Sunday, March 18, 2012

Ku Ingin Milikimu [8]

BAB 8

PERMINTAAN Mukhlis hari ini, kala dia datang menemuiku di rumah sewaku, benar-benar membuatkan aku hampir terduduk. Sepanjang perjalanan pulang beberapa hari sudah juga, dia tidak putus memujukku agar berpindah tinggal bersamanya. Betapa tekad aku menolak, lebih hebat lagi dia memujuk.

“Ann tinggal dengan saya, ya?” pujuk dia.

“Kenapa? Kan sejak kita nikah ni, elok je saya tinggal sendiri dengan Sarina. Tak ada masalah pun, kan? Lagipun, macam ni senang kot awak nak bergerak ke sana sini. Saya sendiri pun. Nanti kita tinggal bersama, buatnya keluarga awak dapat tahu, macam mana kalau mama awak suruh awak tinggalkan saya?” tebakku agak risau.

“Saya perlukan Ann di sisi saya. Saya nikahi Ann sebab saya nak ada ada dekat dengan saya. Bukan ke rumah keluarga saya, tapi rumah saya dekat Damansara. Kita tinggal kat situ. Tak ada orang nak kacau kot,” pujuk dia.

“Yalah, kita tinggal sendiri dalam satu rumah. Tak risau ke jiran-jiran cakap apa nanti? Saya rasa, lagi mudah kot keluarga awak nak dapat tahu tentang kita kalau kita tinggal bersama. Bahaya tu untuk awak. Saya cuma risaukan awak je, Mukhlis.”

Aku akhirnya luahkan apa yang membuku di hati. Kerisauanku terhadap ugutan keluarganya dulu masih terngiang-ngiang di telinga ini. Aku tidak mahu Mukhlis hidup merempat dan susah kerana aku. Menerima dia dalam hidup ini adalah untuk melihat dia bahagia.

“Saya tak nak kita berjauhan lagi, Ann. Saya tak kisah dah semua tu. Kalau perlu, kita mengaku je dekat keluarga saya tentang kita. Senang, kan?”

Aku menggeleng dan tersenyum mesra. “Memang senang tapi awak yang akan susah. Saya tak nak awak dibuang keluarga kerana saya, Mukhlis. Saya nak keluarga awak terima saya dan sayang saya tapi selagi masa tu belum tiba, rasanya eloklah kita begini,” bantahku terus.

“Tak, Ann. Saya dah janji demi Ann saya sanggup hilang segalanya. Janji Ann ada dengan saya, merempat pun tak apalah.”
Aku menggeleng perlahan. “Tapi, saya tak nak awak berasa susah, Mukhlis. Saya rasa, buat masa sekarang, saya lagi selesa tinggal sendiri kot. Bukan tak sudi nak ada di sisi awak apatah lagi saya akan berdosa sebab abaikan awak tapi lebih baik awak selesaikan dulu hal awak dengan tunang awak dan juga keluarga awak tu,” pintaku lembut.

Dia merengus. Jemariku diraih. Hendak membentak tapi aku tahu, aku adalah sah untuk dia sentuh lantas aku biarkan saja.

“Yang tu, Ana jangan risau. Bagi masa sikit, saya akan selesaikan. Soal mama saya, mungkin agak payah tapi abah saya tak nak campur katanya.”

“Dan, ingat satu pesan saya…” Aku genggam erat jemari suam itu. Dia angkat tanganku lantas di bawah rapat ke bibirnya.

“Apa pun jadi, mama awak tu syurga awak. Jangan buat dia marah. Jangan tolak kehendak dia,” pesanku ikhlas.

“Biarpun kehendak mama tu akan buat kita berdua terluka?” soal dia tidak sabar dan aku mengangguk juga.

“Sungguh apa yang hati saya rasa… awak terlalu baik untuk saya. Kenapa terlambat kita kenal? Dan kenapa kita kenal melalui alam maya macam tu je?”

“Awak… hal lepas tak jadi masalah lagi. Lambat atau cepat, kita kenal juga. Melalui alam maya pun, kita dah sah bersama. Ini yang penting dan apa yang bakal berlaku nanti. Buat masa ni, biar saya lepaskan awak sendiri cuma awak kena ingat saya… tanggungjawab awak sekarang,” ucapku cuba berjenaka dan cuba menghalau wajah resahnya.

Dia ketawa kecil. “Dan awak pun sama. Ingat awak tu milik saya. Jangan terlalu sibuk dengan fans awak tu. Saya kedekut. Bukan boleh nak share awak dengan semua orang ni,” balas dia pula.

Aku tertawa kecil. “Tanpa mereka semua tu, Ann Rahana tak akan ke mana tau.”
Mukhlis mencebik.

“Betullah tu kot. Tanpa Ann Rahana tu, saya tak akan miliki Anahara binti Rahman, kan?”

Aku cuit hidung mancungnya. “Tahu tak apa.”

Kami sama-sama ketawa. Bahagia sebenarnya biarpun resah tak pernah jauh pergi. Sentiasa ada bersama kami kala ini.

“Cukuplah sekali macam ni. Saya harap awak tunaikan janji awak. Nak cintai saya setelah awak berjaya miliki saya.”

Mukhlis mengangguk. “Saya akan jaga awak sampai akhir masa. Dan awak pun kekallah dengan saya biarpun nanti saya dibuang keluarga dan tak ada apa-apa dah masa tu,” pinta dia pula.

“Selagi Tuhan mengizinkan saya berada di sisi awak,” selaku lembut.

Mukhlis menarik aku ke dalam pelukannya. Kepalaku diusap lembut.

“Saya cinta awak, Anahara. Tak kisahlah awak Anahara atau Ann Rahana, bagi saya dua-duanya terlalu istimewa,” gumamnya lantas dia singgah mengucup pipiku.

Bahu sasa itu aku tolak lembut. “Nanti, kan… kalau kata awak betul kena buang kerja, kena buang keluarga, awak boleh jadi teman saya bila saya menulis. Dapat royalti, kita bagi dua, nak?” Aku jungkit kening mengusik.

Dia bulatkan mata. Redupnya renungan mata kuyu itu membuatkan aku terjerumus ke dalam lembah cintanya yang paling dalam.

“Sanggup ke nak bela saya?”

“Habis tu, nak ke saya biar awak kat tepi jalan je?” usikku lagi. Dia mencubit pipiku lembut.

“Jangan risau… akan ada sesuatu yang baik untuk kita,” ujarnya sekali lagi penuh keyakinan dan aku mengangguk saja.

“Tapi, Ann belum lagi jadi isteri saya yang sebenar-benarnya, kan?” soal dia kemudiannya.

“Eh, dah akad nikah pun. Dah sah, dah cuit-cuit peluk-peluk dah pun,” selaku memprotes.

“Satu lagi belum. Saya dah ikat Ann out tapi tak ikat lagi in,” gumam dia.

Aku tunduk melarikan wajah bila mengerti akan apa yang bermain di fikirannya. Kali ini, aku paksa diriku bersedia untuk dia. Rasa tidak adil pula bila aku menggantung haknya yang satu itu.

Bila aku angkat wajah, Mukhlis merendahkan tubuhnya. Wajah itu semakin dekat dan terus mendekat padaku. Bibir itu bergetar hendak singgah menyapa bibirku tapi bila pintu bilik terkuak, wajah Sarina muncul dan tanpa sedar, aku tolak tubuh suamiku itu menjauh.

Mukhlis garu kepala dan Sarina tekup mulut. “Maaf-maaf. Ingtkan Ana sorang,” ucap Sarina tersengih dan dia terus merapatkan daun pintu kembali.

“Betullah, Ann. Tak sampai masa lagi. Nak kena balik rumah kat Damansara ni kot, baru tak ada orang kacau,” ucap dia berbisik dan aku terus saja ketawa kecil.

***

“Ana…”

Aku tersentak dari ingatan pada suamiku. Wajah Sarina muncul mengah. Aku bangkit mendekat pada dia lantas dia tunjuk ke arah dua orang lelaki yang pernah aku kenali.

“Err… encik buat apa kat sini?” tanyaku risau.

“Maaf cik… Tan Sri dengan Puan Sri nak jumpa cik sekali lagi,” jawab mereka serius.

Aku kerutkan wajah. Jemari Sarina aku paut pantas.

“Diorang dah tahu ke, Ina?” bisikku. Sarina menggeleng tanda tidak tahu.

“Saya ikut tapi saya nak ajak kawan saya teman, kan?”

Mereka berpandangan sesama sendiri lantas akhirnya mereka mengangguk. Aku hela nafas lega seketika kerana aku yakin, bala sedang menghampiri dan bakal menimpa.

Kami tiba di rumah keluarga Mukhlis sekali lagi. Seperti pertama kalinya aku di sini dulu, mulut Sarina juga melopong.

“Gila kaya mamat ni,” ucap dia perlahan. Aku menyiku Sarina dan kami sama-sama menapak ke dalam rumah.

Kala itu, wajah Tan Sri Mahzan dan Puan Sri Mashitah ada di situ bersama dengan Jeslina dan adik perempuan Mukhlis.

“Assalamualaikum,” sapaku takut-takut.

“Waalaikummussalam… duduk Anahara…” Abah kepada Mukhlis bangkit dan mempersilakan aku dan Sarina duduk.

Pertama kali, aku rasakan dia mesra denganku. Bibir tua itu tersenyum lantas menghambar resah ini pergi.

Takut-takut aku labuhkan duduk di atas sofa cantik dan mewah ini. Mata tajam Puan Sri dan Jeslina sedaya upaya aku tentang. Cebikan adik perempuan Mukhlis aku terima dengan hati yang pedih.

“Dengar kata, kamu dah nikah dengan Mukhlis, betul?” soal Puan Sri memulakan bicara.

Aku terkejut besar. Sarina juga. Hendak menggeleng rasanya tidak mampu bila dia menunjukkan surat nikah milik Mukhlis.

“Kamu kata tak nak dia, tak cinta dia… tapi kamu sudi terima dia, menjadi isteri dia. Apa niat kamu sebenarnya, Anahara?” tanya dia kasar.

“Saya… cinta…kan dia,” jawabku takut-takut.

“Memang hari ini kamu buktikan kamu penulis hebat, Anahara sebab kamu berjaya buat Mukhlis jatuh cinta pada kamu tanpa melihat rupa. Hanya dengan ayat-ayat yang membuai perasaan saja,” sinis dia.

Aku ketap bibir. Cinta ini tulus untuk dia. Hadir tanpa aku pinta, malah hendak ku usir juga bimbang hati kami menderita, bicara hatiku pedih.

“Okeylah. Saya panggil kamu ni, bukan untuk ceritakan soal kamu nikah dengan Mukhlis sebab saya memang dah agak. Saya boleh siasat dalam sekelip mata saja. Tapi, hari ni, saya nak kamu sign surat ni. Untuk Jeslina,” arah dia lantas dia campakkan kertas putih itu di depanku.

Jemariku terketar-ketar mengambil kertas putih itu dan sungguh aku dibadai gelora hebat bila surat kebenaran poligami itu benar-benar memberikan aku satu kejutan lagi biarpun aku benar-benar telah bersedia.

“Nah…” Jeslina mencampakkan sebatang pen di depanku. Aku pandang dia lama.

“Macam aku cakap sebelum ni, aku rela kongsi Mukhlis dengan kau, janji aku tak malu dengan kawan-kawan yang memang dah tahu kami nak kahwin ni!” beritahu dia tanpa aku pinta.

“Kamu fakir Anahara… kalau kamu benar-benar sayangkan, kamu nak dia menderita melarat kat luar sana, bila kami halau dia dari rumah ni dan tak bagi dia apa-apa pun. Kamu sanggup tengok suami kamu sendiri menderita kerana kamu?”

Akalku dirasuk dengan kata-kata Puan Sri. Wajah Sarina aku pandang. Teman itu menggeleng laju tapi aku mengangguk lemah.
Dengan semangat yang masih berbaki, aku capai pen tersebut dan tanpa berfikir panjang lagi, aku terus turunkan tandatangan di atas kertas tersebut lalu aku bangkit dan mengheret Sarina keluar.

“Nanti, Anahara…,” seru Puan Sri.

“Saya tak suka kamu tinggal di luar bersama Mukhlis. Sebab kamu dah jadi isteri dia dan dia pun sayangkan kamu, saya arahkan kamu pindah tinggal di rumah ni. Sudah cukup saya lepaskan Mukhlis bebas sendiri sampaikan dia terjatuh pada perempuan seperti kamu!” ucapnya tegas.

Aku sudah tidak mampu berpaling lalu aku melangkah keluar bersama airmata yang berjuraian. Perempuan seperti aku? Perempuan jenis apakah aku ini hanya kerana menerima cinta anak lelakinya.

~~~> bersambung

5 comments:

  1. oh.. sedihnye.... apalah Puan Sri tu... mentang la dia lagi kaya.. owg tu baru je kawen dah suruh bermadu...

    ReplyDelete
  2. Kesian nyer ana...nak mentua fikirkn buruk2 psal dia

    ReplyDelete
  3. keadaan perkahwinn tu yg xberapa elok maka jadi la mcmni.Ana &Mukhlis sama2 silap sbnrnya bila Muhklis kawin tnpa restu klrga.Ana pulak xmengaku betul2 kat family Muhlis dr awal.sama2 kena muhasabah diri.

    ReplyDelete
  4. Sedihnya.inikah permainan orang Kaya.best gak ceritspa ni

    ReplyDelete