Monday, March 19, 2012

Ku Ingin Milikimu [11]

BAB 11


HUJUNG minggu yang mendamaikan namun jauh di sudut hati ini, ada resah biarpun secubit. Resah gelisah kerana Mukhlis bakal menjawab nikah sekali lagi. Deruan air di dalam bilik mandi menggamarkan yang suamiku itu sedang membersihkan dirinya setelah begitu sukar aku mengejutkan dia bangkit dari lena setelah Subuh tadi.

Pintu luncur almari pakaian dari oak gelap itu aku tolak perlahan. Terketar-ketar jemariku kala ini. Bohong andai aku katakan, cemburu dan rasa hendak merajuk itu tidak langsung menjengah ke dalam diri. Namun, demi janjiku pada dia dan diri sendiri, aku harus cekalkan hati.

“Ya Tuhan… tabahkanlah hati hamba. Berikanlah yang terbaik buat kami semua, Ya Allah,” gumamku perlahan bersama dengan telapak tangan yang menepuk dada cuba memujuk hati.

Lambat-lambat, aku tarik persalinan putih bersih itu dari dalam almari. Persalinan akad nikah yang terlalu sempurna siap dengan ukiran di sekitar leher cekak musang itu. Bersih dan sudi bagaikan sebuah ikatan perkahwinan itu. Terlalu suci untuk dikhianati.

Aku bawa baju Melayu itu bersamaku lantas aku letakkan di atas katil dengan cermat. Kemudian, aku ambil pula songkok dan kain sampin yang bakal melengkapkan gaya seorang pengantin sebentar lagi.

Sungguh aku tersenyum bila minda ini tidak lepas dari membayangkan kami di dalam persalinan itu tapi segalanya hanyalah bayangan semata-mata. Bayangan yang akan hilang dalam sekelip mata.

Sedang enak aku merenung baju itu, pintu bilik air terbuka dan bila aku berpaling, Mukhlis sedang menapak keluar dengan rambut yang basah dan hanya bertuala saja. Aku menggariskan senyuman pada dia lalu aku dekati tubuh yang nampak kesejukan itu.

Sehelai tuala kecil aku bawa bersama dan bila aku dekati dia, dia pantas meraih tubuhku. Memelukku erat tanpa mampu aku bergerak. Aku senyum saja.

“Kenapa ni?” tanyaku lembut.

“Huuu… sejuklah, yang,” jawab dia.

“La, ingatkan mandi air panas?”

Barangkali kerana malam tadi hujan turun hingga ke pagi, ditambah pula dengan penghawa dingin yang terpasang, menambahkan kedinginan di dalam bilik besar ini.

“Orang dah cakap dah semalam, off aircond tapi nak pasang jugak, kenapa?” tanyaku sedikit membebel.

Mukhlis melepaskan pelukan dan dia ketawa. “Semalam hangat. Memanglah kena pasang aircond. Tak pasang, mahu lencun gebar tu,” sela dia mengusikku.
Serta-merta wajahku terasa menebal. Tanpa sedar, ringan saja tanganku mencubit lengannya. Mukhlis mengaduh dengan wajah yang menyeringai.

“Sakitlah, yang. Cubit abang.” Dia merengek sambil menggosok lengannya.

“Tahu pun sakit. Gatal lagi mulut tu nak cakap bukan-bukan,” tekanku geram.

Dia memang begitu. Terlalu manja sebenarnya membuatkan aku menelah sendiri keadaan zaman remajanya yang bagaikan tidak cukup dengan kasih sayang membuatkan aku berjanji dengan diri, hendak menyayangi dia hinggakan dia rasa tidak kurang dalam kasih sayangku padanya.

“Tapi, sungguhlah… sejuk ni. Hangatkan abang sikit, boleh?” Dia tersengih penuh makna menampakkan sususan giginya yang putih bersih itu.

Aku meredupkan pandangan dan menjeling dia tajam. Memberi amaran agar dia berhenti bersikap demikian.

“Mengada sangat. Dahlah bangkit lambat, ni nak lena lagi. Tak boleh. Dah dekat pukul sebelas dah ni. Nanti lambat. Cepat pakai baju tu,” ujarku dan cuba menjauh dari dia.

Belum sempat berlalu, dia meraih pinggangku lagi. Terjerit aku dibuatnya. Lelah juga sesekali melayani sikap manjanya itu yang suka melekat padaku setiap masa andai dia di rumah.

“Abang ni… nak apa lagi?” tanyaku geram.

Dia mengucup rambutku. “Cantik rambut sayang. Abang nak sayang, boleh?”

“Kan dah dapat dah. Nak apa lagi?”

“Nak macam malam tadi,” bisik dia.

“Tiap-tiap hari macam ni, matilah Ann, abang. Mahu sepasukan bola sepak kita dapat nanti.”

Mukhlis ketawa. “Kena beli bas la kot nanti ek,” tukas dia tidak mahu mengalah.

Aku cubit tangannya sekali lagi tapi kali ini dia hanya membiarkan saja. Rangkulannya semakin kemas. Titisan air dari rambutnya berterusan menitis jatuh ke bahuku.

“Abang… lewat dah ni. Nanti Puan Sri marah Ann pulak, sorok abang katanya. Macam mana?” Sengaja aku cuba mengusik dia.

Pelukan terlerai. Tubuhku dibalik menghadap dia. Wajah itu masam. Renungan matanya mendung.

“Abang lebih rela Ann sorokkan abang dari semua ni. Kita lari, sayang. Kita lari jauh dari semua orang, nak?” tanya dia cemas.

Aku kelu. “Err… a.. abang ca..kap apa ni?” soalku gagap.

“Sayang pergi kemas pakaian cepat. Kita keluar dari rumah besar ni. Ni bukan tempat kita. Kita pergi jauh-jauh tempat orang tak kenal kita, ya?” Pipiku dia pegang
erat.

“Abang…” Telapak tanganku menyapa belakang tangannya.

“Abang mengigau ni. Mengarut apa pulak ni? Dah-dah, mari sini Ann lap rambut tu bagi kering. Nanti semua orang menungguh pulak.”

Aku tarikh tangan Mukhlis membawa dia duduk di atas bangku di depan cermin almari solek. Dia hanya menurut tanpa riak. Bila aku mengelap rambutnya, mata itu tetap setia terpaku padaku.

“Abang tak nak nikah lagi, Ann…” Dia mengadu lagi.

Aku tahan perasaan sebak di dalam dada. Membenamkan rasa pedih dan lirih ini di dalam jurang hatiku yang paling dalam agar tidak terkesan oleh sesiapa termasuklah diri sendiri andai mampu.

Mata Mukhlis aku lihat di dalam cermin. “InsyaAllah, segalanya akan baik. Abang banyak-banyak doa. Apa yang terjadi ni, percaturan takdir. Ann terima dan abang pun kena terima,” pujukku lembut.

“Tapi, abang tak cinta dia.”

“Abang akan cinta. Ann yakin. Bagi masa sikit untuk hati abang tu.”

“Kalau macam tu, Ann keluar dulu, bagi abang bersiap sendiri.” Tanganku ditolaknya agak kasar.

Tuala kuning cair itu dia rebut dari tanganku lantas dia menolak aku agar berlalu keluar. Sedih hatiku kala ini. Bagaikan tidak diperlukan lagi namun aku tahu, Mukhlis tidak sudi andai aku perlu menyiapkan dia untuk menghantar suamiku sendiri ke pentas pernikahan dengan wanita lain.
Hati ini tersiat, jiwa ini tersayat tapi janji itu tetap janji. Aku bukanlah munafik hendak memungkiri janji dan aku redha dalam segalanya demi kesejahteraan kami semua.

