Friday, February 23, 2024

Yang Tertinggal 3

Hari yang memenatkan semalam tu, rupanya hilang bila aku bangkit pagi ni. Rasanya, sebab tilamnya yang ada heater.  Rasa macam bertungku.  Selesa dan nyaman tidur.  Juga rasa macam ada di sauna. Ada ketika berpeluh.  

Hari baru tiba lagi.  

Hari ini, kami akan ke Pahalgam.  Harapnya, terubatlah sikit kecewa semalam tak dapat nak naik ke puncak Gulmarg.  Nak diceritakan memang tak ada rezeki.  Pastilah Tuhan akan ganti yang lebih baik. Kali ini, aku ingat berapa jauh Pahalgam daripada Srinagar.  98km, melalui lebuh raya dan juga jalan biasa. Mengambil masa dua jam lebih juga.

Sama seperti jalan ke Gulmarg, ke Palhagam juga cantik.  Cuma tiada melalui lereng gunung-ganang. Sepanjang perjalanan, aku melihat sungai yang sangat indah.  

Air yang mengalir itu nampak tenang kehijauan. Tiada langsung ternoda.  Boleh jadi kerana ia adalah kaki gunung.  Jauh dari hiruk pikuk kota tapi bunyi hon itu tak pernah tak ada (yang ini aku dah lama reda)

Sebelum tiba ke Pahalgam, kami berhenti di ladang epal.  Disebabkan winter, pokok epal semua gondol.  Kering tiada walau sehelai daun.  Tapi, epalnya masih ada.  Aku tak perasan size epal tu besar atau kecik.  Masa ni, aku ke tandas.  Bila patah balik, semua orang senang minum jus epal.  Memandangkan jus epal bukan selera aku sangat, aku hanya sisip sedikit daripada gelas yang Kak Datin belikan.  

Segar, manis asli dan sedap.  Tapi, masih belum mampu jadi air kegemaran aku.  Aku lebih suka air buah delima.  

(Ladang epal yang hanya tinggal ranting.  Nak petik epal boleh datang bulan September katanya)

Tak lama, perjalanan diteruskan lagi.  Kian menghampiri tempat itu, mata aku makin meliar melihat keindahan alam.  Sungguh…indah sungguh.  Kala ini, aku dapat lihat penduduk tempatan yang aku kira lebih kurang macam penempatan setinggan, sedang membasuh kain dalam sungai.  Panorama yang aku rasa aku hanya tengok dalam cerita zaman dahulu di Malaysia ni. Tapi tidak di sana.  Ia masih ada biarpun pada abad ini.  

Walau di mana pun, kesusahan itu pasti dapat dilihat.  Yang pasti, riak wajah mereka nampak bahagia.  Pada aku, itu tanda mereka syukur dengan apa adanya.  Malah, rumah hanya berdindingkan kanvas.  Buat aku tertanya, bagaimana mereka hadapi musim dingin?  Apatah lagi bila salji itu turun dengan lebatnya.  

Aku yakin, biarpun salji pada aku adalah satu keindahan, pada mereka pula satu kesukaran.  

Kami akhirnya tiba di tempat yang dituju. Palhagam adalah terkenal dengan kudanya.  Aku rasa kuda padi kot kita panggil.  Yang kecik tu. Pony.  Bukan kuda tinggi tu.  Kecik pun, kuda tu takat leher aku.  Padahal aku taklah pendek sangat.  Kuda itu yang agak tinggi.  Lambakan kuda-kuda di situ, pada mata aku langsung tak mencacatkan keindahan Palhagam.  Maka benarlah bagai yang aku rasakan, Palhagam jauh lebih indah daripada Gulmarg.  (atau aku masih denial sebab tak dapat naik Gondola hari tu.  hahaha)

(aku tak ambik gambar kuda tu sebab banyak betul.  Macam semut berkawad satu-satu hoora hooray)


Hari ini juga, masih tiada salji yang turun.  Tak apa.  Aku tenang.  Jika Tuhan berkata milik aku, maka tiada siapa yang dapat halang.  Masanya akan tiba.  Kesabaran sentiasa dibalas setimpal untuk apa jua keadaan.  Itu yang guru aku beritahu.  

Waktu ini, Farhan beritahu bahawa trek untuk naik ke puncak Pahalgam agak extreme. Ditambah dengan salji yang mula cair.  Trek akan jadi sangat lecak.  Biarpun suhu sejuk, tapi matahari agak terik.  Berkali-kali aku tanya Farhan, sejauh mana extreme nya.  Bayangkan, ATV yang stabil itu pun, aku tak berani langsung bawa, ini kan pula kuda hidup yang tiada suis untuk kau matikan.  

Kata Farhan, sangat extreme dan proses mendaki itu mengambil masa hampir 2 jam sehala.  

Itulah dia.  2 jam dok atas kuda padahal tak pernah hayat lagi aku tunggang kuda.  

Akhirnya, aku buat keputusan untuk menunggang kuda ke puncak dalam pada Farhan kata sangat extreme.  Ke depan hari, aku belum tentu dapat jejaki ke sini lagi.  Apa salahnya aku nikmati semua ini ke tahap maksima.  Bila aku fikir semula, aku lupa sejak bila aku jadi lemah begini?  Rasanya sejak aku tengok kawan aku lemas dulu kot.  Yang extreme bukan lagi untuk aku.  Keluarga Kak Datin buat keputusan untuk tak ikut kami naik ke atas memandangkan ada anak yang kurang sihat.  Mereka di bawa ke Bethab Valley di mana aku tak tahu nak cerita sebab  aku tak pergi.  Tapi katanya, sangat cantik untuk santai dan bergambar.  Mereka siap main sledeging lagi.

Perkara yang aku tanya Farhan adalah… “Farhan, awak ikut tak?”  

“Ya, kak.  Saya ikut," jawab Farhan. 

Aku rasa masa ini dia adalah salah seorang pasukan avangers yang akan menjaga kami semua. Lega sangat.  

Aku tukar boot berkebun tu.  Betul-betul boot berkebun yang getah tu.  Untuk keselamatn dan demi mengelakkan kotoran degil.  Meninggalkan boot kuning kesayangan aku yang dah kukuh lepas dijahit.  Dahlah hari ini aku pakai skirt.  Macam mana aku lupa kami nak naik kuda hingga aku pakai skirt.  (Nanti tengok kat bawah gambar aku berskirt.  Terpaling OOTD kononnya)

Seperti kata Farhan, perjalanan sangat tricky.  Aku rasa, aku lupa cara untuk bernafas setelah kami sampai di check point pertama.  Pemandangan memang boleh buat aku hilang arah. Tapi, aku betul-betul hilang arah bila penjaga kuda tersebut memberitahu, cabaran sebenar baru bermula.  Masih ada 6km setelah 6km berlalu.  

Sungguh lah.  Aku rasa nak terjun daripada kuda dan turun semula ke kaki gunung berjalan kaki.  Nak cepat sikit, biarlah aku bergolek dan gelungsur.  Aku tak cakap biar sepatah.  Aku seperti lupa cara bernafas.  Kaki aku menggigil melihat curamnya laluan.  

Usah kata dalam hati, malah pelbagai doa yang meniti di bibir aku dan kami semua.  Dalam hutan indah itu, rasanya group kami aje yang rancak berdoa itu-ini.  Masa takut begini kan... biasalah manusia itu mula akan ingat Tuhan.  Manusia di sini adalah aku.  

Aku pendekkan lagi cerita, kami tiba di atas dan saat ini, segala ketakutan aku hilang.  Aku senyum kelegaan melihat keindahan alam yang pantas menjadi ubat ketakutan.  

Ia adalah satu pemandangan yang sangat indah hingga aku rasa aku sedang masuk ke dalam sekeping lukisan.  Bagaikan aku adalah acrylic di atas kanvas.  Ada beberapa aktiviti yang agak mencabar juga pada aku.  Flying fox dan golek-golek dalam bola.  Anak-anak dan adik-adik semua mainlah semua tu.  Aku pula, merakam memori.  

