Tuesday, March 17, 2015

Encik Sederhana 2

BAB 2

            WAJAH Yuyu mendung  habis selepas bersua empat mata dengan Fateh semalam.  Kesian jugak dekat anak dara seorang ni.  Dahlah dipaksa balik.  Walaupun cuti sekolah, dia tahu Yuyu sibuk dengan perancangan semester baru.  Lagipun, dengar kata ada program hujung tahun dengan pelajar.  Entah.    

“Cuba abang tengok.”  Hajjah Haniah mencuit suami yang sedang menonton TV.  “Yuyu ni tak suka ke kita carikan calon suami untuk dia, bang?”  Terus dia menyambung bila Hajjah Ahmad berpaling.
“Eh, tak kanlah.”  Mata Haji Ahmad juga memandang pada puteri sulung yang termenung sendiri di sudut sana.  Dekat dengan pintu gelangsar.  Mengelus langsir yang sesekali diterkam angin. 
 “Boleh jadi kot, uminya.”  Mata isteri dipandang daripada atas cermin mata.  Dalam hati risau juga.  Boleh jadi telahan isteri dia betul.  Tak kanlah kena paksa?  Tapi, tak ada pulak Yuyu menolak.
“Buatnya dia tak nak?”  duga Hajjah Haniah pula.  Kalau betul tak nak, dia tak nak paksa.  Bahagia Yuyu yang terpenting.
“Ala, ini semua cadangan.”
“Tapi, kita dah setuju.”  Laju Hajjah Haniah mencantas.  Suami dia ni lupa ke apa?  Bukan ke diorang dah terima dalam majlis merisik masa sebelum Yuyu balik tu?  Haih…
“Eh, abang lupa.”  Haji Ahmad sengih.  Kemudian dipandang semula pada Yuyu.  Jauh betul mengelamun.  Dahlah dua tiga hari lagi nak kena balik sekolah dah.  Nak ajak bincang pun, Yuyu banyak diamkan diri. 
Kalau zaman dulu, diam tu tanda setuju.  Tapi itu dulu.  Ini zaman canggih sangat.  Semua tonggang-terbalik.  Diam tu dah jadi tanda tak setuju.  Yang terkinja-kinja itulah tanda setuju.  Tapi, Yuyu tak terkinja pun.  Wajah pun monyok tak sudah. 
“Abang pergi bincang dengan dialah,” suruh Hajjah Haniah. 
“Eh, awak umi dia.  Perempuan lebih faham isi hati perempuan,”  bantah Haji Ahmad.
Isterinya merengus tipis.  “Abang ni kena tahu jugak.  Kami perempuan ni, ada masanya tak mengerti sesama sendiri.  Nak juga pandangan lelaki.  Lagipun, bakal menantu kita tu, lelaki.  Anak kita ni perempuan.”
Memikir Haji Ahmad dua saat dengan kata-kata isterinya.  Ada betul jugak.  Perempuan ni, memang complicated.  Tapi, yang complicated inilah yang menceriakan hidup.  Dia sengih.  
“Kita sama-samalah.”
Isterinya angguk.  Bangkit dan terus mendekat pada Yuyu.  Dilabuhkan duduk.  Nyata, anak dara ini masih mengelamun. 
“Hai, baru jumpa sekali dah pandai rindu?  Siapa ajar rindu lelaki bukan mahram segala ni?”  Diperli Yuyu.  Barulah budak ni sedar. 
Dahi licin Yuyu berkerut.  Dibetulkan ikatan rambut.  Ayah dengan umi ni, suka betul mengusik salah timing
“Ayah cakap apa ni?  Yuyu rindu siapa?”  Dia buat-buat tak mengerti biarpun dia memang sangat jelas akan siapa yang ayah maksudkan. 
“Yalah.  Ayah gurau aje.  Ni umi nak tanya.”  Dikerling isteri dengan sengihan manis.  Tersusun cantik gigi palsunya. 
Eh, kita pulak.  Tapi, Hajjah Haniah tetap teruskan kata. 
