Friday, March 16, 2012

Ku Ingin Milikimu [3]

BAB 3

HARI ini rasanya sudah beberapa hari, Mukhlis tidak menghantar pesanan padaku. Ada rasa rindu bertamu sebenarnya. Rindu yang terlalu sukar hendak aku akui kerana ku yakin, ini adalah permainan hati semata-mata.

Melihatkan status pada dinding laman sosial miliknya tadi benar-benar membuatkan aku lemah sendiri. Rasa tertusuk juga hati ini. Benarkah begitu tapi untuk apa soalan dia padaku beberapa hari sudah?

Menangis juga hatiku kala itu. Sungguh dia sudah berpunya. Padanlah selama ini kerap kali dia mengeluh. Mengapa takdir tidak membawa kami bertemu terlebih awal? Mengapa dia terlalu lambat mengenaliku?

Kala itu, jawapanku hanya satu. Jawapan mati sebenarnya dan memang benar begitu kerana takdir telah mengaturkan segalanya buat kami. Sesuatu yang aku sendiri tidak menduga.

Dihambat rasa pada dia yang tak punya rupa, suara jauh sekali sikapnya yang jelas di depan mata. Jatuh cinta hanya pada perkataan dan itu makin membuatkan aku terasa kerdil hendak mengakui rasa ini pada dia.

Tak sanggup hendak merosakkan hubungan lama semata-mata untuk hubungan baru yang masih tidak jelas arah yang harus kami kemudi.
Sedang aku duduk menatap skrin komputer, nama itu muncul tiba-tiba. Aku betulkan duduk. Aku hela nafas sedalam mungkin bagaikan bersua mata dengan dia sedangkan antara kami hanyalah kata-kata bisu saja.


Ann Rahana, saya dah kemaskan hati saya. Ternyata, ini cinta. Awak selamatkan saya. Saya tak nak kahwin dengan perempuan yang saya tak cinta. Tolong saya. Saya tak keliru dan perasaan cinta ini betul. Izinkan saya cari awak. Saya dah tahu nama betul awak je dan saya akan cari awak dengan sendiri. Awak cuma perlu tunggu saya muncul depan awak je nanti.


Aku meraup wajah. Rambut yang jatuh terjuntai ke dahi, aku tolak agar tidak menghalang tatapanku. Cinta apakah ini, Ya Tuhan? Terlalu mudah dia menyatakan cinta dan hati aku juga terlalu mudah berkata ya sedangkan aku tidak mahu.

Semakin ku tolak, semakin dia mendekat. Cukuplah statusmu sebagai tunangan orang Mukhlis. Usah kau ganggu hidupku. Bisik hati ini pedih.


Pasal saya, lebih elok awak kekal tahu saya hanyalah Ann Rahana pada awak dan soal hati itu, saya yakin awak keliru kerana status awak sebagai tunangan orang tu dah cukup menjawab kekeliruan ini. Jaga diri…


Aku mahu putuskan segalanya dengan dia. Biarlah kami kekal misteri. Ternyata hati ini sering menipu. Aku yakin, hati aku telah tetapkan perjalanan diri tanpa kekeliruan lagi setelah terbaca status Mukhlis bersama tunangnya di sesuatu tempat.
Status yang sedikit sebanyak membuatkan irama hatiku mati begitu saja. Menjadi bisu akhirnya tanpa detak.


Awak boleh lari, tapi saya tak akan henti memburu. Saya dah bagitahu keluarga saya dan biarpun mereka menentang, saya harap saya mampu bertahan. Satu hari nanti, andai kita bersua, awak kena akuinya yang awak cintakan saya. Saya cintakan awak Ann Rahana dan akan kekal begitu. Saya juga dapat rasakan awak juga cintakan saya, kan? Bukan soal rupa atau awak seorang penulis, tapi ini soal hati. Kisah hati saya… kisah hati kita!


Kita? Kita apakah yang dia maknakan di dalam kata-katanya bila dia sendiri sudah berpunya dan bakal sah diikat bersama wanita itu? Kisah hati apakah yang Mukhlis ingin maksudkan bila hati kami tidak pernah bersatu?

Aku meraup wajah berkali-kali. Liur yang ku telan terasa kelat membaca pesanan daripada Mukhlis kali ini. Rasa lain macam pula dan rasanya, sudah tiba waktu di mana aku perlu jauhkan diri daripada dia. Jauhkan diri dari segalanya terutama sekali jauhkan diri dari kisah hati yang baru hendak bermula ini kerana sudah terang terentang, hati kami tak mungkin punyai kisah.

Hari ini, lena malamku ditemani pilu. Kuasa Tuhan menitipkan rasa cinta tanpa sedar. Tanpa pertemuan membuatkan aku bersalah pada hati sendiri. Tidak pandai menjaganya dengan baik hingga membiarkan hati ini jatuh hati pada seseorang yang bukan milik aku.

***

MATAKU melihat ke arah papan putih. Melihat ke arah aktiviti bos yang baru saja aku kemaskini. Rasanya sudah hampir seminggu, tiada lagi pesanan daripada dia untuk sepatah ayat pun.

Aku termenung sendiri. Entah apa yang aku fikirkan kala ini. Yang pasti, aku rasakan rindu semakin kemas bertapak di dada ini. Aku rindu dia. Rindu pada pesanan dan kata-katanya. Tapi, dia bukan milik aku. Dia sudah berpunya dan aku juga berhak bahagia.

Tanpa sedar, tubir mataku bergenang. Pertama kali digenangi airmata kerana kehilangan seorang peminat membuatkan aku rasa lemah. Lemah kerana peminat itu adalah peminat yang aku suka, yang aku ingin kongsikan kisah hati ini dengannya.

“Kau jatuh cinta, kan?” Teguran Sarina membuatkan aku tersentak sendiri.

Cepat-cepat aku lap tubir mataku dengan hujung jari dan membetulkan duduk agar lebih selesa. Mata ini terus terpaku pada skrin komputer di depanku.

“Kau cinta Mukhlis, kan?” soal dia sekali lagi.

Aku menggeleng yakin. Bibir ini aku ketap hebat berharap agar tiada titisan jernih menodai wajahku kala ini. Tiada sebab dan tiada gunanya.

“Kenapa nafikan hakikat, Ana? Kalau ya, angguk jelah!” Sarina menegur keras tapi aku tetap juga nekad hendak menggeleng biar apa pun terjadi.

“Betul ke Mukhlis dah bertunang?” tanya Sarina lagi.

Aku angguk. “Dah macam tu sekali dia kata bawa fiancĂ©e dia jalan-jalan, betullah tu. Tapi, aku pelik satu hal je…”

“Kenapa dia cakap dia jatuh cinta pada kau, macam tu?” pangkas Sarina membuatkan aku terkedu sendiri.

“Dan kenapa aku sendiri…”

“Jatuh cinta pada dia tanpa sedar?” cantas Sarina lagi.

Kali ini aku ketap bibir dengan lebih kuat. Airmataku jatuh menodai pipi. Sungguh segalanya pertama kali begini.

“Soal hati ni, payah nak tebak, Ana. Kau penulis. Setiap ayat kau selama ni, menusuk hati. Membuai perasaan. Masih belum terjerumus ni, cuba lupakan dia. Hilang seorang peminat hari ini, esok lusa bertambah lagi beberapa orang. Jangan risau. Dah tengah hari ni, jom makan.”

Suara Sarina lembut memujuk. Aku hela nafas sedalam mungkin. Berharap agar hati ini tenang menghadapi kisah hati yang singkat ini.

Dia bukan sesiapa pada aku dan pastilah aku juga begitu, desis hatiku sendiri. Sedaya upaya aku cuba hendak membuang rasa ini pergi jauh-jauh dan jangan kembali lagi.

Kami tiba dibawah dan melihat agak ramai orang mengunjungi bangunan tempat aku bekerja hari ni. Melihat ke arah beberapa buah restoran makanan segera, aku menggeleng dan Sarina mencebik.

“Ramai oranglah, Ana. Kita makan kat luarlah,” cadang dia.

“Emm, boleh juga. Pergi Restoran Ukhuwah lah. Lama tak layan ikan bakar.” Aku nyatakan persetujuan.

“Ikan bakar tu boleh ubat hati kau tak?” Dia jungkit kening berkali-kali tapi aku terus mengerutkan wajah.

“Maksud kau?”

“Hati kau kan tengah JK… jiwa kacau. Kalau kata makan ikan bakar boleh buat JK kau tu hilang, aku belanja,” ucap dia sambil tersengih sumbing.

Aku bulatkan mata. “Jangan usik emosi aku boleh tak. Aku okeylah. Kau kenal kan, aku macam mana. Hati aku ni biarpun sering keliru, tapi tetap milik aku dan aku tak ada niat lagi nak bagi pada orang lain. Cukuplah peminat aku pada aku.”

“Dan dia pun salah seorang peminat kau, kan?” usik dia lagi.

“Sarina… stop it! Memang itu hakikat dan aku tak boleh nak halang orang nak minat aku,” tegurku geram.
Dia ketawa. Beg kecil di tangannya dia buka. “Seperti mana kau tak boleh nak halang orang tu dari jatuh cinta pada kau, kan?”

“Emm, betullah tu…,” selaku berbasa basi.

“Dan kau juga mampu ke nak halang hati kau dari mencintai?”

“Sarina!!” seruku keras lalu aku cubit lengannya. Dia mengaduh dengan wajah menyeringai.

“Aku banyak dateline nak kejar tahu tak? Jangan buat aku fikir bukan-bukan, boleh tak?” tekanku.

Sarina tersengih dan mengangguk. “Yalah-yalah tapi, kau tunggu aku dekat depan bangunan kejap. Aku pergi cucuk ATM dulu kat bawah. Nak belanja kau tapi duit tak ambil lagi. Nanti jadi aku belanja kau bayar pulak.”

Dia ketawa dan terus berlalu. Aku tahan hati. Sabar jelah hati aku dengan minat sorang ni. Kadang-kadang, kata-katanya membuatkan seorang penulis seperti aku ini berfikir juga. Kalah sesekali dengan teman sepertinya seperti mana aku mampu bermain dengan jiwa dan hati pembaca hanya melalui susunan ayat.

Tapi, bila hadirnya seorang peminat lelaki seperti ini, rasanya aku semakin keliru dan terus keliru. Rasa tertewas dalam setiap patah luahannya padaku. Bukan tidak pernah aku berbalas pesanan dengan peminat lelaki yang lain, tapi dengan lelaki ini, tarian jemariku lain pula rentaknya.

Bibirku tersenyum sinis lantas aku berlalu keluar daripada bangunan ini hendak menanti Sarina.

“Emm… panaslah pulak nak keluar ni,” gumamku sendiri sambil mendongak ke langit yang terang benderang.

Lama juga aku menanti Sarina. Mungkin juga ramai yang sedang beratur lantas aku mengambil keputusan hendak mencari dia di dalam. Belum sempat aku melangkah, bahuku dicuit orang.

Bila aku berpaling, ternyata dua orang lelaki tegap berpakaian lengkap dengan kot menegurku.

“Tumpang tanya…,” Mereka menyapa. Aku gariskan senyuman buat mereka berdua dan mengangguk memberi keizinan.

“Cik ni… Cik Anahara Rahman ke?” tanya salah seorang daripada mereka.

Aku mengangguk tanpa ada syak lain. Mereka berbisik sesama sendiri membuatkan aku semakin dilanda resah.

“Kenapa ya, encik berdua?” soalku takut-takut.

Nak kata kereta tak bayar, dah dahulu sebulan. Nak kata rumah tak bayar, duduk rumah sewa je. Tak kan BPR kot. Bila masa aku terima rasuah.

“Cik jangan takut… kami bukan nak apa-apakan cik tapi kalau boleh, kami nak cik ikut kami sekejap.”

Jantung bagaikan hendak luruh kala ini bila terkepung kiri kanan oleh lelaki tegap berdua ini. Nafasku semput tapi aku sedaya upaya bertenang.

“Tapi saya tak kenal awak berdua,” dalihku cuba melepaskan diri.

“Bos kami kenal cik. Tolong cik… mudahkan kerja kami dan cik juga akan mudah. Tak ambil masa yang lama pun. Mungkin dalam sejam dan kami akan hantar cik pulang dengna selamat, kami janji!” tekan salah seorang lagi.

Aku telan liur. “Saya ada kerja dan saya tak akan ikut orang yang saya tak kenal.” Aku membantah tegas.
Baru hendak berlalu, lenganku dipaut kasar. “Kami boleh memaksa kalau kami nak, cik… Tapi, cik adalah amanah Tan Sri dan Puan Sri jadi kami menjaga amanah. Saya mohon, cik ikut kami sebelum kami apa-apakan, cik,” gumam dia juga bertegas.

Aku pandang mata mereka di sebalik cermin mata gelap itu dan dalam hatiku berdoa, biarlah semua ini mimpi. Bala apakah hari ni yang perlu aku lalu dan tanpa sedar, mereka mendorong aku menuju ke sebuah Porche Cayenne berwarna hitam metalik.

Aku berpaling ke belakang dan ternampak kelibat Sarina yang mencari aku tapi segalanya sudah terlambat bila kereta ini terus meluncur laju membuatkan airmataku menitis kerana ketakukan.

~~> bersambung

2 comments:

  1. Uiks...ada 2 jejaka misteri tetiba muncul,,,

    ReplyDelete
  2. ahhh sudahhh.apa cerita pulak mcm gaya penculik.

    ReplyDelete