BAB 6
Teragak-agak Jed
tarik salah satu daripada empat buah kerusi tu.
Meja makan 4+1. Kecil ajelah
kalau hendak dibandingkan dengan rumah Ku dan Tuan Megat. Macam ruang makan dalam Harry Potter. Seorang hujung sana, seorang hujung
sini. Cakap pun macam kena pakai walkie talkie kekdahnya. Tapi, masalah mana pernah duduk semeja
makan. Kalau semeja pun, mesti berakhir
dengan mala petaka. Itu yang buat hati
dia lagi sebal.
“Duduklah.” Mendatar aje suara yang menyuruh. Bukan mempelawa tapi menyuruh. Kalau mempelawa, nadanya lain. Ini… Jed ketap bibir. Terasa sedih sedikit.
Jed jeling Que
dengan ekor mata. Dia dah duduk. Dah
capai pinggan. Dah cedok untuk diri
sendiri pun. Apa masalah dia ni?
“Kau masak
ke?”
Que angguk. “Aku rasa kau tak makan lagi, kan?” Soalan itu diaju tapi Que dah suap dulu
makanan ke mulut.
Masakan ibu,
sentiasa sedap. Tadi, dah makan tapi
saja tak nak Jed rasa janggal makan seorang.
“Sungguh ke kau
masak?” Jed tak percaya. Dia tarik kerusi dan labuhkan duduk.
Que kalih
lipat. “Kau tak dengar bunyi
keletung-keletang tadi? Tak pernah tahu
ke orang masak memang bunyi macam tu?”
Padahalnya, Que saja laga-lagakan periuk belanga. Mujur Kak Zah tak bising. Mahu kemek periuk belanga nak buat pusaka
tu.
“Macam sedap,”
ujar Jed lebih pada diri sendiri.
Di rumah tadi
dia tak makan pun. Kak Zah pelawa nak
temankan tapi dia dah hilang selera. Dok dalam rumah tu rasa nak baham orang
aje. Rasa nak jadi singa betina setiap
saat. Kalau tak mampu membaham pun,
mengaum cukuplah. Tapi, dia tak
mampu.
“Haruslah
sedap. Tengok tanganlah…” Que buat wajah sinis, kerling pada Jed.
Takut-takut Jed
nak capai senduk nasi. Ketar pun
ada. Biasanya, orang yang
hidangkan. Di rumah dia, Kak Zah yang
hidangkan. Kalau tak ada, dia cari makan
di luar.
“Kau
kenapa?” soal Que. Payah benar Jed ni nak senduk nasi dalam
pinggan sendiri.
“Err… boleh
sendukkan?” Pinta Jed perlahan.
Que jeling
tajam. “Tangan kau tu nak buat apa? Tak boleh senduk sendiri? Kalau rasa tangan tu tak ada fungsi, mari
sini aku potong. Senang, aku suap aje
kau makan!” Herdik Que. Mengada-gada sungguh Tuan Puteri tak ada
rakyat untuk diperintah ni.
“Tangan tu Tuhan
bagi untuk buat benda macam ni la.
Senduk nasi sendiri. Buat kerja
yang baik. Makan pakai tangan ni antara
sunnah nabi, tahu? Bukannya Tuhan bagi
tangan tu nak suruh tumbuk orang, pasak tangan orang dengan garpu bagai,”
sindir Que tenang.
Jed ketap
bibir. Menahan lahar yang meletus dalam
dada. Dia bukan tak boleh setakat nak
senduk nasi sendiri tapi tangan dia memang menggeletar masa ni. Tak tahulah, kesan jatuh tadi ke atau pun kesan
ada Que depan mata. Manalah dia pernah
makan berdepan dengan lelaki asing sebelum
ni. Dengan Syakir pun tak pernah,
biarpun kerap juga keluar ke tapak bersama.
Biarpun sesekali Syakir tu bersungguh mengajak tapi dia dingin
menolak.
Bibir Que
terjongket sikit ke kiri. Sinis. Membebel dalam hati. Apa punya perempuanlah kalau macam ini pun
tak boleh nak buat? Geleng kepala dia
dibuatnya. Adik dia Qariah, yang baru
belasan tu pun pandai buat kerja rumah dah, tolong mak. Ini dah besar panjang… apa pun tak
boleh.
“Heh… kalau kau tu nak suruh aku
sendukkan, cakap ajelah. Nak bermanja
bagai, kan?” sinis Que bila dia lihat
Jed kaku tak bertindak apa pun.
Que basuh tangan
dengan air yang memang dah tersedia. Dia
jeling Jed. Masih kejung minah ni. Hilang taring dah gamaknya.
“Mari sini
pinggan…” Que tarik pinggan di depan Jed
tapi Jed lebih cepat menghalang. Terus
mata Que merenung Jed tajam.
Jed angkat
mata. Dia buat muka tak beriak
juga. Cuba mencabar tenang Que.
“Aku tak
lapar…” Ya, dia memang dah kenyang.
Di rumah dengan
bebelan Ku dan Tuan Megat, sampai sini Que pula membebel. Bosannya.
Otak dan perut sama-sama penuh sekarang ni.
“Dah pulak?” Cebek Que lebar.
Dia letak semula
pinggan. Malas nak paksa. Dah orang cakap tak lapar, nak paksa buat
apa. Dia suap nasi yang sikit lagi
berbaki ke dalam mulut. Setelah meneguk
air separuh gelas, Que bersuara lagi.
“Kalau kau rasa
aku nak layan kau macam puteri kat sini, silaplah. Boleh cari orang lain. Aku ciao…” Terus Que angkat tubuh hendak berlalu ke
dapur.
Waktu ni, Kak
Zah baru keluar daripada dapur.
Bertembung dengan Que. Matanya
merenung Que tajam. Macam ada tak kena
aje. Baru aje dia sudah buat air. Que dah siap makan. Jed pula termenung. Menekur depan pinggan kosong.
“Korang ni gaduh ke?” Soal Kak Zah nak tahu.
Que jongket
bahu. “Malas nak layan…” Dia berlalu ke singki.
Kak Zah tak jadi
ke depan. Sebaliknya dia mendekati Que
yang sedang membasuh pinggan yang sebiji tu.
“Kenapa layan
dia macam tu? Jad yang salah langgar
dia, kan? Dah minta maaf? Dan kenapa Kak Zah rasa Jad dengan Jehanna tu
dah kenal?” Soal Kak Zah curiga.
Daripada tadi
dia mencuri dengar. Perbualan Jed dan
Que tu memang macam dah kenal. Que tak
pandang pada Kak Zah pun. Dia capai
tuala kecil dan tangan dilap sehingga kering.
“Jad… Kak Zah
tanya ni…” Perlahan Kak Zah
mengingatkan.
Nak tak nak Que
kena berterus terang. Lagipun, tak ada
apa pun antara dia dengan Jed. Kenal
macam tu aje. Hampir jadi musuh. Selebihnya, Allah lebih tahu.
“Kenal macam tu
ajelah…”
Que menceritakan
peristiwa tempoh hari. Di mana
bermulanya perkenalan dia dengan Jed secara tak sengaja. Dan dia pun tak ingin nak jumpa Jed lagi
sebenarnya tapi asyik terserempak dalam pelbagai kebetulan. Mana dia tahu.
“Patutlah… dia
kata dia dah jumpa beg duit dia. Dah tu,
apa lagi yang Jehanna buat sampai Jad marah ni?” Tanya Kak Zah. Tengok pada wajah Que, tegang aje bila
pandang Jehanna. Macam gadis itu dah
buat salah besar.
“Tak ada apa…
tapi malas nak layan. Tipikal anak orang
kaya la dia, Kak Zah. Ada masalah, buat
benda bukan-bukan. Jad doa moga
adik-adik Jad tak jadi macam tu biarpun kami ni susah,” ucap Que terjuih-juih
sambil mengerling pada Kak Zah.
Keluhan tipis
kedengaran. Gamaknya si Que ni masih tak
faham. Dia dah terangkan pada Que
kedudukan Jed. Tapi, tak salah Que bila
sukar mengerti sebab dia lebih terduga. Yatim sebelum waktunya tapi Allah dah
tetapkan waktu itu, siapa mampu menghalang.
“Kan Jad dah
tahu sikit-sikit pasal dia…”
“Tapi, itu bukan
cara untuk dia lepaskan marah dia, Kak Zah,” bantah Que cukup tak setuju. Itu bukan caranya. Bukan.
Itu salah.