Baru beberapa tapak aku melangkah, aku berpaling dan kala itu, aku lihat Mukhlis sedang menyembamkan wajahnya ke meja solek itu membuatkan aku tidak jadi melangkah. Aku pandang dia lama hingga akhirnya kaki ini dengan sendirinya melangkah mendekati dia.

Tubuh kasar itu aku paut ke dalam pelukanku. Memberi kehangatan kasih sayang ini untuk beberapa ketika lagi kerana kami bakal terpisah nanti. Terpisah oleh waktu dan keadaan biarpun cinta antara kami menggebu di dalam diri.

“Abang… maafkan Ann. Ampunkan Ann sebab tak mampu menjadi isteri abang yang baik. Ampunkan Ann sebab Ann derhaka pada abang, buat hati abang tak bahagia,” ucapku agak lirih.

Airmata yang mahu mengalir, aku tahan sehabis daya. Gugurnya airmata ini akan menjadikan aku hamba yang munafik. Memungkiri janji nanti.

Mukhlis memegang tanganku. Dikucupnya bertalu-talu lalu menarik aku duduk di ribaannya. Wajah itu tersembam ke dadaku. Mengerti dengan keresahannya, aku bawa telapak tanganku mengusap kepalanya. Rambut itu aku belai manja dan bila dia mengangkat wajahnya, aku hadiahkan dia sekuntum senyum.

“Ann isteri abang yang baik. Terlalu baik dan luhur hatinya. Abang sentiasa ampunkan Ann biarpun Ann tak sempat nak minta maaf pun dengan abang. Maafkan abang, sayang. Buat sayang macam ni,” ujar dia pula.

Aku menggeleng. “Ann redha dan insyaAllah akan terus redha.”

Mukhlis mengangguk. Aku pantas bangkit dari ribaannya dan menarik tangan suamiku itu agar dia berdiri mengikut langkahku. Bila kami sudah menghampiri katil, aku angkat baju Melayu itu.

Perlahan-lahan aku suakan baju itu padanya. Bila dia menyarungkan pakaian itu, aku pejamkan mata. Setelah dia lengkap berpakaian, aku suakan pula sampin untuknya. Aku kemaskan sampin itu dengan tanganku sendiri hingga akhirnya, aku letakkan songkok itu di atas kepalanya.

Senyumlah hati, senyumlah jiwa, pergilah derita, hadirlah bahagia kerana ini yang telah takdir suratkan buatku, bisik hati ini dengan nafas yang agak mengah.

“Handsome sungguh suami saya ni. Kalau macam inilah, jumpa peminat dekat PWTC nanti, bolehlah letak abang di tepi jadi bodyguard,” usikku.

Mukhlis mencemik. “Abang memang akan ikut Ann kat mana-mana pun Ann ada sesi jumpa peminat nanti. Abang takut nanti ada je orang lain sangkut dengan Ann.”

“Cemburu!”

“Sebab abang sayang,” sela dia.

Aku dekatkan diriku pada dia. Tubuh itu aku raih sekali lagi. Kali ini lebih hangat, lebih syahdu dan lebih pilu pelukan kami.

“Ann juga sayangkan abang. Sentiasa sayang dan akan kekal begitu selamanya,” bisikku.

Mukhlis mengucup kepalaku lama. “Maafkan abang, sayang.”

Aku angguk saja. Baru hendak meleraikan pelukan, pintu bilik diketuk kuat. Pantas aku tolak tubuh Mukhlis dan menapak ke arah pintu dan bila daun pintu terkuak, wajah Puan Sri tersembul di depanku. Wajah itu tetap keruh kala melihatku. Jelas ada kebencian di dalam setiap inci pandangannya.

“Mukhlis mana? Dah nak gerak ni. Jangan cakap kamu sorok dia sudahlah, Anahara,” tuduh Puan Sri padaku.

Aku menggeleng pantas. “Abang dah siap Puan Sri. Nanti dia turun kejap lagi,” ujarku.

“Kamu tak nak ikut ke, Anahara?” soal Puan Sri.

“Ikut?” soalku kembali dan dia mengangguk sinis lantas berlalu.

Mampu ke aku mengikut sama ke dalam majlis suamiku sendiri? Biarpun aku merelakan tapi rasanya aku tidaklah sekuat mana hendak mendengar ucap lafaz Sakinah itu sekali lagi.

“Siapa?” soal Mukhlis saat aku merapatkan daun pintu.

Aku berpaling dan tersenyum. “Mama. Cepatlah, diorang dah tunggu kat bawah semua dah.”

Suamiku itu mengangguk lemah. “Ann ada nak ke mana-mana ke hari ni?”
Aku menggeleng.

“Kalau kata Ann nak keluar dari rumah ni, nak pergi mana-mana ke, nak jumpa Sarina ke, abang izinkan,” ujar dia.

Mengertilah aku akan niatnya tapi aku menggeleng saja. “Kalau Ann nak keluar, nanti Ann keluar tapi buat masa sekarang, Ann tinggal kat sini tunggu abang balik.”

Dia sekali lagi mengucup dahiku. Ada rasa syahdu di situ tapi aku terus cekalkan hati. Kami sama-sama menapak ke bawah dan sungguh, betapa meriahnya rombongan suamiku untuk ke rumah Jeslina kala ini. Dengan hantaran yang sangat indah dirias, dengan rombongan yang cukup ramai dan pakaian yang sedondon semuanya.

Aku tahan hati dan terus mempamerkan senyum. Bila Mukhlis menyarungkan kasutnya, aku hanya melihat dia. Bila dia angkat tubuh dan menyuakan tangannya untukku, aku paut jemari itu dan aku kucup lembut.

“Ann jaga diri. Nanti abang balik,” bisik dia dan aku hanya tunduk mengangguk.

“Emm.. cepatlah. Lambat karang,” ajak Tan Sri. Aku pandang dia dan dia hanya memandangku kembali dengan renungan yang kosong.

Bila Mukhlis menjauh, Puan Sri hadir dekat padaku. “Harap kamu boleh datang tengok majlis nanti, Anahara,” ejeknya.
Aku ketap bibir. “Saya cuba ke sana Puan Sri tengah hari nanti,” jawabku beralah.

Dia ketawa halus dan terus berlalu bersama rombongan yang lain. Mukhlis kalih sebelum dia masuk ke dalam Porshe Cayenne itu bersama lambaian yang lemah.

“Tahniah, abang. Moga abang bahagia,” ucapku bersama lambaian pada kenderaan yang mula bergerak meninggalkan kawasan rumah.

Bila aku berpaling, setitis airmataku gugur jua.

***

AKU memanjatkan syukur bila akhirnya, pernikahan Mukhlis dan Jeslina berjalan lancar. Atas kehendak Puan Sri, aku terpaksa menghadirkan diri juga ke sana, menyaksikan persandingan suamiku sendiri yang sangatlah meriah.

Usai majlis gilang gemilang antara Mukhlis dan Jeslina, aku mengeluh melepaskan lelah. Bukan mengeluh kerana sesal akan keputusan sendiri tapi lelah bila diasak oleh Puan Sri dan juga Nayli, adik perempuan Mukhlis. Hanya Tan Sri saja yang agak mesra denganku.

“Ana dah terbit berapa buah buku?” tanya Tan Sri padaku sewaktu aku sedang mengemas meja makan, menjalani rutin harianku di rumah banglo ini.

“Emm, baru satu. InsyaAllah dalam menyiapkan buku kedua,” jawabku lembut. Tan Sri senyum dan aku membalas mesra.

