Thursday, June 21, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 30

KEPALA dilentok ke bahu mak su.  Sejak dulu, dia hanya ada mak su.  Dia tak pernah merungut malah sentiasa merasa cukup.  Pernah… dia rasa cukuplah hanya dia dan mak su.  Dia tak perlukan orang lain lagi.  Tapi, keadaan jadi sedikit berbeza bila Uncle Bakri muncul.  Malah, dibawa bersama kisah lalu orang tua mereka.  Hingga ke anak bujang lelaki tua itu yang sejak awal telah membuatkan jantungnya sedikit goyah. 
Dia cuba tepis.  Berhasil.
Namun, goncangan itu kembali bila dia melihat lelaki itu di depan mata.  Perasaannya berbeza daripada melihat gambar.  Andai Buya tak mengamuk pertama kali itu, rasa dia akan kaku di situ. 

“Mak su jangan risau, ya?  Sera tahu Buya sayangkan Sera.”  Lengan mak su diusap.  Sejak mak su izinkan dia kahwin dengan Buya, mak su dah tak banyak cakap. 
Ada masa, mak su termenung sendiri.  Sesekali, keluhan lepas daripada celah bibir.  Keluhsan yang menggambarkan mak su benar-benar berat hati untuk lepaskan dia menjadi milik lelaki itu.
Sera angkat kepala.  Ditatap bening mata mak su.  Tangan yang sudah mula muncul kedutan itu, dia pegang erat. 
“Mak su tak nak percaya dekat Buya, tak apa.  Janji, mak su percaya pada Sera.  Percaya yang keputusan Sera buat ni tepat.  Sera akan bahagia.  Selama ni, Sera memang dah bahagia ada mak su dan lepas ni Sera akan terus bahagia.  Lagipun, Sera dah cakap dekat Buya… lepas kahwin nak tinggal dekat sini.  Temankan mak su…” 
Tak semena mak su ketawa.  Sera kerut dahi.  Tak faham apa yang kelakarnya.  
“Sera ingat Buya nak datang sini?  Tinggal dekat rumah kecik ni lepas dah biasa duduk dalam rumah agam besar tu?”  tanya mak su.  Separuh sinis.
“Dia kata okey…” 
“Sera Nur… memang dia akan cakap okey sebab dia sayangkan Sera.”  Sayang?  Entahlah.  Sukar untuk dia bisik pada diri sendiri sekalipun tentang sayang yang Buya labuhkan di hati Sera.
Sungguhkah begitu? 
Sesekali bila dia renung mata anak muda itu; melihat pada cara Buya merenung Sera… kasih sayang itu begitu ketara.  Usah kata Sera minta dia percayakan anak saudaranya itu, malah dia sendiri percaya dengan pandangan mata tuanya.
“Sebagai ibu dan penjaga Sera, mak su tahu masa ni akan tiba.  Masa di mana mak su kena lepaskan Sera biarpun dengan berat hati untuk Sera jadi milik orang lain.  Mak su tak boleh selamanya simpan Sera.  Sera perlu bina keluarga sendiri.  Mak su tak nak Sera hidup macam mak su.  Setidak-tidaknya mak su masa tu tak rasa sunyi sebab terlalu sibuk jaga Sera.  Nanti, bila mak su tak ada… mak su nak ada orang yang jaga Sera.  Sebab tu mak su izinkan Sera duduk dengan Buya di rumah dia.  Sesekali, Sera balik sini jenguk mak su atau mak su boleh aje pergi sana kalau dah rindu Sera sangat.  Jangan salah faham bila nampak mak su sedih.  Bukan mak su tak izinkan, Cuma berat hati.  Sera akan jadi hak orang.  Bukan lagi hak mak su…”  Airmata mak su bergenang. 
Kenyataannya, dia hanya menjaga amanah.  Kini, penjaga yang sebenarnya telah muncul dan dia perlu dengan reda lepaskan tangan Sera. 
“Mak su…”  Tak dapat berkata apa, Sera terus menangis di dada ibu saudaranya. 
Tuhan… jadikan keputusan ini keputusan yang tepat.  Moga dia dapat buktikan pada mak su, yang dia akan bahagia.  Supaya mak su tak resah risaukan dia. 
Tapi, sekarang…



MATA Sera terbuka.  Dia kesat airmatanya.  Janjinya pada mak su ranap sekelip mata.  Janji untuk bahagia tanpa risaukan mak su.  Tapi, dia perlu kembali rebah di ribaan mak su.  Menangisi kebodohan sendiri. 
“Sera…”  Buya telan liur. 
Sejak tadi kaku.  Andai Zul tak menyikunya, dia memang terpaku di situ melihat pada tubuh Sera yang tercegat sejak tadi. 
“Sera… saya…”  Dia rapati Sera namun tangan halus itu terangkat menyekat langkahnya. 
“Betullah apa yang mak su risaukan rupanya,” ujar Sera dengan nada yang cuba dikawal sebaik mungkin. 
“Kerana ni?”  Sera angkat dokumen yang Uncle Malik sediakan untuk dia.  Itu pun setelah dia merayu-rayu.  Padahal Uncle Malik katakan, itu miliknya. Tiada siapa boleh pertikai. 
Tapi dia… Mata bundar yang berkaca-kaca mengerling pada sampul itu.  Dengan bibir yang manis mengulum senyum.  Dia mahu pulangkan.  Niatnya benar-benar ikhlas.  Sekarang, yang berbaki dalam diri hanya rasa malu. 
Malunya dia pada mak su.  Malu pada diri sendiri kerana begitu yakin mempertahankan cinta Buya padanya.  Cinta yang padanya, tiada ternilai tapi pada lelaki itu…
Sera pandang wajah Zul yang pucat.  Kemudian beralih pada Balqish yang nampak begitu canggung dan akhirnya singgah tepat merenung mata kuyu seorang lelaki yang baru sekejap tadi dia terima menjadi seorang suami.  Yang dia harap akan menjaganya, mencintai dan melindungi.  Lelaki yang akan buktikan pada Mak Su, pada Naz dan pada Riz bahawa cinta sejati itu wujud tanpa mengira usia perkenalan kerana jodoh ini adalah hadiah Tuhan. 
Tapi, sayangnya… keyakinan dia selama ini tiada asas langsung.  Runtuh sudahnya.
Tak sedar, Sera ketawa kecil.  Menggeleng sendiri sebelum tersenyum, mengesat airmata yang jatuh ke pipi. 
“Ini… saya dah mintak Uncle Malik sediakan untuk saya dah lama.  Malam sebelum saya pergi lokap jumpa awak.  Malam yang saya tahu, awak sebenarnya dah bebas tapi sengaja dok dalam tahanan untuk saya tengok.  Untuk raih simpati saya.  Ya, awak berjaya masa tu.  Semua saya dah tahu.  Uncle Malik dah cerita.  Cuma, saya buat tak tahu sebab saya rasa, mungkin itu cara awak nak pujuk hati saya.  Dan, saya terpujuk,” ujar Sera perlahan. 
Sedaya-upaya dia pujuk hatinya agar terima segalanya.  Agar tidak menyumpah seranah tiga makhluk di depan dia sekarang.  Ingatkan memori ini akan menjadi memori indah bila dia bercerita dengan Buya di malam pernikahan mereka.  Sayangnya, kenyataan itu memeritkan. 
Kakinya menapak lagi ke depan.  Selangkah demi selangkah.  Hingga berhenti di depan Zul.  Dia senyum lagi.  Ini tali barut Buya yang Uncle Malik katakan itu.  Padanlah kalau Uncle Malik kata, dia tak percayakan anak sendiri kerana Zul akan lakukan apa saja untuk lindungi Buya. 
“Saya kagum dengan persahabatan awak dengan Buya, Encik Zul.  Padanlah bila ayah awak sendiri pesan supaya jangan percaya sangat pada awak pun…” 
Dahi Zul berkerut.  Pedas rasanya sindiran Sera. 
Kaki Sera melangkah lagi.  Kali ini, berhenti di depan Balqish.  Harapan untuk ada keluarga bahagia, musnah begitu saja.  Paling memeritkan, hanya tak sampai sehari dia menjadi isteri malah sekarang, masih dalam persalinan indah ini.  Rasa nak dicarik pakaian sendiri bagi meluahkan betapa dia sakit dengan apa yang baru dia sedari. 
Sera tunduk.  Pejam mata rapat-rapat.  Dia tak mahu menangis.  Tapi, sukarnya untuk dia tahan airmatanya sekarang.  Matanya beralih tepat pada mata seorang lelaki yang mahu dia gelar suami.  Tapi, mampukah kini? 
“Padahal sejak awal, saya nak pulangkan semua ini.  Nak sign depan suami saya  yang saya pulangkan semula hak dia.  Saya hanya ada kasih sayang untuk dia sebab itu saya pulangkan apa yang memang milik dia.  Tapi, sayang… dia hargakan kasih sayang saya untuk sekeping kertas ni…”  Serentak itu, Sera campak kertas tersebut tepat di dada Buya. 
Lantas menoleh.  Beg pakaian yang mak su bawa itu masih di situ.  Syukurlah ianya bukan bagasi yang besar. 
“Saya tak akan makan harta orang, Balqish.  Saya akan pulangkan.  Tapi ada syaratnya…”  Sempat dia memandang pada Balqish sekali lagi. 
Kata-kata itu dia tuju pada Buya yang masih gamam.  Hingga kelibat Sera hilang, barulah Buya bernafas.  Dia pandang Zul.
“Zul, ini mimpi, kan?”  Buya tampar muka sendiri.  Sungguh… serasa seperti mimpi ngeri.  Andai ini mimpi, dia mahu jaga.  Ianya menakutkan. 
“Bini aku… Sera… dia…”  Lemah kaki Buya untuk tampung tubuh sasanya. 
“Buya, aku mintak maaf, bro.  Aku…”  Zul juga kaget.  Satu yang pasti, dia akan dimaki hamun oleh ayah sendiri nanti. 
“Tak, Zul.  Ini semua mimpi, kan?  Yang baru jadi ni…” Buya ketawa kecil.  Tawa yang kedengaran sangat jengkel biarpun pada pendengaran sendiri. 
“Buya, Sera nak pergi.  Cepat weh…”  desak Zul. 
Tanpa menanti, Buya pantas berlari.  Nama Sera dilaung kuat.  Pembantu rumah dan pengawal peribadi semuanya tegak berdiri.  Melihatkan Sera yang sedang meniti anak tangga dengan beg pakaian itu, semuanya diam seribu bahasa. 
Baru saja Sera memijak anak tangga terakhir, Buya sempat melelar lengan halus isterinya.
“Sera nak pergi mana?”  soalnya seperti seorang dungu. 
Dia tak sengaja tadi.  Dia cuma cakap apa yang adiknya mahu dengar.  Rancangan dia dah berubah.  Bukan kerana wasiat itu lagi.  Ya, seperti kata Balqish… cara dia memandang Sera itu; rasanya sekarang dia faham. 
Pandangan yang penuh rasa sayang.  Rasa cinta.  Cuma tadi… lidah dia tergelincir daripada landasan kebenaran. 
“Saya nak balik ke tempat saya,” jawab Sera dengan sebak yang tertahan-tahan. 
“Ini… istana ni bukan tempat saya.  Tak sesuai untuk saya.  Saya tersilap laluan.  Tapi tak apa.  Saya tak jauh lagi.  Sempat lagi patah balik biarpun sukar mana pun.  Saya perlu patah balik…”  Tangan Buya cuba ditolak tapi genggaman lelaki itu gagah. 
Airmatanya jatuh bertali arus.  Mata yang memandang, sekadar memandang.  Tak mampu berkata apa.  Apa yang dah jadi pada pengantin baru di malam perkahwinan mereka?  Pernikahan atas dasar cinta, mengapa berubah begini dalam sekelip mata? 
“Ini rumah suami Sera. Saya suami Sera. Sera nak pergi mana?” 
“Suami yang nikahi saya untuk dapatkan semula harta tu?”  jerit Sera.  Rumah agam ini bergema. 
Kali ini, semua  yang ada jatuh rahang.  Andai inilah penyebabnya, rasanya tiada siapa yang akan bersama dengan Buya lagi.  Man sendiri berkerut dahi. 
“Awak dah berjaya, Buya.  Tapi, seperti saya kata… saya akan letak syaratnya.  Kita akan bincang nanti.  Tapi, bukan sekarang.  Awak penat.  Awak tak makan lagi daripada pagi.  Saya tahu.  Pergilah makan.  Rehat.  Tenangkan fikiran.  Saya pun akan buat benda sama.  Dan, bersedia untuk apa saja kemungkinan…”  Kali ini, pegangan Buya berjaya diloloskan. 
“Sera, saya cintakan Sera…” akui Buya.
“Ya.  Saya tahu.  Cinta awak ada nilai harganya.”  Sera koyak senyum senget.  Cukup tajam dan sinis.  Dia sapu airmatanya.  Kasar.
Sekali lagi, dia renung mata Balqish dan Zul yang muncul di belakang Buya sebelum berlabuh semula pada mata Buya yang nampak keliru. 
“Harga itu akan saya bayar setiap sen tanpa kurang dan kita tak saling berhutang lagi lepas ni…”  tambahnya lantas berlalu dengan langkah yang saja dibuat agar nampak gagah.

Padahal, dia sedang goyah.  

32 comments:

  1. 😢😢😢😢😢😢 kenapa buya buat sera lagu tu...sedih

    ReplyDelete
  2. Allah... Pedihnya.. Sedihnya...

    ReplyDelete
  3. Tq RM.. walau kali ni sgt mengguris perasaan

    ReplyDelete
  4. Sedihnye..sian sera..
    Tq RM..slmt hr raya..

    ReplyDelete
  5. Akhirnya....lama sungguh tunggu bab ni....cuti sungguh cik rehan makhtar ye..😁😁😁😁

    ReplyDelete
  6. Setelah lama menanti, lahai sedihnya part ni. Tula buya , tergilincir kata pula . Sedangkan plan dah berubah. Apa daya, sera salah fhm .

    ReplyDelete
  7. Terlajak perahu blh undur lg buya...terlajak kata wlupn bkn dr hati tetap tinggalkan parut utk sera

    Selamat hari raya kak RM

    ReplyDelete
  8. Ala sera janganlah terburu buru. Buya sayang tu

    ReplyDelete
  9. Berbulan menanti..akhirnya kesedihan pd plot kali ini.. 😭

    ReplyDelete
  10. Balqis lah yg paksa buya ni

    ReplyDelete
  11. Rasa hati tertusuk sembilu 😭😭

    ReplyDelete
  12. Sera plis..even maksu boleh nampak ikhlasnya buya pada kau..huarghhhh, cepatla buya pujuk balik, itula kerna mulut badan binasa

    Btw tq k.rehan..saya macam tak percaya ada entry, mmg dah beminggu tak jenguk blog, skali tekan harini trus ada entry baru. Brtuah betoi saya harini, bahagia jap..huhu tq kak

    ReplyDelete
  13. Sedihnya....Buya, pls pujuk sera cepat...

    ReplyDelete
  14. Allahu....hrp2 pjg jgk jodoh budk br2 Ni😔

    ReplyDelete
  15. Sedihnyaaa. Moga hang tabah la Buya

    ReplyDelete
  16. Sedihnyaaa. Moga hang tabah la Buya

    ReplyDelete
  17. Sedihnya.. .cepatlah update biar buya pulak merana. ...:'( ;;;;

    ReplyDelete
  18. Sedihnyeee... tak sempat pon tukar baju pengantin... anyways, Selamat Hari Raya Aidilfitri RM! 😙

    ReplyDelete
  19. kerana Balqis dan Buya tidak pernah hidup susah...dan ada tanggungjawab sbb tu dia rasa Sera bukanlah sesiapa...dan senang utk dimanipulasikan...

    ReplyDelete
  20. Nape Xterus terang je buya.. hadoiiii.. klu dh dilepaskan sera pergi, makin jauhla hati sera.. thx RM for the update 🌹🌷 Salam Aidilfitri 😊

    ReplyDelete
  21. Kalau jodoh tak kemana....so..pandai2lah ya Buya...terlajak kata buruk padahnya....

    ReplyDelete
  22. Oh Rehan! Akak suka bab ni! Sangat bersemangat!! Akak suka Sera begitu. Semua tu jadi sebab niat Buya.. tak ikhlas awalnya. Tak sabar nak tahu apa syarat Sera!!
    3 thumbs up!

    ReplyDelete
  23. ��������

    ReplyDelete
  24. Nak lagiii 😭😭😭😭😭😭

    ReplyDelete