Friday, February 23, 2024

Yang Tertinggal 4

Tak silap aku hari ini hari ke-5 kot.  Aku lupa hari sepanjang di sana. Yang aku ingat, hanya tarikh.  Kenalah ingat, nanti terlepas hari balik pula.  Dah jadi pendatang di Kashmir aku ini.  Aku suka di situ sebab cantik dan segalanya murah.  Cuma, aku tak boleh nak tengok askar berkeliaran tu.  Aku takut.  

Hari ini, misi sebenar bermula.  Farhan ada beritahu, 18 Februari 2024, dijangka bermula salji yang sangat lebat.  Tahun ini, salji turun lambat.  Siapa yang datang bulan Januari, semua hampa.  Mestilah datang nak tengok salji sebab di negara kita, tak ada.  

Demi zat Allah yang telah memberi kepintaran kepada manusia sejagat, maka benarlah.  Salju itu sedang menanti kami di danau yang penuh kerinduan.  

Perjalanan kami hari ini juga jauh daripada pusat bandar Srinagar.  

Destinasi?  Sonamarg.  

Kata Farhan, di sini jauh lebih indah daripada Gulmarg dan Palhagam.  Aku percaya kata-kata dia sebab dia selalu ke sana.  However, beautiful lies in the eyes of beholder, I will let my eyes made the decision.

Hari ini juga perjalanan tenang dan kami semua menetapi masa.  Jika beberapa hari lepas, ada aje barang tertinggal.  Aku dengan Kak Datin selalu tertinggal barang.  Hahaha.  Seperti hari-hari sebelumnya, perjalanan kami dihiasi keindahan alam semulajadi.  Gunung-ganangnya, Tuhan ajelah tahu.  Buat aku tertanya, apalah perasaan penduduk tempatan, bila buka tingkap atau pintu, terus nampak gunung.  Untuk 4 musim berbeza.

Maka, aku bayangkan aku duduk di situ, menghadap gunung dan menulis.  Bayangkan ajelah.  Menulisnya tak.  Kan aku cakap, laptop berat aku sampai ke sudah tak berusik.  Lebih kepada beban.  Lepas ni, travel aku bawa diri aje.  

Dalam van, macam-macam benda seronok.  Aku biasalah, memang dah sign mati tempat single belakang Farhan.  Masa inilah main mintak-mintak lagu dengan budak Farhan ni.  

"Kak, nak dengar lagu apa?"  soalnya. 

"Janam-janam?"  soalnya yang sedang memasang lagu Kuch-kuch Hota Hai.  

"Taknaklah Janam-janam.  Lagipun, akak tak suka lagu awak pasang tu.  SRK penyodol.  Kesian Salman Khan," kata aku pada dia.  

Farhan ketawa.  

Yalah, aku sekarang ni baru sedar dia tu penyondol.  Zaman dulu, tak adalah paling romantik kahwin dengan tunang orang pada hari kahwin orang tu.  Sekarang ni, pendapat aku dah berubah.  

"Lepas habis kuch-kuch, ya?"  ujar Farhan.

Jiwa Farhan jiwa kuch-kuch.  Patutlah isterinya, Zira fall head over heal pada dia.  Haha.  Orang Kuala Krai, sentiasa comel.  

Tak lama, lagu Kuch-kuch itu habis.  Farhan toleh.

"Nak lagu apa, kak?" 

"Jab se mera dil tera hua," jawab aku.  Aku dengar lagu ni daripada Da'ie Syed.  

Dan ya, Farhan pun pasang melalui youtube.  Semua orang dengar.  Akulah yang paling mendengar sebab dah lagu aku pilih.  Setelah habis, ada permintaan lagu kedua pulak.  Betul main minta-minta lagu macam dekat Radio.  Farhan pula jenis melayan. 

Lagu kedua, Albi Nadak.  Juga Da'i Syed.  Aku rasa suara dia sangatlah sedap.  Kali ini, daripada Hindustan, kita beralih ke Arab pulak.  Ada masa, bolehlah dengar lagu ni.  Aku suka maknanya.  Albi Nadak = Hati Yang Memanggilmu.  

ALBI NADAK - HATI YANG MEMANGGILMU

Lagu ni sentiasa buat aku rasa nak senyum.  Bayangkan, sepanjang mendengar lagu ini, aku melihat gunung-ganang bersalju.  Hinggakan aku sendiri tak dapat untuk zahirkan rasa.  Melainkan hanya Allah sahaja yang tahu.  



Lagu silih berganti hinggalah kami tiba di lokasi pertama di mana kami perlu menukar kenderaan yang lebih selamat.  4WD yang menggunakan chain tyre kerana waktu ini salji sudah sangat lebat.  Kala pertama kali, kami melihat salji sedang menginjak cermin kereta, anak-anak semua tenang.  Yang menjerit adalah semua mak-mak, termasuk aku.  