“Mukhlis tu keras hati budaknya. Macam mana dia boleh jatuh hati pada seorang penulis yang dia sendiri tak kenal rupa atau nama penuh sampai macam ni sekali? Sampai
sanggup siasat siapa Ann Rahana tu. Istimewa sungguh kamu pada dia, Ana,” puji Tan Sri.

Aku menggeleng. “Saya tak ada apa-apa yang istimewa pun, Tan Sri. Saya sungguh-sungguh wanita biasa je.”

“Abah ni, abah kamu dah Ana. Jangan panggil Tan Sri dan jarakkan hubungan kekeluargaan kita. Pasal mama tu, bagi dia masa. Abah yakin, dia boleh terima kami nanti,” pujuk Tan Sri.

Hampir menitis airmataku mendengarkan perkataan ‘abah’ itu dari bibir dia. Aku larikan pandangan agar tidak terkesan akan titisan airmataku ini.

“Kamu istimewa, Anahara. Nama kamu sendiri unik. Sikap kamu juga malah hati kamu juga sebab abah yakin dengan pilihan Mukhlis biarpun dia banyak susahkan keluarga. Kamu istimewa sampai sanggup lihat suami kamu bersanding dengan orang lain depan mata kamu sendiri.”

Aku tersenyum kelat. Pingggan kotor itu aku letak kemas di atas dulang. Sudah bersedia hendak diangkat ke dapur bila Puan Sri mengarahkannya.

“Sebab Mukhlis tu, hak Jeslina pada asalnya. Tapi, takdir bawa Ana jadi hak dia dulu. Tak mungkin Ana pentingkan diri pada Mukhlis dan keluarga ni.”

“Hubungan budak berdua tu dah lama renggang. Abah nampak tapi itulah, hal muda-mudi ni tak larat nak campur. Mama sayang sangat Jeslina tu. Nayli pun sama.” Tan Sri menggeleng kecil bersama keluhan.

Aku angkat dulang yang dipenuhi Vantage kotor itu dan bersedia hendak berlalu ke dapur.

“Satu hari nanti, Ana pun harap… Puan Sri dan Nayli, dapat sayangkan Ana biarpun sikit, abah…,” ucapku bersama airmata yang jatuh berlingan di pipi lantas aku berlalu ke dapur.

Baru hendak sampai ke dapur, Nayli mendekat padaku dengan wajah yang keruh lantas dia tolak dulang di tangan. Pinggan bertaburan dan pecah terbarai. Aku pandang Nayli lantas aku raih tangannya.

“Nayli tak apa-apa ke? Kakak minta maaf. Kakak tak sengaja,” pintaku biarpun aku tahu dia yang sengaja melanggarku.

Dia membentak. “Jangan sentuh, Nayli. Nayli tak suka kakak!”

Aku telan liur apatah lagi melihatkan Puan Sri sedang menghampiri kami. Dia mengetap gigi kuat. Langkah itu maju depanku.

“Kamu tahu tak, Anahara? Bibik sekalipun tak pernah pecahkan apa-apa dalam rumah ni. Tapi kamu, baru sebulan lebih duduk dalam rumah ni dah rosakkan barang. Atau kamu ni memang perosak? Perosak kebahagiaan orang?” sinis dia.

Bibirku bergetar hendak menjawab tapi aku tiada daya. Rasa hormatku pada dia masih menggunung. Pesan mak masih kemas di hati agar menghormati ibu si suami biarpun aku dibenci.

“Maaf, Puan Sri… saya bersihkan.”

Aku tunduk ke lantai mengutip kaca yang bersepah dan tanpa sedar, serpihan kaca itu terpijak oleh kaki Nayli. Dia mengaduh kuat. Aku kaget bila mata Puan Sri tajam merenungku.

“Kenapa Nayli?” Berdentum suara Puan Sri hinggakan abah juga masuk ke dapur semula.

“Mama, kaki Nayli kena kaca,” jerit Nayli dan aku semakin kalut melihatkan darah yang mengalir dari kaki Nayli.

