Tuesday, November 13, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 35

SENYUMAN Sera, sangat berharga.  Sejak kembali ke rumah ni semalam, ini kali pertama dia nampak isterinya tersenyum.  Biarpun tak semanis senyuman saat pertama kali mereka saling jatuh cinta, cukuplah.  Asalkan wajah itu tidak terus masam.  Resah hati dibuatnya.  Serba salah segalanya.  Malam tadi pun, tak mudah untuk dia lalui malam yang begitu sunyi dan menyakitkan. 
Zahir dan batin.
Segalanya, begitu cukup memilukan. 
Apatah lagi bila dia melihat titisan airmata jatuh melalui juring mata Sera.  Dia mahu kesat namun Sera yang terlena seperti dapat merasa dia mendekati, lantas wanita itu membuka mata. 
Biarpun tiada suara, namun pandangan mata Sera cukup tajam menikam.  Memberi amaran. 

“Sera jangan salah faham.  Saya cuma…”  Buya ketap bibir. 
Cuma apa?  Dia dekati isterinya kerana kasih sayang.  Dia rapati Sera kerana belas melihat tubuh itu mengerekot di atas sofa.  Kesejukan.  Tak selesa.  Bila dia letak selimut, Sera tolak.  Nak angkat tubuh Sera ke katil, dia yakin Sera akan mengamuk.  Kerana itu dia kaku di situ, merenung. 
“Cuma?”  Sera mencari jawapan.  Matanya terbuka separuh.  Dadanya mahu meletup.  Bukan kerana takut tapi kerana kecewa.
Sampai ke saat ini, Buya adalah lelaki yang tak layak dia sandarkan rasa percaya. 
“Saya nampak Sera tak selesa.  Jom, kita tidur sana.  Selesa sikit…”  Bibirnya terjuih ke arah katil besar itu. 
Mata Sera turut memandang Buya.  Diam.  Lama.
Kemudian, dia senyum tipis.  Tubuh yang penat diangkat dan dia memasang sila di atas sofa, berdepan dengan Buya yang sedang melutut di depannya.  Entah bila dia terlena.  Selendang pun dia tak buka. 
Wajah Buya kembali direnung.  Apakah perasaannya pada lelaki ini sekarang?  Dia tak tahu.  Fikirannya kosong.  Hatinya apatah lagi.  Segalanya sudah terlalu tawar.  Biarpun tujuh tempayan madu dicurahkan, rasa tawar itu tetap di situ. 
“Sera tak selesa?”  Soalan bodoh.  Buya ketap bibir.  Menyumpah diri sendiri.  Memanglah tak selesa.  Kalau selesa, tak macam ni.
“Saya tahu Sera tak selesa…”  Soalan  itu, dia jawab sendiri. 
Sera masih diam. 
“Saya cakap jangan salah faham tadi, maksud saya… saya nak Sera tidur dekat tilam.  Biar saya tidur dekat sini.  Saya nak tidur dekat bilik lain, tapi ego saya masih sekat.  Saya masih ada rasa tak selesa dengan pembantu rumah biarpun diorang dah tahu apa yang jadi antara kita…”  Itu kenyataan yang tiada siapa boleh sangkal.
Hari pertama pernikahannya, semua telah terburai.
Namun, biarpun pekung itu telah terbuka… dia masih mahu angkat, keburukan itu masih disorok rapi.  Cukup saja baunya yang menyengat. 
“Atau Sera takut dekat saya?”  Makna takut yang dia ajukan, dia tahu Sera faham.
Dia, lelaki yang sihat dan tersangat biasa.  Tapi, untuk pertama kali di depan wanita ini, dia mahu jadi yang luar biasa.  Luar biasa dalam menjaga hati Sera yang telah dia ranapkan.  Kerana itu dia tak akan menyentuh Sera biarpun pada hujung jari selagi wanita ini tak izinkan.  Dia rela.  Dia halalkan.  Dia maafkan isterinya. 
“Kenapa saya perlu takut?”  Sera jatuhkan kaki di atas permaidani.  Bersedia untuk bangkit. 
Buya mengesot sedikit.  Dia melangut tinggi bila Sera sudah berdiri tegak, menjatuhkan pandangan padanya. 
“Awak manusia biasa, Buya.  Yang banyak lemahnya…” 
“Kalau Sera tahu saya manusia biasa yang banyak lemahnya, tak kan Sera tak boleh nak maafkan saya atas kesilapan kecil yang saya dah buat…”  Dia turut sama bangkit.  Berdiri hampir rapat pada isterinya.  Mahu saja dia raih tubuh itu ke dalam pelukan, tapi dia tahan.  
“Ya… semua manusia lemah.  Tapi, pada saya sifat tamak yang ada dalam hati awak tu, buatkan awak jadi dua kali lemah di mata saya…”  jawab Sera dan dia atur langkah menuju ke bilik air sebelum langkahnya tersekat dengan suara Buya.
“Saya tak sehina tu, Sera…” 
“Kiranya, awak tak nak mengaku?  Biarpun bukti dah ada depan mata?”  Separa wajah Sera menoleh.  Tajam mengerling Buya. 
“Bukan tak nak mengaku.  Memang saya akui semua tu tapi itu…”
“Cukup.  Jangan ada tapi.  Jawapan aje dah memadai.  Lagipun, awak tak akan miliki semua yang awak nak atas dunia ni.  Ada yang awak dapat, ada yang awak perlu korbankan…”
“Dan, jangan cakap saya perlu korbankan Sera?”  Kening lebat Buya berkerut tak henti-henti. 
“Kenapa tidak?  Kalau duit ringgit awak tu yang awak nak kan?  Itu sebab utama awak nikah dengan saya, kan?  Jadi, jangan jadi macam anjing dan bayang-bayang.  Awak boleh pilih satu.  Saya bagi awak masa beberapa hari untuk awak pilih, mana yang awak nak.  Tapi, harapnya… awak kena buang saya…”
“Mustahil!”  Buya mula membentak.  Sabarnya kian rabak. 
Kalau dia nak buang Sera, tak perlu dia tebalkan muka merayu di rumah mak su.  Padahal dia tahu, wajahnya tak lagi diundang di situ.  Mujur aje mak su tak memaki hamunnya. 
“Ada masanya, kita hidup ni tak ada pilihan sangat.  Apa yang terbentang depan mata, itu ajelah yang kita kena pilih…”  Tubuh Sera mula berpaling semula pada Buya.  Memeluk tubuh  yang terasa sedikit dingin bahana pendingin hawa.  Malah, sekarang dah tengah malam. 
“Saya pilih awak, Sera…”  Suara Buya, begitu yakin.  Tidak gentar biarpun pada hujung nada. 
“Dan awak akan hilang tiga dalam hidup awak sekaligus…”
Dahi Buya berkerut.  Apa yang tiga?  Setahu dia, hanya satu dan itu adalah harta yang arwah daddy tinggalkan.  Dia tak mahu itu.  Dia hanya nakkan Sera. 
“Awak akan hilang duit yang daddy awak wasiatkan dekat saya.  Bila saya jadi pemegang share terbesar dalam seluruh harta tinggalkan arwah daddy awak, saya akan tendang awak keluar daripada syarikat tu tanpa notis.  Paling penting, awak akan hilang adik perempuan awak.  Sebab saya tak akan mampu duduk sebumbung dengan budak perempuan manja macam tu…” 
Bukan niat untuk mengugut, namun dia tahu Buya adalah segala-galanya pada Balqish.  Dia dan Balqish sangat berbeza.  Dia, dididik oleh mak su dengan serba-serbi sederhana.  Berani biarpun satu hari nanti dia akan bersendirian.  Tapi, Balqish berbeza.  Anak gadis itu sudah biasa dimanjakan.  Mana mungkin dia mahu rampas bahagia Balqish.  Tak sepertinya yang dah biasa hidup tanpa orang tua, Balqish lain. 
Separuh hati, dia simpati pada Balqish.
Separuh hati, dia tak sanggup lagi berhadapan dengan wajah itu. 
Cara Balqish memandangnya, seperti dia yang menggoda Buya.  Seperti dia yang menjadi duri dalam daging pada hati Buya.  Padahal, kenyataannya berbeza. 
Buya yang mencari gunting dalam lipatan dalam hatinya.  Buya telah carik hati dan kepercayaannya.  Namun sekarang, bukanlah masa untuk dia meminta simpati.  Dia akan tunjuk kuat, biarpun hakikat dia hampir rebah. 
“Tak adil untuk dia, kan?  Dan saya tahu, awak tak akan sanggup biarpun satu-satunya adik kesayangan awak tu, sendiri…”  tambah Sera lagi.
“Benci sangat ke Sera pada adik saya?”  soal Buya rendah perlahan daripada dalam rengkungnya. 
Senyuman senget Sera terukir.  Sebelah keningnya terjongket.  Saja dia buat wajah loya menerima soalan itu. 
“Dia layak dibenci, kan?  Buat apa nak sayang orang yang benci kita?  Betul tak?” 
“Habis tu, saya sayang awak.  Kenapa awak tak nak maafkan saya?”
“Saya dah maafkan awak, Buya…”
“Kalau dah maaf, kenapa tak nak terima saya?” 
Saat ini, Sera tunduk.  “Sebab, maafkan awak dan terima awak kembali, adalah dua perkara yang berbeza, Buya…”  Kepalanya diangkat. 
Mata yang terasa suam, masih berani memandang lelaki di depannya.  Dia menapak beberapa langkah hingga antara dia dan Buya, hanya dipisahkan oleh beberapa inci saja. 
“Percayalah… saat saya bagi semua harta tu pada awak, sayang awak pada saya akan hilang.  Jadi, fikir baik-baik.  Jangan kerana nak kan saya seorang, awak terlepas segala yang lebih penting dalam hidup awak…”  ujar Sera separuh berbisik. 
Dia harap, serangan psikologi yang dia tembak pada Buya, mengena tepat.  Biarpun hanya tak sampai sehari, dia telah benar-benar rimas. 
Buya kaku.  Langsung tidak bersuara. 
Mata Sera dipandang.  Sejauh mana pun kau cuba pengaruhi aku, sayang… kenyataannya yang terpenting itu, adalah kamu. 



MATA Buya terkebil-kebil bila terdengar gelak tawa Sera daripada dapur.  Jauh benar dia tenggelam dalam memori semalam.  Biarpun tiada yang indah untuk dikenang, yang pahit itu tetap punyai rasa untuk ditelan. 
“Betul ke, mak cik?”  Tawa Sera masih berbaki.
Buya pasang telinga.  Entah tentang apa yang dibualkan.  Dia tak tahu bahana larut dalam ingatan sendiri.  Tapi, tawa itu benar-benar mampu memancing diri sendiri untuk tersenyum. 
“Betul, Cik Puan…”
“Eh… eh… tengok mak cik ni.  Dah berbuih dah mulut saya.  Macam orang kena sawan dah larang mak cik panggil saya cik puan.  Saya bukan cik puan dalam rumah nilah…”
“Eh, kena panggil cik puan.  Nanti kalau Tuan Bunyamin dengar, mau dia marah main panggil nama aje isteri dia…”
“Oh, masalahnya mak cik bukan panggil nama dia.  Nama saya.  Tak apalah saya selesa orang nak panggil saya apa.  Mak cik panggil saya cik puan lagi sekali, saya bungkus beg saya, saya lari daripada rumah.  Nanti, Buya tanya kenapa… saya cakap saya tak suka orang dalam rumah ni, panggil saya cik puan.  Haa… masa tu, mak cik rasa Buya cakap apa…” 
“Eh… jangan…”  Wajah mak cik cuak.
Sera tekup mulut.  Seronok dapat mengusik pembantu rumah yang dia kira seusia dengan mak sunya. 
Dalam rumah ni, ada beberapa orang pembantu rumah.  Kita setiap orang ada bahagian masing-masing.  Yang lain ada yang muda lagi.  Tapi, semua ramah dan baik melayaninya.  Kerana itu, dia ketawa, senyum… tak mahu hati yang walang membuatkan kesannya terpalit pada orang lain.
“Pandai Sera usik mak cik, ya?”
“Haaa… tengok.  Sebab saya usik, terus keluar nama Sera.  Lagipun, ini nama saya.  Saya risau nanti, lama-lama kalau semua orang panggil saya cik puan, saya jadi lupa nama saya.  Saya takut saya jadi lupa diri.  Asal usul saya, siapa keluarga saya, macam mana kehidupan saya yang asal…”  Wajah Sera tunduk pada pisau dan bawang putih di tangan. 
Sebak sedang membelai hatinya.  Tipu andai hati tak terusik dengan layanan orang dalam rumah ini.  Dia tak pernah kisah tentang Balqish apatah lagi Buya.  Tapi, mereka ini tak bersalah. 
“…Saya tak nak lupa apa yang dah jadi dan sedang jadi…”  tambahnya.
Pembantu rumah saling memandang.  Tak lama, semuanya menyambung kerja bila Buya tiba-tiba muncul dan berdiri tepat di belakang Sera.  Mendengar kata-kata Sera, dia tahu Sera maksudkan dirinya.  Dialah yang telah membawa perubahan yang begitu besar dalam hidup Sera.  Dalam sekelip mata. 
“Sera termenung pegang pisau, nanti terpotong tangan pulak,” tegur Buya ramah.  Dia senyum dan menarik pisau itu daripada tangan Sera. 
“Eh, saya nak buat kerja ni…” 
“Toksah… biar mak cik buat.  Jom, kita dok depan…”  Lengan Sera diraih tapi Sera keraskan tubuh. 
Dia mahu membentak, namun kata-kata Buya malam tadi masih berbisik di peluput telinganya.  Ego lelaki ini masih ada biarpun kebanyakannya sudah calar. Dan, dia juga tak gila untuk malukan Buya di depan orang. 
“Saya dah biasa buat semua ni.  Lagipun, ni bonding-time saya dengan orang dalam rumah ni selain awak.  Biar saya buat, ya?”  pintanya separuh memujuk dengan pandangan mata yang menghantar amaran agar Buya melepaskan tautan itu.
Namun sayang, Buya terus mengeratkan pegangan.  Kerusi ditarik dan dia duduk rapat di sisi Sera.  Hinggakan sisi peha mereka bertemu.  Bahu bersentuhan.  Mak cik dan yang lain hanya mampu meleretkan senyuman.  Syukur, selepas kejadian malam pernikahan itu, semuanya nampak kian pulih. 
“Saya tolong?” 
“Tolong jangan macam ni, boleh?”  bisik Sera.  Tak selesa dia bila Buya akhirnya mengambil kesempatan. 
Mimpi apa lelaki ni malam tadi sampaikan berhimpit macam ni sekali.  Di dapur pulak tu.  Malam tadi, tak masuk dekat langsung. 
“Haa… bawah merah?  Boleh-boleh.  Bagi saya kupas bawang merah.  Saya tahu jugak kerja rumah ni…”  Buya capai seulas bawang merah.  Dikupas perlahan.  Dicapai ulas yang kedua, dikupas juga.
Sera hanya mampu tersenyum janggal pada pembantu rumah yang saja buat-buat tak nampak. 
“Adeh…” 
“Hah?  Kenapa?”  Sera menoleh.  Buya sedang menggenyeh mata yang sudah berair.
“Pedih, yang…”  rengeknya. 
Hish… Sera mahu merungut tapi dia tahan. 
“Kalau dah tahu tak boleh, jangan paksa diri.  Awak yang sakit nanti.  Bukan ke saya dah pesan semalam?”  ujar Sera cukup perlahan.  Maksudnya sama biarpun tujuan itu berbeza. 
Buya buka mata.  Airmata masih terbit daripada tubir kesan pedih bawang merah.  Dia hanya merenung wajah cantik isteri di depan mata.  Terpanar dengan sindiran Sera.  Padahal, dia telah begitu nekad untuk memujuk hati isteri.  Biar apa cara sekalipun. 
“Saya dapat jawapan saya…”
“Jawapan?”  Sera tak faham. 
Buya kesat airmatanya.  Tapi, ia masih kekal menitis.  Rasanya, ini bukan kerana bawang merah, tapi kerana wanita di depannya kini. 
“Yang terpenting itu, adalah awak.  Dan, maaf kalau saya nak lebih tamak daripada sebelum ni.  Saya akan pastikan, awak, Balqish, mak su dan saya… kita berempat akan hidup bahagia sebagai satu keluarga…” 
“Awak mimpi?”  sindir Sera. 
“Segalanya bermula dengan impian.  Selebihnya, saya akan usaha untuk jadikannya kenyataan,” balas Buya lembut perlahan. 
Jarinya naik menyentuh pipi halus Sera.  Bukan niat, tapi ada kulit bawang putih melekat pada pipi Sera.  Dia tahu isterinya mahu menepis, tapi Sera biarkan demi rasa hormat yang masih tersisa, mungkin. 
“Boleh saya jadikan impian saya, kenyataan?” 
“Seperti saya cakap, dalam mimpi dan saya harap, tak berakhir dengan mimpi ngeri…” 
Sekali lagi, Buya gamam.  Tugas untuk dia kali ini, benar-benar sukar.  Susunlah plan A sehingga Z sekalipun, semua ini memang payah.  Namun yang pasti, tidak mustahil. 
“Macam mana saya nak mimpi ngeri, sedangkan awak adalah kenyataan indah yang menemani?  Hrmmm?”  Saja Buya cuba redakan perasaan tegang antara mereka.  Keningnya terjongket sebelah pada pembantu rumah yang sedang ketawa kecil melihat kelagat mereka. 

Biarpun, kenyataan itu begitu sukar untuk ditelan saat ini.  

19 comments:

  1. Tq2 untk n3 Ni,,,gudluck buya,,usaha hgg Sera mengalah dgn sakti cinta dri hg😂

    ReplyDelete
  2. Awww best rehan
    Teruskan usaha buya. Jangan mengalah dan banyakkan bersabar. ﺇِﻥ ﺷَﺎﺀ ﺍﻟﻠَّﻪُ lembutlah hati Seha tu. Menunggu saat bahagia Buya dan Sera 💘💖❤️

    ReplyDelete
  3. MashaAllah, sebuln tunggu, alhamdulillah penantian x sia2 ..haha, saya buka chrome je tekan blog akk duli.. Betapa rindunya dgn penulisan akk huhu.. Tq kak

    Btw sera, hang nak apa sbnrnya.. Bg la hint sikit kat buya. Buya pening laa, hahahaha
    Buya plak, ayat tu kasi manis tambah sikit hahahaha..walupun hakikat mmg dah bersemut dahh 😁

    ReplyDelete
  4. Sy pon rase nak tamak macam Buya..
    Nak lagi nak lagi RM..
    Plssss

    ReplyDelete
  5. Lamanya RM...tq update,....nak lagi plzzz...ka dah jadi buku...bagitau ya...

    ReplyDelete
  6. Terus berusaha Buya.... Tq RM.... Lama cuti

    ReplyDelete
  7. Tqvm atas sambungan cerita.. makin suspen ni...

    ReplyDelete
  8. pls kk cepatlh smbung.....
    penasaran sangat2 ttg sera & buya

    ReplyDelete
  9. Timakasih cikRM...moga terus dilimpahi idea dan kelapangan utk update. Awak 👍

    ReplyDelete
  10. mekasih RM.. nak lagi please..

    nak baca Buya n sera je

    ReplyDelete
  11. please nak lagi dialog antara buya n sera je..romantik penuh kasih buya utk sera je

    ReplyDelete
  12. Buya.....usaha tangga kejayaan....go buya go

    ReplyDelete