Tuesday, March 27, 2012

Ku Ingin Milikimu [22]

BAB 22

PELAWAAN Zafran untuk makan tengah hari bersamanya, aku sambut dengan berat hati. Memikirkan Aryana yang nampak lain macam saja hari ni. Nampak tidak sihat mana. Namun, terlalu banyak soalan yang perlu aku rungkaikan setelah kehadiran Mukhlis tempoh hari. Kehadiran yang meninggalkan kesan yang kian mendalam di dalam diri sebenarnya.

Apatah lagi, bila mulut Aryana semakin petah menyebut papa, biarpun berkali-kali aku meminta dia memanggil mama. Setelah menghantar Aryana kepada Kak Pah, aku terus memandu tenang menuju ke tempat yang dijanjikan di Subang Parade.

Hari ini, aku mahu Zafran iyakan apa yang telah Mukhlis katakan padaku. Aku mahu kebenaran di sebalik semua ini.
Teringat akan perbualanku dengan Sarina semalam, dia nekad menafikan segalanya dan tidak dapat tidak, aku harus mempercayainya kerana aku amat kenal akan dia.

“Kau tak cakap pada Zafran semua tentang aku, kan Ina?” soalku waktu itu.

Sarina menggeleng. “Sumpah, Ana. Aku serik lepas kes kau dengan Mukhlis tu. Biarpun masa tu kau sendiri buat pilihan tapi aku yang menyokong kau, Ana. Aku yang temankan kau balik menikah dengan Mukhlis dulu tu. Aku silap tak halang kau masa tu dan kali ini, biarpun aku yakin yang Zafran tu memang cintai kau tapi aku tak sanggup nak buat sejarah hidup kau berulang, Ana. Percayalah aku!”

Sarina bersungguh-sungguh menyatakan hakikat biarpun aku tidak berkata apa setelah itu. Jauh sekali hendak menyalahkan dia.

“Jangan risaulah, Ina. Aku percaya kau. Kalau kau kata tak ada, memang tak adalah. Jangan risau. Aku okey je. Tahulah aku nak siasat nanti. Dah cukup dah orang siasat pasal aku dan kali ni, biar aku pulak siasat orang,” ujarku penuh makna sebelum talian telefon ku matikan.

Kata-kata Sarina berulang di mindaku. Entah apa yang patut aku lakukan sekarang. Membiarkan dua orang lelaki terlupa dan pergi jauh dariku, adakah itu yang terbaik buat aku dan Aryana kala ini namun bila teringatkan Aryana yang tidak lepas menyeru ‘papa’ membuatkan hati ini tidak betah. Menjadi kejam terhadap anak sekecil itu.

Lebih kurang setengah jam perjalanan meredah jalan pintas melalui Glenmarie, aku akhirnya menyusur masuk ke tempat letak kereta di bawah tanah Subang Parade dan terus memakir kenderaan lantas meneruskan langkah menuju ke Secret Recipe dan bila aku tiba, tubuh Zafran sudah ada di situ. Dia berdiri menyambut hadirku lalu dia tarik kerusi itu mempelawa aku duduk. Penuh dengan gaya.

“Maaf, lambat sikit,” pintaku jujur.

Dia angguk. “Saya faham. Lagipun, saya pun baru juga sampai.”

Baru saja aku hendak membuka mulut lagi, pelayan muda itu datang menghampiri dengan menatang dulang dengan cermat.

“Ni pesanan encik ya?!” ucap pelayan remaja itu sambil tersenyum lalu dia meletakkan pinggan itu dengan cermat dan terus berlalu.

Kala melihatkan hidangan itu, aku hanya melihatnya penuh tanda tanya. Kemudian aku angkat mataku melihat ke arah Zafran pula.

“Bila masa awak order?” soalku mendatar.

“Baru kejap.” Dia senyum penuh makna dan aku hanya mengangguk tenang.

“Terima kasih,” ucapku.

Jus tembikai dan carrot cake kegemaranku itu sedia terhidang di depan mata. Nampak menyelerakan namun tidak langsung membuka seleraku. Mungkin benar yang Mukhlis telah, Zafran amat mencintaiku kerana itu dia tahu segalanya tentangku. Lebih hebat rupanya lelaki ini daripada Mukhlis.

