TIN nescafe yang
dibeli daripada vending machine itu dihulur untuk Arel. Zam labuhkan duduk di sisi Arel. Memandang ke depan. Tak menoleh langsung.
“Bila bertunang
dengan Isra?” Arel memecahkan sepi
antara mereka. Hanya memandang Zam
dengan ekor mata.
Entah kenapa,
tak boleh dia nak pandang Zam. Terbayang
kebahagian antara Zam dan Isra biarpun dia tak pernah nampak dengan mata kepala
sendiri. Tapi, kalau dah tahap tunang…
dah tentu Zam dan Isra saling menyayangi.
Cuma tertanya,
di mana tunang ini sewaktu gadis itu disakiti?
Di mana tunang ini saat Isra memerlukan?
Zam senyum dan
menoleh pada Arel. Menggeleng
perlahan. “Bukan tunang dia.” Jujur dia mengaku pada Arel. Tiada sebab untuk dia tipu lagi. Cukuplah dalam borang maklumat Isra aje dia
tipu.
“Tapi tu…”
“Saja
tulis. Besar harapan nak macam tu malah
lebih lagi. Tapi, hati Isra hati yang
tak mudah untuk dimenangi…” Itulah yang
dia rasa sekarang. Walaupun Isra tak
berkata apa tentang hal itu, Zam yakin hati Isra tak menerima.
Atau Isra sudah
jatuh suka pada Arel… entahlah.
Rasa terkejut
menerpa dalam dada Arel. Tapi, hatinya berbisik
lega. Jika benar apa yang Zam baru
katakan, dia lega sungguh. Bibirnya
menguntum senyuman tipis. Barulah dia
punya kekuatan membuka tin minumannya dan meneguk perlahan.
“Dah lama kenal
Isra?”
Zam angguk. “Cuma permulaan dan perjalanan itu tak berapa
elok…”
“Maksudnya?”
“Entahlah. Nak cerita pun tak tahu nak mula dekat
mana. Senang cakap, dia kerja dengan
ayah aku. Kenal dia kat situ lama
dulu…”
Arel terdiam
seketika. Maknanya, antara Zam dan Isra
ada hubungan lama. Lebih lama daripada
dia.
“Kiranya kenal
Isra sangatlah, ya?”
Zam
menggeleng. “Isra tu ibarat buku yang
terkatup rapat. Walaupun dibelek,
barisan aksaranya begitu sukar untuk difahami.
Dalamnya tak tahulah tulisan daripada zaman mana.”
Makinlah dahi
Arel berkerut. Bahasa puitis ni, bukan
kepakaran dia. Dia dah biasa belajar
tentang fakta. Sekali kena bahasa
begini, kaku juga otak nak mencerna.
Melihat pada
riak wajah Arel, Zam rasa nak gelak tapi hanya senyuman yang terbentuk pada
bibirnya sebelum tin Wonda kopi itu kembali dirapatkan ke bibir. Tapi, betul kata hatinya sekarang. Dia
dah terlalu lambat.
Jika dulu dia
sekadar memerhati daripada jauh, sekarang biarpun dekat… dia juga masih
jauh.
Isra keluar hospital
hari ni. Pada mulanya memang dia nak
uruskan semuanya sampai Isra sampai ke bilik.
Kalau Isra takut dia berbuat jahat, dia akan ajak ayahnya. Tapi satu yang pasti sekarang, dia tak boleh
pentingkan diri dan perasaan sendiri.
Isra yang terutama sekarang. Zam
ukir senyum tipis. Tak berkata apa
lagi.
“By the way, aku tanya benda boleh?” Arel mula beranikan diri. Semangat yang sejak beberapa hari rapuh,
kembali ampuh dengan pengakuan Zam.
“Apa?” Kening lebat Zam terangkat.
“Aku off lepas
lunch. Aku nak minta izin nak hantar
Isra, boleh?”
Hah? Zam hampir ternganga. Biar benar Arel ni minta izin dia. Dia ni, siapalah pada Isra tu. Untuk terima benci Isra pun rasa tak layak
sekarang, apatah lagi membuat keputusan dalam hidup gadis itu.
“Kau tak perlu
tanya aku, Arel. Kau doktor dia. Kau tanya dia, aku yakin dia tak menolak.”
“Aku tanya ni
sebab aku tahu kau dah janji dengan dia…”
“Janji tu,
biasalah Arel. Ada masa, tak mampu kita
nak tunaikan. Bukan tak sudi, tapi
kesempatan tu tak ada. Memanglah mungkir
janji ni dah jadi manusia munafik, tapi bila kita dah usaha tapi ada yang lebih
baik… apa salahnya kita mengalah, kan?”
Mata Zam memandang tepat pada wajah Arel.
Mereka bertukar
senyuman. Tetapi, begitu janggal.
Dan, Arel tahu…
dalamnya rasa di hati Zam pada Isra.
ISRA pandang
wajah Zam. Lepas keluar tadi, baru
sekarang Zam muncul. Ingatkan Zam dah
mungkir janji nak temankan dia balik.
“Aku ingat kau
tak datang balik dah, Zam…”
“Aku
datang. Kan aku dah janji. Tapi, ada perubahan sikit…” Zam senyum.
Menyembunyikan rasa sebu dalam dadanya.
Duduk dilabuhkan
di hujung katil. Menarik beg Isra dan
mengisi pakaian yang dah elok dilipat.
Langsung tak memandang Isra.
“Apa yang
berubah lagi?” Soalan Isra bercabang
dua.
Sama ada Zam tak
jadi nak bawak dia balik atau Zam akan kembali melayan dia seperti dulu? Dingin… seperti dia ni tunggul kayu?
“Yang muka kau
berkerut tu, kenapa pulak?” Zam gelak
tipis. Pakaian terakhir dimasukkan. Beg itu dizip. Beg dia sebenarnya.
“Kau…” Kata-kata Isra mati. Dia kehilangan ayat.
“Jangan fikir
bukan-bukanlah. Aku Cuma nak cakap
Doktor Arel akan hantar kau balik. Aku follow belakang.”
“Kenapa
pulak?” Tak senang duduk dia dibuatnya
dengan cadangan Zam. Cadangan atau keputusan,
tak tahulah dia.
“Arel tak cakap
lagi dekat kau?”
“Cakap
apa?” Makinlah berkerut wajah pucat
itu. Mana ada Doktor Arel datang jumpa
dia pun.
“Dia ada tanya
aku, nak bawak kau balik. Aku mintak dia
tanya kau sendiri. Aku ni…” Zam jeda.
Memandang Isra dengan rasa yang begitu sukar untuk dia luahkan.
“…manalah berhak
nak buat keputusan dalam hidup kau, Isra….”
Entah kenapa,
luahan Zam kedengaran lain macam pada pendengaran Isra. Tapi, dia hanya tenang membalas pandangan
Zam. Dia tak akan tersilap tafsir lagi
andai dia berlebihan memikir.
“Kau balik
dengan Arel, ya?” ujar Zam sekali lagi
bila Isra hanya diam memandangnya.
Gadis itu tunduk
dengan senyuman senget yang terukir kemas pada hujung bibir. Zam… Zam… cakap tak serupa bikin.
“Bukan kau cakap
kau tak ada hak nak buat keputusan dalam hidup aku ke?”
Erk… Zam
terngadah. Genggaman pada beg Isra
semakin mencengkam.
“Kalau kau kata
gitu, kenapa kau nak aku balik dengan Arel?
Itu persoalan ke atau keputusan kau buat bagi pihak aku, Zam?” bidas Isra perlahan.
Zam gamam
beberapa ketika sebelum nafas berat dilepaskan.
Isra dah salah faham ni.
“Aku tanya,
Isra…” luah Zam separuh berbisik.
“Kalau tanya,
bukan macam tu soalannya, Zam…”
“Dah tu, kau nak
aku macam mana?”
“Tak payah macam
mana, Zam… aku kenal kau…”
“Kenal yang
macam mana?” pintas Zam.
Isra telan
liur. Ya, kenal sangat. Zam tak akan semudah ABC untuk ada rasa
istimewa pada dia. Zam tak akan semudah
123 untuk begitu ambik berat pada dia.
Untuk tunaikan janji.
“Apapun, kalau
kau tak boleh nak tunai janji kau, aku boleh balik sendiri. Aku dah biasa susah senang sendiri. Kau tak payah baru sekarang nak sibuk…” Saat ini Isra dah memijak lantai.
Sesekali,
wajahnya nampak berkerut menahan rasa sakit yang masih tersisa. Perut dipegang tapi bila Zam memandang, dia
tegakkan tubuh. Buat-buat tak rasa
apa. Dia tak nak sesiapa pun risau
tentang dia. Lagipun, dia ada sorang lagi
yang sedang risaukan dia. Yang dah
berhari-hari dia tak ziarah.
“Bagi beg aku…” Tali beg ditarik tapi kudrat dia saat ini tak
mampu nak melawan genggaman Zam pada beg galas itu.
Sedangkan,
lelaki itu masih membatu di situ. Apa yang
Zam nak sebenarnya ni? Dahlah mungkir
janji. Pandai pulak atur dia balik
dengan Arel? Amboi… sejak bila dia bagi
hak tu semua pada Zam? Atau Zam yang
pandai-pandai bagi hak tu pada diri sendiri?
“Kau marah?”
“Tak ada sebab
aku nak marah, Zam…” Tali beg
dilepaskan. Isra pandang wajah Zam
sekilas sebelum dia lempar pandangan ke lain.
“Aku minta maaf…”
“Hah?” Terkejut rasanya mendengar ucapkan perkataan
demikian. Sah, Zam memang sakit. Sakit jiwa!
“Nak minta maaf
untuk apa?” soal Isra.
“Segalanya. Lebih-lebih lagi buat keputusan untuk kau
balik dengan Arel. Tapi, itu lebih baik. Kau bukan tak tahu, aku bawak motor. Tak elok nak bawak kau naik motor. Naik kereta, selesa sikit,” pujuk Zam bila nampak
Isra memang langsung berat hati.
Maaf, Isra. Masa aku janji… aku lupa siapa aku. Aku lupa antara kita ada tembok yang begitu
tinggi. Tembok yang aku sendiri
bina. Andai mampu dia luahkan… tapi dia
tak akan luahkan lagi untuk buat Isra rasa serba-salah.
Terikat dengan
janji tapi dia tak pernah nak belit Isra.
Terserahlah pada gadis itu membuat keputusan sendiri biarpun dia pernah
kata, dia tak akan bagi Isra ikut kepala sendiri lagi. Tapi, dalam hal ini… Isra berhak memilih.
“Aku boleh naik
teksi…” Sebenarnya, dia segan dengan
Arel. Sejak hari tu, mana pernah
bercakap panjang. Arel pun jarang-jarang
datang jenguk dia.
“Tak. Arel dah offer nak tolong. Niat baik orang jangan tolak, Isra. Maaf… aku tak ada kereta sebab kau pun tahu
aku memang gila motor. Tak fikir
panjang. Ikut Arel, ya?”
Entah kenapa,
kali ini dia dengar ayat Zam seperti memaksa.
“Kau tak pernah
berubah, Zam…”
“Ya… sejak dulu,
aku tak pernah berubah…” Zam
senyum. Perasaan aku pada kau tak pernah
berubah, Isra. Cuma, cara aku sekat hati
aku begitu sadis. Hingga berbuat kejam
dengan kau.
“Aku tak boleh,
Zam…”
“Kenapa?”
“Aku tak nak
terhutang budi lagi pada dia, Zam…”
Zam diam
seketika. Dia tahu. Dariapda cerita Arel. Bagaimana pertama kali dia jumpa Isra. Tentulah malam di mana Isra bertumbuk. Dia kembali ke kedai malam tu bila semuanya
dah reda.
Hanya ada dua
orang gadis saja. Yang dia tak
kenal. Tapi, daripada cerita gadis itu,
dia tahu segalanya. Dia ikut Isra malam
itu. Kerana itu dia tahu Isra luka. Kerana itu dia tak nak Isra buat kerja berat
malam kemudiannya.
Dia mahu
mendekat, tapi lelaki lain terlebih dahulu menghampiri. Yang dia mampu, hanya mengikut langkah gadis
itu hingga ke bilik dalam keadaan sepi. Langsung
tak bersuara. Hinggakan helaan nafas
juga dia tarik perlahan. Tak nak
disedari.
“Kalau kau rasa
terhutang budi pada dia, biar aku bayar bagi pihak kau…” Zam kenyit mata cuba bercanda tapi wajah Isra
masih masam seperti sebelum ini malah kian kelat.
“Nampaknya kau
memang dah rasa berhak atas aku, kan? Sampaikan
kau buat semua keputusan bagi pihak aku dalam masa yang sama…”
“Isra…” Zam gagap.
Isra dah salah faham lagi.
Dia hanya
bangkit. Tak nak bergaduh lagi dengan
Isra. Bil hospital semua dah
dijelaskan. Ubat juga dia dah
ambik. Beg galas disangkut di belakang. Zam berpaling dan saat ini, Arel sedang
menghampiri dalam senyuman.
“He’s here…” Zam senyum pada hujung bibir.
“Aku bawak dia
balik, Zam…” ujar Arel saat merapati kedua-duanya.
“Ya. Aku bawak beg dia,” balas Zam sopan.
Dia pandang Isra
sekali lagi. “Ikut Arel,” suruh Zam
sekali lagi.
“Kalau aku ikut
dia selamanya?”
Arel simpan
senyum. Berdetak lain macam rasanya
jantung dia dengan persoalan Isra. Sukar
untuk dia sembunyikan rasa teruja tu. Apatah
lagi, bibir yang masih ada parut segar itu mula mengoyak senyum biarpun terlalu
tipis. Senyum yang tak pernah dia
lihat. Malah, matanya tak pernah reti
untuk menikmati.
Zam telan
liur. Pahitnya rasa. Tapi, dia tetap ukir senyum. Matanya mengerdip sekali. Kan dia dah janji.
“Pun tak
apa. Kau ikut dia selamanya, aku akan
jaga belakang korang berdua…”
“Kau
serius?” tanya Isra.
“Tentang bahagia
kau, aku tak pernah main-main, Isra…”
Isra
angguk. Menapak beberapa langkah dan
berhenti di sisi Zam. Memandang pada
Arel. Diukir senyum lagi. Lebar sedikit.
“Aku bahagia
bila kau tak pernah hiraukan aku, Zam. Jadi,
jangan hiraukan hidup aku lagi lepas ni,” bisik Isra dan dia yakin, Zam
mengerti apa yang dia cuba maksudkan.
Menerima bisikan
Isra. Begitu perlahan namun umpama
belati itu, Zam sekali lagi angguk dan hanya memandang kepergian Isra.
Ya, di situ
layaknya kau, Israfil!
Bukan di
sini. Dia pandang di sisinya. Hanya bayangan Isra yang tinggal.
...bersambung
I don't know why but I really hope isra with zam compared to arel. Sob sob
ReplyDeletehuhu...sgt setuju.....suka sgt kalau Isra dgn Zam....
DeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteAh,dlm bab ni rasa zam lagi layak kan..rela mengikut isra..
ReplyDeleteAh...dalamnye rasa...
ReplyDeletetouching nye.. sob sob...
ReplyDeletekarya kak rehan tak pernah mengecewakan. kak rehan berjaya menghidupkaan watak pencinta dan mencintai....
ReplyDeletewaaa....delima ni..nmpk cam isra suka zam...
ReplyDeleteUntung isra ada 2 org lelaki yg ambil berat dan sayang dia sepenuh hati.. tp hati isra??? Tqvm rehan for the update 🌹🌷
ReplyDeletekenapa ek rasa sedih..
ReplyDeleteSedihnya...kesiannya zam....tu la awat lambat mengaku...kan dah kena kebas
ReplyDelete