaaaa...salah faham pulak isra..
ReplyDeleteAdeh...salah faham..parah ni..zam..selamatkan keadaan
ReplyDelete😭😭😭😭😭😭
ReplyDeleteHaaa... blh pulak isra nk call zam bila sentap gitu..
ReplyDelete