Wednesday, March 21, 2012

Ku Ingin Milikimu [16]

BAB 16

WAJAH Zafran tegang. Dia memandang aku dan Mukhlis silih berganti bagaikan tidak percaya dengan apa yang terbit dari celah bibir Mukhlis. Mukhlis pula tersenyum hambar pada kami berdua dengan memeluk Aryana erat.

“Err… pa… pa?” soal Zafran gagap.

Aku diam saja. Namun, Mukhlis mengangguk pantas.

“Saya papa Aryana. Mukhlis,” ujar dia sambil menghulurkan tangan buat Zafran.

Tangan Zafran terketar-ketar hendak menyambut huluran salam Mukhlis. Bila dua tangan kasar itu bertaut, keduanya memandang ke arahku dengan wajah yang tidak beriak.

“Err… Encik Zafran, ni bekas suami saya. Papa pada Aryana,” luahku akhirnya.

Tidak guna lagi membolak-balikkan hakikat andai hari ini Mukhlis hadir di depan mataku. Biarpun ada rasa ralat yang bermain di sekitar hati akan sikapnya yang bagaikan tidak wujud selama ini, aku harus bertahan.

Banyak soalan yang berlegar di dalam kotak minda. Aku mahukan jawapan daripada dia. Jika benar dia tidak sudi hendak menjenguk Aryana, aku nekad hendak mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang terus dia dari mendekati kami berdua.

“Saya Zafran… ka…” Nada Zafran pincang.

Dia merenung ke arahku. Aku tahu apa yang sedang bermain di mindanya tapi usah menipu kerana aku juga tidak mahu mencipta apa-apa pembohongan. Tiada langsung terdetik di hati ini hendak menyakiti atau mendendami Mukhlis.

“Kawan pada Sarina. Awak ingatkan Sarina?” soalku menyambung kata-kata Zafran yang mati.

Mukhlis mengangguk. Langkahnya mendekat kepadaku bersama Aryana yang masih dipeluknya erat.

“Boleh abang jumpa Ann dengan anak kita kejap?” soal dia berbisik.

Aku tidak menjawab sebaliknya aku menjauh daripada pintu masuk restoran itu. Zafran juga sama namun, petahnya lidah Zafran terpasung akhirnya. Dia diam memerhati.

“Saya dengan kawan saya sekarang ni. Lain kali boleh tak?” tanyaku menolak permintaannya sopan.

Mukhlis diam. Dia memandang Zafran yang sedang memeluk tubuh sedari tadi. Seketika itu, dia kembali memandangku. Melihatkan Aryana yang mengucap pipi papanya yang berjambang itu, membuatkan bibirku hampir mengukir senyum.

Hati ini memanjatkan syukur bila Allah telah tiupkan rasa kasih dan sayang itu dalam diri seorang anak yang masih belum mengerti apa-apa pada papanya dan Mukhlislah sepatutnya menjadi orang yang paling bersyukur akan semua ini.

“Abang nak jumpa Ann kejap je. Setengah jam pun jadilah, sayang,” pujuk dia setelah beberapa ketika dia menyepi.

“Ann tak boleh. Ann kan dengan kawan ni. Awak tolonglah faham. Nanti call Ann lain kali. Awak boleh datang jumpa kami.”

Sedaya upaya aku cuba menolak permintaannya kerana aku tahu, dia langsung tiada hak untuk diri ini lagi. Hanya pada Aryana semata-mata namun bila merasakan dia tidak sudi menjamah anak itu setelah pertemuan kami beberapa bulan lepas, dia langsung tidak menghubungi kami bagaikan tidak sudi langsung mengakui darah dagingnya itu.

“Sayang… kejap je. Tolonglah.” Mukhlis terus merayu.

“Tapi, Ann nak…”

“Encik Mukhlis…” Zafran akhirnya bersuara.

“Kan Cik Anahara dah cakap dia tak boleh masa ni, saya harap encik boleh hormat kehendak dia,” sambung Zafran agak tegas.

Dia menapak mendekat pada Mukhlis. Bimbang juga bila melihatkan wajah kedua lelaki ini makin tegang tapi bila dia hampir pada Mukhlis, Zafran menghalakan tangannya hendak mengambil Aryana. Aku hela nafas lega. Bimbang mereka beradu tenaga di sini kerana aku kenal siapa Mukhlis selama ini.

Mukhlis membatu. Langsung tidak diberikan pada Zafran tubuh montel Aryana dan rasanya semakin kejap dia memeluk anaknya itu.

“Mukhlis…,” seruku lembut.

“Tolonglah. Awak muncul tiba-tiba macam ni, lepas tu ajak Ann ikut awak. Ann kan ada kawan ni. Lain kali awak datang. Kan nombor telefon dengan alamat rumah Ann dah beri pada awak. Atau awak dah buang sebab tak sudi nak jenguk kami?” soalku sinis.

Dia menggeleng lemah. Semakin kejap pelukannya pada anak daranya itu membuatkan Aryana merengek kecil. Namun, bila sekali lagi Zafran menyuakan tangan hendak mengambil Aryana sekali lagi, anak itu sesungguhnya tidak sudi. Dia terus memaut leher papanya erat.

Bergenang airmataku kala ini. Hari ini, tahulah aku yang Aryana yang masih belum mengerti itu, punyai hati yang jelas dan suci. Aku tahu dia merindui kasih sayang papanya tapi harus bagaimana lagi hendak ku rawat rindunya bila Mukhlis sendiri membuangku dan menjauh dari kami biarpun aku cuba mendekatkan dia dengan zuriatnya itu?

Zafran memandang ke arahku lama. Mengerti dengan apa yang dia hendak katakan, aku mendekat pada Mukhlis. Aku suakan tanganku pada Aryana dan akhirnya dia melepaskan rangkulan pada leher Mukhlis.

“Ann jangan cakap abang dah lupakan Ann dan anak kita. Abang tak pernah lupa, yang. Tapi…” Tak sempat menghabiskan ayatnya, Mukhlis tunduk menjadi pesalah.

Aku tersenyum pada hujung bibir. “Tapi… awak sengaja buat-buat lupa, kan?” tanyaku lebih sinis daripada tadi.

Dia tetap menggeleng menidakkan tapi aku, sedih benar kala ini. Melihatkan dia begitu, bagaikan dua orang yang berbeza. Sungguh lirih hati ini. Jeans yang lusuh, t-shirt yang juga lusuh, rambut yang panjang dan wajah yang sangat serabai.

Hati ini tertanya-tanya, apakah yang terjadi pada dia? Ada rasa risau yang menujah jendela hati. Bermacam andaian yang hadir menjelma tapi rasanya langsung tidak mampu memberi jawapan pada persoalan ini.

“Abang tak pernah lupakan Ann biarpun sesaat. Apatah lagi Aryana. Abang rindu keduanya. Cuma sebelum ini, abang rasa tak sesuai nak jumpa Ann.”

Aku ketawa halus. “Dan sekarang juga bukan masa yang sesuai!” tekanku keras.

Di dalam hati ini, sedihnya usah ku kira. Tergamak dia berkata demikian biarpun aku saban masa menanti dia hadir di depan pintu rumah sewaku. Biarpun bukan kerana cinta kami yang masih berbaki, biarlah demi Aryana.

“Dan awak juga dah buktikan betapa pentingnya Aryana pada awak selama ni, kan? Lepas kita jumpa dekat PWTC dulu, awak memang dah buktikan yang awak memang pentingkan Aryana,” tegasku menyindir.

Tubir mata kuyu itu nampak basah tiba-tiba. Dia merenungku dengan renungan yang sama bagai dulu. Renungan yang merayu-rayu kasih, renungan yang meminta-minta sayang. Aku tahan hati yang semakin lebur. Cinta pada dia, sukarnya hendak ku leraikan dari membelit hati.

Cepat-cepat aku kalih pada Zafran, mencari sedikit kekuatan dari dalam diri lelaki itu lantas aku meletakkan Aryana di dalam stroller dan mendekat pada Zafran.

“Ann ada kawan masa ni. Memang tak boleh nak jumpa awak, Mukhlis. Mungkin lain masa selagi pintu rumah saya masih ringan terkuak untuk awak,” pesanku penuh makna lalu aku berlalu diikuti oleh Zafran.

“Ann…” Zafran menyeruku agak kuat bila aku berjalan laju meninggalkan dia.

Langkahku pegun bila sampai dekat dengan keretaku. “Encik Zafran, berapa kali saya nak pesan. Jangan panggil saya Ann!”
Zafran senyum sinis. “Kenapa? Sebab Mukhlis sorang je boleh panggil awak Ann? Macam tu?”

Aku ketap bibir. Terasa pedih juga dengan sindiran itu. Mata ini tajam merenung Zafran tanda tidak puas hati bila dia berkata demikian.

“Ramai orang kenal saya sebagai Ann Rahana dan dia juga salah sorangnya, Encik Zafran. Kalau awak rasa nak panggil saya Ann, bermakna awak juga peminat saya. Bukan kawan saya dan saya tak suka nak bertentang empat mata dengan pembaca saya sangat,” jelasku agar dia tidak tersalah faham.

Namun, tuduhan itu berasas kerana Mukhlislah satu-satunya manusia yang memanggil aku Ann biarpun akhirnya dia tahu siapakah Anahara di balik Ann Rahana itu. Sebutan nama itu membuatkan hatiku hampir terputus dari tangkainya.

Aku bimbang andai sejarah antara aku dan Mukhlis berulang lagi dan dengan orang lain pula. Aku serik diburu cinta dan kehendak pembaca seperti Mukhlis dan kini seperti Zafran. Serik sebenarnya. Andai terjatuh lagi, pastilah aku tidak mampu hendak bangkit buat selamanya.

Kecil hati juga bila mengingatkan Sarina yang sewenangnya memberitahu Zafran akan tempat di mana aku berada kala ini dan kehadiran Mukhlis tanpa aku sangka menjadikan jiwaku semakin kalut. Langsung hilang ketenangan yang selama ini aku kumpul dengan jerih payahnya.

Ya Allah, usah diduga hati ini lagi kerana hamba bimbang, hamba tidak tersungkur di sejadah-Mu, namun sebaliknya hamba tersungkur lagi di kaki dugaan takdir-Mu dan hamba tidak mahu itu.

“Ana… saya minta maaf. Saya tak sengaja,” ujar dia bernada sesal.

Aku diam saja. Mengangguk tidak menggeleng juga tidak. Wajah Aryana aku pandang lagi tapi mata bulat itu tetap terhala ke belakang dan aku tahu, Mukhlis masih di situ melihat ke arah kami.

“Kalau Ana nak saya selamatkan Ana, saya boleh berlakon yang Ana teman wanita saya atau tunang saya mungkin,” duga Zafran lambat-lambat.

Mendengarkan pelawaannya itu aku menggeleng pantas. Usah ditambah gurisan pada luka yang baru hendak sembuh, Anahara. Itulah bisikan hatiku kala ini.

“Jangan mencipta apa yang tak ada, Encik Zafran. Kita tak saling kenal dan saya harap Encik Zafran jangan adakan cerita tentang kita. Saya tak selesa mendengarnya.” AKu memberikan amaran agak tegas.

Dia senyum dan mendekat padaku. Tubuh itu membongkok sedikit mencuit pipi Aryana yang sedang merenung ke belakang. Tidak berani hendak aku berpaling kerana aku yakin tubuh susut Mukhlis masih terpaku di situ.

Zafran mendongak padaku kemudiannya sebelum dia tegaknya tubuhnya. Bibirnya menguntum senyum yang sukar hendak ku tafsirkan makna di sebaliknya.

“Then, let make it real, Anahara. Saya suka awak dan saya cinta awak!” tekan dia dengan wajah yang serius.
Aku terdiam. Kunci kereta yang berada di tangan jatuh ke atas tar. Sungguh tidak ku sangka, pertemuan kami kali ini membawa Zafran meluahkan isi hatinya. Aku menggeleng tidak percaya. Terkejut sebetulnya.

“Kenapa geleng? Tak sudi? Kalau kata Ana tak selesa dengan bekas suami Ana, saya mampu melindungi Ana,” tambah dia lagi.

“Saya menggeleng bukan sebab tak sudi, Encik Zafran tapi sebab memang saya dah pakukan hati saya pada Aryana semata-mata. Cukuplah Allah dan Aryana pada saya, yang lainnya saya tak perlu,” ucapku lembut berharap agar dia mengerti.

Zafran menggeleng kesal. “Aryana perlukan papa, kan?”

“Dan saya akan kekal jadi papa Aryana sampai bila-bila, Encik Zafran.”

Aku tersentak. Entah bila Mukhlis mendekat pada kami dan berkata demikian membuatkan Zafran sekali lagi terkaku.

“Mukhlis…,” seruku agak terkejut.

“Ann cakap dengan abang kejap,” pinta dia tidak berputus asa.

“Ann nak balik. Anak nak tidur,” jawabku tanpa nada.

“Abang hantarkan?”

“Ann bawa kereta.” Pantas aku menolak kehendaknya.

“Encik Mukhlis… jangan memaksa boleh tak?” tanya Zafran dengan rahang yang turun naik menahan marah barangkali.

“Saya tak memaksa, tapi saya meminta,” jawab Mukhlis biarpun mata itu tetap merenungku.

“Kalau tuan punya badan tak suka, itu dah kira memaksa, Encik Mukhlis,” sergah Zafran semakin keras.

Aku telan liur. Teras kelat dan kesar melalui anak tekakku melihatkan dua orang hamba Allah ini.

“Dia memang tak suka, tapi saya tak akan luak merayu dia biarpun berjuta kali saya ditolak,” ucap Mukhlis sambil menjeling sekilas ke arah Zafran.

“Mukhlis… Encik Zafran… tolonglah saya….” Aku bersuara mendayu pada mereka.

“Izinkan saya balik. Jangan buat perangai macam ni tengah-tengah orang ramai ni. Tolong jaga airmuka sendiri. Aryana perlu rehat. Saya juga. Kehadiran keduanya saya tak pinta tapi yang saya pinta, biar saya balik bersama anak saya. Tolonglah…” rayuku lirih.

“Ana tinggal kereta, saya hantarkan,” pelawa Zafran pula.

“Ann betul nak dia hantar?” tanya Mukhlis bila aku diam saja.

“Kalau macam tu, Ann jaga diri baik-baik, ya?” ucap Mukhlis melirik sekali lagi ke arah Zafran.

“Abang percaya dia akan hantar Ann sampai dengan selamat,” sambung dia lagi lantas berpaling dan berlalu.

Aku pandang belakang tubuh itu yang nampak lain macam jalanannya. Nampak ada yang tak kena saja pada dia. Risau sungguh hati ini. Bila aku jeling pada Zafran, dia senyum di hujung bibir.

“Ana nak saya hantarkan ke?” tanya Zafran agak ceria.

Sudahnya, aku menggeleng menolaknya. “Saya boleh balik sendiri, Encik Zafran.”

Aku angkat Aryana daripada stroller dan meletakkan dia di dalam kereta. Stroller itu aku lipat dan aku letakkan di dalam boot kereta MyVi itu. Bila Zafran hendak membantu, aku menolaknya sopan. Sudah terbiasa melalukan segalanya sendiri.

Baru hendak ku tutup pintu kereta, Aryana dengan sendirinya turun dari kereta dan berjalan terkedek-kedek hendak menapak menuju ke arah yang aku sendiri tidak sangka.

“Pa… pa…,” ucap mulut comel itu.

Cepat-cepat aku tutup pintu kereta semula dan terus berlari menyambar tubuh Aryana. Aku peluk tubuh itu erat-erat dengan airmata yang mengalir laju tanpa ku sedar.

“Pa… pa…,” ujar dia lagi.

Aku kucup pipi Aryana bertalu-talu. Kala ini, aku terlupa akan Zafran yang ada di belakangku. Aku lupa akan lamaran cinta daripada Zafran kerana di jiwa ini, di dada ini hanya suara Aryana yang terngiang-ngiang bagaikan merayuku.

Aku peluk tubuh itu erat lagi hinggakan Aryana merengek dan akhirnya menangis kuat membuatkan langkah lemah Mukhlis pegun. Dia berpaling padaku dan aku memandang dia dengan airmata yang berlinangan jatuh ke pipi.

Bila Aryana menggelepur mahu dilepaskan, aku tidak dapat tidak, meletakkan dia di bawah dan sungguh seperti yang aku sangka, Aryana berlari dengan larian yang tidak stabil itu menuju ke arah papanya yang sedang menapak laju ke arahnya.

Ya Tuhan, apakah semua ini? Apakah yang cuba Engkau buktikan pada hamba, Ya Allah?

~~> bersambung

21 comments:

  1. haha aryana ni kecik2 dah pandai ye memilih sapa yg dia nak jadi papa dia... klu mukhlis dh berubah x salah klu diberi peluang ke 2 kan???

    ReplyDelete
    Replies
    1. hhehe.. ade kisah di sebalik mukhlis n aryana neh..hahaha.. ops pecah rahsia..hehe

      Delete
    2. kak Rehan, n yg x sabau nak tgu next n3 n!

      Delete
  2. beri la peluang kepada mukhlis....
    kesian dia...apa sebenarnya teerjadi menyebabkan dia tidak melawat aryana dan ana....
    sambung lagi..

    ReplyDelete
  3. comel betul aryana ni, anak papa la tu... hehe :D

    ReplyDelete
  4. kak an smbung la lg!!
    fiqah nk lg huhuhu..
    ksian kAt aryana tnpa ksih syg ayh...
    npe ngn mukhlis tu kak an???

    ReplyDelete
  5. salam dik..coretan yg membuat kita membaca berasa sendu dan rawan. Apakah sebenarnya yg telah berlaku ke atas dirinya..adakah perniagaan familinya sedah menghadapi masalah disebabkan dirinya yg hanyut ketika ketiadaan Ana disisinya dan Tan dan Pn Sri telah meninggal dunia menyebabkan lelaki itu berupa begitu..
    Alahai dik..rungkaikan permasalahan ini..

    ReplyDelete
  6. mesti ada jadi sesuatu dkt mukhlis dlm 2tahun ni kan...kesian tgk anak dia rindu papa dia kot...

    ReplyDelete
  7. saya pon macam aryana...
    nak mukhlis jgk..

    ReplyDelete
    Replies
    1. mukhlis...mukhlis...mukhlis....

      Delete
  8. dah baca biarpun lambat skit. semakin menarik. more to mukhlis but tak tahu macam mana. keep it up. saya suke dan sape pun pilihan anahara tak kisah. tbaik! tunggu untuk kim 17...

    ReplyDelete
  9. kenapa mukhlis jadi serabai macam tu..rambut panjang..seluar dengan baju lusuh..apa dah jadi?...best la aryana kecik2 dah pandai memilih papa sendiri..harap ann bagi mukhlis peluang kedua...

    ReplyDelete
  10. baguslah aryana...hpfully ann pilih mukhlis
    RM ckp ada rahsia.. mungkin selama ni dia curi2 jumpa ngan aryana kut sbb tu anak dia kenal dia and terus panggil papa bila nampak muka mukhlis..... sian mukhlis moga ann maafkan dan terima dia kembali.... RM buat sy tul2 suspen ngan citer ni...hehe..hehe apa2pun RM mmg terbaik..:)

    ReplyDelete
  11. Harap Ann pilih Mukhlis la . Kesian dekat Mukhlis . Tak nak Zafran jadi hero . Hihi .

    ReplyDelete
  12. dia xcdent kot...then x bleh jmpa...jgn wat mati2 la..... bkalu nk hpy ending wat je smpai abeh ok??hahah

    ReplyDelete
  13. pening suda..xtaw ape yg berlaku dulu2 ni..pjg lagi ke KIM2 ni krehan?

    ReplyDelete
  14. syahdu bila baca situasi aryana n mukhlis.....
    pe tjadi pd mukhlis sebenarnya...

    ReplyDelete
  15. clllaaassssss aryana!!!!

    ReplyDelete
  16. apa yg brlaku kat Mukhlis sbnrnya?kesian dgn keadaan Mukhlis tp kesian jugk dekat Zafran.lagi kesian dekat Ana sbb dh xth arah.jgn buat apa2 kptsn sbb ank.kdg2 pd ss2 keadaan kena pike dr sndr jugk ann.

    ReplyDelete