Kami siap hulur kepala keluar kereta dan Farhan lah yang tukang ambik gambar seorang seorang.  Sikit lagi van tu nak tumbang sebab bergoyang.  ^_^ 

Kami berpecah kepada dua kumpulan.  Keluarga Cikgu Ekin dan Azmir (salah seorang orang kuat Amora) dengan 1 kereta.  Aku dan keluarga Kak Datin, berpisah tiada.  Perjalanan diteruskan lagi.  Namun, kami terpaksa berhenti agak lama untuk menanti keluarga Cikgu Ekin tiba untuk naik ke sana bersama-sama.  

Perhentian di 1 lokasi ini adalah sesuatu yang sangat tak dijangka.  Ia benar-benar yang telah Tuhan takdirkan untuk kami.  Lokasi itu, adalah satu lokasi yang sangat buat aku jatuh cinta berkali-kali.  Di sini juga, kami mengambil keputusan untuk turun demi merakam memori di saat salji masih belum menutup seluruh alam.  

Ditepi gunung berbatu, di seberangnya ada sungai hijau mengalir, dihiasi ranting pokok.  Tidak akan pernah lagi aku mendustakan segala nikmat-Nya.  



Setelah puas naik-turun kereta berkali-kali sebab tak puas bergambar, kami teruskan perjalanan ke Sonamarg.  Allah ajelah tahu betapa kagumnya aku.  Bagaimana Dia mencipta seluruh dunia dan isinya ini dengan keindahan berbeza?  Sungguh... aku rasa nak menangis.  

Kami tukar boot lagi kerana salji kala ini sudah melebihi paras betis.  Pemandangan juga makin putih.  Tiada lagi kelihatan hijau.  Segalanya putih bersih.  Kepingan salji juga kian kasar.  Waktu ini, semua itu tidak lagi menghalang kami.  We were unstoppable.  Anak-anak mula menjunam dalam salji.  Ibu-ibu ayah-ayah juga sama.  

Satu yang pasti, percutian ini dirakam segala momen nya oleh jurugambar profesional yang diupah oleh Team Amora Escape.  Menjadikan gambar-gambar kami sangat-sangat cantik.  Aku yang tak berapa cantik ni pun jadi comel.  ^_^ 

Setelah puas bergelumang, kami bersedia untuk naik ke check point pertama.  Dengan snow-bike yang pastinya.  Seorang demi seorang, dibawa pergi.  Aku antara yang terakhir.  Biasalah, heroin memang kena dok belakang sekali.  Biar semua orang pergi dulu (padahal masa tu, snowbike tak berapa cukup).  Tapi, tunggu pun tak lama.  

Masa aku tiba, semua orang sedang santai bawah khemah dan makan maggi masala.  Aku pun ikut serta cuma kali ini, aku tak boleh nak makan maggi tu sebab pedas.  Berdesir macam ular dah aku rasa lidah aku.  Setelah makan maggi di bawah khemah kecil itu, kami mulakan aktiviti.  Usah kata anak-anak, mak ayah semua pun sakan.  

Ski. 

Sledging

Snow-bike. 

Pada mulanya, aku tak nak main ski tapi akhirnya aku main jugalah.  Bukan jauh pun.  Haa... sebelum ni aku ajar teknik tunggang kuda, kan?  Ini aku ajar teknik main ski pulak.  Condongkan tubuh ke depan aje dan pandang aje depan.  Tolak kayu ski tu di belakang tubuh sikit.  There you are... be profesional.  Tapi, ramai aje yang tergolek.  Golek-golek dalam salju yang lembut dan gebu.  Aku?  Well, see the legs la.  Aku tak jatuh pun.  Fast-learner dorang cakap.  Bodek!  



(nama dia Manzoor rasanya.  Diorang memang akan betul-betul jaga)



(snowman aku tu takdan siap)


(Opie pengubat hati semua)












Tiga kali pusing, aku dah tak nak main.  

Dan, duduklah kami melihat anak-anak terus bermain.  Aku rasa macam ni, team kami aje kot dari Malaysia.  Sebab Amora pecahkan kami ke 3 team, maka jadual berbeza-beza.  Kami tak akan bertembung di tempat yang sama.  Bijak dorang ni.  

Kami tak dapat nak naik ke check-point atas tu sebab salji di sana katanya dah mencecah 8 meter tinggi.  Ala, yang katanya lokasi Bajrangi Baijan tu.  Aku pula tak minat dah Hindustan jadi aku tak pernah tengok cerita tu.  

Masa ni, boleh nampak penduduk tempatan mencari rezeki.  Tipping satu kemestian di sana.  Tapi, rujuk aje Farhan.  Dia akan guide sebab pakej ni sudah termasuk tipping.  Jika kita nak beri lain, terserahlah dan anggap ajelah kita bersedekah.  

Itu konsep aku dan Kak Datin.  Bercuti dan bersedekah.  Sementelah, mereka mencari rezeki halal dan Muslim juga.  

Setelah itu, kami bergambar kumpulan dan turun.  Masa ni, anak-anak mula ada masalah.  Yang nak ke tandaslah yang sejuk seluar basah.  Hahaha.  Nasib kami saling mengerti dan saling tolong.  

