Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Dari mata jatuh ke hati. Anehnya bila aku rasa semua tu tidak lagi sama. Kerana pendirian aku telah berubah. Yang tidak kenal pun boleh untuk jatuh cinta. Tak perlu melihat terus ke mata, juga boleh jatuh tepat di tengah hati. Dan, jangan salah faham. Bukan pada ciptaan Allah yang dinamakan manusia. Namun, pada alam yang diciptakan oleh Pencipta manusia.
Boleh jadi kerana terlalu penat dengan urusan menulis yang aku rasa tak pernah berhenti sejak 2011, aku pernah umumkan pada semua yang aku akan berehat seketika. Namun, menjadi penulis ini rupanya tidak ada masa untuk berehat. Memikirkan cara mana untuk aku berehat sedangkan otak tak pernah berhenti bekerja, mencerna dan mengerah idea… ada baiknya jika aku terus tulis sahaja ceritanya.
Hinggalah pada satu hari… aku pujuk diri.
Rehatlah seketika.
Sudahlah memaksa diri.
Minda dan diri aku sendiri berhak berehat daripada memikirkan plot cerita.
Moga akan ada idea yang lebih baik di masa depan.
Melihatkan keindahan sebuah negara di utara India dalam perkongsian orang lain, buat aku teruja untuk ke sana sejak sekian lama. Pernah, aku mengembara sendirian ke pelusuk negara luar demi mencari pengalaman. Paling penting rasanya, aku lebih pada untuk menguji ketahanan emosi aku. Namun, bila di sana… hanya satu yang aku rasakan. Iaitu rasa syukur atas segala yang Tuhan beri pada aku. Segalanya. Biar hanya sehela nafas, selangkah kaki, sesaat waktu tidur.
Dan di sinilah segalanya bermula. Sebuah kisah cinta yang terpaksa aku tinggalkan.
Kashmir. Syurga dunia.
Mereka yang kata. Bukan aku.
Sebuah penempatan yang boleh dikatakan seluruh populasinya adalah Muslim. Namun, berada di bawah pemerintahan tentera India.
Keputusan aku tepat untuk ke sana pada tahun ini. Pada 14 Februari 2024 tepat jam 5.30 petang, aku mengambil penerbangan Batik Air terus ke Delhi. Penerbangan kurang lebih 5 jam 30 minit. Tak sejauh aku terbang ke Jepun, Korea, Saudi dan lain-lain negara yang pernah aku jejaki.
Sebab aku dah malas nak fikir dan nak senang aje, aku pilih untuk terbang bersama dengan agensi Travel. Nak dijadikan cerita, Facebook Travel agent ni naik secara random aje. Siapa tahu kan. Yang random ini rupanya yang terbaik untuk aku memandangkan aku tak pernah Travel dengan agent melainkan pada tahun 2022 bila aku ke Saudi Arabia.
Aku lega bila dapat tahu, Farhan akan ikut serta dengan kami dari awal sampai akhir. Penerangan tentang perjalanan sangat padat dan mudah. Semua serba-serbi sempurna dan lengkap. Aku dan keluarga Kak Datin bersedia untuk keluar setelah bertahun-tahun tak ke mana.
Penerbangan lancar. Cuma aku tak pasti sama ada aku tidur atau tak. Aku benar-benar lupa. Atau aku sekadar buka laptop yang aku bawa dengan harapan aku boleh siapkan cerita baharu tapi rupanya, laptop itu jadi beban pada bahu aku sebab aku hanya boleh tulis dua perenggan sahaja.
Kami tiba di Delhi lebih kurang jam 8.30 malam waktu Delhi. Delhi lewat 2 jam 30 minit berbanding Malaysia. Pada ketika kami tiba, kami bersyukur segalanya lancar. Imigresen juga okey. Bila keluar daripada lapangan terbang Indra Giri, New Delhi suasana sudah sangat sejuk. Rasanya suhu sekitar 17 darjah celsius. Inilah pengalaman pertama aku rasa disidai. Hahaha. Memandangkan di Malaysia ni waktu tidur aku adalah jam 10.30 aku dah belayar, maka jam 8.30 malam di sana itu, adalah jam 11.00 malam Malaysia. Semua orang dah sendu.
Kan dah cakap, aku tak biasa Travel dengan agensi jadi aku dah tahu perkara ini akan terjadi dan sangat mengerti. Ditambah rombongan ni besar. 40 orang dengan anak-anak kecil. Setelah itu barulah kami dipecahkan kepada kumpulan kecil. Hanya 15 orang 1 kumpulan. Terasa sangat VIP sebab mini bus kami tu tak penuh pun. Tapi, ini cerita bila tiba di Kashmir. Sekarang, aku masih di Delhi.
Perkara pertama lepas kami kena sidai sebab tunggu giliran bas untuk masuk ambik kami, adalah bunyi hon. Rasanya aku dah bersedia mental untuk dengar semua ni tapi rupanya tidak. Ada ketika, aku terpaksa tekup telinga. Pendengaran aku sangat sensitif. Masa tidur, bila dengar bunyi cicak pun, aku boleh terjaga. Jenis light-sleeper. Tapi, ini cara mereka. Magiknya, tiada kenderaan yang bergesel, tiada pemandu yang turun bawa bat baseball, tiada yang hulur buku lima dan tiada yang mencarut jauh sekali kemalangan. Melainkan aku tak fahamlah bahasa yang digunakan itu.
Rasanya, alah bisa tegal biasa. Maka, mereka dah terbiasa dengan perkara demikian. Yang tak biasa adalah aku! Dan, aku perlu biasakan diri.
Perjalanan naik bas juga lancar (walau ada kesesakan jalan raya) masa nak keluar daripada lapangan terbang. Dan, kami tiba di sebuah hotel. Mereka sedang menanti. Mengangkat segala bagasi. Bagusnya, aku adalah orang pertama yang dapat kunci bilik. Tak menanti, aku terus masuk bilik yang ada di lantai sama dengan lobby.
Luas, bersih dan selesa. Tapi, tiada heater sedangkan waktu itu suhu sedang turun. Sudah 14 darjah. Yang aku lebih peka adalah kualiti udaranya. Tidak hanya poor tapi very poor. Rasanya, tak boleh buat apa. Lagipun, aku di situ satu malam sahaja kerana esok pagi kami perlu ambil penerbangan terus ke AirPort Sinagar, Kashmir.
Long story short (sebenarnya tak ada cerita sangat sebab aku terus tidur) pagi itu tiba. Mendengar pengalaman mereka yang pernah melalui Imigresen domestik India ini, agak menakutkan.
Team Amora Escape sediakan sarapan kerana pakej ini adalah tanggung segalanya kecuali dosa. Eh? Tak lah. Kecuali perbelanjaan peribadi, makanan dalam penerbangan dan aktiviti selain yang dinyatakan. Cuma, pagi itu kami perlu ambik penerbangan lain, Team Amora bekalkan sandwiches yang mana aku rasa agak pelik. Tengok macam inti Tuna (sebab aku peminat Tuna) rupanya rasa lebih pada coeslow. Jadi, aku tak makan. Mujurlah aku dah minum segelas nestum yang aku bawa daripada negara tercinta, Malaysia.
Perjalanan ini pun lancar. Pagi 15 Februari, suhu sudah turun lagi ke 10 degree. Syukurlah semua bagi kerjasama. Cepat siap dan kami terus ke AirPort.
Pertama kali dalam hidup aku, aku baru tahu konsep AirPort di India ni, hanya yang ada boarding pass sahaja yang dibenarkan masuk. Bermakna, masa di luar tu sahaja, askar mereka akan scan boarding pass (hardcopy/softcopy) bersama pasport. Sebut nama, dan boleh masuk. Yang menghantar, cukup sampai di situ sahaja. Kerana itu, aku rasa ruang dalam AirPort nya sangat tenang. Kerana hanya yang nak terbang aje yang ada dalam tu. Ya, semua airportnya adalah dibawah kawalan askar. Paling penting, tak boleh ambik gambarlah. Aku seperti biasa, akan baca doa makan. Bermohon moga Tuhan permudahkan segalanya. Bukan untuk aku sahaja tapi untuk kami.
Dan di sinilah bermulanya pengalaman sebenarnya. Boot kuning lama aku, tercabut tapak pulak. Aku dah agak sebab kali terakhir aku pakai adalah tahun 2017. Setelah itu tersadai dalam almari. Bukan Timberland, jauh sekali DocMat atau RedWings. Ia adalah kasut Devided by H&M sahaja tapi boot itu sangat berjasa.
Aku sarung kasut lain yang diciptakan untuk si kaki Cinderella sahaja. Aku pula, mak tiri Cinderella jadi kasut itu agak menduga kesabaran langkah.
Setibanya di imigresen, cabaran itu datang lagi.
Mujurlah aku memang dah bersedia. Aku letak segala elektronik dalam 1 beg. Bukan hanya telefon dan powerbank tapi charger, universal charger, earphone selama mana dipanggil elektronik, perlu dikeluarkan dan diletak dalam satu bekas. Tak boleh campur dengan yang lain. Dan, sebab aku pakai boot, maka kasut pun buka. Masuk bekas dan jalan dengan stokin.
Satu yang aku puji tentang AirPort yang mencabar ini adalah, wanita kena masuk dalam ruang yang memang tertutup untuk pemeriksaan. Di situlah mereka scan seluruh tubuh. Sedangkan banyak negara Islam lain, dilakukan ditempat terbuka. Termasuk negara kita.
Sekali lagi, kami selamat masuk cuma cabaran untuk Encik Tour Leader kami, Farhan sebab ada peserta tertinggal stroller dalam bas. Aku syak, dia berlari semula keluar kejar bas. Sejak awal, dia memang bertanggungjawab pada semua peserta dan aku bertuah sebab aku ada dalam team dia. Okey, kita simpan cerita Farhan lain kali sebab dia dah kahwin. Isteri dia pun salah seorang Tour Leader. Okey, aku pusing sikit. Jujurnya, aku kagum melihat anak-anak muda kita yang pandai buat benda ni. Itu pun bangkit balik setelah struggle di zaman Covid. Ini pun nanti kita cerita lain. Aku suka dengar pengalaman dan kesusahan orang yang nak bangkit ni. Menjadi inspirasi.
Kembali lagi dalam cerita asal. Satu lagi tentang AirPort Mencabar jiwa ni, adalah internet. Sebaik sahaja lepas imigresen dan scanners segala, kami terus nampak kiosk internet. Laju. Paling penting, free lah. Maka, kami menanti kapal untuk ke Srinagar dengan hati yang tenang. Konsep AirPort di orang adalah terbuka. Tak perlu masuk lagi dah.
Kak Datin ajak aku cari minuman untuk kami. Ya, aku perlu akui, air kopi dalam botol (readymade) sangat sedap menyebabkan kami patah balik membelinya untuk akhirnya, beg kitar semula yang aku beli tu, rabak sebab air berat. Tak mahal mana pun dalam 140rupee. Beg tu pula 25rupee. Satu lagi yang bagus, semua tempat disediakan carrier. Aku panggil carrier sebab bukan diperbuat daripada plastik. Memang jenis material kitar semula yang mesra alam. Dah, masuk cerita pasal mesra alam pulak.
Sebab tu aku tak nak tulis cerita macam ni sebab aku banyak melalut. Baik aku tulis cerita cinta. Tapi, alang-alang dah mula, aku tulis jugalah sampai habis.
Masa kami tiba, tiada angin kuat atau ribut salji berlaku. Maka, penerbangan adalah sangat lancar. 1 jam 30 minit tu tak terasa sebab aku tidur. Sebelum kapal itu terbang, mata dah layu. Bila dengar suara Pilot memberitahu kapal sedang terbang turun, baru aku terjaga. Sebab masa ni aku dok di bahagian lorong, jadi aku tak nampak gunung-ganang yang memutih.
Kali ini, urusan semua lebih mudah sebab kami adalah dari domestik. Beg juga cepat sampai. Dan itulah, Farhan sekali lagi deal dengan mereka untuk daftar nama dia sahaja sebagai Tour Leader. Jika tak, kami terpaksa bersidai lagi di situ.
Long story short (sekali lagi), kami semua keluar daripada Airport Srinagar, Kashmir... berjalan keluar dan disambut oleh Tour Guide tempatan. Team yang bekerja bersama Amora Escape di Kashmir. Sambutannya bukan biasa. Siap ada kalungan bunga yang dibuat dengan bunga palsu. Lebih baik sebab risau juga kot ada yang alah pada debunga.
Tangkap 2-3 gambar, dan masuk bus mini, kami pun terus bertolak ke hotel. Tentang bingit hon tadi? Masih berlarutan selama mana kita dok dalam negara India. Maka, aku pun buat-buat seperti mendengar siulan merdu ajelah. Waktu ini, suhu masih dalam kawalan. Aku pun pakai thermal biasa sahaja. Bukan yang extra warm tu.
