Tuesday, July 08, 2014

Bahasa Hati Kita 10

BAB 10

MAKAN malam sepi.  Jed angkat mata.  Pandang wajah Ku Zarina dan Megat Johari  yang rancak berbual.  Yang pastinya pasal bisnes.  Entah apa tujuan Tuan Megat ajak dia makan malam bersama.  Terpaksa dia batalkan janji dengan Lis malam ni. 
“Itulah, bang.  Mujur ada yang boleh jahitkan.  Kerja dari rumah pun tak apa.  Kira dia letak harga upah dia, saya bayar aje.”  Ku Zarina teruja bercerita tentang butik dia sejak daripada Jed duduk di atas kerusi ni. 

“Erm... abang pun.  Kata Juvie, surat panggilan dah diemelkan pada yang layak untuk temuduga minggu depan.  Lega sikit.  Kalau tak, memang tak jalanlah kerja gamaknya.  Dahlah itu satu-satu projek yang susah sikit nak siapkan.  Masalah tanahlah, kewanganlah... macam-macamlah...”  Megat Johari menjeling pada Jed.  Saja menyindir. 
Saja nak tengok muka Jed lekat di rumah biarpun dia tak tahu nak bercakap apa dengan Jed.  Macam hilang tajuk langsung sedangkan itu anak kandungnya.  Boleh jadi lama sangat tak borak, tak tahulah nak mulakan dengan tajuk apa melainkan tentang bisnes. 
Jed senyum.  Dia tahu dia sedang disindir.  Apa nak kata.  Memang salah dia, banyak main-main dalam syarikat.  Tapi, sejak akhir-akhir ini tidakkah dia tunjukkan prestasi yang agak baik.  Setiap mesyuarat dia tunjuk muka.  Dia bagi tahu progress projek yang dia jaga.  Nampaknya, payah sungguh nak puaskan hati Tuan Megat ni. 
“Haa Jehanna... kenapa lekat kat rumah malam ni?”  soal Ku Zarina bila lihatkan Jed diam saja. Soalan macam tak nak Jed ada di rumah. 
Jed angkat  kepala.  “Tuan Megat ajak saya makan kat rumah...”  Sinis dan datar Jed menjawab.  Saja menaikkan minyak di hati Ku Zarina. 
Dijelingnya Jed tajam.  Rasa nak cepuk budak ni dengan pinggan Correl putih ni.  Biar sedar diri sikit dia bercakap dengan siapa. 
“Tak sudah-sudah cakap tu, nak buat mummy sakit hati?” 
Jed pandang wajah Ku Zarina.  “Maaf kalau dah buat Ku dan Tuan Megat sakit hati.  Since I’m not suppose to be here, please excuse me.” 
Tubuh diangkat.  Jed nak berlalu ke dapur.  Tapi, suara Megat Johari berdentum menghalang. 
“Boleh kamu duduk situ, Jehanna?  Kenapa nak kurang ajar sangat?”  Berdentum di jerkah anak tunggalnya.  Angin marahnya dah mencanak di atas kepala. 
Jed tak kalih.  “Dah tu, Ku dengan Tuan Megat rasa dah cukup ke ajar saya selama ni sampaikan saya boleh jadi kurang ajar?”  Dia senyum sinis.  Kelopak mata dia rasa suam tiba-tiba. 
“Dian Jehanna!”  tempik Ku Zarina.  “Kamu sedar tak dengan siapa kamu cakap sekarang ni?  Sedar tak yang kami ni orang tua kamu?”
“Orang tua…”  Jed menggumam sendiri dengan senyuman sinis.
Andai orang tua, dia akan tahu perihal anaknya.  Dia akan ambil tahu jika tak tahu.  Dia akan dihargai di dalam rumah ini tapi sebaliknya terjadi. 
Suasana makan malam bertukar kalut.  Megat Johari dah letak sudu dan garpu di tepi.  Kuat.  Berdenting bunyinya.  Ku Zarina dah bangkit. 
“Tak boleh ke, makan baik-baik tanpa cakap kurang ajar macam tu dengan kami?” 
“Dan, apa niat Ku dan Tuan Megat ajak saya makan sama malam ni?  Biasanya saya makan sendiri?  Ku dan Tuan Megat entah ke mana.  Sejak bertahun-tahun dulu pun sama.  Kalau Tuan Megat dan Ku rasa nak ajak saya makan semeja sebab nak sindir saya tak berguna sesen dan tak bagi keuntungan pun pada perniagaan Ku dan Tuan Megat, maaflah... saya tak ada minat nak dengar...”  Jed bersuara senafas. 
Dia dah nekad.  Dia tegar.  Hati dia sakit amat.  Dia akan lepaskan segalanya.  Cukuplah dia lepaskan marah dia di depan Kak Zah.  Hari ini, biarlah Ku Zarina dan Megat Johari tahu isi hati dia yang semakin lunyai. 
“Dian Jehanna Puteri!”  Jerkah Megat Johari pulak. 
Jed kalih.  Dia senyum sinis.  Kelopak mata kian terasa berat.  Sikit lagi airmata dia nak mengalir.  Sikit lagi.  Dia tahankan buat sementara waktu.  Jangan berani nak mengalir di depan dua orang berdarah bangsawan ni. 
“Apalah yang lebih penting pada Ku dan Tuan Megat selain bisnes?  Hingga makan malam di rumah pun tetap cakap pasal bisnes?  Saya ni satu urusniaga ke pada Ku dan Tuan Megat berdua?  Melainkan saya mampu sumbangkan wang ringgit... kalau tidak memang saya tak ada nilai, kan?”  Tanya Jed bertubi-tubi. 
Ku Zarina dan Megat Johari kaku.  Kali ini bukan kaku kerana amukan Jed tapi kaku dengan soalan dan titisan airmata pada pipi anak  yang seorang itu.  Jed tolak rambut yang menutupi dahi.  Selama ni dia tak membentak sikit pun.  Hari ni dia tak mampu bertahan. 
Mata Ku Zarina tertancap pada segaris parut lama tu.  Parut sewaktu Jed berumur tujuh tahun.  Tersungkur dan terkena birai kolam renang.  Dia risau.  Jed menangis tapi sudahnya, Jed hanya ditinggalkan di hospital dengan jururawat yang diupah  khas kerana dia ada hal penting berkait dengan masa depan perniagaannya. 
Jed kalih.  Renungan Ku Zarina dan Tuan Megat tercantas.  Jed dah berlalu ke atas.  Tak lama kemudian, Jed turun mengelek helmet dan juga sehelai jaket, juga beg galas. 
Airmata Kak Zah menitis.  Sedih dengan soalan Jehanna tapi sedih juga bila Jehanna akhirnya biadap dengan orang tua sendiri.  Entah apa yang nak jadi dengan semua orang dalam rumah ni.  Mereka mampu bahagia tapi mengapa pilih jalan untuk derita?  Melihatkan pada Jehanna yang sudah menghilang di balik pintu besar itu dan enjin motosikalnya mengaum garang dan derumannya kian meninggalkan perkarangan rumah, Kak Zah capai telefon Nokia dalam poket apron.  Nombor telefon rumah Puan Imah didail. 


MAKAN malam tidak seperti sebelumnya.  Tak tahulah nak disalahkan siapa akan apa yang telah terjadi.  Selama ini Jed makan sendiri tapi malam ini, Kak Zah sudah rasa ada yang tak kena bila Jed katakan, Tuan Megat ajak dia makan malam bersama di rumah.  Memang hati tak sedap namun dia tetap berdoa moga segalanya berjalan lancar namun siapa tahu, Allah masih mahu duga sabarnya seseorang hamba. 
Malam ini Kak Zah tidur di sini atas permintaan Jehanna tapi gadis itu dah menghilang dan entah kembali entahkan tidak.  Risau hatinya.  Pinggan dilap kering sebelum di susun di dalam kabinet.  Tak tenang dia buat kerja kerana memikirkan keadaan Jehanna apatah lagi malam kian larut ni. Langit pula kelam bagai hari mahu hujan. 
Derap tapak kaki mencantas renungan Kak Zah.  Dia kalih dan Ku Zarina menapak tenang menghampiri dia.  Sebiji mug dicapai dan dituang separuh air masak.  Wajahnya mendung.  Tak seperti sebelumnya. 
“Salah saya ke, kak?” 
Kak Zah diam.  Pinggan seterusnya dicapai.   Dia pun tak tahu nak kata apa.  Bimbang Ku Zarina berkecil hati nanti. 
“Kami ni makin jauh.  Tersangat jauh…”  Birai mug dibawa ke bibir. 
Diteguk lagi air hingga habis dan diletakkan mug tersebut di dalam sink.  Pantas tangan Kak Zah menyambutnya. 
“Kak Zah tak berani nak kata apa tapi jujurnya, Jehanna tu terdesak jadi gitu.  Dia tak ada tempat nak mengadu.  Kak Zah dah bertahun dengan keluarga Ku dan Tuan Megat.  Kak Zah dah kenal Jehanna daripada dia umur belasan tahun.  Paling tak boleh nak lupa masa dia teruja nak raikan keputusan periksa dia tapi…”  Bicara Kak Zah mati. 
Dikerlingnya wajah Ku Zarina.  Dia yakin Ku Zarina masih ingat.  Itu pun Kak Zah yang bersusah payah menghantar Jehanna ke klinik dengan pemandu lama keluarga ini.  Setelah itu Jehanna berubah langsung. 
“Kalau Ku masih ingat tu.  Apa punca dia jadi macam tu?  Memanglah, Kak Zah orang luar tapi sayang Kak Zah pada Jehanna tu macam anak sendiri. Ku dan Tuan Megat pun percayakan Kak Zah jaga dia.  Cumanya Ku… kasih ibu dan ayah kandung ni lain dengan kasih sayang orang luar.  Dia perlukan perhatian.  Dah lama.  Dia rasa tak diperlukan.  Pada Kak Zah, tak ada sesiapa salah.  Ku atau Tuan Megat atau Jehanna sendiri.  Tapi, perkara dah berlaku sebab Allah tu nak duga.  Untuk kita kembali pada-Nya.  Menjaga amanah yang telah diberikan dengan baik.  Baiki kesilapan.  Jehanna tu…”  Kak Zah telan liur.
Ku Zarina pula diam sedari tadi.  Saat pertama kali Kak Zah buka mulut.  Dalam hati dia akui kata-kata Kak Zah tapi semua ni untuk Jehanna juga.  Tak ada untuk orang lain pun. 
“…Jehanna tu amanah, Ku…”  Kak Zah lap tangan. 
Bahu Ku Zarina diusap lembut beberapa kali.  “Harta boleh dicari semahunya selagi kita tak lupa pada Allah tapi ingatlah… pada akhirnya, anak adalah harta yang paling berharga,” nasihat Kak Zah penuh berhemah. 
“Kak Zah naik dulu.  Nak kemas pakaian Jehanna.  Mesti bersepah lagi tu,” pinta Kak Zah dan dia terus berlalu mendaki anak tangga menuju ke bilik Jed. 
Ku Zarina pula membawa langkah menuju ke bilik sendiri.  Suaminya sedang membelek sebuah majalah Times.  Tenang saja tanpa ada riak risau pada Jed.  Perlahan-lahan dia hampiri suaminya lalu melabuhkan duduk di depan suaminya. 
“Kita ni salah pada Jehanna, bang.”  Ku Zarina tunduk menekur ke lantai. 
Mendengarkan ayat itu, pembacaan Megat Johari terganggu.  Dia tutup majalah dan memandang tepat pada isterinya.  Cermin mata dibuka dan dia cuba lagi mencari makna tersirat di sebalik ayat itu.
“Kita ni cari rezeki untuk kesenangan dia, Ina.  Apa pula yang salahnya?”  Megat Johari masih lagi belum sedar akan khilaf dirinya. 
“Memang untuk dia tapi entahlah… Ina rasa kita makin jauh dengan Jehanna.  Dia macam bukan anak kita…” 
Mengeluh tipis Megat Johari dibuatnya.  “Dia tu satu-satunya anak kita, Ina.  Sampai masa, bila dia betul-betul dah buka mata dan sedar yang kita buat semua ni untuk dia, dia akan berterima kasih nanti,” ujar Megat Johari positif. 
Dia bangkit mendekati isterinya.  Bahu Ku Zarina dipeluk erat.  Mesra.  Mata menjeling jam pada dinding.  Dah hampir tengah malam.  Entah mana Jed bawa diri lagi malam ni.
“Kalau dia tak balik malam ni, bang?”  Duga Ku Zarina risau.
Mendengarkan nasihat Kak Zah buat dia berpijak di bumi sedikit.  Jehanna itu amanah.  Sampai bila nak diabaikan? 
“Dia kan dah biasa balik lambat.  Paling tak pun, dengan Merlis…” 