Puan Sri menarik tudungku memaksa aku bangkit. Bila saja aku berdiri tegak dengan bibir yang bergetar hebat, telapak tangan Puan Sri singgah tepat ke pipiku dan dia terus memapah Nayli keluar.

Setelah mereka hilang dari pandangan, aku jatuh terduduk di sisi kaca yang bersepah dan darah Nayli. Menangis dan terus menangis.

~~> bersambung

CIk Penulis : sikit lagi kita masuk KIM2..hehe.. banyak pula idea nak tambah..haihh.. jemput layan, komen dan maaf atas kekurangan KIM

15 comments:

  1. kadang2, rasa ni semua salah ann, sb dia yg paksa muklis kawen dgn jes...klu x, xkan jd situasi mcm ni...bkn salah muklis bile semuanya terjadi mcm ni...muklis kena hasut dgn mama dia, nayli dan jes...

    ReplyDelete
  2. hmm, xtaw nak komen ape...pity kt ann dan muklis...

    ReplyDelete
  3. Kesiannya dekat Ann . Haish . Kejam la mama mukhlis ni .

    ReplyDelete
  4. xyah la jd kawen.
    ubah cikit dr cerpen
    bole x?

    ReplyDelete
  5. kenapa ya Ann kena bersikap lembut dan mengalah?.. ada kah ini dikata takdir.. atau pilihan diri sendiri.. Kan Mukhlis dah kata tak nak khawin dgn si Jes tu... lepas ni tentu ada komplot si Jes dgn Pn Sri dgn pelakon tambahan Nayli nak memecahkan rumahtangga Ann & Mukhlis... hish gerammmm...

    ReplyDelete
  6. kesian Ann... terlalu nk berkorban tapi hati didera
    redha jelah kerana itu kehendak Ana sendiri... ape
    nak buatkan... kalau Mukhlis juga tlh berubah
    mengikut telunjuk Jes dn mamanya lagi harulah jadinya
    kerana hati bila-bila masa je boleh berubah. Mungkin
    ape yg berlaku tu ada hikmahnyakan.. siapa yg tau hanya
    RM saja yg tau dan mengertikan?

    ReplyDelete
  7. kesian dkat ann...cekalnya hati...-miss A-

    ReplyDelete
  8. awat cheq ngis nie.
    adehh. sedih bebenor cite nie
    akak rehan thumbs up 4 u.
    hehehe :)

    ReplyDelete
  9. adoi....hati ni yang sakit bila baca....ada ke watak ann dlm realiti skrg???kalau ada dia mmg wanita yg tabah...serius dada tgh sakit baca citer ni....hahahaha...ann tu baik sgt...RM cepat la smbg ek....

    ReplyDelete
  10. bersedia untuk airmata... huk huk huk... jgn sedih sedih sgt yea rehan....

    ReplyDelete
  11. kesian si ann 2..tp rm please jgn bg ann dan mukhlis 2 bercerai..x nak ok..sebab ann 2 baik sgt..if bercerai sekali pon,satukan lah dyrg balik ye..

    ReplyDelete
  12. sedih la rm..sian si ann 2..

    ReplyDelete
  13. tbaik. saya suke bila awak menulis. keep it up...

    ReplyDelete
  14. kenapa mudahnya perempuan mgalah disaat memperjuangkan cinta mereka itu saya tidak faham di realiti malah disini menerbitkan rasa marah saya pada wanita yang mgalah untk cinta merekasedangkan lelaki berjuang habis habisan mdptkan cinta nya......senang2 dia nak biarkan cinta mereka tkubur sendiri akibat perbuatan nya.. dan akhirnya lelaki dipersalahkan.........

    ReplyDelete
  15. ann tlg jgn mengalah.bangkit.awk kuat.jgn bg depa ruang tuk t'senyum tgk kamu jatuh Ann.

    ReplyDelete