Check-in hotel, siap.
Makan. Siap (dan sedap)
Naik bilik, solat semua... kami turun untuk mulakan aktiviti pertama.
(ID hotelnya cantik. Semua dari kayu sebab memang orang Kashmir ni orang seni ukiran)
Dal Lake. Naik perahu ala-ala di Itali tu. Masa ni, winter lebih nampak kepada autumn. Agak kering, sejuk dan panas mentari. Sejak aku lihat kawan lemas masa diving di Boracay, Philipines dulu sebab dibawa arus bawah laut dan oksigennya tercabut, aku yang trauma. Jadi, sungai, tasik, laut, sungai dan apa-apa sahaja air lepas, bukan lagi minat aku.
Kayuhan perahu tenang dan stabil. Aku keras-kejung dalam perahu sebab takut. Masa ni, banyak perahu penduduk tempatan menghampiri untuk menjual barang-barang. Aku hanya ingat Farhan pesan, untuk tidak beli air yang mereka bancuh sendiri memandangkan kita tak tahu tahap kebersihan. Bimbang sakit perut atau keracunan. Dia tak pulak pesan tak boleh beli hasil kraf mereka. Aku berkenan pada rantai tangan halus buatannya, bertatahkan batu zamrud (tak tahu betul atau tipu) yang sangat cantik. Nak kata mahal, tak juga. Anehnya, aku berkeras tak nak beli. Apatah lagi, aku baru tahu, itu adalah buatan mereka sendiri. Hasil tangan masing-masing jadi pembuatan itu sangat berbeza. Di sini, aku menyesal hinggalah hari ini. 21/2/24 jam 3.20 petang waktu Malaysia. Masih berasa kesal.
Dal Lake ni, adalah tasik alami. Cantik. Berlatarkan pergunungan yang ada putih salji. Seperti aku cakap tadi, nampak lebih kepada musim luruh. Cantik, menenangkan dan golden. Aku rasa lama juga kami naik Shikara tu (nama perahu). Ada kedai-kedai jual kain dan macam-macam lagi hasil bumi Kashmir. Pashmina? Karpet? Jangan cakap. Semua gebu dan lawa. Aku pula, kaku tak bergerak sebab risau karam.
Setelah Dal Lake, kami di bawah pergi ke... di sini aku lupa nama tempatnya. Kala ini, matahari terbenam itu menjadikan seluruh bumi Kashmir seperti disimbah emas. Maha Suci Allah, tak pernah lagi aku lihat matahari terbenam secantik itu. Penat posing sana- sini, maka kami pun turun. Dahlah masa ni, aku turun dulu lepas tu kena naik balik. Tinggilah anak tangga dia. Dalam suhu sejuk macam tu, semput juga mak.
Dalam perjalanan pulang ke hotel (masa ni dah malam. Jam 6 dah mula gelap), kami singgah di The Basket. Sebab masa di airport Delhi aku memang nak beli coklat tapi ada was-was, maka di sinilah aku beli. Sebab aku minat Dark Chocolate, maka itulah aku beli. Eh, ada perisa mint. Yang macam ubat gigi tu. Orang tak suka tapi aku, suka. Beli lagi air kopi yang sama seperti perenggan di atas. Air yang sama dengan harga berbeza. Terasa kena scam tapi itulah beza harga di airport (harga premium) dengan harga di kedai biasa (harga mampu milik). Beli 1 di airport, boleh beli 3 di kedai ini. Kami pun berhuhu ajelah.
Setelah bergelak sakan sebab perbezaan harga itu, kami kembali ke hotel. Masa untuk makan.
Roti puri (lebih rasa macam roti canai) cicah kuah kari tapi namanya bukan kari, Lauknya adalah tauhu sahaja. Sangat sedap. Aku hanya makan itu, tak sentuh lain dah. Teh masala? Katanya sangat sedap. Tapi, bukan selera aku. Sebab aku tekak kopi dan teh China.
Hari pertama, tamat tanpa rasa letih sikit pun.
Seronok? Ya. Tapi, tujuan kami bukan hanya itu. Melainkan misi memburu salju di danau rindu.
...bersambung
menarik
ReplyDeleteHi kak Rehan. Gigih buka blog sebab nak baca, btw rindu akak.
ReplyDelete