Tuesday, April 01, 2014

Jejak Ke Syurga

"Bagaimana hendak aku melangkah?  Merangkak pun payah...!"

Cp.1

MATA redupnya merenung tajam pada satu tempat yang agak tersorok.  Bibirnya mengukir senyum tipis, lalu dia bangkit dan berdiri tegak.    
“Di, aku gi sana kejap...” Bahu Fendi ditepuk perlahan tanpa berkalih seinci pun. Fendi sekadar mengangguk dan Kax terus menapak laju mendekati jasad yang sedang menyembamkan wajah ke lutut.  Kening lebat Kax berkerut. 

Eh, lain macam aje?  Pemerhatian ditajamkan.  Pakaian nampak okey.  Kalau homeless tak pakai gini gaya.  Tanpa berfikir panjang, dia terus mencangkung tepat di depan seorang gadis bertudung.    
“Assalamulaikum...”  Bahu gadis itu dicuit.  Bimbang mengejutkan orang.  Tapi, salam tak bersambut.  Kax mencebek, pasrah. 
“Dik, abang buat kerja amal.  Bagi makan pakai pada yang memerlukan...”  Satu bungkusan daripada non-woven bag dikeluarkan.  Disua pada jasad yang sedang menghela nafas berat.  Bahunya nampak terhinggut. 
Lama Kax hulurkan tapi sayang tak disambut.  Aiseh, tak sudi pulak ke? 
“Dik?”  Panggilannya masih tak mendapat tindakbalas.  Hai... orang nak bantu, tak sudi pulak.  Keluhan tipis terlepas daripada celah bibirnya.  Balik daripada Australia, Kax tak buat apa.  Bila dijemput lakukan kerja amal, dia berbesar hati.    Apa yang pasti, dia perlu sabar demi memenuhi amanah ini.  Dugaan nak berbuat kebaikan.  Dia tahu, tak ada jalan pintas.  Ada yang terima dengan syukur dan ada yang terima dengan herdikan.  Sabar itu perlu.  Emosi gelandangan, kita tak tahu.  Sebab tak lalu perkara yang sama.
 “Dik, ambiklah makanan ni...”  pujuk Kax perlahan.  Dia tahu, gadis itu sedang menangis.  Dah mula dengar esakan. 
“Tak apalah.  Abang letak sini,  ya?”    Lantas, dia letak bungkusan makanan di sisi gadis itu. 
Kax bangkit dengan wajah berkerut.  Seram pulak tiba-tiba menangis.  Silap-silap boleh mengundang syakwasangka.  Tapi, bila dia mahu berlalu, hayunan kakinya terhenti. 
“Macam mana saya nak hidup macam orang?” 
Err... adik tanya abang ke?”  Kax berpaling laju.  Keningnya berkerut hebat menerima soalan begitu.  Liurnya terasa kasar melalui rengkung. 
Dan, bila gadis itu angkat wajah, satu perkataan yang terdetik dalam hati kala menatap bening mata bundar basah itu. Cantik dan comot.  Nampak ayu biarpun tudung dah kerenyuk dan tersentuh hatinya melihatkan airmata yang mengalir lesu dengan anak mata bagai meminta belas.
Gadis itu mengangguk.  “Saya rasa saya ni macam binatang.  Macam bangkai bernyawa.  Tak layak dilahirkan jadi manusia...” 
Dah pulak?  Kax dekati gadis itu semula.  Dia duduk mencangkung dan menggariskan senyuman.  “Boleh abang tahu nama adik?”  soal Kax, ramah.
“Adra...”  Gadis itu menjawab sepatah dalam linangan airmata biarpun tiada tangis.  Nampak benar emosi cedera parah. 
Nama secantik orangnya tapi kenapa boleh tercampak di sini?  Hanya Adra dan Allah yang mengerti. 
“Okey.  Abang nak tanya, kenapa Adra cakap gitu?  Kenapa nak samakan diri macam binatang yang tak ada akal?  Hrmm?”  Bibir Kax koyak dengan senyuman. 
Lagipun, memujuk orang jalanan ni, kena ada skill.  Kena sabar dan pandai main psikologi.  Walaupun dulu, dia belajar architecture
Airmata Adra masih jatuh.  Matanya tunak merenung keredupan mata dan senyuman pada bibir Kax.  Dia tak rasa lapar dan dahaga.  Dia hanya dahagakan hidup yang diredai. 
“Sebab saya terbuang... atas silap sendiri.  Tak pernah hargai masa lalu... sebab...”  Adra kembali teresak.  Dia tunduk menyembamkan wajah ke lutut. 
Banyaknya sebab.  Kening Kax makin berkerut.  Dia tak rasa Adra sepatutnya ada di sini.  Mendengarkan pada kata-kata itu boleh jadi Adra tersalah langkah.  Nampak macam anak orang senang tapi tak tahulah.  Nak kata lari rumah, boleh jadi.    
“Adra, pandang abang,” pujuk Kax. 
Terus Adra angkat wajah yang basah.  Airmata langsung tak diseka. 
“Adra kenapa sebenarnya?  Cuba cerita?” 
Bibir merah basah itu diketap.  Adra tak tahu dari mana harus dia mulakan.  Hampir seminggu di jalanan, ada yang datang membantu gelandangan tapi baru kali ini dia mampu meluahkan apa  yang dia rasa.  Dia dah tak mampu hadapi hidup di sini.  Dia perlukan sokongan dan bukan terus ditolak ke jalan buntu.   
“Salah saya, bang.  Saya tak bersyukur.  Lepas apa yang mummy dan daddy bagi, saya lupa segalanya.  Saya hancurkan kepercayaan mummy dan daddy.  Tujuh bulan lebih saya di pusat perlindungan, keluarga tak datang jenguk walaupun sehari.  Tapi, saya nak mula hidup baru.  Bayi tu tak salah…”  Airmata Adra kian lebat.  “Tapi, Allah masih tak terima taubat saya.  DIA ambik baby tu lepas dua hari saya bersalin sebab masalah paru-paru.  Semangat saya hilang tapi habis pantang, saya balik dengan harapan baru.  Keluarga saya pandang hina pada saya.  Mana lagi saya nak pergi kalau keluarga sendiri menolak...”  Seusai bercerita, Adra kembali menangis.  Kawan-kawan juga hilang sekelip mata. 
Kax terkedu tapi tidaklah terkejut.  Berat tekanan perasaan yang Adra tanggung. Dikuasai rasa bersalah.  Dan, ini pertama kali Kax menerima luahan perasaan.  Sebelum ini bila dia menasihati, ada yang menempelak tapi dia tetap sabar dan tersenyum.  Dugaan mereka, boleh jadi lebih berat daripada kapal selam.  Biasa yang homeless ni tak ada keluarga.  Ini... hati Kax mengeluh.  Adra tak sepatutnya di sini. 
Kax raup wajah beberapa kali.  Entah jalan apa patut dia ambik.  Bangkit dan berlalu tinggalkan Adra?  Lepas tangan kerana tugasnya sekadar mengagih makanan?  Atau tarik Adra agar timbul daripada terus tenggelam dalam lautan kegelapan?  Kerana tangan Adra terkapai-kapai tapi apa yang perlu Adra capai? 


Cp.2

BINGITNYA telinga.  Kax mengusap janggut dan kumis tipisnya.  Mama kalau membebel, boleh tahan.  Padanlah arwah abah dulu, surrender kalau dengar mama membebel.  Tapi, kata arwah abah – mama membebel sebab sayang.  Satu hari, tanpa bebelan  mama pasti tak boleh tidur. 
“Kamu dengar tak ni, Kaxarudin?” 
“Ya…” Kepala Kax jatuh.  Mengangguk beberapa kali menjawab soalan mamanya.  Baru cakap sepatah, tapi mama dah sembur macam naga. 
“Mama izinkan Kax buat kerja amal tu, bukan untuk kutip homeless tu balik ke rumah.  Tak, mama tak suruh tu.  Mama izin sebab Kax kata nak buat pahala.  Bosan sementara tak kerja.  Memang tak salah berbakti.  Tapi, pada mama salah bila Kax bawak perempuan jalanan balik ke rumah ni.  Itu mama tak setuju!”  Tegas. 
Kax pejamkan mata.  Pagi ini sepatutnya nyaman bersarapan dengan mama di hujung minggu.  Tapi, tindakan nekad dia membawa Adra balik malam tadi, telah mengundang marah mama.  Biarpun sebelum itu, Kax dah bincang dengan Fendi tentang semua ni.  Benar kata temannya, kalau boleh diselamatkan, kita selamatkan.  Tapi sekarang, dia yang dah ‘selamat’ kena bebel dek mama.    
“Ma, dengar ni...”  Kax bangkit dan mendekati mamanya.  Bahu mama dipeluk erat.  Dia kalih ke atas beberapa kali.  Bimbang juga yang menghuni di bilik tamu itu terdengar biarpun suara mama sekadar intonasi biasa.  “Mama tak boleh cakap gitu, ma.  Kita kan tetamu...”
“Tetamu tak diundang?”  tempelak mama dan Kax iyakan.  Dia akui tu tapi...
“Memanglah mama tak undang tapi Kax yang ajak dia datang.  Adra tak mintak pun.  Kax dah bincang dengan semua.  Mana boleh selamatkan, kita selamatnya.  Dia nak berubah, ma.  Lagipun, dia bukan homeless.  Dia cuma...”
“Dibuang keluarga?”  soal mama laju.  Kax angguk.  “Kalau kata kena buang keluarga, mesti ada masalah, Kax... dan kita tak nak bela yang bermasalah dalam rumah ni!” 
“Maaaaa...”  Kax mengeluh panjang.  “Adra tu pernah salah.  Tapi, sekarang dia tengah ada masalah.  Dia pernah salah dan bila keluarga dia buang dia, kira hukuman dah tu.  Lagipun, kita siapa nak hukum dia?  Kita kena bagi peluang.  Dia nak berubah.  Dah kesal, dah taubat.  Kalau bukan kita - masyarakat yang bantu, siapa lagi?”  tanya Kax lembut memujuk.  Mama lembut hati sebenarnya tapi silap dia juga tak minta izin mama.  Bawa balik dulu lepas tu, barulah cakap dekat mama. 
“Memanglah, Kaxarudin...”  Keluhan tipis terlepas.  Mama pandang anak tunggalnya.  Anak yang dia banggakan tapi hati ibu, payah nak terima semua ni. Takut apa-apa terjadi.  “Kita tak kenal dia.  Mama takut nanti jadi apa-apa, orang salahkan kita.  Mama tak boleh nak biar dia tinggal dekat sini walaupun mama percayakan Kax tanpa ada sikit ragupun.  Tapi, dia outsider yang kita tak tahu macam mana perangai.  Boleh jadi nanti keluarga dia datang cari kita sebab sorokkan anak dia...”  Kerisauannya dilahirkan.  “...naya kita, nak...”
“Ma, dengar sini...”  Bahu mama diusap.  Senyuman tergaris tipis.  Lega.  Mama dah nak terima.  Sikit lagi dia kena pujuk.  “Kita tak sorok Adra tu.  Dia boleh keluar mana dia nak pergi asal dia tak buat perkara tak elok.  Nanti mama ada teman bila Kax kerja...”  Kax jongket kening.  Ajak mama berkompromi.
Mama mencebek.  Macam ada perkara lain je budak ni. 
“Okey.  Mama nak tahu, apa masalah sebenar dia sampai kena buang keluarga?”  tanya mama bila Kax katakan, Adra tak sampai seminggu di jalanan.  Merayau sendiri. 
Err... Kax garu kepala dengan wajah menyeringai.  Kalau cerita dekat mama ni, kira mengaibkan Adra tak?  Apa yang pasti, jawapan pada soalan mama ni, tak akan sedap didengar. 


Cp.3

   “MACAM MANA?”  soal Kax pada Adra usai berjemaah Maghrib bersama.  Waktu ini mama dah keluar daripada bilik solat untuk ke dapur menyediakan makan malam.  Boleh nampak Kax dan Adra. 
Kax tarik kopiah.  Diraup rambut beberapa kali sambil mengerling pada Adra yang nampak suci bertelekung putih pemberian mama.    
“Alhamdulillah, baik…”  Adra menjawab sambil membelek buku sirah Maryam yang Kax berikan.  Bagaimana Maryam menghadapi tohmahan kerana mengandung tanpa suami atas kehendak Allah, lantas dipulaukan.  Apatah lagi dia yang memang berbuat kesalahan tapi masih ada yang sudi membantu.  Tidakkah dia patut berterima kasih? 
Ada cuba telefon keluarga Adra?”  tanya Kax jujur.  Tiada berselindung kerana setiap hari dia ingatkan Adra tentang orang tua. 
Cuba cari kemaafan ibubapa.  Andai diherdik-dimaki, cuba lagi.  Seperti mana dia pujuk mama izinkan Adra tinggal di sini sementara semangat dan jiwa Adra pulih. 
Ada telefon tapi...”  Suara Adra mati.  Dia ingat semalam dia telefon mummy tapi mummy letak begitu saja saat dia mengucapkan salam.  Hina sangatkah salam pesalah macam dia?  Teruk sangat ke?  Kalau ini dikatakan kifarah, dia reda terima. 
Kax angguk, mengerti.  “Jangan putus asa.  Mama abang cakap, marah orang tua ni sebab sayang.  Kalau kata parents Adra tak marah masa tu, Adra mungkin tak jadi orang dah.  Dah rasa susah dan berdosa, barulah kita sedar diri yang kita ni manusia yang selalu silap,” ujar Kax sinis. 
Adra ketap bibir.  Hatinya pedih disindir dan dia dah biasa begitu.  Lagipun, sinis Kax patut.  Manusia ni kalau tak jatuh, tak terngadah.  Dah jatuh terhantuk barulah tahu sakitnya.  Adra berpaling ke belakang.  Melihat pada mama yang ada di dapur.  Dia pun mahu bantu tapi, dia masih mahu berbual dengan Kax sesaat dua lagi.  Adra pandang Kax dan hatinya tersenyum lebar biarpun bibir bergetar pilu.
“Adra nak tanya ni.  Mama abang ikhlas ke bagi Adra tinggal sini sementara?” 
Kax senyum tanpa memandang Adra. “Kalau tak ikhlas, dia dah halau Adra keluar dah.  Masa tu abang tak boleh buat apa-apa lagi...”  Matanya naik memandang Adra.  Kening lebatnya terjongket sedikit.  “Kenapa?  Tak selesa?”
Adra angguk.  “Rasa menyusahkan...”  Segaris senyuman kelat terlakar.  Hatinya berbisik.  Mama abang tak suka Adra. 
“Abang nak tanya Adra pulak...”  Kax selesa biasakan dirinya abang.  Lagipun, Adra baru menjejak 21 tahun.  Dia sudah mencecah 26 tahun.  Beza jauh.  “Abang ni dah biasa tengok orang jatuh bangun untuk pelbagai sebab.  Masa abang dekat Australia beberapa tahun, bukan sekali dua dan bukan seorang dua abang tengok kawan-kawan abang, Melayu, Muslim – kalah pada nafsu.  Jatuh tersungkur tapi masih tak insaf.  Kalau kata insaf pun, dua hari je.  Nikmat hidup katanya.”  Nafas dihela dalam sebelum menyambung.  “Nikmat hidup ni, apabila kita bahagia dalam reda Tuhan.  Abang tahu Adra sesal sungguh.  Dosa kita ni, kadang-kadang Allah balas dekat dunia dan kalau tak pun, di akhirat.  Kalau kata dunia dah menderita dengan dosa sendiri, dekat akhirat nanti apatah lagi.  Kita tak tahu sakitnya azab Allah macam mana tapi kita percaya yang azab itu menyakitkan.  Abang harap, Adra istiqamah.  Kukuhkan hati demi Allah.  Jangan toleh belakang lagi.  Tinggal segala yang buruk dan menjijikkan tu.  Abang ni penyebab je yang Allah hantar.  Mungkin...”  Kax mencebek.  Dalam hati menyimpan senyum.  “Tapi, diri Adra sendiri dan Allah jelah yang boleh bantu.  Mama dan abang, hanya boleh bagi semangat dan nasihat.  Adra ni dah kira beruntung tahu, sebab jumpa abang...”  Ceh, perasan sendiri.  Kax ketawa. 
Hati Adra tersentuh.  Dia angguk berkali-kali.  Birai matanya basah.  “Terima kasih dekat abang dan mama abang.  Tapi, Adra tak boleh selamanya ada dekat sini.  Sampai masa, Adra akan keluar dan hidup sendiri...”  Senyuman tergaris hambar.  Tapi, sudah cukup membuatkan Kax terpaku sesaat. 
“Kalau kata nak dok selamanya pun, apa salahnya,” balas Kax selamba lantas dia bangkit keluar daripada bilik solat.  Menghampiri mama yang sedang menyediakan makan malam. 
Adra terpaku.  Mencari makna kata-kata Kax padanya yang sudah terlalu pudar warnanya. 