“Ni, umi dengan ayah nak tanya.  Yuyu lepas balik daripada jumpa Fateh, terus berkurung.  Diam tak berkata.  Adik sampai tanya Kak Yuyu mana.  Adik ketuk bilik, Yuyu kata nak tidur.  Kami ajak sembang Yuyu ngelak.  Yuyu ni, kalau tak nak terima umi dengan ayah tak paksa.  Kita boleh tolak cara baik,” pujuk Hajjah Haniah.
Wajah dia rasa mendung tiba-tiba bila hati dibadai sebak.  Entah kenapa.  Dia kenal budak Fateh tu.  Baik budaknya walaupun ada masa sangat lurus dan dingin.  Anak tunggal kawan usrah dia tu memang calon pemimpin yang baik. 
Mendengarkan kata-kata dan air wajah umi dan abah yang diam, Yuyu kuatkan semangat.  Dia bukan apa.  Dia masih tak sedia.  Dia risau tak dapat tunaikan tanggungjawab sebagai isteri.  Dia takut.  Lagipun, banyak lagi janji dia pada umi dan ayah tak terlangsai.  Dia risau nanti, dia harus belakangkan ayah dan umi setelah adanya Fateh. 
“Yuyu…”  Bicara Yuyu gagap.  Nak sebut nama sendiri pun dah hilang kekuatan.  Mata menentang mata umi dan ayah. 
“Umi dengan ayah jangan salah faham.  Bukan Yuyu tak setuju, tapi Yuyu macam perlu waktu untuk kenal dia.  Untuk sesuaikan diri.  Yuyu takut umi.  Yuyu nak berbakti pada orang tua Yuyu dulu, ayah.” 
Jelas.  Walaupun tak menolak tapi kata-kata Yuyu jelas dia berat hati.  Umi dan ayahnya saling memandang.  Kemudian, Haji Ahmad senyum pada Yuyu.
“Macam ni, Yuyu.  Benar.  Kita sebagai orang Islam ni wajib dahulukan Allah, Rasulullah saw dan mak ayah.  Tapi, bila anak perempuan dah kahwin dia perlu dahulukan suami di depan setelah Allah, Rasulullah dan barulah kami - ibu bapa.  Tapi, Yuyu kena ingat.  Hubungan kita tak kan putus.  Dan, calon yang ayah dan umi cari tu umi dan ayah berani jamin, dia boleh tumpang.  Dia tak kan letak Yuyu dalam keadaan tersepit antara suami dan ibu bapa…”
“Kalau dia letak jugak?”  cantas Yuyu tak sempat Haji Ahmad menyambung.  Matanya berkaca dengan air jernih.  Terharu dia. 
“Kalau dia letak jugak Yuyu dalam keadaan tersepit, kenanglah yang ketaatan Yuyu tu ganjarannya syurga.  Itu janji Allah.  Dah pernah jadi pada zaman Rasulullah.  Tapi, insyaALLAH.  Fateh tu tak kejam.  Dia pun anak tunggal.  Dia mesti berharap Yuyu boleh jagakan orang tua dia jugak.  Kami ni, kan… Arasy ada.”
Ya, anak lelaki bongsu dia masih ada.  Masih belajar.  Masih tinggal bersama dan Alhamdulillah – boleh diharapkan juga.  Jadi, tak ada apa yang nak dirisaukan. 
“Tak apa yang Yuyu nak risaukan,” pujuk ayah lagi.
“Melainkan…”  Laju umi menyambung.  Tapi, terhenti seketika. 
“Yuyu yang tak berkenan.  Dah ada pilihan sendiri, umi dengan ayah tak kisah.  Lagipun, Fateh pun bukan jenis memaksa.  Dia ada bagitahu umi dengan ayah…”  Bicaranya dibiarkan tergantung. 
Yuyu kerut kening.  Fateh cakap apa dekat umi dengan ayah?  Ish, musykil ni.  Sejak bilalah jadi partner in crime ni?  Tapi, dia malas nak tanya.  Pesanan Fateh berlegar dalam kepala.  Dahulukan orang tua.  Tanya pendapat ibu bapa.  Memang betullah gamaknya kata-kata umi dan ayah, Fateh tu jenis macam mana.  Tapi, suka betul sindir orang. 
“Erm, ni, mi… yah.”  Tubuh ditegakkan.  Nafas dihela dalam.  Dia kena kuat untuk bertanya apa yang Fateh pesan.  Sekadar pandangan. 
“Fateh kata dia tak nak tunang lama.” 
Umi dan ayah angguk.  Dah tahu.  Keluarga Fateh dah bagitahu syarat tu.  Dan syarat-syarat lain juga. 
“Yuyu pun sama.”  Kali ini udara disedut lebih lama sebelum dilepaskan panjang.  
“Yuyu ingat nak tunang dalam dua minggu aje.  Kahwin sebelum buka sekolah.  Kira dalam cuti sekolah ni jugaklah.” 
Amboih!”  Umi dan ayah terjerit serentak dengan wajah terkejut.
Berkerut dahi Yuyu.  Dah agak.  Pasti umi dan ayah terkejut.  Tapi, ini untuk kebaikan.  Bukan apa.  Tunang lama-lama nanti, bimbang ada yang berubah haluan.  Kalau dia yang berubah haluan, tetap mendatangkan fitnah.  Apatah lagi kalau Fateh yang berubah.  Rasanya lagi teruk dia difitnah. 
“Tak okey ke?”  Dia sengih.  Terasa janggal dengan renungan umi dan ayah.  Tapi, tak lama.  Umi dan ayah saling ketawa.  Ayah menggeleng.  Entah apa yang lucu.  Dia juga yang kembali mati senyuman.  Berkenan sungguh ayah dengan umi dengan Fateh ni. 
“Suka betul umi dengan ayah dekat dia, kan?”  Renungan redup dilempar pada keduanya. 
“Eh, umi dan ayah suka bila Yuyu suka.  Yang nak kahwin awal sangat ni, kira Yuyu pun suka dia jugaklah, ya?”  soal Hajjah Haniah.
Ermm.  Keluhan tipis terbit daripada celah bibir Yuyu.  Dia tongkat dagu.  Merenung ke laman yang sekangkang kera.  Entahlah suka ke tak.  Rasanya macam tak ada apa-apa perasaan. 
“Bolehlah daripada tak ada,” balas Yuyu perlahan.  Lebih pada diri sendiri.
Yalah.  Sejak zaman UPSI, manalah ada kawan lelaki.  Orang takut agaknya nak tegur dia.  Dia pun tak kisah.  Padahal umur baru nak berganjak ke angka 25.  Muda belia lagi.  Tapi, betullah pesan ayah dulu.  Anak gadis elok kahwin cepat. 
“Kira jadilah ni?”  Suara Haji Ahmad teruja.  Rasa nak telefon Haji Murad sekarang jugak.  Tapi, kejap lagilah. 
“Kalau gitu, kira jadilah.  Ayah setuju ajelah kalau itu kata Yuyu.  Dan kalau Fateh pun dah setuju.  Nanti ayah cakap dengan orang tua dia,” putus Haji Ahmad.  Tersengih pada isterinya. 
Syukurlah.  Perancangan yang dah lama ini dipermudahkan.  Tanda Allah memberkati jodoh yang ditempa di syurga ni. 
“Ni bukan kira kahwin paksa, ya Ayuni?”  Hajjah Haniah sengih.  Saja nak usik.  Bukan apa, tak naklah depan hari timbul yang umi dengan ayah paksa kahwin pulak. 
“Ish, umi ni. Sebab tu pilihan umi dan ayah, Yuyu rela.  Eh, nak naik call bakal tunang Yuyu la.  Rindu sangat ni.”  Terus dia bangkit setelah berkata demikian pada umi dan ayah.

Hajjah dan Haji tahu sangat.  Yuyu sedang berlakon.  Saja nak kenakan diorang la tu.  Tak terkesan pun.  Mereka hantar kelibat Yuyu dengan senyuman syukur.  

2bCont...

Lama, kan?  Hee... 

6 comments: