Thursday, November 10, 2016

Maghfirah 1

SEBAIK saja turun daripada bas, dia kaku di situ.  Lama.  Entah mana hala tuju.  Tak tahulah.  Inilah bila Tuhan suruh merancang dan selebihnya serahkan pada ketentuan.  Tapi dia, ke sini tanpa dirancang.  Dia cuma mahu bersendiri. 
Toleh ke kiri, dia geleng.  Bukan situ tujuannya.
Toleh ke kanan, geleng lagi.  Bukan jugak di situ. 
Ditala pandangan ke depan… nafas pendek dilepaskan.  Deuter Aircontact-Pro bersaiz 75 liter itu digalas.  Kiri kanan depan belakang, jalannya masih samar.  Sama seperti suasana petang hari yang sudah hampir bertukar kelam. 
Matahari sudah mula bersembunyi.  Sekadar menyinar di melalui bulan bila malam menjelma. 
“Nak pergi mana?” 
Ian toleh bila ada suara menegur.  Senyum.  Seorang pak cik.  Dah lebih separuh abad gamaknya.  Baju kemeja kotak-kotak.  Seluar slack hita yang sedikit lusuh.  Sandle. 
“Pak cik tanya bukan apa, sebab nampak kamu macam terpinga-pinga dah lama dekat sini.  Itu yang pak cik datang tegur kot-kot pak cik boleh tolong…” 
“Tak ada hala tuju lagi, pak cik…”  jawab Ian jujur.  Orang tua ni ingat dia dah fikir bukan-bukan gamaknya.  Dia cuma nak scan pak cik ni aje. 
Lelaki tua itu angguk-angguk.  Orang baru dekat sini.  Selama dia bawak teksi, mana pernah nampak orang macam ni datang ke pekan kecil mereka.  Nak pulak dengan beg besar di belakang. 
“Dah nak malam ni.  Kalau dekat pekan ni, memang tak ada hotel.  Susah tu kalau tak ada tempat nak tuju…”  Wajah resah jelas tergambar pada wajah tua itu. 
“Tak apa, pak cik.  Jangan risau.  Saya dah biasa mengembara…”  Ian lebarkan senyum. 
“Tapi, mengembara tempat lain dengan tempat yang tak ada apa ni, susah sikit.  Nak tidur mana.  Dekat sini, masjid dengan surau… semua berkunci lepas Isyak.  Bukan tak sudi nak terima tetamu ke, musafir ke, tapi kalut sangat kes kecurian.  Orang buat khianat,” cerita pak cik ini tanpa diminta.
Ian angguk tanda faham.  Bila dia cakap dia dah biasa mengembara, maksudnya sangat mendalam.  Bukan sehari dua, tapi dah bertahun dia buat kerja macam ni.  Memang pekan ini adalah pekan yang nampak tak membangun.  Nak kata mundur, kedengaran kejam sangat pulak.
Ini pun pekan ini dah nampak nak mati.  Semua lampu kedai dah mula padam.  Melainkan lampu kaki lima dan lampu jalan. 
“Pak cik ada tahu tempat yang boleh saya bermalam.  Dapat satu malam pun, jadilah.”  Wajah Ian penuh harapan. 
“Eh, susah tu, nak kalau kat sini.  Entahlah.  Kejap nak fikir…”  Lelaki tua itu nampak dalam memikir.  Mencari penyelesaian tapi akhirnya, menggeleng. 
Tidak berjawapan. 
“Maaflah, nak.  Pak cik tak boleh nak tolong kamu.  Lagipun dah nak Maghrib ni.  Kamu daripada mana sebenarnya?  Kenapa boleh sampai ke sini?”  Pelik jugak dia dengan anak muda ni. 
Tak kan saja-saja datang, tanpa tujuan atau sesiapa yang dikenali?  Nak cari apa dekat sini.
“Saya datang daripada tempat yang tak jauh mana.  Cuma, perjalanan tu buat saya rasa jauhnya jarak yang perlu saya tempuh…”  jawab Ian penuh rahsia.
Dahi lelaki tua itu berkerut.  Tak nampak macam orang jahat.  Dia pun bukan tak biasa bantu orang pada waktu-waktu macam ni.  Tapi, semua tu ada tempat tujuan.  Dia hanya hantarkan saja.  Demi sesuap nasi.  Tapi ini… haih… pelik memikirkannya.
“Pondok buruk pun tak apalah, pak cik…”  Suara Ian kedengaran separuh merayu. 
“Kalau pondok buruk, pondok buruk pak ciklah…”  Lelaki tua itu ketawa. 
Nampak seperti berseloroh, tapi dia maksudkannya. 
“Kenapa?  Tak suka?” 
“Bukan tak suka, tapi pak cik tak risau ke kot-kot saya ni orang jahat ke?”  Ian cuba timbulkan keraguan pada niat baik lelaki tua ini tapi nampak macam tak berjaya. 
“Eh, nak risau apa.  Pak cik ni bukan baru jumpa orang macam kamu tapi semua tu ada tempat nak tuju.  Lagipun, pak cik yakin kamu bukan orang macam tu.  Daripada tadi, nampak kamu macam mencari sesuatu.  Pak cik terus doa, moga Allah gerakkan hati pak cik kalau betul niat kamu baik dan kamu pun baik orangnya.  Haaa tengok, pak cik tegur kamu.  Nak ikut ke tidak?” 
Liur ditelan berkali-kali.  Halkum Ian bergerak kasar, bagai tak cukup segelen air yang dia telan.  Hausnya semakin menjadi-jadi apatah lagi mendengarkan kata-kata lelaki tua ini.  Apa yang pak cik ni nampak dalam diri aku?  Itu yang menjadi persoalannya. 
“Nak ikut ke tidak ni?”  Soalan itu bergema sekali lagi.
“Err… ya, ya…”  Ian angguk laju.  Wajahnya serius.  “Nanti pak cik bagitahulah berapa yang saya kena bayar, ya?”  ujarnya. 
“Tak payahlah fikir pasal tu.  Balik dulu.  Tengok selesa ke tidak.  Pak cik ni orang susah.  Bawak teksi buruk ni sesekali bila tak dapat berkebun.  Zaman sekarang serba mahal ni, nak tak nak kena usaha lebih.  Dahlah… jom kita…”  Lelaki itu berlalu ke sebuah kereta sewa jenis lama.  Nampak dah uzur. 
Ian menurut.  Beg diletak di tempat duduk belakang.  Dia masuk di sebelah pemandu.  “Ini kereta pak cik?” 
Lelaki itu senyum dan geleng.  “Pak cik sewa dengan orang kampung yang dah tak nak bawak.  Dapat sikit, bayar dia sikit.  Bolehlah…” 
Sepi.  Ian tak berkata apa lagi.  Nak kata langkah kanan, boleh jadi.  Tapi, patut ke dia pulak yang curiga pada kebaikan pak cik ini bila pak cik ini yakin dengan dia?  Andai betul pak cik ini punya niat tak baik, dia mana pernah kenal erti takut.  Hidangkan apa saja, dia tak pernah gentar.   
Argh… dia cuba halau jauh prasangkanya.  Bukan dia yang patut buruk sangka dekat orang, tapi dia yang sepatutnya dicurigai. 
“Kenapa?” 
“Hah?” 
“Pak cik tanya, kenapa?  Dahi tu kerut sana-sini…” 
Ian raup wajah.  “Penat gamaknya, pak cik.  Oh ya, nama saya Ian.” 
“Eh kamu ni  orang putih ke?”  Sempat dikerling wajah Ian.  Jambang halus, kumis tipis malah rambut yang kemas terpacak.  Rupa memang kacak.  Tubuh sasa.  Tinggi pulak tu.  Boleh jadi anak kacukan.
Tawa Ian lepas.  “Saya Melayu sejati, pak cik.  Kalau kata campuran pun, saya tak tahulah tu…” 
“Pulak dah?”  lelaki itu ketawa juga. 
“Kenapa?  Kacak sangat ke saya?”  soal Ian bergurau.
Tak menjawab, lelaki tua itu hanya ketawa. 
“Pak cik nama siapa?” 
“Mansor…”
“Pak cik Mansorlah ni, ya?” 
“Man pun boleh,” ujar Pak cik Mansor.  
Ian angguk dalam senyuman. 



