Tuesday, July 08, 2014

Bahasa Hati Kita 7

BAB 7

RESAH.  Tak tahu nak buat apa dah sekarang ni.  Kejap berdiri, setelah itu duduk pula.  Berdiri balik, duduk semula.  Serba tak kena.  Kak Zah hanya senyum memerhati. 
“Kenapa tak senang duduk ni?” 
Jed kalih.  Senyum dan kemudiannya tunduk.  Tak tahu nak jawab apa.  Dia terhendap-hendap daripada tadi.  Mustahil Kak Zah tak perasan yang dia memang nampak sangat sedang menanti seseorang. 

“Kejap lagi sampailah tu.  Rumah dia selang tiga lorong ni aje,” beritahu Kak Zah tanpa Jed bertanya. 
“Eh, tak adalah tunggu pun, Kak Zah,” ujar Jed berdalih.  Nak kelentong orang yang lebih dulu makan garam.
Kak Zah simpan senyum dalam hati.  Jehanna... Jehanna... nak menyorok dalam terang rupanya.  Macam tak sangka, mudah amat Que tu tundukkan sikap kasar Jed. 
“Kak Zah?” Jed pandang Kak Zah yang berdiri di tepi ampaian. 
“Que tu memang selalu macam tu, eh?” 
Kak Zah kerut kening.  Que?  Menggeleng dia.  Macam-macam nama budak-budak ni ada.  Jehanna jadi Jed.  Qalam jadi Que.  Moden sungguh.  Sampai lidah dia pun terbelit nak sebut.  Tengok nama Jed la.  Sampai hari ni dia panggil Jehanna. 
“Macam tu… macam mana?”  Soal Kak Zah kembali. 
Jed dah tak tahu nak cakap apa.  Dia seluk kedua-dua belah tangan yang terasa sejuk ke dalam poket jeans dan bahu dia terjongket sedikit.  Mencari ayat yang sesuai untuk dia utarakan. 
“Err... macam yang Kak Zah dan Jed tahu...”  Jed sengih pelik.  Apa yang aku cakap ni? 
“Maksud Jehanna, perangai dia macam tu?” 
Jed angguk.  Kak Zah hampiri Jed yang dah bertenggek di atas motosikalnya.  Menepuk bahu Jed lembut dan menghadiahkan segaris senyum. 
“Jehanna jangan marah dia.  Dia mulut aje macam tu tapi hati baik.  Qalam Azad tu dah hilang ayah masa dia umur 20-an.  Masa tu dia sangat perlukan sokongan kewangan dan mental.  Yalah, baru masuk universiti.  Tapi, ayah dia dah tak ada.  Adik-adik pun sekolah lagi.  Bila jadi macam tu, dia didik hati dia jadi tegas.  Tak nak adik-adik naik tocang.  Buat benda bukan-bukan.  Kira macam dia dah jadi ketua keluargalah.  Sebab tu dia macam tu.  Nak-nak perkara berkaitan dengan mak bapak ni, dia memang sensitif sikit,” cerita Kak Zah pada Jed. 
Jed terangguk-angguk.  Entah faham entah tidak. Keluarga Que tak berduit sangat dan dia dah hilang ayah pada usia dia perlukan sokongan daripada segala segi.  Tapi dia, ada semuanya.  Jangan kata duit, rasanya semua harta yang dicari oleh Ku dan Tuan Megat tu memang akan jadi milik dia nanti tapi dia lagi miskin daripada Que.  Miskin kasih sayang.  Gersang, tandus dan kering dunia dia.  Rasa macam hidup seorang dalam dunia ni biarpun masih ada mak bapak yang sihat walafiat. 
“Setiap orang diduga dengan cara yang berbeza.  Tengok aje pada Jehanna dan Qalam sendiri.  Serupa tapi jelas tak sama...”  kak Zah menutup bicara bila lampu kereta dah menerangi depan rumah. 
Jed kalih.  Satria GTi warna perak itu dah sedia terparkir dengan rumah Kak Zah.  Que keluar daripada perut kereta.  Melambai pada Jed. 
“Kak Zah, Jad bawa dia keluar makan kejap,” pinta Que. 
Macamlah Kak Zah tu mak Jed tapi setidak-tidaknya Kak Zah tahu ke mana mereka tujui. 
“Jangan lewat sangat, Jad... dah pukul sembilan lebih ni.  Kalau lewat sangat nanti, terus hantar Jehanna balik rumah.  Bahaya dia balik sorang-sorang nanti...”  Pesan Kak Zah lagi.
“Yalah, Kak Zah...”  Que angguk. 
Bibir senyum sinis memandang Jed yang sedang menghampiri dia.  Macamlah minah ni tak pernah balik tiga empat pagi.  Bukan sebab tu ke dia dengar Jed gaduh dengan mummy sendiri?  Nak risau apa.  Dah biasa.  Dia pun bukan tak biasa tapi dia lelaki.  Tak adalah ibu bising sangat. 
“Cepatlah... lambat nanti lambat balik,” gesa Que. 
Jed terus masuk ke dalam perut kereta.  Dia pandang isi dalamnya.  Nampak sedikit berusia.  Tengok pada plat nombor pun dah tahu kereta Que ni agak berusia.  Tapi, masih bersih dan terjaga biarpun Nampak sedikit season
“Cantik kereta kau,” puji Jed bila Que dah memulas stereng masuk ke Jalan Kuching menuju ke Gombak. 
“Terima kasih perli kereta buruk aku.  Kereta yang tak setanding harganya dengan motor kau tu,” sindir Que kembali. 
Sesedap rasa nak puji kereta  yang dah terentang buruk ni.  Ini pun dah lama tak bawa keluar sebab bulan lepas baru dapat bayar ansuran yang tertunggak.  Bulan ni tak tahu lagi nak bayar pakai apa. 
Jed mencebek.  Puji pun payah.  Kalau dia meletup lagilah payah.  Mahu terbakar segala benda.  Tak ingat Kak Zah, mahu disepak-sepak Que ni.  Tapi, apa pula kena mengena dengan Kak Zah.  Kalau dia sepak Que, Que la yang sakit.  Bukan Kak Zah. 
“Yang kau terjuih-juih tu kenapa?  Mengata aku dalam diam ke apa?”  Tebak Que sambil menjeling sekilas pada Jed.  Tak ada suara tapi mulut terkumat-kamit. 
“Aku...”
“Ha... tak payah nak baca jampi serapah dekat akulah.  Aku ni kebal dengan ilmu hitam kau tu,”  cantas Que tak sempat pun Jed nak  habiskan kata. 
Leh... Jed mengeluh tipis.  Bila masa pula aku kata nak jampikan kau.  Dia menggeleng dalam hati. 
“Aku bukan bomoh...”
“Eh?”  Que jeling Jed  yang dah muka ketat. 
“Tapi daripada apa  yang aku nampak, memang aku nampak kau macam mak lampir pun.  Mata hitam bagai.  Baju hitam.  Totally black like a dark witch.  Scary aku...” 
Huh... nafas berat dilepaskan.  Que ni memang suka sangat nak cabar sabar dia.  Sudahlah dia tak berapa pandai nak adaptasi perkataan sabar tu dalam kehidupan seharian. 
“Kalau takut, kenapa ajak aku pergi makan pulak?”  Soal Jed menyentak. 
Que senyum sinis.  Mata memandang ke jalan raya.  Kelajuan juga dah bertambah bila dah dekat nak masuk ke lebuhraya Duke. 
“Karang kau kebulur pulak.  Letih telinga aku nak dengar Kak Zah bising,” jawab Que beralasan.  Alasan  yang konkrit pada pendengaran Jed. 
“Kalau gitu, turunkan aku dekat sinilah.  Tak payah nak risau Kak Zah bising.  Abaikan semuanya.  Just ignore me...”
Hey... bila masa aku care tentang kau sampai kau rasa aku kena abaikan kau?”  Que senyum menang.  Dalam hati berkata, aku rasa bersalah tadi sebab tu aku nak bawa kau makan. 
Nafas Jed makin sesak.  Dia jeling Que lama.  Dia tahu Que perasaan jelingan dia tapi lelaki itu buat  muka suci dan bernyanyi halus dengan mata tertumpu pada jalan raya. 
“Aku tak perlu sesiapa care pasal aku.  Aku tahu jaga diri,” ujar Jed rendah.  Menggumam. 
“Macam ni ke cara kau jaga diri, wahai puteri?”  Que menyindir lagi. 
Birai mata Jed dah rasa hangat.  Dia dah rasa nak menitiskan airmata bila dihujani peluru  berpandu daripada mulut Que ni.  Aduh... kenapalah dia pilih nak pergi makan dengan lelaki ni.  Kalau dia sendirian tadi, pasti hati dia tak rasa pedih. 
“Jed... dengar sini.”  Que merendahkan suara.  Tiada sindiran.  Hanya seruan yang lembut menyapa pendengaran Jed. 
“Konteks jaga diri yang sebenarnya  bukan macam ni.  Bukan macam apa yang kau sedang buat.  Aku tak nak cakap tentang maksud jaga diri sebab aku rasa kau dah cukup besar panjang untuk faham maksud tu.” 
“Habis tu kau nak kata aku tak reti jaga diri?”  Tanya Jed sedikit menyinga. 
Dia tak pernah abaikan  maruah diri dia.  Tak pernah berkepit dengan jantan.  Dia buat hal sendiri. 
“Bukan aku nak cakap kau tak reti, tapi kau kurang faham.  Jaga diri ni bukan sebab kau jaga pergaulan kau aje... tapi pertuturan, tingkah laku...”  Que pandang Jed seketika.  Tangan  menukar gear.  Stereng dipusing. 
“...dan banyak lagi,” sambung Que tenang. 
Que dah hentikan kenderaan di depan deretan gerai makan di hentian Gombak.  Meriah.  Ramai orang.  Jed tak pernah sampai ke sini.  Bukan tak tahu tapi tak pernah teringin nak datang. 
“Aku...”
“Kita dah sampai,” potong Que. 