“Jad tak setuju
langsung. Murah sangat ke dia tu? Dengan pakaian macam tu? Make-up
macam jerangkung dalam semak, kasar kemain…”
“Astaghfirullah…” Kak Zah beristighfar panjang. “Jangan cakap macam itulah, Jad… dengar dek
Jehanna nanti, kecut hati dia.” Kak Zah
menggeleng.
Que ni kalau
bersuara boleh tahan pedasnya. Boleh
menipis telinga kalau mendengar. Tapi,
sebab ketegasan dia itulah adik-adik semua menjadi orang. Boleh dia galas tanggungjawab sebagai ketua
keluarga pada usia yang masih muda bila arwah abang sepupunya itu kembali ke
pangkuan ILAHI.
“Kasar sangat
eh, Kak Zah?” Que sengih. Garu kepala.
Rasa bersalah
pula. Dia rasa marah pada Jed tapi
siapalah dia nak marah pada Jed. Tak ada
kaitan.
Kak Zah
menggeleng. “Kasar tu, Jad. Jehanna tu
perempuan. Muda lagi. Jad tak tahu apa yang dia lalu. Duit banyak tapi pada dia tak ada siapa dalam
dunia ni yang boleh dia percayai. Tak
ada siapa sayangkan dia seadanya dia. Dia
rasa mummy dengan abah dia pun tak bersyukur dengan kewujudan dia…” Sempit dada Kak Zah bercerita kisah
Jehanna.
“Jad kena faham
tu. Dia membesar dalam keluarga tak
serupa macam Jad dan adik-adik membesar biarpun korang cukup-cukup makan aje,” sambung Kak Zah.
Harap sangat Que
tak terus salahkan Jehanna. Yang salah
tetap salah tapi setidak-tidaknya, nampak juga faktor yang menjadikan Jehanna
macam tu. Kak Zah yakin, Jehanna tu masih boleh diselamatkan andai kena
caranya.
Allah sentiasa
membuka ruang untuk manusia kembali pada meminta dan mengadu pada-Nya. Dia harap satu hari nanti, Jehanna punyai
keluarga yang diimpikan. Moga Allah
hantar seorang putera buat puteri kesunyian itu.
Que garu
kepala. “Maaflah, Kak Zah. Bukan Kak Zah tak tahu Jad ni kalau tengok
perempuan jadi macam ni. Lidah ni
automatik jadi jahat. Tak sedar diri
sendiri pun tak baik mana. Kami
sekeluarga pun susah sejak ayah tak ada, tapi tak ada pula Jad rasa nak mencuri
atau buat kerja bukan-bukan,” sambung Que berbaur kesal.
Kesallah juga
sebab berkata kasar macam tu tentang Jed sedangkan dia tak kenal pun siapa Jed
tu.
“Mintak maaf
pada Jehanna… bukan pada Kak Zah,” putus Kak Zah tegas.
“Dahlah… mari
kita keluar. Temankan Jehanna
makan. Tak makan lagi dia daripada
semalam tu. Minum aje mana nak dapat
kudrat.”
Langkah Kak Zah
diikuti tapi meja makan dah kosong.
Tiada susuk tubuh langsing Jed di situ.
Kak Zah pandang Que. “Mana
Jehanna?”
Que jongket
bahu. Dia berlari ke pintu dan sedang
elok daun pintu dikuak, Kawasaki Z250 itu sudah melepasi pagar, meninggalkan
perkarangan rumah Kak Zah.
“Jehanna dah
pergi ke, Jad?” soal Kak Zah risau.
Que tak pandang
Kak Zah pun. Dia hanya diam. Mencapai topi keledarnya dan terus keluar
daripada rumah. Rasa nak tampar mulut
sendiri. Tak serik lagi lepas peristiwa
nak kena tikam dengan garpu tempoh hari.
Mulut dia masih berbisa. Payah
nak ubah.
Tapi, satu Que
perasan, jaket kulit Jed ada di tepi rak kasut.
Tertinggal gamaknya sebab tergesa-gesa pergi. Que capai jaket tersebut. Dia kalih seketika pada Kak Zah bila enjin
motor dah dihidupkan.
“Kak Zah takut
dia buat bukan-bukan, Jad…” Kak Zah dah
rasa nak menangis.
Mesti Jed
terdengar akan apa yang Que katakan.
Mesti. Sebab tu anak gadis tu
menderu laju keluar. Tak berkata
sepatah.
