Tuesday, July 08, 2014

Bahasa Hati Kita 9

BAB 9

JENUH dah dok belek emel.  Kot-kot ada emel daripada Jobstreet tentang kerja yang bersesuaian.  Tadi dia dah masuk pejabat.  Hari terakhir.  Semua dah diserahkan setelah projek siap dan nasib pekerja kontrak macam dia ni bakal terumbang-ambinglah kejap lagi. 

Rambut yang pendek dan dikemas rapi itu diramas.  Ya Allah, sesungguhnya aku berserah kepada-MU segalanya.  Que berdoa dalam hati.  Dia pandang kereta dia.  Nampak Jed bermuka ketat di situ.  Terus dia pandang semula pada Qimi yang baru saja hantarkan segelas Nescafe padanya. 
Sekali fikir, kenapalah dia keras sangat dengan  perempuan.  Tak pernah nak berlembut.  Adik-adik, sekali dia jeling terus menikus.  Ibu pun cakap dia kasar.  Bilalah nak dapat jodoh kalau macam ni?  
“Mana ada perempuan nak dekat dengan lelaki tegas sangat, Jad…” Pesanan ibu berdengung bermain dalam kepala.  Tapi, apa yang lebih merisaukan adalah macam mana nak bagi makan anak orang kalau betul ada yang sudi mendekati?
Que sengih sumbing.  Jodoh?  Heh?  Nak bagi anak orang makan apa?  Nak isi perut sendiri pun kais pagi makan pagi. 
“Semacam aje sengih?  Jumpa minah Gothic tu ke malam tadi?”  Qimi sengih.  Seperti biasa penuh syak. 
Dulang air diletak di atas meja.  Masa ni orang tak ramai.  Malam karang, tak menang tangan nak melayan.  Nak melepak macam ni pun tak sempat. 
“Jumpa dia dua hari lepas...”  Nescafe ais disisip sikit.  Hilang dahaga. 
Mata Qimi bulat.  Macam tak percaya pulak dengan apa  yang Que katakan. Sungguh ke?  Daripada riak muka Que, tak nampak sedang kelepet dia pun. 
“Serius?” 
Damn serious,” balas Que menjeling antara Qimi dan tablet Rico di tangan. 
Mana entah Rico pergi lepas janji nak lepak sini.  Ada hal sikit.  Lambat.  Ini dah dekat nak balik pun tak nampak batang hidung lagi.
“Kau jumpa dia sorang atau dengan kawan dia sekali?”  Soal Qimi sedikit berminat. 
Pandangan Que berubah.  Dia pula melemparkan pandangan penuh syak wasangka.  Qimi ni minat dengan errr… entah siapa dah nama.  Dia lupa. 
“Kau ni minat dengan kawan dia ke?” 
Qimi gelak menahan malu.  Nampak sangat ke dia suka Lis tu?  Dia ingat nama tu sampai sekarang.  Dengar dengan jelas nama itu disebut sebelum ini oleh lidah Rico. 
“Mana ada…”  Qimi menafi. 
“Kau ni Que... suka dia ke?”  Tebak Qimi.  Beralih terus pada Que.  Mana boleh bagi Que kenakan dia. 
“Tak ada kerja cari kerja aku nak suka dia.  Tapi, yang pasti aku tak benci pun.  Janji tak bermusuh dengan aku dah cukup bagus dah...” 
Qimi pandang buat muka curiga.  Que tenang buat muka tak bersalah.  Dalam kepala dia diakui, Jed datang menyemak sesekali tapi hal kerja lagi penting.  Nak makan apa dia nanti.  Tak kan nak harapkan ibu.  Adik-adik lagi?  Parah. 
Waa... aku tak pernah dengar kau boleh sebut nama perempuan banyak kali sebelum ni.  Instead of…”  Lambat Qimi meleretkan suaranya. 
“…the Gothic...”  Qimi masih tak puas nak korek rahsia.  Dia tak tahu kot yang kepala Que ni semak dengan hal lain lagi.
“Weiii... abaikan hal remehlah.  Aku tak lalu nak fikir pasal sesiapalah.  Kau tak tahu ke aku dah last day hari ni?  Esok aku ada jawatan baru pulak.”  Bibir Que sengih melebar macam ada berita gembira tapi saja nak kenakan Qimi. 
Wow… dapat kerja baru dah?  Apa… apa?” 
“Penganggur?  Kau tahu, kan?”  sergah Que.  Geram.  Langsung mati senyumannya. 
Qimi sengih.  Dia angkat tangan mengalah.  “Tahu... saja nak ceriakan kau.  Err... ada jumpa lubang kerja?”  Qimi pandang tablet di tangan Que. 
Tapi, kawan dia tu menggeleng.  “Tak ada lagilah.  Kecewa sungguh aku ni.  Dah berbulan minta tapi satu pun tak panggil interview.  Rezeki aku tak ada lagi kot... tak apalah...”  Sengih.  Lemau. 
Que tongkat dagu.  Tablet Samsung 10.1 tu diletak di depan Qimi.  “Nanti pulang tu dekat Rico.  Aku nak balik dah ni.  Letihlah hari ni.  Last day tapi banyak kerja amat.  Dua tahun aku kerja jaga defect ni macam tak dapat apa pun.  Aku ciao...” 
Dia terus angkat tubuh berlalu ke arah kereta.  Air pun tak sampai separuh disedut.  Bukan tak nak tapi tak boleh nak sisip.  Tak boleh masuk.  Hati dia resah memikirkan hal lain. 
Terkebil-kebil Qimi pandang Que.  Apalah yang kawan dia tu fikir pun dia tak tahu.  Perasaan Que payah nak diduga.  Riak wajah dia tak pernah ada riak.  Macam itu jelah.  Selain daripada senyum tipis  yang naik ke kiri.  Selain itu, Qimi dan Rico sendiri tak tahu macam mana Que ni  sebenarnya biarpun kenal dah lama. 


TUHAN bila nak menduga, dari segenap segi dan bila-bila masa aje.  Itu pesan ibu bila dia mengadu, rezeki untuk dia tertutup lagi buat masa sekarang.  Takut ibu berharap dan dia tak mampu nak beri apa yang sepatutnya seorang ketua keluarga berikan. 
Que memandang kipas yang berputar ligat.  Kaki disilang panggung dan lengan dijadikan bantal.  Letih dah berfikir.  Panggilan telefon daripada Qimi dan Rico pun dia tak jawab.  Malas nak keluar melepak.  Kepala tengah semak, nak luang masa dengan kawan-kawan pun rasa tak seronok.  Nanti hanya jasad di sana tapi jiwa dan fikiran melayang entah ke mana. 
Lama berangan, memikirkan masa depan, telinga Que menangkap suara orang memberi salam.  Cepat dia bangkit.  Nak buka pintu.  Ingatkan ibu sibuk kerja lain tapi ibu memang ada di pintu sekarang.  Hanya Qariah yang ralit menonton TV.  Balik sekolah aje, tercongok di depan TV.  Tak sedar diri nak periksa tak lama lagi. 
Dia labuhkan duduk di atas kerusi kayu tu.  Kerusi rotan lama.  Masih utuh sampai hari ni.  Mata menjeling pada Qariah yang meniarap, buku di depan tapi mata pada TV.  Telinga menangkap butir bicara ibu dan pelanggan tetap ibu yang dikenali dengan  nama Kak Wani tu.
“Erm... elok sangatlah Wani kalau puan tu suka jahitan dengan sulaman manik Kak Imah ni.  Risau juga kalau dia tak suka.  Lagipun, boleh Kak Imah buat bekal nak Ramadan dalam minggu depan ni.” 
Que telan liur mendengar suara ibu.  Nak puasa dah.  Dia pun tak sedar.  Macam sekejap waktu berlalu tapi Allah masih bagi ruang untuk dia merasai nikmat Ramadan.  Dan dia yakin, Ramadan datang bawa rezeki.  Pada yang berusaha mencari. 
“Itulah, kak.  Wani dah cakap dah.  Dia memang berkenan sangat dengan jahitan dan sulaman manik tu.  Dan Wani dah cakap kakak nak kerja dari rumah aje sebab ada anak-anak sekolah.  Dia setuju.  Ni ha...”  Satu sampul coklat dihulurkan. 
“Pendahuluan.  Kot-kot kakak nak beli keperluan apa-apa dulu.  Yang lainnya, kira atas harga upah yang Kak Imah letaklah dia bayar,” tokok Wani. 
Puan Imah senyum.  Kalih pada dua orang anak yang menonton TV tanpa dia tahu, telinga Que mendengar.  Telinga Qariah juga. 
“Terima kasihlah Wani, tolong Kak Imah...”  Sebak rasa jiwa Puan Imah. 
Ada rezeki untuk mereka sekeluarga.  Nak harapkan Que, dia tahu anak lelaki dia tu dah banyak berusaha.  Sekarang ni pun nampak resah benar sebab tak ada kerja. 
“Sama-sama.  Ala... benda baik, kak.  Wani cakap betul.  Dia pun suka, kira okeylah tu.  Kalau macam tu, Wani balik dulu.  Tak esok... lusa Wani datang bawak yang dah siap jahit untuk kakak jahit manik.  Dan ada juga sepasang dua untuk dijahit.  Tempahan untuk raya tak menang tangan.”  Wani senyum dan terus berlalu ke arah Toyata Vios miliknya. 
Senang hati dapat bantu keluarga Kak Imah.  Puas hati juga bila tauke butik berkenan benar dengan hasil seni sulaman tangan Kak Imah.  Tak sia-sia dia jual nama Kak Imah. 
Puan Imah duduk di sisi Que.  “Alhamdulillah... ada rezeki ibu, Jad...” 
“Rezeki Jad ni bilalah nak ada, ya bu?”  Kedengaran main-main soalan itu tapi Que  memang memaksudkan. 
“Ada... kena usahalah cari.  Lepas tu doa dan tawakal.  Sampai masanya, kalau ada calon, ada jodoh, Allah hantar sekali dengan rezeki untuk kita.”  Puan Imah tepuk paha Que sebelum bangkit berlalu ke bilik menjahit. 
Que hela  nafas panjang.  Apa pula ibu ni sampai ke jodoh.  Lepas tu, dia cuit sikit kaki Qariah. 
“Adik Iqa ni, abang long nampak asyik tengok TV aje.  Bila masa belajar?  Esok lusa awak SPM, tahu?” 
Qariah kalih.  Dia pandang Que.  Sengih dan angguk.  Bangkit dan  menyulam simpuh.  Bantal yang menjadi alas tadi diletak atas riba.  Jari-jemari runcing yang putih bersih itu bersulam sesama sendiri. 
Abang Long dah bersuara dah.  Nampak macam nak keluarkan amaran tahap jingga dah ni. 
“Iqa dah belajarlah.  Lagipun sehari dua lagi nak periksa, mana ada orang belajar teruk-teruk dah, Bang Long.  Jangan risau, Iqa tahu keluarga kita payah.  Abang long dah banyak berkorban.  Ibu pun.  Sebagai hadiah, Iqa bagi 10A’s.”  Qariah sengih nak pancing senyum Que tapi Que hanya mencebek. 
“Selagi tak nampak sijil 10A tu, tak adanya abang long nak percaya...”  Que jelir pada adik dia dan hendak berlalu ke bilik bila Qariah memanggil. 
“Abang long…”
“Apa?”  Kening Que naik. 
“Ibu cakap abang long dah ada kawan perempuan, eh?” 
Mata Que bulat.  Lepas tu dahi berkerut.  Siapa pula bawak cerita bukan-bukan pada ibu ni? 
“Siapa bawak fitnah ni?” 
Qariah sengih.  “Ibu cakap dekat Iqa semalam.  Tak tahu mana ibu dapat tahu...” 
Que menggeleng.  Gamaknya Kak Zah bercerita.  Kak Zah dengan ibu bukan boleh berahsia.  Padanlah ibu cakap lain macam aje tadi.  Jodohlah, apalah.  Padahal dia bercakap soal rezeki.  Rezeki nak suap ke mulut ni. 
Apalah nasib.  Tak pernah fikir tentang tu semua.  Tentang keluarga aje yang ada dalam kepala sampaikan hal diri sendiri pun ada masa dia lupa nak fikir.  Cuma sekarang ni, kepala dia ada sesekali terbang teringatkan tentang Jed.  Rasa ringan mulut nak tanya Kak Zah tapi takut ketara sangat.  Apa yang pasti, dia bukan ambil berat pun.  Sekadar nak tahu. 
“Sungguh ke?”  Qariah menyoal penuh minat. 
Siapa tak teruja nak dapat kakak ipar.  Lagipun abang long dia bukannya muda lagi. Nak kata tak kacak, ada juga kawan-kawan sekolah dia yang pernah nampak abang long jemput dia dekat sekolah sesekali bertanya. 
Nak berkenalan?  Eh?  Beza umur lebih sedekad, ada hati nak berkenalan?  Kawan-kawan tak tahu, abang long itu sedingin air batu dalam rumah iglu.
“Merepek meraban ajelah adik Iqa ni,”  tegur Que tapi Qariah hanya ketawa halus.  Abang long nak cover malu. 
“Sungguh la tu, kan?  Muka dah nampak merah?” usik Qariah lagi. 
Que buat muka.  Tanda amaran pertama dikeluarkan.  “Daripada Adik Iqa dok merepek tu, baiklah Adik Iqa pergi buat revision.  Tengok apa-apa yang patut. Pergi jenguk dapur, ada ke tidak pinggan dekat sink.  Kain yang nak kena basuh ada ke tak dekat belakang, ada kain nak kena lipat ke… ada…”  Suara Que mati. 
Adik Iqa dah lesap berlari ke tempat ibu menjahit dengan jeritan halus.  Rasa nak meletup telinga bila abang long membebel.  Tengok, bukan setakat suruh belajar.  Macam-macam hal lagi dia kena suruh. 
Que hanya sengih.  Tahu sangat perangai adik bongsu dia.  Lagipun, Qariah tu rajin biarpun sangat suka tengok TV.  Kerja rumah dibereskan melainkan memasak ajelah.  Que pernah suruh dan kemudian melarang.  Sebabnya tak sedap. 
Dia terus menapak masuk ke dalam bilik.  Lampu tidur dipasang.  Cahaya kekuningan memberi cahaya sedikit suram di dalam biliknya yang tidaklah besar mana. Cukup untuk dia aje.  Ada satu katil bujang, satu almari kayu dua pintu dan meja kerja. Ringkas. 
Que hempas tubuh ke katil.  Sebut pasal kawan perempuan, Jed ajelah kawan perempuan setakat ni.  Incidentally jadi kawan.  Boleh dikira bulan jatuh ke riba.  Dia tak cari tapi kerap kali bersua. 
Itu pun saling membidas.  Kawan apa macam tu?  Dia letak telapak tangan pada dada sebelah kiri.  Test halaju jantung berdegup.  Tapi sayang, degupan itu tenang dan damai.  Masih pada kelajuan yang sepatutnya. 
Tak melebihi halaju yang ditetapkan.  Kalau lebih nanti, dia akan saman jantung dia.  Mana boleh berdegup demi seorang perempuan sebelum tiba waktunya.  Itulah yang dia didik diri sendiri selama ini. 
Namun, entah kenapa rasa risaunya pada Jed kian menjadi-jadi.  Dengar pada cerita Kak Zah tu buat dia takut.  Jed pernah jadi segila itu dan tak mustahil akan jadi lebih gila lagi. 
Orang kalau hilang pertimbangan dan dikuasai marah, apa pun sanggup dilakukannya.  Boleh dikira sebagai perlakuan di bawah separa sedar.  Jiwa kerasukan dan dia nak Jed tahu, cara untuk merawat kerasukan jiwa itu adalah dengan mengingati Allah.  Cara untuk mendamaikan hati yang resah adalah dengan menyebut ayat suci Allah. 
Dan cara untuk bersyukur adalah dengan mengingati Rasulullah.  Betapa kita hidup sekarang ini beruntung andai hendak dikira dengan Nabi Muhamad. 
Allah… Que raup wajah.  Mata dia hampir terkatup rapat saat daun pintu diketuk sekali lantas wajah ibu tersembul dengan senyuman tipis pada wajah yang nampak penat itu. 
“Jad dah tidur?” 
“Belum… ada apa, bu?”  Que angkat tubuh dan duduk memandang ibunya.
“Walau apa pun, ibu harap Jad jaga batas pergaulan sebelum tiba saat dan waktunya…” Pesanan daripada mulut ibu terluncur laju dengan tenang dan penuh kemesraan. 
Erk… wajah Que berubah.  Ibu macam dah berharap sangat ni.  Dia geleng dan sengih.  Apa yang pasti ibu dah salah faham. 
“Jad tak sampai ke situlah ibu.  Jad bukan untuk dia,” bantah Que sopan.
“Ibu hanya ingatkan…” 
Daun pintu kembali tertutup rapat. 

Que rebahkan tubuh dan memandang kipas yang berputar ligat.  Jika itu kerisauan ibu, dia perlu jauhkan diri daripada gadis itu.  

No comments:

Post a Comment