Tuesday, March 27, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 24

MELIHAT pada Sera, mak su tahu ada satu perubahan yang begitu ketara.  Dia kenal siapa Sera Nur dan dia tahu setiap kecil perubahan yang berkalu dalam diri anak buahnya itu.  Dia menyayangi Sera Nur, lebih daripada diri sendiri malah dia pernah berjanji akan menjaga Sera Nur dengan baik.  Paling penting, wasiat arwah abang dan kakak iparnya yang Sera Nur tak akan tahu tentang keluarga arwah Bakri apatah lagi keturunannya.
Tapi, dia telah mungkir janji.  Dia sendiri buka mulut tentang apa yang jadi pada keluarga mereka dan Bakri biarpun tidak sepenuhnya.  Paling penting tentang keturunan Bakri… Dengan harapan agar Sera sedar betapa busuknya hati orang berada itu. 

Namun sayang, dia juga tak mampu menyekat semua tu.  Sera dah dewasa.  Adakah perlu dia terus mungkir janjinya dengan arwah orang tua Sera?  Adakah perlu dia letak bahagia Sera melebih segala-galanya? 
Ya… memang dia hidup demi bahagia Sera tapi hati tuanya begitu rapuh untuk percaya dengan bahagia yang sedang Sera cipta.  Biarpun betapa benci dia pada Bunyamin, bahagia Sera adalah yang terutama. 
Hati mak su menangis teresak-esak.  Terasa jahat sungguh bila mahu sekat bahagia Sera tapi dia juga rasa dia telah mungkir janji andai tidak melarang Sera daripada terus mendekati Buya. 
Sepertinya, diluah mati emak ditelan mati bapak. 
“Sera balik lambat hari ni?”  soal mak su perlahan di meja makan pagi itu.
“Ya, mak su.  Ada lagi yang tak siap.  Kalau siap awal, Sera balik awal, ya?” 
Mak su angguk.  Diam.  Sekadar menyuap nasi ke mulut.  Bagaimana Sera cuba sembunyikan air wajah pun, dia dapat baca.  Bibir tuanya mengoyak senyuman tipis. 
Gamaknya, inilah yang paling tepat.  Bahagia Sera adalah melebih segala-galanya dalam dunia ini. 
“Sera okey?” 
Sera angguk.  Tapi, pelik dengan soalan mak su.  Tak mungkin mak su dapat tahu hubungan dia dengan Buya.  Malah, dia sendiri dah pesan pada lelaki itu agar memberinya waktu.  Dia yakin, mak su akan terima hubungan mereka nanti. 
“Kenapa mak su tanya macam tu?”  Timbul juga rasa curiga dalam hati Sera. 
“Mak su risaukan kamu…”  Suara mak su tenang. 
Dia renung mata bundar Sera lama.  Jelas tergambar bahagia di sebaliknya.  Buatkan dia tersenyum lebar.  Inilah impian dia biarpun cara Sera capai bahagia adalah tak seperti yang dia mahu.
“Mak su risau sebab mak su banyak bagi tekanan dekat kamu sejak akhir-akhir ni.  Padahal kamu tak tahu apa-apapun.  Selama ini mak su sorok kenyataan tentang keluarga kita dan keluarga diorang.  Bila sekarang kamu tahu tiba-tiba, mak su rasa mak su kejam paksa kamu dalam semua benda.  Mak su harap, Sera tak simpan dalam hati…”  Bibir itu koyak dengan senyum.  Tipis.  Cukup terpaksa. 
Melihat pada air wajah mak su, Sera tahu sangat… rasa kecewa itu sedang terluah pada wajah mak su.  Jelas. 
“Patutnya Sera yang cakap dekat mak su, Sera harap apa yang pernah jadi sebab Sera ni… mak su tak simpan dalam hati…”  Apa yang dia maksudkan adalah Buya.  Tidak lain. 
Mata mak su mengerdip sekali.  Dia lebarkan senyum.  Kali ini nampak lebih berperisa.  Cuma tak tahulah perasa apa. 
“Kamu satu-satunya keluarga yang mak su ada, Sera.  Mak su hidup hanya demi kamu.  Mak su memang nak halang kamu dengan nyawa mak su kalau boleh.  Mak su memang tak nak langsung terima hubungan kamu dengan Buya…”  Bicara mak su patah di situ.
Dia tunduk menelan liur.  Peritnya rengkung. 
Sera yang hanya berdiam diri, mengerutkan dahi.  Mak su dah tahu hubungan dia dan Buya.  Susah dia nak sorok rupanya.  Senyuman tawar terukir pada ulas bibir merah itu.  Tak mampu nak bersuara apatah lagi bila mak su angkat wajah dan mata mereka bertentangan. 
Tiada renungan kecewa jauh sekali benci.  Gamaknya, mak su dah terima.  Entahlah.
“Mak su memang tak nak restu hubungan kamu dengan dia.  Tapi, mak su dah janji dengan arwah orang tua kamu yang kamu akan bahagia.  Jadinya sekarang, sebab Buya adalah punca bahagia Sera… mak su akan lapangkan hati untuk terima kamu dan dia, Sera…”  ucap mak su bersama airmata yang berjaya tewaskan dia akhirnya; jatuh ke pipi. 
Melihat wajah mak su, Sera angkat tubuh.  Didekati mak su dan dipeluk erat tubuh itu.  Airmata dia juga jatuh tak terseka.  Bibir diketap menahan tangis.  Tak perlu dia berterus-terang.  Mak su sudah dapat tahu.  Dan dia juga tahu, mak su sedang paksa diri untuk terima demi bahagia dia.
“Sera minta maaf, mak su.  Sera anak tak kenang budi…” 
Lengan Sera yang memaut lehernya diusap perlahan. 
“Sera anak mak su yang baik, yang cantik dan yang mendengar kata sejak dulu.  Tak pernah sekali pun Sera bantah.  Bahagia Sera terpenting buat mak su.  Apalah guna mak su hidup kalau mak su jadi punca kamu tak bahagia, Sera.  Tapi, mak su ada syarat…” 
Pelukan dilonggarkan biarpun tangan masih lagi melilit leher mak su.  Sera jatuhkan pandanan pada ibu saudaranya yang sudah tersenyum manis.  Mendongak padanya. 
“Janji dengan mak su, Sera kena bahagia.  Kena tabah.  Kena kuat dan andai satu hari nanti, sesuatu yang tak diingin berlaku… jangan lari.  Hadapi.  Kalau tak kuat, toleh belakang.  Mak su ada untuk kamu.  Mak su akan peluk kamu, Sera.  Mak su tak akan biarkan kamu menangis sendiri.  Paling tidak, mak su akan kongsi derita kamu.  Tapi, demi Tuhan, Sera… mak su doakan kamu bahagia sampai syurga…” 
Senyuman manis mak su padam tiba-tiba.  Dia menangis dan terus menangis.
Maafkan Ria, abang… akak.  Ria memang tak tahu nak buat apa.  Tapi, Ria buat semua ni kerana Sera bahagia.  Maafkan, Ria…
Hati seorang ibu saudara menjerit kuat.  Ya, pada arwah abang dan kakak iparnya, dia adalah seorang Nuria.  Yang manja dan begitu bahagia hidup bersama mereka dan seorang anak saudara.  Tapi, ujian mendatang.  Nuria yang manja, menjadi begitu keras dan tegas. 
Tapi, hari ini… dia kembali berubah.  Berubah demi wajah cantik di depannya kini. 
“Mak su sayang kamu, Sera.  Mak su sayangkan kamu…”  bisiknya bersama airmata yang jatuh bercucuran ke pipi. 