“Jad cari
dia…” Que senyum tipis. Tawar dan hambar. Pahit pun ada. “Jangan risaulah… dia dah tua pun. Tahulah dia jaga diri.” Separuh memujuk Kak Zah dan separuh lagi
memujuk diri sendiri.
Dalam hati,
risau juga. Kalau jadi apa-apa tidakkah
dia juga penyebabnya sebab lantang mulut berkata-kata tentang Jed?
Allah, kenapalah
kau macam ni, Dian Jehanna Puteri?
DIA rasa nak
menangis. Tapi, entah kenapa airmata tak
mahu mengalir. Kata orang, kalau rasa
sedih, elok menangis. Luahkan melalui
tangisan dan bila dah letih, semua sedih tu akan pergi biarpun buat
sementara.
Pada Jed, itu
hanya kisah dongeng rakyat yang tak boleh pakai. Dia pernah menangis dulu tapi tertidur kerana
keletihan. Sedar saja, dia menangis lagi. Tapi, rasa itu tak pernah hilang.
Sekarang, dia
dah tak ajar diri sendiri mengalirkan airmata.
Airmata adalah tanda kelemahan pada Jed.
Biar sakit mana pun hati, setakat setitis dua masih boleh diterima. Seperti juga sekarang, juring matanya basah. Dia pandang sekitar kaki lima di depan Orange
Range. Dia tak duduk pun. Hanya bertenggek di atas motor sendiri,
memandang pengunjung yang masuk ke kafe tersebut.
Tanpa jaket
kulitnya. Hanya t-shirt biru cair membaluti tubuh.
T-shirt yang agak kecil. Mengikut bentuk tubuh. Langsung tak diendahkan mata yang memandang
sebab hati dia lebih membekam.
Sakit hati dia
mendengarkan Que mengutuk. Dia tak kenal
aku. Dia
yang cakap tak kenal aku dengan baik pun. Tapi, kenapa begitu mudah Que boleh menilai
dia. Memang betul sangkaan dia. Tiada siapa dalam dunia yang beranggapan baik
pada dia. Semua orang prejudis pada
kewujudan Dian Jehanna Puteri termasuklah Ku dan Tuan Megat sendiri.
Jed tunduk
menyungkur pada topi keledar. Tubuhnya
terasa sedikit dingin disapa angin malam.
Tapi ditahankan saja. Dia tak
tahu nak ke mana. Kalau Lis ada, boleh
juga buat perangai gila-gila panjat Genting atau mana-mana saja. Dia pun silap keluar dengan motosikal. Patutnya ambil kereta yang tersadai di laman
rumah.
Perut
berkeroncong tiba-tiba. Sebu dada. Ditahan sakit yang menggila. Dia salah tafsir tentang Que. Dia ingatkan Que macam tu sebab faham
dia. Masa dia nampak Que panaskan
makanan untuk dia, hati dia memang tersentuh.
Nampak layanan Que macam Kak Zah layan dia. Tak berkira.
Tapi tidak. Jed salah faham. Dia bodoh.
Pada dia, benarlah anggapan dia pada dunia. Semuanya tak boleh percayai.
Perlahan-lahan
Jed peluk tubuh sendiri. Erat. Sejuk sungguh angin malam ni. Boleh jadi nak hujan. Apatah lagi pengunjung Orange Range dah mula
beredar. Kalau yang ada pun yang di
dalam kafe. Air hidung pun dah
meleleh. Jed bukan boleh. Sejak dia lemas dalam kolam renang dulu, dia
pantang kesejukan.
“Kalau rasa
sejuk, lain kali pakai baju tebal sikit...”
Jed kalih. Serentak itu jaket hitam dia tadi dah
tersangkut di atas bahu. Menutup tubuh
yang kesejukan. Dia kalih.
Que! Hati Jed berlahar semula.
“Kau nak
apa?” Soal Jed kasar. Dia nak tepis jaket tersebut tapi Que
menahan. Wajah Que tenang tapi nampak
hembusan nafas Que yang juga panas membahang.
“Tak ada apa aku
nak daripada kau. Ini jaket kau
pun. Aku tolong hantar aje. Nampak kau sejuk semacam.”
Sejak dia sampai
tadi, dia nampak Jed macam bertahan daripada kesejukan. Dia dah agak Jed mesti ke Orange Range. Kata orang yang biasa kat sini, Jed selalu di
sini. Tak kira masa. Siang hari pun ada beberapa kali tu tapi yang
kerapnya malam. Ada masanya berteman,
ada masanya seorang.
“Ada aku minta
kau tolong hantar?” Bidas Jed kasar.
Que senyum
sinis. Dah diagak. Dia akan kena sembur. Tapi, dia tetap bertenang. Dia yakin, Jed tak akan bertindak lebih
daripada sepatutnya. Kalau Jed nekad
juga, dia juga nekad nak melawan. Tak
kan nak pandang je.
“Memang kau tak
minta tolong, tapi aku nak hantar sebab ni kau punya...” Que mencebik pada jaket kulit yang hanya
tergantung macam tu saja. Silap
haribulan, jatuh melurut lagi. Terdedah
kulit putih Jed nanti.
“Put it on...you don’t want to catch a cold,”
arah Que tapi Jed hanya buat tak tahu.
Ego dia
mencanak. Setakat jaket harga beberapa
ratus tu, dia boleh beli sepuluh.
Sementelah pula yang tu dah koyak dekat siku. Dah cacat tercela.
“Aku boleh beli
lain kalau aku nak. Patut kau buang je tadi...”
“Then, kau jelah buang. Tanggungjawab aku dah terlepas. Kak Zah minta
aku cari kau tadi. Pulangkan jaket
ni. Kalau rasa nak buang, silakan. Anak orang kaya macam kau ni, apa nak
pelik... buang satu beli sepuluh. Macam
tu juga bahagia pada kau gamaknya. Buang
yang lama, kau beli yang baru, kan?”
sindir Que pedas.
“Lagipun, kenapa
tak nak? Suka pakai baju macam barut
nangka? Tunjuk dekat orang apa yang
patut menjadi rahsia?” Sindir Que
berapi.
Orang nak tutup
tubuh, dia tak nak pula. Hati Que
membebel sendiri.
Jed kalih lipat. Tercengang dia dengan kata-kata Que. Que tak faham apa yang dia rasa. Jadi, jangan nak sewenangnya adili dia.
“Kau tak kenal
aku...”
“Dan aku tak ada
rasa nak kenal kau pun.” Selamba Que
menyambung.
Jed
merengus. “Kalau macam tu, tinggalkan aku.”
“Yeah... I’m about to leave now,” jawab
Que mendatar.
Dia baru nak
pusing bila Jed tarik jaket kulit tu dan campak ke jalanan. Masa ni, ada beberapa mata sedang
memandang. Jed memang pandai menarik
perhatian. Pada mata dia, Jed menarik
dengan gaya kurang siuman tu.
Que tunduk. Dikutipnya jaket kulit tersebut sekali
lagi. Terus ditebarkan atas bahu
Jed. Wajah dia dah terasa panas. Dia pun dikenali dekat sini. Kawan dia seorang kerja dekat sini dan dia
selalu lepak kat sini. Dia tak pernah ada
masalah lebih-lebih lagi dengan perempuan, tapi gadis yang digelar Jed ni
memang bawa bencana alam.
“Sejuk. Kau dah selesema tu,” ujar Que dan dia terus
berpaling.
Jed terkedu
sekali lagi. Setiap perbuatan Que memang
boleh buat dia hilang kata-kata nak membentak.
Mata Jed sedikit berair memandang Que.
Kenapa semua orang tak pernah nampak kewujudan dia?
“Lapar
tak?”
Renungan Jed
tercantas bila Que kalih dan menyoal setelah beberapa tapak dia berjalan ke
arah motor kapcainya.
Seperti orang bodoh,
Jed angguk. Memang dia lapar. Tersangat.
“Bawak motor ke
rumah Kak Zah. Jumpa dekat sana,” suruh
Jed mendatar. Tak ada perasaan
sungguh.
Tak sempat Jed
nak berkata apa, Que dah berdesup laju dengan motosikalnya. Hujung bibir Jed mengukir senyum. Tak tahu untuk apa. Jaket yang Que letak atas bahunya tadi
dipakai elok. Dizip sampai ke
leher. Helmet full face itu dipakai juga dan enjin terus dihidupkan.
Jed mencari
destinasi. Tak pasti adakah benar
seseorang sedang menanti, atau hanya ada kesunyian pada hujung jalan yang
mungkin sunyi?
-----------------------------
RMsays : Order sekarang untuk jadi yang terawal. InsyaALLAH terima pada 14Julai ke atas. Lawati Facebook Page RM. ^_^
No comments:
Post a Comment