Di atas sana, kami makan maggi masala.  Sebabnya tak dapat nak makan di atas Gulmarg.  Di Pahalgam juga boleh.  Dan, seperti kata Farhan… ia adalah sangat sedap.  Aku punya versi upgrade sikit.  Ada cheese.  Haha.  Seperti biasa, pun Farhan tak beri kami order air lain selain air mineral dalam botol yang ber seal rapat.  



(berhenti di check point pertama dan penjaga kuda ni akan ambikkan gambar.  Jangan tanya mana gambar aku sebab semua buruk.  Muka aku macam robocp kerasnya)

(Pemandangan di check point pertama)




(Bunga winter gamaknya.  Cantik hidup di atas rumput.  Hello.  Hang in there, okay ^_^ 

(Puncak Pahalgam setelah aku berjaya tiba)

(matahari terik walau sejuk)

(Farhan tangkap gambar ni untuk aku.  Inilah yang aku maksudkan acyrilic atas kanvas tu.  Dua-dua cantik.  Aku dan pemandangan sebab dua-dua ciptaan Allah.  Kikiki bagilah can aku perasan sikit)

Beberapa jam ada di atas itu, kini tibalah masa untuk turun.

Oh… aku baru ingat.  Masa aku nak turun, ada 3 orang mak cik yang aku nampak seperti sebaya mak aku atau muda sikit, baru sampai.  Nampak tenang aje aje.  Hebat bila dia berjaya sampai puncak.  Tapi itulah.  Aku tak pulak bergambar dengan mereka.  

Kami turun dan perjalanan mencabar tadi telah menjadi bukan hanya 2x ganda mencabar, tapi 20x ganda menakutkan.  Menjunam dan benar-benar ada dilereng.  Jangan tanya kenapa tiada gambar sebab aku tak mampu keluarkan tangan sikit pun.  Aku pegang handle itu sekuat hati.  

Mujurlah waktu turun ini, aku dah ingat caranya.  Bila kuda mendaki, condongkan tubuh ke depan.  Kala kuda turun, beratkan tubuh ke belakang.  Maka, kuranglah sikit segala rasa tak selesa.  Adalah berani sikit sebab tiba-tiba macam dah biasa tunggang kuda.  

Kami akhirnya lepas daripada cabaran itu.  

Kami tiba di bawah dengan selamat.  Waktu ini juga, keluarga Kak Datin baru tiba.  Jam sudah bergerak ke angka 4.30 petang waktu sana.  Perut semua belum berisi.  Baru aku sedar, aku lapar sebab pagi tadi pun, aku minta telur rebus daripada pihak hotel tapi dia rebus separuh masak.  Maka, aku tak boleh nak makan.  

Masa ini juga ramai yang datang berjual-beli.  Aku seperti biasa, tak beli apa-apa.  Pelik betul aku ni.  Apa pun tak nak beli.  Padahal pashmina mereka tu, Tuhan ajelah tahu tahap lembut tu macam mana.  Sekarang, rasa menyesal tu masih ada lagi.  

Kami keluar daripada Pahalgam dengan selamat dan menuju ke restoran untuk makan dan solat.  

Aku lupa berapa lama perjalanan sebab aku terlalu fokus untuk buang rambut kuda yang lekat pada skirt aku tu, tiba-tiba aje kami sampai ke restoran Sifar namanya.  Suasana sangat cantik dan cozy.  Rasanya, kalau ada di Malaysia ia akan jadi salah satu tempat untuk buat content. Aku tak lah sebab aku bukan content creator tik-tok.  Aku hanya tahu buat content melalui tulisan sahaja.  Gittew.  




Farhan pernah pesan untuk bawa selipar untuk memudahkan wuduk tapi biasalah, manusia mudah lupa dan manusia itu adalah aku.  Pihak restoran sediakan ruang rehat pekerjanya untuk kami bersolat.  Terpaksa bergilir lelaki dan wanita.  Sementara menunggu makanan siap terhidang, pada aku tak ada masalah.  Kami wanita, mula solat dulu.  

Aku dekati pekerja mereka dan bertanya tentang selipar.  Ingatkan dia beri satu, rupanya dia beri dua.  Maka, lebih mudahlah kerja kami.  Sebab itu aku selalu pegang prinsip, apa-apa tanya aje dulu.  Jika ya, maka ya.  Jika tidak, pun tak apa.  

Setelah solat semua, aku melangkah masuk dalam restoran.  Ikut hati, nak bersidang makan dengan Kak Datin di luar.  Tapi, dengan suhu yang mula turun, makan di dalam restoran ajelah.  Hidangan di sini pun sedap.  Ada ikan panggang, nasi macam nasi arab tapi lebih sedap.  Ada nasi putih dan macam ayam masak merah.  Ya, memang tak ada bukti bergambar sebab aku makan dulu semua sampai kosong, baru teringat tentang gambar.  

Masa ni, aku dah dapat rasa badan aku tak selesa.  Kepala aku pun sakit sebelah kanan.  Boleh jadi sebab bergoyang atas kuda tu, aku memang dapat rasa tubuh aku mula panas.  Cepat-cepat aku telan 2 biji ubat migrain dan 2 biji panadol entend.  Setelah semua, masuk aje van, aku buka jaket tebal dan buat selimut.  Aku rasa sejuk tapi dalam masa yang sama, panas.  Wajah aku dah merah kata Kak Datin.  Hembusan nafas juga sama.  Panas.  

Aku tak tahu berapa lama aku terlena dan aku dikejutkan oleh bunyi hon yang kuat.  Bila aku buka mata, kami sedang tersekat dalam kesesakan.  Entah apa punca, aku tak tahu dan tak nak ambik tahu.  Waktu ini, aku rasa nak sampai aje terus ke hotel.  Kepala aku macam nak meletup dah.  Rasa lambat betul ubat nak berkesan. 

Aku tak tak boleh nak tidur.  Tak lama kami lepas daripada kesesakan yang aku rasa eh, apakah.  Rupanya, banyak lori yang tidak dibenarkan masuk ke laluan besar itu dan sedang berbaris di birai jalan.  Mogok gamaknya tapi tak tahulah.  Aku hanya nak baring atas tilam panas. 

Kami tiba lewat juga.  8.30 malam.  Aku dah tak larat nak makan lagipun memang dah sangat kenyang.  

Masa di atas puncak Pahalgam, aku minta Farhan tag aku  gambar-gambar yang dia bakal upload.  Dia tanya IG dan tak dapat nak akses sebab di puncak.  Bila dalam van, barulah dia dapat buka dan aku dengan tenang, mengaku aku penulis.  Masa ini, barulah pecah rahsia. 

Amira, salah seorang Tour Leader Amora, bertanya nama pena aku semasa di lobi hotel sebelum aku naik ke bilik.  Waktu ini, ubat dah mula memberi tindak balas dan aku dah rasa okey semula.  

Aku hanya sebut nama Rehan dan dia sambung Makhtar.  

Tidak dapat tidak, aku angguk dalam senyuman.  

Trip hari itu berakhir dengan seribu satu memori manis yang tak akan aku lupa.  

Letih? Tidaklah seletih ke Gulmarg.  Lebih pada menyeronokkan.  Dan, sekalipun aku tak pernah kesal menunggang kuda naik ke puncak Pahalgam.  Kata Farhan, di situ lebih indah sewaktu musim panas dengan kehijauan pokok dan pergunungan.  Aku hanya membayangkan.  Untuk pergi semula, biarlah Tuhan yang tentukan segala perjalanan.  

…bersambung 


3 comments:

  1. Untung la boleh jumpa kak Rehan bercuti bersama.

    ReplyDelete
  2. Immerse yourself in the seamless blend of audio and visual storytelling with 'And Music Video' - where each frame weaves a narrative

    https://muzzikhub.com/

    ReplyDelete
  3. Embark on a journey through the enchanting world of Ut7be Music, where a symphony of sound awaits your exploration

    https://muzzikhub.com/

    ReplyDelete