DAHI Sera berkerut tak henti-henti.  Sejak pagi dia cuba call Naz tapi langsung tak berjawab.  Rizqi pun sama.  Pesanan dalam group WhatsApp pun tak dibaca.  Apa masalah mereka berdua ni?  Tak kanlah sebab beberapa malam lepas, Naz dan Riz sama-sama merajuk dan tinggalkan dia sendiri begini? 
Tuhan… apa aku nak buat ni? 
Sera raup wajah.  Duduk di atas bangku.  Satu apa kerja pun tak jadi.  Biarpun pesanan Auntie Jane dah hampir siap, tapi dia tak boleh nak sudahkan sepenuhnya.  Kerisauan dia pada dua orang sahabat baiknya itu bermaharajalela sejak pagi. 
Ting! 
Bunyi loceng pada pintu membawa Sera menoleh.  Pada mulanya dia ingatkan Naz atau Riz… hampir dia menjerit tapi wajah lain yang muncul.  Senyuman yang tadi nampak kembang, sedikit kuncup.
“Saya tak diundang ke?”  Buya rapati Sera. 
Rasanya tadi, senyuman Sera kemain lebar.  Nampak aje dia terus suram.  Tak kanlah mak su marah lagi?   Padahal dua tiga hari ini dah okey. 
“Ada masalah?  Mak su?”  Buya menduga. 
Sera senyum dan geleng.  Dia tolak bangku untuk Buya duduk.  Lelaki ini nampak penat.  Sekarang dah hampir jam enam petang.  Dia jujurnya, tak tunggu pun Buya datang tapi andai lelaki ini tiba, eloklah.  Dia pun ada perkara nak cakap. 
“Dua tiga hari tak nampak awak, rindu betul saya.  Awak ada rindu saya tak?” 
Rindu ke tak, ya?”  Sera julingkan mata ke atas.  Dia capai kuntuman bunga, mahu menggubah yang terakhir. 
“Tak sempat nak rindu sebab sibuk sangat…”  tambah Sera.  Dia kerling wajah Buya.  Jelas terpancar kecewa.   
“Awak tahu sesuatu tak?”  soal Buya lembut. 
Sera jongket kening. 
“Saya penat sangat dua tiga hari ni.  Banyak benda nak kena uruskan sejak daddy pergi.  Dua tiga hari ni, meeting tak sudah-sudah.  Banyak benda baru saya kena belajar.  Sorang-sorang pulak tu.  Semua orang nak keputusan cepat.  Diorang tak fikir pun, saya rehat ke tidak, tidur ke tak, makan ke tidak.  Tak pernah tanya.  Sebab tu hari ni, saya curi masa rehat saya, datang sini.  Dengan harapan awak cakap awak rindu saya… terubat sikit semua lelah…”  Bukan dia nak mengayat Sera.  Itu adalah yang terlahir daripada hatinya.
Dia memang perlukan bahu untuk bersandar.  Buat masa sekarang, bahu Sera bukan milik dia yang mutlak.  Tapi, setidak-tidaknya wajah manis itu adalah buatnya.  Mata kuyunya terus merenung Sera. 
Apa yang perlu aku buat dengan kau ni, Sera Nur? 
Soalan itu menghenyak dirinya tak sudah-sudah sejak gadis ini menerima dirinya.  Dia memang tak temui jawapan.  Semuanya bercampur-baur.  Cuma, buat masa sekarang dia hanya ada satu jawapan.  Dia tenang melihat wajah ini. 
“I miss you too…”  akui Sera tiba-tiba.   Dia labuhkan duduk.  Kerjanya terhenti seketika. 
“Saya gurau aje tadi.  Saya tahu awak penat.  Tengok muka pun dah tahu.  Ini awak datang sorang?”
Buya angguk.  Tersenyum tipis.  Lega dengan pengakuan Sera.  Kotlah perasaan gadis ini bertukar sekelip mata.  Dia bimbang sebenarnya.
“Nak makan?” 
“Ada bawak bekal?” 
Giliran Sera pula geleng. 
“Saya belanja makan dekat gerai depan sana, nak?” 
“Apa yang sedap?”
“Semua sedap.  Tapi, bagi saya siapkan satu ni lagi.  Esok pagi Auntie Jane nak datang ambik dah.  Boleh tunggu sekejap?”  pinta Sera perlahan. 
“Jangan kata sekejap.  Seumur hidup saya tunggu awak, Sera…” 
Sera telan liur dengan jawapan Buya.  Dia mahu senyum tapi otot wajahnya kejang.  Hanya mata yang terkebil-kebil. 
“Awak tak akan berlalu daripada hidup saya, kan?”  Entah kenapa, kata-kata mak su padanya pagi tadi mengaum dalam kepala. 
“Saya tak akan lepaskan awak.  Kalau kata awak lari pun, saya tak berdiri aje dekat situ.  Saya akan kejar…” 
“Biarpun masa tu saya tak bahagia dengan awak?”
“Ya… biarpun awak rasa tak bahagia dengan saya, tapi saya akan usahakan moga awak akan bahagia dengan saya…” 
Bibir Sera koyak dengan senyum.  Dia angguk.  Tunduk mengesat juring matanya. 

Sera janji Sera akan bahagia, mak su…  

17 comments:

  1. Alamak.... Tetiba lak terasa ada orang kupas bawang...

    ReplyDelete
  2. Akhirnya dapat juga sambungan.tq rm

    ReplyDelete
  3. Aduhh....pedih kupas bawang. Huhu

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah mlm Ni Ada n3 Bru💞tq2 ya😘kuasa cinta,,mksu pn mengalah,,hrp2 restu dri mksu buya hargai&xsia2kn..

    ReplyDelete
  5. Akhirnya ..setelah lama menunggu... X pernah x best... Syukur mak su dh restu.. Buya jgn permainkan perasaan sera tau

    ReplyDelete
  6. Harap buya berniat baik pada sera

    ReplyDelete
  7. harap sera x salah sandar bahagia pd buya...

    ReplyDelete
  8. Allahu..sedihnya...kuatnya maksu..😢😢😢😢...adakah bahagia milik sera...

    ReplyDelete
  9. Buya jahat! Niat utama bukan apa yang dia cakap tapi....hukhuk kesian Sera...

    ReplyDelete
  10. Alhamdulillah....bahagia sedang digamit hati yg rindu

    ReplyDelete
  11. Mak su mcm tau2 je nti sera kurang bahagia.. hmm masih curiga dgn buya..🤔 Tqvm RM for the update 🌹🌷 I missed this story too 😉 hehe..moga mencurah2 idea RM utk terus berkarya 🤗

    ReplyDelete
  12. Nonton pertandingan bola pasti kurang seru tanpa taruhan
    Ayo pasang taruhan anda bersama kami WWW.MGMCASH88.COM
    Akun taruhan olah raga terbaik dan terpecaya di Asia
    - SBOBET
    - MAXBET
    - 368BET
    - Tangkas
    - Livecasino
    - Sabung Ayam
    (Baccarat,Sicbo/Dadu,Slot)

    Minimal deposit Rp 50.000
    Minimal Withdraw Rp 100.000

    Info lengkap hubungi live support custumer service 24 jam di :
    PIN BBM : 7B2EC260
    PIN BBM : D8796C4C
    WHATSAAP : +66615620266
    LINE : mgmcash88

    ReplyDelete