Mudah Megat Johari menduga.  Biarpun hati juga risau namun egonya sedikit berkeras.

10 comments:

  1. owhhhh berderai akhirnya air mata. sedihnya seorang Dian Jehanna Puteri.
    tanhiah kak RM. tak sabar nak peluk jed versi cetak.

    ReplyDelete
  2. QueJed saya dah order..... tp LaiQadr rindu menggunung... Qadr tak balik lagi ke..

    ReplyDelete
  3. Sy rindu sgt kt laila n qadr.....

    ReplyDelete
  4. Smat hari raya sume....eratkan kasih sayang..💖

    ReplyDelete
  5. Smat hari raya sume....eratkan kasih sayang..💖

    ReplyDelete
  6. Kak rm bila nak masukkan entry bru. Rindu akak

    ReplyDelete
  7. Da beli novel ni....baru je abis bace....
    Maveles sgt RM...
    Nak lagiii.....
    Moga2 lailatulqadr sama hebat dgn yg ni....just cant wait...

    ReplyDelete
  8. Aduhh....memang nk kena beli ni...tungguuuu...tq kak rehan....akk memang superb....

    ReplyDelete
  9. SALAM KAK REHAN....
    SAYA KENAL KAK REHAN MELALUI TERLERAI KASIH...DAH BACA BERKALI-KALI TERLERAI KASIH..NOVEL FEBERET SAYA...
    NOVELL KAK REHAN SAYA PALING SUKA TERLERAI KASIH DAN BAHASA HATI KITA,,,MENYENTUH EMOSI..
    HARAP KAK REHAN BUAT BUKU MACAM TERLERAI KASIH LAGI.

    ReplyDelete