Malas nak bersoal jawab dengan Jed.  Jed memang payah nak faham.  Biarlah dia faham sendiri.  Tak ada masa nak terangkan. 
Masa sedang bergerak.  Lambat sangat nanti, makin lewat Jed sampai rumah.  Dah langgar etika seorang anak dara pula.  Dia pun sengal.  Bawak Jed makan malam-malam tapi tak apalah.  Ini kali pertama, ini kali terakhir.  Lagipun nampak minah Jed ni kebulur sangat. 
Kaki Que menapak laju ke salah sebuah gerai.  Dia duduk.  Tapi, Jed baru terkial-kial nak tutup pintu kereta.  Daripada jarak beberapa kaki, Jed pandang belakang tubuh Que.  Rambut sikit panjang.  Badan juga agak sasa.  Tinggi.  Berkulit gelap.  Gigi yang putih tersusun.  Lidah yang tajam macam mata pedang. 
Jed pejam mata.  Dia menongkat kedua belah tangannya pada dinding kereta.  Apa yang aku buat ni?  Jed memang tak faham dengan diri sendiri.  Patutnya dia marah Que tapi dia tak mampu nak membalas.  Ada aje kata-kata dia dicantas dan dibidas kembali.  Naik kematu otak nak fikir.
Untuk apa dia jumpa Que lagi, lagi dan lagi?  Dia pernah terniat nak jumpa tapi tak bersungguh.  Dan dia juga tahu Que pun tak adalah nak jumpa dia sekali lagi.  Tapi, kenapa nak ajak dia makan bagai?  Soalan biasa Que tu memang buat dia tak senang duduk. 
“Dian Jehanna Puteri.” 
Jed angkat wajah.  Que dah ada di sebelahnya, bercekak pinggang dengan riak muka keruh pekat.  Muka bosan.  Muka nak sound orang lagi. 
Stop calling my full name...”
“It’s  yours... I’m not going to call you that if you are Minah, Milah, Bedah...”  Sindir Que. 
Orang panggil nama Jed tak nak dengar.  Sekali aku panggil nama penuh, kalih pula.  Lepas tu marah.  Apalah dia ni.  Nama tu cantik, tahu tak.  Sangat cantik.  Sempat hati Que memuji nama Jed yang pada dia dirasakan unik. 
Jed ketap bibir.  Dia ikat rambut dia kemas.  Nampak potongan tepi yang nipis amat tu.  Que hanya buat tak tahu.  Buat tak nampak.  Buat nampak karang, yang retak mata dia juga.   Tak pun lidah dulu menyembur api sindiran pada Jed.  Dah tak jadi makan.  Gaduh lagi.  Balik, Kak Zah bebel lagi.  Sampai ke telinga ibu… rentetan cerita banyak sangat nanti. 
“Jom... aku dah siap order minuman dah,” ajak Que bila Jed diam tak bersuara. 
Tak sanggup dah dia nak berkata kasar.  Nampak susuk tubuh Jed tadi, kurus.  Karang makin kurus, naik motor pun terbang.  Bahaya.  Lagipun, tak elok kalau tak makan.  Manusia ni perlu makan untuk teruskan hidup dan melakukan perkara lain. 
Tanpa berkata apa, Jed atur langkah ke arah gerai di mana Que duduk tadi.  Dan di atas meja sudah ada dua buah gelas berisi air.  Satu Nescafe ais dan satu lagi bandung cincau kegemaran dia. 
Dia pandang Que... nak tanya tapi berat lidah. 
Que tarik kerusi.  Duduk bertentangan TV.  Tengok apa cerita dan berita terkini.  Tengok kot-kot kerajaan umum jawatan kosong secara besar-besaran ke.  Boleh mohon. 
“Kak Zah bagi tahu kau suka minum air tu...”  Seperti boleh dirasa apa yang Jed nak tanya, Que awal-awal dah buat ayat pernyataan.  Senang. 
Jed kalih ke kiri.  Konon pandang orang tapi melindungi birai mata yang basah.  Ku dan Tuan Megat tak pernah tahu semua ni. 
Order cepat.  Nanti cepat boleh makan, cepat boleh balik,” bisik Que lagi bila pelayan itu datang nak ambil pesanan. 
Jed angguk tapi hilang suara.  Dia tak nak bercakap takut nanti terkesan esakan kecil.  Dia tak nak nampak lemah. 
“Nasi goreng paprik.  Satu aje, eh.  Untuk dia.  Kurang pedas, kurang sayur.  Tak nak seafood,” jawab Que kurang puas hati bila Jed tak bersuara langsung bila abang ni nak ambil order
Aku luku juga karang.  Que buat muka bosan.  Nak marah, anak orang.  Bukan adik dia. 
Jed kerut kening.  Dia kalih lagi pada Que lama.  Que tahu dia suka makan apa dan apa yang dia tak boleh nak makan.  Mengerti dengan pandangan Jed, Que bersuara dengan mata tunak memandang TV.
“Kak Zah bagi tahu...” 

Dan, airmata Jed menitis setitis.  

1 comment: