Friday, March 23, 2012

Ku Ingin Milikimu [19]

BAB 19

LAMPU merah di hadapan menyebabkan aku memberhentikan kereta dengan agak cemas. Langsung leka waktu memandu kala melihatkan wajah kedua yang muncul tanpa aku duga tadi. Mujur tidak terlajak, andai tidak pastilah mengundang kecelakaan. Dalam hati ini pantas mengucap panjang.

Kala ini, wajah comel Aryana menari-nari di ruangan mataku. Usah terlalu leka dan cuai kerana aku ada puteri yang perlu aku sayangi sepenuh hati. Wajah Nayli hadir lagi dan wajah wanita itu juga.

Rasa hendak menangis kala ini bila dia memaut lengan Nayli dan pergaulan mereka sungguh mesra bagaikan dulu hinggakan tidak sedar, hatiku dijentik rasa cemburu. Rasa tertipu sebenarnya dengan kata-kata Mukhlis tempoh hari.

Dia juga bersendiri setelah dia lepaskan Jeslina tapi hari ini, keakraban Jeslina dan Nayli, menggambarkan sebaliknya. Bila aku pejamkan mata, suara Jeslina keras menikam gegendang telingaku.

Sungguh pedih hati ini kerana setelah dua tahun berlalu, mata itu masih sirna dengan kemesraan. Lidah itu masih juga ringan menyindirku biarpun berkali-kali ditegah oleh Nayli.

“Oh, wujud lagi Cik Penulis ni dalam dunia ni?” soal dia mendatar. Mata itu tajam menjelingku. Sesekali dia menguak rambutnya ke belakang.

Aku pamerkan senyum. “InsyaAllah selagi janji Allah tak sampai, saya akan bertapak atas muka bumi ni,” jawabku lembut.
Nayli menolak lengan bekas kakak iparnya itu atau mungkin juga boleh jadi masih menjadi kakak iparnya kerana aku yakin, Mukhlis menipu akan hubungannya dengan Jeslina yang telah berpisah.

“Macam mana hidup lepas kena halau?” soal dia dengan bibir yang herot dengan senyuman di hujungnya.

Aku menyengetkan kepala sedikit. “Alhamdulillah. Tuhan telah tetapkan yang terbaik buat kami.”

“Baguslah macam tu tapi sayang sebab kau dah tak boleh nak rasa nikmat cinta Mukhlis, kan?” cebik dia lagi.

Tidak dapat tidak, aku hanya mengukir senyum. Melawan perasaan yang agak mudah digugah kala ini. Setiap kali nama itu menyapa peluput telingaku, harus aku akui masih ada getar dalam dada ini.

“Tapi, saya tak pernah putus akan rahmat dan cinta Allah pada saya dan itu sudah mencukupi buat seorang hamba yang hina dan alpa macam saya ni, Puan Jeslina,” jawabku agak keras biarpun senyum terus terukir di bibir.

Dia nampak mahu melatah. Bibir itu terjuih-juih hendak memarahiku namun akhirnya dia diam dengan anak mata yang menjelingku tajam.

“Tak apalah, Anahara. Doakan kami bahagia, ya?” Bibir merah merekah milik Jeslina melebar.

Hari ini, aku sedar yang Mukhlis terus membohongi. Sikap hendak memiliki itu terlalu tebal dalam dirinya hinggakan terlalu sukar hendak terhakis biarpun bertahun berlalu dan biarpun, wajah polos Aryana juga tidak mampu membantu dia membuang sikapnya itu.

Hati ini pantas memanjatkan syukur bila aku tidak terjerumus ke dalam cinta Mukhlis sekali lagi. Andai ada yang bersisa, akan ku benamkan hingga tak mampu timbul lagi andai Mukhlis merayu.

“Saya sentiasa mendoakan awak berdua,” balasku mesra.

“Apa Kak Jes cakap ni?” Suara Nayli menyoal kakak iparnya agak keras.

Dia meraih lenganku erat namun baru hendak dia membuka mulut, Jeslina menarik tangan Nayli agak kasar membuatkan anak gadis itu terjerit sedikit. Dia merentap tangannya kasar daripada pautan Jeslina dan terus saja dia menarik Nayli berlalu.

Memaksa langkah mereka seiring bersama dan bila Nayli berpaling ke arahku, dia menggeleng berkali-kali dan aku hanya mampu tersenyum lantas aku bawa kakiku menuju ke tempat letak kereta. Peristiwa ini akan ku lemparkan sejauh mungkin dan kini, aku mahu Mukhlis lepaskan segala hak pada Aryana yang pernah aku berikan untuk dia.

***

MALAM begini, setelah menidurkan Aryana aku terus membuka komputer hendak memulakan kerja menyiapkan manuskrip yang sudah menghampiri tarikh yang diberikan. Terlalu pantas masa berlalu. Ada rindu ada sendu dan yang pasti ada rasa bersalah dalam diriku terhadap Zafran.

Terasa bagaikan aku ini membalas segala yang telah Mukhlis lakukan padaku terhadap Zafran. Tidak adil untuk dia namun sungguh, dia mengingatkanku pada Mukhlis. Aku raup wajah berkali-kali, menanti skrin gelap itu bertukar cerah.

Setelah skrin leper itu terang benderang, gambar Aryana muncul. Melihatkan senyuman pada bibir tipis itu membuatkanku melihat wajah papanya pada skrin. Setelah pertemuan kami di SACC Mall tempoh hari, hingga kini dia langsung tidak mencari aku lagi.

Di manakah hilang taringnya dari terus menjejaki, aku sendiri tidak tahu. Namun yang pasti, aku tidak mahu memikirkan dia lagi. Yang sudah, sudahlah. Pesanku pada diri sendiri.

Blog berlatar belakangkan warna hijau muda itu aku buka. Merenung setiap komen-komen membina daripada pembaca membuatkan aku senyum saja. Karya ketigaku yang agak santai. Tidak langsung mengundang airmata malah membuahkan tawa saja. Sungguh aku tidak sangka, aku mampu menggarap genre santai dan kelakar begini kerana sebenarnya jiwa ini, lebih cendurung kepada sesebuah cerita masyarakat yang sarat dengan airmata.

Laman sosialku itu, aku buka pula. Hendak melayan pembaca sebelum meneruskan tanggungjawabku sebagai penulis. Kala aku buka laman berwarna biru itu, aku lihat ada beberapa pesanan di situ.

Tatkala aku klik pada salah satunya, wajahku berubah lagi. Aku ternampak nama dia dan aku yakin itu adalah dia. Terketar-ketar jemariku menekan tetikus di atas nama lelaki itu dan bila aku buka, mata ini langsung terpaku membaca pesanannya membawa aku kembali kepada zaman silam yang membuatkan aku cinta ini jatuh bergelimpangan.


Anaraha, tanpa dirimu ku hanya manusia tanpa cinta dan hanya dirimu yang bisa membawa syurga dalam hatiku ku ingin engkau menjadi milikku aku akan mencintaimu menjagamu selama hidupku dan aku kan berjanji hanya kaulah yang ku sayangi ku akan setia disini menemanimu...


Aku garu kepala yang tidak gatal. Berkali-kali aku membaca nama itu dan sungguh aku tidak percaya akan apa yang sedang terbentang di depan mata.


Encik Zafran, mencintai tak semestinya memiliki dan memiliki haruslah dengan niat hendak mencintai. Saya hargai cinta encik tapi sungguh saya tak mampu terima.


Aku tekan ENTER. Rasa bagaikan sedang berbalas pesanan dengan Mukhlis tapi ini lain orangnya. Segalanya berbeza dan dia adalah Zafran bukannya Mukhlis.


Anahara… bagi saya peluang untuk penuhkan hati awak dengan cinta saya. Bagi saya ruang untuk meluangkan waktu saya bersama awak. Jangan awak tahan hati awak dari mencintai dan dicintai, Ana….


Termangu aku sendiri membaca luahannya. Sukar sangatkah hendak memahami apa yang aku sampaikan pada dia hinggakan berkali-kali dia merayu?


Encik Zafran… saya tak pernah tahan hati saya dari mencintai dan dicintai tapi hati saya yang menahan saya dari semua tu.


Tidak lama kemudian, pesanan daripadanya muncul pula.


Awak memang nak menjarakkan hubungan kita yang sudah sedia terjarak, Ana. Bila awak memanggil saya encik, saya senyum sebab ada rasa lucu melihat wajah awak waktu ni tapi dalam pada masa yang sama, hati saya pedih sebab awak buktikan yang kita memang terlalu jauh biarpun pada hakikatnya kita sangat dekat.


Jauh namun dekat? Aku menongkat dagu. Tetikus itu aku larikan merata-rata. Pantas otak ini mencerna apa yang dia ungkapkan. Ternyata dia dan aku semakin yakin dia adalah orang yang mengikut setiap jejak dan perkembanganku di dalam diam. Dia yang menyelesaikan segalanya demi membuktikan cinta dia tanpa dia tahu, aku sebenarnya rasa terbeban.

Perkataan encik itu, jelas mengingatkanku pada Mukhlis. Bagaimana buat pertama kalinya gurauan kami benar-benar membawa bahagia hingga tanpa sedar, aku mengukir senyum dan menggeleng mengingatkan kisah lama itu.


Itu hakikat dan akan kekal begitu, Encik Zafran!! Titik!!


Buat kali terakhir, aku tekan ENTER dan terus mematikan laman sosial itu. Letih menghadapi karenah sebegini. Cukup-cukuplah masa laluku kerana aku walang andai dia terus memburu.

Malas hendak memikirkan soal itu lagi, aku terus alihkan akal dan fokusku ke arah skrin putih, hendak menyambung apa yang telah tertangguh. Menulis dan terus menulis dalam pada cuba menghalau resah di hati hingga akhirnya aku tertidur di meja kerja.

Kala aku tersedar, telinga ini sayup-sayup menangkap getaran telefonku di hujung meja. Aku angkat kepala dan memisat-misat kelopak mata yang agak berat untukku buka. Telefon bimbit aku capai pantas dan sempat aku menoleh ke arah Aryana yang sedang tergolek-golek ke kiri dan kanan, mencari posisi tidur yang selesa baginya.

Bibir ini senyum seketika sebelum aku lekapkan telefon bimbit itu ke telinga tanpa melihat ke arah skrin terlebih dahulu.

“Ya, Anahara ni,” akuiku setelah suara manja di hujung talian bertanya soalan.

“Siapa, ya?” soalku pula.

“Kakak…,” seru dia lantas membuatkan aku kenal akan suara manja itu.

Nurul Nayli Aida! Tukas hatiku pantas. Mata yang lali terbuntang luas. Aku tidak tahu dari mana dia mendapat nombor telefonku tapi aku diamkan saja bila aku dengar suara itu ada sendunya.

“Kakak, Nayli kat luar rumah kakak ni,” ucapnya membuatkan aku langsung bangkit kali ini.

Pantas aku mematikan talian dan terus berlari ke pintu besar. Daun pintu aku tarik rakus dan sungguh, susuk tubuh langsing yang bagaikan model itu tercegat di depan pagar bersama Nissan Teana yang masih terang lampunya itu.

Anak kunci pagar utama aku capai dari belakang daun pintu lantas aku berlalu keluar menuju ke arah dia. Pagar itu aku buka dan menarik dia masuk setelah dia matikan enjin kenderaannya.

“Nayli buat apa kat sini masa ni? Kan dah dekat 2.00 pagi ni. Nanti Puan Sri cari macam mana?” tanyaku risau.

Marah sebenarnya hatiku dengan sikap keluarga Mukhlis yang suka mengikut kata hati dan kehendak sendiri. Tidak bolehkah berkata tidak?! Tukas hatiku geram namun aku tetap membalas pelukannya.

“Nayli nak jumpa Aryana,” jawabnya tenang.

“Arya lena dah masa ni, Nayli. Nayli tu, jawab dulu soalan kakak.” Aku tekan sikit hujung suaraku agar dia tahu yang aku tidak suka dia berada di sini waktu ini. Tidak kena waktunya.

Dalam hati ini, sudah menebak perkara lain. Rasanya bukan semata-mata Aryana yang membawa dia hadir di depan rumahku. Pastilah ada agenda lain di sebaliknya.

Aku duduk lalu aku tepuk sofa di sebelahku meminta dia duduk sama.

“Kenapa Nayli datang masa ni?” Aku menyoal dia sekali lagi.

Wajah itu nampak cuak dan teragak-agak. “Err… pasal… pasal…”

“Abang Mukhlis minta Nayli datang sini?” tanyaku sinis.

Dia menggeleng. “Abang tak tahu Nayli datang dan dia tak tahu Nayli ambil alamat dan nombor telefon kakak dalam handphone dia. Nayli pernah minta masa dia kemalangan dulu tapi dia langsung tak nak bagi. Dia kata doakan dia bawa balik semula wanita kesayangan dia dan juga anak dia. Bila hari tu, Nayli dengar dia cakap dengan seseorang, Nayli yakin abang dah jumpa kakak sekali lagi,” jawab dia persis membela diri dari telahanku.

“Habis tu, kalau kata abang Nayli tak izinkan Nayli datang, kenapa Nayli datang? Benci sangat ke abang awak tu pada kakak sampaikan dia tak sudi nak jenguk Aryana? Dan kalau betul dia tak nak, kakak boleh dapatkan perintah mahkamah menghalang dia supaya tak dapat nak jumpa Aryana langsung!” Aku mengugut tanpa sedar.

Nayli menggeleng. “Tak kak. Jangan cakap macam tu. Kami berhak tengok Aryana, kan? Abang sayang kakak. Dia akan jumpa kakak nanti. Percayalah!”

Bersungguh-sungguh suara bekas adik iparku ini memujuk. Genggaman pada tanganku juga semakin erat dan terus erat.

“Kalau betul dia nak, dia terus usaha Nayli. Bukan pergi macam tu je. Oh ya, kakak lupa. Dia ada hati yang perlu jaga, kan?” Tiba-tiba saja aku teringkatkan Jeslina. Mrs. Mukhlis.

“Sebab tu Nayli datang juga sini. Beranikan diri curi nombor dan alamat kakak dari abang. Kak Jes dah berpisah dengan abang selepas beberapa bulan kakak keluar dari rumah tu,” beritahu dia.

“You are wrong, Nurul Nayli Aida. Kakak tak keluar dari rumah tu tapi kakak dihalau!” tegasku membetulkan kenyataannya.
Dia tunduk melarikan renungan tajam mataku pada wajah putih bersihnya itu.

“Maafkan Nayli sebab tak sempat nak membantu kakak masa tu. Masa tu, Nayli sakit sangat. Memang Nayli marah Kak Jes tapi dia anak Mak Long kami. Apa-apa yang terjadi sekalipun, hubungan kami sebagai sepupu tak mampu buat kami lari jauh. Apatah lagi daddy Kak Jes dengan abah adalah partner. Tapi, sungguh… diorang dah berpisah,” ujar dia lagi dna kali ini lebih yakin dan meyakinkan namun aku tetap wujud rasa sangsi di pinggir hati.

“Kalau betul macam tu, kenapa Jeslina cakap pada kakak macam tu hari tu?”

“Dia nak kakak marah. Dia nak kakak sakit hati dan Nayli rasa bersalah masa tu sebab tak sempat nak betulkan keadaan bila Kak Jes cepat-cepat tarik Nayli pergi. Sebab tu Nayli kat sini. Nayli nak rayu kakak, terima abang kembali. Mama, abah, along semua rindu kakak. Rindu masakan kakak. Rindu kebaikan dan kasih sayang yang kakak taburkan dalam rumah kami biarpun kami terlambat sedar dan Nayli sendiri, rindu nak rasa suapan kakak lagi biarpun waktu Nayli sihat. Kami rindu nak melayan karenah Aryana,” pujuk dia dan kali ini terus saja disulami airmata.

“Kalau betul abang Nayli tu mahukan kakak, dia akan usaha dan terus usaha Nayli. Macam dulu, dia usaha sampaikan kakak sendiri tak sangka dia akan buat macam tu tapi hari ni, dia membisu bagaikan menolak kehadiran Aryana apatah lagi kakak,” ucapku lembut.

Ada sebak yang aku sembunyikan di dalam dada. Ada sesak yang sedang menyekat ruang udara. Ada syahdu yang bertapak di jiwa melihatkan airmata Nayli mengalir laju lantas aku bawa hujung jariku menyekanya bagaikan satu waktu dulu.

Waktu ini, rasanya dia berbeza dari dulu. Tidak lagi bersungguh namun lain pula dengan Zafran. Tidak pernah kenal erti jemu biarpun menerima penolakanku entah kali ke berapa tapi sukar hendak ku terima dia kerana aku berdiri hari ini kerana pengalaman yang lalu.

“Dah lewat ni,” sambungku setelah sebak di dada tiada.

“Nayli nak balik ke?”

Dia menggeleng. “Nayli nak tidur dengan Aryana, boleh?” tanya dia.

“Tak apa ke? Nanti Puan Sri cari macam mana?”

“Nayli dah cakap nak tidur rumah kawan,” jawab dia sambil mengesat pipinya.

Aku senyum dan pipi itu aku sentuh sikit. Makin cantik adik iparku ini. Sungguh bergaya dan nampak dari keturunan berada.

“Aryana dalam bilik tu. Nayli masuk dulu, kakak alihkan kereta Nayli masuk dalam pagar. Tutup siap-siap takut ada stalker nanti. Kakak glamour sekarang ni. Tapi, Ann Rahana la. Bukan Anaraha,” ujarku berseloroh.

Nayli ketawa. Dia bangkit dan memelukku. “Sayang kakak,” ucap dia.

Aku usap bahuku lembut dan menolak tubuh itu perlahan agar dia berlalu ke bilikku dan kaki ini aku bawa keluar rumah

Sewaktu aku hendak masuk ke dalam kereta Nissan Teana itu, hati ini berdegup lain macam. Di waktu yang sunyi sepi ini, ada rasa resah yang lain pula lantas aku melihat ke belakang, bimbang andai diintip lagi. Dada ini aku urut perlahan dan dalam hatiku tidak putus berdoa.

Cepat-cepat aku masuk ke perut kereta dan memandu kereta Nayli perlahan masuk ke dalam pagar. Cepat-cepat juga aku keluar setelah mematikan enjin dan berlalu ke pagar dan menguncinya.

Mata ini terus melilau dan sungguh. Kata hati ini kuat mengatakan aku diintip dan boleh jadi juga Zafran. Aku tahu dia bimbang dan hatiku juga walang jika dia terus begini. Tidak selesa sebenarnya bila hidup diburu.

Sebelum sempat aku berpaling dan hendak masuk ke dalam rumah, ada lampu yang terang dari hujung taman di depan rumahku. Bila aku berpaling, ternyata sebuah kereta yang kurang dapat ku pastikan jenis dan warnanya, meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan ini menambahkan lagi prejudis di hati.

Pada Allah aku panjatkan doa agar kami terus dilindungi dan bila aku masuk ke bilik, Nayli lena meleluk Aryana dan yang membuatkan aku jatuh airmata bila lengan kecil itu memaut leher Mak Usunya erat.

“Pa… pa…” Dan suara kecil yang menyeru Mukhlis terus berputar tidak henti-henti di dalam kepalaku.

~~> bersambung

Cik Penulis : Sila jangan..jangan tak predict apa akan jadi dan siapa stalker baru itu.. haihhh.. tak best kan jadik Anahara..hidup kena stalk je..hehe.. luv u all much2..layan komen dan maaf atas kekurangan mcm TYPO..hehe..

21 comments:

  1. Pls... biar la mukhlis yang stalk tu... kesian sangat2 pada aryana, n sebenarnya masih peluang untuk dia di hati ana...

    mode: da penat tunggu mukhlis muncul, tup2 dia ade, tp macam bayang2 je... zafran pulak yang enterframe... hihi

    ReplyDelete
  2. Taknak Zafran jadi stalker . Nak Mukhlis jugak ! Hihi .

    ReplyDelete
  3. aduiii. dah pening lah nak meneka cik writer...hahahhaa...baca je lah...yg si aryana asyik duk pnggil pa pa knp ye...something fishy here...

    ReplyDelete
  4. ah,cerita kali ni penuh misteri. sampaikan kami semua tk boleh predict apa yg akan jadi seterusnya. tpi saya harap dorang rujuk kembali. walaupn sudah rujuk tpi anahara sikap dingin terhadap muklish. dan teringin sgt nk tngk mcm mne mukhlis cairkan Anahara. mesti comel dngn usikan muhklis. kemonkan rehan,kami mahukan lagi yg bisa aku tersenyum. keep on writting :)

    -ACR-

    ReplyDelete
  5. zafran.... jng mengharap pada hati yg memang bukan milikimu...
    mukhlis... jng berhenti mengejar hati yg semakin jauh..
    anahara...lapangkanlah hatimu menerima sebaris nama yg telah lama berada dicelahan hatimu.
    jeslina... berhentilah jadi stalker. kerja sia2x..
    hahaha.. rehan...sebahagian dr misi memujuk... :)

    ReplyDelete
  6. Plesh lah Kak jgn wat kami.... Mukhlis Please.... x mau encik zafran....

    ReplyDelete
    Replies
    1. agak la...hati ni lak yg sengsara bila baca...hahahahahaha

      Delete
  7. hmm... saya pasti orang itu adalah mukhlis...
    tersangat pasti.. aduh.. sungguh x boleh terima kenyataan.
    kenapa dia perlu buat semua ni?
    konon nak buat anahara terharu dgn pengorbananan dia ke?
    hmm... harta tak boleh membayar segala perbuatan kau dahulu.. maaf itu terlalu besar nilainya untuk orang seperti kau....

    anahara pulak,
    mulut menidakkan.. tp hati mengiakan kedatangan mukhlis.. dia sebenarnya mengharapkan kdatangan mukhlis.. dia mengharapkan kegelapan semalam tidak mempengaruhi sinar pada hari ini... masih mengharapkan yang Mukhlis akan tetap menjadi papa kepada anaknya...

    zafran pula,...
    adakalanya memaksa sehingga menjadikan anahara terpaksa.. tidakkah kau sedar yang rayuan tidak akan memmbuatkan anahara tunduk pada kau?
    jangan terlalu taksub untuk memiliki.. tp tuluslah dalam menyintai.... bersungguhlah dalam melahirkan kasih..

    buat kak ann...
    eden mengucapkan tahniah kerana mengacaubilaukan fikiran eden.. hahaha... certa y srat dengan emosi...
    daku tersentak dan terhentak..mengamit hati merintih dan merayu... agar cerita ini mempunyai penyudahnya yg baik... ehheh.. (hope bkn dgan mukhlis)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya...hope bukan dengan mukhlis walaupun bukan zafran yang dipilih.

      Delete
  8. Bagi akak, klu anahara terima semula mukhlis, dia ttp x akan bahagia kerana masih ada jeslina yg ttp x benarkan anahara bahagia. Sy pun kurang berkenan dgn keluarga kaya yg sgt pentingkan darjat. Ana haru jadi wanita yg kuat & jgn mudah terpedaya dgn mereka. Mmg agak pelik kenapa Mukhlis dah x mcm mula2 waktu nak dptkan cinta Ana...sggup buat apa saja...nmpk mcm zafran lebih ikhlas...kenapa x cuba terima zafran sbg kwn dulu...dari situ nilai mcmana diri zafran tu sbnarnya...dan buat lah pilihan sama ada mahu kembali kpd mukhlis & hdpi saingan dgn jeslina @ buka hati utk cinta baru.....

    ReplyDelete
  9. harap2 yg stalk tu mukhlis...tak nak zafran..nak mukhlis jugak..tu dia...penyibuk dah mai dah...siapa lagi Jeslina gedik tu la...suka2 nak sakitkan hati An..tak sedar diri yg dia tu pun mak janda jugak...

    ReplyDelete
  10. susah nak predict kali ni, haishh...
    entah2 Mukhlis kut yang stalk tu sebab setiap kali ada Mukhlis, Ann mesti dapat rasa kehadiran dia
    :)

    ReplyDelete
  11. adus cik writer.. penat la nak fikir.. apa2pun saya follow jer..rasanya mukhlis kena kerj kuat tuk ubat hati ann..

    ReplyDelete
  12. Jangan kata yg jadi stalker baru tu si Jeslina ye tak sanggup akak bermain dengan perasaan nak melawan pompuan tu.

    ReplyDelete
  13. Alahai Kak Rehan..... Suspens lagi. Dah tak larat nak fikir ( sapa suruh fikir? Biar ajelah KakRehan yg fikirkan ).... :) tapi still berharap Ann akan buka hatinya semula utk Mukhlis....salam, Zailda.

    ReplyDelete
  14. btl la ann tu msih mghrapkn mukhlis..smga mreka brsama..huhu..xnk ann dgn zafran.rsenye mukhlis yg stalk ana..mnjaga keselamtan ann dgn ank mgkn..ye la kot..hrapnye mukhlis la..:)

    ReplyDelete
  15. semakin best cita akak ni... good luck :)

    ReplyDelete
  16. woww , tangkap syahdu dan mendayu-dayu baca entry kali nie , mengocak hati dan perasaan. nak predict nie nak predict , suh jela si zafran tuh kawin ngan nayli , abes cite. okay jugak kan. kuikui. tapi still nak mukhlis ngan anahara , kesian kat aryana asyik nak papa. btw , triple thumbs up kak rehan , always the best :)

    #Murni Tan

    ReplyDelete
  17. saya pn rasa mukhlis la stalker tue....
    mesti nayli rindu giler kt ann....
    tue yg sanggup dtg tgh2 mlm....
    lgi pn kena jelaskn lgi kt ann cerita sebenar jes n mukhlis....
    mmg dh agk, jes tue nk bg ann cmmburu je...
    pdhal dia pn bukn isteri mukhlis lagi....

    ReplyDelete
  18. mmg xmmpu nk predict dh sbb ada kejutn sllu... =='

    ReplyDelete