Monday, September 05, 2016

Black Swan 16

ENTAH kenapa, setelah sekian lama dia rasa nak mengintai di balik tingkap.  Disingkap langsir dan bila dia memandang ke taman permainan yang dah tak berupa taman itu, dahi Isra berkerut.  Orang yang sama.  Dia yakin.  Lelaki yang berjaket hitam, mengenakan topi hingga tak nampak wajah.  Jeans koyak.  Duduk di atas bangku dan mendongak sedikit. 

Siapalah dia?  Tunggu siapalah?  Setelah sekian lama tak ada, malam ni muncul pulak.  Isra padamkan lampu.  Dia kuak sedikit lebar langsir agar tak menganggu pandangannya.  Pandangan yang sedikit terhad.  Teringat pada Zam.  Lelaki itu langsung tak muncul.  Dia ternanti beg pakaiannya tapi sampai sekarang, Zam masih tak muncul.
Hanya Pak Zaman yang telefon dia petang tadi.  Bertanya khabar dan dia begitu berat hati untuk menyebut nama Zam.  Bimbang Pak Zaman salah faham.  Sudahlah orang itu berbudi, tidakkah dia perlu berbahasa? 
Dia tak nak jadi seperti anjing yang dilepaskan daripada tersepit.  Dah dilepaskan, tangan orang pula digigit.  Dia dan Zam, seperti itulah diibaratkan.  Pak Zaman dah beri banyak.  Dia tak akan meminta lebih.  Lagipun, siapalah dia. 
Isra pandang skrin telefon.  Ini pun pemberian Pak Zaman.  Begitu banyak dia terhutang budi. 
Pak Zaman.
Nenek. 
Dan Arel. 
Tapi, Zam… dia senyum sinis pada diri sendiri.  Lelaki itu hanya pandai berbicara.  Lebih elok andai bicara itu melukakan hati kerana hati dia sudah begitu ampuh untuk terima segala caci maki daripada menghadap janji. 
Janji yang telah dimungkiri! 
Entah kenapa, rasa sebu hatinya.  Rasa nak meraung.  Bukan kerana sakit luka tapi kerana parut lama.  Isra pandang sekali lagi ke bawah.  Matanya mula tercari.  Susuk tubuh sasa itu sudah tiada.  Hilang dalam kepekatan malam.  Dia lebarkan bukaan tingkap.  Menjegilkan mata mencari sasaran.  Dan, akhirnya nampak lelaki itu menapak berlalu.  Susuk tubuh yang pernah muncul dalam kisah hidupnya sejak dulu.  Yang dirasakan selalu mengekori langkahnya biarpun itu hanya perasaan. 
Jika hendak menyakiti dia, kenapa tidak dulu?  Atau sebenarnya, target lelaki itu adalah bukan dia?  Entahlah.  Baru nak ditutup tingkap, SMS masuk ke telefonnya. 


            -Dah jumpa Zam? 

Pak Zaman?  Isra kerut dahi.  Bila masa Zam datang?  Tak cakap pun.  Ya, selain Zam dan Pak Zaman, tiada siapa tahu tempat tinggal dia.  Dan sekarang, Arel juga dah tahu Cuma tak tahu rumah yang mana.  Rasanya Zam juga tak tahu.  Hanya Pak Zaman sorang yang tahu rumahnya yang mana. 
Sepi… bersendiri sejak dulu biarpun dia hanya duduk di dalam sebuah bilik.  Tak ditanya mana penghuni yang lain.  Elok juga jika kosong.  Dia lebih suka begini. 

            -Saya tak jumpa Zam pun, Pak Zaman.

Isra beralih semula ke tingkap dan saat ini SMS Pak Zaman masuk lagi.


            -Dia kata nak tengok kamu buat kali terakhir.

Berlapis-lapis kerutan pada dahi Isra membaca SMS Pak Zaman.  Kali terakhir?  Zam nak pergi mana?  Kenapa lepas Zam cambahkan benih, Zam nak biarkannya tanpa dijaga?  Tanpa disiram air atau dibaja?  Bagaimana benih itu mahu bercambah dan terus tumbuh mekas mewangi? 
Anehnya. 

           
            -Zam dah habis cuti ya, Pak Zaman? 

            -Ya. Dia nak sambung belajar ke luar negara.


Mata Isra membulat membacanya.  Lemah tenaga pada sendi tangannya membaca pesanan itu.  Jadinya, kerana itu kau berbuat baik pada aku, Zam?  Sebab rasa bersalah?  Sebab nak minta maaf?  Sebab nak kejar cita-cita kau?  Sebab nak terbang jauh?  Bimbang apa-apa terjadi di pertengahan jalan? 
Dia… memang tak pernah reti untuk tafsir setiap tingkah Zamani.  Sejak dulu.  Sejak lelaki itu memarahi dia.  Sejak pertama kali jantung dia seperti berdegup dengan rentak yang indah kerana seorang lelaki. 
Kau… cuba sandarkan lelah kau pada bahu yang salah, Isra! 
Tapi, untuk menoleh pada Arel… dia rasa dirinya tak layak.  Kedua-duanya juga begitu jauh daripada dia.  Dia… perlu ukur baju di badan sendiri. 



WAJAH nenek dipandang.  Isra senyum.  Tahu nenek risau.  Dia pun dah rasa bersalah sebab buat nenek risau. 
“Jangan pandang saya gitulah, nek…”
“Mahu tak pandang.  Nenek ni risau.  Yang kamu datang ni, kenapa?  Dah sihat ke?” 
Isra angguk.  Tersenyum tipis.  Dipegang tangan nenek.  Terasa sejuk.  Teringat pesan Doktor Arel.  Perlu ke dia bawa nenek ke hospital? 
“Nenek tak sihat?”
“Haih… sibuk hal orang.  Nenek orang tua, reti jaga diri.  Lagipun kat sini ramai orang.  Kalau sakit demam, ada orang tengok.  Kamu tu duduk sorang-sorang.  Nasib baiklah ada orang tolong kamu…”
Isra sengih.  Doktor Arel lagi yang berbudi pada dia.  Andai tak mampu dibayar, rasanya sampai masanya dia perlu menyerah diri. 
“Dia datang jenguk nenek masa saya tak ada?” 
Nenek angguk.  “Dia jugak yang cakap dekat nenek, kamu tak sihat.  Ni dah okey ke?” 
“Saya okey.  Nenek tu haa…” 
“Nenek pun okey.  Jangan risau.  Dia dah bawak nenek ke hospital?” 
“Sungguh?”  Mata Isra bulat.  Diam-diam ubi… padanlah kerap tak nampak dekat hospital. 
Bibirnya menggores senyum tanpa sedar. 
“Hai, dah senyum sorang-sorang pulak dah?”  usik nenek. 
Isra ketawa kecil.  Tak sedar tersenyum.  “Habis tu, macam mana kesihatan nenek?” 
“Sihat-sihat orang tua…”  Nenek Kalsom hanya senyum tawar. 
Kepala Isra dibelai.  Rambut yang pernah pendek itu nampak dah mula panjang.  Isra tak potong.  Andai dulu, pandang jejak leher, pasti dicincang pendek.  Tapi ini, dah boleh selit belakang telinga. 
“Nenek ni, sayang kamu Isra.  Biarpun kamu bukan cucu betul nenek, tapi kasih nenek memang tumpah untuk kamu…” 
Dah pulak.  Kenapa nenek buat skrip drama sedih pulak ni. 
“Nenek kenapa cakap gitu?” 
“Nenek dah tua, Isra.  Tak ada sesiapa pun dalam hidup nenek ni.  Sebab bila kita dah mati, kita bawa hanya amal dan sedekah jariah.  Yang menyambungnya lagi adalah doa anak soleh solehah.  Nenek ni apalah kebaikan dan jariah yang nenek ada.  Nenek pun tak tahu.  Anak pun tak ada.  Tapi, bila nenek ada kamu… nenek selalu berangan moga bila nenek tak ada nanti, kamulah yang akan utuskan doa buat nenek di sana.  Nenek nak yang terbaik untuk kamu, Isra.  Tapi, bukan untuk nenek.  Untuk diri kamu sendiri…”  Rambut Isra dibelai lagi. 
Menghantar nasihat dengan begitu lembut dan syahdu.  Airmata nenek bergantung pada alisnya. 
“Kita tidak dilahirkan tanpa sebab, Isra.  Tujuan hidup kita didunia ini begitu jelas.  Andai kamu nak salahkan masa yang telah lalu, tak adil rasanya sebab tidaklah kamu dapat baiki masa lalu kamu melainkan kamu rancang masa depan yang lebih baik daripada masa lalu itu.  Perkara yang pernah jadi, sudah terlalu jauh pergi, Isra.  Jangan dikesali hidup tapi hiduplah dengan penuh rasa syukur.  Bersyukurlah kamu lahir dalam agama kamu sekarang.  Bersyukurlah kamu ada iman dan iman itu akan membawa kamu ke arah yang lebih baik.  Lebih baik daripada yang kamu pernah lalu dan yang sedang kamu lalu.”  Panjang berjela nasihat nenek. 
Entah Isra faham atau tidak, tak tahulah dia.  Tapi, melihatkan Isra tertunduk membisu, rasanya gadis ini mengerti.  Dua helai selendang dibawa keluar.  Diletak atas riba Isra. 
“Apa ni, nek?” 
Nenek Kalsom senyum.  “Untuk kamu mulakan hidup baru…”  Dia tahu, hati Isra sedang diburu.  Cuma hati yang begitu terluka kerana kisah lalu itu masih begitu liar dan sukar untuk dijinakkan.
“Untuk jinakkan hati, untuk suburkan iman.  Mulakan dengan perkara-perkara wajib.  Yang nampak mudah tapi hakikatnya agak payah.” 
Isra tarik selendang tersebut.  Mengerti dengan maksud kata-kata nenek.  Entah bila nenek beli dua helai selendang ni. 
“Yang ungu ni dah lama nenek beli.  Tinggal nak bagi aje.  Yang hijau ni…”  Nenek jeda.  Dagu Isra dipaut. 
“Dia yang bagi…”
“Dia?” 
Nenek senyum.  “Buka hati, Isra.  Jangan hidup sorang.  Sakit demam susah nanti…” 
“Nenek tahu?” 
Nenek angguk.  “Mana boleh tak tahu bila dia mengaku…” 

Lemah jiwa Isra saat ini.  Kenapalah hati yang begitu teguh sejak dulu boleh menjadi luntur hanya dengan tingkah Arel padanya.  

8 comments:

  1. arel ke zam yg bagi??

    ReplyDelete
  2. Waaaa,zam tarik diri ke..huk huk..maknanya yg dok usya Isra tu zam la ek

    ReplyDelete
  3. spa yg isra nk ni?? zam ke arel..pening sudah

    ReplyDelete
  4. Klu la isra tau sbnrnya zam yg tanggung dia selama ni.. dan mungkin juga yg selalu tgk/jaga dia dr jauh, pd sape yg dia decide nk menyerah diri? Thx rehan for the update 🌹🌷

    ReplyDelete
  5. terkesan... berbelah bahagi dlm hati...ce wahhh,terasa saya yg jd Isra plak :)

    ReplyDelete
  6. zam ke arel yang bagi ???? tak nak zam tarik diriiiii......waaaaa

    ReplyDelete
  7. Dari mula baca tetap nak zam as hero. HAHAHA. Sob sob takmau arel

    ReplyDelete