DIA terlelap rupanya.  Bila buka mata, kereta dah berhenti di depan sebuah rumah kayu yang nampak sedikit usang.  Dia toleh ke kanan, Pak cik Mansor tak ada.  Pandang belakang, beg galasnya juga tak ada.  Dan bila dia pandang ke depan, Pak cik Mansor sedang turun anak tangga kayu.  Mendekati dia yang juga baru keluarga kereta. 
“Pak cik angkat beg galas saya?”  soalnya.
Pak cik Mansor angguk. 
“Berat tu, pak cik.  Mahu 30kg tu…”  Risau dia.  Buatnya patah tulang orang tua ni.  Parah. 
“Alaa, pak cik dah biasa angkat lagi berat.  Baru ingat nak kejutkan kamu.  Tengok dah sedar.  Marilah tengok dulu hotel lima bintang pak cik ni.  Kalau suka, bolehlah check-in secara percuma, makan minum ditanggung.  Kalau tak suka, tak apa.  Pak cik pun tak rugi apa-apa…”  seloroh Pak cik Mansor. 
Ian menggeleng dalam senyuman.  Rasa macam dah kenal berkurun lama.  Pak cik Mansor ni mudah mesra betul.  Dia tutup pintu kereta.  Berjalan mengikut langkah Pak cik Mansor, mendaki anak tangga yang ada tujuh semuanya.  Sebaik saja dia pijak lantai, bunyi berkeriut memecah hening, menampung berat tubuhnya. 
“Jangan risau… tak adalah runtuh.  Itu kayu jati tu, walaupun ini rumah usang,” tegur Pak cik Mansor. 
Ian garu kepala bila rupanya tingkah dia diperhatikan.  Dia pandang ke seluruh rumah.  Lapang.  Hanya ada tikar getah dan sebidang karpet lama yang masih bersih terhampar.  Selebihnya, tiada apa.  Memang orang susah dan dia datang pulak menambah beban. 
“Err… pak cik,” seru Ian. 
Pak cik Mansor menoleh.  “Kenapa?” 
“Err… saya rasa saya boleh tidur mana-mana aje malam ni.  Pak cik jangan risaulah.  Ini pun, saya jalanlah keluar jalan besar tu sikit, tahan mana-mana kenderaan nak ke Bandar…”  Lambat-lambat Ian bersuara. 
Disusun satu persatu perkataan.  Takut lukakan hati dan niat baik orang.  Dia yang kerut wajah.  Pak cik Mansor hanya tenang.
“Tak apa.  Macam pak cik cakap, tak selesa boleh cakap tak.  Pak cik pun tak rugi apa-apa.  Jangan risau…”  Pak cik Man pusing semula. 
“Setidak-tidaknya, biar pak cik hantar kamu semula ke Bandar lepas pak cik solat kejap, ya?”  Senyuman pada bibir Pak cik Mansor masih bergayut gagah. 
“Err pak cik, jangan salah faham.  Saya suka pak cik ajak saya tapi saya rasa macam menyusahkan.  Itu aje.  Dan kalau pak cik hantar saya, lagilah saya rasa bersalah.  Pak cik rehatlah.  Nanti ada masa…”
“Bilik dah siap, ayah…” 
Suara Ian mati.  Ada suara lain menyapa perbualan mereka.  Suara yang begitu lembut.  Suara yang kedengaran hanya seperti berbisik, tapi jelas patah bicaranya.  Ian toleh ke kiri.  Satu susuk tubuh sedang berdiri di depan sebuah bilik yang ternganga lebar pintunya. 
Dia cuba cari wajah pemilik suara itu tapi sedikit terlindung.  Kemudian, dia pandang pula Pak cik Man.  Bertanya dalam diam tapi lelaki tua itu sekadar senyum. 
“Tak apalah.  Tetamu tak jadi nak bermalam dekat sini…”  jawab Pak cik Mansor. 
Gadis itu angguk tanda faham. 
“Tapi, pak cik bukan apa… sini ramai budak-budak nakal.  Untuk semalam bertahan dengan rumah buruk kami ni, boleh?”  pujuk Pak cik Mansor. 
Ian tunduk.  Bila dia angkat mata, wajah yang cuba dipandang tadi jelas.  Rahang diketap.  Jika tidak, boleh tertanggal.  Perlahan-lahan, dia angguk.  Matanya tertancap tak lepas pada wajah itu yang juga memandang dia.  Tapi, pandangan kosong semata. 
“Tetamu jadi tidur rumah kita, ayah?”  Suara halus itu menyapa lagi.
Pak cik Mansor angguk.  “Siapkan kain jugak.  Kita berjemaah…”   
“Ya…”  Gadis itu susun langkah masuk semula ke bilik. 
“Maaf, pak cik.  Saya dah bebankan pak cik sekeluarga,” pinta Ian sopan. 
“Tak apa.  Pak cik suka orang datang.  Tetamu datang bawak rezeki.  Itu yang pak cik tahu.  Tunggu kejap, nanti kita solat sama-sama…”  Pak cik Mansor berpaling nak ke dapur. 
“Firah,” panggilnya sekali lalu. 
Sepi. 
“Maghrifah?”  serunya sekali lagi. 
Maghfirah keluar.  Nak mendapatkan ayah tapi langkah mati di situ bila pandangan itu masih terpaku padanya. 
Ian redupkan pandangan.  Maghfirah.  Perlahan hatinya menyebut nama itu.  Maghfirah… serunya lagi tanpa henti. 
Akhirnya, gadis itu senyum.  “Boleh saya bantu?”  soalnya perlahan. 
Dahi Ian berkerut.  “Dengar?” 
Mata Maghfirah mengerdip sekali. 

Halkum Ian bergerak, berkali-kali.  

...bersambung

Pada yg tanya AACB, insyaallah kita uruskan pengeposan minggu ini.  Harap sabar.   Enjoy reading.  Do comment.  (senyum) 

16 comments: