Monday, October 01, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 33

MAK SU pandang wajah redup Sera.  Sejak tadi, Sera tak sudah-sudah mengemas rumah yang entah apa nak dikemaskannya.  Semua dah bersih terletak.  Dah beberapa hari, Sera menyepi.  Sesekali, hanya tersenyum dan bercerita itu ini.  Tapi, air wajahnya sudah jelas berubah.  Sangat. 
Sera bukan lagi anak saudaranya yang dulu.  Tiada lagi seri di wajah Sera.  Malah, jirannya ada yang dah bertanya, mana suami Sera.  Tak ikut pulang sama kah?  Entah macam mana dia nak jawab.  Kelu. 
Sejak kembali, sepatah pun Sera tak sebut tentang Buya.  Sampaikan dia nak bertanya pun, jadi berat lidah.  Bimbang jika soalan itu akan membuatkan Sera menangis kerana dia sendiri yakin sesuatu telah terjadi antara Sera dan Buya.  Yang masih menjadi tanda tanya, apakah perkara tu? 

“Sera ingat nak bukak kedailah, mak su…” 
“Hah?”  Mak su tersentak sendiri. 
Sera senyum.  “Mak su berangan apa ni?  Sera cakap Sera nak bukak kedai…” 
“Kedai bunga?” 
Eh eh mak su ni. 
“Kedai bungalah.  Sera mana ada kedai lain.  Mak su ni, dah kenapa?”  Dahinya berkerut.
Mak su diam.  Lama.  Entah apa yang Sera fikir sekarang?  Dia hanya renung wajah yang kian hilang serinya.  Terbalik.  Sepatutnya seri pengantin jelas terlakar pada wajah anak ini, namun sayang bila sebaliknya berlaku.  Ringan betul tangannya hendak mendail nombor Buya tapi sukar bila Sera seperti tak nak lepas daripada berkepit dengannya.  Hinggakan tidur pun, dalam bilik dia.  Sera seperti tak mahu bersendiri. 
“Boleh aje nak buka kedai tu balik.  Lagipun, baru tak sampai dua minggu Sera tutup.  Yang tempahan Auntie Jane dulu, dah siap, kan?”
“Oh… yang tu dah lama siap.  Sebelum Sera…”  Lidah Sera mengeras. 
Dia tunduk.  Memandang kain lap di tangan yang sudah kotor.  Sama seperti hatinya.  Sudah calar.  Ayat apa yang mahu dia katakan.  Sebelum dia menikah?  Pernikahan yang menjadi satu penipuan dalam hidupnya?  Yang membawa kesan bukan sedikit?  Itukah ayat yang mahu dia cakap? 
Bibirnya mengoyak senyum.  Sera pejam mata seketika.  Memujuk airmata agar tidak derhaka dan jatuh ke pipi.  Dia… tiada masa untuk meratapi semua itu.  Sejak dia keluar daripada rumah besar milik keluarga Buya, dia telah berjanji.  Apapun jadi, dia tak akan menangis. 
“Hrmm… ini kalau Sera bukak balik kedai bunga tu, mesti Auntie Jane suka.  Hari tu, masa Sera cakap nak tutup kedai tu sementara, pun dia dah sedih…”  ujar Sera.  Ceria. 
Namun, riak ceria itu nampak benar palsunya.  Mak su ketap bibir.  Senyum.  Demi anak saudara tersayang. 
“Tapi, Sera nak pindah kedailah…” 
“Eh, kenapa pulak?  Dekat situ kan dah elok.  Sera dah ada pelanggan tetap.  Situ pun kawasan tumpuan…”  Nada mak su, jelas membantah.  Tak setuju. 
Sera senyum.  Tipis.  Perasa yang cuba ditambah, sekadar rasa tawar. 
“Saja ubah angin.  Atau perlu kita pindah rumah sekali.  Sera ingat lagi, mak su cakap kalau perlu kita jual rumah ni.  Kita pindah.  Boleh tak kita pindah sekarang?  Rumah flat yang mak su sewakan tu, boleh jugak, kan?”  Sera dah tersengih-sengih. 
“Kenapa nak pindah situ?  Kan ada penyewa?” 
“Alaa… kita minta la dia pindah.  Bagi notis sebulan ke?”  Duduk dilabuhkan di sisi mak su.  Memeluk erat bahu ibu saudaranya dan menayang muka comel. 
“Sera Nur…”  Tangan mak su naik ke bahu Sera lantas turun rapat ke pergelangan tangan.  Kain lap itu diletak di atas meja. 
Mata Sera ditenung.  Dalam.  Memang teruk sampaikan macam ni sekali Sera mahu lari. 
“Kenapa?” 
“Apa yang kenapa?”  Kening Sera terjongket.  Buat tak faham. 
“Sejak Sera balik…”
“Okey…”  Laju Sera cantas suara mak su.  Dia senyum lagi. 
“Macam ni… mana mak su nak… kita pindah rumah dan Sera pindah kedai atau Sera mohon belajar ke luar negara.  Jauh daripada mak su.  Tinggal mak su sorang-sorang…”  Pujukan Sera kali ini sudah berbaur ugutan. 
Mak su kerut kening.  Terkejut.  Sejak dulu, Sera tak pernah sebut tentang nak ke luar negara.  Pernah dulu sekali tapi kerana tak sampai hati, Sera hanya duduk di sini.  Bersamanya. 
“Apa dah jadi, Sera Nur?”  Suara mak su sedikit keras.  Tak mahu lagi Sera mencaras. 
“Jangan buat-buat suka dan jangan ugut mak su macam tu.  Mak su tak suka.  Mak su memang dah agak yang Sera dengan Buya ada masalah.  Tapi, tak kanlah teruk sangat masalah tu sampaikan Sera lari balik sehari lepas kahwin?” 
Sera akhirnya tunduk.  Memandang tangan yang masih dalam genggaman mak su.
“Sera tak lari…”  Perlahan, dia menjawab.
“Kalau tak lari… apa tu?  Sera balik sendiri, dengan beg pakaian Sera.  Sepatutnya dengan Buya.  Masa mak su tinggalkan Sera dekat sana, mak su harap Sera selalu balik sini.  Tapi, bukan dengan cara macam ni.  Sera ingat senang ke mak su nak lepaskan Sera tapi sebab Sera janji akan bahagia, mak su reda… tapi sekarang…”  Mak su hentikan kata bila airmata Sera jatuh di atas tangannya.
Dia terpanar. 
“Sera mungkir janji.  Sera tak bahagia…”  Jawapan yang diucapkan oleh suara yang cukup serak itu, membuatkan mak su genggam lengan halus itu makin kuat. 
“Apa yang Sera maksudkan ni?”  Dia mencari penjelasan. 
“Sera mungkir janji…”  Kepala Sera terangkat.  Dia koyak senyum bersama airmata yang jatuh setitis dua ke pipi. 
“Sera tak bahagia…”
“Tapi, kenapa?  Mak su yakin yang Sera bahagia…”
“Ya… Sera pun yakin Sera akan bahagia…”  jawab Sera perlahan.  Sebelah tangannya dilolos daripada genggaman mak su dan naik mengesat airmata.  Agar langsung tak tersisa.  Cukuplah dia buat mak su risau. 
“Tapi, apa nak kata… bahagia ni bukan sesuatu yang kekal abadi dalam hidup kita, mak su dan Sera terima semua tu...”
“Hah?  Sera cakap apa ni?”  Api dalam dada mak su mula menyala.  Apatah lagi melihat wajah yang tak berperasaan di depannya sekarang. 
Sera, tak ubah seperti mayat hidup. 
Bernafas tapi sayang, tidak berjiwa. 
“Cuba cakap dekat mak su… macam mana dalam satu malam Sera boleh berubah macam ni sekali?  Ini bukan anak saudara mak su.  Bukan…”  Tangan itu direntap.  Mak su bangkit tapi belum sempat menahan, Sera memeluk erat pinggangnya.
Terasa hangat pipi Sera yang rapat pada kulit belakangnya. 
“Maafkan Sera, mak su.  Ingkar pada mak su bila mak su cakap, keluarga tu tak sesuai untuk Sera.  Sebab Sera degil, mak su pujuk hati mak su izinkan.  Mak su nak Sera bahagia, tapi Sera tak boleh ada dalam rumah tu.  Sera tak lari, Cuma Sera keluar bila Sera tak diperlukan dalam rumah tu…” 
Saat ini, mak su menoleh.  Dia mahu berlalu demi menyembunyikan airmatanya tapi tak berdaya bila Sera menahan.  Titisan air jernih itu jatuh ke pipinya.  Lain yang dia harap, lain yang jadi.  Tapi, kenapa Sera langsung tidak menangis?  Adakah benar jiwa ini telah dibunuh oleh seorang Bunyamin dengan begitu kejam? 
“Kenapa boleh jadi macam tu, Sera?”  soal mak su.  Sebaknya tak dapat lagi dia tahan.  Dia tak kisah andai Sera kembali tanpa suami, tapi dia perlu tahu sebabnya. 
“Apa yang Buya dah buat dekat Sera sampaikan Sera jadi macam ni?” 
Wajah Sera mendongak.  Tangannya masih lagi melilit pinggang mak su.  Terasa damai dan tenang. 
“Apa yang jadi, biarlah, mak su.  Sera tak nak sebut dan Sera akan salahkan diri sendiri sebab tak nak dengar kata-kata mak su sebelum ni.  Yang pasti, Sera janji… Sera akan kuat…”
“Kuat?”  Mak su ketap bibir.  Mendongak sambil memejam mata.  Kuat apa macam ni, Sera Nur?  Ini bukan kuat, tapi kau cuba bertahan agar tak tumbang!  MasyaAllah… kepala Sera dipeluk dan rambut anak itu dikucup berkali-kali.
“Apa lagi yang dah keluarga tu buat pada Sera?  Pada kita?”  tanya mak su perlahan. 
Sera Nur senyum.  Dia mahu menangis kerana mak su menangis.  Tapi, dia sekali lagi telah berjanji.  Dia akan kuat.  Datanglah angin taufan membadai, dia tak akan digugah setelah segala yang dia pertaruhkan, dinodai begitu saja. 
“Apa lagi yang tinggal antara Sera dengan Buya?”  soal mak su penuh emosi.
Sera senyum.  Dia pejamkan mata.  Teringat pertemuan pertama antara dia dan Buya.  Ada pahit, tapi kenyataan manis. 
“Perpisahan…”  Perlahan dia menjawab.
Airmata mak su kian lebat. 



