Monday, November 21, 2016

Maghfirah 4

KENAPA? 
Satu soalan itu dah biasa sangat dia terima.  Bukan seorang yang tanya, malah setiap yang dia jumpa, itulah yang pertama diaju.  Ian tenang.  Memandang wajah ayu di depannya.  Wajah yang sedikit pucat.  Bibir merekah kekeringan.  Bawah mata yang dah timbul gelang hitam.

“Saya kenapa?” 
Ini soalan entah ke berapa ratus kali dah dia terima daripada wanita ini.  Bagaimana pun dia menjawab, soalan itu akan diluah juga. 
“Semuanya akan jadi baik.  Yang penting, semangat.  Kita kena hidup ceria, buang semua benda negatif.  Perasaan negative hanya akan buat kita fikir lebih buruk.  Buat yang buruk dan hasilnya akan buruk…”
“Tapi, saya tak mampu?”  Wanita itu sudah mula menitiskan airmata biarpun mata terpejam rapat.
“Kenapa cakap macam tu sedangkan selama ni saya ada dengan awak?  Dah jauh perjalanan kita bersama.  Sikit aje lagi.  Awak kena bertahan,” pujuk Ian lembut.
Mata itu terbuka.  Terus terpasak pada bola mata Ian.  Lama mereka saling merenung.  Ian menyepi.  Menanti patah bicara wanita ini. 
“Boleh awak ada dengan saya selamanya?” 
Ian tak bagi jawapan.  Melainkan hanya tersenyum tipis. 
“Saya takut.”  Airmatanya sudah bertali-arus.
“Apa yang awak takutkan setelah sekian lama?” 
“Takut bila awak tak ada, saya tak boleh teruskan hidup lagi…”  akui wanita itu jujur.
Ian sedikit terpanar tapi cepat-cepat dia redakan hati sendiri.  Pantas dia damaikan resah dan tenangkan riak wajah. 
“Setiap pertemuan, akan ada perpisahan.  Saya dah cakap daripada awal pertemuan kita lagi.  Tapi, awak boleh cari kekuatan di sebalik setiap perpisahan.  Sebab, kita tak boleh rancang pertemuan dan perpisahan.  Cuma buat masa sekarang, saya yakin… saya perlu temankan awak lagi.  Jangan risau,” pujuknya.
Memang keadaan dia membuatkan dia perlu bertemu dan berpisah dengan orang yang dia tak kenal, menjadi rapat malah begitu dekat hingga akhirnya, mereka perlu berpisah.  Perpisahan itu perit, tapi dia dah biasa.  Kata orang, alah bisa tegal biasa. 
Tambah pulak dia memang ada prinsip sendiri.  Dia tak akan goyah biarpun sesekali hati meningkah.  Ian lebarkan senyum.  Memandang wanita di depannya yang sejak tadi berkerut wajah sana-sini.
“Apapun jadi, saya akan akan dengan awak,” ujarnya separuh berbisik. 
Barulah bibir wanita anggun itu mekar dengan senyuman.  Nafas yang tadinya tersekat, kini sudah kembali lancar.  Tapi, tak lama bila wajah merah disimbah darah.  Denyut nadinya terhenti. 
Hati Ian menggelupur.  Jari-jemarinya menggeletar cuba menyentuh jasad yang sudah kaku itu. 
“Tidak!!!”  Ian menjerit sekuat hati.  Tak mampu dia nak terima kenyataan akan apa yang dah jadi depan mata.
Dia gagal.  Dia memang gagal! 



MATA terbuka perlahan bila dia rasa ada tangan yang sedang menepuk pipinya lembut.  Samar-samar pandangannya tapi dia gagahnya diri untuk terus buka mata. 
“Ian?” 
Nama dia?  Ya, nama dia sedang diseru oleh satu suara. 
“Saya kat mana?”  Ian cuba bangkit tapi semangatnya lemah. 
“Kamu mimpi ni, Ian.  Kuat kamu jerit tadi.  Apa yang tidak?”  Pak Mansor bantu Ian duduk. 
Tuhan…  Ian raup wajah.  Dia mimpi lagi.  Kerana dikejar mimpi itu dia berlari tak pernah berhenti.  Ya, dia  baru ingat.  Dia tumpang rumah orang.  Dia janji nak keluar tapi entah bila dia terlelap.  Apa yang menyekat dia untuk pergi sebenarnya? 
Gamaknya…
“Maghfirah…” seru Ian perlahan. 
“Kenapa dengan Maghfirah?”  Wajah Pak Mansor nampak terkulat-kulat mendengar nama anak daranya disebut anak teruna depan mata sekarang. 
Tak kanlah sampai termimpi bila Maghfirah usik masuk dalam alam bunian?  Lemah semangat sungguh anak muda ini.  Tak kental seperti pandangan mata kasarnya. 
“Dia wujud, kan?” 
Pak Mansor ketawa kecil dan menggeleng.  Apalah budak ni. 
“Tentulah dia ada.  Dia anak pak cik.  Dah, bangun.  Kejap lagi orang azan.  Marilah kita solat dekat masjid.”  Pak Mansor berlalu ke pintu.
Ian masih kaku begitu.  Dia pandang selimut.  Corak petak-petak.  Nampak sedikit lusuh.  Dia kerling pula sekeliling bilik.  Memang bilik ini yang dia masuk semalam.  Maghfirah bukan mimpi, tapi realiti. 
“Cepat… pak cik dah mintak Firah jerang air panas untuk kamu mandi…”  Terus  Pak Mansor hilang di balik daun pintu. 
Ian pijak lantai.  Sejuknya begitu menyucuk tapak kaki.  Dia lipat selimut dan kemaskan cadar ala kadar.  Mendengarkan kata-kata Pak Mansor tadi, bibirnya koyak senyum dengan sendiri.  Ini betul lima bintang ni. 
Tuala dicapai.  Seluar track bottomnya disinsing sedikit hingga ke betis.  Saat melalui ambang pintu, kepalanya tunduk sikit mengelak daripada terhantuk.  Lelaki setinggi dia, dah pupus dekat Malaysia ni. 
Mata Ian liar mencari wajah Maghfirah.  Tertancap pada belakang tubuh yang sedang mengemas tempat tidur Pak Mansor.  Dia sandarkan bahu pada dinding.  Tak berkutik.  Hanya mata yang banyak berbicara.  Teringat usikan Maghfirah semalam, ingatkan gadis itu tak reti untuk senyum.  Kotlah ada masalah dengan otot-otot wajah ke.  Siapalah tahu. 
Tapi, semalam… dia nak pergi.  Maghfirah menahan. 
“Atau lelaki pertama dalam hidup awak?”  Dia ingat lagi soalan yang dia aju.  Sampai dua kali, gadis itu masih kelu. 
“Okey.  Saya betulkan ayat saya.  Lelaki pertama yang jadi tetamu awak?  Okey ayat tu?” 
Barulah wajah Maghfirah berombak dengan emosi.  Dia senyum tipis.  Tak manis malah tawar seperti biasanya. 
“Tak payahlah keluar.  Nanti, buatnya esok ayah bangkit carik awak, saya tak tahu nak bagi jawapan apa bila dia tengok awak tak ada…”
“Apa susah.  Cakap ajelah saya pergi sebab awak tak suka saya.  Senang, kan?”  Sengaja Ian kenakan Maghfirah.
“Itu memang jawapan yang saya akan bagi dekat ayah.  Ayah tak pernah ajar saya menipu walaupun dalam keadaan yang paling buruk.  Jadi, memang saya akan berterus-terang.  Tapi, pada saat saya berterus-terang tu, ayah pasti terluka biarpun sikit.  Itu yang saya tak nak…” 
Gamam Ian dengan jawapan Maghfirah.  Liur ditelan kasar.  Tak sangka, gadis kampung ini begitu petah berkata-kata.  Dia yang berpendidikan ini pun boleh beku lidah dibuatnya. 
Maghfirah menoleh ke sinki.  Nampak macam masih banyak yang nak dibuat.  Entah apa.  Terlajak rajin.  Itu yang boleh dia simpulkan.  Sejak dia tiba senja tadi, tak nampak lagi Maghfirah duduk diam. 
“Awak cakap ajelah dekat ayah awak, setiap pertemuan… tentu akan perpisahan.  Betul tak?”  Ian masih cuba pertahankan diri.  biarpun dia tahu, perisai dia saat ini tak begitu ampuh.  Sekali dilibas oleh ayat daripada lidah Maghfirah, dia mungkin akan terluka. 
“Perpisahan itu pasti.  Setiap yang bernyawa, pasti akan merasa saat tu.  Sama ada menjadi perpisahan yang diredai dan terpelihara atau sebaliknya, itu terserahlah dekat masing-masing dan pada kami… setiap yang datang, kami hantar pergi dengan baik.  Moga dalam pertemuan itu ada sedikit kebaikan dan setiap kepergian itu, biarlah menjadi kepergian yang boleh dikenang,” ujar Maghfirah.
Glup… Ian telan liur.  Kan dia dah kata.  Hayunan kata-kata Maghfirah sangat padu.  Dia makin tertanya, siapa gadis ini sebenarnya.  Jika Maghfirah bukan bunian, gamaknya makhluk Tuhan yang sangat istimewa. 
“Kalau tak keberatan, boleh saya tahu umur awak berapa?” 
“Kenapa?  Risau dikalahkan oleh budak hingusan?” 
Sekali lagi, Ian terkulat-kulat.  Sudahnya, dia hanya senyum.  Dasyat sungguh.  Menggeleng sendiri dibuatnya. 
“Kalau tak nak apa-apa, naiklah rehat.  Saya nak kemas dapur…” 
“Saya tolong…”  Ian berkeras.
“Berapa kali nak saya cakap, orang luar dilarang buat kerja dalam rumah ni!”  Maghfirah juga tegas.  Dia tak selesa sebenarnya. 
Pandangan Ian, sejak petang tadi macam nak makan orang!  Dia tak suka semua tu. Kerana itu dia tak selesa Ian ada. 
“Kisahnya…”  Gelak sinis Ian lepas.  Dia pandang Maghfirah dengan pandangan yang sama seperti mana gadis itu memandangnya.  Pandangan yang kosong tak berperasaan. 
“…kalau orang luar tak boleh tolong langsung tuan rumah yang dah banyak bantu, perlu ke orang luar tu jadi ahli keluarga tuan rumah ni untuk balas budi tuan rumah?  Hrmm?” 
Dahi Maghfirah berkedut.  Kalau digosok sekalipun, rasanya kedutan itu susah nak hilang.  Ian gelak dalam hati.  Main lagi ayat dengan dia.  Dia memang akan menang.  Tengok pada Maghfirah yang memandang sana sini dia dah tahu, gadis itu sudah kalah. 

Titik!  

...bersambung

5 comments:

  1. Wow....Ian mimpikan Maghfirah..makin menarik..tq rehan..mmg best

    ReplyDelete
  2. adui ayat ian.....kena cri org mcm ian ni hihiks

    ReplyDelete
  3. Hmmm sape wanita dlm mimpi ian tu? Thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete
  4. Amikkau firah...jadi suami isterlah...senang..

    ReplyDelete