Monday, September 05, 2016

Black Swan 17

DAH dua hari dia masuk kerja.  Dah malam juga, batang hidung Zam langsung tak nampak.  Boleh jadi sebab Pak Zaman dah sihat dan turun sendiri ke kedai.  Jadinya, Zam tak muncul langsung.  Sibuk dengan persiapan gamaknya. 

Itulah dia… orang dah cerdik pandai.  Terbang ke mana saja.  Mengejar cita-cita sendiri.  Isra termenung di depan meja yang baru saja dia lap.  Memandang kosong pada kain lap namun fikirannya jauh dicampak ke merata tempat.  Tak fokus.  Cuma tertanya sendiri, pernah ke dia ada cita-cita?  Entahlah.  Dia sendiri dah lupa apa itu cita-cita.  Pernah ke dia pasang impian nak menjadi seseorang? 
Melihat betapa bangganya Pak Zaman dengan Zam, saat itu dia mahu pasang angan.  Tapi, daripada berangan benda yang tak boleh capai eloklah andai dia hargai peluang yang sedang ada dalam genggaman. 
Dan sekarang, dipertemukan dengan Arel… hati Isra mengeluh tipis.  Bagaimana dia mahu bergandingan dengan putera berkuda putih itu sedangkan dia hanyalah angsa hitam.  Hakikatnya, angsa ini sedang dipandang Cuma dia begitu takut untuk menggantung harapan.  Bagaimana jika dunia sekali lagi menghakimi.  Bagaimana jika putera berkuda putih itu akhirnya jatuh terpelanting sewaktu membawa dia menunggang bersama?  Saat itu, mampukah dia teruskan tunggangannya sendiri?
Tidak! 
Hati Isra kuat menafi. 
“Boleh duduk sini?” 
“Hah?”  Disergah begitu, Isra terpinga-pinga. 
“Ya, boleh…”  Laju dia menoleh dan wajahnya sekali lagi berkerut.  Rambut yang dah sedikit panjang diselit belakang telinga. 
“Err… kalau tak silap…”
Irah sengih sinis.  Dikerling kawan baiknya di sisi kemudian duduk tanpa berkata apa.  Isra cam dia. 
“Kenapa?  Terkejut tengok aku dekat sini?”  Soalan Irah kedengaran kasar. 
Tapi, langsung tak berbekas pada perasaan Isra.  Dia terus lap meja dan mengeluarkan kertas dan pen daripada poket apron. 
“Nak apa, ya?”  soalnya sopan. 
“Bagi ais.  Nak siram dada aku yang menggelegak ni!”  balas Irah jelas marah.
Kali ini, Isra senyum.  Dia patut boleh agak.  Pandangan adik Arel ni tak seperti selalu.  Pandangan itu panadngan yang penuh kebencian.  Yang penuh rasa jengkel.  Jengkel dengan hakikat yang pecah malam tu. 
“Makan?” 
“Hati goreng?  Ada?” 
Rasa nak gelak pulak dia dengan sikap kebudak-budakan adik Arel ni.  Padanlah kalau Arel terlalu risau pun.  Tengok gaya pun dah tahu.  Jenis dapat apa saja dan jenis suka buat apa saja tanpa fikirkan kesannya. 
“Nama kau Irah, kan?”  soal Isra. 
Irah diam.  Langsung tak menoleh pada Isra.  Peliknya.  Dah tahu meluat dengan dia, datang gerai buat apa.  Duduk ajelah rumah.  Tak pun pergilah makan dekat restoran berputar KL Tower sana. 
“Kau tunggu kejap.  Aku bawak sesuatu yang special untuk kau…”  Terus Isra berpaling. 
Pak Zam senyum menanti.  “Kenapa tu?”  Sejak tadi nampak macam nak bergaduh aje.  Dia risau sebenarnya.  Isra baru baik. 
“Diorang nak apa?” 
“Masak ajelah apa-apa.  Diorang tu kawan saya…”  Eh… pandai pulak dia angkat orang tu jadi kawan sendiri.  Entah orang tu tak sudi langsung. 
“Eloklah kalau kamu dah pandai berkawan.  Nanti, bila Zam tak ada… adalah teman bergaduh lain…”  Pak Zaman senyum dan terus membasuh kuali yang masih dalam sinki.
Mendengarkan ayat Pak Zaman, langkah Isra kaku di situ.  Memandang wajah Pak Zaman.  Mata itu, iras betul dengan Zam.  Hidung mancung Zam.  Tulang pipi yang timbul.  Bibir tipis Zam.  Kening yang lebat lagi hitam. 
Matanya dipejam lama.
Tuhan… apa dah jadi dengan aku ni?  Nak aje dia tampar diri sendiri.  Orang tu tak ingat kau pun.  Kau dok ingat setiap inci wajah dia tu dah kenapa?  Jika ingat, tak adanya Zam tak tanya khabar dia walau sepatah.  Melalui Pak Zaman ke.  Tapi, ini tidak.  Menyepi seribu bahasa. 
Sikap Zam masa dia terlantar tu dah bertukar.  Zam dah kembali jadi Zam yang asal.  Tiada lagi rasa pelik pada Zam.  Semuanya kembali seperti sediakala. 
“Zam kata, ada doktor suka kamu?  Betul ke?”  Sejak tadi, dia perasan Isra kaku di situ.  Terngadah bila dia sebut tentang Zam gamaknya. 
Budak sorang tu pun… kalau dah risau sangat…. Jenguklah.  Ini tidak, semua dia nak kena update tentang budak Isra ni.  Geram pun, ya.  Dah macam anak dara.  Padahal umur dah nak tiga puluh. 
“Kamu suka dia?”  tambah Pak Zaman bila Isra hanya diam.
Penumbuk Isra menggenggam kemas kertas dan pen di tangan.  Berat lidahnya hendak berbicara.  Teringat selendang yang tergantung elok dalam bilik dia.  Dia sedang mencari kekuatan untuk letak kain itu atas kepalanya.  Hadiah itu daripada Arel.  Padanlah bila sejak pertama kali jumpa, Arel tak sudah-sudah sinis padanya.  Untuk kehidupan yang lebih baik.  Dia perlu akur itu. 
“Kata Zam, kalau kamu suka dia… kami nak jadi keluarga kamu untuk raikan hari bahagia kamu…” 
“Zam cakap macam tu?”  tanya Isra akhirnya.  Tak percaya.  Semudah itu? 
“Ha’ah.  Tapi, dia pun tak janji boleh ada ke tidak pada hari tersebut.  Dia pergi ni mungkin makan tahu.  Entah bila balik.  Kamu tahulah Zam tu jenis jiwa bebas.  Susah nak terikat dengan sesuatu tempat…”  Pak Zaman menoleh dan senyum pada Isra.
Melainkan hanya hati kamu menjadi tempat yang dia mampu bertahan sampai kini, Irafil.  Andainya dia diberi izin untuk memberitahu Isra.  Tapi tidak.  Zam dah pesan agar disembunyikan segalanya. 
“Kamu suka doktor tu?”  tanya Pak Zaman sekali lagi. 
“Entahlah, Pak Zaman.  Suka yang macam mana yang Zam maksudkan?  Saya sendiri tak tahu arah tuju hidup saya, Pak Zaman.  Tak seperti Arel dan Zam.  Sampai sekarang, saya masih tak kenal diri sendiri.  Kalau nak cerita pun, takut Pak Zaman meluat pulak sebab Pak Zaman dah tahu kisah hidup saya.  Manusia yang tak tahu asal-usul macam saya ni, ada ke orang betul-betul sudi terima?  Entah anak siapa?  Sedar-sedar aje saya kenal hidup dilorong.  Arel tak tahu kisah lalu saya, Pak Zaman.  Mungkin sebab tu dia boleh cakap dia suka saya.  Atau mungkin dia rasa terhutang budi sebab saya selamatkan adik dia.  Segalanya mungkin…”  luah Isra. 
Dengan Pak Zaman, dia senang berbual.  Selain dengan nenek Kalsom.  Tapi sekarang, kesihatan nenek tak mengizinkan untuk dia bercerita tentang masalah.  Dia tak nak nenek risau dan resah kerana dia. 
Sekali lagi, Pak Zaman senyum.  Diletak dua pinggan char kuey special depan Isra. 
Ada seseorang, Israfil.  Yang dah tahu tentang asal usul kamu dan masih bertahan menyayangi kamu.  Hai… ini pun dia tak mampu nak luahkan. 
“Jangan fikir sangatlah.  Ada sesetengah benda tu, biarlah jadi secara semulajadi.  Kalau doktor tu yang terbaik untuk kamu, masa tu… kamu kena buka pintu hati seluas-luasnya…” 
Isra angkat dua pinggan tersebut.  Memandang Pak Zaman.  “Macam mana saya nak tahu hati saya terbuka atau tak?” 
“Jangan risau.  Bila sampai tepat pada masanya, Allah akan bukakan untuk kamu, Isra.  Selebihnya, kamu hanya perlu reda dan terima.  Perancangan manusia itu bagus tapi takdir Allah, itu yang paling bagus.” 
Isra kaku di situ dua saat sebelum dia menoleh dan mendekat pada meja Irah.  Diletak dua pinggan tadi depan Irah dan kawannya.
“Ini masakan special dekat sini…”
Irah ukir senyum senget.  Tak lalu rasanya nak makan lepas Isra tipu dia.  Rupa-rupanya, perempuan tak sedar diri ni ada hubungan dengan abang dia.  Sebab tu tolong dia. Kalau tak, mesti dia dibiarkan mereput. 
“Nak aku temankan ke?”  soal Isra tapi dia terus duduk.  Memandangkan pelanggan dah kurang ni. 
“Ada aku suruh kau duduk?” 
“Taklah.  Aku memang senang hati nak temankan kau makan.  Nanti lepas makan, kau terus balik.  Jangan jadi macam sebelum-sebelum ni.  Abang kau risau,”  nasihat Isra perlahan.
“Kiranya kau ni tolong aku sebab kau memang suka abang akulah, ya?  Kalau tak, kau mesti biarkan aku mereput macam tu aje, kan?  Betul tak?”  Lantang Irah menuduh.
Isra hela nafas pendek.  Tenang.  Setenang Arel seperti pertama kali dia pandang wajah yang sedang merawat bibirnya masa tu.
“Berat tuduhan kau tu, Irah.  Kau tak tahu macam mana pertama kali aku jumpa abang kau.  Kalau kau nak tahu, malam aku bertumbuk sebab nak selamatkan kau dengan kawan kau tu…”  Tajam Isra jeling kawan Irah.  Biar reti sikit. 
Jangan jadi macam pepatah lepaskan anjing tersepit.  Jangan digigit tangan orang yang dah membantu. 
“Kau tengok ni…”  Jari telunjuk Isra naik ke tepi bibir sendiri.  Parutnya masih segar.  Masih terasa ngilu sebenarnya. 
“…sebab luka ni, aku pergi klinik abang kau.  Dia jahit.  Tapi, bila aku nak bayar dia tak bagi bayar.  Dia Cuma pesan aku jaga diri sendiri dengan baik.  Jangan jadi benda macam tu lagi.  Masa tu aku dah agak, tentu ada seseorang yang dia sayang yang mungkin hidup macam aku.  Rupanya, adik dia.  Kau tak tahu macam mana air muka dia masa nasihatkan aku malam tu.  Dia kata, hidup hanya sekali.  Tak perlu nak rosakkan macam ni.  Tanpa dia tahu sebabnya.  Jujurnya, aku jenis tak endah hal orang, Irah.  Tapi pelik… bila aku ambik kisah hal kau malam tu.  Kalau aku tak kisah, tentu aku tak duduk tempat aku duduk sekarang…”  Ya, dia tentu tak kenal Arel. 
Dia tak akan terlantar.  Zam tak akan ambik berat pasal dia.  Kehidupan dia akan normal seperti sediakala.  Tapi, apa nak kata… seperti nasihat Pak Zaman, dia manusia hanya merancang.  Tapi, takdir Allah menentukan. 
“…untung kau ada abang yang baik macam Doktor Arel, Irah.  Cemburunya aku bila ada orang ambik berat pasal kau.  Sedangkan aku sejak kecik hanya mampu risaukan diri sendiri tanpa ada orang sekeliling yang nak risaukan aku…” 
“Kan saya dah cakap, ada yang dah mula risaukan awak…”
Irah bangkit.  “Abang!”  Matanya bulat.  Terkejut.  Dahlah keluar tak bagitahu abang.  Dia hanya cakap dekat mama.  Dan dia janji hanya kejap. 
Sekarang, abang pulak muncul.  Kacau! 
“Doktor?”  Isra turut sama bangkit. 
Dia juga terkejut sebenarnya tapi dikawal airmuka sebaik mungkin.  Dia mahu berlalu tapi Arel menyekat. 
“Bangku ada satu lagi.  Awak duduk situ, saya duduk sini…”  Arel tarik bangku yang berdepan dengan Isra.  Memandang adiknya di sisi kanan dan Nina di sisi kanan. 
“Mama cakap Irah nak jumpa penyelamat Irah…”  Saja dia tekan perkataan penyelamat tu.  Bukan Irah tak tahu kenapa Isra terlantar.  Ditoreh belati kerana dendam tak puas hati bekas teman lelaki Irah.  
“Dia selamatkan Irah sebab abang…” 
Arel senyum pada Irah dan kemudian pada Isra yang menyepi.  Kaku. 
“Kalau sebab abang, rasanya dia tak perlu berparut luka segala…”  Entah bila Irah nak mengerti.  Dia sendiri dah buntu.
Suasana sepi seketika.  Arel tak tahu nak pandang ke mana bila gadis yang dia suka ada di depan mata.  Agak dekat sebenarnya.  Sesekali, dia dan Isra terkebil-kebil bila kaki panjangnya terlanggar hujung kaki Isra. 
“Doktor nak minum apa?”  tanya Isra cuba menghidupkan suasana. 
“Apa-apa ajelah.  Janji air tangan awak…”
“Kalau gitu, air basuh tangan, nak?”  Saja dia berseloroh. 
Arel ketawa kecil tapi Irah tidak.  Isra bangkit dan berlalu dengan teh ais.  Dia pun tak tahu apa yang Arel suka.  Dah apa saja.  Inilah apa sajanya.
“Awak tak minum?”  Arel sedut air yang ada depan mata. 
Isra geleng.  “Saya kerja.  Tapi dah kurang orang… saya temankan Irah kejap…”
“Tak perlu temankan.  Aku tak mintak…”  bidas Irah. 
“Memang kau tak pernah mintak.  Cuma aku tak nak berlaku benda tak elok lagi.  Tambah pulak kau adik doktor yang dah banyak bantu aku.  Jujur aku cakap, kalau orang lain pun aku tetap akan bantu.  Mungkin sebab tu aku pandai bertumbuk.  Untuk bantu orang dalam kesusahan.  Tapi, untuk kau tahu… aku tak pernah belajar bertumbuk tapi aku belajar macam mana nak pertahankan diri aku sejak aku umur sepuluh tahun, Irah.  Bila aku kena pukul, disepak terang berkali-kali.  Bila aku hampir dirogol bila aku hidup terbiar.  Bila aku kena dera masa dekat rumah anak yatim.  Bila aku berebut hanya untuk sisa roti.  Masa tu, aku belajar macam mana nak pertahankan diri aku…”  cerita Isra sekali nafas.
Irah dan Nani gamam.  Arel lebih-lebih lagi.  Rupanya, terlalu banyak yang dia tak tahu tentang gadis ini. 
“Untungnya kau ada keluarga.  Ada abang yang begitu jaga kau…”  Mata Isra memandang Arel biarpun kata-kata itu ditujukan pada Irah. 
“…untungnya kau ada kawan baik…”  Dia toleh pada kawan baik Irah.  Orang yang sama dia selamatkan malam itu dengan Irah. 
“…untungnya ada orang tua tunggu kau dekat rumah.  Yang selalu tanyakan kau sihat ke, dah makan ke… untungnya kau.  Sedangkan, ada orang lain di luar sana yang nak merasa semua tu tapi apa nak kata… takdir Tuhan mengatakan lain.  Melainkan terima dan hadap hidup ni, dia tiada pilihan lain tapi masyarakat tetap tuding jari pada dia sebab dia merempat.  Dia tiada pelajaran.  Sebab dia seperti penyangak.  Sebab dia sebatang kara…”  Tangan Isra menjalar dan diletakkan atas belakang tangan Irah.  Sejuk rasanya. 
Irah tak membentak, sebaliknya terkaku di situ.  Seperti baru tengok UFO.  Isra ukir senyum tipis pada tiga wajah di depannya. 
“…tapi dia tak pernah lupa.  Dia juga untung sebab dia diberikan nafas untuk hidup…” Langsung dia bangkit dan berlalu mendekat pada Pak Zaman bila nampak Pak Zaman mula nak kemaskan dapur. 
“Saya kemaskan Pak Zaman…”  Pandangan mata Isra saat ini kekaburan.  Sejak akhir-akhir ini, dia hanya mahu mengalirkan airmata. 
Tak tahulah apa dah jadi.  Mana ketabahan yang selama ini dia suburkan dalam hatinya? 
“Kau jugak untung, Isra…” 
Mata yang tadi kabur, digenyeh sekali.  Kening Isra berkerut.  Zam? 
“Untung sebab Arel menyayangi…”  tambah Zam. 

Saat ini, airmata Isra jatuh setitis.  Bukan ayat itu yang dia harapan daripada Zam.  

10 comments:

  1. Sekufu tu penting, Xhairanla Isra nmpk lebih berharap pd zam yg taraf nya biasa-biasa je.. arel pon baik tp sejauhmana keluarga arel blh terima isra.. thx again rehan for the double update 🌹🌷

    ReplyDelete
  2. zam sy suke..arel pn sy suke..waaaaaa

    ReplyDelete
  3. janganlah dgn arel.....nak isra dgn zammm...

    ReplyDelete
  4. nanti si isra dgan si zam kah? ..mmm aku ship dia dgan arel jak...

    ReplyDelete
  5. Isra nak sapa sebenarnya? Sob sob. Please dengan zam please

    ReplyDelete