TIDAK dapat tidak, mak su dapatkan bantuan Riz untuk ke rumah Buya.  Dia tak nak telefon Buya.  Tak sudah bercakap dalam telefon.  Eloklah terus bersemuka.  Dia mahu tatap mata kuyu itu saat Buya menjawab setiap soalannya.  Ini pun, jenuh dia berpakat dengan Naz untuk mengajak Sera keluar. 
“Mak su?”  Buya hulurkan tangan dan mengucup tangan mak su. 
Dia pandang Zul di sisi.  Syukurlah Balqish tiada.  Bukan kerana takut, tapi dia bimbang Balqish akan keruhkan lagi keadaan.  Dan, paling menakutkan tangannya naik ke wajah Balqish. 
“Mak su tak call pun tak datang…” 
“Kenapa?  Kena buat appointment dulu nak jumpa dengan anak jutawan Bakri?”  sindir mak su.
“Bukan itu maksud saya, mak su…”  Buya tunduk seketika.  Dia sekadar mahu menghidupkan hubungan yang dirasakan kian mati kerana dia tahu, Sera telah buka mulut tentang mereka dan dia paling bimbang andai kehadiran mak su ini, membawa niat di hati Sera. 
“Saya tahu mak su dah tahu…”
“Ya… tapi, sebagai orang tua… mak su tak nak keruhkan keadaan.  Mak su nak jernihkan apa yang patut tapi mak su perlu tahu hujung pangkal…”
“Jadinya, Sera tak cerita?”  Dugaan Buya, meleset. 
“Kalau Sera cerita, mak su tak datang sini, Buya.  Boleh jadi mak su dah heret Sera ke mahkamah.  Failkan fasakh!”  Keras mak su menjawab.
Buya gamam beberapa ketika.  Tak kanlah Sera dah sebut tentang perpisahan?  Tidak kah Sera berjanji untuk memberi masa untuk diri masing-masing?  Sera tak sebut tentang ini. 
“Saya tak akan terima benda tu, mak su…”
“Sekarang ni, mak su tak nak cakap tentang tu, Buya.  Tapi, mak su nak jawapan apa yang dah jadi?  Hati ibu mana tak resah kalau tiba-tiba anak yang baru kahwin sehari, tiba-tiba heret beg baju balik rumah sendirian?” 
“Saya minta maaf, mak su…”
“Bukan maaf yang mak su nak dengar, Buya.  Tapi, penjelasan kau…”  Suara mak su kian keras.  Lantaklah pembantu rumah nak dengar pun.  Dua orang lelaki di sisi Buya juga sejak tadi menyepi.  Argh…ikut suka kaulah. 
Buya pandang Zul.  Mata Zul mengerdip memberi kekuatan. 
“Saya dah sakiti Sera, mak su…” 
Hati mak su berdesir.  Pedih.  Tapi, dia tahan hati.  Masih kurang jelas akan apa yang telah terjadi. 
“Sakitkan yang macam mana?”  Riz yang sejak tadi diam, menyampuk akhirnya.  Tak sabar pulak dia nak tahu apa yang telah Buya lakukan, sampaikan Sera berubah begitu sekali dalam hanya satu malam. 
“Eh, ini bukan urusan keluarga kau.  Baik kau diam…”  Amaran dihantar pada Riz.  Sejak tadi, dia memang tak suka Riz muncul bersama mak su.  Padahal, kalau mak su call dia… dia akan pergi jemput.  Ini datang dengan lelaki yang tiada kena mengena. 
“Riz tanya apa yang mak su nak tanya, Buya,” tegas mak su.  Bukan nak sokong Riz, tapi memang itulah soalan yang bermain dalam kepala. 
Buya larikan pandangan.  Sekali lagi tunduk… berat lidahnya untuk akui perkara itu. 
“Tak mungkinlah sebab wasiat yang Bakri tinggalkan pada Sera, kan?”  Mak su menduga. 
Rasanya, Sera dah janji nak pulang sebagai hadiah pernikahan. 
“Sera dah janji nak pulang sebagai hadiah kahwin kamu berdua.  Mustahil dia mungkir janji.  Dia pulangkan.  Betul tak?”  Bimbang juga mak su, andai tiba-tiba Sera jadi mata duitan.  Tapi, mustahil…sangat mustahil. 
“Bukan macam tu, mak su…”  Buya menafi.  Hakikatnya, memang Sera nak pulang tapi entahlah…
Dia angkat wajah.  Seluruh wajah disalut resah dan segala macam perasaan yang membuatkan jiwanya lebur. 
“Habis tu, tak kanlah kau kahwin dengan dia sebab kau nak balik wasiat tu?  Kau jangan cakap kau tipu dia, Buya?  Mak su tak boleh nak terima…”  Mata mak su mula merah.  Hatinya berdebar tak sudah bila dia mula rasa, telahan dia tepat dan bila Buya semakin tunduk dan terus tunduk, mak su gigit bibir.  Menahan rasa marah.
“Maafkan saya, mak su.  Saya tak sengaja…”
Apatah lagi bila Buya mengucapkan kata-kata itu, tahulah dia apa yang telah terjadi.  Mak su ketawa. 
“Kau dah buktikan yang kau memang anak Bakri, Buya.  Kau memang dah buktikan, darah tamak tu ada dalam diri kau.  Dan kau dah buktikan yang kau tak layak untuk Sera Nur,” ujar mak su keras. 
Dia bangkit.  Mengesat pipi yang basah. 
Riz sejak tadi, hanya genggam penumbuk.  Sakitnya hati bila mendengar cerita ini.  Begitu sukar dia pujuk hatinya demi bahagia Sera, tapi ini yang Buya beri? 
“Maafkan saya, mak su.  Tapi, saya memang tak sengaja…”
“Tak sengaja yang macam mana, Buya?”  Riz sekali lagi menyampuk.
“Eh, Riz…”  Jari telunjuk Buya lurus pada wajah Rizqi.  Memberi amaran.
“Kau tahu kan… aku memang tak pernah suka kau.  Jadi, ini urusan keluarga aku dan jangan masuk campur…”
“Keluarga?”  Riz ketawa halus. 
“Keluarga yang kau dah sakitkan?  Kau tahu tak keadaan Sera Nur masa balik hari tu?  Sepatah pun dia tak cerita tentang apa yang dah jadi biarpun aku dah boleh agak.  Kalau aku tahulah macam ni buruk perangai kau… aku rela hasut Sera untuk tak nikah dengan kau, Buya.  Tapi, sebab Sera janji dengan kami dia akan bahagia dengan kau… kami lepaskan dia untuk masuk dalam keluarga yang hanya pentingkan duniawi ni.  Sayangnya, Buya… kau persiakan hadiah dariapda syurga untuk kau…”  bidas Riz.
“Kau…”  Tak perlu habiskan ayat, penumbuk Buya lebih laju singgah pada wajah Riz hinggakan lelaki itu jatuh tersembam di atas lantai.  Mujur saja tak terhantuk pada meja kopi.  Jika tidak, dah tentu terbelah dahinya. 
“Kau diam!  Sera tu bini aku.  Aku tahu macam mana jaga bini sendiri.  Kau tak ada hak nak ambik kisah hal Sera atau nak sebut nama dia!”  Buya meluru sekali lagi tapi, mak su menahan. 
“Dah, Buya.  Jangan…”  larang mak su dengan nafas yang rancak.  Turun naik menahan sabar. 
“Riz… bangun…”  Mak su cuba bantu tapi Riz menolak sopan. 
“Kamu okey ke?” 
Riz raba bibir. 
“Riz okey, mak su…”  Riz bangkit.  Dikesat bibir yang terasa koyak.  Pedih.
“Tengok… kau dah buktikan kau tak pernah layak untuk Sera, Buya.  Sama seperti arwah ayah kau.  Tak pernah layak…”  herdik mak su dan bila dia menoleh, tubuhnya kaku. 
“Kan Sera dah cakap dekat mak su, sini bukan tempat kita.  Kenapa mesti mak su nak datang sini lagi?”  Mata Sera nampak sangat suram.  Ada kecewa terpancar dalam renungan itu. 
Sera Nur? 
“Sera?”  Buya mahu melangkah, tapi tangan Sera menahan.
“Kita tak sesuai ada di rumah ni, mak su…”  Dia terkejut bila Naz terlepas cakap tentang ni.  Kerana itu dia paksa Naz ke sini. 
“Mak su cuma…”
“Sera tahu mak su nak yang terbaik untuk Sera,” cantas Sera menyekat suara mak su.  Bukan tak nak dengar kata-kata itu, tapi segalanya biarlah terhenti di sini. 
Dia senyum. 
“Sera faham niat baik mak su.  Tapi, cukuplah sekali, mak su.  Sera akan dengar kata mak su.  Tapi, sebelum tu Sera merayu… kita keluar daripada rumah ni.  Di sini tak sesuai untuk kita…”  Mata Sera redup memandang mak su.  Langsung tak berkalih pada Buya yang sejak tadi memandangnya. 
Sesekali, kerlingannya singgah pada wajah Riz.  Rasa belas merajai hati.  Semua ini terjadi kerana dia. 
“Kita balik, mak su…”  ajaknya. 
Mak su diam.  Dia menoleh pada Buya lama.  Mahu dikatakan sesuatu tapi segalanya seperti sudah tidak berguna.  Sera… tak pernah begitu dingin dan tegas.  Segalanya telah berubah hanya kerana lelaki ini. 
“Riz… tumpangkan aku balik, boleh?”
“Ya…”  Riz berjalan ke pintu.
“Tapi, kau okey ke ni?” Matanya memandang pada bibir Riz yang pecah.  Darahnya masih meleleh.  Usah kata terkejut, dia hampir mahu menjerit melihat Buya menerpa pada Riz. 
“Aku okey.  Kau jangan risau…”  Riz cuba senyum tapi dahinya berkerut.  Perit.  Dia terus melangkah ke pintu di mana Naz sedang berdiri.  Malas nak menoleh pada Buya.  Dasar lelaki tak reti nak hargai permata. 
“Kau okey?”  Naz bersuara.  Lemah.
Riz senyum.  Angguk perlahan. 
“Kita balik, mak su…”  Sera paut lengan mak su tapi belum sempat melangkah, lengannya dilelar orang.  Dia kakukan tubuh.  Mak su lepas ke pintu.  Memandangnya dan Buya yang sedikit menjauh. 
“Sera, pandang saya,” arah Buya seraya membaliknya tubuh Sera agar berdepan dengannya.  Kedua belah bahu Sera dipegang.  Erat. 
“Saya minta maaf…” pintanya entah untuk kali ke berapa. 
“Saya maafkan…”  jawab Sera laju.
“Saya salah…”
Kali ini, Sera diam.  Tak bersuara.
“Saya nak Sera.  Saya nak isteri saya…”
“Dan juga wasiat yang isteri awak dapat.  Betul tak?”  tambah Sera.
Buya ketap bibir.  Menggeleng berkali-kali. 
“Sera boleh simpan… saya hanya nak Sera…” 
Kali ini, bibir Sera terjongket dengan senyum sinis. 
“Masalahnya, saya tak nak awak, Buya…” 
“Apa maksud Sera?”  Dia tak mahu dengar perkataan menyakitkan itu.  Dia tak sudi.  Dia harap Sera tak katakan. 
“Awak dengan saya… berbeza, Buya.  Perbezaan tu bukan sikit untuk kita rapatkan jurangnya.  Tersangat jauh…” 
Mereka berdua diam buat seketika.  Buya senyum sinis.  Untuk diri sendiri.  Dia tunduk lama biarpun tangan masih memegang lengan Sera. 
“Kalau macam tu, bantu saya dekatkan perbezaan tu…”  pintanya.  Buya angkat wajah.  Merenung dalam mata redup Sera yang tidak lagi galak. 
“Saya dah pernah bantu.  Kita rapat.  Dekat.  Tapi sayang… awak sendiri yang kembali jarakkan kita dan kali ini, saya tak dapat nak bantu lagi…”  jawab Sera, menolak kehendak Buya.
“Tak boleh ke Sera lupa.  Saya tak ada niat seperti yang Sera fikirkan…”  Bersungguh-sungguh Buya nafi. 
“Saya sedang berusaha, Buya… untuk lupa…”
Wajah Buya nampak sedikit berseri.  Ada helaan nafas lega lepas daripada celah bibirnya. 
“Saya tahu awak…”
“Saya sedang berusaha untuk lupakan segala tentang awak.  Tanpa berbaki sedikit pun…” tambah Sera.  Tenang dan tanpa perasaan.  Membunuh harapan Buya yang lelaki itu cambah dengan penuh kepercayaan. 
Nafas lega Buya yang hanya bertamu seketika, kembali mengganas.  Dia merenung dalam mata isterinya tanpa mampu berkata apa. 

Sera Nur… hanya nama itu yang hatinya mampu bisikkan.  

...

RMsays : Lama menyepi.  Membiarkan kisah ini tergantung... bagai tidak bertali.  Bukan niat hati membiarkan hampa menguasai.  Hanya kerana ilham itu tidak mengizini.  Insyallah... saya kembali.  Gittewwww

15 comments:

  1. Ohmy,pepg baca bikin hati sebak n airmata mengalir...comeback yg gempak dr sis rehab...awesome

    ReplyDelete
  2. Allahh..sedihnya. Pg2 dh hiris bwg seguni...😭😭😭

    ReplyDelete
  3. 😭😭😭😭😭😭 sedihnya sera ngan buya

    ReplyDelete
  4. Yeay, tqvm RM for the update!👍🏻🌸🌹Bila buya nk berterus terang ni.. setakat minta maaf je mmg X laku la oit!!😤 Klu nk tunggu qish yg pujuk sera, mmg X la kan..🤦🏻‍♀️ RM, be strong ok. Kami die hard fans semua menyokong dan mendoakan yg terbaik utk RM. Moga ada rezeki objection diadaptasi😊

    ReplyDelete
  5. Halahhh....
    Nak lagi RM..
    Plsss.. 😭

    Rindu sgt buya ngan sera

    ReplyDelete
  6. Ye.. Tqvm RM... Sntiasa sabar mnunggu update...

    ReplyDelete
  7. Terus terang buya...
    Don't wait so long...

    ReplyDelete
  8. madhi doakan krehan akan dapat pelbagai idea dn ilham untuk menyiapkan buya dan sera ... buah tangan krehan sentiase terbaik...

    ReplyDelete
  9. Tima kasehhh cik RM. Jgn tinggalkan SeraBuya lama2...ramai yg rinduuu

    ReplyDelete
  10. Sehat terus ya kak.. Ada yg menanti kelanjutan karya kaka dari indonesia.

    ReplyDelete