Cp. 4

KAX letak tangan pada dahi.  Kata-kata mama semasa berborak di ruang tamu tadi, membuatkan dia resah. 
“Mama tak selesa Kax rapat sangat dengan Adra.  Mama tak nak cakap lebih, tapi Kax faham apa yang mama maksudkan.  Lagipun, dia tak selamanya dengan kita.  Mama bangga anak mama mampu ubah orang jadi lebih baik tapi jangan salah faham dengan kebaikan yang mama beri pada Adra.  Mama tak boleh nak terima kalau kata korang berdua ada fikir lebih jauh.  Mama tak boleh!”  tekan mama.  Tegas. 
Kax angguk.  Faham tentang apa yang mama risaukan.  Dia tak terfikir sampai tahap tu.  Dia pun tahu nak memilih.  Dia bukan tak ada rupa.  Pendidikan juga ada.  Tapi, kalau dah itu ketentuan, tak boleh nak halang.  Bila mama suarakan, tiba-tiba terfikir.
Mama masih tak faham dan dia sendiri tak mengerti.  Pada mulanya, dia tersepit antara tanggungjawab pekerja amal dan juga seorang Muslim. Tersepit juga dengan keputusan mama.  Tapi, Tuhan mudahkan jalan bila mama setuju dia membantu.  Tak buat dia memilih untuk lepas tangan dan rasa bersalah sendiri.  Tak buat dia memilih jalan tengah.  Tak buat dia berkorban juga.   Tapi, hari ini...
Adra... Kax mengeluh tipis. 


Cp.5

MATA bundar Adra memandang sekeliling.  Kini, suasana dah berubah.  Tapi, airmatanya tetap tak mahu kering.  Semasa berada di rumah Kax, layanan mama baik walaupun terasa dinginnya.  Jika dia tak tunduk pada nafsu, tidak dia di sini menyusahkan orang.  Bila terdengar mama mencadangkan pada Kax agar dia keluar daripada rumah itu, hatinya tersayat lagi.  Andai keluarga sendiri campak dia merata, kenapa nak harapkan orang luar? 
Tapi, mama tak kejam.  Kerana mama dia dah kerja.  Dia bahagia biarpun lelah dengan gaji tak seberapa.  Malah kerap dibuli oleh pekerja lama.  Tak apalah kalau ini permulaan hidup yang baik. 
Adra tunduk memeluk lutut di bilik stor setelah penat mengerah tenaga membersih peralatan memasak.  Saat menyentuh pipinya yang basah, airmata ini mengingatkannya pada   kesukaran dia memujuk hati untuk keluar daripada rumah Kax. 
Matanya memandang pintu  yang terkatup rapat.  Bagai terdengar ketukan mama tempoh hari.  Lalu, wajah itu muncul tanpa riak. 
“Boleh kita cakap?”  Mata mama jatuh tepat pada anak mata bundar milik Adra.  Anak mata baru lepas menangis.  Adra cantik dan sopan tapi siapa sangka, gadis ini pernah terlanjur dan melahirkan anak.  Sayangnya.  Masa depan, pelajaran dan keluarga...
 “Adra, aunty bukan nak halau Adra dari rumah ni tapi Adra pun mesti faham.  Dalam rumah ni ada anak bujang dan Adra bukan muhrim untuk Kaxarudin.  Apa-apa je boleh jadi.  Bukan tak percaya tapi lebih baik aunty hati-hati,” luah mama tenang. 
Adra dah berubah.  Adra solat, menutup aurat dan ada masanya menangis sendiri.  Tapi, syaitan itu tak pernah lelah menghasut.  Boleh jadi anak dia  yang tewas.  Dia tak mahu tu. 
“Adra...”  seru mama bila Adra diam memandang lantai.  “Aunty bukan tak suka kamu.  Jangan salah faham.  Aunty nampak kamu berubah dan betul kata Kaxarudin, kamu pernah silap tapi kitalah – keluarga dan masyarakat yang perlu bagi ruang dan peluang.  Tapinya, Kax tu lelaki.  Kita tak tahu apa yang terlintas dalam kepala dia biarpun dia anak aunty.  Aunty tak nak...” Kata-kata mama terhenti.  Dia ketap bibir.  Berat nak luah apa yang ditelah. 
“Aunty risau saya dan Kax terlanjur?”  soal Adra separuh berbisik.  Pedih nak katakan tapi dia perlu sebagai peringatan pada dirinya yang pernah silap. 
Mama tertunduk.  Tiada reaksi tapi itulah yang risaukan.  Dia masih prejudis pada Adra biarpun anaknya, terlalu optimis.  Manusia – sering tunduk pada nafsu. 
“Aunty jangan risau.”  Adra senyum memegang tangan mama.  “Saya akan keluar.  Saya dah cukup bertuah jumpa Kax dan aunty.  Kax bawa saya keluar daripada jalan buntu.  Dia selamatkan saya daripada jalan gelap.  Saya tahu saya tak layak untuk terima kebaikan daripada Kax dan aunty.  Aunty bagi makan pakai, tempat tinggal dah cukup baik.  Saya syukur sangat, aunty... tak terbalas jasa aunty dan Kax...”  Airmata Adra kembali mengalir, biarpun dalam senyuman.  Sempit dadanya. 
Agaknya, selamanya dia akan dihukum, dipandang serong.  Tapi, dia tak mahu jatuh lagi.  Kax dah bawa cahaya dan dia akan jaga kecerahan itu biarpun sukar.  Dia akan berusaha.  Wajah mama nampak serba salah.  Tapi, demi kebaikan dia perlu bertegas.
“Nah...”  Sekeping kad diletakkan atas tangan Adra.  “...aunty dah carikan kamu kerja.  Dekat restoran kawan aunty.  Dia nak pakai orang.  Kamu boleh kerja dekat sana dan tinggal di rumah yang disediakan.  Buat masa ni, kerja je dulu.  Jaga diri, jangan ulang apa yang dah pernah jadi.  Yang penting, jangan tinggal solat dan teruslah berdoa.  Sekali dah jadi tu, kesan selamanya,” pesan mama. 
“Ya....”  Adra angguk.  Memang sekali cukuplah  untuk selamanya.  Dia pun tak ingin lagi dijadikan alat pelepas nafsu.  Kesannya sangat mendalam.  Hingga dibiarkan sebatang kara sebelum waktunya.  Teringatkan bayi yang telah tiada.  Mujur Allah bawa pergi di awal usia, jika tidak bagaimana kesannya, dia sendiri tak mampu fikirkan.  Hikmah semua tu.  Jauh di sudut hati, kesepian dan kesedihannya mewujudkan rindu yang menggebu pada lelaki itu.
Biarpun berat hatinya hendak meninggalkan tawa dan nasihat Kax yang sentiasa mendamaikan resah, dia harus pergi dan dia tahu, Allah sentiasa menemani jalannya. 
Padan muka aku.  Memang layak dilayan begini.  Menjadi hamba.  Bodohnya dia menyerahkan segala yang tak perlu pada jantan yang  mencintai sekadar pada kata dalam usia yang muda.  Dibuang daripada universiti, dihantar ke rumah perlindungan, kehilangan bayi dan keluarga juga kawan-kawan.  Itu perkara lalu dan sekarang dia terus melangkah.
Saat dia jumpa Kax, dia yakin ada sinar kerana Kax sudi membantu tapi kata-kata mama benar.  Dia perempuan yang rosak.  Rosak segalanya.  Dia pegang selendang yang dipakai.  Dia berubah ke arah kebaikan tapi masyarakat malah keluarga sendiri payah nak terima perubahan.  Kenapa mahu direnung pada titik hitam sedangkan dia sedang menghamparkan sebidang kain putih demi memulakan kehidupan baru? 
“Adra!”  Daun pintu ditolak dan Adra lap wajah.  Ingatan tentang Kax dan mama berlalu pergi. 
Adra bangkit.  Memandang Tina yang sedang marah.  “Berehat pulak kau, ya?  Dah, pergi ambil order sana.  Lepas ambil order, kau basuh periuk dekat belakang!  Pemalas!” herdik Tina lagi. 
Adra angguk tanpa membantah.  Biarpun dia nampak Tina lebih banyak masa lapang tapi biarlah dia mengalah.
Meja bulat itu dia dekati dengan langkah longlai.  Letih dikerjakan dek Tina.  Pen dan kertas dikeluarkan.  “Boleh saya ambik order, encik?”  tanya dia perlahan.  Bersama seulas senyuman. 
“Saya makan nasi campur.  Bagi saya teh ais.  Kau nak air apa, Nuar?” 
Mendengarkan sepatah nama itu, Adra kerut kening.  Dia pandang wajah pelanggan yang nyata sedang merenung dia penuh minat dengan senyuman sinis pada bibir.  Tangan Adra menggeletar.  Terasa kecilnya dunia. 
“Dia tahu aku suka minum apa...”  Nuar sengaja bersuara begitu.  Dia pun terkejut.  Tadi masuk, nampak wajah yang dia kenal biarpun dah bertudung dan sangat lain perwatakannya.  Tapi, setiap inci jasad itu dia kenal dengan baik.  Mana parut dan tahi lalat, pun dia tahu. 
“Err... sa...ya, tak tahu...” Spontan Adra menjawab.  Gagap.  Segalanya tentang Nuar dia dah lupakan.  Dia terus berlalu ke dalam, membawa order.  Seluruh jasad dia menggeletar.  
Hilang saja jasad Adra, Nuar pandang kawannya. 
“Siapa? Kau kenal ke?” 
Nuar sengih.  “Bekas aku...”  Penuh makna dia bersuara.  Memang bekas dia.  Apa  yang dihajati dapat.  Boleh dikatakan Adra adalah yang paling hot dekat kampus.  Cantik, anak orang kaya.  Tapi, kalah dalam pelukan dia.  Buat dia rasa menang tapi sekarang, melihatkan keadaan Adra, dia tertanya pulak.  Tercuit jugak hati lelakinya tentang gadis yang pernah dia rosakkan. 
“Serius?  Gila cantik weh...” 
Senyuman sinis Nuar tergaris.  Dia angguk.  Kalau tak cantik, masakan aku gila dekat dia dulu.  Nuar hanya diam tak berkata apa.  Bila Adra kembali membawa minuman, dia berdebar sendiri.  Rindu ke?


Cp.6

KEPALANYA rasa nak pecah.  Hati terasa sakit sangat.  Selepas hari tu tak sudah-sudah Nuar datang mengganggu.  Sengaja diungkit kisah zaman jahiliahnya.  Zaman keterlanjuran.  Zaman kegelapan.  Zaman yang mahu dia lupakan.  Kalau boleh dia nak buang jauh ingatan itu.  Pada Tuhan dia bermohon, moga ditabahkan hati. 
Bila menangis kerana kekesalan diri, dia kerap kali teringatkan Kax.  Sejak dia keluar, Kax tak pernah menjejaki.  Dia rindu mahu mendengar suara itu memujuk tapi dia siapa.  Sekarang, Nuar dah kembali.  Rasa payah untuk menapak.  Terasa berat kayuhan kaki.  Bagaimana hendak dia melangkah, sedangkan merangkak pun payah? 
Hari ini juga sama.  Nuar datang lagi tapi bersendiri.  Dan, seperti biasa diarah oleh Tina, dia terpaksa mendekat pada pelanggan.  Masa sedang membersihkan meja, tangannya dicapai kemas.  Adra kaku.  Dia cuba menarik tangannya  kembali tapi Nuar lagi gagah. 
“I miss you,” bisik Nuar. 
“Nak order apa,  ya?”  Adra buat tak tahu.  Masih cuba meleraikan pegangan Nuar.  Dia bukan Adra yang lama.  Dia dah berubah.  Cukuplah sekali dia izinkan lelaki asing menyentuhnya.  Mati hidup balik pun dia tak sudi lagi. 
“I miss you,” tekan Nuar sekali lagi. 
“Tolonglah, Nuar...”
“At last!”  Nuar mengeluh.  Tangan Adra kian kemas digenggam.  “Dengar juga suara awak panggil nama saya.  Saya tahu awak kenal saya.  Saya masih ingat awak dengan baik.  Adra, saya rindu awak,” akui Nuar tanpa silu.  Dia pandang Adra tak lepas.  Cantiknya.  Berseri.  Kemudian, matanya jatuh pada perut Adra yang kempis terlindung di balik baju-T yang besar. 
“What happened?” 
Adra mencebek.   Dia tahu Nuar maksudkan.  Nuar maksudkan kandungannya dulu.  Kandungan yang Nuar pandang jijik saat dia merayu lelaki ini bertanggungjawab atas keterlanjuran mereka. 
“Allah dah bantu aku apa yang sepatutnya.  Tak perlulah kau ambik tahu.  Kalau tak apa nak order, aku nak ke belakang.”  Adra cuba rentap tangannya tapi tubuhnya kaku bila ada suara memberi salam. 
“Assalamulaikum?”  Kax ukir senyuman biarpun dalam hati rasa menggelegak melihatkan layanan lelaki ini pada Adra. 
“Waalaikummussalam... err abang?”  Wajah terkejut Adra tak mampu disembunyi.  Apatah lagi tangannya masih dalam genggaman Nuar. 
“Tak elok kau pegang tangan Adra.  Dia bukan isteri kau.  Bukan juga adik atau  kakak.  Tak manis orang tengok.  Eloklah kau lepaskan,”  pinta Kax tenang.  Sebenarnya dia rasa nak tumbuk je muka Nuar.  Tapi, dia tahan hati.  Sabar.  Dia tak nak berkasar.  Bukan caranya.  Dia di sini kerana kekuatan dan keizinan yang mama berikan.   
“Dah kau siapa nak menyibuk?  Pakwe dia ke apa?”  Dia dengar Adra panggil abang tadi.  Terkejut jugalah. 
Tapi, Kax diam dan diam itu buat Nuar tercabar.  Dia lepaskan tangan Adra dan senyum keji pada Kax.  “Kau tahu tak yang dia ni bekas aku?  Setiap inci tubuh dia pun aku tahu...” 
Riak wajah Adra berubah. Birai matanya basah.  Dia pandang Kax bagai merayu moga dihentikan segala ini.  Telinga dia bernanah dan hati dia luluh.  Kax guriskan senyuman pada Adra sebelum merenung Nuar. 
“Aku yang jumpa dia tepi lorong.  Mana boleh aku tak tahu kisah korang berdua tapi pada aku, tak perlu nak ungkit kisah lama.  Dia dah berubah.  Kau ada masalah ke dengan perubahan dia sebab kau sendiri masih tak berubah?”  sembur Kax pedas.  Biarlah dua-dua makhluk ini terasa moga tak tersalah langkah lagi. 
Nuar gamam.  Dia pandang keduanya silih berganti sebelum menapak keluar daripada restoran.  Tina yang memandang hanya kerutkan wajah.  Adra pula, dah menitis airmata.  Hanya Kax tenang dalam senyuman.    
Adra hilang kata.  Antara masa lalu yang gelap dan masa depan yang belum lagi pasti, dia dah tak mahu terkorban.  Tergadai diri atau tergadai perasaan, dua-dua tak mahu.  Dia rasa tersepit sendiri. 
Perlukah dia mengambil jalan tengah? 


Cp.7

KINI, kenallah Kax pada lelaki yang bawa sisi hitam dalam hidup Adra.  Tapi, itu kisah lalu.  Sekarang, hal antara mereka saja.  Bila mama khabarkan yang Adra telah keluar daripada rumah, Kax terhenyak sendiri.  Harus dia relakan.  Mereka tiada apa-apa hubungan dan memang kerisauan mama bertempat.  Dia rela biarpun saban masa mengintai daripada kejauhan.  Bahagia bila melihat Adra kekal manis dan sopan bertudung.
“Adra sihat?” 
Adra angguk.  Kax senyum.  Adra langsung tak pandang dia. 
“Kenapa keluar tak bagitahu abang?  Telefon pun tak…”
“Maaf...”  jawab Adra ringkas.  Dalam hatinya nekad.  Dia dah bulat hati dengan keputusannya. 
Perbualan mereka hambar.  Kax meraup wajah.  Dia buang pandang jauh ke tengah taman.  Lepas minta izin daripada tauke Adra, untuk berborak dengan Adra sekejap. 
“Adra dah berubah.  Dah tak nak cakap dengan abang,” luah Kax sedikit sayu. 
“Maaf...”  Sekali lagi.
Kax ketap bibir. “Untuk apa minta maaf?” 
“Sebab abang kena tengok masa lalu Adra...”
“Bukan abang tak tahu, kan?”  selar Kax, geram.  Memang geram.  Tak kanlah dia je yang rindu Adra tapi Adra tak ingat dia langsung.  Tak nak rindu pun tak apalah, janji ingat.  Dia dah berterima kasih.  Tapi ini...
“Adra tak rindu abang?” 
Soalan Kax benar-benar buat Adra keliru dan kehilangan kata.  Mahu tak rindu.  Saban masa dia rindu tapi dia tak mampu.  Hanya doa saja dia titipkan.  Dia sedar dirinya.  Dia tak layak untuk Kax.  Lagipun, mama mesti melarang keras. 
“Kalau kata tak rindu, ingat pun tak?” 
Masih tak ada jawapan.  Kax bangkit.  Dia sebenarnya bawa berita baik.  Sungguh, dia tak kisah langsung tentang hal lepas.  Mama pun dah terima biarpun berat hati.  Setidak-tidaknya, mama tak membenci.  Adra layak bahagia dan dia sudi menjadi pembimbing buat Adra.  Tapi, nampaknya kebisuan Adra buat dia buntu. 
“Tak apalah.  Abang saja datang tengok Adra okey ke tak.  Pasal Nuar tu, abang yakin dia tak datang lagi.  Kalau ada, telefon abang.  Abang datang ni bawa berita baik tapi nampaknya masa tak sesuai.  Apa yang abang nak Adra tahu, tempat Adra sentiasa dalam hati abang saat pertama kali Adra menangis sebab nak cari jalan lurus.  Dan, abang nak kita pilih yang tepat bukan sekadar ambik jalan untuk lepas diri daripada masalah.”  Kax bangkit.  Dia pandang Adra yang sedang tunduk.  “Boleh abang nak tanya sesuatu...” 
Adra angkat kepala.  Merenung Kax.  Matanya basah tapi tiada kata mampu diungkapkan bila keputusan dia bagaikan dah nekad.    
“Abang ada depan Adra sekarang.  Tunggu Adra.  Adra nak jalan terus pada abang atau nak pilih jalan lain?” 
Soalan Kax dicerna dengan baik.  Adra tunduk.  Menarik nafas dalam sebelum memandang Kax semula.  Kax baik tapi dia tidak. 
“Adra tak nak terkorban perasaan atau jasad lagi, bang.  Terima kasih bantu Adra cari jalan pulang tapi Adra dah buat keputusan untuk pilih jalan yang tak akan buat sesiapa serba-salah...”  Dia terus berlalu setelah bersuara. 
Kax terkedu.
Adra menangis. 


Cp.8

“MANA boleh dia ambil jalan mudah gitu nak lepaskan diri?  Mama tahu mama banyak fikir negatif pasal dia tapi mama tak sangka dia tolak Kax...”  Mama mengeluh.  Tapi, dia tahu anaknya tak mudah mengalah.  Seperti mana Kax memujuknya dan sekarang dijejaki keluarga Adra, memujuk dan merayu malah meminang. 
Kax mengulum senyum.  “Jalan mana pun Adra pilih, kalau destinasi itu sama Allah akan temukan juga kami ni, ma...”  Kax pejam mata.  Pertemuan dengan  keluarga Adra beberapa hari lepas terbayang.  Susah dia nak pujuk tapi bila dia cerita segalanya dan dia menghulurkan pinangan, mereka semua terkedu.  Bagai tak percaya, masih ada yang sudi menerima Adra.  Padanya, Adra suci.  Suci bila sudah berubah.
“Kalau kata Adra diberi peluang oleh Allah yang satu untuk nikmati hidup setelah salah jalan, kita ni siapa nak menghukum?”  Kata-katanya itu buat semua orang terkedu.  Keluarga Adra lebih-lebih lagi. 
“Dah tu macam mana?” 
Wajah Kax tenang.  “Kax ada kejutan untuk dia.  Kalau kali ni dia tak terima Kax lagi, anggap jelah kami tak berjodoh dan adalah yang lebih baik untuk dia tu...”  Positif.  Dia dah atur satu hadiah yang tak ternilai buat Adra. 
Dia mahu cuba sekali lagi.  Hatinya kuat mengatakan Adra akan terima tapi kuasa tak di tangannya.  Cuma, tak salah cuba lagi bila dia rasa Adra pun sayangkannya. 
“Kalau gitu, jomlah kita pergi,” ajak mama tak sabar.  Rasa bersalah pada Adra menguasi diri. 
Kax senyum dan angguk. 


Cp.9

AIRMATA jadi peneman.  Adra kelu seribu bahasa.  Melihatkan mummy dan daddynya muncul di restoran tempat dia bekerja memang hampir buat dia menjerit macam orang gila.  Terus dipeluk tubuh mummy dan daddy bila mereka keduanya memberi salam. 
Di bahu mummy, Adra teresak-esak.  Tak dihiraukan mata yang memandang.  Apa nak dikata, kata jelah.  Dia dah terlalu rindukan mummy dan daddy.  Saat ini juga, rindu pada lelaki itu semakin berat.  Kesal pula menolak bila orang dah sudi. 
Pelukan terlerai.  “Mummy dengan daddy minta maaf sebab abaikan Adra.  Patutnya kami beri sokongan moga Adra terus berubah...” Airmata Adra diseka. 
“Dan daddy bersyukur sebab Adra dah berubah dan terima kasih pada yang membuka jalan tu...”  sampuk daddy.
Adra mengangguk.  Orang tuanya tak kenal lagi siapa yang membuka jalan tu.  Memang Tuhan yang memberi ruang tapi yang menuntun tangannya itu... adalah lelaki yang dia cintai kerana Allah.    
“Mummy dengan daddy nak terima Adra balik, kan?”  soal Adra sebak. 
“Tak nak...”  Tegas jawapan diterima.  Mummy dan daddynya senyum.  Airmata Adra makin laju mengalir.  Dia sudah terlalu berharap.  Tapi, kecewa lagi. 
“Mummy dan daddy Adra tak terima Adra kalau Adra tak terima pinangan abang.” 
Adra angkat wajah mencari suara itu.  Gamam!  Muncul Kax dan mama di belakang orang tuanya.  Tangisnya terhenti.  Kaku tanpa senyuman. 
Terkejut!
“Nak terima tak?”  soal Kax lagi sekali. 
Adra diam.  Dia pandang mama.  Mata mama berkedip sekali, memberi izin.  Kemudian, dia paut tubuh mummy erat sambil memandang tepat pada Kax.  Kax yang sedang tersenyum tenang menanti jawapan. 
Dia pernah pilih jalan selamat kerana takut kecewa dan jatuh lagi.  Tapi, rupanya pilihan yang dia ada juga selamat untuk dia lalui.  Dan, Kax adalah jalan lurus untuknya terus mencari jejak ke syurga. 
Adra senyum dalam tangisan.  Dia angguk di bahu mummynya.  Dan, senyuman itu dibalas oleh Kax.  Tipis tapi cukup memberikan makna yang mendalam.



-END-

RM says : Yang putih tak akan selamanya kekal putih dan yang hitam tak selamanya kekal hitam.  Allah bless.

38 comments:

  1. U alwayz make one story different with another's :)

    ReplyDelete
  2. jalan cerita yg best..mntis air mata.syabas rm

    ReplyDelete
  3. Sedapnya cerita... tak pernah menghampakan saya.. terima kasih utk cerpen yg best ni

    ReplyDelete
  4. Sedapnya cerita... tak pernah menghampakan saya.. terima kasih utk cerpen yg best ni

    ReplyDelete
  5. x prnah menghampakan...klau jdikan e-novel lagi menarik

    ReplyDelete
  6. Terubat rasa hati ni....saban hari ,saban minggu...tertunggu tunggu, ternanti nanti...akhirnya.RM syabas....

    ReplyDelete
  7. As always, superb & tak pernah menghampakan.....

    ReplyDelete
  8. Ya Allah, baik sungguh Kax n mamanya. Geram btul dgn keluarga Adra yg menolak dan menyisih Adra. Namun di sisi yg lain, mungkin itulah pembuka jalan untuk Adra bertaubat (nasuha) & berubah.

    ReplyDelete
  9. Superb....sayang RM....tak diduga tak tahu dalamnya cinta...tak diuji tak tahu teguhnya IMAN.

    ReplyDelete
  10. sentiasa merindui bait2 kata dari kak rehan..dan bila ia tiba,xkan pernah menghampakan..

    ReplyDelete
  11. Thumbs up rehan...
    Meaningful...

    ReplyDelete
  12. Thumbs up rehan...
    Meaningful...

    ReplyDelete
  13. Kenapa rasa mcm pendek Hehh. Huhu betul3 meaningful

    ReplyDelete
  14. Kisah RM yg senantiasa ada makna tersirat, sgt2 dihargai!!
    ~ Kak Aminah AR

    ReplyDelete
  15. simple tapi penuh pengajaran ..

    ReplyDelete
  16. TQ RM. Penuh dgn nilai2 murni. Yg putih tak akan kekal selamanya putih jika tak berpegang pd Yang Esa. Dan yg hitam tak selamanya hitam jika sudah temui cahayanya. Pokok pangkalnya ..semuanya adalah atas kehendak-Nya.

    ReplyDelete
  17. rse mcm pndek...hehe..ngada kn nk pnjg2..haha..pape pn best...xpnh menghampakn ktorg..suke2..

    ReplyDelete
  18. macam2 rs bile baca cite nie.. huhuhu... ape pun TERBAIK!!!!!

    ReplyDelete
  19. Karya kak rehan memang senang menyentuh hati.. x pernah kecewa.. setiap bait ada sungguh bermakna dan mempunyai maksud yg tersirat yg boleh membuatkan para pembaca celik minda tntang kasih sayang Allah yg tiada tandingan dengan kasih sayang manusia.. ;)

    ReplyDelete
  20. terima kasih untuk cerpen terbaru ni.. bestt sangt

    ReplyDelete
  21. seperti biasa....x pnh mghampakan...terbaikkk...RM..

    ReplyDelete
  22. Rindunye cerpen RM!!

    ReplyDelete
  23. Menyentuh perasaan... Terbaik...

    ReplyDelete