“Kenapa awak nak jumpa saya hari ni? Hujung minggu macam ni, rasanya elok awak luangkan masa dengan yang tersayang,” ucapku sinis.

Zafran ketawa halus. “Saya memang dengan yang tersayang sekarang ni, Ana,”sela dia membuatkan aku tersedak sedikit kala menyisip jus tembikai itu.

Wajah Zafran yang tenang aku pandang lama. “Saya tak maksudkan saya!”

“Tapi, saya maksudkan awak, Anahara,” sahutnya cepat-cepat.

“Zafran…,” seruku tenang. Kedua tanganku, aku bawa menongkat dagu.

“Macam mana lagi saya nak fahamkan awak, ya? Bukan ke awak dah siasat semua tentang saya dan seharusnya awak tahu macam mana pertemuan saya dan Mukhlis yang membawa pada pernikahan kami dulu?”

Zafran senyum. “Saya tahu,” jawab dia.

“Dan itu tak menjadi masalah buat saya,” sambung dia.

Aku mengeluh kecil. “Tapi, cara awak ni sedikit sebanyak sama dengan caranya, Zafran.”

“Tapi, kami dua orang yang berlainan, Anahara,” sambung dia pantas.

Dia juga membawa kedua tangannya menongkat dagu menjadikan jarak wajah kami agak dekat hingga membawa aku berundur ke belakang menjauh. Zafran senyum.

“Memang awak dan dia orang yang berbeza tapi hati saya ni, jiwa saya ni, jiwa dan hati yang serupa. Orang yang sama.” Aku juga tidak mahu kalah dengan kata-kataku.

“Disebabkan jiwa dan hati serupa itulah saya nak mencintai awak, Anahara. Saya nak rasa kehebatan cinta awak dan saya nak kongsi kasih sayang saya dengan awak,” tekan dia bersungguh-sungguh.

Aku pandang wajah Zafran dalam-dalam. Mengapa sukar hendak aku fahamkan lelaki ini. Sama seperti si dia satu waktu dulu hinggakan dia nekad menyelidik segalanya tentangku.

“Awak tak kenal siapa saya, Zafran dan saya sangat takut bila awak kenal saya lepas kita sah nanti jika benar takdir tolak saya menjadi milik awak,” luahku menyatakan rasa takut yangh tidak terperi.

Takut dan gerun memikirkan kenangan lalu. Aku persembahkan segala yang ada pada diri ini pada dia, namun akhirnya dia kabur dengan salah faham.

“Saya kenal awak dan dah cukup kenal awak, Anahara. Dah cukup untuk buat saya yakin dengan cinta saya pada awak. Cuma saya mohon, awak berikan saya satu peluang je. Satu je, Ana. Saya tak akan minta lebih.” Zafran bersuara lagi dan kali ini, lagi bersungguh-sungguh.

Hati ini lelah. Jasad ini usah dikira. Entah ke mana lagi harusku bawa berlari biar aku keluar dari kekusutan ini? Tapi, suara Mukhlis hadir lagi. Dari dulu, dia tak pernah memaksa aku melarikan diri tapi aku pergi kerana dia yang berkehendakkan begitu dan salahkan aku?

“Saya tak mampu, Zafran. Saya tak sempurna untuk awak…”

“Saya tak mencari kesempurnaan dalam diri awak, Anahara. Saya tahu awak ada segalanya. Awak ramai peminat, awak penulis hebat dan awak juga berduit tapi salah ke kalau saya lakukan sesuatu untuk awak. Sebagai tanda cinta saya?” soal dia.

Aku termangu seketika. Benarkah Zafran yang menyelesaikan segalanya buatku seperti mana yang Mukhlis katakan? Andai benar, perlukah aku memberi peluang untuk dia?

“Jadi, sungguhlah awak yang buat semua tu untuk saya?” tanyaku akhirnya.

Zafran mengangguk. Demi jawapan itu, hatiku mengalirkan airmata. Keluhan tipis aku lepaskan menyatakan rasa kecewa kerana aku amat berharap Mukhlis yang melakukan semua ini untukku.

Hampir saja menitis airmata ini namun cepat-cepat aku bendung agar tidak terkesan oleh mata Zafran namun sayang bila dia terlebih dahulu menghulurkan sehelai tisu buatku.

“Jangan nampak dia dalam diri saya, Ana kerana kami berbeza. Dia lain dan saya lain. Cinta kami juga berbeza. Sungguh berbeza,” tekan Zafran dan aku mengangguk lemah.

“Memang saya tak akan nampak dia dalam diri awak, Zafran. Sebab awak dan dia memang berbeza. Tiada satu pun yang serupa. Tapi, boleh kan awak bagi saya sikit masa. Ada banyak keliru dalam hati saya sekarang ni. Saya tak mampu nak buat keputusan jauh sekali hendak buat orang bahagia, Zafran,” ucapku.

Kali ini, bibir Zafran nampak terukir dengan sedikit senyum. Nampak bercahaya pada wajah yang muram dari awalnya tadi.

“Ambillah berapa lama masa pun, Ana. Saya sanggup menanti,” ucap dia bersungguh-sungguh.

Aku angguk saja namun, soalan yang berlegar di dalam benak ini, haruslah aku luahkan pada dia agar perhubungan kami nanti, andai benar Allah izinkan tidaklah bermula dengan satu penafian.

“Cuma satu yang saya nak tanya awak buat kali ni je. Katakan benar pada saya sebab saya tak mampu terima orang yang bohong pada saya.”

Zafran angguk pantas. “Tanyalah, Ana. Saya akan jawab apa saja soalan awak.”

“Banyak hal saya yang telah diselesaikan setakat hari ni. Termasuk duit upah ngasuh Aryana, rumah sewa saya dan pinjaman kereta saya.” Aku memulakan kata setelah hati ini agak reda.

“Dan awak terlalu banyak tahu hal tentang saya, Zafran. Tempat saya suka melepak, apa yang saya suka makan dan hari ni…” Aku menghentikan suaraku lalu aku renung hidangan di depan mata dan wajah Zafran silih berganti.

“…sama juga dan saya tak rasa ini satu kebetulan kan, Zafran?” soalku sebak.

Zafran menggeleng. “Memang bukan kebetulan, Ana. Saya siasat semua ni sebab saya nak tahu tentang wanita yang saya cinta. Tak salah, kan?”

Aku menggeleng pantas. “Seperti pernah saya kata, memang tak salah. Sikit pun tak salah tapi saya tak selesa macam ni. Dulu, hidup saya pernah diintip dan bila saya berjaya dimiliki, saya dibuang. Saya tak nak sejarah itu berulang lagi,” tekanku dengan suara yang tenang.

Zafran diam. Bibir itu nampak bergetar hendak bersuara tapi dia hanya diam membuatkan aku mengambil kesempatan ini menyambung kata-kataku semula.

“Kalau benar awak yang bayar semua tu, Zafran. Saya akan bayar balik apa yang telah awak beri tu sebab saya tak nak berhutang dengan sesiapa. Saya mampu dan insyaAllah akan mampu.”

“Tak perlu, Ana. Jangan kembalikan keikhlasan orang pada awak.”

“Orang?” tanyaku memancing kenyataan di sebalik ayat itu.

Sebenarnya, dari awal tadi setelah dia berkata demikian, aku tidak sedap hati. Rasa bagaikan ada sandiwara di sebalik semuanya tapi, aku tidak mahu cepat menelah. Andai masing-masing membuat penafian, siapalah aku hendak memaksa.

“Err… Ana saya se… sebenarnya…”

Zafran gagap sendiri dan aku juga tidak sempat bertanya lanjut bila telefon bimbitku menjerit nyaring. Cepat-cepat aku gapai dari dalam beg tangan dan terus saja terbias di mataku nama Kak Pah pada skrin.

Jemari ini aku larikan di atas skrin sesentuh itu dan baru saja aku lekapkan ke telinga, hanya nama Aryana yang Kak Pah sebut dan itu pun dengan nada cemas.

Aku pantas bangkit setelah melihat telefon bimbit yang mati itu. Ya Allah, apa yang dah berlaku ni. Hati ini dipagut risau berkali-kali.

“Kenapa, Ana?” tanya Zafran yang juga turut bangkit.

“Aryana,” jawabku cemas.

“Kenapa dengan dia?”

Aku menggeleng. “Saya tak sempat tanya, handphone dah mati dulu. Saya kena balik dulu. Maafkan saya. Kita sambung lain kali.”

Usai berkata demikian, aku terus saja memasang langkah hendak berlalu dari situ dan Zafran sempat melelar pergelangan tanganku memaksa langkahku mati.

“Tunggu saya kejap. Saya bayar dulu, nanti kita sama-sama ke sana.”

Aku lepaskan pegangan tangan itu. Tidak selesa bila dia bertindak demikian biarpun jelas berlapik dengan lengan panjang kemeja yang membaluti tubuhku.

“Maaf,” ucap Zafran resah.

“Tak apa tapi saya nak cepat. Saya pergi dulu.”

Belum sempat aku berlalu, Zafran menahan langkahku dengan tubuhnya. Lengan itu didepangkan membuatkan aku tidak jadi berlalu. Aku memandang dia geram. Bimbangnya hati ini memikirkan Aryana membuatkan ada rasa marah yang hadir membakar diri.

“Encik Zafran, tolonglah!!”

“Anahara, saya hantar awak. Kereta awak tinggal kat sini. Awak nak cepat kan, nanti bahaya awak bawa dalam keadaan risau. Kejap je. Kita pergi sama-sama. Aryana tu dah macam anak saya jadi saya rasa bertanggungjwab jugak,” ujar dia meyakinkanku.
Setelah beberapa ketika kami bersabung pandang, aku akhirnya mengangguk dan Zafran berlalu ke kaunter. Setelah membuat bayaran, kami sama-sama menapak ke tempat letak kereta dan sejurus itu, Mazda 6 merah itu meluncur laju membelah Lebuhraya Persekutuan yang agak sibuk tengah hari itu.

Sedikit sebanyak, airmataku luruh menggambarkan betapa hati ini risau. Perjalanan yang singkat ini ternyata terasa amat lama padaku. Bila akhirnya aku tidak di rumah Kak Pah, belum sempat Zafran menghentikan kenderaannya, aku terus melompat turun dari kereta membuatkan Zafran menekan brek cemas.

Kaki ini pantas berlari menuju ke arah Kak Pah yang baru saja hendak menapak ke dalam.

“Kak Pah!!” seruku kuat tanpa salam lagi.

Dia berpaling dan berlari ke arahku. “Aryana, Ana.”

“Ya, kenapa dengan dia? Handphone saya mati, Kak Pah. Saya tak sengaja tapi mana Aryana? Dia kenapa?” tanyaku bersama tangis dan esakan kecil.

“Aryana demam, Ana. Mula-mula tak teruk, Kak Pah letak tuala basah je dekat kepala dia. Tapi, dia tak nak nyusu, tak nak makan. Masa Kak Pah nak mandikan dia tu, badan dia makin panas dan anak mata dia dah memandang ke atas masa tu. Kak Pah tak ada pilihan kecuali, telefon bekas suami Ana dan kebetulan dia ada sekitar sini, dia terus datang dan bawa Aryana ke hospital. Maafkan Kak Pah, Ana sebab Kak Pah risau tak sempat nak tunggu Ana,” ujar Kak Pah takut-takut.

Aku terkejut juga pada mulanya dan airmata ini semakin deras mengalir dan terus mengalir tanpa ada niat hendak ku seka.

“Ana ke hospital sekarang.” Bila aku berpaling dan hendak berlalu Zafran menghampiri.

“Hospital mana, Kak Pah?” tanya dia.

Aku juga mengeluh sendiri. Terlupa hendak bertanya lanjut kerana terlalu bimbang dan gundah memikirkan permata hatiku itu.

“SJMC katanya Mukhlis tadi,” jawab Kak Pah dan Zafran terus menarik lenganku mengikut langkahnya dan keretanya itu sekali lagi meluncur laju.

***

MASUK saja ke dalam Subang Jaya Medical Centre itu, aku terus tercari-cari kelibat lelaki yang aku kenal itu membiarkan Zafran yang masih mencari-cari tempat letak kereta. Kala mata ini melilau ke sana sini, bahuku ditepuk orang dan bila aku berpaling, aku hampir terjelepuk bila wajah itu hadir dekat lagi denganku.

