Thursday, May 02, 2013

Hanya Ingin Kau Cinta 26


BAB 26

CUTI tamat begitu sahaja. 
Langsung tidak tenang malah semakin kelam kelibut kepala aku.  Mak ngah risau melepaskan aku pergi.  Bimbang aku mengikut emosi dalam menjalankan tugas tapi aku pandai juga memujuk biarpun hati sendiri sudah menjeruk rasa. 
“Ini Inspektor Zunaina, mak ngah.  Pegawai terlatih mental dan fizikal.  Mana boleh ikut emosi.”

Mak ngah senyum dalam tangisan saat itu.  Saat merelakan kepergian aku kembali bertugas dan itupun rasanya sudah tidak sabar hendak menghadap wajah Tuan Radzi dan menerima jawapan positif tentang permohonan yang aku kemukakan. 
“Tahu kau tu polis  yang terlatih tapi soal hati dan jiwa ni, hanya Allah yang mampu melatih kau dengan sempurna.  Banyak-banyakkan berdoa pada Dia, moga Dia tenangkan hati kau, hati Nine…” 
BAM!!!
Sedas tembakan aku lepaskan tepat mengenai sasaran.  Tepat mengenai jantung.  Gambar lukisan penjenayah itu tepat aku tembak di dada kirinya.  Jika itu adalah manusia, pasti rebah menyembah bumi. 
Biarpun pada jarak 200 meter, aku masih mampu menembaknya secara tepat.  Hilang pesanan mak ngah bila nama Nine naik dalam kepala. 
“Are you okay?”  Amar menegur mesra.
Aku diam tidak berkalih.  Penutup telinga aku betulkan sedikit.  Tanpa google menjadi alas mata, aku dekatkan laras senjata ke sisi wajah sekali lagi.  Melihat melalui kanta pembesar yang memberi jarak tepat. 
Tanpa menjawab soalan Amar, aku lepaskan tembakan sekali lagi.  kali ini juga tepat tapi di tengah dahinya.  Bibir aku menggariskan senyuman.  Khabar gembira yang aku terima sebaik saja aku melaporkan diri kembali bertugas pagi tadi sedikit sebanyak mengubat rawan hati aku dengan karenah Naim dan pemergian Nine. 
“Nine ada jumpa you?”  soal Amar yang entah bila ada di sisi aku. 
Meninggalkan posisi asalnya.  Senjatanya terletak elok di rusuk.  Cermin mata hitamnya ditarik jatuh.  Mata itu tunak merenung aku yang sekadar menjeling dia.
Ada.”  Sepatah aku menjawab dan magazin aku isikan lagi.  Magazin ke empat untuk latihan ini. 
“Apa yang dia cakap?”  soal Amar lagi.
Aku ketap bibir dan mata terus tersasar rakus pada sasaran baru yang kini sedikit bergerak ke kiri dan kanan.  Mahu menguji kepintaran aku bermain dengan senjata.
“Naina, I’m asking…”
“And I am training, Amar.”  Tak jadi aku hendak lepaskan tembakan bila Amar menarik lengan aku. 
“Apa yang you nak tahu sebenarnya daripada I?  tentang Nine?  I sendiri pun tak tahu siapa dia sebenarnya?  I rasa I dah cukup kenal dia tapi sebenarnya tak.  Kalau you nak tahu sangat, I pun…” tekan aku dengan nafas yang mengah.
“Kita siasat tentang dia sama-sama.  Boleh macam tu?”  soalku sinis. 
Aku lihat Amar menelan liur.  Hampir seminggu aku bercuti tak pernah aku temui tenang.  Melangkah ke tempat kerja, diasak pula oleh Amar.
“Apa yang you dapat tentang Nine?  You ada berita tentang dia?  Nak share dengan I?”  duga aku lagi.
Amat ketap bibir.  Dia melompat naik di atas pagar tembok tempat aku menjalani latihan. 
“Kalau you tak ada apa nak cakap, balik tempat you.  Teruskan latihan.  I pun nak teruskan,” arah aku tegas tapi Amar hanya diam di situ.
Bersandar pada tiang dan hanya memandang aku. 
Kali ini aku bersedia lagi.  sasaran sedang bergerak dan kedudukan asal.  Setelah aku yakin akan ketepatan peluru yang bakal menembusi sasaran, picu aku tarik dan tembakan dilepaskan.  Bam… tepat juga mengenai jantung sasaran. 
Amar menepuk tangan.  Aku memandang dia sambil membuka sarung tangan dan meletakkan senjata latihan pada tempatnya. 
“I nak ajak you sit down untuk kes arwah orang tua you.  I rasa I dapat maklumat lain juga selain yang ada di dalam fail tu,” ujar Amar cuba menarik minat aku.
Dan ya… aku tertarik. 
“Kalau macam tu, kejap lagi I datang.” 
Amar angkat kening dan dia melompat turun.  Kakinya diatur kemas keluar daripada tempat latihan. 
Mata aku menghantar langkah Amar.  Lemah sebenarnya semangat aku.  Jika benar apa yang aku rasakan ini… tidaklah aku bakal hidup bersama airmata buat selamanya? 



FAIL itu Amar belek perlahan.  Setelah ditemui apa yang dia inginkan, disuakan fail itu didepan mata aku. 
Silang kaki aku terlerai.  Mata Amar aku pandang seketika sebelum kembali merenung fail yang dia hulurkan tadi.
“Ini apa?”  soal aku padanya.
“You baca sendiri.  Ini yang I dapat selama you cuti.  Sedikit maklumat yang berkaitan dengan penjenayah yang arwah ayah you buru satu masa dulu.  Ada maklumat mengatakan, dia hilang macam tu saja.  Tak dapat dikesan.  Ada juga maklumat mengatakan yang dia telah ditembak mati tapi mayatnya tak ditemui.  Ada lagi yang mengatakan dia bunuh diri semasa dikejar pasukan berkuasa tapi I lebih percayakan ini…” 
Tangan Amar pantas membelek helaian berikutnya.  Mata kami sama-sama merenung ke situ.  Pada satu perenggan dia mana…
“I lebih percayakan ini.  Dia lari ke Negara jiran dan sumber yang terbaru I dapatkan, dia tukar nama…” 
Kening aku berkerut.  Pantas aku merenung wajah Amar yang hanya terpisah beberapa inci saja. 
“You kena percayakan I, Naina.  I yakin dengan sumber ni,” ujar Amar lagi.
Dia menjauhkan tubuhnya dan bersandar pada kerusi.  Baru hendak bersuara, Sarjan Mazlan muncul di depan pintu dengan sebuah lagi fail yang lain.
“Hah, Jan?  Jumpa?”  soal Amar pada Sarjan Mazlan.
Sarjan Mazlan mengangguk dan mendekati kami.  Dia senyum pada aku dan melabuhkan duduk di sisi Amar. 
“Sihat, puan?”  soal dia ramah.
Aku hanya senyum dan mengangguk. 
“Macam mana, Jan?”  tanya Amar lagi.
“Dari sumber yang saya dapatkan daripada polis Thai, ada satu rekod di hospital di selatan Thai yang menjalankan kegiatan plastic surgery secara tidak sah.  Rekod ini ada dalam simpanan polis setelah klinik itu di sita beberapa tahun sudah dan ada rekod yang mengatakan tahun Bohari masuk ke Negara jiran pada tahun yang sama,” jelas Sarjan Mazlan pada Amar.
Aku kerutkan dahi.  “Siapa Bohari tu, Amar?” 
“You belek muka depan tadi, Naina dan you akan tahu siapa dia…” 
Aku mengikut saja arahan Amar.  Bila aku amati, ternyata tertera nama Bohari di situ.  Penjenayah paling berbahaya pada zaman ayah bertugas dan sebagai perisik, ayah ditugaskan mengintip gerak-gerinya. 
Ada juga sekeping gambar bersama-sama fail tersebut.  Gambar agak lama.  bila aku amati tarikh yang tertera pada gambar, ternyata tahun yang sama di mana ayah mengalami kemalangan maut. 
“Tahun gambar ni sama dengan tahun kematian ayah I,” gumam aku sendiri tapi masih mampu didengari oleh dua orang lelaki di hadapan aku.
“Yes…”  Amar ketik jari.
“Kalau you perasan, memang itu yang I nak you tahu.  You kenal wajah Bohari ni?”  tanya Amar lagi.
Aku menggeleng sambil terus mengamati wajah itu.  Mana hendak aku kenal.  Tak pernah aku lihat biarpun sekali wajah itu.  Ini kali pertamanya dan inilah orang yang ayah buru.
“Tak silap saya, puan… gambar tu memang dibawa oleh arwah Zul sendiri bila kali terakhir dia turun padang menjalankan tugas sebelum dia kemalangan.  Masa tu, saya masih lagi seorang Kopral.  Saya bantu arwah untuk tangkap penjenayah tersebut.  Lepas didapati Bohari hilang, saya ada juga cuba menjejaki tapi akhirnya kes ditutup bila pihak polis Bangkok pun tak dapat mengesan orang seperti dalam gambar dan juga dengan nama yang sama…,” jelas Sarjan Mazlan.
“Dan lepas tu, sekarang ni I syak dia lakukan pembedahan plastik.  Bila kami siasat, rekod ini yang kami terima.” 
Amar menyuakan fail yang Sarjan Mazlan bawakan tadi.  Dibukanya di depan aku dan tertera pula sekeping gambar lainnya. 
Hampir terjatuh aku dari duduk.  Mata Amar aku tenung lagi. 
“Is this for real, Amar?” 
Bibir Amar menceber.  “Kalau tak yakin, kita siasat lagi.  ini hanya klu untuk kita bawa pada penjenayah sebenarnya.  Mean while, we are after Neo.  Boleh jadi mereka orang yang sama dan I juga yakin, mereka dari kumpulan yang sama,” tegas Amar. 
Dia menjeling Sarjan Mazlan. 
“Betul tu, puan.  Setakat  yang terbaru, berita yang saya dapat… mereka berpangkalan di Bangkok sejak tahun kematian arwah Zul.  Sebelum ni boleh dikatakan mereka hanya ulang alik tapi setelah Bohari terlepas dan tak dapat dikesan, mereka sepenuhnya berpangkalan di Bangkok,” tambah Sarjan Mazlan cuba meyakinkan aku.
Fail di tangan aku belek lagi.  Silih berganti dengan wajah Amar dan Sarjan Mazlan. 
“Ini ke yang you tanya I sedia ke tak tu?”  soal aku tanpa memandang dia.
“More than that, Naina… things as not that easy as we think.  You have to be strong.  Stand where you stood.  I ada dengan you…”  pujuk Amar penuh makna.
Makna yang punyai rahsia yang masih belum Amar jelaskan di sebaliknya. 
“I kuat, Amar tapi macam payah I nak percaya dengan gambar ni.” 
“Ini siasat awalan kita.  Boleh jadi silap dan boleh jadi juga sangat tepat.  Kalau kata semua maklumat sudah tepat, I akan aturkan satu operation dan I tak rasa you boleh ikut serta,” ujar Amar.
“Kenapa?” 
Amar mengeluh.  Dia kembali bersandar pada belakang kerusi.
“Well, perkara tak disahkan lagi.  Kita hanya menyiasat.  Apapun, lupa nak tanya, macam mana cuti?  Okey?”  Amar senyum.
Aku senyum juga tapi senyum menyenget.
“Okey.”  Dalam dada saja jawapan itu aku luahkan.
“Macam tak okey?”  duga Amar.
Hendak aku jawab, rasanya malas hendak menyebut perkara yang sudah berlaku.  Nine, Neo dan masalah ini… semakin menghimpit.  Hari  ini naik lagi nama baru, Bohari. 
“Banyak benda tak terduga terjadi, Amar…”
“Termasuk Nine?”  tebak dia.
Aku ketap bibir dan kehilangan kata.  Mengerti dengan perasaan yang sedikit gelabah, Amar bersuara, mengarahkan Sarjan Mazlan keluar daripada bilik aku.
“Jan, boleh keluar kejap.  Nanti kalau ada maklumat baru, bagitahu kami, ya?”
Menurut perintah.  Sarjan Mazlan bangun dan meninggalkan kami berdua. 
Daun pintu tertutup rapat kembali dan Amar bangkit mendekati tempat duduk aku bersama kerusinya.
“Apa dah jadi, Naina?  Nine call I,” akui Amar sambil menyentuh belakang telapak tangan aku.
Terkejut dengan pengakuan Amar, aku membulatkan mata memandang dia.
“Apa you cakap?” 
“Nine call I.  Apa dah jadi?”  tanya Amar risau. 
Air wajahnya jelas menunjukkan yang dia dilanda kegusaran yang maha hebat. 
“Dia call you?  Bila?” 
“Dua tiga hari sudah…”
Bermakna pada hari yang sama Nine keluar daripada rumah mak ngah.  Hari yang sama Naim muncul di depan rumah.  Hari yang sama semuanya.  Seperti dirancangkan. 
“Apa dia cakap?” 
“Dia minta I tengok-tengokkan you sementara dia selesaikan satu perkara penting.  Dia kenapa dan you kenapa?  I tahu dia sukakan you dan you macam mana?  Kenapa dia boleh sampai ke rumah you kat kampung?  I rasa pelik sikit.” 
Aku hanya memandang Amar dengan renungan kosong.  Dalam kepala berfikir lagi akan kemungkinannya.  Pelbagai persoalan tapi semakin terbelit otak aku hendak merungkaikan setiap simpulan ini. 
“You jangan salah faham… I bukan nak busybody tapi I care about you, Naina.”  Amar menokok sedikit.
Bimbang aku memarahi.
Cepat-cepat aku menggeleng. 
Tak ada guna aku memarahi dia jika Nine sendiri yang menghubunginya dan mendedahkan lokasi dia di mana saat itu. 
“Dia datang pun I tak sangka, Amar… dan dia pergi pun I tak pernah suruh.  Datang pergi dia macam tu je.  Tak ubah macam I ni bertugas jaga dia.  Jadi ikut suka dia dan tiba-tiba you cakap dia call you minta you jaga I sementara dia tak ada?”  soal aku bersama tawa sinis.
“You tak menjawab soalan I tapi tak apalah…”  keluh Amar.
“I tak kisah semua tu tapi promise me… it won’t happen again.  Jauhkan diri you dari Nine.  Dia tak sebaik yang you sangka, Naina.  Buat masa sekarang, I tak ada bukti lagi tapi percayalah pada I… dia memang sayangkan you tapi I tak rasa dia ikhlas,” tegas Amar dan bangkit sambil menutup fail-fail yang terbuka.
Aku diam melangut pandangan pada Amar.  “Apa maksud you?” 
“Selagi I tak cukup kutip bukti, biarlah kita sampai sini je.  I akan tolong you tangkap pembunuh ayah dan umi you.  Mungkin dia akan bawa kita pada Neo dan geng-gengnya,” jawab Amar dan dia terus berlalu keluar.
Aku termangu memikirkan kata-kata Amar.  Nine terlibat dengan semua inikah dan… fail tadi aku belek sekali lagi.  Menatap gambar itu membuatkan aku berfikir beberapa kali.  Benarkah?  

12 comments:

  1. Nice..keep on writting kak..xsabar nak baca sambungannya

    ReplyDelete
  2. gambar siapa? haiyooh, RM awak ni saja je kan. cubit nak?

    ReplyDelete
  3. gambar sape plak tu? naim ke?

    ReplyDelete
  4. pleaselah...sesak nafas....fikir...suspens....cptlah next entri...

    ReplyDelete
  5. adoi..gmbr sapa plk tu..kak rehan mmg bikin suspen lah..
    amar ni pun, nine tu ikhlas, tp da yg mnghalang lh...kak, xnk la naina dgn amar

    ReplyDelete
  6. gambo nine ke tu...saspen nyerrrr...

    ReplyDelete
  7. rsa sy, gmbar nain sbb tulah naina terperanjat sgt. Hihi misteri sungguh. lgi pn nain asyik mtk naina utk x siasat jek kematian ayah n umi naina tuh. kn pelik tuh? smbung plzzze.

    ReplyDelete
  8. Salam...
    Naim adalah NEO?
    Mana Nine pergi?

    ReplyDelete
  9. hadoyai.... things getting more complicated nmpaknya..... nine knapa? neo? naim? bnyak gila qustion mark... hahha :D

    ReplyDelete
  10. Gambar sape 2??? Byk konflik la novel ni...suspen..semua ade..tp best jln crite die..

    ReplyDelete