Saturday, March 24, 2012

Ku Ingin Milikimu [20]

BAB 20

SELEPAS menghantar Aryana ke rumah Kak Pah, aku terus kembali ke rumah sebelum ke Cheras hendak menghadiri sesi menandatangi buku di pejabat Penerbitan Karya Kreatif.

Setelah bersiap segala keperluan, aku terus saja keluar setelah memastikan keadaan rumah selamat tapi belum sempat aku masuk ke dalam kereta, sebuah Mazda merah terang berhenti tepat di hadapan pagar rumahku.

Zafran! Seru hatiku agak tidak selesa.

“Assalamualaikum,” sapanya bila separuh tubuh itu keluar dari perut kereta.

“Waalaikummussalam. Kenapa encik datang?”

“Nak ajak Ana makan dengan saya.” Jujur saja jawapannya.

“Tapi, saya ada hal. Nak ke Cheras. Jumpa editor saya kejap,” beritahuku jujur menolak pelawaannya dengan baik.

“Kali ini je, Ana. Ganti balik yang hari tu tak jadi makan dengan saya. Kalau kata kali ini Ana memang tak selesa dengan saya, saya janji tak ajak Ana keluar lagi.” Dia angkat tangan kanannya bersumpah.

Aku pandang dia lama. Rasanya tidak salah andai aku beri dia sikit waktu. Mendengar luahan hati yang sama tapi janjinya itu menarik minatku sedikit hingga akhirnya aku mengangguk saja.

“Kat mana? Saya pergi sendiri.”

Zafran menggeleng. “Kita pergi sebuah kereta. Saya ada kejutan sikit.” Matanya dikenyit sikit.

Aku diam sementara waktu dan setelah seketika, aku mengangguk dan terus menapak ke arah keretanya.
Setelah itu, Zafran terus meluncur laju membelah lebuhraya persekutuan menuju ke arah Shah Alam.

“Lepas ni harap awak boleh hantar saya cepat sikit, Encik Zafran. Saya nak ke Cheras,” pesanku mengingatkan dia.

“Saya tahu tu dan saya akan hantar, kan?”

“Saya boleh pergi sendiri,” tekanku.

“Biar saya hantar, ya?” pujuk dia dan aku diam saja. Malas hendak bertekak.

Setelah hampir lima belas minit perjalanan, Zafran akhirnya berhenti tepat di sebuah restoran. Terkejut juga tapi aku perlu berlagak tenang dan bila dia mempersilakan aku keluar, aku mengikut saja.

Setelah kami duduk, aku melihat saja ke arah Zafran. Dia tenang mengambil pesanan daripada pelayan itu. Sesekali, dia tersenyum padaku dan aku hanya membalasnya dengan senyuman tipis.

“Bagi abang jus tembikai dan kakak ni, teh o ais limau, ya?” pinta dia pada pelayan muda itu.

Aku mengerutkan wajah memandang Zafran yang masih membelek lagi menu. Bila dia membalas pandanganku, aku memberi renungan yang penuh dengan tanda tanya.

Sebenarnya, sejak dari tadi, sewaktu dia memakirkan kenderaannya, aku sungguh tidak sangka bila dia menghentikan Mazda merah garang itu di depan restoran ini. Sebenarnya, sudah agak lama aku tidak ke sini bersama Sarina sejak menjadi milik Mukhlis dulu. Tapi saat ini, Zafran mencungkil kembali kala waktu aku mampu tersenyum dan menjadi Anahara semata-mata dan tiada siapa mengenali Ann Rahana melainkan Sarina saja.

“Kuey teaw tom yam campur untuk kakak ni dan bagi saya nasi goreng padprik je,” sambung dia selepas seketika dan kali ini aku mula syak sesuatu.

“Mana awak tahu saya suka makan dekat restoran ni dulu?” tanyaku telus.

Zafran ketawa kecil. “Cepat je awak tangkap, kan?” soal dia kembali tanpa menjawab pertanyaanku.

“Saya penulis, Encik Zafran…”

“Encik lagi?” keluh dia.

Namun aku, tetap buat tidak peduli. Biarlah lidah ini terus menyebutkan encik kerana hati ini melarang aku membuang perkataan itu di pangkal nama Zafran.

“Saya penulis…,” sambungku semula. “Jadi, saya banyak memerhati sekeliling untuk saya jadikan cerita saya bagaikan sebuah kenyataan yang dapat dirasai oleh semua pembaca saya. Jadi, setakat nak predict helah awak ni, rasanya tak payah!”

Dia ketawa. “Memang betul awak penulis. Dan sungguh kata Sarina. Orang boleh jatuh cinta pada awak hanya melalui cerita awak tu. Saya sendiri pun memang nak kenal siapakah pemilik nama pena Ann Rahana tu dan syukur, saya temuinya. Restoran ni…” Mata Zafran memandang sekeliling Restoran Mek Ayam Kampung di Seksyen 7, Shah Alam ini.

Penuh dengan pelajar-pelajar UiTM sebenarnya tapi aku sangat gemar berada di sini dulu.

“Awak suka sini, kan?”

Tidak dapat tidak, aku mengangguk. “Satu masa dulu.”

“Dan apa yang saya pesan tadi, memang makanan kegemaran awak, kan?” soal dia lagi tanpa sempat aku bertanya.

Aku angguk jua. “Terima kasih.”

“Kasih awak memang saya sudi nak terima, tapi awak tak sudi, Anahara,” sela dia berkisarkan tentang hati.

Aku menggeleng perlahan. “Err.. siapa cakap pada awak pasal semua ni? Sarina?”

“Kenapa mesti Sarina? Dia tak ada, ke Sabah seminggu ada kerja. Saya siasat sendiri, salah ke?” Dia membawa belakangnya bersandar pada kerusi.

“Salah tu tak, kadang-kadang saya rasa tak selesa bila hidup saya ni, segala pergerakan saya diperhatikan.”

Sengaja aku berkata demikian berharap agar Zafran terasa kerana aku yakin yang dialah menjadi pengintip keduaku.

“Saya perhatikan bila perlu je, Ana. Saya tak mampu nak dekat dengan hati awak tapi biarlah hati saya dekat dengan awak.”
Berbelit kepalaku kala ini. “Hati kita lain-lain, Encik Zafran. Awak tak kenal saya dan saya juga.”

“Jadi, sebab tu saya nak kita kenal,” cantas dia.

“Saya tak mampu menjadi teman awak yang baik.”

“Tapi, saya mampu menjadi teman terbaik awak,” sambung dia pantas.

Kami diam akhirnya. Aku telan kata-kataku sendiri dan Zafran tidak sudah-sudah memerhatikanku.

“Saya tak mampu nak sekat orang suka saya tapi awak suka pada orang yang salah, Encik Zafran.” Aku mencantas renungannya dengan kata-kata. Agak rimas waktu ini.

“Dan saya juga tak mampu nak sekat hati saya dari mencintai awak, Anahara,” ujarnya resah.

Dia tepuk dadanya beberapa kali. Bagai memujuk hati yang sedang kesakitan namun aku, tidak berani hendak meletakkan kisah hatiku menjadi sebuah kisah dongeng dan akhirnya bila aku sedar, ianya kenyataan yang menyakitkan.

“Bagi peluang pada saya sekali je, Ana. Saya akan buktikan kesungguhan saya,” ucap dia lagi.

Aku diam menimbang permintaannya. Sukar memang sukar kerana aku takut ada yang akan terluka dalam kisah ini. Dan aku tidak sudi lagi andai hati aku diduga.

Namun, melihatkan wajah Zafran yang berharap dan merayu, aku akhirnya angguk kepala dan dia senyum.

“Kita berkawan jelah dulu, encik… errr… Zafran.” Aku tukar kata nama itu sendiri.

“Yang lain serah saja pada jodoh,” ujarku memberi jawapan mati.

“Jodoh kena usaha, kan?”

Aku angguk. “Mungkin pada orang lain tapi pada saya, biarlah Allah tuntun hati saya andai benar dia takdirkan awak untuk saya, haruslah saya tak mampu nak tolak.”

“Tapi, awak akan belajar cintai saya, kan? Membalas cinta saya?”

“Saya akan belajar cintai awak bila Allah tolak saya menjadi teman awak!” jawabku sedikit tegas.

Dia mengeluh dalam senyuman. Aku tahu Zafran masih kecewa tapi setakat ini, hanya itu yang mampu aku lakukan demi mengingatkan segala budi yang dia taburkan.

Tidak lama kemudian, pesanan kami tiba dan aku hanya diam menikmati hidangan, begitu juga Zafran yang nampak hilang seleranya. Malas hendak berkata apa, aku tunduk saja memandang makanan hingga sudah.

Pertama kali menerima ajakan Zafran setelah peristiwa aku bertemu dengan Mukhlis tempoh hari rasanya sudah cukup buat waktu ini. Aryana perlu dijemput dengan segera.

***

SEPANJANG perjalanan pulang, aku diam saja memerhatikan jalan raya yang lengang.

“Anahara, terima kasih sudi cuba, ya?” ucap Zafran.

Tangan itu teraba-raba ke belakang dan tiba-tiba saja, dia suakan sejambak bunga lili putih padaku membuatkan aku terpanar sendiri. Segalanya tentang kegemaranku, dia tahu. Sungguh dia mengingatkanku tentang Mukhlis. Tapi, beza itu tetap ada dan jelas sebenarnya.

“Apa ni?”

“Awak suka bunga ni, kan?” tanya dia.

Aku angguk tapi sesaat kemudian, aku menggeleng pula. Zafran ketawa.

“Saya tahu tentang Ana bukan kerana saya nak jadi pengintip tapi sebab saya sendiri nak tahu tentang Ana jadi satu caranya, siasat jelah.”

Aku diam melihat ke arah bunga itu tapi bila aku tidak menyambut, Zafran meletakkannya di atas ribaanku.

“Kalau kata Ana tak suka, nanti Ana buanglah. Tapi, bukan depan saya, ya. Tolong jaga hati saya sikit je. Sikit pun jadilah, Ana,” ujar dia lirih.

Bunga itu langsung tidak aku sentuh. Hanya membatu saja menuju ke rumah Kak Pah di hujung taman perumahanku untuk menjemput Aryana setelah aku menerima pesanan daripada editor yang kerja hari ini dibatalkan, lantas aku buat keputusan hendak pulang saja meluangkan masa dengan si comel.

Tiba saja di depan rumah Kak Pah, aku terus turun namun seperti kata Zafran, bunga itu aku sapa ke dalam genggaman. Zafran senyum dan aku terus menutup pintu kenderaan.

Kala aku rapat ke pagar, Kak Pah sedang menyiram pokok bunganya. Usai salam, dia pantas mendekat dengan wajah cuak.

“Errr… awalnya jemput Aryana?” soal dia agak pelik.

Aku senyum. “Kerja tak jadi, awal, awallah Ana balik.”

Dia menjeling ke belakang kerana ternyata, kereta Zafran masih menantiku.

“Siapa?”

Aku senyum saja. Dalam hati hendak ketawa sebenarnya bila Kak Pah buat-buat tanya tentang lelaki yang menghulurkan upah bagi pihakku lantas aku diamkan saja.

“Mana Aryana?”

“Err… Arya… Arya dia…” Kak Pah gagap. Dia menarik pagar dan aku menapak mendekat pada dia setapak.

“Arya kenapa, Kak Pah?” soalku cemas.

“Err.. Arya dia… Arya dia… Kak Pah minta maaf, Ana sebab tak jaga Arya dengan baik,” luah Kak Pah tiba-tiba membuatkan beg tanganku jatuh ke kaki.

Aku pantas berlari ke dalam rumah Kak Pah namun hampa bila Aryana tiada di dalam. Aku terus memegang bahu Kak Pah dan menggugah bahu itu agak kasar. Pertama hati ibu, seru hatiku bersama tangisan yang semakin meninggi. Aku tahu Zafran juga keluar dari perut keretanya tapi aku sudah tidak peduli. Kala ini, Aryana segalanya.

“Macam anak Ana, Kak Pah? Sakit ke dia? Siapa culik dia dan kenapa Kak Pah tak telefon saya?” soalku bersama esakan.

Kak Pah tunduk. “Maafkan Kak Pah, Ana,” rayu dia lagi. Tubuhku dipeluk erat.

“Saya tak salahkan Kak Pah, tapi Ana nak tahu mana Aryana? Tolonglah Ana, kak,” rayuku lirih.

Zafran terpaku. “Aryana hilang ke?”

Aku angguk tapi Kak Pah diam menekur ke simen. Aku paut wajah itu memandangku.

“Kenapa dengan anak Ana, Kak Pah?”

“Dia… dia…”

Suara Kak Pah mati bila sebetulnya, sebuah kereta berhenti tepat di hadapan kereta Zafran di depan pagar rumah Kak Pah dan bila aku berpaling, tubuhku hampir rebah.

Aku kuatkan semangat melihat ke arah kereta hitam itu, menanti dengan sabar akan pemiliknya keluar dari perut kereta.
Nafasku mengah. Airmata kian bertali arus memikirkan keselamatan Aryana. Sungguh walang hatiku kala ini bila orang yang selama ini aku percayai, merabakkan amanahku pada dia.

Bila tubuh itu jelas turun dan pintu kereta mewah itu ditutup kedap, susuk tubuh yang cukup aku kenal itu muncul mendukung Aryana yang sedang memegang seekor teady bear berwarna merah jambu yang sama besar denganya.

Mataku tajam merenung dia yang nampak terpempan dengan adanya aku dan Zafran kala ini. Setapak demi setapak kaki ini melangkah mendekat pada dia dan bila aku hampir, Zafran cuba menahanku.

“Eh, kenapa kau culik Aryana, hah?” tanya Zafran kuat.

Aku tolak bahu Zafran dari menghalang langkahku. Mata ini kabur terhalang airmata namun wajahnya masih jelas dan kian jelas.
Bila dia meletakkan Aryana di bawah dan aku terus merapati dia lagi. Rapat dan terus mendekat hinggakan helaan nafasnya yang agak kasar itu mampu menyapa wajahku. Dia telan liur berkali-kali.

“Err… abang bawa Aryana jalan-jalan…”

PANG!! Belum sempat Mukhlis habis bersuara, aku bawa telapak tanganku singgah pada wajah itu buat pertama kalinya. Andai dulu, telapak tangan ini sentiasa mengusap lembut pipinya kali ini biarlah telapak tangan ini menjadi peringatan buat dia.

Tanpa kata, aku terus mendukung Aryana dan terus menapak meninggalkan mereka semua. Menangis dan terus menangis namun aku tidak tahu adakah kerana aku temui Aryana kembali atau kerana wajah itu muncul tanpa aku duga dan rasanya segala yang telah aku rasa selama ini, mungkinkah tersilap sama sekali.

~~> bersambung

Cik Penulis : Nak taip teaser tertaip bab penuh..apalahss cik penulis neh..huhu.. nak tido la..hehe.. kata nk tido tapi tak jgk..hehe..layan komen n maaf atas kekurangan..

20 comments:

  1. Pendek lah pulah entry kali ni kak rehan. Yalah, teaser yang dah jadi teasersssssss....... He he he. saya pun nak tidur jgk ni....akak sambung esoklah ya. Saya tungguuuu.....zailda.

    ReplyDelete
  2. sedihlah..... tapi saya suka coz jdy first commenter..hehehe.. keep up your work sis.... your story really inspired me... :)

    ReplyDelete
  3. Rase entry ni pendekkkk sgt3 sbb mukhlis ciputttt jee... Nak mukhlis lagiii..
    Hihi emo pulakk pagi2 buta.

    ReplyDelete
  4. cepat2 smbg..ehehe
    berdebor2 nk thu ending..susah nk jgka ape endingnya
    didihamtaro

    ReplyDelete
  5. adeh sis...ini mcm ka???mencinya kat zafran tu...huhuhu...sian ke mukhlis, nape tampor dia...huwaaa...hahaha...niway memang serios suspen nih cz nak tau n nak tau lagi...hahaha...nite sis...caiyok2....

    kak anid..

    ReplyDelete
  6. kesiannya mukhlis...x baik...org nk jumpa dpn2 dimarah2...jumpa senyap2 pon kena marah...nk wat mcm mne???zafran tu...over plak..mcm anak tu anak dia...menyemak je..hahhhhh..mukhlis..mukhlis...mukhlis..... :(

    ReplyDelete
  7. sungguh..sungguh baik.. mukhlis pikat aryana dulu sblm mamanya

    ReplyDelete
  8. senget r zafran 2...die plak lbih2 nk marah. mcm la die bik sgt...dh la x phm bahasaaaaaaaaaaa....kak rehan sy mrh nie...hahahhah

    ReplyDelete
  9. Kesiannya dekat Mukhlis . Zafran tu menyebok je la . Give up la cepat . Bagi Anahara ngan Mukhlis je .

    ReplyDelete
  10. Zafran merisik pasal Ann dengan Mukhlis kan..?

    ReplyDelete
  11. pendek nye, tapi ttp puas hati, memang mukhlis yg bayar semuanye... mukhlis pernah tersilap kata, tapi hati dia x pernah berubah dari ann... ann kena bagi dia peluang... sedihhhh.

    ReplyDelete
  12. Ala...pasal apa zafran tu sibuk je..orang tak nak zafran..nak mukhlis jugak..tak patut ann tampar mukhlis..pastu depan zafran plak tu..memang la Mukhlis tu salah..sbab bawak Aryana tanpa kebenaran ann..tapi Aryana tu kan anak mukhlis jugak kan???? for zafran mana ada istilah papa culik anaknya sendiri bro..lu memang penyibuk la nak masuk campur hal orang...gerammnyaaa kat zafran..

    ReplyDelete
  13. tak suka zarfan, :p gila punya orang, tak payah sibuk boleh tak? hishhh, macam lah bagus sangat! :p

    ReplyDelete
  14. saya suka ann ngan zafran..

    ReplyDelete
  15. citer ni dah jadi sinetron....

    ReplyDelete
  16. eeeeeee tak suka la ngan zafran tu..menyibuk je tahu...

    ReplyDelete
  17. zafran patutnya lebih tenang dlm situasi nih..
    tp terlupa y zafran bukan zaim...
    kan bagus kalau zafran mcm zaim..

    ReplyDelete
  18. ishhh kan xpsl2 kena tampar.asal xinfo kat ana yg hang nak bwk kuar ank tu.mmg trkejutla dia.ibu mn xtrkejut en.Mukhlis.tu kira tindakan refleks tertampar.zafran la xpyy nk masuk cmpur la.duk diam2 sudah!

    ReplyDelete