Setelah turun, kami pulangkan jaket dan boot, terus turun ke bawah sikit untuk makan.  Sekali lagi aku lupa nama tempat makan tu.  Resort.  Masuk aje rasa hangat dan semua meluru ke tandas.  Aku pula, keringkan tangan dan baju yang basah.  Masa ini, boot juga basah lencun juga.  

Kami disediakan bilik solat yang selesa.  Yalah, resort kan.  Solat dalam salah satu bilik yang ada heater.  Rasa nyaman.  Masa teman Ayong solat, sempatlah aku baring kejap atas tilam tu.  Sikit lagi aku nak lupa diri terlelap kat situ.  

Bila aku kembali ke ruang makan yang telah Farhan tempat, makanan mula dihidang.  Pemandangan di sini juga sangat-sangat indah.  Salji kian lebat turun tanpa henti dan kami perlu bersegera turun untuk tidak terperangkap di situ.  Kerana hari ini adalah perjalanan terakhir kami sebelum kami terbang balik esok pagi. 

Masa makan ini, adalah aktiviti makan yang paling aku ingat.  Ada kari, kurma dan nasi putih.  Telur dadar?  Anak-anak sukalah.  Yang paling menyeronokkan, ada menu tambahan yang aku bawa daripada Malaysia.  Sambal ikan bilis yang aku masak sehari sebelum terbang.  Makan tengah hari kami bertambah selera apatah lagi dapat berkongsi sambal ikan bilis itu.  Keluarga Cikgu Ekin juga menikmati.  Anak-anak Kak Datin berselera sakan.  

Sambal ikan bilis dah habis dan kami bersedia untuk kembali ke hotel.  

Masa masuk dalam van, KakYong dan Kak B (anak-anak En.Shamsul dan Cikgu Ekin) datang pada aku beritahu nak sign.  Masa ni, otak aku beku lagi.  Jadi lambatlah aku nak proses.  Dia tanya aku tulis buku apa.  Katanya, Azmir dan Farhan yang beritahu.  

Aku ketawa.  Jenuh fikirkan tajuk buku aku.  Bayanglah betapa bekunya memori aku masa tu sampai 1 tajuk pun aku tak boleh fikir.  Kenapa aku tak cakap aje tajuk Trilogi tu, kan?  Akhirnya, yang aku sebut adalah Sugar?  

Mata Ayong bulat.  

"Yes, please?  Nel dan Edian?"  soalnya dengan mata bulat.  

Aku angguk.  "Checkmate?"  sambung aku lagi.

"Suka Hanbali," balasnya.  Hebat dia boleh suka Hanbali.  

"Cerita tu kan sakit?"  

"Ya tapi Yong suka.  Yong tak rasa dia bersalah."  Dah, tambah lagi sorang die hard Han-tu.  Hahaha. 

"Tapi, Yong paling suka The Reason." 

Wow.  Lagi aku kagum.  Cerita tu slowburn dan biasa orang matang aje boleh cerna.  

Kak B pun cakap, "Eh, tu semua tajuk cerita Rehan Makhtar.  Auntie kenal ke dia?"

Alahai... budak comel ni, suci benar soalannya.  Aku sengih dan tunjuk muka aku.  Nak tahu apa jadi?  Van kami bergoyang sebab dua orang tu melompat teruja.  Hahaha.  Dan, cerita tentang cerita aku terus berlarutan.  Aku dapat lihat mama dan daddy mereka seronok sebab lihat anak seronok.  Mereka ini anak-anak yang bijak.  Cantik, baik lagi sopan.  

"Waa Rehan Makhtar yang tulis Al-Qadr, Ziyad dan Taufiq," jerit Kak B lagi.  

Ya... ya.  Betul.  Karehan lah tu.  Eh, Auntie Rehanlah tu.  Masa ini, dada aku agak kembang jugalah.  

Sepanjang perjalanan balik, aku tidur juga sebab aku baru lepas telan ubat.  Dengan boot dan stoking basah, aku bimbang aku kena frostbite aje.  Sampai aje di hotel, aku terus naik ke bilik, masuk selimut dan pasang heater. 

Aku terlelap dan buka mata bila dengar deringan telefon.  Bila tengok jam dah 9.45 malam waktu sana.  Restoran telefon menjemput aku makan sebab lagi 15 minit diorang nak tutup dah.  Bagus dorang ni.  Tapi, sebab aku letih dan kurang sihat walau aku sangat lapar, aku tak turun.  Aku sambung tidur sebelum aku bangkit untuk kemaskan pakaian untuk kembali ke tanah air.  

Aku syak aku rasa tak sihat balik sebab masa nak turun daripada Sonamarg tu, driver snow-bike aku tu langgar batu bawah salji.  Tak nampak.  Aku melambung jatuh dan terbenam dalam salji.  Tak rasa sakit apa.  Aku siap gelak sakan.  Cepat-cepat bangun control cun.  Sebab tu kot aku kesejukan.  

Aku tarik semula selimut dan kita sambung esok pulak. 

...bersambung




1 comment:

  1. Eee comel je sampai lupa tajuk novel sendiri. Untung sangat boleh travel sekali dengan kak Rehan.

    ReplyDelete