“Ana,” seru dia lembut pantas dia menarik tubuhku ke dalam pelukannya.

Kala dia mengusap belakangku lembut, aku dengar helaan nafas tangisnya menerjah gegendang telinga ini. Sepi tanya suara, hanya tangisan semata-mata.

Baru saja hendak aku sapa telapak tanganku ke belakangnya juga, muncul pula wajah lain. Antara wajah yang sudi memberikan aku sedikit ruang di dalam rumah besar itu dulu dan juga wajah-wajah yang telah lama aku tinggalkan.

“Apa khabar, Ana?” tanya Tan Sri Mahzan membuatkan aku terus kaku di dalam pelukan Puan Sri Mashitah. Bekas mertuaku.

“Sihat, Ana?” soal abang long Mukhlis pula.

Aku angguk saja, tidak tahu hendak berkata apa di dalam keadaan dan detik seperti ini yang langsung tidak aku jangkakan.

“Kakak,” seru Nayli pula. Wajah itu merah dan basah dengan airmata.

“Mama rindu Ana. Mama rindu sangat lepas Ana tak ada kat rumah tu. Mama rasa bersalah dan rasanya, selautan airmata pun tak mungkin mampu basuh dosa mama pada Ana dulu,” gumam Puan Sri pada cuping telingaku.

Lambat-lambat aku bawa telapak tanganku menyapa belakangnya lembut. Aku usap perlahan memberi ketenangan sedangkan hatiku ini gundah bagaikan dipalu tidak sudah.

“Jangan ungkit hal lama, Puan Sri. Saya dah lama maafkan Puan Sri sekeluarga sebab saya juga tak sebaik mana. Cuma sekarang ni, saya perlu jumpa Aryana. Tu je,” balasku lembut biarpun airmata sedang bertali arus di pipi.

Pelukan terlerai dan mata Puan Sri merenungku dengan renungan yang sungguh sayu dan sebu lalu dia menyapa pipiku dengan telapak tangannya, menyeka airmata yang tidak mahu kering ini.

“Cucu mama tu sedang diperiksa. Kebetulan Mukhlis call dan kami memang ada dekat sini teman abah buat rawatan sikit, itu yang kami ada ni,” beritahu Puan Sri padaku.

Aku angguk dan memandang wajah tua Tan Sri. Masih mesra bagai dulu. Aku nampak kasih sayang dia tapi sayang, aku tak sempat nak merasainya.

“Ab… err.. Tan Sri tak sihat ke?” tanyaku pada dia.

“Abah sihat je. Sakit orang tua biasalah. Buat pemeriksaan lagi baik, kan?” jawab dia.

Aku angguk lagi dan beralih pula pada wajah Puan Sri. “Saya nak jenguk Aryana. Boleh tunjuk kat mana dia sekarang?” pintaku.
Lenganku dipaut mesra dan kami sama-sama menapak ke arah bilik rawatan kecemasan. Wajah Mukhlis kusut. Dia nampak pucat dan risau. Perlahan-lahan aku hampiri dia dengan detak hati yang berlagu sumbang. Risau, resah dan marah pada diri sendiri menjadi satu.

Risau akan keadaan Aryana. Resah tatkala bertatapan dengan lelaki ini dan marah pada diri kerana cuai menjaga Aryana.

“Err… macam mana dengan Aryana?” tanyaku perlahan.

Mukhlis berpaling dan dia cuba menghampiriku tapi langkah dia pegun lantas pandangannya terhala ke belakang dan aku yakin, riak wajah itu begitu hanya bila dia terpandangkan Zafran bersamaku.

“Dalam wad kecemasan lagi. Kejap lagi doktor keluar, kita tanya. Abang juga tak tahu nak kata apa.”
Aku angguk dan terus meraup wajahku berkali-kali setelah aku tidak putus memanjatkan doa agar Aryana diselamatkan dari segala bahaya.

Nayli ada di sebelah kiri, Puan Sri ada di sebelah kanan. Terasa janggal benar kali ini tapi aku tahan saja hati demi menantikan Aryana. Setelah hampir setengah jam, seorang doktor separuh umur keluar dari bilik itu.

Kami pantas bangkit dan Mukhlis terus saja mendekat pada doktor tersebut. Tan Sri dan Along juga. Hanya Puan Sri dan Nayli yang masih setia memeluk bahuku.

“Macam mana, Man?” tanya Tan Sri.

“Macam mana dengan anak saya, uncle?” ulang Mukhlis pula.

Aku pandang Puan Sri bertanya dalam diam.

“Tu doktor keluarga kita. Uncle Norman!” jawab dia mengerti akan apa yang bermain di benakku.

Aku angguk saja. Namun ayat ‘keluarga kita’ itu benar-benar mengusik hati kecil ini namun aku biarkan saja dan aku mengulum senyuman pahit sebelum aku juga mendekat pada doktor itu.

“Mana Puan Anahara?”

“Saya Anahara, doktor,” akuiku bila namaku disebut.

“Okeylah, kalau macam tu, Mukhlis dengan Ana ikut uncle kejap. Ada perkara yang uncle nak bincang,” ajak dia.

Aku dan Mukhlis saling berpandangan dan kami mengangguk lalu mengikut langkah Doktor Norman itu. Bila agak menjauh, dia berpaling dan menghadap kami.

“Ana, Mukhlis… Aryana tu memang tak sihat. Demam panas dia lain macam dan kami terpaksa menahan dia dalam wad untuk pemeriksaan lanjut pada paru-paru dan jantung dia. Lagipun, tubuh dia agak kekurangan air. Kami risau dia ada masalah pada kesihatan nanti.”

Kata-kata doktor itu benar-benar membuatkan aku terkedu sendiri. Aku tekup mulut menahan tangisan biarpun airmata kembali berjejeran.

“Arya, abang,” ucapku pada Mukhlis dan secara tidak sedar, aku memanggil lagi dia dengan panggilan itu.

Mukhlis memandangku lama. Kemudian dia memandang semula Doktor Norman.

“Anak kami tak akan apa-apa kan, uncle?” tanya dia.

Tangan doktor itu menyapa bahu Mukhlis. “Tak ada apa, InsyaAllah… Uncle janji akan buat pemeriksaan yang terbaik buat anak kamu berdua.”

“Habis tu macam mana dengan keadaan dia sekarang, doktor? Boleh saya jumpa dia?”

Bila doktor menggeleng, jiwaku semakin walang. Aku bimbang sesuatu yang bakal berlaku pada Aryana. Aku pandang Mukhlis berharap belas dia.

“Abang, Ann nak tengok Arya,” ngongoiku sambil rapat pada dia.

“Sabar sikit, sayang….” Mukhlis memujuk lembut.

“Uncle, tak boleh ke kami jenguk anak kami kejap?” soal Mukhlis pula.

Doktor Norman tetap menggeleng. “Bukan uncle tak nak bagi, Mukhlis tapi Aryana tak sedarkan diri lagi,” ucap Doktor Norman membuatkan aku hampir terduduk andai Mukhlis tidak menyambutku.

“Kenapa dengan anak saya doktor?” soalku bersama esakan yang semakin kasar.

“Si kecil tu perlukan rehat sikit, Ana. Bawa bersabar,” pujuk dia dan kali ini, aku palingkan wajahku kepada Mukhlis lantas aku sembamkan wajahku ke dadanya.

Memaut erat tubuh itu, menghamburkan tangis yang kian menggila bila Doktor Norman berlalu semula ke dalam bilik kecemasan yang menempatkan Aryana.

“Ann tak nak hilang anak kita, abang. Ann tak nak apa-apa yang terjadi pada Aryana. Dia anak kita, abang. Dia tanda cinta kita dan Ann tak nak hilang dia. Tolong Ann, abang. Ann nak tengok anak kita. Dialah satu-satunya yang kita ada, abang,” tangisku di bahu Mukhlis.

Terlupa hakikat yang aku ini bukanlah seseorang yang halal untuk dia begitu juga sebaliknya dek kerana perasaan dan resah yang tidak terbendung dan aku tahu, bila Mukhlis mengusap kepalaku yang diliputi tudung, aku tidak mampu berdiri dengan tegak lagi lalu dapat ku rasakan eratnya pelukan dia pada pinggangku.

“Abang pun sayangkan Aryana. Sangat sayang sampaikan abang sendiri tak sanggup nak jauh dengan dia tapi kita doakan anak kita selamat, ya sayang,” pujuk dia dan aku hanya menangis saja di bahunya.

Membiarkan airmata ini membasahi pakaiannya itu dan kala ini, aku tahu ada mata yang sedang melihat ke arah kami.

~~~> bersambung

21 comments:

  1. Hihii kamsahae cik penulis,.atlast de gk entry bru keke

    ReplyDelete
  2. Thank sis.... mmg terbaik!!! i really <3 this n3

    ReplyDelete
  3. heheh. kadang2 tak tau nak pilih sape. tp sy tetap suke dgn mukhlis@@!

    ReplyDelete
  4. Sedihnye...
    Ape yg jadi pade Aryana?????

    ReplyDelete
  5. Amboi..cik penulis mencari rindu.....huuuuuu... :)

    Abang, Ann nak tengok Arya... Aduhh..manjanya..cik pembaca pula yg senyum sorang2.. Hehe

    ReplyDelete
  6. Bestt ! Biarlah ana baik smule ngn mukhlis. Sian arya.

    ReplyDelete
  7. erkkkk.......mcm pre ending je nih..tp cik RM mmg terbaekk n bijak dlm nk break kat mna.n3 yg buat lg org tertanya2 n tertunggu2 n3 seterusnya.bleh buat nvl nie.ramai yg suka n sy pun suka gak bc KIM ni.pilihan hero sy pun masih sy tak tau...hahaha.good job.

    ReplyDelete
  8. habis lah, hancur lulur berkecai hati si Zafran bila Ana ada dalam pelukan Mukhlis... 'Abang'?...'Sayang'?... hmmm.. kompem kan aje lah mereka berdua ni RM...

    Yati

    ReplyDelete
    Replies
    1. macam marah je kak yati, suka zafran yea?... x kisah la sapa pun yang rehan pilih, janji cerita best kan...

      Delete
  9. salam RM

    errkk masih dlm teka teki errkk..sape yg da bayar semua tue errkk??..mukhlis kot..hehe
    wahhh terbaik.....ann kompem balik ngan mukhlis suka..suka....
    biar mereka bahagia kali ny...
    cite kali ny bestt.....thumbsss la ann.... :)
    ~~rafika dewi~~

    ReplyDelete
  10. Harap lepas ni Ann dah boleh terima Mukhlis . Jangan terima Zafran tu . Tak suka . hehe .

    ReplyDelete
  11. terbaekkkkkkkk!! hope smua nie akan terus kekal.

    ReplyDelete
  12. suka..suka.suka...sebab ada bunga2..An dengan Mukhlis berbaik-baik semula...panggilan An kat Mukhlis pun dah berubah...tapi yg sedihnya..kesian kat Aryana...dia sakit apa? mintak2 bukanlah sakit yg merbahaya...sob...sob..sob..Cik Penulis..memang terbaikkk..I like...

    ReplyDelete
  13. huhu sgt sedih..keep up gud work RM..RM leh jd salah sorg penulis y dikenali jap g...sbb citer RM smua best2..i like..n of course klu ade terbit novel dr RM harusla sy memilikinya ;P

    ReplyDelete
  14. sebaknya....
    sian Ann...dlm hati masih ada cinta terhadap mukhlis...
    mungkin rasa serik....tu yg keraskan hati tak mau kembali kpd Mukhlis....

    ReplyDelete
  15. sedihnyer.... semoga mukhlis, ann dan arya bahagia bersama ....

    ReplyDelete
  16. suka suka suka! i love you lah mukhlis! :D pilihan yg tepat ialah mukhlis, tolong ye kak rehan :)

    ReplyDelete
  17. nak tgk ana n mukhlis b'baik semula...cian tgk aryana

    ReplyDelete
  18. sumpah paling suka part last nihh...yuhuu...rehan terrrbbbaaaeeeekkkkkk!!!!!

    ReplyDelete
  19. ishhh,kalu smpai gni elok nikah semula la depa ni.sian pulak ngn zafran.ana mmg dah JK betul.

    ReplyDelete