Monday, November 27, 2023

DINGIN 11

DENGAN jasad yang menggigil, Mukminin cuba capai apa sahaja barangan miliknya. Rasanya tiada apa. Dokumen penting juga sudah ada dalam beg galas. Pakaian telah disumbat dalam beg lain. Rumah juga dalam keadaan bersih. Dia akan memberitahu tuan rumah yang dia tidak akan menyewa lagi di sini nanti. Dia tak kisah jika bayaran depositnya hangus kerana keluar tanpa notis awal.

Apa yang pasti, dia mahu segera pergi.

Mukminin keluar rumah dengan keadaan tergesa-gesa. Pintu dan grill dikunci. Sebaik sahaja menoleh, jiran depan rumahnya menegur.

“Eh… Min? Nak pergi mana dengan beg ni?” Mata wanita tua itu jatuh pada beg yang ada di tangan Mukminin. Wajahnya berpeluh.

“Nak balik kampung beberapa hari, mak cik. Ada urusan,” jawab Mukminin, sopan.

“Oh… mak cik tak perlulah simpan nasi lemak dekat kau, ya?”

“Ya, mak cik. Tak perlu.”

Wanita ini bukan sekali menghulurkan nasi lemak untuk jualan padanya. Ada masa dia berkeras untuk bayar. Ada masa pula, wanita ini juga berkeras untuk tidak terima bayaran.

“Terima kasih, ya... selalu bagi saya nasi,” ucapnya.

“Alaa… kau pun selalu tolong mak cik angkat barang naik atas ni.”  Wanita itu senyum.

“Haa… hati-hati balik. Hujan pun dah turun tu,” pesannya lalu masuk ke dalam rumah.

Tak menanti lama, Mukminin melangkah. Laju. Tak ubah seperti berlari. Dia turuni anak tangga daripada tingkat empat flat lama ini. Seperti kata mak cik tadi, hujan sudah lebat. Langit sudah begitu kelam. Dia rasa mahu menangis tapi dia tahu dia perlu cekalkan hati.

Kata-kata dan bisikan lelaki itu mengaum dalam kepala tak henti-henti. Sejak dulu, dia tak pernah lupa. Cuma, bunyinya tidaklah sekuat sekarang. Saat ini, pekikan itu hampir memecahkan dadanya yang sudah sedia sendat.

Mukminin keluarkan telefon bimbit untuk memesan e-hailing tapi nasibnya baik bila ada sebuah teksi berhenti di depannya. Tepat pada masa saat dia sangat memerlukan.

“Teksi, cik?” soal pemandu itu setelah diturunkan cermin kereta.

“Ya.” Mukminin memboloskan diri masuk ke dalam kereta.

“Nak ke mana?” soal pemandu tersebut

“Hantar saya ke Hentian Bas Jalan Duta…”

“Boleh. Tapi, jalan sesak sikit sebab hujan lebat. Biasalah KL ni…”

“Tak apa. Asalkan sampai sana sebelum jam 8.00 malam.” Dia dah beli tiket bas dan harapnya bas akan bertolak tepat pada masanya.

“Oh, sempat sangat. Ini baru jam 6.30.” Lelaki itu senyum. Dia menekan skrin telefon persis mencari arah atau jalan pintas menuju ke tempat tujuan.

Sepanjang perjalanan, Mukminin tak sudah memujuk hati. Ini hanya mimpi. Kemunculan dia di depan lelaki itu adalah sesuatu yang tidak disengajakan. Namun, amaran telah diberi. Biarpun tidak sengaja, hukuman berat sedang menantinya.

Dia akan terus lari dan bersembunyi. Empat belas tahun, dia mampu hidup damai dan tenang. Setelah ini juga, dia akan pastikan dirinya akan hidup damai dan tenang. Biarpun bersendirian. Dia tak perlukan teman. Cukuplah apa adanya sekarang.

Tapi, kenapa…

Betapa dia cuba damaikan tubuh yang menggigil, lututnya terasa hampir terpenggal. Dia resah. Gelisah. Duduknya makin tak betah.

“Cik okey ke? Kalau sejuk, saya tutup aircond sekejap,” tegur pemandu teksi tersebut.

“Saya okey,” Mukminin cuba senyum tapi jelas pincang. Bibirnya bagai membeku hingga tak dapat mengoyak senyum dengan baik.

Pemanduan kembali sunyi. Mukminin memeluk tubuh sekuat hati cuba memberi kehangatan pada jasad sendiri. Dia tahu, dia kedinginan bukan kerana cuaca di luar atau kerana pendingin hawa dalam kereta, tapi kerana rasa takut yang hampir tidak dapat dibendung.

Sebaik sahaja tiba di perhentian bas yang dimaksudkan, dia bergegas turun. Tak dihiraukan hujan yang masih lebat. Dia hampiri kaunter tiket bas. Mendapatkan tiket yang telah ditempah namun, apa yang disampaikan buat dia hampir menangis. Kerana hujan lebat dan trafik, perjalanannya dijangka lewat.

Mukminin duduk di atas kerusi di tempat duduk yang agak jauh daripada deretan food court. Biarpun dibasahi tempias, dia tetap tak kisah. Asalkan tiada siapa nampak akan dirinya. Dia tunduk biarpun kepalanya ditutup topi serta wajah dilindungi pelitup muka. Hanya untuk dia sedar, ada sepasang kaki sedang berdiri di hadapannya.

Mata Mukminin berair. Bibirnya bergetar hebat. Dia tak berani untuk angkat wajah kerana dia tahu. Haruman tubuh ini… tak pernah dia lupa.


...

PRA TEMPAH SEKARANG DENGAN HARGA MENARIK



No comments:

Post a Comment